ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


SETELAH KEHANCURAN SOSIALIS-KOMUNIS, KAPITALISME KINI MENUJU PERKUBURAN, HANYA ISLAMLAH SATU-SATUNYA PILIHAN



SETELAH KEHANCURAN SOSIALIS-KOMUNIS, KAPITALISME KINI MENUJU PERKUBURAN, HANYA ISLAMLAH SATU-SATUNYA PILIHAN


Ekonomi dunia kini berada di ambang kemelesetan. Bermula dengan krisis hartanah yang melanda Amerika dan kejatuhan nilai gadaian yang mengakibatkan peminjam tidak mampu membayar hutang, kemudian krisis ini semakin merebak menyebabkan bank-bank utama serta syarikat kewangan menjadi muflis atau sedang berada di ambang muflis. Sebelumnya, bank-bank dan juga syarikat kewangan menumpukan perhatian mereka kepada sektor hartanah yang sedang berkembang dan menjanjikan keuntungan lumayan. Akhirnya, bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan ini jatuh tersungkur dan membawa yang lain rebah bersamanya. Amerika seolah-olah kini sedang demam dan bersin, lalu virusnya merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan seluruh dunia demam.


Beberapa sektor kewangan menganggarkan kerugian yang disebabkan oleh krisis gadaijanji hartanah mencecah hingga USD300 bilion di Amerika Syarikat sahaja, dan sebanyak USD550 bilion di luar Amerika. Natijahnya beberapa negara terutama negara kaya yang terjejas telah memberikan suntikan modal kepada pasaran kewangan supaya dapat memulihkan keyakinan pelabur dan memberi kecairan tunai untuk merangsang aktiviti perekonomian. Malahan, sesetengah negara telah campur tangan secara langsung dengan memiliknegarakan bank-bank tertentu, sebagaimana yang dilakukan oleh Britain.


Semua ini membawa maksud bahawa asas-asas penting ekonomi Kapitalis, pasaran bebas dan dasar tidak campur tangan negara (laissez-faire) dalam ekonomi telah musnah. Dua unsur ini merupakan kepercayaan asas para Kapitalis. Malahan, Dewan Senat Amerika Syarikat pada bulan Disember 1999 telah meluluskan akta yang melarang sebarang bentuk kekangan ke atas sistem kewangan dan mengumunkan bahawa pasaran kewangan adalah bebas walau apa pun harganya. Akhirnya, kerosakan dan kesalahan asas-asas tersebut dimanifestasikan sendiri oleh pihak yang memasarkan ideanya (yakni) Amerika. Amerika telah mengumunkan campur tangan negara dalam pasaran, setelah Dewan Senat dan Kongres meluluskan pelan oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Henry Paulson, agar menyuntik USD700 bilion untuk membeli instrumen kewangan oleh bank-bank dan syarikat kewangan yang terjejas dalam pasaran gadai-janji hartanah. Dan dalam masa singkat setelah diluluskan, Setiausaha Perbendaharaan Amerika telah melaksanakan pelan tersebut. Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa setelah berkuburnya sistem Sosialis-Komunis, sistem Kapitalis pula kini sedang menuju perkuburannya.


Perkembangan ini telah memaksa dunia menggembleng usaha. Empat negara utama di Eropah, Perancis, German, Britain dan Itali telah mengadakan pertemuan dan mereka menggesa suatu pertemuan yang lebih menyeluruh untuk mengkaji semula sistem ekonomi. Begitu juga dengan Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai bank pusat negara G7 (atau G-8 jika Rusia disertakan) telah mengadakan pertemuan tergempar di Washington. Walau apa pun usaha dilakukan, namun apakah usaha-usaha tersebut mampu memulihkan ekonomi Kapitalis sebagaimana yang diharapkan?


Para pemerhati perkembangan sistem Kapitalis dapat melihat bahawa sistem ekonomi ini kini sedang berada diambang kehancuran, jika pun ianya belum hancur lagi. Apa sahaja usaha pada saat ini untuk menyelamatkan sistem yang ada hanya dapat ‘melegakan kesakitan’ untuk suatu masa yang singkat sahaja. Ini kerana sebab-sebab kejatuhannya memerlukan baik pulih mendasar (overhaul) atas asas utama sistem ekonomi Kapitalis itu sendiri dan bukan sekadar memulihkan simptom-simptom yang dihadapinya. Di dalam memperkatakan tentang kehancuran ini, terdapat empat faktor utama yang merupakan asas sistem ekonomi Kapitalis yang perlu diperhatikan:-


Pertama: Kapitalisme telah memansuhkan emas sebagai sandaran/piawaian utama mata wang dan memperkenalkan mata wang dolar sebagai sandaran setara mata wang dunia selepas tamatnya Perang Dunia Kedua di bawah perjanjian Bretton’s Wood dan kemudiannya penggantian sepenuhnya emas dengan mata wang dolar Amerika di awal tahun 1970. Praktik ini menyebabkan ekonomi dunia begitu terdedah kepada keadaan ekonomi di Amerika syarikat. Ini kerana mata wang di kebanyakan negara di dunia, jika tidak semua, diikat dengan mata wang AS dan bukannya dengan emas, walaupun hakikatnya nilai mata wang AS hanyalah tidak lebih dari sehelai kertas yang dicetak di Amerika. Walaupun selepas diperkenalkan mata wang Eropah, dolar AS masih mengekalkan pengaruhnya, kerana kebanyakan mata wang dunia masih terikat dengan dolar. Selagi mana emas tidak dijadikan sebagai sandaran mata wang, selagi itulah dunia tidak akan bebas dari berulang dan berulangnya krisis ekonomi. Sebarang kejutan nilai dolar akan secara langsung menggoncang ekonomi negara-negara lain di dunia. Malahan dasar ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan ke atas ekonomi di luar negara Uncle Sam tersebut.


Kedua: Pinjaman berasaskan riba telah menyebabkan kerumitan ekonomi. Walaupun nilai pokok pinjaman berserta riba sedikit demi sedikit berkurangan setiap masa, namun dalam banyak keadaan, individu atau negara tidak mampu membayar hutang mereka (kerana riba). Aktiviti ekonomi menjadi lembap disebabkan ketidakmampuan kebanyakan pihak untuk membayar hutang (campur riba) dan ini akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran.


Ketiga: Sistem dan praktik pasaran kewangan dan bursa saham membeli dan menjual saham, instrumen kewangan dan komoditi yang tidak memerlukan ‘pemilikan barang’ (possession of goods). Malahan ianya dijual dan dibeli berulang-ulang kali tanpa berlakunya pemindahan pemilikan dari penjual kepada pembeli. Praktik ini tidak sah (haram) di sisi Islam. Ia menimbulkan lebih banyak kesukaran dari penyelesaian, kerana ia menyebabkan nilai barang meningkat dan jatuh, walaupun hakikatnya barang-barang tersebut tiada dalam pemilikan. Semua ini mengundang ketidakstabilan dalam pasaran kerana keuntungan dan kerugian yang dialami adalah berdasarkan jalan spekulatif. Semua ini akan berulang tanpa disedari sehinggalah berlakunya krisis ekonomi.


Keempat: Yang paling penting adalah tiada kefahaman akan realiti pemilikan (ownership) baik di pihak negara-negara Timur mahupun Barat. Di bawah Ideologi Sosialis-Komunis, semua pemilikan adalah berkisar kepada negara manakala di bawah Ideologi Kapitalis, semuanya adalah hak milik individu tanpa campur tangan negara, kerana fahaman Kapitalis memasarkan idea pasaran bebas. Keadaan ini semakin sukar dan membarah di bawah globalisasi.


Kejahilan terhadap realiti ini menyebabkan dunia mengalami kegoncangan dan krisis ekonomi. Ini kerana hak milik tidak sepatutnya dibolot baik oleh negara atau pun individu-individu sahaja. Sistem Ekonomi Islam berbeza sama sekali dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia di atas. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana berasal dari wahyu, dan dari segi pemilikan, ia menerangkan kepada kita bahawa terdapat tiga jenis pemilikan:-


(i) Hak milik umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh negara manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat.


(ii) Hak milik negara: meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar’ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri, di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat.


(iii) Hak milik individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar’ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar’ie juga.


Jika ketiga-tiga jenis pemilikan ini dijadikan sebagai satu dan diletak sama ada sebagai pemilikan negara atau individu, sungguh krisis dan kegagalan tidak akan dapat dielak lagi. Kedudukan salah inilah yang sebelum ini telah menyebabkan kehancuran sistem ekonomi Komunis kerana mereka meletakan seluruh pemilikan sebagai hak milik negara. Akibat pengagihan yang tidak betul di dalam sistem ekonomi Komunis, harta yang secara semula jadinya dimiliki oleh negara seperti petroleum dan industri berat telah membawa kepada kejayaan ekonominya, sebaliknya harta yang secara semula jadinya dimiliki oleh individu seperti pertanian, perdagangan dan industri kecil telah mengundang kegagalan yang menyebabkan keruntuhan sistem ekonomi mereka.


Begitulah juga nasib yang menimpa sistem ekonomi Kapitalis yang sedang diambang keruntuhan ini. Ini disebabkan ia meletakan pemilikan umum seperti petroleum, gas dan sumber tenaga, industri berat malahan industri ketenteraan kepada individu dan syarikat-syarikat, sementara negara menjauhkan diri untuk campur tangan di dalam pasaran, menghalang dirinya dari memiliki sesuatu yang sepatutnya menjadi hak milik negara. Semuanya adalah atas nama pasaran bebas, laissez-faire, berkecuali dan globalisasi. Kesannya dapat kita lihat sekarang yang sudah tidak dapat dielakkan lagi, berulangnya kemelesetan ekonomi, kejatuhan mendadak pasaran kewangan dan juga kejatuhan syarikat-syarikat korporat satu demi satu.


Setelah kegagalan Ideologi Komunis dan sekarang Ideologi Kapitalis pula sedang mengikuti langkah kehancuran yang sama. Sebagai Muslim, kita hendaklah yakin dan tidak ragu sedikit pun bahawa hanya sistem Islamlah satu-satunya yang mampu mengubati dan menghindari dari berlakunya krisis ekonomi. Ini kerana sistem ekonomi Islam mengharamkan faktor-faktor yang boleh mengundang berlakunya krisis ekonomi.


Islam menetapkan hanya emas dan perak sahajalah sebagai sandaran kewangan. Sebarang bentuk mata wang yang dikeluarkan mestilah disandarkan kepada emas dan perak dan boleh ditukar di atas permintaan. Mata wang kertas sesebuah negara tidak boleh diikat dengan mata wang sebuah negara yang lain. Setiap mata wang negara mestilah tidak bergantung kepada mata wang lain dan ia perlu memiliki nilai yang tetap, tidak boleh ubah dan nilai intrinsik.


Islam juga mengharamkan riba dalam apa bentuk sekalipun dan menganjurkan pinjaman kepada orang yang memerlukan tanpa riba atas jumlah asal (prinsipal). Islam menjadikan perbendaharaan negara, Baitul Mal, kekal sebagai satu struktur pemerintahan yang tersendiri untuk memberikan pinjaman tanpa riba kepada siapa sahaja yang memerlukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan.


Islam juga mengharamkan proses jualan barang sebelum pembeli memperolehinya, yang bermakna Islam mengharamkan transaksi barang yang tidak dimiliki. Islam juga mengharamkan transaksi dalam instrumen kewangan, pasaran hadapan dan saham yang dihasilkan dari kontrak yang tidak sah dan juga yang bersifat jual-beli spekulatif. Sebaliknya semua perkara tersebut dibenarkan dalam ekonomi Kapitalis.


Islam juga mengharamkan mana-mana individu, syarikat dan badan korporat dari diberi hak milik harta-harta yang datang dari pemilikan umum seperti petroleum, mineral, sumber tenaga, tenaga elektrik dan sebagainya. Sebaliknya Islam mengamanahkan negara agar mengurusinya menurut hukum syarak. Ini bermakna sistem ekonomi Islam telah mengenal pasti dan mengubati semua masalah ekonomi dan krisis yang disebabkan oleh sifat tamak manusia. Inilah sistem yang diperintahkan oleh Pencipta alam semesta, Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluknya. FirmanNya,


“Apakah Allah yang Menciptakan itu tidak mengetahui? Walhal Dia Maha Halus Maha Mengetahui” [TMQ al-Mulk (67):14].


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Allah SWT telah mengurniakan kalian kemuliaan dengan deenul Islam yang diturunkanNya melalui Rasulullah SAW dan Dia juga telah memberi amaran kepada kalian melalui wahyuNya. Hanya kerana Islamlah kalian dikeluarkan untuk menjadi umat yang terbaik di kalangan manusia. Kemuliaan dan kesejahteraan kalian bergantung kepada pelaksanaan deenul Islam sebagai cara hidup. Dan kesejahteraan ini bukanlah untuk kalian sahaja, tetapi untuk seluruh manusia, setelah manusia menanggung dan terus menanggung kekejaman di bawah kejahatan sistem buatan manusia. Tambahan lagi, penerapan cara hidup terbaik ini tidak akan mampu direalisasikan selagi Al-Quran diketepikan, dan selagi tidak ada sebuah Negara yang akan menerapkan segala ajarannya dan membawa risalah ini ke seluruh dunia - iaitu melalui Negara Khilafah ala minhaj nubuwwah - yang akan membawa keberkatan, rahmat dan kesejahteraan.


Ingatlah wahai saudaraku! Dalam keadaan kalian diselubungi kemewahan mahupun penderitaan, Allah SWT tidak akan menghantar para malaikat untuk menubuhkan Negara Khilafah, sebaliknya ia (penubuhan Khilafah) merupakan kewajipan yang wajib diusahakan oleh kalian, sebagaimana ia kewajipan yang telah diusahakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah menubuhkan Negara Islam Madinah. Justeru, sediakanlah diri kalian dan bangkitlah menggembleng tenaga bersama Hizbut Tahrir dan berilah sokongan kalian. Carilah limpah kurnia Allah untuk bersama dengan sebuah parti yang berusaha untuk mewujudkan rahmat Allah ke seluruh alam. Moga-moga dengan sokongan kalian, janji Allah SWT untuk memberi kemenangan dan kekuasaan serta khabar gembira yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW bahawa Khilafah akan kembali semula akan dapat direalisasikan, Insya Allah. Wahai kaum Muslimin! Kalian adalah pembawa cahaya kepada alam dan kalian adalah orang yang selayaknya memimpin dunia, dengan Islam.


“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ al-Anbiya’ (21):21].


0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR