ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PSEDUO SCIENCE DALAM KAJIAN SOLAT



PSEDUO SCIENCE DALAM KAJIAN SOLAT


Baru-baru ini suatu kajian telah dicadangkan untuk mengkaji kesan solat ke atas tubuh badan dan kesihatan individu muslim yang mengerjakannya. Ianya akan dilakukan oleh Jabatan Bioperubatan Universiti Malaya. Kajian tersebut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Daripada kajian awal, dikatakan bahawa pergerakan yang dilakukan di dalam solat itu dapat memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang. Bahkan, apabila kajian itu siap, ia dikatakan mampu untuk menjadi kaedah berdakwah yang berkesan dalam mendidik umat Islam mengenai perlaksanaan tiang kedua rukun Islam ini. Datuk Seri Abdullah juga berharap agar kajian itu akan dapat mendedahkan kesan biologi dan perubatan di samping kesan-kesan kerohanian daripadanya [UM 13/12/06].




Berita seumpama ini bukanlah suatu yang baru atau suatu berita yang menggemparkan. Kita sering mendengar tentang kajian saintifik yang dilakukan ke atas orang yang berpuasa dan segala kebaikan yang diperolehi dari amalan tersebut.
Para ulama dan cendekiawan kita juga tak pernah habis membincangkan tentang penemuan saintifik sejenis kuman atau virus yang terdapat pada babi. Begitulah perbincangan demi perbincangan dilakukan ke atas beberapa amalan ibadat tertentu untuk digali segala kebaikan saintifik darinya untuk dibuat kesimpulan seperti, ”Lihat! Inilah kebaikan-kebaikan yang ada di dalam ibadat ini dan itu, sebab itulah Allah memerintahkannya.” atau kesimpulan lain seperti, ”Inilah hikmah kenapa Allah mewajibkan atau mengharamkan perkara ini”. Sautun Nahdhah kali ini akan mengajak pembaca untuk menilai kembali akan kebenaran pernyataan-pernyataan di atas agar kita tidak terjerumus melakukan perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.




BARAT DAN KAEDAH SAINTIFIK




Sejak kekalahan di dalam Perang Salib, orang-orang Barat mula melancarkan serangan-serangan pemikiran terhadap Islam. Serangan ini dilancarkan dengan agak kencang setelah Eropah melalui zaman pencerahan (Rennaisance). Barat mula menyerang aqidah umat Islam dan juga hukum syara’ dengan membangkitkan segala isu yang boleh menimbulkan keraguan pada kaum Muslimin. Mereka menyerang Islam dengan mengatakan Islam itu berkembang dengan mata pedang. Mereka mengatakan jihad adalah satu perbuatan yang kejam, ganas, brutal dan sebagainya. Barat menyerang poligami dengan mengatakan tindakan ini adalah satu bentuk penghinaan ke atas wanita dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Mereka juga menyerang kaum Muslimin yang kuat berpegang pada Islam dengan menyatakan bahawa golongan ini adalah fundamentalis dan ekstrem. Siapa sahaja yang berpegang kepada agama dianggap fanatik dan golongan yang merbahaya. Barat juga menyerang Sistem Khilafah dengan mengatakan bahawa ini adalah suatu kezaliman kerana kuasa hanya dipegang oleh seorang pemimpin. Maka Khalifah digambarkan sebagai seburuk-buruk pemimpin yang diktator, gila kuasa, kaki perempuan dan bermacam-macam lagi.




Serangan-serangan sebegini menyebabkan umat Islam merasa mereka perlu ’membela diri’. Perasaan inilah yang telah menyebabkan umat Islam terperangkap di dalam jerat Barat. Oleh itu, mereka mula menjawab segala tuduhan, seolah-olah mereka berada di pihak yang salah dengan agama yang salah. Umat Islam lalu menyatakan bahawa mereka bukanlah golongan yang fanatik kepada agama, bukan golongan yang suka berperang dan peperangan bukanlah suatu tuntutan agama. Mereka menjawab bahawa “Jihad itu adalah sebagai tindakan mempertahankan diri, poligami itu hanya dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat yang ketat, otoriti pemerintahan Islam bukanlah dari Khalifah, tetapi Islam mengambil pendapat majoriti (Demokrasi) di dalam sistem pemerintahan.” Pelbagai lagi jawapan yang diberikan yang timbul dari perasaan bersalah. Inilah sebahagian daripada bentuk jawapan-jawapan yang dikatakan bersifat apologetik (membela diri kerana bersalah).




Sebenarnya inilah method yang digunakan oleh cendekiawan Barat semasa mereka menyerang dogma-dogma gereja di dalam perjuangan mereka untuk memisahkan agama/gereja dari kehidupan. Apologetic merujuk kepada sikap dan cara para paderi Kristian berhujah ketika berhadapan dengan golongan intelektual mereka yang terdiri daripada ahli-ahli falsafah rasionalis menjelang zaman kebangkitan Eropah (Zaman Renaissance). Mereka betul-betul menyerang gereja dengan meletakkan segala kesalahan, kelemahan dan kemunduran sebagai berpunca dari gereja. Gereja waktu itu amat sceptical (mempersoalkan/curiga) terhadap sains, ditambah dengan sikap paderi yang tidak faham dan memusuhi sains, lalu masyarakat mula mempertikaikan ajaran gereja. Dengan kemunculan sekumpulan cerdik pandai dan bukti-bukti saintifik yang mereka temui pada waktu itu serta serangan pemikiran yang berterusan ke atas pihak gereja, lalu mereka berjaya meruntuhkan institusi gereja sebagai sebuah pemerintahan.




APA YANG TAK KENA?




Jika dulu umat Islam tenggelam di dalam perbincangan falsafah, kerana telah terpengaruh dengan kaedah berfikir Yunani, sekarang, kehidupan banyak dipengaruhi oleh kemajuan sains dan teknologi. Maka kaedah saintifik telah dijadikan asas berfikir dan mula menjadi popular di dalam membahaskan banyak perkara. Cukup menyedihkan, cakupan perbahasan telah merambah ke dalam hukum syara’. Persoalannya di sini adalah, adakah Islam memerintahkan hukum syara’ dikaji atau dibenarkan secara saintifik untuk membongkar persoalan di sebalik perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala, walaupun sekadar mencari kepentingannya kepada manusia sejagat?




Tidak berapa lama dulu seorang Professor di dalam bidang Fizik di Amerika Syarikat menyatakan bahawa, berdasarkan Teori Fizik, terdapat pertukaran di antara cas-cas yang wujud di antara individu jemaah di dalam saf solat. Pertukaran ini berpunca daripada ketidakseimbangan jumlah cas di dalam tubuh seseorang setelah menjalankan aktiviti seharian. Ia dikatakan menyebabkan seseorang itu merasa letih dan lesu. Dengan melakukan sembahyang berjemaah sambil merapatkan bahu, cas-cas pada para jemaah akan dapat bergerak dan saling bertukar, seterusnya dapat mengimbangi semula jumlah cas di kalangan mereka yang berada di dalam saf. Keseimbangan cas ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi ‘segar’ semula. Sebagai seorang Islam, secara emosinya kita akan cenderung untuk membenarkan fakta ini dan merasa ‘bangga’ dengan perkara-perkara sebegini. Kalau boleh ingin disampaikan kepada semua orang akan penemuan baru ini. Tetapi, tidak inginkah kita bertanya kepada diri kita dengan lebih lanjut tentang apakah alat yang digunakan untuk mengukur cas-cas tersebut, bagaimanakah eksperimen itu dilakukan? Kenapa pula ada di kalangan umat Islam yang sentiasa cergas, walaupun jarang atau tidak pernah berjemaah, malah orang kafir yang tidak pernah solat berjemaah pun ramai yang ‘segar’? Kenapa pula ada yang sering berjemaah tetapi selalu sakit atau tidak ‘segar’? Tidakkah kita terfikir bahawa orang yang berjemaah boleh menjadi semakin lemah, bukannya semakin segar kerana boleh dikatakan majoriti jemaah bersembahyang di dalam keadaan ‘letih’ kerana kepenatan melakukan aktiviti harian, jadi yang saling bertukar antara para jemaah adalah adalah ‘cas-cas letih’ sahaja. Tambah mendukacitakan, pak imam tentunya akan terus lesu dan lesu kerana beliau tidak berlaga bahu dengan sesiapa. Tidak ada cas yang dapat diseimbangkan di dalam tubuhnya.




Dahulu di jumpai cacing pita di dalam babi, kemudian dijumpai pula virus JE. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh. Di dalam perkembangan lain, dengan kepesatan kemajuan teknologi mikroskop dan ilmu perubatan moden, saintis telah dapat membuktikan bahawa daging babi mengandungi kuman dan virus yang berbahaya kepada manusia. Ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Dr Yoshihiro Kawaoka, dari Universiti
Wisconsin. Di dalam penemuan yang diterbitkan di dalam salah satu jurnal perubatan pada tahun 1997, ia membuktikan bahawa pada kerongkong haiwan tersebut, ada sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman dan virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Saintis-saintis menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya'. [The Detroit News, Scientists Discover the Infection Route Between Bird Virus and Pigs, Robert Cooke, Okt 20,1997]. Lalu, sebahagian daripada cendekiawan Islam membuat kesimpulan bahawa itulah jawapan kepada persoalan mengapa Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkan babi.




Islam tidak menolak sains. Benar, kita pun tidak boleh menolak sains, tetapi persoalan di sini ialah, apakah kita perlu dan kita diperintahkan mencari jawapan saintifik untuk segala hal, atau ha-hal tertentu sahaja? Siapakah yang berhak menentukannya? Bagaimana pula hukum-hukum Islam yang lain yang banyak terdapat di dalam Al-Quran atau Hadis? Bagaimana pula penjelasan saintifik tentang hukum muamalat seperti jual-beli, sewa, hutang dan lain-lain? Bagaimana pula dengan hukum uqubat seperti bunuh, potong tangan, sebat dan lain-lain? Kenapakah tangan kanan yang dipotong, tidak kiri? Kenapa pula pergelangan tangan, tidak keseluruhan lengan? Apakah ada penjelasan saintifik kenapa zakat unta dan kambing/biri-biri diwajibkan, tetapi tidak ayam atau itik? Jika wudhu’ dikatakan untuk mensucikan diri, kenapa pula Allah mewajibkan tayammum bila tidak ada air? Apakah perlu dicari penjelasan saintifik mengenainya? Jika babi dikatakan haram kerana penemuan saintifik membuktikan adanya virus yang merbahaya, adakah babi akan menjadi halal jika ada kaedah yang dapat menghapuskan virus-virus tersebut? Kenapa pula virus yang ada pada babi tidak membunuh atau menyebabkan orang-orang yang memakannya jatuh sakit? Apakah segala hukum Allah ini perlu dibongkar secara saintifik? Tidakkah kita terfikir bahawa dahulu, para imam mazhab dan ulama muktabar tidak pernah membincangkan tentang aspek saintifik dalam ibadat ini, namun Islam tetap maju dan jauh mendahului bangsa-bangsa lain dalam apa jua bidang. Jadi, persoalannya sekarang, perlukah kita mencari jawapan saintifik untuk masalah solat untuk kita menjadi maju?




Kedudukan Illat Dan
Al-Hasan Wa Al-Qabih




Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa setiap hukum Allah itu pasti ada maslahat (kebaikan)nya. Tetapi di dalam masa yang sama kita tidak boleh menyatakan bahawa Allah mewajibkan sesuatu hukum itu berdasarkan maslahat. Kita juga boleh memperkatakan tentang ‘kebaikan’ dari setiap hukum (mengikut ukuran manusia), tetapi kita tidak boleh menyatakan bahawa “hukum ini diwajibkan kerana ini” atau kita membuat kesimpulan sendiri seperti “inilah sebabnya Allah mewajibkan hukum ini” atau “maka terjawablah persoalan kenapa Allah mengharamkan ini” atau ucapan-ucapan seumpamanya. Persoalan-persoalan sebegini di dalam ilmu usul fiqh adalah termasuk di bawah perbincangan tentang illat. Illat adalah suatu yang kerana (keberadaan)nya, adanya hukum. Dengan kata lain, illat adalah perkara yang memunculkan hukum, yakni tasyri’ (pensyari’atan suatu hukum). Jadi hukum itu disyari’atkan kerana adanya illat. Illat adalah dalil, tanda dan yang memberitahu (adanya) hukum. Illatlah yang membangkitkan hukum. Ia haruslah dibezakan dengan sabab dan hikmah, yang memiliki pengertiannya masing-masing. [Syeikh Atha’ Bin Khalil, Taisir al-wusul ila al-usul]





Hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan ibadah, akhlaq, makanan dan pakaian tidak boleh dikaitkan dengan illat secara mutlak. Sebab hukum-hukum sebegini tidak mengandung illat. Hukum seperti ini diambil sesuai dengan apa yang terdapat dalam nash sahaja, tanpa dikaitkan sama sekali dengan illat, seperti halnya solat, puasa, haji, zakat, tatacara mengerjakan solat, bilangan raka'at solat, manasik haji, nisab-nisab zakat dan yang sejenisnya, diambil secara tauqifi (sebagaimana adanya), dan diterima dengan penuh pasrah tanpa melihat segi illatnya. Bahkan, tidak boleh mencari-cari illatnya. Begitu pula pengharaman memakan bangkai, daging babi, dan yang sejenisnya, sekali-kali tidak dicari-cari illatnya. Bahkan termasuk suatu kesalahan yang cukup berbahaya, apabila mencari illat bagi hukum-hukum tadi. Sebab, apabila ada usaha untuk mencari illat bagi suatu hukum terhadap perkara-perkara tersebut akan membawa kepada konsekuensi bahawa apabila hilang illatnya, hukumnyapun akan hilang, sebab kaedah syara’ menyatakan’




("illat itu senantiasa mengikuti ma'lulnya, ada atau tidaknya.")




Seandainya illat wudlu itu kebersihan, illat solat adalah senaman atau kesihatan, illat puasa itu kesihatan dan seterusnya, maka tentu hal ini akan mengakibatkan bahawa disaat tidak didapati illatnya maka tidak akan didapati hukumnya. Kerana itu, mencari-cari illat dalam masalah ini akan membahayakan eksistensi hukum dan pelaksanaannya. Maka hukum-hukum ibadat wajib diterima sebagaimana adanya tanpa mencari-cari illatnya. [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Mafahim Hizbut Tahrir].




Sikap untuk menjadikan sains sebagai tolok ukur untuk mengatakan bahawa perbuatan solat baik dari segi aspek sains memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang adalah bertolak dari pemahaman yang salah tentang mensifati sesuatu ibadah. Sebenarnya tindakan untuk merasionalkan ajaran Islam ini telah berlaku sejak lama dulu. Perbincangan tentang perkara ini telah menjadi satu maudhuk (subjek) yang tersendiri semasa berlaku pertembungan pemikiran Islam dan pemikiran falsafah. Contohnya di dalam perbincangan al-hassan wa al-qabih (terpuji dan tercela), golongan Muktazilah
cuba merasionalkan setiap hukum-hakam Islam yang ada pada masa itu dengan akal, dengan menggunakan ilmu logik (mantik) iaitu ilmu yang dominan pada masa itu. Seiring dengan peredaran zaman, Kaedah Empirik kemudiannya telah menjadi satu cabang ilmu sains yang sangat dominan di persada intelektual. Hasilnya, umat Islam sekali lagi cuba merasionalkan hukum-hakam Islam, dengan tolok ukur baru, yakni ilmu sains empirik. Tujuannya tetap sama iaitu untuk merasionalkan hukum ibadah, cuma tekniknya yang berbeza.




Jika kita kaji secara teliti, ada 4 sumber utama yang dijadikan hujah oleh manusia untuk menentukan samada perbuatan itu terpuji atau tercela,

(i) Aqal semata-mata,

(ii) Syara’ yang dijustifikasi dengan aqal

(iii) Aqal yang dijustifikasi dengan syara’

(iv) Syara’ semata-mata.




Golongan Islam Liberal yang menganut pemikiran bebas sering menjadikan aqal sebagai satu sandaran untuk membebaskan diri dari nas-nas syara’, seperti menyerang idea pembahagian harta warisan mengikut syara’, mengharamkan poligami, menafikan hukum hudud dan sebagainya. Mereka menggunakan aqal mereka untuk memansukhkan hukum syara’. Mereka mendakwa bahawa hukum-hakam syara’ hanya sesuai dengan zaman tersebut sahaja. Mereka menjadikan aqal semata-mata untuk menilai buruk dan baiknya sesuatu perbuatan tersebut.




Akibat perkembangan sains dan teknologi, umat Islam melihat bahawa mereka perlu menyesuaikan hukum-hakam Islam dengan sains. Mereka merasa perlu untuk membincangkan kenapa daging babi diharamkan dari segi kesihatan dan saintifik. Mereka juga ‘ghairah’ dengan penemuan baru bahawa sujud dalam solat akan menyebabkan darah mengalir dengan baik, dapat membekalkan oksigen ke bahagian saraf dalam otak yang tidak mendapat oksigen. Walhal mereka sendiri gagal menunjukkan kajian saintifik yang sah, gagal menerangkan bahagian otak yang mana, tetapi yang ada hanyalah sebuah hipotesis yang gagal dibuktikan oleh kaedah saintifik itu sendiri. Golongan ini sebenarnya adalah golongan yang meletakkan aqal di atas hukum Allah, menjadikan hukum Allah itu perlu disokong oleh aqal.




Sedangkan aliran pemikiran yang ketiga adalah golongan yang menjadikan aqal sebagai penentu baik dan buruk, kemudian mereka menjadikan nas syara’ sebagai hujah dari aqal mereka ini. Contoh yang dapat kita lihat adalah golongan yang melihat bahawa poligami adalah tidak baik dari segi akal mereka, lantas mereka mencari-cari dalil untuk menyesuaikan dengan kehendak aqal dan hawa mereka. Sebagaimana Sisters In Islam (SIS) pernah menggunakan Hadis Riwayat Ibn Majah yang merupakan teguran Rasulullah saw terhadap Ali karamallahuwajhu, semasa ingin memadukan Fatimah (ra), sebagai hujah Rasulullah tidak menggalakkan poligami. Pendapat ini lahir semata-mata kerana mereka menilai poligami berasaskan pemikiran Barat. Mereka kemudian mencari-cari nas untuk membenarkan pendapat mereka walhal penafsiran mereka sebenarnya jauh menyimpang dari kebenaran. Inilah golongan yang menjadikan hukum syara’ sebagai pendokong hujah aqal mereka.




Untuk meluruskan pandangan seperti ini, perlu dijelaskan bahawa suatu perbuatan itu tidak boleh dipandang baik dan buruk menurut apa yang kita benci ataupun suka, mendatangkan manfaat kepada kita ataupun mudharat. Tolok ukur baik atau buruk hendaklah dikembalikan kepada syara’ sahaja, iaitu kepada Pembuat Hukum itu semata-mata, yakni Allah swt. Hanya dengan ini, barulah kita akan kembali kepada kebenaran. Dalam aspek hukum syara’, aqal mestilah digunakan untuk memahami perintah Allah, bukannya alat untuk menghakimi perintah Allah.




KHATIMAH




Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengajak kalian merenungi kata-kata Maryam Jameelah (seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) di dalam
surat yang dikirim beliau kepada ibubapanya, “Ayah, anda telah mengulangi beberapa kali bahawa anda tidak boleh menerima mana-mana agama tradisi kerana anda yakin bahawa teologi bertentangan dengan sains moden. Sains dan teknologi sebenarnya telah memberi banyak maklumat kepada kita tentang alam nyata, menyediakan kesenangan dan keselesaan yang tidak pernah ditemui sebelum ini, meningkatkan kecekapan dan menemukan ubat-ubatan bagi banyak jenis penyakit yang biasanya boleh membawa maut. Namun, sains tidak pernah dan tidak akan pernah dapat mengajar kita tentang makna (hakikat) kehidupan dan kematian. Sains memberitahu kita ‘bagaimana’ tetapi tidak pernah dapat menjawab persoalan ‘kenapa’. Pernahkah sains mampu memberitahu kita apa yang betul dan apa yang salah? Apakah yang dikatakan baik (khair) dan apakah yang dikatakan buruk (syar)? Apakah yang terpuji (hasan) dan apakah yang tercela (qabih)? Kepada siapakah kita bertanggungjawab dengan apa yang kita buat? Hanya agamalah yang dapat mengajar semua ini.” [http://www.geocities.com/embracing_islam/mjletter.htm]




Itulah kefahaman bekas pengikut Zionis yang telah memeluk Islam, tentang sains dan agama. Beliau telah membuat perbezaan yang jelas dengan bahasa yang padat dan tepat untuk menggambarkan bahawa sains langsung tidak bernilai dipandang dari aspek keperluan manusia kepada agama. Contohnya, sains boleh menerangkan ‘bagaimana’ manusia dijadikan, tetapi sains tidak akan dapat menjawab persoalan ‘kenapa’ manusia dijadikan. Sains juga dapat menerangkan ‘bagaimana’ solat boleh menyihatkan badan tetapi sains tidak akan dapat menjawab ‘kenapa’ manusia solat. Memandangkan Allahlah yang menjadikan manusia dan Allahlah yang mewajibkan solat, maka hanya Allah sahajalah yang dapat menjawab persoalan ‘kenapa’ Dia berbuat demikian.




Wahai kaum Muslimin! Islam adalah agama yang benar dan setiap hukumnya adalah hukum yang benar. Semuanya berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita kaum Muslimin bukanlah pihak yang bersalah dan tidak perlu membela diri dengan pelbagai tuduhan. Kita tidak perlu terjebak dengan sikap apologetic seperti yang dialami oleh pendeta-pendeta gereja suatu ketika dahulu di mana mereka terpaksa mencari-cari bukti dan hujah tentang kebenaran gereja untuk menaikkan semula imej gereja yang sememangnya rosak.




Wahai kaum Muslimin! Apakah kita ingin disibukkan dengan kajian-kajian saintifik yang tidak ada perintah Allah ke atasnya? Apakah kita akan berbangga dengan pseudo sains ini, yang hanyalah merupakan sebuah hipotesis saintifik? Kenapakah kita tidak melakukan kajian tentang segala kekejaman dan kezaliman yang berlaku hasil tidak diterapkan hukum Allah di dalam kehidupan? Kenapakah kita tidak menyibukkan diri dengan usaha-usaha untuk menegakkan hukum Allah, tetapi sanggup menyibukkan diri dengan melakukan kajian yang tidak dituntut oleh syara’. Sesungguhnya penemuan-penemuan saintifik berkenaan kesan solat ke atas kesihatan tubuh badan tidak akan menjadikan manusia itu lebih mulia di sisi Allah, kerana yang dituntut oleh Islam adalah mendirikan solat itu sendiri, bukan mengkaji kesannya. Juga, yang dituntut oleh Islam adalah terlaksananya sistem uqubat bagi menghukum orang-orang yang meninggalkan solat. Inilah kewajipan bagi seluruh kaum Muslimin, yakni mendirikan sebuah Daulah Khilafah Islamiyyah yang bukan sahaja akan menghukum orang-orang yang meninggalkan solat, malah yang akan menegakkan keseluruhan hukum-hukum agama ini. Apa guna kita berusaha bersungguh-sungguh mengkaji suatu perkara yang Allah tidak perintahkan, sedangkan dalam masa yang sama kita meninggalkan banyak kewajipan yang lain.



Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR