ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


ISLAM -VS- ISLAM MODERAT

ISLAM -VS- ISLAM MODERAT

Slogan kembali kepada cara hidup Islam sering berkumandang di dunia Islam. Umat Islam yang dahulunya telah tertipu dengan slogan-slogan Barat atas nama kemajuan telah mula beralih arah. Mereka mula menyedari bahawa untuk mencapai kemajuan duniawi dan keselamatan ukhrawi mereka perlu kembali ke pangkal jalan. Kalau dulu mereka tersesat jauh dibawa badai Kapitalisme dan Sosialisme, sekarang mereka telah mula mencari jalan pulang. Fenomena ini kelihatan bermula tahun 1980an di mana kemenangan parti yang dilabel Islamik di sesebuah negara yang mendukung negara sekular adalah antara realiti yang berbicara tentang perkara ini. Sikap pemimpin-pemimpin negara sekular yang menyokong dasar luar Amerika untuk menyerang negeri kaum Muslimin, mempopularkan lagi parti Islam yang dilihat sebagai alternatif. Kalau dulu parti Islam sering dikaitkan dengan kemunduran, kejumudan dan fanatik, namun setelah era kebangkitan Islam, parti-parti ini mula dilihat sebagai penyelamat. Jadi tidak hairanlah jika parti sekular sekalipun mula bercakap tentang Islam dan berusaha untuk menempelkan Islam dalam perjuangan mereka. Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Abdul Razak, “Soal perjuangan untuk agama bukan saja tidak dapat dipisahkan dengan UMNO, tapi hari ini UMNO benar-benar menyerlah dalam perjuangan untuk membangunkan Islam dalam negara” [Bernama 31/10/2007]. Di dalam ucapan yang sama, beliau juga menyatakan bahawa di bawah kepimpinan UMNO sekarang, platform agama Islam tidak lagi dimiliki oleh mana-mana kumpulan lain kerana umat Islam dapat melihat sendiri kemajuan yang dicapai di bawah pentadbiran UMNO.

Dalam memberikan penekanan ke atas keprihatinan Malaysia dalam membangunkan Islam, kerap kali ahli politik cuba mengalihkan perhatian umat tentang Islam, mereka tidak ingin membincangkan aspek perundangan Islam dalam negara sebagai metodologi untuk membangun masyarakat tetapi mereka lebih suka menonjolkan pelbagai ‘syiar’ yang menjadi ‘bukti’ kepada komitmen ini. Sebagai contoh, memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia telah banyak membina pelbagai bangunan yang menampilkan ciri reka bentuk Islam yang hebat. Beberapa mercu tanda Islam yang ada di seluruh negara sangat mengagumkan sehingga kebanyakan pelancong dari luar negeri yang datang merasa takjub dengan kehebatan seni bina berkhatkan tulisan ayat Al-Quran yang menampilkan ciri-ciri reka bentuk Islam yang unik dan menarik. Budaya untuk memperlihatkan Islam dari ‘kulit’ telah berleluasa yang menampilkan simbol dan syiar walhal langsung tidak ada roh Islam di dalamnya. Keadaan ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Rasulullah lebih 1400 tahun yang lalu,

“Sudah hampir (tiba) suatu masa di mana tidak tinggal lagi dari Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal dari al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong dari petunjuk. Ulama’ mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali [HR Baihaqi].

Islam Moderat (Sederhana)

Selain masjid-masjid yang dijelaskan oleh Rasulullah yang telah roboh dari petunjuk, banyak lagi syiar Islam lainnya yang turut runtuh dengan diterapkan sistem sekular yang ada sekarang. Setiap pembangunan dan acara-acara yang dibuat atas nama Islam sebenarnya boleh dipersoalkan ‘keIslamannya’. Di Malaysia contohnya, jika kita mengkategorikan segala manifestasi untuk memartabatkan ‘Islam dan syiarnya’ sebagai sebuah kejayaan bagi Islam, maka sudah tentulah banyak negara lain, termasuklah negara-negara bukan Islam yang jauh lebih menonjol ‘keIslamannya’ dari Malaysia. Sebenarnya, telah dijadikan lumrah bahawa setiap ‘kejayaan’ yang dicapai oleh orang Melayu, baik di dalam bidang sains, teknologi mahupun kemanusiaan, maka ia kerapkali akan dikaitkan dengan ‘kejayaan’ Islam. Hakikatnya, walaupun bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, namun setiap kejayaan melayu itu tentunya tidak boleh dianggap sebagai kejayaan Islam! Ia adalah dua perkara yang berbeza. Meletakkan kejayaan ‘bangsa’ sebagai kejayaan ‘Islam’ adalah suatu yang jelas-jelas keliru dan salah.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, hasil dari penerapan sistem sekular yang berdiri atas dasar kompromi di antara golongan gereja dan cendekiawan (di Barat), maka dari sinilah ajaran ‘jalan tengah’ telah dijadikan asas oleh orang Islam untuk banyak perkara termasuk di dalam bidang pemerintahan. Contohnya, ‘jalan tengah’ yang diambil oleh sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam tetapi terdapat golongan bukan Islam di dalamnya adalah dengan mengamalkan undang-undang kufur di campur sedikit undang-undang Islam yang sederhana (bukan undang-undang Islam yang sebenar). Contoh ini dapat dilihat dengan jelas di Malaysia dengan wujudnya dua sistem mahkamah sebagai pelaksanaan undang-undang yang mengkompromikan kewujudan orang-orang kafir di dalam negara. Hasilnya wujudlah dua sistem mahkamah iaitu satu mahkamah sivil (mahkamah kufur) dan satu lagi mahkamah syariah. Jika hanya wujud satu mahkamah syariah sahaja (atau dicadangkan agar diwujudkan satu mahkamah syariah sahaja), ini tentunya akan dianggap ekstrem dan menghilangkan konsep ‘Islam Sederhana’ yang dicanangkan oleh pemimpin di bawah sistem sekular. Begitu juga, agar sesuai dengan ‘Islam sederhana’ dan tidak dianggap ekstrem, maka hukum rejam atau sebat 100 kali bagi penzina tidak boleh dijalankan. Adalah ‘teramat ekstrem’ untuk merejam atau menyebat penzina sebanyak 100 kali, jadi dibuatlah dan diluluskanlah undang-undang bahawa penzina hanya disebat maksimum 6 kali sahaja. Kita agak pelik kerana kalau mengikut tafsiran sederhana atau ‘konsep pertengahan’ yang diambil oleh pemimpin sekular ini sendiri, sepatutnya sebatan 50 kali-lah yang lebih sesuai, namun mereka tidak melakukannya. Mungkin pada pandangan mereka sebatan 50 kali pun adalah ekstrem. Jadi yang sederhana dan tidak ekstrem adalah 6 kali sahaja!

Bagi memastikan bahawa ‘keperluan’ kaum non-Muslim dan juga Muslimin di Malaysia ‘dipenuhi’ maka dilakukanlah kompromi antara Islam dan Kapitalisme di dalam sistem perundangan negara yang menyaksikan Islam mestilah diperlakukan dengan serba sederhana. Mahkamah Syariah hanya dibenar melaksanakan hukum-hakam Islam yang bersifat ‘sederhana’ sahaja dan tidak boleh sama sekali melaksanakan Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan RasuluNya kerana ia bersifat ekstrem. Atas dasar bersikap moderat inilah, pemimpin-pemimpin kafir di dunia terutamanya George Bush la’natullah sering memuji perlaksanaan Islam di Malaysia yang dikatakan bersifat serba sederhana (moderate).

Islam Sederhana vs Islam Terbaik

Apabila Barat menyerang umat Islam, mereka sering menggunakan istilah Islam Radikal, Islam Ekstrem dan Islam Moderat (sederhana). Mereka sering menyampaikan mesej bahawa Islam moderat adalah Islam yang terbaik. Konsep moderat ini kemudian digunakan oleh beberapa cendekiawan Islam untuk menerangkan bahawa umat Islam adalah umat washatiyyah, iaitu umat pertengahan (moderat). Pengertian ini di ambil dari ayat,

“Demikian pula kami telah menjadikan kalian sebagai umat pilihan yang adil agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian” [TMQ Al Baqarah (2):143]

Sebagai seorang muslim, kita mestilah memahami bahawa ‘ummatan wasathan’ adalah lafaz yang digunakan oleh Allah berkenaan umat Islam yang merupakan umat yang terbaik yang dikeluarkanNya untuk manusia. Ummatan wasathan merupakan satu status yang mulia yang Allah letakkan ke atas hamba-hambaNya yang beriman di dalam risalahNya yang dengannya juga, Allah meletakkan tugas kepada hamba-hambaNya ini untuk membawa dan menyebarkan risalahNya ke seluruh dunia. Ummatan wasathan juga merupakan satu bentuk ‘kriteria’ syara’ yang Allah letakkan ke atas umat Islam di mana ‘kualiti’ hambaNya ini diukur dan dinilai olehNya. Dalam rangka mematuhi perintah Allah agar umat Islam mencapai status ummatan wasathan, kita akan dapat melihat sama ada mereka ini (umat Islam) berusaha untuk meraih pujian/redha dari Allah atau pujian/redha dari manusia. Jadi atas dasar inilah kita perlu membincangkan dan memahami makna sebenar ummatan wasathan. Banyak pihak yang sebenarnya apabila membincangkan istilah ini langsung tidak merujuk kepada kitab-kitab tafsir tetapi sekadar ‘bertaklid buta’ dengan apa yang didengar. Ada pula pihak yang hanya membuat tafsiran sendiri atas dasar kepentingan peribadi atau dalam rangka mengikut telunjuk musuh Allah. Oleh itu, kita dapati pada hari ini umat Islam tidak lagi melihat istilah ummatan wasathan di dalam perspektif yang sebenar, kerana mereka telah terkeliru (atau dikelirukan) atau telah diputarbelitkan oleh sesetengah pihak.

Ada pihak yang cuba memberikan tafsiran moden tentang ummatan wasathan berdasarkan tafsiran yang dibuat atas dasar (kononnya) untuk ‘membela Islam’ atau ‘rasa bersalah’ setelah diserang (secara pemikiran) oleh Barat. Hal ini lahir dari pemikiran orang-orang yang mengambil atau menafsir Islam agar sesuai dengan apa yang Barat kehendaki, bukannya menurut apa yang Allah kehendaki. Mereka sekadar mengambil Islam sebagai agama untuk ‘menjawab serangan’, bukannya agama untuk menyebarkan kebenaran. Mereka sebenarnya adalah golongan yang menundukkan tafsiran ayat-ayat Allah atas kehendak musuh. Mereka mengatakan bahawa maksud ummatan wasathan adalah ‘umat pertengahan’ atau ‘umat sederhana’ dan cuba menjelaskan bahawa ‘wasath’ bermaksud pertengahan di antara ‘ekstremis’ dengan ‘terlalu ambil mudah’. Ada juga yang mengatakan bahawa ‘wasath’ itu perlu bergantung kepada tempat (di mana) kita berada, contohnya jika di Malaysia, seseorang itu mungkin di anggap ekstrem jika melakukan demonstrasi atau bantahan jalanan, tetapi di Palestin perlakuan yang sama tidak dianggap ekstrem. Begitu juga kita mungkin dianggap ekstrem (di Malaysia) jika ingin menerapkan sistem Islam secara kaffah (keseluruhan), tetapi jika sesiapa yang ingin menerapkan sekular secara kaffah, ini tidak dianggap ekstrem. Malah, bagi mereka, pemerintahan sekular dengan mengambil sedikit Islam sebagai resipi atau perencah di dalam pemerintahan, maka inilah ‘ummatan wasathan’ yang sebenarnya. Dengan kata lain, wasath bagi mereka adalah mengambil jalan tengah di antara Islam dengan sekular!

Dengan adanya tafsiran-tafsiran beginilah yang telah menjerumuskan umat Islam ke dalam salah fahaman yang fatal. Dengan pemikiran sekular yang ada pada pemimpin-pemimpin sekarang dan para ulama yang mengikut telunjuk mereka, maka tafsiran ummatan wasathan telah dipesongkan dengan sebegitu rupa agar pemerintahan sekular yang ada dapat terus dikekalkan dan mana-mana cubaan untuk mengembalikan Islam secara kaffah dapat disekat atas ‘dalih’ berlawanan dengan konsep ‘wasath/kesederhanaan’ yang dibawa oleh Islam. Justeru, tafsiran sebenar berdasarkan kitab-kitab tafsir tentang makna ummatan wasathan perlu dirujuk oleh umat Islam agar tidak terperangkap dengan menjadikan ayat-ayat Allah tunduk kepada hawa atau kepada kehendak musuh. Nas-nas hadis yang menyentuh hal ini juga mestilah dirujuk dengan sepenuhnya agar umat Islam tidak terpesong mengambil pendapat yang menyeleweng.

Dalam ayat, “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasathan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu...”. perkataan ‘wasathan’ yang merujuk kepada ‘umat Islam’ membawa maksud bahawa, pertama: ‘persaksian’ umat Islam terhadap umat yang lain dan kedua: ‘persaksian’ Rasulullah terhadap umat Islam.

Secara lughah (bahasa), perkataan ‘wasath’ bermaksud adil, terbaik (dari segi kebaikan dan kualiti), yang paling utama, yang paling mulia. Disebut di dalam Lisan Al-Arab bahawa - “perkara yang paling ‘wasath’ ialah yang paling baik, yang paling benar dan yang paling adil”. Ibnu Katsir menyebut, “wasath adalah pilihan yang paling baik dan kualiti yang paling baik” sebagaimana dikatakan, “Quraisy adalah yang paling wasath (baik) di kalangan orang Arab dari segi keturunan dan kualiti hidup. Juga dikatakan, “Muhammad Rasulullah adalah yang paling wasath (baik) di kalangan kaumnya” yakni yang paling mulia di kalangan mereka.

Makna wasath dari segi bahasa hampir sama dengan makna istilah (makna syar’i)nya. Diriwayatkan oleh at-Tarmizi dari Abu said al-Khudri dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berkenaan firman Allah “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasathan”, dia berkata “(maknanya) umat yang adil”, dan katanya lagi, hadis ini (statusnya) hassan sahih. Imam Qurtubi juga menukilkan bahawa makna ‘wasath’ adalah ‘adil’. Syeikh Atha’ Abu Rusythah semasa menjelaskan makna ayat tersebut di dalam kitabnya Al-Taisir Fi Usul al-Tafsir menyatakan, “Ayat ini di dalam bentuk sighah al-ikhbarnya datang sebagai satu thalab (tuntutan), maksudnya suatu tuntutan untuk kita menyeru manusia kepada Islam” dan beliau menambah, “Keadilan merupakan satu syarat untuk menjadi saksi (atas bangsa lain), justeru ‘ummatan wasathan’ adalah satu umat yang layak menjadi saksi atas umat (bangsa) yang lain. Ini adalah satu penghargaan dari Allah dan suatu keutamaan untuk orang-orang Islam (dengan menjadikan mereka sebagai ummatan wasathan).

Maksud ummatan wasathan sebagai ‘umat/saksi yang adil’ juga boleh difahami dari ayat itu sendiri di mana selepas Allah menyebut ummatan wasathan, disambung selepasnya dengan “...agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kamu...”. Ayat ini tidak boleh dibaca secara terpisah untuk memahami apa yang ingin disampaikan oleh Allah kepada umat Islam. Dengan ini sahaja, barulah kita akan memperoleh makna sebenar yang dikehendaki. Dari sini, kita dapat memahami bahawa maksud wasath langsung tidak bermakna atau ada kena mengena dengan sederhana, pertengahan mahupun moderat. Kita juga akan memahami bahawa makna wasath sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan ukuran di antara ‘ekstrem’ atau ‘terlalu mengambil mudah’ mahupun berada di pertengahan di antara kedudukan-kedudukan tersebut. Juga langsung tidak ada hubung kaitnya dengan keperluan bersederhana dalam segenap hal. Lafaz atau maksud wasath dalam ayat tersebut adalah ‘status keadilan dan kebaikan’ yang wajib dimiliki dan dicapai oleh umat Islam, bukannya ‘status moderat’ yang perlu diraih. Wasath langsung tidak membawa maksud keperluan untuk bersederhana di dalam agama, ataupun sebagai satu ‘jalan tengah’ yang perlu dicari di dalam setiap perkara. Ummatan wasathan menghendaki atau membawa maksud agar umat Islam menjadi saksi yang adil atas umat-umat yang lain.

Dari penjelasan di atas, ternyata, makna wasath yang ditafsirkan sebagai ‘sederhana’ hanyalah satu makna yang baru muncul atau baru dikenal. Makna wasath beginilah (sederhana/moderat) yang dikehendaki oleh Barat atau musuh Islam agar umat Islam faham dan berpegang dengannya. Barat mencanangkan bahawa ‘ekstrem’ adalah buruk dan moderat (sederhana) adalah baik, lalu mereka melabelkan umat Islam (yang mereka benci) sebagai ekstrem dan yang mereka sayang sebagai moderat. Mereka lalu mempropagandakan bahawa muslim (termasuk pemerintah) yang baik adalah muslim yang moderat (sederhana) dan sikap moderat atau sederhana adalah satu sikap yang akan membawa keamanan dan kedamaian. Pemimpin-pemimpin sekular lalu ‘akur’ dengan makna atau ‘tafsir’ yang diseru dan dibawa oleh kafir Barat ini, lalu tanpa segan silu menyatakan dan mengisytiharkan bahawa mereka adalah muslim moderat dan semua muslim perlulah bersikap moderat (sederhana). Sesungguhnya mereka telah masuk ke dalam perangkap kafir Barat dengan mentafsir ayat-ayat Allah mengikut hawa agar sesuai dengan kehendak Barat, bukannya mengikut tafsir para mufassirin (ahli tafsir) yang sesuai dengan kehendak Islam.

Pengarang kitab Al-Taisir Fi Usul al-Tafsir seterusnya menerangkan, “ummatan wasathan” dengan ini bermaksud bahawa umat Islam adalah saksi yang adil ke atas semua bangsa setelah (kedatangan) Islam dengan seruan (yang dilakukan) oleh umat Islam ke atas mereka. Ummatan wasathan juga bermaksud bahawa umat Islam adalah saksi yang adil ke atas umat sebelum (kedatangan) Islam dari pengetahuan mereka terhadap seruan nabi-nabi terdahulu kepada umat masing-masing, sebagaimana dinyatakan oleh Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Ahmad,

“Pada hari kiamat nanti, seorang nabi akan dihadapkan dengan seorang lelaki atau dua atau tiga, kemudian kaumnya akan dipanggil dan ditanya, ‘Adakah orang (nabi) ini telah menyampaikan (risalah Allah)?’ Mereka (kaum nabi) itu menjawab, ‘Tidak’. Nabi tadi lalu ditanya, ‘Adakah engkau telah menyampaikan (risalah Allah) kepada mereka?’ dan dia (nabi) menjawab ‘Ya’. Dan dia (nabi tadi) ditanya lagi, ‘Siapakah saksimu?’ lalu dia (nabi tadi) menjawab, ‘Muhammad dan umatnya’. Muhammad dan umatnya lalu dibawa ke hadapan dan ditanya, ‘Adakah orang (nabi) ini telah menyampaikan (risalah Allah) kepada kaumnya?’. Mereka (Muhammad dan umatnya) menjawab, ‘Ya’. Mereka (umat Muhammad) kemudian ditanya, ‘Dari mana kamu mendapat pengetahuan (tentang hal ini)?’ Mereka (umat Muhammad) menjawab, ‘Nabi kami Muhammad saw datang dan menyampaikan kepada kami bahawa nabi-nabi terdahulu telah menyampaikan kepada kaum (umat) mereka. Firman Allah, “Demikian pula kami telah menjadikan kalian sebagai umattan wasathan (umat/saksi yang adil) agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian”

Dalam riwayat lain disebutkan,

“...kemudian Muhammad saw dihadapkan dan ditanya tentang umatnya, lalu dia berbicara tentang kebaikan umatnya dan dia (Muhammad) menjadi saksi tentang kualiti keadilan umatnya sesuai dengan firman Allah, “Demikian pula kami telah menjadikan kalian sebagai umat pilihan yang adil agar kalian menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian”

Masih ada banyak lagi hadis yang (kerana keterbatasan ruang) tidak dapat diungkapkan di sini yang menunjukkan ‘ummatan wasathan’ adalah bermaksud ‘saksi yang adil’. Jika ‘ummatan wasathan’ tidak diterjemah dengan makna ‘saksi yang adil’, sesungguhnya ayat Allah di dalam surah Al-Baqarah:143 akan menjadi tidak bererti lagi. Ini kerana, jika ‘ummatan wasathan’ diterjemah sebagai ‘umat sederhana (moderat)’ sesungguhnya ia telah lari atau langsung tidak ada kena mengena dengan tugas ‘menjadi saksi atas umat yang lain’, kerana sifat dan syarat untuk menjadi saksi mestilah adil. Jadi, ayat ini sesungguhnya menerangkan tentang tugas (dan penghormatan) yang telah Allah berikan kepada umat Muhammad sebagai ‘saksi’ atas umat-umat yang lain dan sifat sebagai saksi menuntut syarat seseorang itu menjadi adil. Justeru, hanya dengan meletakkan tafsiran yang benar, betul dan tepat sahajalah yang akan meletakkan ayat ini di atas tempat letaknya yang sebenar. Oleh itu, ummatan wasathan hendaklah diberikan maknanya yang sebenar iaitu ‘umat/saksi yang adil’. Dengan ini barulah umat yang terbaik ini mendapat statusnya yang terbaik, di dunia dan akhirat. Inilah umat yang adil dan menjadi pilihan Allah, yang menjadi saksi yang adil atas umat manusia lainnya, di dunia dan di akhirat. Inilah umat pilihan Allah – umat yang terbaik dan yang terbaik dalam setiap perkara, bukannya umat yang sederhana yang bersederhana dalam setiap perkara!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Allah swt sebagai Rabb yang mencipta agama Islam tidak pernah mengajar kita bahawa di dalam deenul Islam yang dibawa oleh RasulNya ini ada yang dinamakan Islam Moderat (Sederhana), Islam Ekstrem, Islam Radikal dan sebagainya. Yang ada hanyalah Islam sahaja. Label-label keji tersebut hanyalah ciptaan musuh-musuh Islam khususnya Barat yang senantiasa membenci Islam dan tidak mahu melihat agama Allah ini dilaksanakan secara kaffah. Sesungguhnya mereka teramat benci dan takut akan terlaksananya hukum-hukum Islam yang sebenar sebagaimana yang telah terlaksana pada zaman Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin. Justeru, mereka siang-siang lagi telah melabelkan Islam sebagai ekstrem dan ganas dan hukum yang paling ‘ganas’ yang dilabelkan oleh mereka adalah jihad, kemudian diikuti dengan hukum-hukum yang lain. Justeru, kafir Barat telah mengajar ‘Islam’ kepada kita semua bahawa ‘Islam’ itu mestilah sederhana dan tidak boleh ekstrem. Maka ‘ajaran Islam’ yang dibawa oleh Barat ini telah diterima dengan sepenuh hati oleh pemerintah muslim sekular yang ada, lalu menjadilah mereka muslim atau pemerintah Islam yang sederhana (moderat), sesuai dengan kehendak Barat. Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR