ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


SEMALAM DAN HARI INI YANG SAMA

SEMALAM DAN HARI INI YANG SAMA




Setelah mencapai kemenangan dengan majoriti mudah dalam pilihan raya umum baru-baru ini, maka berdasarkan Perlembagaan Malaysia, Barisan Nasional (BN) secara automatik dapat membentuk sebuah kerajaan. Pengerusi BN yang juga presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri dan seterusnya, dengan kuasa penuh yang ada pada beliau, telah melantik barisan kabinet yang bakal menerajui pemerintahan negara ini. Dalam kabinet baru ini, Abdullah telah menggabungkan muka baru dan lama dan menggugurkan beberapa orang menteri lama yang sudah tidak dikehendakinya, manakala bilangan jemaah menteri dikurangkan kepada 68 berbanding 90 sebelum ini. Selain kejutan ini, UMNO juga dilanda dengan kejutan lain apabila dua orang pemimpin tertingginya meletak jawatan dan setakat ini tiga orang timbalan menteri yang baru dilantik tidak mahu menerima (menolak) jawatan yang diberi Abdullah. Barisan kabinet baru ini juga dibidas pembangkang sebagai pro-Pak Lah di mana dikatakan semua orang kuat Najib diketepikan. Bukan sahaja di peringkat persekutuan, malah di peringkat negeri juga UMNO dilanda kemelut politik yang hebat, khususnya perbalahan dan pergaduhan sesama sendiri bagi merebut jawatan Menteri Besar. UMNO yang sebelum ini cuba melaga-lagakan pembangkang dengan krisis pelantikan Menteri Besar Perak, ternyata mengata dulang paku serpih. Begitu juga dengan tuduhan yang dilemparkan kepada pembangkang sebagai tidak menghormati institusi istana, kini dengan perebutan jawatan Menteri Besar Terengganu, UMNO sekali lagi dilihat tidak lebih dari mengata dulang paku serpih juga.

Selain pelantikan menteri di peringkat pusat, jentera pemerintahan di peringkat negeri juga menyaksikan pelantikan Menteri Besar/Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri masing-masing, termasuklah di negeri-negeri yang dimenangi BA. Walaupun kedua-dua belah pihak masih dalam suasana tergamam dengan kemenangan dan kekalahan masing-masing, namun keghairahan untuk memerintah negara dan negeri yang berjaya ditawan tetap mengatasi segala perasaan lain yang ada. Kuasa telah ada di tangan, apa yang penting sekarang adalah untuk membentuk jentera eksekutif secepat mungkin untuk memulakan pemerintahan. Walaupun ada beberapa orang Menteri, Menteri Besar dan juga Exco yang dipertikaikan kredibilitinya oleh banyak pihak, namun yang pasti, mereka semua telah dilantik sesuai dengan peruntukan undang-undang yang ada. Mahu tidak mahu, semua pihak terpaksa akur dengan hakikat bahawa BA telah berjaya membentuk pemerintahan di lima buah negeri manakala BN pula masih lagi berkuasa di peringkat persekutuan. Inilah perbincangan yang akan di bawa oleh Sautun Nahdhah kali ini di mana dalam hilai tawa dan tangis sendu atas perubahan yang telah melanda negara, umat Islam langsung tidak sedar bahawa yang berubah itu hanyalah beberapa ‘orang’nya, bukan ‘sistem’nya. Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan masih sama, Perlembagaan Negeri masih sama, segala undang-undang dan peraturan yang ada masih sama dan sistem yang diamalkan pun masih sama. Semoga risalah kecil ini dapat membuka pintu hati kaum Muslimin yang ikhlas yang masih lagi berjuang mencari kebenaran dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah di bumiNya ini.

Jenis-jenis Sistem Pemerintahan Di Dunia

Di dalam Sautun Nahdhah (SN)111 “Menegakkan Daulah Khilafah Adalah Wajib” dan juga SN161 “Struktur Daulah Khilafah”, kami telah pun menerangkan dengan nas-nas yang qath’i bahawa sistem Pemerintahan Islam yang diwajibkan oleh Tuhan semesta alam ke atas manusia adalah sistem Khilafah. Di dalam sistem Khilafah ini, Khalifah diangkat melalui bai’at berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya untuk memerintah sesuai dengan apa yang Allah kehendaki. Dalil-dalil tentang perkara ini amat banyak yang diistinbath (digali) dari Al-Quran, Al-Hadis dan juga dari Ijmak Sahabat. Amat naiflah pandangan mereka yang menyatakan bahawa Islam tidak merincikan bab pemerintahan sehingga manusia boleh mengambil atau memilih mana-mana sistem pemerintahan yang mereka suka atau yang mereka fikirkan sesuai. Pandangan seperti ini hanyalah dikeluarkan oleh mereka yang jahil sahaja atau oleh mereka yang telah terbius dengan pemikiran kufur-Barat atau pun oleh mereka yang sombong, bongkak dan angkuh dari kebenaran. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyempurnakan agama ini melalui RasulNya sehingga tidak ada satu perkara pun yang tidak disempurna dan dirincikan oleh Islam, apatah lagi di dalam bab pemerintahan.

Sistem pemerintahan Islam (Khilafah) berbeza dengan seluruh bentuk pemerintahan yang ada di seluruh dunia ketika ini, baik dari segi akidah sebagai asas yang mendasarinya, dari segi pemikiran, pemahaman, maqayis (standard/piawai) mahu pun hukum-hakam yang mengatur berbagai urusan. Berdasarkan perlembagaan dan undang-undang yang ada di seluruh dunia Islam saat ini, ia sama sekali berbeza dengan sistem pemerintahan Islam (sistem Khilafah) dan tidak ada satu negara pun di dunia ketika ini yang boleh mencerminkan Daulah Islam, walaupun pemerintah beberapa negara mendakwa negara mereka adalah negara Islam.

Sistem pemerintahan Islam bukan sistem kerajaan (monarki). Islam bukan sekadar tidak mengakui sistem monarki, malah sistem pemerintahan Islam juga sememangnya tidak menyerupai sistem monarki. Hal ini kerana dalam sistem monarki, seorang anak raja (putera mahkota) akan menjadi raja/pemerintah kerana perwarisan. Manakala umat Islam pula langsung tidak memiliki kekuasaan di dalam pengangkatan raja. Adapun dalam sistem Khilafah, tidak ada soal pewarisan. Akan tetapi, bai’at dari umatlah yang menjadi tariqah (metode) untuk pengangkatan Khalifah. Sistem monarki juga memberikan keistimewaan dan hak-hak khusus kepada raja yang tidak dimiliki oleh seorang pun dari individu rakyat. Hal ini menjadikan raja berada di atas undang-undang. Di sesetengah negara, raja hanya menjadi simbol bagi rakyat, yakni ia menjawat sebagai raja tetapi tidak memerintah. Dalam sesetengah negara pula ia menduduki jabatan raja sekali gus memerintah untuk mengatur negeri dan penduduknya sesuai dengan keinginan dan kehendak hawa nafsunya (monarki mutlak). Raja tetap tidak boleh disentuh oleh undang-undang meskipun ia jelas-jelas melakukan kesalahan dan kezaliman. Sebaliknya dalam sistem Khilafah, Khalifah tidak diberi kekhususan dengan keistimewaan yang menjadikannya berada di atas undang-undang sebagaimana seorang raja. Khalifah juga bukanlah simbol bagi umat dalam pengertian seperti raja dalam sistem kerajaan. Akan tetapi, Khalifah merupakan wakil umat dalam menjalankan pemerintahan dan kekuasaan menurut Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Ia dipilih dan dibai’at oleh umat untuk menerapkan hukum-hukum syariah atas mereka. Khalifah sendiri terikat dengan hukum-hukum syariah sebagaimana rakyatnya.

Sistem pemerintahan Islam juga bukan sistem imperium (kekaisaran/caesar)
. Sesungguhnya sistem kekaisaran itu sangat jauh dari Islam. Sistem Khilafah, meskipun rakyatnya berlainan bangsa dan warna kulitnya, dan pemerintahannya dikembalikan kepada satu pusat, ia adalah amat berlawanan dengan sistem kekaisaran. Ini adalah kerana sistem kekaisaran tidak menyamakan pemerintahan di antara bangsa-bangsa di wilayah-wilayah dalam kekaisaran tersebut. Akan tetapi, sistem kekaisaran memberikan keistimewaan kepada pemerintahan pusat kekaisaran, baik dalam hal pemerintahan, harta, mahupun perekonomian. Tariqah Islam dalam memerintah adalah menyamakan seluruh rakyat yang diperintah di kesemua wilayah di dalam Negara. Islam menolak berbagai sentimen primordial (kebangsaan). Islam memberikan pelbagai hak pelayanan dan kewajiban kepada non-Muslim yang memiliki kewarganegaraan sesuai dengan hukum syariat. Mereka memiliki hak dan kewajiban yang sama dengan kaum Muslimin secara adil. Bahkan lebih dari itu, Islam tidak menetapkan bagi seorang pun di antara rakyat di hadapan pengadilan (tidak kira apa pun mazhabnya) sejumlah hak istimewa yang tidak diberikan kepada orang lain, meskipun ia seorang Muslim. Sistem pemerintahan Islam, dengan adanya kesamarataan ini, jelas berbeza dari kekaisaran. Dengan sistemnya yang tersendiri, Islam tidak menjadikan berbagai wilayah kekuasaan dalam Negara sebagai wilayah jajahan, bukan juga sebagai wilayah yang dieksploitasi, dan bukan pula sebagai ‘lembu perah’ yang diperas untuk kepentingan pusat sahaja. Akan tetapi, Islam menjadikan semua wilayah kekuasaan Negara sebagai satu kesatuan meskipun jaraknya berjauhan dan penduduknya berbeza-beza bangsa dan keturunan. Semua wilayah dianggap sebagai bahagian integral dari tubuh Negara. Seluruh penduduk wilayah memiliki hak seperti penduduk pusat atau wilayah lainnya. Islam menetapkan kekuasaan, sistem dan peraturan pemerintahan adalah satu/sama untuk semua wilayah.

Sistem pemerintahan Islam bukan sistem federasi
. Dalam sistem federasi, wilayah-wilayah dalam negara terpisah antara satu sama lain dengan memiliki kuasa yang tersendiri, dan mereka dipersatukan dalam masalah pemerintahan (undang-undang) yang bersifat umum. Malaysia merupakan contoh terbaik dalam model ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan bersifat federasi. Malaysia terbentuk dari 13 buah negeri dan sebuah wilayah persekutuan (Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya). Dari segi sejarahnya, Malaysia merupakan gabungan dari negeri-negeri Melayu Bersekutu, negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan negeri-negeri Selat. Walaupun telah berlaku penggabungan, namun setiap negeri mempunyai kuasa autonomi dalam beberapa bidang tertentu dan mereka menjalankan aktiviti kenegeriannya tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Maksudnya, semua peraturan atau undang-undang yang berlaku di dalam negeri tidak boleh melangkaui kuasa atau undang-undang persekutuan [Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan]. Dari aspek pemerintahan berparlimen, Malaysia sebagai negara bekas jajahan kuffar British (dan ahli Commonwealth) menerima pakai sistem pentadbiran yang dikenali sebagai sistem Westminster. Ia merupakan sistem pentadbiran yang diguna pakai oleh parlimen di United Kingdom. Sistem Westminster menggariskan beberapa siri kuasa yang juga berkonsepkan ‘kuasa kolektif’ di mana ketua Eksekutif (Perdana Menteri) berkuasa mengagih kekuasaannya kepada beberapa ahli jemaah menteri di peringkat nasional, manakala di peringkat negeri atau sub-nasional, kuasanya diagihkan kepada ketua eksekutif negeri yang dikenali sebagai Menteri Besar/Ketua Menteri. Berdasarkan sistem Westminster inilah (bukan berdasarkan sistem Islam), Malaysia mempunyai dua dewan Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mana segala perbincangan, perbuatan dan perkataan yang berlaku dalam Parlimen adalah ‘kebal’ dari sebarang tindakan undang-undang.

Sistem federasi bukan dari Islam. Sistem pemerintahan Islam adalah sistem kesatuan di mana tidak ada perbezaan dari apa jua segi, khususnya undang-undang, di antara pusat dan negeri dan mana-mana wilayah kekuasaan Islam sekalipun. Administrasi kewangan seluruh wilayah dianggap sebagai satu kesatuan dan bajetnya juga satu, yang diambil dan dibelanjakan untuk kemaslahatan seluruh rakyat tanpa memandang wilayahnya. Seandainya satu wilayah pendapatannya tidak mencukupi keperluannya, maka wilayah itu akan dibiayai sesuai dengan keperluannya (bukannya menurut pendapatan dari wilayahnya).

Sistem Pemerintahan Islam bukan sistem republik.
Sistem republik pertama kali muncul sebagai reaksi terhadap penindasan sistem kerajaan (monarki). Ini adalah kerana raja memiliki kedaulatan dan kekuasaan sehingga ia memerintah dan bertindak atas negeri dan penduduknya menurut hawa nafsunya semata-mata. Hasil ketidakpuasan hati rakyat, lalu muncul sistem republik, kemudian kedaulatan dan kekuasaan dipindahkan kepada rakyat dalam apa yang disebut dengan demokrasi. Rakyatlah yang kemudian membuat undang-undang, bukan lagi raja, rakyatlah yang menetapkan halal dan haram, terpuji dan tercela, baik dan buruk. Di bawah sistem pemerintahan ini, pemerintahan berada di tangan presiden dan para menterinya, dalam sistem presidential republic dan di tangan kabinet dalam sistem parlimentary republic. Contoh pemerintahan di tangan kabinet juga wujud dalam sistem monarki yang kekuasaan pemerintahannya dicabut dari tangan raja di mana raja tinggal menjadi simbol (wujud institusi raja, tetapi tidak memerintah). Dalam sistem presidential republic, seorang presiden memiliki bidang kuasa sebagai seorang ketua negara sekali gus sebagai seorang Perdana Menteri manakala dalam sistem parlimentary republic, bidang kuasa pemerintahan berada di tangan Perdana Menterinya, bukan di tangan presiden.

Islam berbeza sama sekali dengan sistem republik demokrasi di mana dalam Islam, kekuasaan untuk membuat hukum (udang-undang) bukan berada di tangan rakyat, tetapi ada pada Allah Azza wa Jalla. Tidak ada seorang manusia pun dibenarkan menentukan halal dan haram. Islam memandang bahawa memberi kuasa untuk membuat udang-undang kepada manusia merupakan kemaksiatan dan dosa yang besar. Allah berfirman, “Mereka telah menjadikan para pembesar mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” [TMQ at-Taubah (9):31]. Ketika turun ayat ini, Rasulullah menjelaskan bahawa sesungguhnya para pembesar dan para rahib telah membuat hukum, kerana mereka telah menetapkan status halal dan haram bagi masyarakat, lalu masyarakat mentaati mereka. Sikap demikian dianggap sama dengan menjadikan para pembesar dan para rahib itu sebagai tuhan-tuhan selain Allah. Ini adalah sebagaimana penjelasan Rasulullah kepada Adi Bin Hatim dalam menjelaskan ayat tersebut, “...Benar, mereka tidak menyembah para pembesar dan para rahib itu. Akan tetapi, ketika para pembesar dan para rahib itu menghalalkan sesuatu bagi mereka, mereka pun menghalalkannya, dan jika para pembesar dan para rahib itu mengharamkan sesuatu, mereka pun mengharamkannya” [HR Tarmizi].

Pemerintahan dalam Islam juga bukan dengan model kabinet, yang mana setiap kementerian memiliki kekuasaan dan kewangannya yang tersendiri. Keuntungan satu kementerian/jabatan tidak akan dipindahkan ke kementerian/jabatan yang lain kecuali dengan mekanisme yang panjang. Hal ini mengakibatkan banyaknya halangan untuk menyelesaikan pelbagai kepentingan rakyat, kerana banyaknya campur tangan dan birokrasi yang meletihkan, walaupun untuk mengurus satu kepentingan rakyat sahaja. Padahal seharusnya berbagai kepentingan rakyat itu dapat ditangani oleh satu struktur administrasi yang mudah sahaja. Dalam Islam tidak terdapat kementerian/jabatan yang memiliki autoriti tersendiri atau mempunyai kekuasaan pemerintahan secara keseluruhan (menurut bentuk demokrasi). Akan tetapi, segala autoriti terpusat kepada Khalifah yang akan diagih-agihkan kepada struktur-struktur pemerintahan yang lain, tanpa adanya autonomi penuh pada struktur tersebut.

Sistem pemerintahan Islam bukan sistem Demokrasi. Menurut pengertian hakiki demokrasi, kekuasaan membuat hukum (undang-undang), menetapkan halal dan haram, terpuji dan tercela ada di tangan rakyat. Rakyat juga bebas berbuat apa sahaja (selama mana tidak mengganggu orang lain) tanpa adanya keterikatan dengan hukum-hukum syariat, atas nama kebebasan. Inilah pengertian hakiki demokrasi. Orang-orang kafir benar-benar memahami bahawa kaum Muslimin tidak akan pernah menerima demokrasi dengan pengertiannya yang hakiki ini. Kerana itu, negara-negara kafir penjajah (khususnya AS) berusaha memasarkan demokrasi ke negeri-negeri kaum Muslim dalam versi yang boleh diterima oleh umat Islam. Mereka bersungguh-sungguh berusaha memasukkan demokrasi itu ke tengah-tengah kaum Muslimin melalui jalan penyesatan (tadhlil) dengan menyatakan bahawa demokrasi merupakan alat untuk memilih pemimpin/penguasa. Inilah yang mereka war-warkan. Kita boleh melihat bahawa mereka mampu melembutkan, memukau dan menghancurkan perasaan kaum Muslimin dengan seruan demokrasi ini, dengan memfokuskan kefahaman bahawa demokrasi hanyalah sekadar alat untuk memilih pemimpin. Tujuannya adalah untuk memberikan gambaran yang menyesatkan kepada kaum Muslimin, yakni seakan-akan perkara yang paling mendasar dalam demokrasi adalah pemilihan pemimpin/penguasa. Orang kafir berjaya mengambil peluang ini disebabkan kedudukan di negeri-negeri kaum Muslimin sendiri saat ini yang sedang ditimpa pelbagai penindasan, kezaliman, tekanan dan tindakan ganas, termasuk pembunuhan yang dilakukan oleh penguasa diktator yang sekular, baik mereka yang berada dalam sistem yang disebut kerajaan mahupun republik. Sekali lagi kami katakan, oleh kerana negeri-negeri umat Islam sekarang ini (setelah jatuhnya Khilafah) mengalami semua kesengsaraan tersebut, maka kaum kafir dengan mudah memasarkan idea demokrasi di tengah-tengah negeri kaum Muslimin dan memperbesar-besarkan (demokrasi) hanya sebagai satu alat atau aktiviti memilih penguasa.

Golongan kuffar ini berusaha menutup dan menyembunyikan bahagian mendasar dari demokrasi itu sendiri, yakni sebuah sistem yang menjadikan kekuasaan untuk membuat hukum (undang-undang) serta menetapkan halal dan haram berada di tangan manusia, bukan di tangan Tuhan manusia. Inilah hakikat sebenar demokrasi yang kufur ini. Bahkan sebahagian besar aktivis Islam, termasuk di antaranya adalah para ulama dan syeikhul kabir, terpukau, termakan dan menerima tipuan ini, baik dengan niat yang baik mahupun buruk. Bagi mereka yang berniat baik, jika kita bertanya kepada mereka tentang demokrasi, mereka akan menjawab bahawa demokrasi hukumnya boleh dengan anggapan bahawa demokrasi adalah alat untuk memilih penguasa dengan cara majoriti. Adapun mereka yang memiliki niat buruk yang sudah lari dari Islam dan kasihkan sekular, mereka hanyalah pengekor Barat yang sudah terkontaminasi pemikirannya dengan pemikiran Barat, maka mereka cukup mengagumi sistem demokrasi ini dan mengambilnya sebagaimana yang diambil dan dikehendaki oleh Barat. Bagi mereka, demokrasi bermakna kedaulatan ada di tangan rakyat (malah mereka berbangga dengannya) yang berkuasa membuat hukum sesuai dengan kehendak mereka berdasarkan suara majoriti, menghalalkan dan mengharamkan serta menetapkan status terpuji dan tercela. Dalam demokrasi, setiap individu memiliki beberapa kebebasan dalam segala perilakunya, bebas berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendaknya, bebas meminum khamar, berjudi, berzina, murtad, mengambil riba, membuka aurat, berdua-duaan dan pelbagai lagi dengan dalih kebebasan individu. Inilah realiti, makna dan pengertian hakiki demokrasi. Lalu bagaimana mungkin seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul mengatakan bahawa demokrasi hukumnya boleh atau bahawa demokrasi itu berasal dari Islam?

Adapun cara (kaifiyat) umat Islam memilih penguasa/pemimpin, hal ini merupakan perkara yang telah lama selesai dalam Islam dan dinyatakan dengan jelas di dalam nas-nas syarak. Bai’at dari rakyat kepada Khalifahlah yang merupakan satu-satunya tariqah (metode) untuk menjadikan atau mensahkan seseorang sebagai Khalifah. Sungguh, pemilihan pemimpin (Khalifah) telah dilaksanakan secara praktis di dalam Islam di waktu sebahagian besar negara di dunia masih hidup dalam kegelapan, kediktatoran dan kezaliman para raja. Sesiapa yang mendalami tatacara pemilihan Khulafa’ Rasyidin (Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali), maka ia akan dapat melihat dengan jelas bagaimana sejak dahulu lagi telah sempurna pembaiatan kepada para khalifah tersebut oleh ahlul halli wa al-‘aqdi dan para wakil kaum Muslimin. Dengan bai’at itu, masing-masing dari mereka menjadi Khalifah yang ditaati oleh kaum Muslimin. Ijmak Sahabat di dalam memilih pemimpin inilah yang wajib kita ikuti (dan merupakan satu-satunya hukum syarak yang benar) dan haram bagi umat Islam mengikut yang selainnya (dalam memilih pemimpin), apatah lagi mengikut sistem demokrasi yang di bawa oleh kafir Barat. Ringkasnya, demokrasi adalah sistem kufur yang wajib dijauhi oleh umat Islam. Demokrasi bukanlah alat untuk memilih penguasa (sebagaimana dilaungkan oleh Barat), tetapi hakikat sebenar demokrasi atau perkara yang mendasar dalam demokrasi adalah ianya merupakan sebuah sistem pemerintahan yang menjadikan kekuasaan membuat hukum (undang-undang) berada di tangan manusia, bukan di tangan Allah, Tuhan alam semesta. Firman Allah, “Menetapkan hukum itu hanyalah milik Allah” [TMQ Yusuf (10):40].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Tsunami politik yang melanda Malaysia dengan keputusan pilihan raya lalu nampaknya telah membuka mata banyak pihak. Ada pihak yang selama ini begitu angkuh dengan kekuasaan dan kekuatan yang dimiliki kini sudah mengaku kelemahan dan cuba membaikinya. Ada pula pihak yang diberi oleh Allah peluang untuk memerintah beberapa negeri dan kita masih tidak tahu sama ada mereka akan memikul amanah ini sebagaimana yang dikehendaki Allah atau tidak. Tidak kurang juga sejumlah pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk menuju puncak kekuasaan. Namun, apa yang kami ingin ingatkan dan tegaskan kepada kalian semua adalah segala perubahan yang kalian nampak berlaku pada hari ini hakikatnya sama sahaja dengan hari semalam. Kita masih diperintah oleh ‘sistem’ yang sama, walaupun memang terdapat beberapa ‘orang’ baru dalam pemerintahan. Sebagaimana kami nyatakan di awal kalam, Perlembagaan Malaysia masih yang itu, yang itu juga, begitu juga dengan undang-undang yang diterapkan atau yang bakal diterapkan, masih undang-undang yang sama, masih melalui proses yang sama, masih berdasarkan sistem demokrasi-kufur yang mana undang-undangnya dibuat dan diluluskan oleh manusia dengan suara majoriti. Satu hal yang juga langsung tidak berubah dari hari semalam adalah ‘sistem pemerintahan’ yang diterapkan. Sistem Federasi yang bukan dari Islam masih dikekalkan dan baik kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri, pemerintah yang baru juga masih mempertahankan bentuk sistem pemerintahan yang sedia ada dan tetap tidak berubah kepada sistem pemerintahan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Sedarlah wahai kaum Muslimin, hanya dengan kembali kepada Sistem Pemerintahan Khilafah sahajalah, perubahan yang benar-benar dituntut oleh Islam akan terealisasi, dan sistem ini boleh diwujudkan jika pemerintah yang sedia ada menginginkannya. Namun, jika mereka tidak menginginkannya, maka Allah Maha Berkuasa untuk menggantikannya dengan kepimpinan lain di mana Allah akan mengangkat dan memuliakan pemerintah ini dengan kekuasaanNya.










0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR