ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


SIAPAKAH PEMBUNUH BENAZIR?

Pendedahan beberapa rakaman video yang baru dikeluarkan telah menunjukkan seorang penembak menembak Benazir Bhutto dengan pistol dalam kedudukan hanya beberapa kaki darinya. Kesan dari tembakan tersebut dapat dilihat dengan jelas sebelum letupan berlaku yang sekali gus menyokong kesaksian ramai yang menyatakan tembakan tersebut sememangnya di hala kepada bekas Perdana Menteri itu. Tambahan pula, kesaksian dari pembantu Bhutto sendiri yang mengatakan memang terdapat luka-luka pada tubuh Benazir ketika serangan tersebut dan ketika jenazahnya dimandikan dan ini semua adalah hasil dari tembakan di kepala dan juga leher beliau.

Dengan bukti terbaru ini, di tambah dengan fakta yang beberapa anggota tentera Pakistan yang dilihat membersihkan lokasi jenayah sejurus selepas pembunuhan tersebut, serta kenyataan Menteri Dalam Negeri Pakistan yang bercanggahan (di mana beliau pada awalnya mendakwa bahawa kematian Benazir adalah disebabkan oleh cebisan letupan yang terkena di kepalanya tetapi kemudian mengubah kenyataan ini dengan mengatakan bahawa kepala Benazir terhantuk pada atap kereta) telah meniupkan lagi api spekulasi bahawa rejim Musharraf cuba untuk menutup sesuatu!

Kejadian ini telah benar-benar menunjukkan kekejian Musharraf, tuannya, AS di bawah pimpinan Bush dan media ‘Islamophobia’ Barat yang tanpa usul periksa dan tanpa bukti terus menuduh militan Islam pimpinan Baitullah Mehsud sebagai dalang di sebalik pembunuhan Bhutto. Bush dan Brown mendakwa bahawa episod pembunuhan Bhutto ini merupakan salah satu bab dalam peperangan menentang keganasan. Mereka juga melaungkan bahawa Benazir merupakan seorang ‘syuhada’ bagi demokrasi. Mehsud walau bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan kumpulannya tidak terlibat dengan pembunuhan Benazir dan mendakwa bahawa ia adalah perbuatan Musharraf dan badan perisikannya. Beliau juga menambah bahawa kumpulannya tidak akan menjadikan seorang wanita sebagai sasaran.

Lagi fakta yang menyokong adalah pandangan yang datangnya dari kenyataan Bhutto sendiri dalam emailnya kepada seorang pemberita AS di mana beliau mendakwa bahawa Musharraf sengaja tidak menyediakan kawalan keselamatan yang secukupnya. Beliau hanya menerima dua dari empat kereta pengawal yang telah beliau minta untuk mengawal keempat-empat penjuru kenderaan kempennya. Video yang diedarkan dengan jelas menunjukkan bagaimana pembunuh tersebut telah berjaya sampai ke jarak menembak yang cukup dekat dengan Benazir dari bahagian kenderaannya yang terdedah!

Dengan bukti yang jelas ini, ia telah menimbulkan persoalan kepada banyak pihak, khususnya pengamat politik - mengapakah rejim Musharraf ‘terlibat’ menjalankan pembunuhan ini sedangkan Musharraflah yang telah membenarkan Benazir pulang ke Pakistan di bawah arahan AS dan Britain bagi membantu kerajaannya yang hampir lumpuh? Beberapa senario boleh menjelaskan perkara ini:-

(1) Selepas kematian Benazir, suaminya, Asif Zardari telah meminta pihak PBB, yakni secara tidak langsung, pihak Britain, agar menyiasat pembunuhan ini. Kenyataan seperti ini, dengan mengenepikan AS, jelas menunjukkan bahawa kem Bhutto yang pro-British tidak yakin bahawa pihak AS akan bertindak dengan telus. Ia juga memberi petunjuk bahawa rancangan awal AS dan Britain untuk membentuk sebuah ‘perkahwinan demokratik sekular’ antara Musharraf dan Benazir bagi menentang golongan ‘Islam fundamental’ tidak berjalan dengan lancar kerana terdapat komplikasi yang melibatkan hubungan antara Benazir dan Nawaz Sharif. Pakatan Benazir dan Nawaz ini nampaknya boleh menghancurkan asas kekuatan parti PML-Q Musharraf di Punjab. Kemungkinan tumbangnya PML-Q di Punjab ini dalam pilihan raya yang akan diadakan nanti pasti akan melemahkan kedudukan Musharraf sebagai Presiden dan ini merupakan satu senario yang amat membimbangkan Musharraf dan tuannya AS. Bagi AS, jemputan (baca: arahan) mereka untuk Benazir pulang ke Pakistan hanyalah untuk memastikan keberadaan Musharraf dan kesinambungan ‘war on terror’. Meskipun Benazir memanifestasikan retorik anti Islam, kerajaan Bhutto yang kuat dilihat akan menggugat dominasi Musharraf di Pakistan yang sekali gus mungkin menggugat kepentingan AS di rantau tersebut.

(2) Perancangan kepulangan Benazir hanyalah sepatutnya untuk menguatkan lagi Musharraf, bukannya untuk menguatkan Benazir, namun percaturan politik ini telah tergeser. Semenjak kepulangannya, Benazir dan PPP dilihat terlalu popular dan terlalu kuat oleh Musharraf, dan jika PPP menang besar di Pakistan, dan Benazir menjadi Perdana Menteri, maka mereka boleh merubah Perlembagaan dengan mudah. Hal ini amat berbahaya bagi Musharraf yang gilakan kuasa di mana kuasa Presiden yang dinikmatinya selama ini (setelah dia meminda Perlembagaan Pakistan) akan terhapus. Kedudukan bertambah bahaya di mana kuasa tentera sudah tidak lagi berada di tangan Musharraf. Satu lagi kemungkinan adalah elemen di dalam PML-Q sendiri yang turut merasa bahawa kehadiran Bhutto akan menyebabkan kuasa mereka tergugat. Jadi, untuk menamatkan situasi yang bahaya ini adalah dengan menamatkan riwayat Benazir dan menuding jari kepada militan.

(3) Senario ketiga melibatkan kemungkinan Musharraf membawa balik Nawaz Sharif selepas menghantarnya pulang ke Arab Saudi ketika beliau (Musharraf) mengadakan lawatan dua hari ke Saudi untuk melemahkan pengaruh Benazir. Nawaz menjadi ‘penting’ kerana dengan adanya Nawazlah, Pakistan akan dilihat masih berpegang kepada demokrasi, walaupun lemah. Tapi demokrasi yang lemah inilah yang dikehendaki oleh Musharraf dan Barat. Kematian Bhutto meninggalkan Nawaz Sharif sebagai satu-satunya pembangkang bagi Musharraf. Dalam masa terdekat ini, pasti Nawaz akan bangkit sebagai satu-satunya penentang Musharraf sebagai satu kuasa politik yang menghidupkan semula pergerakan pro-demokrasi di Pakistan. Ini sudah pasti akan membantu kepentingan AS dalam laungan AS kepada demokrasi. Nawaz, berdasarkan sejarah, merupakan penyokong kuat administrasi Clinton di mana sokongan ini dimanifestasikan dalam pengkhianatan beliau melibatkan krisis Kargil. Nawaz juga dilihat lebih ‘Islamik’ dan mampu bekerjasama dengan parti-parti Islam lain bagi menghalang kerjasama yang mungkin akan berlaku antara ketua-ketua puak dengan Al-Qaeda dan Taliban. Jadi, Nawaz dilihat sebagai orang yang sesuai untuk ‘meneutralisekan pemerintahan diktator Musharraf. Hanya masa sahajalah yang akan menentukan bagaimana perubahan kekuasaan politik akan berlaku di Pakistan menjelang pilihan raya nanti.

Nampaknya, pembunuhan Benazir, sama seperti pembunuhan bapanya dan General Zia, yang merupakan kerja tangan mereka yang terlibat dalam satu pergelutan kuasa dan bukanlah kerja tangan militan Islam seperti yang dituding oleh Musharraf dan Barat. Inilah realiti kotor politik yang bukan sahaja berlaku di Pakistan malah di negeri kaum Muslimin yang lainnya seperti Iraq dan Afghanistan. Ia dipenuhi dengan campur tangan kuasa imperialis seperti AS dan Britain yang cuba menetapkan polisi luar mereka bak sebuah permainan catur yang papannya terdiri dari tanah kaum Muslimin yang penuh dengan kekayaan sumber alam, di mana AS dan Britain adalah pemain-pemainnya, yang sekarang sedang melaga-lagakan dan mengorbankan umat Islam Pakistan di dalam mencapai kemenangan mereka.

Umat Islam sedar bahawa bagi setiap Benazir dan Saddam, yang perkhidmatan mereka kepada Barat akan dibalas dengan melayangnya nyawa mereka setelah Barat mendapati mereka tidak lagi diperlukan, ribuan umat yang tidak berdosa harus membayar dengan nyawa dan penderitaan pengkhianatan agen-agen Barat ini. Oleh sebab itulah, pemerintah seperti Musharraf, yang mengkhianati Islam dan umat Muhammad SAW, dibenci oleh majoriti kaum Muslimin yang inginkan sebuah pemerintahan Islam yang ikhlas dan merdeka. Masanya sudah tiba bagi mereka yang berpengaruh di Pakistan dan di negeri kaum Muslimin yang lain untuk mengembalikan umat ini kepada kemuliaan, keamanan dan kekuatan hakiki dengan menolak secara total politik kotor yang menyelimuti negeri-negeri kita dan mengembalikan Daulah Khilafah, yang barang pasti akan membawa satu era baru – era penyatuan, kekuatan dan rahmat bagi seluruh umat Islam.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR