ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


HIJRAH : TITIK PERUBAHAN KEPIMPINAN DUNIA




HIJRAH : TITIK PERUBAHAN KEPIMPINAN DUNIA






Berkumandangnya azan Maghrib pada senja 19 Januari ini akan mengakhiri tahun 1427 Hijrah, sekali gus menandakan masuknya tahun baru 1428 Hijrah. Jika 1428 tahun dahulu Rasulullah telah berjaya merubah keadaan kaum Muslimin yang dihina, diseksa dan dibunuh kepada satu keadaan yang memberikan mereka kemuliaan, kekuatan dan kekuasaan, namun pada hari ini, kemuliaan dan kekuatan ini telah tercabut dari umat Islam. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, tahun Hijrah kali ini akan turut berlalu dengan meninggalkan luka parah ke atas umat Islam yang masih belum dapat diubati. Apa tidaknya, umat Islam masih kehilangan ibunya yang dulu sentiasa menjaga dan merawat mereka serta sentiasa memberi perlindungan dan kejayaan kepada mereka. Akibat dari ketiadaan ibu yang menjaga mereka, umat Islam hari ini telah menjadi santapan serigala dari segenap arah yang menyerang dan membunuh mereka tanpa sedikit pun rasa kasihan. Tambah malang, para pemimpin yang memimpin mereka turut membantu serigala-serigala ini melahap hidangannya tanpa belas kasihan. Bagaikan haruan yang memakan anak sendiri, pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini turut meratah hidup-hidup anak-anak yang sepatut dijaganya. Inilah gambaran kehidupan umat Islam yang dapat kita saksikan saban tahun yang berlalu, sehinggalah ke saat ini.








Di samping keperitan kita menyaksikan nasib umat Islam di seluruh dunia yang tidak terbela setelah kejatuhan Khilafah Utsmaniah pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), kita turut terhiris mendengar para ulama dan pemerintah yang menyelewengkan makna sebenar Hijrah. Atas alasan kononnya Islam bukanlah agama yang sempit, maka makna Hijrah telah diperluaskan seluas-luasnya. Hijrah dikatakan bermaksud apa-apa sahaja perubahan sama ada dari segi ekonomi, kewangan, pekerjaan, status sosial dan lain-lain lagi, asalkan perubahan itu menuju ke kedudukan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Inilah konsep hijrah yang sering diketengahkan, seolah-olah inilah konsep yang benar. Pembahasan hijrah dengan ‘makna bahasa’ seperti ini telah melarikan umat Islam dari pengertian hijrah yang sebenar, sebagaimana yang terjadi kepada pengertian jihad. Kesalahfahaman juga terjadi di dalam mengungkap atau menjelaskan peristiwa Hijrah Rasul itu sendiri di mana sesetengah umat Islam beranggapan bahawa Rasul berhijrah kerana ingin menyelamat atau melarikankan diri. Inilah intipati kupasan Sautun Nahdhah pada kali ini.




BENARKAH HIJRAH ADALAH MELARIKAN DIRI?




Dalam kita memperkatakan tentang makna hakiki dari Hijrah, tidak sedikit dari kalangan ilmuan, termasuk Orientalis mendakwa bahawa Hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah adalah kerana melarikan diri dari ancaman kafir Quraisy. Sebagaimana tercatat di dalam sebuah Ensiklopedia, “the departure of the prophet Muhammad from Mecca in Sept. 622, Muhammad was a monotheist and preached against the polytheism of the Meccan religion. This aroused the hostility of the merchant leaders of his native city, who derived much of their wealth from pilgrimages to Mecca and its surrounding cities. Forced to flee from his enemies, Muhammad went to Yathrib (later renamed Medina), where he became ruler” (Columbia Encyclopedia – Hegira).




Di dalam menjawab pertuduhan seumapama ini, di sini kami ingin mengemukakan terlebih dahulu beberapa fakta yang jelas tentang peristiwa yang berkaitan dengan hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam:-





1. Rasulullah tetap tinggal di Mekah sedangkan sekelompok sahabat lain Hijrah Ke Habsyah : Pengkaji-pengkaji sirah yang memerhati dengan teliti tentang dakwah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, mahu tidak mahu terpaksa akur dengan fakta hijrah Rasul dari Mekah ke Madinah sebenarnya bukan kerana baginda menghadapi banyak kesulitan yang menghalang dakwah, lalu baginda tidak dapat bersabar atau tidak mampu untuk menghadapi tindakan itu. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabar selama lebih kurang 10 tahun di Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berubah pendirian atau berpaling dari dakwah. Baginda dan para pengikutnya memang mengalami berbagai ancaman dalam aktiviti dakwah mereka, namun kejahatan-kejahatan kafir Quraisy tidak pernah berjaya untuk melemahkan mereka sedikit pun. Tentangan-tentangan dari Quraisy tidak pernah meredakan tekad Nabi dan para sahabat dalam berdakwah, bahkan semakin menambah iman mereka. Keyakinan mereka akan pertolongan Allah malah semakin teguh dan mantap. Akan tetapi, setelah Nabi melihat suasana dakwah di Mekah, dengan masyarakatnya yang amat keras, berfikiran dangkal, berhati batu, cenderung kepada kesesatan dan berbagai kerosakan lainnya, maka meneruskan dakwah di Mekah tidak akan membuahkan hasil yang diingini. Oleh kerana itu, baginda melihat bahawa dakwah harus dipindahkan dari keadaan masyarakat seperti ini kepada suatu keadaan masyarakat yang lain. Lalu baginda berfikir tentang kemungkinan hijrah dari Mekah. Pemikiran inilah yang membawa Nabi untuk hijrah ke Madinah, bukan kerana baginda dan para sahabatnya sering mendapatkan seksaan.




Memang benar bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan para sahabatnya hijrah ke Habsyah untuk menghindari dari ancaman dan seksaan kafir Quraisy. Hijrah mereka pada waktu itu adalah untuk menyelamatkan agama dari wilayah yang penuh dengan fitnah. Perkara seperti ini dibolehkan bagi kaum Muslimin, meskipun sesungguhnya berbagai penganiayaan justeru akan menyucikan iman. Berbagai tekanan dalam dakwah juga akan menyemarakkan keikhlasan dan segala tentangan akan lebih menguatkan tekad. Memang benar, iman kepada Allah mampu menjadikan seorang Mukmin menyerahkan dirinya di jalan Allah. Akan tetapi, penganiayaan yang terus­-menerus dan seksaan tidak henti-henti tentu akan menjadikan seorang Mukmin itu hanya disibuk dan diletihkan dengan kesabaran menahan ujian dan seksaan. Hal ini boleh mengalihkan perhatian mereka dari usaha-usaha menyebarluaskan dakwah dan ketelitian dalam berfikir. Maka, kaum Muslimin harus hijrah dari wilayah-­wilayah yang penuh dengan fitnah seperti ini. Ini terjadi pada peristiwa hijrahnya kaum Muslimin ke negeri Habsyah. Bagaimanapun, hijrah ke Madinah berlaku atas sebab-sebab yang lain.




2. Persiapan untuk merealisasikan dakwah di Madinah : Hijrah kaum Muslimin ke Madinah dilakukan supaya mereka dapat meneruskan penyampaian risalah Islam ke dalam satu keadaan yang memungkinkan risalah ini hidup di tengah-tengah masyarakat yang baru, yang sekaligus akan meninggikan kalimat Allah. Semenjak itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berfikir untuk memerintahkan para sahabatnya berhijrah ke Madinah, setelah masuk dan tersebarnya Islam di sana. Ini melalui pemerhatian Rasulullah sendiri terhadap laporan perkembangan dakwah oleh Mus’ab bin Umair, yang diutus selepas Baiah Aqabah pertama ke Madinah. Komitmen masyarakat Yathrib ini terbukti bila mereka sanggup melakukan Baiah Aqabah Kedua yang dinamakan oleh ahli Fiqh dan ahli sejarah Islam sebagai Baiah Perang. Setelah selesai melakukan Baiah ini, mereka kemudian pulang ke Madinah. Selang tidak berapa lama, Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Mereka berangkat secara berasingan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Hijrah gelombang pertama dilakukan secara berseorangan atau dengan beberapa kumpulan. Dalam waktu itu, kaum Quraisy akhirnya mengetahui peristiwa Baiah Aqabah tersebut dan mereka berusaha menyekat pemergian ini. Halangan-halangan dari kafir Quraisy ini langsuang tidak mempengaruhi proses hijrah. Bahkan gelombang hijrah kaum Muslimin ke Madinah berlaku secara berterusan. Sedangkan Rasulullah sendiri masih tinggal di kota Mekah. Tidak seorang pun dapat memastikan apakah Muhammad akan hijrah ke Madinah. Buktinya Abu Bakar, sahabat karibnya sendiri pernah meminta izin kepadanya untuk turut berhijrah ke Madinah. Namun baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab “Jangan terburu-buru, mungkin Allah akan menyediakan seorang teman untuk engkau hijrah bersama" Dari jawaban itu, Abu Bakar menangkap bahawa Rasulullah juga berniat untuk hijrah.




3. Kafir Quraisy mengadakan persidangan di Darul Nadwah setelah melihat dan menyedari ancaman yang akan mereka hadapi jika Rasulullah berhijrah ke Madinah : Di tengah-tengah gelombang hijrah yang berlaku, kafir Quraisy mula menimbang kemungkinan hijrahnya Muhammad ke Madinah. Mereka tahu bahawa jumlah kaum Muslimin di Madinah semakin ramai dan berkeupayaan untuk membentuk satu kekuatan baru yang akan berpusat di Madinah. Tambahan pula dengan bergabungnya kaum Muslimin yang berhijrah dari kota Mekah, maka jumlah itu tentu akan membentuk satu kekuatan yang besar. Jika ini terjadi, maka menyusulnya Muhammad untuk hijrah ke Madinah pasti akan membawa kecelakaan kepada mereka dan kehancuran kaum Quraisy tidak dapat dielakkan lagi. Berdasarkan pertimbangan ini, maka kafir Quraisy berfikir cara-cara untuk mencegah Rasul dari hijrah ke Madinah. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka juga khuatir dengan keberadaan Muhammad di kota Mekah kerana mungkin kaum Muslimin yang telah membentuk kekuatan di Madinah itu akan datang ke Mekah untuk menyelamatkan Muhammad. Oleh kerana itu, mereka berfikir untuk membunuh Muhammad agar baginda tidak sempat menyusul kaum Muslimin ke Madinah, sekaligus agar tidak timbul konflik antara mereka dengan penduduk Madinah kerana Muhammad dan Islam. Akhirnya kafir Quraisy mengadakan pertemuan di Darul Nadwah membincangkan perkara ini dan pertemuan tersebut diakhiri dengan keputusan membunuh Muhammad. Mereka kemudian berpecah untuk melaksanakan tugas itu. Tidak berapa lama. Jibrail datang menemui Rasulullah dan memerintahkan baginda agar malam itu tidak bermalam di tempat tidur di rumahnya. Jibrail memberitahu Rasul tentang rencana jahat kaum Quraisy. Pada malam itu, baginda tidak bermalam di rumahnya dan Allah memerintahkannya hijrah ke Madinah.




Dapat disimpulkan dengan adanya kekuatan Islam yang secara nyata di Madinah, dan kesanggupan masyarakat Madinah untuk menerima Rasulullah, serta usaha mewujudkan sebuah Daulah Islamiah di sana, inilah yang mendorong Rasul untuk berhijrah atau merupakan sebab langsung hijrahnya Rasulullah. Dengan demikian, amat keliru apabila ada pihak yang beranggapan bahawa Muhammad hijrah dari Mekah kerana khuatir dengan ancaman orang-orang kafir Quraisy yang hendak membunuhnya, maka baginda pun terpaksa melarikan diri. Dalam aktiviti dakwah, Rasulullah tidak pernah memperhitungkan masalah penderitaan. Soal kematian tidak pernah menggusarkannya dan bermain di mindanya. Soal keselamatan dan nyawa juga tidak pernah menjadi agenda utama dalam dakwahnya. Hijrahnya ke Madinah hanya semata-mata kerana dakwah dan untuk mendirikan Daulah Islamiah, dan dilakukan berdasarkan wahyu Allah.




Hijrah merupakan batas pemisah tahapan-tahapan dakwah, iaitu dari dakwah secara fikriyyah (pemikiran) kepada sebuah kekuatan politik yang menerapkan Islam dan menyebarluaskan Islam melalui jalan dakwah dan jihad, dengan Rasulullah sebagai ‘Ketua Negara’ yang sebelumnya baginda hanyalah merupakan seorang ‘ketua sebuah kutlah (kelompok)’. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam merupakan momentum sejarah yang penting di dalam Islam kerana bermula dari sinilah tegaknya peradaban Islam di muka bumi ini. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan juga para sahabat itu telah mengubah keadaan kaum Muhajirin yang tertindas (mustadh'afin) semasa berada di Mekah menjadi kaum yang berjaya menzahirkan Islam di atas segala agama lain, di Madinah. Dari Madinahlah rahmat Allah seterusnya menyebar ke seluruh Jazirah Arab dan lain-lain bahagian dunia. Umat Islam kemudiannya menjadi pelopor kepada perubahan dunia setelah itu. Inilah fakta yang tidak dapat dinafikan. Rasulullah telah menghasilkan satu peradaban baru dunia yang dibina berdasarkan wahyu, setelah berjaya mendirikan Daulah Islamiah di Madinah. Inilah hasil dari hijrah Rasul.




PERUBAHAN KEPIMPINAN DUNIA SETELAH HIJRAH




Sebagaimana yang telah dinyatakan, selama 13 tahun dakwah Rasulullah di Mekah, baginda hanyalah merupakan seorang ketua sebuah kutlah (kelompok) Islam. Dengan kata lain, Rasulullah bukanlah seorang pemimpin (kota) Mekah. Kepimpinan Mekah selama waktu itu dipegang oleh Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan beberapa orang pemuka Quraisy yang lain. Sebagai seorang pemimpin politik, di dalam dakwahnya di Mekah, Rasulullah berusaha untuk mendapatkan kepimpinan kota Mekah bagi membolehkan baginda menerapkan segala hukum Allah. Banyak kisah yang meriwayatkan bahawa para pembesar Quraisy telah beberapa kali menemui Nabi dan berusaha untuk berkompromi dengan baginda dengan menawarkan jawatan sebagai raja dan ketua kepada Nabi. Mereka sanggup untuk melantik Nabi menjadi ketua di Mekah dengan syarat Nabi meninggalkan dakwah. Semua tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh baginda Rasul.




Kafir Quraisy memahami bahawa Muhammad ingin mendapatkan sebuah kekuasaan dan hal ini bukannya perkara yang boleh ditawar-menawar. Mereka juga memahami bahawa Muhammad tidak menerima perkongsian kuasa (antara kafir dan Islam). Rasulullah inginkan kuasa yang mutlak berada di tangan Islam dan tidak ada hak ke atas orang kafir di dalam urusan pemerintahan. Ternyata mereka benar-benar memahami kehendak Rasulullah dan ternyata, disebabkan keengganan mereka untuk memeluk Islam, maka mereka telah memerangi Rasulullah dan dakwah baginda. Berbeza dengan kedudukan kaum Aus dan Khazraj dari Madinah yang bersedia memeluk Islam dan sanggup menerima Rasulullah sebagai pemimpin mereka, walaupun Rasulullah bukan dari kaum mereka. Inilah peristiwa yang menjadi benih kepada proses perjalanan hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.




Secara ringkasnya, setelah tiba di Yathrib (Madinah), maka Rasulullah terus menjadi pemimpin Madinah. Dengan kata lain, Rasulullah telah menjadi seorang pemimpin Negara (Daulah Islam). Jika dulu Nabi hanyalah pemimpin sebuah kutlah, tetapi dengan Hijrah ke kota Madinah, baginda telah menjadi pemimpin sebuah Negara Islam, dan sekaligus merupakan pemimpin dunia Islam. Hijrahlah yang telah mengubah kaum Muslimin yang pada awalnya hanyalah merupakan sebuah kelompok dakwah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, menjelma menjadi suatu umat yang memiliki satu entiti politik antarabangsa. Dengan kedudukannya sebagai seorang Ketua Negara, Rasulullah terus menerapkan Sistem Pemerintahan berdasarkan wahyu, sebuah sistem pemerintahan yang penuh sistematik.




Rasulullah memelihara semua urusan kaum Muslimin, baik di dalam mahupun di luar negeri. Aktiviti politik praktis yang dilakukan oleh Rasulullah di dalam negeri di antaranya: Pertama, mengangkat para wali (gabenor) untuk wilayah tertentu dan mengangkat para pegawai. Rasulullah mengangkat Utbah bin Usaid menjadi gabenor di Kota Mekah tidak lama setelah pembukaan(fath)nya, Zayyad bin Labid bin Tsa'labah al-Ansari bertugas di Hadhramaut, Amru bin Ash menjadi gabenor Oman dan lain-lain lagi. Kedua, mengangkat pegawai pemerintahan. Rasulullah saw mengatur kemaslahatan umat dengan mengangkat para petugas pencatat administrasi dan pengaturannya. Ali bin Abi Thalib, misalnya, dilantik sebagai petugas pencatat berbagai perjanjian. Harits bin Auf diangkat sebagai petugas yang memeterai cop kenegaraan dengan cincin Nabi saw. Mua'qib bin Abi Fatimah menjadi petugas pencatat harta rampasan perang. Hudzaifah bin Yaman menjadi penyimpan rekod laporan hasil penduduk Hijaz. Zubair bin Awwam mencatat kekayaan Negara hasil pengumpulan zakat. Mughirah bin Syu'bah mencatat hutang Negara dan berbagai muamalat.




Ketiga, mengangkat para qadhi (hakim). Rasulullah mengangkat sejumlah hakim yang tujuannya untuk memutuskan berbagai perkara di antara manusia. Sebagai contoh, baginda melantik Ali bin Abi Thalib menjadi hakim di Yaman, Abdullah bin Naufal menjadi hakim di Madinah, serta Muadz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy'ari sebagai hakim di Yaman. Keempat, melakukan syura. Dalam menjalankan pemerintahan, Rasul sering bermusyawarah dengan para sahabatnya untuk mencari penyelesaian bagi permasalahan yang sedang dihadapi oleh Negara. Ada 14 orang yang sering dijadikan rujukan musyawarah oleh Rasulullah, 7 dari kaum Ansar dan 7 lagi dari kaum Muhajirin.




Adapun aktiviti politik luar negeri yang dilakukan Rasulullah atas nama Negara di antaranya: Pertama, membuat perjanjian dengan dengan negara/kabilah tetangga. Rasululullah misalnya membuat perjanjian dengan kaum Yahudi dari Bani Dhamrah, Bani Mudlaj, kaum Quraisy, penduduk Ailah, Jirba', dan Adzrah. Kedua, melancarkan ekspedisi militer. Ekspedisi militer yang dimaksud adalah dalam rangka untuk menakut-nakuti dan mengintai kekuatan musuh serta memerangi kaum Quraisy. Ekspedisi militer yang pernah dilancarkan Rasul di antaranya pasukan Ubaidah bin al-Harits, dan Saad bin Abi Waqash dalam ekspedisi militer yang bertugas memerangi Quraisy. Beliau juga mengutus Zaid bin Haristah, Ja'far bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah untuk memerangi Rumawi dan lain-lain. Baginda juga sering memimpin sendiri pasukan dalam jumlah yang ramai dan terjun langsung ke pelbagai kancah peperangan.




Demikianlah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menegakkan struktur Negara Islam. Semasa pemerintahan Rasulullah di Madinah, struktur pemerintahan Daulah Islam sudah terbentuk secara sempurna, yakni memiliki pemimpin (ketua negara); para pembantu (mu’awwin), para wali (gabenor), para qadhi (hakim), panglima perang, ketua administrasi, dan majlis syura. Struktur ini kemudian diteruskan pasca kepemimpinan Nabi selaku Ketua Negara oleh Khulafa ar-Rasyidin dan terus berlangsung sehinggalah ke waktu keruntuhannya. Demikianlah, peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah sesungguhnya merupakan titik perubahan kepimpinan dunia dari tangan Rom dan Parsi (ketika itu) ke tangan umat Islam. Walau bagaimanapun, setelah hancurnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924, kepimpinan dunia telah beralih ke tangan kaum kuffar Barat. Justeru, selagi tidak berlakunya Hijrah umat Islam dari Darul Kufur menuju Daulah Islam, maka selama itulah dunia ini akan diterajui oleh kekufuran, kekejaman dan kezaliman. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengambil alih semula teraju kepimpinan dunia, maka umat Islam wajib berhijrah dengan menukar negeri-negeri mereka yang kufur menjadi Negara Islam, seterusnya kesemua negeri kaum Muslimin ini wajib bergabung di bawah satu entiti politik yakni Daulah Khilafah. Dari sinilah, InsyaAllah titik perubahan kempimpinan dunia akan beralih ke tangan umat Islam sekali lagi.




KHATIMAH




Wahai kaum Muslimin! Sejak runtuhnya Khilafah Utsmaniah lebih 80 tahun yang lalu, umat Islam yang telah dibangunkan berabad-abad yang lampau mengalami keruntuhan dan terpecah belah dengan dahsyatnya, seperti yang kita lihat sekarang. Pertanyaannya, apakah kalian tidak ingin kembali mengulangi kejayaan hijrah seperti yang pernah dialami oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kalian rela hidup dalam keadaan lemah, tercerai-berai dan terpecah-belah seperti sekarang? Apakah kalian suka hidup menderita di bawah tekanan sistem Demokrasi yang kufur? Islam dan kaum Muslim bukan saja mengalami kemunduran yang sangat parah, tetapi jauh lebih dari itu, menjadi bahan ejekan dan hinaan bangsa-bangsa kafir. Kedudukan dan keadaan sosial-ekonomi dan politik umat Islam pun sangat terpuruk. Bahkan, ramai di kalangan umat Islam ditindas di negeri mereka sendiri. Kedudukan umat Islam yang pernah mengalami masa kejayaannya sejak hijrahnya Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah kepada Kekhilafahan Utsmaniah di Turki, kini tinggal kenangan.




Wahai kaum Muslimin! Kalian mungkin tidak pernah dibentangkan dengan makna hakiki Hijrah Nabi, walhal catatan mengenainya memenuhi lembaran kitab-kitab tafsir dan sirah. Sesungguhnya Hijrah jelas-jelas merupakan perpindahan Rasulullah dan para sahabat dari Darul Kufur menuju Darul Islam. Hakikat hijrah ini diambil dari fakta Hijrah Nabi itu sendiri dari Mekah (pada waktu itu merupakan Darul Kufur) ke Madinah (Darul Islam). Rasulullah telah berpindah dari satu negeri yang menerapkan Sistem Jahiliah ke satu negeri yang baginda menerapkan Sistem Islam di dalamnya. Hijrah semacam inilah yang seharusnya dilakukan kembali oleh kaum Muslimin saat ini, sesuai dengan hakikat hijrah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat pada masa lalu. Ini tidak lain wajib dilakukan dengan cara mengubah negeri-negeri kaum Muslimin saat ini yang memerintah berdasarkan Sistem Demokrasi dengan undang-undang ciptaan manusia, kepada Daulah Khilafah Islamiah yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.




Oleh sebab itu, momentum Hijrah sejatinya menjadi momentum kembalinya sistem Islam ke tengah-tengah kaum Muslimin. Kembalinya sistem Islam bererti kembali diterapkannya syariat Islam dalam kehidupan, yang tidak mungkin terwujud kecuali dalam institusi Daulah Khilafah Islamiah. Karena itu, perjuangan menegakkan Daulah Khilafah Islamiah wajib diteruskan dan mesti menjadi agenda utama seluruh komponen umat Islam saat ini. Hanya dengan berhijrah mewujudkan sebuah Daulah Khilafah Islamiah sahajalah umat Islam akan kembali menjadi umat yang terbaik, sekali gus kembali menerajui kepimpinan dunia. Insya Allah.

EPILOG HUKUMAN MATI SADDAM HUSSEIN


EPILOG HUKUMAN MATI SADDAM HUSSEIN




Lebih kurang dua minggu lepas, kita menyaksikan episod akhir dari salah satu babak permainan Amerika Syarikat (AS) ke atas mangsanya. Kita dipertontonkan dengan satu peristiwa yang berlaku di bumi Iraq di pagi ‘Idul Adha. Hingga ke hari ini, apa yang telah berlaku di subuh hari itu masih lagi hangat diperbincangkan. Ya, peristiwa yang dimaksudkan adalah hukuman gantung ke atas bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. Banyak persoalan yang boleh dikupas berkaitan dengan hukuman ke atas Saddam itu. Kepelikan prosiding kehakiman dan proses perlaksanaan hukuman yang nampak begitu tergesa-gesa telah menimbulkan banyak tanda-tanya dan syak wasangka akan niat sebenar penggantungan Saddam. Meningkatnya kesedaran dunia akhir-akhir ini terhadap pembohongan Bush dan Blair untuk menghalalkan tindakan ketenteraan mereka ke atas Iraq telah menyebabkan teori-teori konspirasi yang dahulunya diperlekehkan kini semakin mendapat perhatian, hatta oleh mereka yang jahil sekalipun.



Saddam Hussein telah berjaya dihapuskan. Persoalan seterusnya ialah, siapakah yang akan dipermain-mainkan oleh Barat berikutnya. Yang pasti, mangsa yang paling enak ialah pemimpin umat Islam yang telah lama ‘dipelihara’nya dan sudah sampai masa untuk dijadikan korban. Sautun Nahdhah pada minggu ini ingin mengajak para pembaca untuk menilai peristiwa penggantungan Saddam Hussein ini agar kita semua sedar akan punca kepada semua ini dan kita dapat menyelamatkan pemimpin yang akan datang khasnya dan umat Islam amnya dari menjadi mangsa yang seterusnya.



PERBICARAAN SADDAM – APA YANG TAK KENA?



Sekiranya kita teliti intipati-intipati perbincangan berkaitan dengan peristiwa ini, kita akan dapati bahawa antara topik pembahasan berkisar samada perbicaraan Saddam adalah adil atau tidak, adakah ia hanya sebuah sandiwara, adakah Saddam akan dibalas setimpal dengan kekejamannya dahulu, apakah hukuman ke atas Saddam akan membawa kebaikan kepada Iraq selepas ini atau tidak. Pendek kata, perbahasan hanya tertumpu di sekitar status kesalahan Saddam dan status kesan hukuman ke atas Saddam. Walau apa pun yang diperkatakan, hukuman gantung di pagi ‘Idul Adha tersebut ternyata telah menjadi penamat kepada perbicaraan buat Saddam.



Kekejaman pemerintahan Saddam Hussein memanglah tidak dapat disangkal kecuali oleh mereka yang buta politik sahaja. Beribu umat Islam di Iraq telah menjadi mangsa pembunuhan kejam rejimnya. Bukan setakat Syiah yang amat dibencinya sahaja dibunuh, malah golongan Sunni pun turut dibunuh oleh Saddam dengan kejam. Semasa Saddam memerintah, peristiwa pembunuhan kejam ini tidak mendapat perhatian dunia, apatah lagi dunia Islam. Saddam sebaliknya digambarkan sebagai seorang hero dan banyak berjasa. Banyak negara menjalin hubungan diplomatik dengan bekas pemimpin Iraq ini. Istilah ‘diktator’ sendiripun tidak dilekatkan kepada Saddam oleh media dunia. Ini mungkin kerana AS tidak menggelarnya sebagai diktator, maka dunia pun berbuat demikian, sebagaimana sekarang, apabila AS menggelarnya ‘bekas diktator’, maka dunia pun turut memberikan label yang sama. Sama seperti sekarang di mana pemimpin penyembelih umat Islam seperti Islam Karimov (Uzbekistan), Muammar Gadafi (Libya), Hosni Mubarak (Mesir), Perves Musyaraf (Pakistan) dan ramai lagi yang belum dicop oleh Barat sebagai ‘diktator’, maka dunia pun tidak menganggap mereka sebagai diktator. Walhal, bagi yang mempunyai kesedaran politik, nama-nama di atas adalah manusia-manusia keji diktator talibarut AS dan merupakan pembunuh umat Islam yang sudah tidak asing lagi. Mereka adalah golongan yang bersekongkol dengan AS di dalam menangkap, memenjarakan, menyiksa dan membunuh umat Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.



Begitu juga dengan kekejaman dan kediktatoran Saddam Hussein yang sebenarnya tidak dapat dipisahkan dengan AS. Di dalam perbicaraan yang berlangsung ke atas Saddam dan orang-orangnya, ia bertumpu di sekitar peranan mereka dalam pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah, seolah-olah Saddam Hussein tidak pernah melakukan kesalahan lain. Di sepanjang pemerintahannya, Saddam telah melakukan pembunuhan massal ke atas musuh politiknya, namun begitu tidak ada pertuduhan yang dikemukakan menyentuh persoalan senjata yang telah digunakan bagi pembunuhan besar-besaran ini dan dari mana atau bagaimana senjata-senjata tersebut telah diperolehi oleh Saddam.



Perbicaraan terhadap Saddam juga telah terlepas pandang akan hubungan erat beliau dengan kerajaan-kerajaan dan syarikat-syarikat Barat di sepanjang pemerintahan ganasnya. Perbicaraan yang berlaku gagal memeriksa pembelian senjata yang telah digunakan oleh Saddam untuk membunuh rakyatnya daripada syarikat-syarikat Barat, sokongan yang telah diberikan Barat terhadapnya dalam perang dengan Iran pada 1980-an, perjumpaan-perjumpaan dengan orang-orang kenamaan Barat serta persahabatan erat antara rejim Saddam dan Donald Rumsfeld serta pentadbiran Amerika yang berlanjutan walaupun selepas peristiwa pembunuhan di Halabjah pada tahun 1988.



Tiadanya pertuduhan dan pembongkaran peranan Barat dalam ‘mengasuh dan bekerjasama’ dengan Saddam adalah satu penghinaan dan ketidakadilan buat mangsa-mangsa di Dujail, Halabjah dan di seluruh Iraq serta pengkhianatan buat masyarakat dunia secara amnya. Ini kerana, Barat sentiasa mencanangkan bahawa hukuman terhadap Saddam adalah satu keadilan yang mahu diberikan Barat buat rakyat Iraq walhal realitinya merekalah yang telah bersekongkol dengan Saddam sewaktu kekejaman-kekejaman tersebut dilakukan. Perbicaraan dan hukuman yang telah dijatuhkan hanyalah satu permainan yang digunakan oleh Barat untuk menutup semua rekod hitam hubungan mereka dengan Saddam di masa lampau.



Umat Islam patut merasa lebih terhina lagi kerana Bush dan Blair, yang bertanggungjawab terhadap kematian lebih 650,000 rakyat awam yang tidak berdosa di Iraq sepanjang serangan dan penaklukan mereka di tanah bekas pusat pemerintahan Khilafah Abbasiyah itu, terus bebas tanpa dihadapkan ke muka pengadilan biarpun telah terang lagi nyata bahawa mereka telah berbohong menceroboh Iraq menggunakan alasan ‘Weapon of Mass Destruction’



KEADILAN DEMOKRASI -VS- KEADILAN ISLAM



Setelah gagal membuktikan wujudnya WMD, AS cuba mengalihkan perhatian dunia bahawa mereka memasuki Iraq bagi menghapuskan pemerintahan diktator Saddam Hussein. Perbicaraan ke atas bekas Presiden Iraq ini dibuat atas nama keadilan. Kononnya untuk keadilan ke atas rakyat Iraq yang selama ini dizalimi dan ditindas oleh seorang diktator. Seterusnya, bagi membuktikan ‘niat baiknya’ itu, AS menunjukkan kepada dunia bahawa mereka akan memastikan wujudnya sebuah Sistem Demokrasi bagi menjamin keadilan di Iraq. Maka, atas kesungguhan ingin melaksanakan Sistem Demokrasi inilah AS dapat mencapai cita-citanya dengan terus kekal berada di Iraq dan pada masa yang sama, dapat melantik bonekanya, yang akan memerintah dengan Sistem Demokrasi yang dilaungkannya. AS telah lama ‘berjuang’ menegakkan Demokrasi di bumi umat Islam kerana mereka tahu bahawa perjuangan ini (menegakkan Demokrasi) adalah perjuangan yang mendapat tempat di hati sebahagian besar pejuang Islam itu sendiri. Selalunya Barat akan berakhir dengan kejayaan, kemudian kejayaan ini dikongsi dan ditepuk tangan oleh umat Islam kerana dihadiahkan dengan sebuah Demokrasi. Inilah apa yang telah berlaku di Afghanistan dan sekarang drama yang sama dapat dilihat di Iraq.



Umat Islam merasakan bahawa mereka akan mendapat sebuah keadilan apabila Sistem Demokrasi yang memerintah. Ini kerana segala undang-undang diputuskan secara majoriti dan keputusan ditentukan oleh rakyat, bukannya oleh seorang diktator. Sebab itulah, setengah pihak amat berpuas hati apabila diktator seperti Saddam Hussein berjaya diheret ke Mahkamah, yang mana ini tidak akan berlaku di dalam sebuah pemerintahan yang berkuku besi. Sekali fikir, kejadian ini nampak baik, tetapi sebagai umat Islam, kita wajib berfkir dan bertanya, adakah Mahkamah yang membicarakan Saddam itu adalah Mahkamah Madzalim (Mahkamah Islam yang membicarakan persengketaan antara pemerintah dan rakyat)? Adakah Saddam dibicarakan di bawah Undang-Undang Islam atau undang-undang kufur? Jika dia dihukum bunuh, adakah dia dihukum berdasarkan Qisas



Kita juga perlu bertanya, apakah kita akan berpuas hati jika Saddam dihukum gantung bukan pada hari ‘Idul Adha? Atau adakah kita akan berpuas hati dan merasakan keadilan telah dicapai jika Saddam dibicarakan oleh International Criminal Court (ICC) atau International Court of Justice (ICJ) di bawah tajaan PBB? Umat Islam melakukan kesilapan besar jika mengatakan ‘ya’ pada persoalan di atas, kerana jelas kedua-duanya berada di bawah organisasi kufur dan akan menjalankan perbicaraan mengikut undang-undang kufur antarabangsa. Apa yang wajib difahami oleh umat Islam adalah tidak akan ada keadilan pada undang-undang kufur ciptaan manusia walau ia dibuat oleh suara majoriti sekalipun. Keadilan yang sebenar hanya akan dapat dicapai apabila kita berhukum dengan hukum Allah, walaupun majoriti manusia tidak bersetuju. Hukum Allah bukan tunduk kepada keputusan majoriti!!! Na’uzubillah min zalik



Apakah kita akan mengatakan bahawa hukuman denda maksima RM5,000 kepada penzina adalah undang-undang Islam yang adil kerana diluluskan oleh majoriti manusia di Parlimen? Apakah hukuman penjara 7 tahun, atau jika diberatkan kepada 30 tahun sekalipun ke atas pencuri itu akan membawa keadilan, kerana telah dipersetujui oleh majoriti di Parlimen, walhal ini jelas-jelas bertentangan dengan hukum Allah? Apakah kita juga akan turut mengatakan bahawa syarat-syarat poligami yang ketat yang dikenakan oleh Mahkamah adalah adil kerana telah diluluskan oleh majoriti manusia di Dewan Undangan Negeri, walhal syarat-syarat tersebut tidak ada di dalam Kitab Allah dan Sunnah RasulNya? Apakah kita akan mengagungkan pendapat aqal kita dari hukum yang telah Allah tetapkan? Inilah natijah dari Sistem Demokrasi yang diambil oleh umat Islam. Hak untuk membuat hukum berada di tangan manusia dan hukum Allah hanya diimani dari segi wujudnya, bukan dari segi perlaksanaannya.



Inilah yang membinasakan dan menghinakan umat Islam. Mereka mencari keadilan dari Demokrasi, bukannya dari hukum Allah. Mereka terperangkap di dalam laungan dan agenda Demokrasi yang dibawa oleh Barat di mana mereka turut bermati-matian berjuang untuk meraih sebuah Demokrasi, yang kononnya akan membawa keadilan kerana segala pemerintahan dan undang-undangnya adalah dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Mereka lupa bahawa hukum Allah tidak tunduk kepada kehendak rakyat, tetapi rakyatlah yang wajib tunduk patuh kepada hukum Allah. Mereka lalai bahawa jika mereka berjaya sekalipun dengan perjuangan Demokrasi, AS pasti tidak akan melepaskan mereka, sebaliknya AS akan pastikan bahawa Demokrasi yang diamalkan adalah sesuai dengan agenda dan kehendak mereka (Barat). Sedarlah wahai kaum Muslimin!



Sesetengah pemimpin merasakan bahawa mereka mulia dan selamat bilamana berada di bawah ketiak Amerika, walhal pada hakikatnya mereka berada di dalam keadaan hina dan musuh Allah ini tidak pernah menjamin keselamatan mereka. AS hanyalah sebuah negara Kapitalis yang hanya akan mementingkan diri sendiri dan akan menghapuskan siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka atau sudah tidak berguna kepada mereka. Lihat sahajalah nasib Saddam Hussein yang dahulunya ditatang bagai minyak yang penuh oleh British, kemudiannya Amerika dan kini, apabila dia tidak lagi berguna kepada kepentingan Barat, menjadi korban di subuh ‘Idul Adha. Ingatlah wahai kaum Muslimin, kemuliaan itu hanyalah milik Allah dan hanya kepadaNya kita wajib mencari perlindungan, bukan kepada selainNya, apatah lagi musuhNya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,



“Apakah mereka mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya segala kemuliaan itu adalah kepunyaan Allah” [TMQ an-Nisa’ (4):139]



“(iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: ‘Sesungguhnya manusia (yakni Quraish) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka’, maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab: ‘Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung” [TMQ Ali Imran (3):173]



PERCATURAN POLITIK BARAT DI TIMUR TENGAH



Sebagai sebuah negara pengamal Ideologi Kapitalis, negara-negara Barat kolonialis seperti Britain, Amerika Syarikat atau Perancis tidak pernah menghentikan strategi kolonialisasi mereka yang berobjektif meraih kepentingan politik dan ekonomi masing-masing. Justeru, penjajahan adalah suatu yang perlu dilakukan oleh mereka dalam mencapai cita-cita untuk mendapatkan sebanyak mungkin manfaat, sesuai dengan Ideologi yang mereka anuti. Bagi negara penganut Ideologi kotor ini, konsep halal dan haram tidak ada di dalam kamus hidup mereka, begitu juga dengan dosa dan pahala. Jika mereka perlu berbunuh-bunuhan untuk mencapai manfaat, maka mereka akan lakukan. Apatah lagi jika yang hendak dibunuh itu adalah umat Islam. Jadi tidak hairanlah apabila kita menyaksikan negara-negara kafir Barat ini berebut agar dapat menguasai negeri-negeri kaum Muslimin yang penuh dengan kekayaan alam. Mereka cukup sedar akan keuntungan yang bakal diperolehi dengan kejayaan mereka menguasai samada pemimpin kaum Muslimin mahupun negeri mereka secara langsung.



Sejak kejatuhan Khilafah Utsmaniah, kita melihat bahawa kuasa-kuasa Barat telah berebut-rebut untuk menguasai Timur Tengah kerana potensi yang cukup besar terdapat di sana. Antara kelebihan strategik bagi mereka yang dapat menguasai Timur Tengah adalah penguasaan ke atas Terusan Suez yang menjadi laluan penting bagi kapal-kapal dagangan antarabangsa. Kedua, kerana Timur Tengah adalah wilayah yang mempunyai simpanan minyak yang amat besar. Dalam perebutan ini, AS berjaya menjadikan Arab Saudi tunduk menyembah kepada mereka. Begitu juga dengan Mesir, Libya, Jordan dan beberapa negara yang lain. Amerika tidak lagi perlu risau tentang kesetiaan boneka-boneka ini. Iraq walau bagaimanapun, diperintah oleh Saddam Hussein yang terkenal dengan Parti Ba’ath berideologikan Sosialis, yang mana menjadi musuh kepada Ideologi Kapitalis yang dibawa oleh AS. Sebagai negara yang mempunyai simpanan minyak kedua terbesar dunia, tentunya Iraq tidak boleh dibiarkan begitu sahaja oleh AS.



Iraq menjadi rebutan apabila kuasa-kuasa kolonial ini mula menyedari bahawa bumi Iraq merupakan sumber minyak mentah utama dunia. Pada tahun 1998, kajian telah menunjukkan bahawa Iraq mempunyai kadar simpanan minyak yang mampu bertahan selama lebih kurang 142 tahun mengikut kadar pengeluaran sedia ada. Simpanan minyak Iraq pula adalah di paras kedua selepas Arab Saudi iaitu di paras 115 bilion tong. Pada masa yang sama, Amerika dan United Kingdom sedang berada dalam keadaan tertekan apabila simpanan minyak mereka masing-masing hanya mampu bertahan selama sekitar 7 dan 5 tahun sahaja. Oleh itu, Iraq tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Maka, bumi Iraq menjadi rebutan seterusnya dan saat ini kita sedang menyaksikan manifestasi dari kerakusan penganut Ideologi ini di sana.



Wahai kaum Muslimin! Tanah-tanah di Timur Tengah menjadi saksi terhadap segala kejahatan, kebiadaban dan pembunuhan Barat ke atas umat Islam. Langitnya pula menjadi saksi akan pengkhianatan pemimpin-pemimpin umat Islam yang bersekongkol dengan kejahatan dan pembunuhan yang berlaku. Anehnya, pemimpin umat Islam yang lain, walaupun bersaksikan mata kepala sendiri akan segala kedurjanaan Barat ke atas umat Islam, tetap memuja, menghormati dan menyanjung Barat. Mereka tetap duduk semeja, berjalan seiring, berjabat tangan sambil tersenyum dengan Bush dan Blair. Mereka tetap menjaga rapi kedutaan AS dan Britain di negara masing-masing, malah diperketat keselamatannya setiap masa. Mereka tetap akan menyambut Bush dengan sambutan dan penjagaan keselamatan yang amat luarbiasa jika Bush datang ke negara mereka, seperti apa yang kita lihat di Indonesia baru-baru ini. Tak mustahil, jika Bush datang ke Malaysia pun, sambutan yang sama, malah mungkin lebih hebat akan dilakukan, sebagaimana kedatangan Condoleeza Rice tidak lama dulu, yang disambut dengan permaidani merah. Sungguh aneh apabila menyaksikan pemimpin kaum Muslimin menjaga rapi akan musuh-musuh Allah ini.



Di sebalik segala kejahatan yang jelas dilakukan oleh Bush dan Blair dan juga kecaman serta kutukan oleh pemimpin Islam kepada pentadbiran Bush di dalam kes penggantungan Saddam Hussein, pada masa yang sama kita masih menyaksikan kata-kata Bush dipegang erat dan ditaati oleh pemimpin Islam. Kata-kata “Either you are with us or with the terrorist” dan slogan “war against terrorisme”



KHATIMAH



Wahai kaum Muslimin! Kita semua setuju bahawa jika Saddam Hussein dibicarakan dan dihukum gantung di atas kekejaman yang dilakukannya, Bush dan Blair juga patut menerima hukuman yang sama. Dalam masa yang sama, kita seharusnya tidak lupa bahawa masih ramai pemimpin umat Islam yang bersekongkol dengan Barat di dalam memerangi kaum Muslimin. Kita juga seharusnya jangan lupa kejahatan dan kebrutalan pemimpin Israel dan tentera-tentera mereka. Semua ini memerlukan perbicaraan dan hukuman yang setimpal. Persoalannya, jika kita ingin mengheret Bush dan Blair ke muka pengadilan, siapakah yang sanggup berbuat dan akan berbuat demikian? Raja Abdullah, Hosni Mubarak, Musharaf, Muammar Gadafi atau Bambang Yudhoyono? Apakah kita mengharapkan pemimpin umat Islam hari ini yang akan berbuat demikian? Beranikah mereka? Apakah kita mengharapkan PBB yang akan melakukannya atau kita menaruh harapan dan yakin bahawa OIC-lah yang akan mengheret para penjenayah ini?



Wahai kaum Muslimin! Kita yakin bahawa satu-satunya ‘orang’ yang akan membawa dan menghukum para pengganas dan penjenayah ini, tak lain tak bukan adalah Khalifah! Hanya Khalifahlah yang akan berbuat demikian. Khalifahlah yang akan menghukum mereka berdasarkan hukuman Allah, sebagaimana Rasulullah dan para Khalifah terdahulu yang menghukum semua musuh-musuh Allah dengan ketetapan dari Rabb mereka. Tanpa Khalifah, seruan untuk membawa Bush dan Blair ke muka pengadilan hanya tinggal seruan dan laungan, ibarat anjing menyalak bukit. Justeru, kami menyeru kepada mereka yang cintakan Allah dan RasulNya serta mahu melihat musuh-musuh Allah ini mendapat balasan mereka, agar bersama-sama berjuang untuk menegakkan Daulah Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan menamatkan segala penderitaan yang telah lama ditanggung oleh kita semua.



Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Saksikanlah bahawa musuh sebenar kalian adalah Barat dan pemimpin-pemimpin kalian yang menjadi boneka mereka. Bangkitlah, bersatulah dan berjuanglah untuk menghadapi musuh-musuh kalian ini. Ketepikanlah segala persengketaan sesama sendiri, fitnah-memfitnah, benci-membenci, hasad dengki dan segala iri hati yang ada. Sudah sampai masanya untuk kita bergabung melaksanakan kewajipan yang telah lama tergendala ini. Serulah kepada anak-anakmu, ibu-bapamu, saudara-saudaramu, sahabat handaimu serta penguasa-penguasa di kalangan kamu agar bersatu menegakkan Daulah Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah. 1428 Hijrah yang akan menjelma dan Tahun Melawat Malaysia 2007 adalah peluang baik yang diberikan kepada umat Islam di Malaysia kerana pada tahun ini, kita berpeluang bertemu dengan saudara-saudara kita dari serata dunia yang datang untuk melawat ke negara ini. Gunakanlah kesempatan berharga ini untuk membuang segala dogma-dogma kuno yang telah memecah-belahkan kita. Berbincanglah dengan mereka yang datang, sampaikanlah dakwah penyatuan kepada mereka agar dengan usaha kita, idea penyatuan umat Islam seluruh dunia tidak lagi hanya menjadi teori yang sedap didengar tetapi menjadi satu kenyataan yang tidak dapat dimungkiri lagi. Insya Allah. ALLAHU AKBAR!


GRAND MUFTI ATAU KHALIFAH YANG KITA PERLUKAN?


GRAND MUFTI ATAU KHALIFAH

YANG KITA PERLUKAN?


Isu berkenaan mufti terus hangat diperkatakan rentetan dari perbezaan pendapat yang timbul berhubung dengan persoalan perbuatan mengintip, mengintai dan mencari pasangan untuk ditahan atas kesalahan khalwat dan juga penggunaan nada dering ayat al-Quran dan azan pada telefon bimbit. Lanjutan dari isu itu timbul cadangan dari Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas agar diwujudkan jawatan Grand Mufti (Mufti Besar) yang bertujuan untuk menjelaskan isu-isu berkenaan agama Islam dengan berkesan kepada masyarakat umum serta mengelakkan ilmu agama diporak-perandakan mengikut kepentingan pihak tertentu. "Dengan adanya seorang Mufti Besar, isu-isu agama tidak lagi perlu didebatkan secara terbuka di dalam media kerana ia boleh dibincangkan secara tertutup di antara mereka yang berhak" katanya ketika ditemui mStar Online di pejabatnya ( mStar Online 26/12/06 ).




Cadangan ini dibantah oleh Mufti Perak seperti yang juga dilaporkan oleh mStar Online pada hari yang berikutnya – “Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini menolak mentah-mentah cadangan supaya ditubuhkan jawatan Mufti Besar kerana bimbang ia akan menghapuskan kuasa Raja-raja ke atas perkara-perkara melibatkan agama Islam” ( mStar Online 28/12/06 ). Cadangan ini juga dilihat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang tidak mungkin dapat dilaksanakan berdasarkan peruntukan Perlembagaan negara. “Saya lihat tak mungkin cadangan ini boleh dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan sedia wujud”, katanya ( Berita Harian 30/12/06 ). Persoalannya kini ialah apakah cadangan mewujudkan jawatan Mufti Besar ini selaras dengan kehendak Islam itu sendiri? Apakah ia (jika wujud) akan menjadi penyelesaian kepada masalah umat Islam atau hanya akan mengekalkan ‘trend’ yang sedia ada? Apakah tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalam Islam dan apakah hanya ulama yang berhak bercakap tentang Islam sehingga perbincangan mengenainya pun perlu dilakukan secara tertutup? Sautun Nahdhah akan mengupas serba sedikit tentang isu ini.




KEDUDUKAN MUFTI DAN FATWA DI DALAM ISLAM




Apabila kita membicarakan persoalan mufti maka ianya tidak boleh dipisahkan dengan fatwa kerana secara umumnya mufti itu adalah pihak yang diminta fatwanya oleh seseorang berkenaan dengan sesuatu isu samaada yang menyentuh persoalan aqidah mahupun hukum syara’. Orang yang memberikan fatwa atau yang menjelaskan hukum sesuatu persoalan kepada yang memintanya dipanggil mufti dan orang yang meminta fatwa disebut sebagai mustafti. Mufti juga boleh menjadi mustafti apabila mereka meminta fatwa dari mujtahid (jauh lebih faqih dari mufti) atau dari ulama lain. Fatwa adalah merupakan produk hukum Islam yang berlandaskan wahyu (al-Qur’an dan al-Hadis) untuk menghukumi sesuatu fakta tertentu. Sehubungan dengan itulah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan peringatan kepada mereka yang memberikan fatwa sebagaimana yang disabdakan oleh baginda yang maksudnya,




“Siapa sahaja yang memberikan fatwa tanpa didasarkan pada ilmu maka ia berdosa atas apa yang difatwakannya” (Hadis Riwayat Ahmad).




Seperti yang kita ketahui bahawa sumber hukum yang disepakati di dalam Islam ada empat iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak Sahabat dan Qiyas. Untuk menetapkan suatu hukum, sumber inilah yang wajib dirujuk, bukan yang lain seperti aqal manusia atau undang-undang kufur. Secara ringkasnya, proses dari awal sehinggalah ke peringkat akhir sesuatu hukum itu diamalkan oleh umat Islam adalah seperti berikut,




Sumber Hukum (Al-Qur’an, Al-Sunnah, Ijmak Sahabat dan Qiyas) - Di gali (istinbat) oleh Mujtahid - Mengeluarkan hukum syara’ tentang sesuatu - Diambil dan diikuti oleh Muqallid - Mufti - Menyebarkan hukum (fatwa) - Applikasi (diamalkan) dalam kehidupan (Mustafti).




Imam Al-Ghazali telah membuat satu perumpamaan yang menarik tentang proses ini. Beliau telah menganalogkan sumber hukum sebagai pokok dan hukum syara’ adalah buahnya. Manakala, jalan/cara untuk memetik buahnya adalah petunjuk (indikasi) dari nas iaitu empat teknik memahami nas. Mujtahid merupakan orang yang memetik buah tersebut dan memberinya kepada Muqallid (orang yang mengambil hukum dari Mujtahid) (Al-Mustashfa Fi ‘ilm Al-Usul, ms 7-8 ). Syeikh Taqiyuddin Al-Nabhani menjelaskan bagaimana seorang Mujtahid melakukan proses itjtihadnya dalam tiga peringkat “mujtahid mengkaji kejadian-kejadian (realiti) yang baru sehingga betul-betul menguasainya, kemudian mengkaji nas-nas syara’ berkaitan dengan perkara tersebut. Kemudian meyimpulkan hukum untuk permasalahan itu berasaskan nas-nas syara’ tadi” (Nizham Al-Islam, ms 106 ). Inilah secara ringkas bagaimana sesuatu hukum syara’ itu boleh digali oleh Mujtahid, dan terpakai untuk dirinya dan orang lain.




Seorang mujtahid boleh sahaja berbeza pendapat dengan mujtahid yang lain selama mana mereka masih tidak lari dari keempat-empat sumber tadi. Dengan kata lain, Islam menerima perbezaan pendapat yang wujud di kalangan umatnya selagi ianya berada di dalam lingkungan pemikiran yang Islami. Perbezaan pendapat di kalangan sahabat pernah terjadi di zaman Rasulullah dan dibenarkan oleh baginda. Sejarah kegemilangan Islam turut mencatatkan betapa perbezaan pendapat yang pernah berlaku di zaman sahabat dan zaman selepasnya tidak pernah meruntuhkan kesatuan mereka, kerana mereka masih berpegang kepada sumber asas yang sama. Cara berfikir mereka hanya diwarnai oleh Islam semata-mata. Mereka hidup di dalam Daulah Islam dan tidak pernah mengamalkan atau mengambil undang-undang kufur di dalam kehidupan dan pemerintahan.




Berbeza dengan kedudukan hari ini di mana umat Islam berbeza pendapat di dalam lingkungan persekitaran dan sistem pemerintahan yang didominasi oleh undang-undang kufur. Justeru, cara berfikir mereka turut didominasi oleh cara berfikir orang-orang kafir. Contohnya umat Islam dahulu pernah berbeza pendapat di dalam masalah hukuman zina, samada disebat sahaja sebanyak 100 kali (bagi penzina yang belum berkahwin) atau disebat dan dibuang daerah (kedua-duanya berdasarkan nas Al-Qur’an dan perbuatan Rasulullah). Tetapi mereka tidak pernah berbeza pendapat samada seseorang penzina itu perlu disebat 100 kali atau 50 kali ataupun 6 kali sahaja. Atau cukup sekadar dipenjara setahun atau maksima 3 tahun atau denda tidak melebihi lima ribu. Ini kerana para sahabat masih berpegang dengan sumber yang benar dari Allah dan RasulNya, tidak sebagaimana hari ini dimana umat Islam berpegang kepada sumber hukum yang dibuat oleh Lord Reid ataupun aqal manusia yang membuat hukum berdasarkan undi angkat tangan secara majoriti.




Para salafus soleh memang sering berbeza pendapat tetapi mereka tidak pernah keluar dari ruang lingkup yang tidak dibenarkan oleh syara’. Apapun perbezaan yang timbul, segala persoalan adalah berkisar tentang hukum-hukum syara’ semata-mata yang diistinbat dari sumber yang benar. Seperti kata Imam Syafi'i dan inilah yang sepatutnya kita patut renungi di dalam menanggapi isu perbezaan pendapat yang bersifat Islami ini iaitu, "ra'yuna shawab yahtamilu khata' wa ra'yu ghairina khata' yahtamilu shawab (pendapat kami benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat selain kami salah tetapi ada kemungkinan benar).




Satu perkara yang pasti dan perlu diingati bahawa imam Syafie dan imam-imam yang lain tidak pernah mengambil sumber hukum dari Perlembagaan atau undang-undang kufur untuk mengeluarkan sesuatu pendapat. Dengan kata lain, ucapan beliau mesti difahami di dalam konteks perbezaan pendapat yang wujud berdasarkan ijtihad yang digali dari sumber hukum yang sahih sahaja. Oleh yang demikian, baik seseorang itu mujtahid, muqallid, mufti atau mustafti atau sesiapa sahaja yang mengucap syahadah, maka mereka semua adalah terikat kepada sumber hukum yang sama dan haram bagi kita umat Islam mengeluarkan pendapat berkenaan sesuatu hukum berdasarkan sumber hukum dan undang-undang selain dari Islam. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,




”Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka itu tidak beriman sehingga mereka menjadikanmu sebagai pemutus di dalam apa jua yang mereka perselisihkan, kemudian tidak ada pada diri mereka sedikit keberatan pun dari apa yang engkau putuskan, mereka pasrah dengan sepenuhnya” (Surah an-Nisa’ (4) : 65).




BERFATWA ATAU BERPOLEMIK?




Sistem Federasi yang diamalkan di Malaysia telah memberikan kuasa-kuasa tertentu kepada negeri. Agama Islam adalah salah satu perkara yang termasuk di bawah bidangkuasa negeri dengan Sultan-sultan merupakan ketua agama di negeri masing-masing. Dalam pada ini, di peringkat nasional terdapat pula Majlis Fatwa Kebangsaan yang mempunyai bidangkuasa untuk menyelaraskan fatwa terhadap isu-isu yang berlaku di dalam negara. Dari sini sebenarnya telah timbul banyak kekeliruan dan kepincangan. Terdapat beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh mufti tidak dipersetujui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa tidak dipersetujui oleh beberapa orang mufti. Tambah merumitkan keadaan, setiap mufti di negeri masing-masing mengeluarkan fatwa yang berbeza-beza, walaupun membincangkan isu yang sama. Terdapat situasi di mana, satu pihak menyatakan boleh (halal), satu lagi pihak menyatakan haram. Akibat dari semua ini, umat Islam berada di dalam kekeliruan dan kebingungan, mana satukah hukum yang hendak dipegang?

Malangnya tiada pihak yang ’nampak’ bahawa yang menjadi punca kepada masalah ini adalah sistem Federasi itu sendiri, yang menghadkan ’sempadan’ untuk setiap mufti berfatwa. Justeru, sepatutnya satu perbincangan di kalangan mufti diadakan bagi menyelesaikan perkara asas ini dulu. Yang menyedihkan ialah, kita tidak pernah mendengar samada Majlis Fatwa atau mufti mengeluarkan fatwa bahawa Sistem Federasi yang menjadi dalang kepada ’perbalahan’ ini adalah haram dan wajib diganti dengan sistem pemerintahan Islam yang sebenar. Hakikatnya dari dulu hingga sekarang, pihak-pihak yang mengeluarkan fatwa ini hanya sibuk berbincang masalah cabang sehingga masalah pokok (usul) ditinggalkan (atau sengaja tidak dibincangkan?).


Disebabkan golongan yang diiktiraf sebagai ulama ini sibuk bertikam lidah di dalam masalah ranting, maka umat Islam pun turut terjerat di dalam polemik yang sama. Umat Islam sudah hilang arah, kerana orang yang memandu mereka telah tersesat dari peta perjalanan yang sebenar. Pemandu mereka hanya berlegar dan berpusing-pusing di roundabout (bulatan) yang dibina oleh penjajah sehingga mereka telah ’pening’ dan tidak lagi nampak jalan yang lurus. Sebahagian dari pemandu itu pula memang telah diberi upah agar berpusing di jalan yang sama dan mereka telah selesa dengan upah tersebut. Selalunya upah tersebut telah mengikat dan melalaikan mereka dari berada di jalan yang lurus.




Inilah yang menyedihkan kita dan kita teramat kecewa dengannya. Pada masa mereka sibuk berpolemik dengan hukum-hukum cabang, kita menyaksikan bahawa kita tidak pernah mendengar seorang pun dari kalangan mufti ini yang berfatwa bahawa sistem pemerintahan yang diamalkan sekarang adalah sistem Demokrasi kufur ciptaan penjajah dan undang-undang yang diamalkan sekarang adalah undang-undang kufur, yang jelas-jelas haram. Juga, tidak ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa undang-undang yang dibuat oleh manusia di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah kerana merupakan produk tangan-tangan manusia yang keji dan bertentangan dengan undang-undang Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,




”Sesungguhnya (hak membuat) hukum hanya pada Allah” (Surah Yusuf (12) : 40).




Juga, jarang sekali mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa kita wajib berhukum dengan hukum Islam dan wajib ke atas pemerintah untuk menerapkan Islam secara kaffah. Tidak menerapkan hukum Islam di dalam pemerintahan adalah jelas-jelas satu keharaman yang nyata dan Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi peringatan yang keras di dalam hal ini, di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,




”Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang kafir” (Surah al-Mai’dah (5) : 44).




”Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah al-Mai’dah (5) : 45).




”Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq” (Surah al-Mai’dah (5) : 47 ).




Kita hairan kenapa tidak pernah ada fatwa dikeluarkan tentang ayat-ayat di atas. Kita turut sedih dan kecewa kenapa tidak ada fatwa dikeluarkan mengharamkan riba yang telah mendarah daging di dalam tubuh umat Islam pada hari ini. Juga, tidak kedengaran fatwa yang mengharamkan institusi perbankan yang menjalankan riba dan haram serta dosa besar atas pemerintah yang membenarkan sistem riba dipraktikkan. Kenapa tidak ada fatwa yang menjelaskan bahawa sistem ekonomi Malaysia adalah berdasarkan sistem ekonomi kapitalis, bukannya sistem ekonomi Islam dan ini adalah haram. Ada yang menyatakan bahawa tidak salah mengambil sistem ekonomi kapitalis. Kami ingin bertanya, adakah Allah tidak menurunkan satu sistem ekonomi yang lengkap dan sempurna untuk kita, sehingga kita perlu mengambil atau mencampur-adukkan sistem Islam dengan sistem kufur dari Barat ini?




Kenapakah tidak ada fatwa dikeluarkan bahawa Islam mewajibkan pemerintah memenuhi tiga keperluan asas (basic needs) kepada rakyatnya berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pemerintah akan berdosa apabila ada di kalangan rakyatnya yang tidak cukup makan, pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal, walhal pada masa yang sama pemerintah hidup dilimpahi segala kesenangan dan kekayaan. Kenapa tidak ada fatwa dari mana-mana mufti menjelaskan kewajipan ke atas pemerintah memberikan hak asas (basic rights) kepada rakyat berupa pendidikan dan kesihatan yang percuma. Saban hari kita melihat dan mendengar penderitaan dan keluhan dari rakyat kerana terpaksa memikul kos pembiayaan persekolahan dan kos rawatan kesihatan yang tinggi, terutama bagi yang mempunyai anak yang ramai dan pengidap penyakit-penyakit kronik. Dalam masa yang sama, pemerintah menghabiskan berbillion ringit untuk sambutan perayaan, kempen-kempen, kursus-kursus yang tidak berfaedah, projek-projek atas nama pembangunan dan banyak lagi. Di manakah mufti di dalam menegur pemerintah dan mengeluarkan fatwa untuk semua ini?




Kita juga tidak pernah mendengar Majlis Fatwa atau para mufti mengeluarkan fatwa bahawa haram bagi kita untuk berbaik-baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan menjalin hubungan diplomatik dengan mereka. Juga haram untuk kita tunduk kepada musuh Allah ini. Ini kerana AS adalah sebuah negara kafir harbi fi’lan (negara kafir yang sedang memerangi Islam). Sebaliknya, golongan ulama ini diam membisu dengan perbuatan para pemimpin yang masih boleh bersama dan berjabat tangan dengan Presiden AS, walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa ia adalah pembunuh umat Islam. Semua persoalan ini dan banyak lagi persoalan lain yang tidak dapat diungkapkan di sini mengheret kita untuk bertanya, apakah tugas sebenar mufti, adakah hanya ingin memberi fatwa terhadap perkara-perkara yang dipilih oleh mereka sahaja atau menjalankan fatwa atas arahan tertentu? Atau ada yang berfatwa untuk mencari nama atau populariti? Atau apakah mereka sebenarnya takut kehilangan jawatan jika mengeluarkan fatwa di dalam isu-isu sebegini? Wahai mereka yang digelar ulama! Apakah dunia yang kalian cari.....?




Jika kalian benar-benar takutkan Allah dan kalian memegang jawatan bukan mengharapkan habuan dunia, kenapakah kalian tidak mengeluarkan fatwa bahawa kita wajib berjuang menegakkan deenullah, bahawa umat Islam wajib bersatu di bawah satu pemerintahan dan kalian wajib berjuang bersama, bukannya hanya sibuk berpolemik. Jika kalian benar-benar bertaqwa kepada Allah, kenapakah kalian tidak berfatwa bahawa umat Islam wajib menegakkan Daulah Khilafah dan kesemua negeri kaum Muslimin wajib bergabung di dalamnya. Kenapakah kalian tidak mengeluarkan fatwa bahawa para pemerintah wajib menyeru dan berusaha menggabungan keseluruhan umat Islam di bawah satu payung pemerintahan?




Inilah tugas kalian wahai para ulama! Janganlah kalian mengharapkan upah yang sedikit, lalu hanyut tenggelam dan menjadikan status mufti kalian sebagai ’jawatan dunia’, tanpa memandang bahawa mufti adalah status yang syara’ letakkan sebagai ’tugas akhirat’. Jika kalian benar-benar menyedari akan hakikat kenapa Allah menghidupkan kalian di dunia dan kalian memahami dan sedar akan amanah yang ada di bahu kalian, maka persoalan ’Mufti Besar’ bukanlah persoalan yang sepatutnya menjadi polemik kalian dan kalian patut sedar bahawa ia bukannya penyelesai kepada masalah umat Islam. Tetapi yang menjadi persoalan kita semua adalah kewajipan mewujudkan seorang Khalifah (bukannya seorang Mufti Besar) yang akan memerintah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya serta akan menyelamatkan umat ini dari segala perselisihan dan perpecahan dan seterusnya membawa rahmat Allah ke seluruh penjuru alam.




KHATIMAH




Wahai Kaum Muslimin! Islam telah melalui sejarah pemerintahan yang panjang. Di sepanjang perjalanannya, hubungan antara pemerintah dan ulama mempunyai satu sejarah yang tersendiri dan amat mengagumkan. Sejarah mencatatkan bahawa ramai di kalangan para ulama salaf yang tidak pernah lekang menasihati dan memuhasabah penguasa sehingga ada di antara mereka yang dipenjara, disiksa, malah dibunuh di dalam melakukan amar ma’ruf nahi mungkar ini. Nama-nama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad Bin Hanbal, Imam Syafie, Ibnu Taimiyah senantiasa mekar harum dan terabadi dalam sejarah Islam sebagai ulama yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah hingga ke hembusan nafas yang terakhir. Mereka adalah orang-orang yang dekat dengan pemerintah, selalu diugut dan disiksa, tetapi tidak pernah gentar menghadapi segala macam ancaman dan tentangan dari pemerintah, walupun nyawa menjadi taruhan. Mereka yakin dan bertawakkal bahawa hanya Allah satu-satunya Penolong dan Pelindung mereka dan mereka sentiasa memohon kepada Allah agar kelak kembali ke sisiNya dalam keadaan syahid.




Inilah sikap ulama yang kita ingini dan kita harap-harapkan. Semoga akan lahirlah ulama di zaman ini yang hanya takutkan Allah, bukannya takut kepada pemerintah, cintakan Allah, bukan cinta dunia dan takutkan mati. Seorang ulama pernah mengingatkan kita,




”Bahawa ulama itu ada tiga macam, iaitu (pertama) ulama yang membinasakan dirinya dan orang lain dengan mengejar kesenangan dunia. Dan (kedua) ulama yang menyelamatkan dirinya dan orang lain dengan menyeru dan memanggil manusia untuk berbakti kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala secara lahir dan batin. Dan (ketiga) ulama yang membinasakan dirinya tetapi menyelamatkan orang lain, pada zahirnya dia memanggil manusia untuk mengerjakan kebaikan, tetapi secara diam-diam dia sendiri hanya mengejar harta untuk mencari kekayaan dan kedudukan dunia. Maka hendaklah kita memeriksa diri masing-masing, ke dalam golongan manakah kita termasuk? (Imam Ghazali, Ihya’ Ulumuddin)




Akhir kata, semoga kita tidak termasuk ke dalam golongan yang hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak dikota. Renungilah sabda Junjungan kita dan ambillah peringatan agar kita tidak bertemu dengan Allah dalam keadaan menyesal yang tiada gunanya lagi,




”Akan datang pada hari kiamat seseorang, lalu dia dicampakkan ke dalam neraka jahanam, maka berhamburanlah isi perutnya dan dia berputar-putar sebagaimana keldai memutari kincir. Maka datanglah penghuni jahanam dan bertanya kepadanya, ’Hai Fulan, apakah yang telah terjadi atas dirimu? Bukankah kamu dahulu menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar?’ Dia berkata, ’memang aku dahulu menyuruh yang makruf tetapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan aku mencegah perbuatan mungkar, tetapi aku sendiri melakukannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

HAJI : PENGORBANAN DAN PENYATUAN


HAJI : PENGORBANAN DAN PENYATUAN




“Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda, wa ni’mata, laka wal mulk, la syarikalak” (Kami datang menyahut panggilanMu, ya Allah, kami datang menyahut panggilanMu. Kami datang memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagiMu. Kami datang menyahut seruanMu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu). Inilah seruan yang sama-sama dikumandangkan oleh seluruh jamaah haji. Seruan yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kaum Muslimin tatkala datang ke Baitullah di dalam menyahut perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seruan ini merupakan ikrar bagi kaum Muslimin untuk datang memenuhi panggilan Allah serta siap menerima dan menjalankan perintah-Nya, tanpa menyimpang sedikitpun dari apa yang Allah telah tetapkan.




Hari ini (Jumaat
29/12/06) adalah hari di mana umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di padang Arafah untuk melaksanakan satu daripada rukun haji iaitu wukuf. Hari ini, sebagaimana hari-hari yang sama pada setiap tahun, menjadi saksi kepada ketundukan manusia di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hari ini juga menjadi saksi kepada setiap jemaah haji dan keseluruhan umat Islam bahawa tidak ada perbezaan di antara yang berkulit putih mahupun hitam, yang kaya dan yang miskin, pemerintah ataupun rakyat - semuanya dibaluti dengan kain putih tidak berjahit dan berada di tengah padang pasir, mengharap pahala dan keredhaan dari Maha Pencipta. Di samping mengajar kita kesucian hati dan fikiran, ibadah haji juga mengajar kita untuk menanggalkan semua ikatan Jahiliyyah samada berupa ikatan kaum, keturunan, bangsa, negara dan lain-lain ikatan kekufuran. Yang ada dalam setiap fikiran jamaah haji adalah ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah, yang mana dengan ikatan ini, manusia itu adalah sama di sisi Allah, kecuali ketaqwaanlah yang akan membezakan mereka.




YANG MENYEDIHKAN




Boleh dikatakan keseluruhan mereka yang berangkat menunaikan haji tentunya merasa gembira kerana dapat melengkapkan rukun Islam yang kelima ini. Jauh sebelum keberangkatan, suasana gembira, syukur dan meriah sebenarnya telah dapat dirasakan. Benar, kita sepatutnya bergembira pada hari ini. Tetapi pada masa yang sama, ada banyak perkara lain yang menyedihkan kita. Perayaan yang sepatutnya disambut secara serentak oleh kaum Muslimin satu dunia, ternyata menghiris hati kita hampir setiap tahun. Kenapa? Pada tahun ini sekali lagi kita menyaksikan perayaan ini disambut pada hari yang berbeza oleh umat Islam. Kerajaan Arab Saudi telahpun mengumumkan bahawa 21 Disember yang lepas adalah bersamaan dengan 1 Zulhijjah. Oleh itu, wukuf jatuh pada hari ini, yakni Jumaat
29/12/06 dan Idul Adha sepatutnya dirayakan esok (Sabtu 30/12/06). Malangnya kerajaan beberapa buah negara, termasuklah Malaysia telah mengumumkan Hari Raya Idul Adha jatuh pada hari Ahad 31/12/06. Apakah yang menyebabkan perbezaan ini, walhal selisih masa di antara Malaysia dan Makkah hanyalah lebih kurang 5 jam? Tak lain tak bukan, kerana umat Islam masih terpecah kepada negara bangsa ciptaan penjajah yang mana setiap negara masih bermati-matian mempertahankan kedaulatan sempadan negara masing-masing.




Pada masa kita (termasuk ulama dan pemimpin) membicarakan tentang ibadah haji sebagai simbol penyatuan umat Islam, simbol kesetaraan, persaudaraan dan seumpamanya, pada masa yang sama para ulama dan pemerintah tidak mempersatukan kita di bawah satu kepimpinan, satu negara, satu Daulah. Mereka masih berpegang erat bahawa negara Malaysia adalah milik rakyat Malaysia, Indonesia adalah negara ‘orang lain’, Palestin adalah negara milik bangsa Palestin, Iraq, Turki, Pakistan adalah negara mereka, bukan negara kita. Inilah yang masih menyedihkan kita.
Para pemerintah dan ulama yang sepatutnya mempersatukan kaum Muslimin sebaliknya yakin, redha dan mempertahankan sempadan ciptaan kuffar penjajah. Mereka lupa bahawa semua tanah kaum Muslimin adalah tanah kita. Mereka lalai bahawa bumi ini diwariskan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman. Mereka tidak sedar bahawa Ka’abah bukan milik Saudi, Masjid Nabawi bukan hak Saudi, Masjidil Aqsa bukan sekali-kali hak Palestin, tetapi semua ini adalah milik Allah dan milik umat Islam. Rasulullah berjuang menghapuskan semua sempadan-sempadan ini dan menyatukan umat Islam, sebaliknya pemimpin hari ini berjuang mempertahankan sempadan ini dan memecahbelahkan kita.




Mereka menyatakan umat Islam itu bersaudara, walhal mereka menghalau saudara mereka yang masuk ke negara mereka tanpa pasport dan visa, mereka menyatakan umat Islam wajib bersatu, tetapi mereka tidak menyatukan umat Islam di bawah Daulah Khilafah, malah mana-mana gerakan Islam yang ingin mempersaudarakan sesama Islam, menghapuskan segala sempadan dan menyatukan umat Islam di bawah satu kempimpinan dan pemerintahan, golongan ini pula yang dipersalahkan. Malah para pemerintah dan ulama ini akan turut menyalahkan mana-mana kaum Muslimin yang ingin menyambut perayaan tidak sama dengan tarikh yang mereka isytiharkan. Yang lebih mendukacitakan, sesetengah umat Islam juga turut menganggap bahawa perbuatan ini adalah salah, malahan sesat!




Di samping kesedihan kita dengan sikap ulama dan pemimpin yang sekular, kita juga amat sedih melihat sesetengah umat Islam yang salah faham tentang konsep ibadah haji di mana mereka menganggap Makkah sebagai satu tempat untuk ‘confession’ (pengakuan salah). Benar, kita dituntut agar bertaubat dan memperbaiki diri. Tapi apa yang dimaksudkan confession di sini ialah menganggap dan menjadikan Makkah sebagai tempat ‘pembersihan’ dosa. Sebelum ke Makkah, mereka hidup sama seperti seorang sekular, tidak mempertimbangkan halal dan haram di dalam perbuatan, tidak memperdulikan dosa dan pahala, syurga atau neraka. Mereka tidak menghiraukan semua ini dengan alasan satu hari nanti mereka akan ke Makkah untuk ‘membersihkan’ diri mereka. Mereka menganggap inilah sebaik-baik tempat untuk melakukan confession. Seolah-olah kita mempunyai hak untuk melakukan dosa, kemudian boleh ditebus dengan menunaikan haji. Walhal ibadah haji bukan memberikan satu alasan untuk kita melakukan dosa, samada sebelum atau selepas menunaikan haji. Kita kesal apabila ada di kalangan umat Islam yang berfikir sebagaimana Kristian yang menganggap dirinya telah ‘bersih’ setelah melakukan sebuah ‘confession’ di tempat ibadat mereka.




Ada segelintir umat Islam menganggap bahawa haji adalah episod akhir di dalam ibadah. Ini adalah kefahaman yang salah. Kita harus sedar bahawa menunaikan haji bukanlah perkara terakhir yang diperintahkan oleh Allah kepada kita. Haji bukanlah perjuangan yang terakhir dalam hidup ini. Banyak lagi perintah dan laranganNya yang wajib dilakukan samada sebelum atau sesudah menunaikan haji. Dakwah umpama contoh, merupakan sebuah perjuangan yang wajib dilakukan oleh setiap kaum Muslimin hingga ke akhir hayat. Menegakkan Khilafah adalah kewajipan yang tidak akan berkesudahan sehinggalah dilantiknya seorang Khalifah bagi umat ini. Jihad, sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah merupakan satu kewajipan sehingga Hari Kiamat. Dan banyak lagi kewajipan-kewajipan lain yang hukumnya kekal hingga Kiamat.




Satu lagi perkara yang turut menyedihkan kita ialah sikap segelintir para jemaah setelah mereka pulang semula ke negara masing-masing. Kita yakin bahawa setiap jemaah haji tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan sebanyak-banyak ibadah semasa mereka berada di Tanah Suci. Mereka juga tentu mengambil kesempatan untuk bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa mereka. Masing-masing akan berebut-rebut untuk melakukan, bukan setakat amalan wajib bahkan amalan sunat sekalipun. Kita menyaksikan betapa umat Islam berasak-asak untuk melakukan tawaf sunat, solat sunat dibelakang maqam Ibrahim atau hijir Ismail, mengucup Hajarul Aswad dan pelbagai amalan sunat lain lagi. Setiap jemaah juga akan mempunyai cita-cita untuk kalau boleh, memasuki Ka’abah, sehingga ada yang beranggapan bahawa hanya orang-orang yang dimuliakan oleh Allah sahaja yang dapat masuk ke dalamnya.
Ada juga yang pernah berkesempatan melihat pintu Ka’abah dibuka dan terus merasa ‘dimuliakan’ oleh Allah dengan peluang tersebut.




Wahai kaum Muslimin! Tidakkah kalian menyaksikan sebahagian antara mereka yang telah kembali dari haji tetapi tetap melakukan dosa-dosa besar. Berapa ramai yang terlibat dengan amalan riba, seolah-olah riba itu suatu yang halal. Dari golongan bawah hingga ke atas, berapa ramai yang masih mengambil pinjaman riba, walhal mereka adalah golongan yang bertaubat dan menangis di hadapan Ka’abah semasa haji. Berapa ramai yang masih terlibat dengan rasuah untuk mendapatkan projek-projek demi meraih habuan dunia yang sedikit, walhal mereka berzikir siang dan malam di Arafah. Berapa ramai yang memgang kekuasaan tetapi menyalahgunakan kuasa, walhal mereka memohon keampunan kepada Allah semasa tawaf. Ada pula di kalangan pemimpin umat Islam yang diberikan kesempatan oleh Allah untuk masuk ke dalam Ka’abah, tetapi pemimpin inilah yang apabila balik ke negara masing-masing masih terus mempertahankan undang-undang kufur, sistem kufur, membuat undang-undang sendiri yang bertentangan dengan undang-undang Allah serta lain-lain dosa dan keharaman. Pemimpin inilah yang menzalimi rakyat, mengaut kuntungan negara untuk diri sendiri dan kroni, yang menipu rakyat, yang menangkap mana-mana orang yang tidak sehaluan dengan mereka, yang tunduk kepada Barat, yang mengadakan hubungan baik dengan Bush dan lain-lain kejahatan lagi. Maha Suci Allah, Engkaulah yang Maha Tahu akan hakikat haji mereka!




BERKORBAN DALAM MENUNAIKAN KEWAJIPAN




Ibadah haji mengajar kita erti pengorbanan. Hari Raya Haji juga disebut sebagai Hari Raya Kurban atau Idul Adha karena pada hari ini umat Islam disyariatkan oleh Allah untuk menyembelih haiwan kurban. Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyariatkan ibadah kurban ini kepada umat Islam karena Dia telah menganugerahi mereka nikmat yang banyak. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,




”Sesungguhnya Kami telah memberi kamu nikmat yang banyak. Karena itu, dirikan solat karena Tuhanmu, dan berkorbanlah”. [TMQ al-Kautsar (108):1-2].




Pada Hari Raya Kurban ini, kita juga dituntut untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail di mana Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Kedua-duanya telah melakukan satu pengorbanan yang besar di dalam keadaan tunduk patuh kepada perintah Allah. Di samping amalan korban yang menjadi syariat di dalam ibadah haji ini, setiap jemaah sebenarnya banyak berkorban samada sebelum atau semasa menunaikan rukun Islam kelima ini. Umat Islam berkorban di dalam usaha menggenapkan belanja (wang), membayar segala hutang, berpisah dengan keluarga dan sanak saudara, masa, pekerjaan dan sebagainya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah.
Para jemaah juga sanggup berkorban di dalam melakukan rukun haji itu sendiri dalam keadaan yang penuh sesak, berebut-rebut, berhimpit-himpit, cuaca yang panas di siang hari, sejuk pada malamnya, pelbagai penyakit yang melanda dan lain-lain kesukaran lagi.




Inilah sedikit dari pengorbanan yang setiap orang akan melalui dengan penuh redha. Seorang pun tidak akan mempertikaikan akan kewajipan dan amalan-amalan yang diwajibkan oleh Allah di dalam ibadah haji ini, walau bagaimana sukar sekalipun. Alangkah redha dan bersungguh-sungguhnya umat Islam dan mereka akan merasa akan kemuliaan yang Allah berikan di dalam segenap kesukaran yang dilalui. Alangkah mulianya umat Islam jika mereka juga turut redha di dalam melakukan kewajipan-kewajipan yang lain. Sungguh mulia umat Islam apabila mereka redha dan bersungguh-sungguh meninggalkan riba, walau bagaimana sukar sekalipun, walau terpaksa menyewa rumah dan memiliki kereta buruk. Betapa mulianya mereka apabila meninggalkan riba semata-mata kerana ingin meraih redha Allah. Alangkah mulianya umat Islam apabila mereka bersungguh-sungguh berdakwah di jalan Allah untuk menegakkan deen ini, walau bagaimana sukar sekalipun, walau terpaksa berkorban wang ringgit, masa, status sosial, kedudukan, pekerjaan, menghadapi celaan orang yang suka mencela, terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan pelbagai ujian lain lagi. Alangkah mulianya jika umat Islam redha sepenuhnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah Khilafah, tanpa memperhitungkan segala halangan dan rintangan yang mendatang. Alangkah mulianya jika umat Islam tidak pernah memberi apa-apa alasan di dalam menunaikan segala kewajipan yang Allah telah tetapkan!




Wahai kaum Muslimin! Kenapakah kalian sanggup berkorban di dalam melakukan ibadah haji dengan pengorbanan yang sepenuhnya, tanpa sedikitpun memberi alasan kepada Allah akan kelemahan dan kurangan kalian? Kenapakah kalian sanggup memberi alasan kepada Allah akan kewajipan dakwah yang kalian tidak laksanakan, akan pinjaman riba yang kalian ambil, akan hukum kufur yang kalian pertahankan, akan negara bangsa yang kalian perjuangkan? Kenapakah kalian tidak redha sepenuhnya kepada Allah di dalam kewajipan-kewajipan lain, sebagaimana redhanya kalian di dalam kewajipan haji? Di manakah pengorbanan kalian di dalam berdakwah ke jalan Allah? Di manakan pengorbanan kalian di dalam mempersatukan negeri-negeri umat Islam? Di manakah pengorbanan kalian di dalam menegur dan memuhasabah pemimpin yang tidak menerapkan Islam? Di manakah pengorbanan kalian di dalam menegakkan deenullah? Demi Allah, di saat ini kami hanya mampu bertanya dan mengajukan persoalan agar kalian tidak lupa dan tidak lalai. Namun di saat Izrael datang menjemput kalian, milik Allahlah segala soalan-soalan ini dan hanya kepadaNyalah kalian perlu menjawab!




HAJI – POLITIK DAN PENYATUAN




Di dalam perjalanan dakwah Rasulullah semasa di Makkah, baginda telah menjadikan musim haji sebagai waktu dakwah untuk menjalin hubungan dengan rombongan haji dan menyampaikan dakwah kepada mereka. Bermula tahun ke-10 kenabian, Rasulullah mendatangi para pemimpin kabilah pada musim haji untuk menawarkan Islam dan meminta nusrah (pertolongan) dari mereka. Ibn Hisyam meriwayatkan bahawa tidak satu pun dari mereka yang menyambut seruan Rasul itu sehinggalah ke musim haji tahun ke-11 kenabian, di mana datang 6 orang pemimpin suku Khazraj dari Madinah yang menyambut seruan beliau. Lalu mereka kembali ke Madinah dan mendakwahkan Islam di
sana. Saat musim haji tahun berikutnya, seramai 12 orang dari kalangan para pemimpin Madinah datang menemui Rasul dan melaksanakan Bai’at Aqabah I. Kemudian pada musim haji tahun ke-13 kenabian, seramai 75 orang wakil penduduk Madinah, menemui Rasul dan membai’at beliau dalam Bai’at Aqabah II. Bai’at ini merupakan akad penyerahan kekuasaan kepada Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan merupakan akad penegakan Daulah Islam di Madinah.




Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak hanya menjadikan ibadah haji sebagai momentum dakwah pada fasa Makkah sahaja. Pada tahun ke-6 Hijriah, yakni pada fasa dakwah di Madinah, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menjadikan momentum ibadah haji sebagai usaha untuk mengukuhkan dakwah Islam di Jazirah Arab. Saat itu dengan strategi hendak menunaikan ibadah haji, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berhasil mencipta satu atmosfera dakwah Islam di Jazirah Arab. Dengan strategi itu pulalah, termeterinya Perjanjian Hudaibiyah, yang seterusnya menjadi jalan kepada penyebarluasan dakwah Islam di Jazirah Arab. Perjanjian Hudaibiyah jugalah yang kemudiannya menjadi pembuka jalan bagi Penaklukan Makkah (Fathu Makkah). Akhirnya, Makkah berjaya dibebaskan dari cengkaman sistem dan aturan kufur, dan kemudian diganti dengan sistem dan aturan Islam. Makkah akhirnya berubah dari Dârul Kufur menjadi Dârul Islâm.




Hubungan siyasah (politik) dengan ibadah haji juga jelas dapat dilihat ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat Saidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan ibadah haji kaum Muslimin pada tahun ke-9 Hijriah. Setelah keberangkatan Abu Bakar, turunlah Surah at-Taubah tentang pembatalan perjanjian yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dengan kaum Musyrikin. Seseorang kemudian mencadangkan kepada Rasulullah agar surah itu dikirimkan kepada Abu Bakar. Lalu, Rasulullah mengutuskan Ali karramallhu wajhah untuk menyusul serta membacakan surah at-Taubah ketika kaum Muslimin berkumpul pada hari kurban di Mina. Ali kemudian bertemu dengan rombongan Abu Bakar dan Abu Bakar bertanya: “Adakah engkau sebagai amir (pemimpin) atau yang dipimpin?”. Ali menjawab: “Aku hanyalah orang yang dipimpin”. Kaum Muslimin pun meneruskan perjalanan di bawah pimpinan Abu Bakar. Ketika waktu Hari Kurban di Mina, Ali menyampaikan kepada kaum Muslimin apa yang diperintahkan Rasul kepadanya, dia berucap “Hai manusia, sesungguhnya orang kafir tidak akan masuk syurga, orang musyrik tidak boleh melakukan haji setelah tahun ini (9H), orang telanjang tidak boleh melakukan tawaf di Baitullah, siapa sahaja yang mempunyai perjanjian dengan Rasulullah, maka perjanjian tersebut berlaku hingga waktunya.....” [Sirah Ibnu Hisham].




Para Khalifah juga sentiasa meletakkan urusan ibadah haji sebagai perhatian utama mereka. Mereka menggunakan musim haji untuk menjaga urusan kaum Muslimin. Di dalam kitab ‘Tarikh al-Khulafa, Imam As-Suyuti banyak menceritakan perkara seperti ini. Di antaranya kisah Mu’awiyah Bin Abu Sufyan yang menggunakan masa ibadah haji untuk mendapatkan bai’at kaum muslimin untuk anaknya, Yazid. Dia berucap untuk mengingatkan ketidakbolehan kaum muslimin tidak mempunyai Khalifah walaupun satu malam dan supaya menjaga kesatuan umat. Ibnu Umar menjawab setelah memuji Allah,




“Para Khalifah sebelum kamu, mereka mempunyai putera, dan putera kamu tidaklah lebih baik daripada putera-putera mereka. Mereka tidak berpendapat untuk putera mereka seperti apa yang aku lihat pada putera kamu (iaitu mereka tidak meminta untuk membai’at putera mereka). Mereka memutuskan apa yang terbaik untuk kaum muslimin. Engkau memperingatkan aku supaya tidak memecah-belahkan kesatuan kaum muslimin dan aku tidak melakukannya. Aku hanyalah seorang di antara kaum muslimin. Jika mereka setuju, aku hanyalah salah seorang di antara mereka. Semoga Allah mengampuni kamu”.




Setelah berucap, Ibnu Umar lalu pergi meninggalkannya. Apa yang jelas dari peristiwa ini adalah amalan siyasah (politik) yang berlaku pada saat ibadah haji. Ibnu Umar yang tidak memisahkan siyasah ketika ibadah haji ternyata menggunakan kesempatan haji untuk menilai, menasihati dan memuhasabah pemimpin. Inilah bentuk aktiviti siyasah di dalam Islam.




Segala peristiwa ini sungguh penuh kaitannya dengan politik. Sejarah Ibadah haji telah menjadi bukti nyata yang kepada kita bahawa Rasulullah dan para sahabat telah mempersatukan kaum Muslimin melalui peristiwa ini. Ternyata, segala seruan (dakwah) dan pelbagai aktiviti politik yang berlaku di saat menunaikan haji ini telah berjaya meletak dan menyatukan umat Muhammad di bawah satu ibadat dan satu kesatuan. Perbezaan suku, bangsa, keturunan, bahasa, status sosial, dan latar belakang budaya terbukti tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk bersatu di dalam menyahut perintah Allah ini. Inilah hakikat yang menunjukkan bahawa umat Islam akan dapat bersatu semula di bawah satu payung pemerintahan apabila tujuan dan matlamat mereka sama, yakni untuk menegakkan syariat Allah dengan melantik seorang pemimpin yang akan melaksanakan pemerintahan dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Demi Allah, Sesungguhnya penyatuan di bawah satu pemerintahan ini pasti akan berlaku!




KHATIMAH




Wahai kaum Muslimin! Ibadah Haji sepatutnya menimbulkan kesedaran bahawa Tuhan kita satu, agama kita satu dan kiblat kita juga satu. Umat Islam berkumpul semata-mata kerana seruan Allah. Mereka meninggalkan seruan nasionalisme, seruan kepentingan dunia dan semua seruan yang selain daripada seruan Allah. Semoga dengan ibadah Haji kali ini, umat Islam mendapat berkat terutamanya para jemaah haji. Semakin bertambah ketaatan kaum Muslimin kepada Allah, semakin bersemangat untuk mereka menerapkan syariat Islam, sedia berkorban apa sahaja demi Allah dan Rasul-Nya. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada kesatuan umat dalam satu kepimpinan, iaitu Khilafah. Sepatutnya ibadah haji ini dapat menghilangkan perpecahan di antara kita, khususnya dalam hal kepemimpinan, di mana kita seharusnya sedar dan wajib berusaha untuk mewujudkan kepimpinan dan negara yang satu, yakni Khilafah Islamiyyah. Inilah penghayatan ibadah haji yang sepatutnya kita wujudkan. Allah Subhanuhu wa taala berfirman:




“Berpeganglah kalian semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kalian bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu (pada masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, lalu kalian dengan nikmat Allah itu menjadi bersaudara.....” [TMQ Ali-Imran (3):103]




Hanya dengan itulah umat Islam benar-benar akan bertakbir dalam kesatuan dan kemenangan, bukan dalam kekalahan dan perpecahan, sebagaimana yang dikumandangkan oleh Rasulullah dan kita semua setiap kali menjelang Hari Raya. Wallahu a’lam.


 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR