ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


STRUKTUR DAULAH KHILAFAH

STRUKTUR DAULAH KHILAFAH


Khilafah adalah kepimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan hukum-hukum syariat Islam dan mengembang dakwah Islam ke segenap penjuru dunia. Kata lain bagi Khilafah adalah Imamah. Khilafah dan Imamah mempunyai pengertian yang sama. Khilafah merupakan kesinambungan Negara Islam yang diwarisi dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang merupakan satu-satunya negara yang wajib bagi seluruh umat Islam. Ia adalah negara yang berdiri atas dasar wahyu dan akidah serta wajib adanya. Justeru, struktur negara Khilafah berbeza dengan struktur semua sistem yang dikenal di dunia saat ini yang kesemuanya di bangun atas dasar akal, meskipun ada kemiripan dalam sebahagian penampakannya. Struktur Negara Khilafah diambil (ditetapkan) dari struktur negara yang ditegakkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah setelah baginda berhijrah ke Madinah dan mendirikan Daulah Islam di sana. Struktur Negara Khilafah juga adalah struktur yang telah dijalankan oleh Khulafa’ Rasyidin setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sesungguhnya dengan penelitian terhadap nas-nas yang berkaitan dengan struktur negara, Hizbut Tahrir telah mentabanni (menerima pakai) bahawa Negara Khilafah dalam bidang pemerintahan dan administrasinya ada 13 struktur asas seperti berikut:-

(1) Khalifah – Khalifah adalah individu yang mewakili umat dalam urusan pemerintahan dan kekuasaan serta dalam menerapkan hukum syara’. Oleh sebab Islam telah menjadikan pemerintahan dan kekuasaan tersebut milik umat, dalam hal ini, umat mewakilkan kepada seseorang untuk melaksanakan urusan tersebut sebagai wakilnya. Bahkan Allah juga telah mewajibkan kepada umat untuk menerapkan hukum syara’ secara keseluruhannya. Dengan demikian, Khalifah adalah orang yang diangkat oleh umat Islam untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah. Oleh kerana itu juga, tidak ada seorang Khalifah pun yang akan terlantik kecuali setelah dibai’at oleh umat. Bai’at yang dilakukan oleh umatlah yang akan menjadikan seseorang itu sebagai wakil umat sekali gus sebagai seorang Khalifah. Pengangkatan seorang Khalifah oleh umat dengan bai’at bererti umat telah memberikan kekuasaan (untuk memerintah) kepada Khalifah dan umat wajib mentaatinya selama mana dia (Khalifah) menerapkan hukum syara’.

Orang yang memimpin urusan kaum Muslimin tidak boleh disebut Khalifah kecuali setelah ia dibai’at oleh ahlu halli wal aqdi yang ada di kalangan umat dengan bai’at in’iqad (bai’at pengangkatan) yang sah dari segi syara’, iaitu ia mesti dilakukan dengan redha dan kebebasan memilih (tidak dipaksa) serta calon Khalifah tersebut memenuhi syarat-syarat in’iqad. Syarat in’iqad Khalifah ada tujuh iaitu dia mestilah seorang Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Selain tujuh syarat ini, terdapat juga syarat afdhaliyyah (keutamaan) yang didukung oleh nas-nas sahih ataupun rentetan dari nas-nas sahih. Sebagai contoh, Khalifah itu harus dari kalangan Quraisy, seorang mujtahid, pemberani, seorang politikus yang ulung, pakar perang dan sebagainya.

(2) Mu’awin at-Tafwidh (Wuzara’ at-Tafwidh) - Mu’awin at-Tafwidh adalah pembantu yang diangkat oleh Khalifah untuk membantunya dalam mengembang tanggungjawab dan melaksanakan tugas-tugas kekhilafahan. Melalui Mu’awin, Khalifah mendelegasikan kepadanya pengaturan pelbagai urusan menurut pendapatnya dan melaksanakannya berdasarkan ijtihadnya sesuai dengan ketentuan hukum syara’. Dengan kata lain, Khalifah telah memberinya bidang kuasa secara umum dan juga kedudukan untuk mewakili Khalifah. Al-Hakim dan Tirmizi telah menuturkan riwayat dari Abu Said al-Khudri yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Dua orang pembantu (wazir)ku dari langit adalah Jibril dan Mikail dan dari bumi adalah Abu Bakar dan Umar”. Kata ‘wazir’ dalam hadis ini adalah bermakna pembantu dan penolong. Ia bersifat mutlak mencakup semua bentuk bantuan dan pertolongan, dalam semua urusan. Dari hadis ini juga dapat difahami bahawa (bilangan) Mu’awin boleh lebih dari satu orang.

Abu Bakar, setelah diangkat sebagai Khalifah, juga telah mengangkat Umar al-Khattab sebagai Mu’awin di mana peranan Umar sebagai Mu’awin sangat menonjol. Setelah Umar menjabat jawatan Khalifah, Utsman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib menjadi dua orang Mu’awinnya. Pada masa Utsman (menjadi Khalifah), Ali dan Marwan bin al-Hakam menjadi dua Mu’awin Utsman. Berkenaan Mu’awin ini, Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa jika Mu’awin itu seorang wazir (pembantu) yang baik, maka ia akan memberi manfaat yang besar kepada Khalifah, kerana ia akan mengingatkan Khalifah dengan segala kebaikan dan membantu Khalifah untuk melaksanakannya. Aishah radhiAllahu ‘anha pernah mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Jika Allah menghendaki kebaikan terhadap seorang amir (Imam/Khalifah), Allah akan jadikan baginya seorang pembantu (wazir) yang jujur dan benar; jika ia lupa wazir itu akan mengingatkannya, dan jika ia ingat, wazir itu akan membantunya. Jika Allah menghendaki terhadap amir itu selain yang demikian, Allah akan jadikan baginya wazir yang jahat/buruk; jika ia lupa wazir itu tidak akan mengingatkannya, dan jika ia ingat, wazir itu tidak akan membantunya” [HR Ahmad].

(3) Mu’awin at-Tanfiz (Wuzara’ at-Tanfiz) - Wazir at-Tanfiz adalah pembantu yang diangkat oleh Khalifah dalam urusan pentadbiran (administrasi). Wazir tanfiz merupakan penghubung Khalifah dengan (i) struktur dan instansi negara (ii) dengan rakyat dan (iii) dengan negara luar. Ia bertugas menyampaikan polisi-polisi Khalifah kepada mereka dan menyampaikan informasi dari mereka kepada Khalifah. Wazir at-tanfiz diangkat sebagai pembantu Khalifah dalam hal pelaksanaan berbagai-bagai urusan. Tugasnya hanyalah tugas administrasi, bukannya tugas pemerintahan. Jabatannya merupakan lembaga pelaksana yang melaksanakan pelbagai polisi yang dikeluarkan oleh Khalifah kepada instansi-instansi dalam negeri dan juga luar negeri, di samping menyampaikan informasi dari berbagai-bagai instansi tersebut kepada Khalifah.

Mu’awin at-Tanfiz ini berhubung secara langsung dengan Khalifah sebagaimana halnya Mu’awin a-Tafwidh, dan kedua mereka adalah dalam posisi sebagai orang dekat (bithanah) Khalifah. Tugas keduanya bersentuhan secara langsung dengan Khalifah yang mana mengharuskan diri mereka senantiasa rapat dan bertemu empat mata dengan Khalifah. Oleh kerana itu, sebagaimana syarat Khalifah, kedua Mua’win ini mestilah lelaki dan tidak boleh sekali-kali dijabat oleh orang kafir, kerana kedudukannya yang sangat dekat dan rapat dengan Khalifah (bithanah). Hal ini berdasarkan firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam/yang dipercayai” (bithanah). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu...” [TQM Ali Imran (3):118].

(4) Wali - Wali adalah orang yang diangkat oleh Khalifah sebagai penguasa/pemerintah untuk suatu wilayah serta menjadi Amir (pemimpin) wilayah tersebut. Daulah Khilafah yang diperintah oleh Khalifah dibahagi kepada beberapa bahagian yang disebut wilayah. Setiap wilayah dibahagi kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian disebut Imalah. Setiap orang yang memimpin wilayah disebut Wali (atau Amir) dan orang yang memimpin Imalah disebut Amil. Setiap Imalah dibahagi kepada beberapa bahagian pentadbiran yang disebut Qasabah dan setiap Qasabah dibahagi lagi kepada beberapa bahagian pentadbiran yang lebih kecil dipanggil Hayyu (kampung/desa). Orang yang mengurusi Qasabah atau Hayyu disebut Mudir dan tugasnya adalah tugas administrasi. Para Wali adalah penguasa (Hukkam) di wilayahnya kerana bidang kuasanya dalam hal ini adalah bidang kuasa pemerintahan. Jabatan Wali memerlukan adanya (akad) pengangkatan dari Khalifah atau orang yang mewakili Khalifah dalam melaksanakan pengangkatan itu. Dalil adanya jawatan Wali atau Amir ini adalah berdasarkan tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mengangkat para Wali di pelbagai negeri/wilayah. Baginda telah mengangkat Muaz bin Jabal menjadi Wali di wilayah Janad, Ziyad bin Walid di wilayah Hadhramaut dan Abu Musa al-Asy’ari di wilayah Zabid dan Adn. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memilih para Wali dari orang-orang yang memiliki kelayakan (kemampuan dan profesionalisme) untuk memegang urusan pemerintahan di samping memiliki ilmu dan terkenal ketakwaannya. Hal ini (pelantikan Wali) diteruskan lagi oleh para Khulafa’ Rasyidin di sepanjang pemerintahan mereka yang menambahkuatkan lagi dalil kepada kita bahawa struktur ini adalah wajib.

(5) Amirul Jihad
- Jabatan Peperangan merupakan salah satu instansi negara. Ketuanya disebut Amir al-Jihad. Ini adalah kerana Rasulullah sendiri menamakan komandan pasukan perang sebagai Amir. Ibnu Saad telah menuturkan riwayat bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, semasa menghantar pasukan perang ke Mu’tah, bersabda, “Yang menjadi amir atas orang-orang adalah Zaid bin Haritsah, jika ia gugur maka Jaafar bin Abi Thalib, jika ia gugur maka Abdullah bin Rawahah, jika ia gugur maka hendaklah kaum Muslimin memilih seorang lelaki di antara mereka lalu mereka jadikan sebagai amir yang memimpin mereka”. Imam Bukhari juga telah menuturkan riwayat dari Abdullah bin Umar yang berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat Zaid bin Haritsah menjadi amir pada perang Mu’tah...”. Jabatan Peperangan (Da’irah al-Harbiyah) menangani semua urusan yang berhubung dengan angkatan bersenjata seperti penyediaan pasukan, logistik, persenjataan, peralatan, amunisi dan sebagainya; menangani akademi-akademi ketenteraan, misi-misi ketenteraan, serta pemikiran Islam dan pengetahuan umum apa sahaja yang menjadi kewajiban bagi tentera; serta menangani segala hal yang berhubung dengan peperangan dan persiapannya. Termasuk dalam bidang kuasa Da’irah al-Harbiyah ini adalah menghantar mata-mata (spy/intelligence) untuk mengintip kaum kafir harbi. Dalil-dalil untuk semua ini (jihad dan pasukannya) sudah teramat masyhur dalam nas dan sirah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

(6) Keamanan Dalam Negeri
- Keamanan dalam negeri dijaga dan ditangani oleh satu Jabatan yang dinamakan Jabatan Keamanan Dalam Negeri. Jabatan ini diketuai oleh seorang Mudir (Mudir al-Amni ad-Dakhili). Jabatan ini mempunyai cawangan di setiap wilayah dalam Daulah Khilafah dan dinamakan Idarah al-Amni ad-Dakhili yang diketuai oleh Ketua Polis Wilayah (Sahib asy-Syurthah al-Wilayah). Cawangan ini berada di bawah Wali dari segi tanfiz (pelaksanaan), tetapi dari sisi administrasi berada di bawah Jabatan Keamanan Dalam Negeri. Al-Amni ad-Dakhili merupakan Jabatan yang mengurus/menjaga segala bentuk gangguan keamanan melalui institusi polis dan ini adalah sarana utama untuk menjaga keamanan dalam negara. Institusi polis ini ada dua jenis, pertama, polis tentera (military police – MP) dan kedua, polis yang berada di sisi penguasa. Kedua-dua jenis ini memiliki seragam yang khusus dan ciri-ciri tertentu (yang boleh dikenal) untuk menjaga keamanan. Adapun dalil tentang (kewajiban) adanya pasukan polis ini adalah berdasarkan hadis riwayat Bukhari dari Anas bin Malik, “Sesungguhnya Qais bin Saad di sisi Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam memiliki kedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir.” Imam Tirmizi juga telah meriwayatkan dengan redaksi, “Qais bin Saad di sisi Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berkedudukan sebagai ketua polis dan ia termasuk di antara para amir. Al-Ansari berkata: iaitu orang yang menangani urusan-urusan polis.”

(7) Luar Negeri
- Jabatan Luar Negeri mengurusi seluruh urusan luar negeri berkaitan hubungan Daulah Khilafah dengan negara-negara asing/kufur, apa pun jenis perkara dan bentuk hubungan itu; baik perkara yang berhubung aspek politik seperti perjanjian antarabangsa, kesepakatan damai, gencatan senjata, pelaksanaan pelbagai rundingan, tukar-menukar duta, pengiriman pelbagai utusan dan delegasi; ataupun perkara yang berkaitan dengan aspek ekonomi seperti perdagangan, pertanian, telekomunikasi, pos, pengangkutan, teknologi dan sebagainya. Semua ini akan diuruskan oleh Jabatan Luar Negeri. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukan berbagai-bagai hubungan luar negeri dengan negara-negara kufur yang lain. Rasulullah pernah mengutus Utsman bin Affan untuk berunding dengan Quraisy sebagaimana baginda juga pernah berunding langsung dengan delegasi Quraisy. Rasulullah juga pernah mengirim sejumlah utusan kepada para raja sebagaimana baginda juga pernah menerima utusan dari para raja/pemerintah. Sebagaimana Rasulullah yang pernah menjalin pelbagai kesepakatan dan perjanjian damai (bersifat sementara), demikian jugalah dengan para Khalifah setelah baginda di mana mereka selalu menjalin hubungan politik dengan negara dan institusi-institusi luar. Para Khalifah melakukan aktiviti-aktiviti tersebut samada secara sendiri atau dengan mengangkat wakil untuk melakukannya. Hal ini semuanya menunjukkan bahawa perlu ada satu Jabatan yang mengurus hal-ehwal luar negeri.

(8) Perindustrian - Jabatan Perindustrian adalah Jabatan yang mengurus semua masalah yang berhubungan dengan perindustrian, baik yang berhubung dengan industri berat seperti industri mesin dan peralatan, pembuatan dan perkapalan, pengangkutan, bahan mentah, elektronik dan seumpamanya; industri ringan berupa kilang-kilang yang menjadi milik umum atau kilang-kilang milik individu; mahupun industri ketenteraan. Industri dengan pelbagai jenisnya itu semuanya mesti di bangun dengan berpijak pada politik perang (jihad). Ini adalah kerana (aktiviti) jihadlah yang akan membawa agama Allah ini ke seluruh penjuru alam dan jihad jugalah yang akan menjadikan Islam zahir di atas agama-agama yang lain. Dengan kata lain, dengan jihadlah Islam nanti akan menjadi super power dunia dan akan menebarkan rahmat Allah di muka bumi ini. Oleh sebab jihad memerlukan pasukan tentera, sementara pasukan ini agar mampu berperang mestilah memiliki persenjataan dan agar persenjataan itu boleh mengoptimalkan kekuatan dan seterusnya memberi kemenangan, maka haruslah ada industri persenjataan yang besar, kuat dan berdiri sendiri di dalam negara, sesuai dengan firman Allah,

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kalian sediakan dan dari kuda-kuda yang tertambat, (yang dengan persiapan itu) kalian akan menggerunkan musuh Allah dan musuh kalian dan orang-orang yang selain mereka yang tidak kalian ketahui sedangkan Allah mengetahuinya...” [TMQ al-Anfal (8):60].

(9) Pengadilan/Perundangan
- Lembaga Pengadilan adalah lembaga yang bertugas menyampaikan keputusan hukum yang bersifat mengikat. Lembaga ini bertugas menyelesaikan (i) perselisihan di antara sesama anggota masyarakat (ii) mencegah hal-hal yang dapat membahayakan hak-hak jemaah (orang ramai) dan (iii) mengatasi perselisihan yang terjadi antara rakyat dan individu di dalam struktur pemerintahan, baik ia seorang penguasa mahupun kakitangan negara Khilafah. Dalil tentang kewajiban adanya lembaga perundangan ini banyak sekali di dalam Al-Quran yang mana Allah memerintahkan agar manusia berhukum dengan hukum Allah dan dirincikan lagi oleh Rasulullah di dalam hadis baginda yang begitu banyak yang menunjukkan bahawa wujudnya lembaga pengadilan ini adalah wajib. Berdasarkan nas yang jelas, dalam Daulah Islam terdapat 3 jenis Qadhi (hakim)/mahkamah. Pertama: Qadhi biasa (atau dikenali juga dengan Qadhi Khusumat) yang menguruskan penyelesaian perselisihan di antara anggota masyarakat dalam masalah mu’amalat dan uqubat. Kedua: Qadhi Muhtasib (atau Hisbah) iaitu qadhi yang menguruskan penyelesaian dalam masalah penyimpangan (mukhalafat) yang melanggar hak jemaah (orang ramai). Ketiga: Qadhi Mazhalim, iaitu qadhi yang menguruskan penyelesaian persengketaan yang terjadi antara rakyat dan pemerintah atau pegawai-pegawai pemerintah.

(10) Masalih ad-Daulah (Struktur Administrasi) - Berdasarkan perbuatan (af’al) Rasulullah dalam mentadbir negara, ternyata urusan administrasi diurus dengan penuh sistematik. Masalih ad-Daulah merupakan satu struktur pelaksana kepada pemerintahan, maksudnya, ia menjadi badan pelaksana kepada perkara-perkara yang wajib dilaksanakan di dalam sebuah pemerintahan. Urusan pentadbiran merupakan salah satu uslub (cara/teknik) dan wasilah (sarana) untuk melaksanakan apa jua kewajiban yang terletak di bahu negara. Ia tidak memerlukan dalil secara khusus dan cukup hanya dalil umum yang menunjukkan perintah pokoknya, kecuali jika memang terdapat dalil khusus mengenainya. Contohnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi perintah “tunaikanlah zakat” dan ini adalah dalil yang bersifat umum. Dalam hal ini, tidak terdapat dalil yang menjelaskan tatacara pengumpulannya, dari segi berapa banyakkah pusat yang perlu dibuka, di manakah pusat pengumpulan zakat perlu dibuka, apakah amil perlu diberi kenderaan, resit, apa-apa peralatan dan sebagainya. Semua ini adalah perbuatan cabang (furu’) dari perintah “tunaikan zakat”. Inilah yang dimaksudkan dengan persoalan administrasi, yang mana ia merupakan pelaksana kepada sebuah kewajiban. Struktur ini wajib ada, namun pelaksanaannya adalah berupa uslub (teknik) sahaja dan boleh dikembangkan sesuai dengan keperluan semasa dan keadaan yang ada. Untuk melicinkan pentadbiran negara dalam melaksanakan seluruh kewajiban, maka perlu ada (contohnya) Jabatan Pendidikan, Kesihatan, Pertanian, Minyak Dan Gas, Komunikasi, Pengangkutan, Perhutanan, Elektrik Dan Tenaga, Pertanahan, Pengairan dan sebagainya. Terpulanglah kepada ijtihad dan polisi Khalifah mengenai apa dan berapa banyak Masalih ad-Daulah yang perlu ditubuhkan asalkan ia dapat menunaikan segala kewajiban negara dan memenuhi kepentingan (maslahat) masyarakat.

(11) Baitul Mal - Baitul Mal adalah sebuah autoriti yang bertanggungjawab terhadap setiap pendapatan dan perbelanjaan negara yang menjadi hak kaum Muslimin. Oleh itu, setiap harta sama ada tanah, bangunan, bahan galian, wang atau barangan apa pun yang mana kaum Muslimin berhak ke atasnya mengikut hukum syara’, maka ia menjadi tanggungjawab Baitul Mal untuk menguruskannya. Baitul Mal berada di bawah pengawalan Khalifah secara langsung atau di bawah kawalan orang yang dilantik untuk mengurusinya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kadang-kadang menyimpan, memungut dan membahagikan harta kaum Muslimin secara sendiri dan kadang-kadang baginda mengangkat orang lain untuk menangani urusan tersebut. Begitu juga dengan Khulafa’ Rasyidin sesudah baginda yang kadang-kadang menguruskan Baitul Mala secara langsung dan ada masa para Khalifah melantik wakil untuk menguruskannya. Dalil tentang kewujudan dan peranan Baitul Mal ini sudah cukup masyhur di dalam hadis dan juga Ijmak Sahabat.

Adapun dari segi pembahagian struktur Baitul Mal mengikut pendapatan dan perbelanjaan negara (berdasarkan hukum syara’), maka Baitul Mal dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama: Bahagian Kemasukan/Pendapatan yang mempunyai 3 Diwan/seksyen yang terdiri dari (i) Diwan Fai’ dan Kharaj (meliputi ghanimah, kharaj, jizyah, tanah-tanah, fai’ dan juga dharibah), (ii) Diwan Pemilikan Umum (meliputi kemasukan/pendapatan dari petroleum, gas, elektrik, galian mineral, laut, sungai, hutan, padang gembalaan, hima dan sebagainya), (iii) Diwan Zakat (meliputi zakat wang – emas dan perak, perdagangan, pertanian, ternakan dan lain-lain). Kedua: Bahagian Perbelanjaan yang terdiri dari 8 Diwan iaitu (i) Diwan Dar al-Khilafah (ii) Diwan Kemaslahatan Negara (iii) Diwan Subsidi (iv) Diwan Jihad (v) Diwan Pengelolaan Zakat (vi) Diwan Pengelolaan Pemilikan Umum (vii) Diwan Keperluan Darurat dan (viii) Diwan Anggaran, Pengawalan dan Pengawasan Umum.

(12) Lembaga Penerangan - Penerangan merupakan aktiviti penting bagi dakwah dan negara. Lembaga Penerangan bukan termasuk Jabatan yang melayan kepentingan masyarakat (sebagaimana Masalih ad-Daulah), akan tetapi kedudukannya berhubung langsung dengan Khalifah sebagai instansi yang mandiri. Adanya strategi informasi yang spesifik untuk memaparkan Islam dengan pemaparan yang kuat dan membekas akan mampu menggerakkan akal manusia agar mengarahkan pandangannya kepada Islam. Kewujudan Lembaga Penerangan ini juga akan memudahkan usaha menggabungkan negeri-negeri kaum Muslimin ke dalam Daulah Khilafah. Kepentingan Lembaga Penerangan ini juga tampak jelas dalam perkara-perkara yang berhubung dengan perang seperti perisytiharan jihad, pergerakan pasukan, kemenangan dan kekalahan dalam perang dan sebagainya yang wajib dimaklumi secara langsung kepada Khalifah di mana Khalifah akan menentukan pula informasi manakah yang patut disiarkan, diumumkan ataupun ditutup untuk kemaslahatan kaum Muslimin.

(13) Majlis Umat (Majlis Syura) – Majlis Umat adalah majlis yang dianggotai oleh para individu yang mewakili kaum Muslimin dalam memberikan pendapat sebagai tempat merujuk bagi Khalifah untuk meminta nasihat/input mereka dalam pelbagai urusan. Majlis ini juga mewakili umat dalam melakukan muhasabah terhadap Khalifah dan semua pegawai negara. Keberadaan Majlis Umat ini diambil dari aktiviti Rasulullah yang sering meminta pendapat/bermusyawarah dengan beberapa orang kaum Muhajirin dan Ansar yang mewakili kaum masing-masing. Hal ini juga diambil dari perbuatan (af’al) khusus Rasulullah terhadap beberapa orang tertentu di kalangan sahabat untuk meminta input/masukan dari mereka. Realiti Majlis Umat ini juga diambil dari perbuatan para Khulafa’ Rasyidin yang sering bermusyawarah dan mengambil pendapat orang-orang tertentu di kalangan mereka yang dipanggil ahlu halli wal aqdi. Orang non-Muslim yang menjadi warganegara Khilafah juga boleh menjadi anggota Majlis Umat tetapi hanya terbatas kepada menyampaikan pengaduan tentang kezaliman pemerintah (dan pegawai negara) terhadap mereka atau pengaduan tentang hak-hak mereka yang diabaikan oleh Negara. Majlis ini diberi nama Majlis Umat kerana ia merupakan wakil umat dalam melakukan muhasabah terhadap pemerintah dan juga mengadakan musyawarah antara mereka.

[Segala paparan di atas adalah ringkasan dari kitab Ajhizah Daulah al-Khilafah Fi al-Hukum wa al-Idarah, keluaran Hizbut Tahrir dan juga kitab Nizam al-Hukum Fi al-Islam karangan Syeikh Taqiuddin an-Nabhani yang merupakan pendiri Hizbut Tahrir].

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR