ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


CARA MENUBUHKAN NEGARA ISLAM

Cara Menubuhkan Negara Islam
.::Antara Metod Akal dan Wahyu::.


Dapat dikatakan, tidak ada satu ulama pun yang menolak bahawa kewujudan Al-Khilafah adalah masalah ma'lum min ad-din bi ad-darurah. Bahkan, pembahasan ini telah menjadi satu kajian penting dalam pembahasan usuluddin (1). Masalahnya, ulama-ulama dahulu tidak pernah membahas, bagaimana cara menubuhkan Al-Khilafah, sebab mereka hidup pada zaman negara Islam tersebut masih ada. Mereka juga tidak pernah membayangkan, bahawa negara ini akhirnya akan runtuh pada tahun 1924. Malahan mujtahid yang hidup pada masa-masa akhir negara Islam ini, seperti As-Syawkani (w. 1298 H/1873 M) tidak pernah sedikit pun membahas isu berkenaan.


Sebaik saja negara Islam ini dijatuhkan, tidak ada usaha dari kaum muslimin untuk menubuhkan semula, kerana pemikiran dan perasaan mereka telah terpesong dengan tipu muslihat orang-orang kafir. Selama hampir 3 dekad, iaitu dari dekad 1920-an hingga 1950-an, isu ini tidak menjadi perhatian kaum muslimin, sekalipun sudah banyak gerakan yang ditubuhkan umat Islam bergerak di tengah masyarakat. Setelah dekad 1950-an, khususnya sejak dekad 1970-an, lebih khusus lagi setelah Revolusi Iran, kesedaran kaum muslimin mula pulih, dan isu "negara Islam" ini telah mengarahkan pandangan umum kaum muslimin. Natijahnya, semua gerakan, jamaah dan parti Islam pada dekad 1980-an hingga sekarang, menuntut berdirinya negara Al-Khilafah Islam, sekalipun dengan gambaran yang masih kabur, termasuklah bagaimana mereka hendak menubuhkannya ? Dan dari mana mereka hendak memulakannya ? Dan masih banyak lagi yang belum jelas.


Oleh itu, tulisan ini berusaha untuk mengungkap pelbagai jalan yang ditempuh oleh gerakan, jamaah atau parti Islam dalam rangka menubuhkan negara Al-Khilafah Islam untuk menjadi wacana, sekaligus membuka mata umat agar mengetahui jalan yang benar. Akan tetapi, sebelumnya perlu dihuraikan dasar kewajiban menubuhkan Al-Khilafah, supaya mampu membangkitkan kesedaran akan kewajibannya melalui metod (Thariqah) yang berdasar pada wahyu Allah SWT iaitu menurut manhaj nubuwwah.


Metod Melakukan Perubahan dan Mendirikan Negara


Sejak negara Al-Khilafah Islam digulingkan oleh tali barut negara kafir dan Yahudi, terdapat berbagai-bagai cara dan pendekatan yang ditempuh oleh umat Islam dalam rangka menubuhkan semula Al-Khilafah. Didapati lebih dari dua dekad terakhir pada abad ke-20 yang lalu, gerakan Islam memainkan peranan politik yang penting di kebanyakan negara, terutama di dunia Islam. Pada tempoh tersebut pelbagai isu yang berkaitan dengan gerakan Islam seperti hubungan antara gerakan Islam dengan kerajaan, pembentukan masyarakat madani, perjuangan hak asasi manusia dan impian untuk mewujudkan sebuah negara merdeka agar mereka dapat mendirikan negara Islam, telah menjadi fokus utama kegiatan politik gerakan Islam tersebut. Kepentingan peranan gerakan Islam di dunia Islam amat ditentukan oleh pendekatan politik yang digunakan dalam menangani isu sesuai dengan pendekatan Islam.


Bertolak dari kegagalan mempertahankan keutuhan negara Al-Khilafah Islam, didapati wujud pola yang berbeza dalam kegiatan gerakan Islam tersebut. Kelompok-kelompok dakwah yang bergerak di luar bidang politik pada hakikatnya tidak berkaitan langsung dengan masalah utama kaum Muslimin masa kini. Ini kerana gerakan-gerakan tersebut tidak mungkin berupaya mencapai tujuan yang sepatutnya diwujudkan kaum Muslimin, iaitu menegakkan negara Al-Khilafah Islam dan mengembalikan penerapan hukum berdasarkan apa yang diturunkan Allah.


Dalam konteks ini, perlu dihuraikan pembahasan tentang metod ; dari segi hakikat metod, sifat dan bentuk-bentuk metod yang berbeza mengikut objek hukum yang akan dilaksanakan.


Hakikat Metod


Metod adalah hukum, sama ada bersumber dari akal mahupun syarak, yang bersifat tetap dan berkenaan dengan aspek praktikal (`amaliyyah), yang secara langsung menjadi sebab kepada terlaksananya konsep tertentu, pemeliharaan dan penyebarannya.


Dari gambaran tentang hakikat metod di atas, dapat dicontohkan, bahawa Demokrasi merupakan hukum akal yang tetap untuk melaksanakan konsep kebebasan (liberalisme), serta untuk mempertahankan dan menyebarkan konsep tersebut. Oleh kerana itu, Demokrasi dalam konteks ideologi Kapitalisme, dapat disebut sebagai Metod Kapitalisme dalam mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan idea kebebasan. Akan tetapi, untuk mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan Demokrasi diperlukan metod yang lain, yang ditetapkan oleh pencetusnya dalam bentuk pilihan raya. Oleh itu, pilihan raya merupakan hukum akal yang tetap untuk melaksanakan konsep kebebasan berbicara, menyatakan pendapat dan menentukan pilihan, yang dikenali dengan istilah Demokrasi itu. Di sini, Demokrasi-Kapitalisme memandang pilihan raya sebagai kewajiban, bukan pilihan yang "mubah".


Sementara Al-Khilafah merupakan hukum syarak yang tetap untuk melaksanakan konsep keterikatan kepada hukum Allah, serta untuk mempertahankan dan menyebarkan konsep tersebut. Oleh kerana itu, dalam konteks ideologi Islam, Al-Khilafah dapat disebut sebagai Metod Islam dalam mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan keterikatan kepada hukum Allah. Akan tetapi, untuk untuk mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan Al-Khilafah diperlukan metod yang lain, yang ditetapkan oleh as-Syari' dalam bentuk "Metod Rasulullah SAW". Kerana itu, "Metod Rasulullah SAW" merupakan hukum syarak yang tetap untuk melaksanakan konsep keterikatan kepada hukum Allah, yang diterapkan secara menyeluruh oleh Metod yang bernama Al-Khilafah itu. Di sini, Islam memandang "Metod Rasulullah SAW" sebagai kewajiban, bukan pilihan yang "mubah".


Sifat-sifat Metod


Dari huraian tentang hakikat metod di atas, maka sifat-sifat metod tersebut dapat dirumuskan seperti berikut :

a). hukum syarak yang tetap, kerana itu dapat disifatkan dengan hukum wajib.

b). bersifat praktikal atau fizikal, bukan konsep atau gagasan.

c). merupakan sebab bagi natijah yang bersifat praktikal atau fizikal. (2)


Dari gambaran tentang sifat-sifat metod di atas, juga dapat dihuraikan, bahawa struggle (perjuangan fizikal) merupakan metod Sosialisme dalam mewujudkan konsep "perubahan yang bersifat material" (dialectical-materialism). Metod ini selari dengan Sosialisme, kerana negara Sosialis adalah negara kuku besi, bukan Demokrasi, yang memaksa semua orang atas nama equality (persamaan hak dan kesamarataan). Struggle yang membawa kepada Revolusi kaum Sosialis ini boleh bertahan, sebab negara yang ditegakkan mengamalkan sistem "kuku besi" (the iron oligarchy). Sekalipun idea-idea Sosialisme tidak diterima pada awalnya, tetapi akhirnya boleh diterima sebab dipaksa oleh sistem "kuku besi."
Berbeza dengan Islam, jihad (physical struggle) sekalipun merupakan metod dalam Islam, akan tetapi dalam pandangan syarak, ia tidak dapat dibenarkan sebagai metod untuk menubuhkan negara. Begitu juga, dalam pandangan akal tidak dapat diterima. Ini kerana, negara Islam yang ditegakkan tidak mengamalkan sistem "kuku besi", seperti Sosialisme, sementara sebelum tegaknya negara, kerangka pemikiran yang jelas dan kuat tentang sistem yang akan ditegakkan oleh umat tidak pernah ditanamkan. Akhirnya negara yang dibangun dengan struggle seperti ini hanya akan menjadi permainan kuasa dunia, dan hancur berkecai, kerana tidak diasaskan kepada keyakinan umat yang menjadi sandaran kekuasaannya. Contoh yang terbaik dalam kes ini adalah Afghanistan.


Bentuk-bentuk Metod yang Berbeza


Dengan hakikat dan sifat-sifat di atas, banyak hukum akal atau syarak yang bersifat tetap, yang boleh dijadikan sebagai metod, sekalipun tidak semua metod sesuai untuk semua tujuan. Oleh kerana itu, bentuk-bentuk metod yang berbeza juga mesti difahami dengan cermat. Sebagai contoh jihad. Dari segi hakikat, jihad adalah metod untuk menyebarkan Islam, dan mempertahankan kekuasaan Al-Khilafah dari serangan kaum kuffar. Akan tetapi, jihad bukan metod untuk menubuhkan negara Al-Khilafah Islam. Berdo'a kepada Allah adalah aktiviti fizikal yang dapat dikatakan sebagai "metod" untuk mendekatkan diri kepada Allah, tetapi do'a bukan merupakan metod untuk menubuhkan negara Al-khilafah Islam, mengubah keadaan yang rosak atau kezaliman yang terjadi di tengah masyarakat. Meskipun para pejuang keadilan dan penegak kebenaran wajib berdo'a kepada Allah untuk menguatkan spirit perjuangannya.


Dalam konteks yang terakhir ini, dapat difahami, mengapa orang kafir dari segi kedekatan kepada Allah dapat dikatakan langsung tidak mempunyai hubungan ternyata ketika ini boleh menghancurkan umat Islam. Sebaliknya, umat Islam kalah. Persoalannya bukan kerana do'a mereka, tetapi kerana aktiviti fizikal mereka. Sebaliknya, umat Islam yang tidak henti-henti berdo'a siang dan malam, tetapi kerana tidak melakukan tindakan fizikal yang boleh membawa kepada perubahan, akibatnya keadaan mereka tetap sama sahaja.


Metod Akal Vs Wahyu dalam Menubuhkan Negara


Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan, bertolak dari standard Islam dan bukan Islam, atau meminjam istilah Ibn Khaldun disebut siyasah syar'iyyah dan siyasah 'aqliyyah, maka pola dan pendekatan yang kemudian disebut metod gerakan tersebut, dapat dibahagikan kepada dua, iaitu metod akal dan metod syarak (wahyu).


Secara zahir untuk mengelompokkan metod kepada metod akal dan syarak ini sangat sukar, lebih-lebih ketika metod berkenaan sebahagiannya bersumber dari Islam dan dapat disebut sebagai Metod Islam, meskipun kemudian penerapannya salah, atau lebih tepat bukan pada tempatnya. Seperti jihad yang digunakan untuk menegakkan negara Islam adalah metod yang tidak sesuai, sekalipun metod ini sesuai untuk menyebarkan Islam. Akan tetapi, jika sumber pemikiran pengambilan metod tersebut dianalisis dengan cermat, akan nampak perbezaannya. Dari sinilah, pembahagian metod akal dan syarak dapat dirumuskan dengan tepat.


Dikatakan metod akal, kerana metod ini lahir bukan dari proses ijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang berkembang di tengah masyarakat, akan tetapi lebih kepada menjadikan realiti masyarakat sebagai standard untuk melakukan tindakan. jika kemudian digunakan pandangan syarak, tidak lebih hanya untuk menjustifikasi tindakan yang sudah terlanjur menjadi setereotaip perjuangan. Kesimpulan ini diambil berdasarkan hukum-hukum dan nas-nas yang digunakan, biasanya mengikut kepentingannya, yang nampak dari sikap pilih-pilih terhadap nas. Adakalanya "Metod Rasulullah SAW" dikatakan tidak sesuai untuk zaman sekarang, tetapi yang menghairankan pada masa yang sama tindakannya dijustifikasi dengan "sirah Rasulullah SAW" yang lain.


Sebaliknya, dikatakan metod syarak, sebab metod ini benar-banar lahir dari proses ijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang berkembang. Metod ini digali dari nas secara keseluruhan, sama ada al-Qur'an mahupun as-Sunnah (baik qawliyyah, fi'liyyah mahupun taqririyyah), melalui kaedah-kaedah usul yang muktabar. Metod ini juga tidak keluar sedikitpun dari "Metod Rasulullah SAW" dalam menubuhkan negara Islam.


Ini kerana Metod tersebut diasaskan kepada Rasulullah SAW sebagai qudwah, yang secara mutlak wajib diikuti, sebagaimana yang dirumuskan oleh ulama usul dengan tiga ciri :

a). Mumatsalah (duplikasi bentuk)
b). `Ala wajhih (duplikasi sifat)
c). Min ajlih (duplikasi masa)

Ini dari satu aspek, iaitu ittiba' (lihat Al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, Juz 1, hlm. 172)


Dari aspek yang lain, iaitu aspek al-qiyam bi al-fi'l (pelaksanaan perbuatan), status melaksanakan "perbuatan Rasul" dibezakan seperti berikut :

1) Jibiliyyah, iaitu perbuatan yang dilakukan oleh Rasul SAW sebagai manusia biasa, dan tidak ada kena-mengena dengan Baginda sebagai Rasul, seperti Baginda memerlukan makan, minum, tidur, berjalan, duduk, berdiri, berbaring dan sebagainya. Semuanya ini merupakan perbuatan mubah bagi Baginda, juga bagi umatnya. Oleh itu, hukum melaksanakan "perbuatan Rasul" dalam kes berkenaan bagi umatnya adalah mubah.

2) Ghayr al-jibiliyyah, iaitu perbuatan yang bukan berkenaan dengan ciri-ciri Baginda sebagai manusia, tetapi sebagai Rasul. Di sini, perbuatan Baginda dapat dibahagikan kepada dua :

(a) Khawwas ar-Rasul, iaitu perbuatan yang ditetapkan sebagai kekhususan bagi Rasul, yang tidak boleh dilakukan oleh umatnya, seperti keharusan puasa wisal (Bukhari, Sahih, hadis no. 21861 dan 1864, Muslim, Sahih, no. 1103. Semuanya dari Ibn Umar).

(b) Ghayr Khawwasar-Rasul iaitu perbuatan yang ditetapkan bukan khusus untuk Rasul, yang "perbuatan Rasul" tersebut boleh dilakukan oleh umatnya mengikut ketentuan :

i. Bayan khitab sabiq, iaitu perbuatan Rasul yang dimaksudkan sebagai penjelasan bagi seruan sebelumnya, sama ada untuk menetapkan atau menafikan. Adakalanya diterangkan dengan pernyataan yang jelas (sarih al-qawl) seperti "Solatlah kamu sepertimana cara aku solat" (HR Bukhari hadis no. 595). Adakalanya diterangkan dengan petunjuk tindakan, iaitu tindakan yang hanya dilakukan ketika diperlukan untuk menerangkan seruan sebelumnya seperti Baginda SAW memotong tangan kanan pencuri (Musnad Ahmad, Juz II, hlm. 177) untuk menerangkan seruan al-Qur'an, surah al-Maidah (05):38. Hukum melaksanakan perbuatan Nabi SAW dalam kes ini mengikut seruan yang diterangkan oleh "perbuatan Rasul", jika seruan yang diterangkan bererti wajib, maka penjelasan Nabi SAW hukumnya wajib dilaksanakan oleh umatnya, dan jika mandub bererti mandub, begitu juga jika mubah, bererti juga mubah.

ii. Ghayr al-bayan li khitab sabiq, iaitu perbuatan yang bukan menjadi penjelasan bagi seruan sebelumnya, selain tuntutan untuk melakukan perbuatan secara tulen. Dalam konteks ini, perbuatan tersebut dilaksanakan oleh umatnya mengikut petunjuk-petunjuk yang menentukannya, sama ada wajib, mandub ataupun mubah (lihat al-Amidi, op. cit., Juz I, hlm 173, `Ata' bin Khalil, Tasyri' al-Wusul ila al-Usul, hlm. 75-76).


Dengan demikian, berdasarkan dua aspek di atas, iaitu aspek ittiba' dan aspek al-qiyam bi al-fi'l, seluruh aktiviti dakwah Rasulullah SAW dapat difahami dan dianalisis, sehingga dari hasil analisis tersebut "Metod dakwah Rasulullah SAW" dapat dirumuskan dengan tepat. Di samping itu, kegagalan dalam memahami Metod Rasulullah SAW ini juga membawa implikasi yang sangat besar kepada kegagalan setiap usaha yang bertujuan untuk membangkitkan umat, melalui penubuhan negara Al-Khilafah Islam.


Berdasarkan pembahagian Metod akal dan syarak (wahyu) di atas, maka Metod yang ditempuh oleh kumpulan, parti atau jamaah yang berupakan:

a). Jihad (revolusi)
b). Pilihanraya-Demokrasi
c). Islah (reformasi)
d). Metod Rasulullah SAW

dapat dibezakan kepada dua bentuk, iaitu Metod akal dan syarak (wahyu).

Metod Akal dalam Menubuhkan Negara Islam


Berdasarkan standard di atas, selain dari "Metod Rasulullah SAW" dapat dimasukkan ke dalam metod akal, bukan metod syarak. Sebab, metod berkenaan bukan merupakan natijah ijtihad yang sahih berkenaan dengan objek hukum yang hendak diselesaikan.

Metod Jihad

Dari segi hukum syarak, jihad adalah fardu, sama ada kifayah mahupun `ainiyyah. Jihad juga dianggap oleh para ulama sebagai perkara ma'lum min ad-din bi ad-darurah. Di samping itu, jihad sebagai metod untuk menyebarkan Islam juga dapat ditemukan dengan jelas dalam nas as-Sunnah (3), termasuk jihad sebagai metod untuk memerangi pihak berkuasa "khalifah" ketika jelas menampakkan kekufuran yang nyata (4).


Semuanya ini merupakan hukum yang jelas, tidak perlu dinafikan. Akan tetapi, yang menjadi soalan adalah mengapa metod jihad ini dimasukkan ke dalam metod akal dalam menubuhkan negara Islam?
Dalam kes ini ada tiga alasan.


Pertama, kerana kebanyakan mereka ketika menempuh Metod jihad bukan kerana bersandar kepada nas syarak yang membenarkan tindakan berkenaan, tetapi kerana pertimbangan politik-kekuasaan, yang dalam pandangan mereka akan dapat diraih dengan cepat melalui jihad.


Kedua, dalam konteks ittiba' kepada Rasul, maka kenyataan Nabi SAW (5) "Kita belum diperintahkan untuk melakukan perkara itu (jihad). Kembalilah ke tempat-tempat kamu."

Wajib dianalisis berdasarkan standard: mumatsalah (duplikasi bentuk), `ala wajhih (duplikasi sifat) dan min ajlih (duplikasi masa).
Dalam konteks mumatsalah (duplikasi bentuk), jelas penggunaan tindakan ketenteraan dalam menubuhkan negara Islam, bukan merupakan duplikasi bentuk ittiba' kepada Nabi SAW. Penggunaan tindakan ini juga tidak mencerminkan duplikasi masa, iaitu bila tindakan ini digunakan, sama ada sebelum negara Islam berdiri atau setelah berdiri ? Ini juga dikuatkan dengan nas hadis bai'at riwayat Muslim dari Ubadah bin Samit (6).


Ketiga, apabila ada hujah yang menyatakan, bahawa setelah Rasul wafat, al-Qur'an telah sempurna, sehinga semuanya wajib dilaksanakan secara serentak dan sekali. Hujah ini benar, tetapi dangkal jika dilihat dari segi bahawa setiap hukum yang ditetapkan oleh syarak akan selalu terkait dengan manat-nya (7). Melepaskan hukum syarak dari manat-nya akan menyebabkan penerapan hukum tersebut menjadi salah.

Contoh manat – Hukum Kharaj. la merupakan hukum yang berkenaan dengan :

(1) Tanah, selain tanah `usyriyyah (seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan sebagainya),

(2) Tanah pertanian,
(3) Diterapkan berdasarkan penghasilan tanah,
(4) Untuk orang Islam dan bukan Islam, dan
(5) Hanya boleh diambil oleh khalifah, bukan yang lain.

Di sini dapat dikatakan, bahawa manat (sifat keadaan objek) hukum kharaj tersebut tidak boleh dilepaskan dari 5 perkara di atas. Jika 5 perkara tersebut ada, bererti hukum tersebut dapat dilaksanakan, dan sebaliknya jika tidak ada, maka hukum berkenaan tidak dapat diterapkan. Dengan demikian jelas, bahawa melaksanakan jihad yang dipisahkan dari manat-nya hanya akan menyebabkan kekeliruan.


Berdasarkan hasil analisis di atas, dapat disimpulkan bahawa penggunaan metod jihad untuk meraih kekuasaan jelas bukan merupakan metod yang dihasilkan oleh proses ijtihad yang sahih, jika tidak dapat disebut bukan hasil ijtihad, atau hanya hasil taakulan.


Metod Pilihanraya-Demokrasi


Sebelum membahas metod berkenaan, perlu dihuraikan dahulu tentang siapa-siapa kumpulan "Islam" yang terbabit dalam menggunakan metod berkenaan, antara lain :

a) Puak pertama, iaitu golongan yang meyakini bahawa Demokrasi adalah satu-satunya sistem pemerintahan Islam, dengan keyakinan bahawa Demokrasi sebahagian dari sistem pemerintahan Islam, sehingga mempejuangkan Demokrasi sama dengan mempejuangkan Islam itu sendiri.

b) Puak kedua, iaitu golongan yang mengatakan bahawa Rasulullah tidak pernah mengajar umatnya bagaimana cara memerintah. Bentuk pemerintahan Islam adalah satu bentuk yang tidak tetap, sehingga Demokrasi dianggap perkara yang tidak disebutkan keharamannya dalam al-Qur'an. Oleh kerana itu, ia dihukumi mubah.

c) Puak yang ketiga, iaitu puak yang berpendapat bahawa Demokrasi adalah satu sistem yang ada sebahagiannya bercanggah dengan Islam, dan ada yang tidak bercanggah dengan Islam, sehingga mereka mendakwa bahawa ada ajaran Demokrasi yang dibenarkan oleh Islam.

d) Puak yang keempat, iaitu puak yang menyakini, bahawa Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang bercanggah dengan Islam, sehingga Demokrasi hanya digunakan untuk menubuhkan negara Islam. Sebaik sahaja mendapat negara, barulah sistemnya ditukar. Pada pandangan mereka adalah mustahil untuk mengubah satu sistem pemerintahan yang sedia ada, sekiranya tidak terlibat dalam sistem tersebut.


Kumpulan, parti politik atau gerakan semacam ini merupakan vice-versa kepada gerakan jihad. Ada juga yang betul-betul taksub dengan kumpulan mereka, kemudian ada yang menggunakan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis yang tidak ada kena-mengena dengan isu ini, dan banyak juga yang menyandarkan pendapat mereka kepada kaedah umum, iaitu satu kaedah fekah untuk mengislamkan cara parti mereka.


Untuk membahas kumpulan di atas, pertama sekali perlu dinyatakan, bahawa dari segi realiti Demokrasi adalah sistem bukan Islam sudah jelas, dan merupakan temuan abad ke-20, malahan diperakui telah diimport dari Barat, termasuk menurut orang "Islam" yang memperjuangkannya (8). Jika ada keyakinan kepada sistem yang merupakan keluaran akidah tertentu, bererti membuktikan adanya keyakinan kepada akidah yang melahirkannya. Ini merupakan bentuk kerosakan akidah. Inilah yang berlaku pada puak pertama, yang meyakini Demokrasi. Puak yang kedua juga dapat dinyatakan, bahawa ada kemungkinan merupakan puak yang jahil tentang Islam, atau mengerti tentang Islam tetapi mempunyai niat jahat. Pandangan kedua-dua puak ini tidak perlu dibincangkan, kerana sudah jelas.

Sedangkan puak yang ketiga dan keempat, dapat dinyatakan, bahawa sesungguhnya diakui ataupun tidak, mereka menerima jika dikatakan, bahawa pilihanraya-Demokrasi merupakan metod yang digunakan dalam memperjuangkan tegaknya Islam melalui negara. Inilah yang perlu dibahas di sini.


Untuk menerangkan kekeliruannya, yang sekaligus menempatkannya dalam metod akal, bukan syarak dapat diterangkan, bahawa setiap ideologi, sama ada Islam, Kapitalisme mahupun Sosialisme selalu mempunyai Metod yang unik. Jika pilihanraya merupakan metod Demokrasi dalam mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan kebebasan, dan struggle (perjuangan fizik) merupakan metod Sosialisme dalam mewujudkan, mempertahankan dan menyebarkan dialectical materialism (perubahan material), maka Islam berbeza dengan semuanya. Islam memandang pilihanraya hanya mubah bukan kewajiban. Dalam pandangan Islam, pilihanraya hanya teknik, bukan metod. la boleb berubah dan diubah, mengikut keadaan semasa. Baginda SAW mengadakan "pilihan" (intikhab), ketika manat-nya membuktikan bahawa orang yang dipilih setelah Bai'at Aqabah kedua belum dikenali, selain oleh kaumnya. Setelah mereka dikenali oleh Baginda SAW, "pilihan" tersebut tidak pernah dilakukan (9). Ini membuktikan, bahawa ia bukan hukum yang tetap, akan tetapi mengikut keadaan semasa. Sekalipun tidak perlu dinafikan, bahawa pilihanraya merupakan hukum syarak yang mubah dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.


Akan tetapi, menjadikan pilihan raya sebagai metod untuk melakukan perubahan, menubuhkan negara dan memperbaharui kontrak sosial rakyat merupakan kesalahan dalam memahami metod. Dalam kes ini dapat dianalisis ada tiga sebab.


Pertama, salah kerana pilihanraya merupakan rnetod Demokrasi-Kapitalisme, yang selari dengan idea kebebasannya, tetapi tidak selari dengan konsep Islam yang mewajibkan keterikatan kepada hukum Allah, bukan kebebasan. Ini nampak ketika di hadapan penyelewengan hukum Allah, suara majoriti langsung tidak mempunyai nilai.


Kedua, kesalahan dalam memahami hakikat metod, yang berupa hukum wajib, bukan mubah, sehingga bersifat tetap.


Ketiga, ketidaktahuan tentang "Metod Rasulullah SAW" atau mengetahuinya tetapi takut risiko, sehingga memilih jalan yang paling aman dan selamat. Bukti yang terakhir ini nampa dari kaedah fekah yang selalu diulang-ulang (10) :

Akhaffu ad-dararayn (Bahaya yang paling ringan di antara dua bahaya)

atau kaedah:

Ahwan as-Syarrayn (Keburukan yang paling rendah di antara dua keburukan)

Dari realiti di atas, nampak bahawa metod ini sangat jauh dari "Metod Rasulullah SAW" sama ada dari aspek ittiba' yang mesti menduplikasikan "perbuatan Baginda" dari segi bentuk, sifat dan masa, mahupun aspek al-qiyam bi al-fi'l yang hukumnya wajib mengikut petunjuk (qarinah) yang ada, iaitu keterikatan Baginda SAW kepada metodnya, sekalipun sentiasa berdepan dengan bahaya secara nyata (11).


Metod "Islah" (Reformasi)


Kumpulan reformasi yang ingin mengubah pemerintahan yang tidak Islamik dari dalam, iaitu dengan memasuki sistem pemerintahan kufur atau zalim, kemudian diubah secara bertahap supaya menjadi lebih islamik, dan lama kelamaan Islam akan diterapkan secara menyeluruh. Kumpulan ini dengan lain perkataan telah memcampuradukkan antara haq dan batil dengan alasan pengislaman (Islamization). Metod islah ini juga dipopularkan sebagai metod taddarruj (beransur-ansur).


Konsep tadarruj atau juga islah ini tidak terikat dengan fasa tertentu. Adakalanya satu hukum dilaksanakan melewati satu fasa, dan adakalanya lebih, bergantung kepada keadaan yang ada. Konsep ini meliputi banyak aspek, ada yang berkaitan dengan akidah, seperti ungkapan :

"Sosialisme berasal dari konsep Islam" atau "Demokrasi sebahagian dari Islam".


Ada juga yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum syarak seperti membiarkan seorang muslimah berpakaian setengah menutup aurat dengan alasan, bahaya suatu masa nanti dia akan menutup aurat secara sempurna. Ada juga yang berkaitan dengan sistem, seperti keikutsertaan kelompok kaurn muslimin dalam sistem yang ada, yang nyata tidak berdasarkan Islam, dengan alasan bahawa ia bukanlah maksud yang sebenar, melainkan semata-mata menjadi sarana atau teknik dan taktik untuk meraih kekuasaan agar nanti membolehkan hukum Islam diterapkan. Kaedah yang digunakan adalah (12) :

Maala yudraku kulluhu, laa yutraku jalluhu (Apa yang tidak dapat diraih semuanya tidak semestinya ditinggalkan semuanya)


Metod ini dapat dianggap sama dengan metod-metod sebelumnya, sama-sama merupakan metod ta'kulan (akal), bukan metod syarak. Kekeliruannya dapat dikembalikan kepada tiga alas-an :

Pertama, Metod ini jelas mencampuradukkan antara perkara yang haq dengan yang batil, dengan alasan darurah (terpaksa kerana berdepan dengan bahaya), walhal tindakan ini jelas-jelas diharamkan oleh al-Qur'an (Al-Baqarah : 42).

Kedua, tasamuh (bersikap sabar) terhadap kemungkaran, dalam rangka menghindarkan bahaya yang lebih besar untuk meraih maslahat jangka panjang yang lebih besar, walhal tindakan ini diharamkan oleh nas as-Sunnah (13). Ketika, tiada lagi tadarruj dalam penerapan Islam setelah syariat Islam disempurnakan oleh Allah. Kesalahan ini berlaku kerana tidak dibezakan antara takwin (proses pembentukan hukum) dan tadbiq (penerapan). Zaman Rasulullah adalah zaman takwin, sehingga idea tadarruj menemukan bentuknya, tetapi setelah turunnya surah al-Maidah (05) : 03, tiada lagi tadarruj selain penerapan hukum secara utuh.

Metod Syarak dalam Menubuhkan Negara Islam


Dari analisis di atas, hanya ada satu metod sahaja yang menepati metod syarak, iaitu metod yang merupakan hasil ijtihad dari sirah Rasulullah SAW dalam menubuhkan negara Islam. metod inilah yang disebut kemudian dengan "Metod Rasulullah SAW"


Apa yang dilakukan oleh Rasul semuanya bersumber dari wahyu, bukan yang lain, dan bukan pula merupakan hasil ijtihad Baginda yang mengandungi kemungkinan benar-salah. Ini adalah akidah. Berdasarkan akidah inilah, maka dibangun sikap tsiqqah (yakin) dan qana'ah (patuh seratus-peratus) kepada tindakan Rasulullah, sehingga dapat menduplikasikan dan melaksanakannya secara sempurna. Inilah asas pertama dalam pembahasan "Metod Rasulullah SAW"


Berdasarkan standard sebelumnya, "Metod Rasulullah SAW" dalam menubuhkan negara Islam di Madinah dapat dirumuskan seperti berikut :

Aspek Ittiba'

Pertama, dari aspek duplikasi bentuk (mumatsalah), aktiviti dakwah Rasulullah SAW secara umum berbentuk pemikiran (fikriyyah) dan politik (siyasah). Ertinya, aktiviti Rasulullah SAW adalah aktiviti pemikiran, iaitu aktiviti pembentukan dan pembinaan cara berfikir masyarakat, dari cara berfikir yang rosak menjadi baik. Caranya dengan menyampaikan akidah, pandangan hidup, pemikiran dan pemahaman yang sahih, iaitu Islam, dan menjelaskan kekeliruan segala bentuk akidah, pandangan hidup, pemikiran dan pemahaman yang sesat yang menjadi adat resam jahiliyah. Sedangkan yang dimaksudkan dengan politik (siyasah) sebagai bentuk aktiviti Nabi SAW adalah politik dalam konteks ri'ayat al-masalih (menguruskan kemaslahatan) umat. Aktiviti ri'ayat al-masalih yang menjadi identiti politik Nabi SAW juga sangat jauh dari bentuk fizikal (madiyyah).


Gabungan antara bentuk fikriyyah-siyasah ini nampak dalam proses pendidikan Baginda, yang tidak terhad mengajarkan pemikiran tertentu, tetapi juga mendorong sahabat-sahabatnya untuk mengamalkan dan menyampaikannya. Sebelum berjaya menubuhkan negara Islam, Baginda SAW tidak pernah menggunakan bentuk aktiviti fikriyyah-rnadiyyah (pemikiran dan tindakan fizik), atau siyasah-madiyyah (politik dan tindakan fizik). Bukti ini dapat ditemukan ketika Baginda dipukul dari belakang dan dilempar dengan pasir oleh `Uqbah bin Mu'aid, Baginda tidak melakukan apa-apa tindakan fizik. Ketika keluarga Amar diseksa sehingga ibunya meninggal, Baginda hanya memberikan motivasi spiritual : "Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya yang dijanjikan untukmu adalah syurga." Ketika Abdullah bin Mas'ud menyampaikan surah ar-Rahman, kemudian wajahnya dipukul oleh orang Quraisy, Baginda juga tidak melakukan apa-apa tindakan fizik (14).


Bentuk aktiviti fikriyyah-siyasah tersebut dapat dihuraikan seperti berikut :

(1) Pendidikan intensif, seperti yang dilakukan oleh Hubab bin al-Art ketika ditugaskan oleh Nabi SAW untuk mengajarkan al-Qur'an kepada Said bin Zaid dan isterinya, Fatimah binti al-Khattab (adik Umar) di rumah mereka. Pendidikan ini, seperti dalam riwayat ini, dilakukan secara sirri (rahsia) (lihat 'Ibid, hlm. 304-307)

(2) Pendidikan secara massa, seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW di rumah al-Arqam bin al-Arqam, yang menjadi tempat para sahabat dan orang-orang yang baru masuk Islam untuk berkumpul secara sirri untuk menerima pendidikan dari Nabi SAW.

(3) Pembentukan tubuh parti, seperti yang dilakukan oleh Rasul selama tiga tahun kemudian nampak bentuknya setelah Hamzah dan Umar masuk Islam, iaitu ketika tubuh parti ini diisytiharkan secara terbuka dengan cara tawaf keliling Ka'bah. Tawaf Rasul SAW bersama para sahabat Baginda menjadi qara'in al-ahwal (petunjuk perbuatan) untuk menerangkan khitab (seruan) dakwah secara terbuka dalam surah al-Hijr (15) : 94.

(4) Melakukan interaksi dan hubungan dengan masyarakat, dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu tertutup dan terbuka. Hubungan secara tertutup dilakukan dengan orang-orang dekat, seperti ketika Nabi melakukan interaksi dakwah dengan isterinya, Khadijah, dan anak saudara bapanya, Ali, dan temannya, iaitu Abu Bakar, kemudian Abu Bakar dengan teman-temannya. Hubungan secara terbuka dilakukan setelah parti diisytiharkan, seperti tindakan para sahabat yang berusaha memasuki political medium (sarana politik) untuk mengubah arah pandangan umum yang didominasi oleh pemikiran jahiliyah ke arah Islam. Ini nampak dalam tindakan Abdullah bin Mas'ud yang membacakan surah ar-Rahman secara terbuka kepada orang Quraisy.

(5) Menghancurkan pemikiran yang sesat atau rosak dan membina pemikiran yang sahih. Ini biasanya berkenaan dengan kerosakan yang tidak dirasai secara langsung oleh masyarakat, kerana berkenaan dengan kemaslahatan atau politik jangka panjang kaum jahiliyah.

(6) Melakukan perjuangan politik yang dilakukan oleh Rasul dengan menerangkan kerosakan asas dan amalan hukum jahiliyah yang berkembang di masyarakat, termasuk kerugian-kerugian masyarakat ketika menerapkan hukum berkenaan. Seperti yang diceritakan dalam surah al-Mutaffifin, ketika hukum ini telah dijadikan amalan dan dirasai langsung oleh masyarakat.

(7) Mencari sokongan politik sama ada untuk melindungi dakwah mahupun mendapatkan kuasa (pemerintahan). Ini seperti yang dilakukan oleh Rasul SAW ketika mencari sokongan politik kepada raja an-Najasyi di Habsyah dengan mengirim para sahabat ke sana untuk melindungi keimanan mereka dari serangan orang kafir. Ini bentuk perlindungan yang diberikan oleh orang kafir. Tetapi, dalam konteks sokongan untuk mendapatkan kuasa, Rasulullah SAW hanya menerima dari orang Ansar setelah masuk Islam, dan menolak syarat-syarat yang tidak Islami yang diberikan oleh Bani Amir bin Sa'asa'ah.

(8) Menyiapkan tapak binaan secara massa yang mempunyai keyakinan kepada ideologi yang akan diterapkan. Ini seperti yang dilakukan Rasul SAW dengan mengirim Mus'ab bin Umair ke Madinah untuk mengajarkan Islam dan menerapkan orang Madinah sebagai tapak binaan negara Islam.

(9) Menerapkan Islam secara menyeluruh dan sekaligus, seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW setelah menerima Bai'at Aqabah kedua dari kaum Ansar.

Kedua, dari aspek duplikasi sifat (`ala wajhih), iaitu sifat wajib, mandub, mubah dan sebagainya. Berdasarkan petunjuk-petunjuk yang ada dapat disimpulkan, bahawa sifat aktiviti Rasulullah SAW yang berbentuk gabungan antara fikriyyah-siyasah tersebut adalah wajib. Kerana itu, sifat ini mesti diduplikasikan sebagaimana apa adanya, atau dengan lain perkataan wajib diikuti seperti yang sedia ada.

Ketiga, dari aspek duplikasi masa (min ajlih), iaitu bila bentuk dan sifat berkenaan dilaksanakan? Dari hasil analisis perjalanan dakwah Nabi SAW dapat disimpulkan, bahawa bentuk fikriyyah-siyasah tersebut dilaksanakan sebelum negara Islam berdiri. Setelah negara berdiri, bentuk aktiviti Rasulullah adalah fikriyyah-madiyyah (pemikiran dan tindakan fizik), iaitu tidak terhad menyampaikan pemikiran dan hukum Islam, tetapi juga berupa tindakan fizik. Atau berbentuk siyasah-madiyyah (politik dan tindakan fizik), iaitu tidak terhad mengurus kemaslahatan dengan pemikiran, melainkan langsung berupa tindakan fizik. Bertolak dari aspek duplikasi masa (min ajlih) inilah, urutan masa seluruh aktiviti di atas dapat diistinbatkan (digali).

Dari sini kemudian seluruh aktiviti dakwah Baginda SAW dirumuskan dalam bentuk fasa demi fasa, iaitu seperti berikut :

Fasa Pertama : Fasa takwin (pembentukan jamaah dan parti politik). Fasa ini dibezakan dengan fasa kedua, berdasarkan aspek duplikasi masa (min ajlih), iaitu sebelum kekuatan Islam dalam bentuk parti politik terbentuk, khususnya sebelum mendapat sokongan orang-orang kuat, seperti Hamzah dan Umar. Duplikasi bentuk dan sifat aktiviti pada fasa ini dapat dihuraikan, antara lain :

(a) Pembinaan intensif secara sirri (rahsia), yang berbentuk halagah di rumah-rumah.
(b) Pembinaan secara massa yang dilakukan secara sirri (rahsia).
(c) Melakukan interaksi dan hubungan dengan masyarakat, secara tertutup, yang dilakukan kepada orang-orang dekat dan kenalan yang dapat dipercayai.
(d) Menghancurkan pemikiran yang sesat atau rosak dan membina pemikiran yang sahih, yang biasanya dilakukan melalui pembinaan intensif, pembinaan secara massa dan interaksi tertutup dengan kenalan rapat.
(e) Pembentukan tubuh parti secara tertutup, sehingga idak diketahui siapa-siapa yang menjadi ahli, di mana tempat ereka berkumpul dan sebagainya.

Ini dari segi bentuk, sedangkan dari sifat aktiviti, semuanya ini hukumnya wajib. Ini kerana adanya petunjuk bahawa aktiviti ini dilakukan secara berterusan oleh Rasul, dan tidak ada aktiviti yang dilakukan secara berterusan kecuali hukumnya wajib. Rasul juga tidak pernah mengubah bentuk aktivitinya, sampai memasuki Fasa Kedua.

Fasa Kedua : Fasa tafa'ul (interaksi terbuka). Fasa ini juga dibezakan dengan fasa pertama, berdasarkan aspek duplikasi masa (min ajlih), iaitu setelah kekuatan Islam dalam bentuk parti politik terbentuk, ketika dakwah telah mendapat sokongan orang-orang kuat, seperti Hamzah dan Umar. Duplikasi bentuk dan sifat aktiviti pada fasa ini dapat dihuraikan, antara lain:

(a) Pembinaan intensif secara sirri (rahsia), yang berbentuk halagah di rumah-rumah.
(b) Pembinaan secara massa yang dilakukan secara terbuka, seperti yang dilakukan oleh Rasul di bukit Safa, Abdullah bin Mas'ud, Abu ad-Dhar al-Ghifari dan sebagainya.
(c) Melakukan interaksi dan hubungan dengan masyarakat, secara terbuka untuk mengubah arah sarana politik. Ini seperti yang dilakukan oleh Rasul ketika bersama Khadijah dan Ali di Mina ketika menyampaikan kepada orang ramai, bahawa pada suatu saat kerajaan Rom dan Parsi akan ditaklukan oleh Islam.
(d) Pengisytiharan tubuh parti secara terbuka untuk menunjukkan kewujudan dakwah dan para pemikulnya.
(e) Menghancurkan pemikiran yang sesat atau rosak dan membina pemikiran yang sahih secara terbuka. Ini seperti riwayat Ahmad, bahawa Rasul bersama Khadijah pernah mendapat ancaman Abu Jahal, setelah keduanya secara terang-terang mencela patung-patung berhala yang disembah orang Arab.
(f) Melakukan perjuangan politik secara terbuka.
(g) Mencari sokongan politik, sama ada untuk melindungi dakwah mahupun mendapatkan kuasa (pemerintahan).
(h) Menyiapkan tapak binaan secara massa yang mempunyai keyakinan kepada ideologi yang akan diterapkan.

Ini dari segi duplikasi bentuk, sedangkan dari segi duplikasi sifat, jelas yang disebutkan di atas hukumya wajib. Petunjuk ini dapat ditemukan dalam tindakan Rasul SAW yang konsisten dengan bentuk dan gaya pejuangannya, sekalipun ditentang, disakiti, dizalimi, diintip semua aktivitinya, dan pengikutnya dibunuh, malahan Baginda SAW sendiri berdepan dengan ugutan pembunuhan. Ini kerana bentuk aktiviti di atas jelas menyebabkan kesusahan atau darar, akan tetapi jika aktiviti semacam ini tetap dilakukan, bererti aktiviti wajib.

Dalam kedua kes di atas, iaitu fasa pertama dan kedua, Baginda SAW jelas tidak mengubah bentuk aktivitinya, dari fikriyyah-siyasah kepada fikriyyah-madiyyah atau siyasah-madiyyah, walhal keadaan sangat mendesak, terutama ketika mereka tertindas, seperti yang dikeluhkan oleh Hubab bin al-Art kepada Baginda SAW. Kerana bentuk ini dijalankan secara konsisten oleh Nabi, bererti bentuk ini secara umum bersifat wajib, dan tidak boleh ditinggalkan, sehingga diubah menjadi fikriyyah-madiyyah atau siyasah-madiyyah.

Fasa Ketiga : Fasa tatbiq `amali (penerapan hukum secara praktikal).

Fasa ini juga dibezakan dengan fasa pertama dan kedua, berdasarkan aspek duplikasi masa (min ajlih), iaitu ketika wujud satu wilayah yang merdeka iaitu Madinah, dengan keamanan di tangan kaum muslimin, iaitu Aus dan Khazraj, setelah mereka dipersiapkan oleh Mus'ab bin Umair yang dikirim oleh Rasul ke sana. Duplikasi bentuk dan sifat aktiviti pada fasa ini dapat dihuraikan, antara lain :

(a) Pembinaan intensif dan pembinaan secara massa yang berlangsung secara terbuka di masjid Nabi.
(b) Menghancurkan pemikiran yang sesat atau rosak dan membina pemikiran yang sahih, yang dilakukan melalui pembinaan intensif, pembinaan secara massa dan interaksi dengan masyarakat.
(c) Menerapkan seluruh hukum Islam secara menyeluruh dan sekaligus, kepada seluruh rakyat, sama ada Islam mahupun bukan Islam. Ini nampak dalam piagam yang dibuat antara Nabi SAW dengan orang bukan Islam di Madinah.
(d) Melakukan tindakan fizik, seperti menghukum orang yang berzina dengan rejam dan sebat, memotong tangan pencuri dan sebagainya. Dalam bidang ekonomi, Baginda SAW mengusahakan keperluan asas seluruh rakyat, khususnya di antara kaum muslimin dengan cara mu'akhat (mempersaudarakan Muhajirin-Ansar), dan sebagainya.
(e) Menyebarkan Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad. Ini dari segi duplikasi bentuk, sedangkan dari segi duplikasi sifat, bentuk aktiviti di atas semuanya bersifat wajib, sebagaimana yang diterangkan oleh petunjuk perbuatan (qara'in al-ahwal) dan penjelasan (qara'in al-aqwal) Baginda SAW.

Aspek al-Qiyam bi al-Fi'l

Aspek ini adalah aspek pelaksanaan "perbuatan Baginda SAW" yang diduplikasikan di atas secara apa adanya, yang dilaksanakan oleh umatnya, iaitu bagaimana hukum syarak bagi umat Baginda SAW untuk melaksanakannya ? Apakah wajib, sehingga tidak dapat sedikitpun ditinggalkan ? Ataukah mandub atau mubah, sehingga ketika ditinggalkan tidak berdosa ?

Dari huraian di atas, dapat disimpulkan, bahawa seluruh perbuatan di atas bukan merupakan khawwas ar-Rasul (khusus untuk Rasul SAW), sehingga boleh dilakukan oleh umatnya. Ada sebahagian perbuatan tersebut yang termasuk dalam bayan li khitab sabiq, seperti tawaf Baginda dan para sahabat untuk mengisytiharkan jamaah atau partinya. Dari segi cara, iaitu tawaf, hukumnya mubah, tetapi pengisytiharan tersebut hukumnya wajib, sebagai penjelasan dari surah al-Hijr (15) : 95.

Ini kerana hukum bayan mengikut mubayyan (objek yang dijelaskan). Juga adakalanya bukan berupa penjelasan, tetapi merupakan perintah tulen, sama ada bererti wajib ataupun mubah. Dalam konteks yang terakhir ini tertakluk kepada petunjuk yang ada.

Contoh, pembinaan intensif dan pembinaan secara massa adalah wajib, tetapi teknikalnya (uslub) adalah mubah. Ini kerana petunjuk yang menunjukkan wajib adalah proses pembinaannya, sedangkan teknikalnya berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Begitu juga interaksi dengan masyarakat adalah wajib, sama ada dilakukan dengan teknik kunjungan ke rumah-rumah, ke tempat-tempat kerja, di masjid-masjid dan sebagainya. Menghancurkan pemikiran yang sesat dan rosak serta membina pemikiran yang sahih di tengah masyarakat, dan juga melakukan perjuangan politik adalah wajib, tetapi teknikalnya boleh dilakukan melalui ceramah, tulisan dan sebagainya. Demikian pula, mencari sokongan politik dari kalangan orang-orang kuat, menyiapkan tapak binaan yang menjadi tempat berdirinya negara Islam, hukumnya adalah wajib, sedangkan bentuk teknikalnya boleh bermacam-macam.

Penutup
Semuanya ini menggambarkan, bahawa "Metod Rasulullah SAW" dalam menubuhkan negara Islam adalah jelas, dan wajib diikuti sebagaimana apa adanya, dan Juga tetap releven untuk di mana saja dan bila-bila masa. Dengan huraian di atas, tidak boleh lagi ada orang Islam yang membantah, bahawa "Metod Rasulullah SAW" tidak releven, termasuklah ketidaksesuaian Metod berkenaan dengan zaman dan tempat yang berbeza. Ini kerana, dakwaan seperti ini hanya membuktikan kecacatan akidahnya.


Sebaliknya, dengan berpegang kepada Metod ini, kejayaan menubuhkan negara Islam untuk membangkitkan umat ini parti akan terwujud atas izin Allah. Ini kerana aktiviti tersebut bukan semata untuk meraih kejayaan di dunia melalui datangnya pertolongan Allah, tetapi juga pahala di akhirat. Bentuk penyelewengan sekecil apapun hanya akan menghalang datangnya pertolongan Allah, sebaliknya hanya menyebabkan azab di akhirat.


------------------------------------------------------------------------------------------------
(1) Lihat : Al-Asy'ari, al-Luma', hlm. 133-136, at-Tahawi, al-`Aqidah at-Tahawiyyah hlm. 33-34, al-Baqillani, at-Tamhid, hlm. 164-293, al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I'tiqad, hlm 134-141 dan sebagainya.

(2) Rujuk Hafidz Abdurrahman, Islam Politik dan Spiritual, hlm. 205
(3) Bukhari, Sahih, hadis no. 25, Muslim, Sahih, no. 22. Semuanya dari Ibn Umar.
(4) Bukhari dan Muslim, dalam Allisykatal-Alasabih, hadis no. 3666.
(5) Ibn Hisyam, Sirah Nabawiyah, Juz 1, hlm. 405.
(6) Muslim, Sahih, Syahr Sahih Muslim li an-Nawawi, Juz XII, hlm. 229.
(7) Istilah manat ini ditakrifkan oleh Mu'jam Lughat al-Fuqaha' dengan `ilIat. Akan tetapi, as-Syatibi menggunakannya untuk menerangkan sifat keadaan objek yang dihukumi oleh hukum syarak. Oleh kerana itu, beliau menyebutnya dengan sebutan nazariyyah lawan dari naqliyyah. Maksudnya, untuk memahami manat mesti melalui penelitian dan analisis terhadap sifat keadaan objek yang dihukumi oleh hukum syarak. Contohnya, ketika sescorang hendak melaksanakan hukum wuduk, ia mesti memastikan berdasarkan hasil penelitiannya, bahawa air yang digunakan merupakan air yang suci dan mensucikan. Penelitian sifat keadaan objek inilah yang beliau sebut manat. Bertolak dari sini, dalam konteks ini digunakan istilah manat. Lihat, as-Syatibi, al-Muwafaqat, Juz III, hlm. 31-32, Dr. Rawwas Qal'ah Ji, Mu'jam Lughat al-Fuqaha', hlm. 431.
(8) Dr. Utsman Khalil Utsman, ad-Dimuqratiyyah al-Islamiyyah, hlm. 30.
(9) Ibn Hisyam, Sirah, Juz I, hlm. 401
(10) Kaedah berkenaan diambil dari huraian Ibn al-Najim yang membahas kaedah darar (bahaya). Kaedah ini merupakan taqyid ketentuan untuk meghilangkan bahaya, iaitu: Pertama, jika ada dua bahaya, yang satu lebih berat daripada yang lain, maka yang lebih berat, mesti dihilangkan dengan yang lebih ringan. Kedua, jika ada dua kerosakan, wajib diperhatikan yang lebih besar bahayanya dengan mengambil yang lebih ringan di antara keduanya. Lihat: Ibn al-Najim, al-Asybah wa an-Nazair, hlm 88-90.
(11) `Ata' bin Khalil, Tasyri' al-Wusul Ila al-Usul, hlm. 21-22.
(12) Dr. Muhammad Khair Haikal, al jihad wa al-Qital, Juz I, hlm. 735
(13) AI-Bazzar dan at-Tabrani dari Abu Hurairah. Lihat: as-Suyuti, al-Jami' as-Saghir, hadis no. 7224, Juz II, hlm. 401
(14) Ibn Hisyam, op. cit., Juz I, hlm. 273, 279.

Wallahu a'lam

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR