ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


HAKIKAT PILIHANRAYA

HAKIKAT PILIHANRAYA

&

PENILAIANNYA MENURUT SYARA'


Hakikat / Fakta Pilihanraya

Pada asasnya, pilihanraya difahami sebagai proses pemilihan pimpinan - yang membentuk sebuah pemerintahan, daerah mahupun negara. Namun secara nisbinya, pilihanraya merupakan satu mekanisme kepada peraihan kekuasaan dari rakyat di dalam mana-mana negara yang menjalankan prinsip demokrasi (kebebasan). Tradisi memilih dan mengganti pemimpin hanyalah melalui kutipan suara majoriti atau pilihanraya samada di peringkat negeri mahupun Parlimen. Cara ia dijalankan bergantung pada jenis pemerintahan samada pemerintahan Republik, Persekutuan ataupun Monarki.Dikebanyakan sistem politik demokrasi, beberapa jenis pilihanraya boleh didapati, bergantung kepada lapisan pemerintahan atau sempadan geografi.

Antara yang biasa ditemui adalah:

1. Pemilihan Presiden (Presidential election)

2. Pilihanraya Umum (General elections)

3. Pilihanraya Utama (Primary elections)

4. Pilihanraya Parti (Bye-elections)

5. Pilihanraya Kecil (Local elections)

Perlu diperjelaskan dengan teliti bahawa piliharaya di negara kita adalah bertujuan untuk melantik Ahli Dewan Rakyat (Parlimen) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), . Namun begitu, oleh kerana idea pilihanraya hari ini telah dibudayakan dengan aspirasi demokrasi dan kapitalisme, umat tidak lagi melihatnya dari aspek hukum fiqh. Secara umumnya satu dari tugas utama dewan adalah untuk membuat undang-undang [Politik dan Kerajaan Malaysia, R.S. Milne dan Diane K. Mauzy, ms 266]. Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat undang-unda ng yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru. Parlimen juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.[ www.parlimen.gov.my]


Tidak menjadi kesalahan kepada orang Islam untuk menjadi anggota Dewan Rakyat atau DUN selama mana mereka hanya menghadkan aktiviti kepada melakukanamar makruf nahi mungkar, berdakwah , memeriksa dan mengkritik dasar kerajaan kerana perkara ini adalah sesuai dengan tuntutan syarak. Namun perlu dipastikan bahawa dia tidak terlibat dengan pengiktirafan undang-undang manusialah yang tertinggi dan tidak terlibat dalam penggubalan undang-undang, ini kerana Allah SWT berfirman "..Sebenarnya (yang menentukan) hukum hanyalah bagi Allah.." [TMQ Yusuf (12) :40]


Adapun aktiviti perundangan itu sebenarnya juga tertakluk kepada tegahan Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firmanNya yang bermaksud; "Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: 'Ini halal dan ini haram', untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." [TMQ An-Nahl (16) :116]


Begitu juga dengan kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala yang lain, yang dapat kita temukan di dalam kitab Al-Quran, kitab yang kita imani tanpa sedikitpun keraguan terhadap isi kandungannya. Maka dari sini jelas bahawa segala bentuk penggubalan undang-undang mahupun peraturan hidup yang bukan berasal dari Allah Subhanahu wa Ta'ala (dengan kata lain, wahyu) adalah tertolak.


Hukum Pilihanraya


Di sisi syara', pilihanraya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan).
Penyempurnaan aqad wakalah mesti memenuhi rukun-rukunnya, iaitu;

1. Ijab dan qabul

2. Muwakkil - pihak yang mewakilkan

3. Wakil - pihak yang mewakili

4. Perkara yang diwakilkan

5. Bentuk redaksi akad perwakilannya (sighat tawkil)

Ini berdasarkan kepada beberapa dalil dari hadis; Dari Jabir bin Abdillah. Ia menuturkan, "Aku hendak berangkat ke Khaibar, lalu aku menemui Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda kemudian bersabda : Jika engkau menemui wakilku di Khaibar maka ambillah olehmu darinya lima belas wasaq." [HR Abu Daud]

Dan dalam peristiwa Bai'at 'Aqabah II, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh). Sementara yang menjadi isu utama dalam menetapkan hukum pilihanraya itu adalah 'perkara yang diwakilkan' yang merupakan objektifnya, jika kita pasti bahawa calon yang kita undi itu dapat memastikan dirinya tidak terlibat dalam proses pembuatan undang dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan syariat, maka bolehlah kita datang mengundi untuk beliau, namun jika tidak adalah haram untuk bersubahat melantik menjadi wakil kepada benda yang diharamkan, berasaskan Kaedah, Al-wasilatu ila haraam, muharramah (Sesuatu yang membawa kepada keharaman, maka ianya juga haram)


Pilihanraya Dalam Sistem Pemerintahan Islam


Adapun pilihanraya yang dibenarkan (sah) dalam Islam ia hanya terkait dengan dua objektif, iaitu;


1. Perlantikan perwakilan membentuk sebuah majlis syura yang juga dikenali sebagai Majlis Ummat di mana fungsi atau objektif majlis adalah menyampaikan aspirasi (suara) rakyat dan juga memuhasabah (memberi teguran, masukan) terhadap administrasi (pengurusan) Khalifah. Skop fungsinya bukan sebagai penggubal undang-undang.

2. Majlis Ummat juga boleh digunakan sebagai mekanisme menentukan calon Khalifah di mana calon tadi dikempen agar dibai'at menjadi pemimpin umum kaum muslimin keseluruhannya.

Walaupun secara kasarnya, tidak nampak perbezaan ketara di antara pilihanraya di dalam Sistem Islam dan Sistem Demokrasi, tetapi jika direnung secara mendasar, terdapat pelbagai percanggahan yang memisahkan antara keduanya.Jadual di bawah cuba mengilustrasikan perbezaan tersebut;

KRITERIA


Code:
SISTEM DEMOKRASI


Kedudukan dan fungsi :
Suatu kemestian ('wajib') yang menjadi thariqah mewujudkan kedaulatan rakyat


Objektif :
Membentuk majlis perwakilan yang menjadi badan penggubal (legislator)


Keterlibatan rakyat :
Semua rakyat berhak menentukan pemimpin dan kepala negara seterusnya undang-undang berdasarkan suara majoriti


Wakil :
Siapa sahaja berhak dipilih sebagai wakil asalkan memenangi kutipan suara terbanyak

KRITERIA

Code:
SISTEM ISLAM


Kedudukan dan fungsi :
Suatu yang Mubah (harus) bagi membentuk Majlis Umat serta mencalon Khalifah

Objektif :
Membentuk Majlis Ummat yang menyuarakan aspirasi rakyat dalam konteks memuhasabah Khalifah dalam urusan administrasinya

Keterlibatan rakyat :
Semua rakyat berhak menyuarakan aspirasinya kepada Khalifah tetapi hanya kaum muslimin berhak memilih calon Khalifah yang akan dibai'at melaksana tuntutan (peraturan) Al-Quran dan As-Sunnah

Wakil :
Untuk Majlis Ummat, rakyat bebas memilih wakil mereka. Tetapi untuk calon Khalifah, syara' menetapkan hanya muslim lelaki yang baligh, berakal, adil, merdeka dan berkemampuan sahaja yang boleh dipilih.


Thariqah (jalan/method) Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam Berpolitik Membentuk Pemerintahan (Negara)


Dalam konteks umat Islam melakukan aktiviti politik menegakkan syari'at Islam melalui institusi negara (Khilafah), adalah perlu ditegaskan dua prinsip:

Pertama, bahawa aktiviti seseorang muslim wajib bersandar kepada hukum syara', bukan bersandar kepada selainnya, seperti kemaslahatan, hawa nafsu, atau logik. Kerana itu, perjuangan umat untuk mendirikan Khilafah wajib didasarkan kepada hukum-hukum syara' dan tidak boleh didasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan yang tidak syar'i. Keterikatan kepada syariat Islam adalah kewajiban tiap muslim.

Kedua, bahawa umat Islam wajib mengambil suri teladan (uswatun hasanah) dari Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dalam masalah ini. Ini adalah kerana, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam telah memberi teladan bagaimana caranya untuk mengubah masyarakat jahiliyah menjadi masyarakat Islam. Kita wajib meneladani manhaj (jalan) Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan Hari Kiamat, dan dia banyak menyebut Allah (dengan membaca zikir dan mengingat Allah)." [TMQ Al-Ahzab [33]: 21].


Berdasarkan dua prinsip itulah, maka langkah-langkah untuk mendirikan Khilafah dapat disarikan sebagai berikut:

1. Perjuangan harus dilakukan secara jama'i (berkelompok) kerana mendirikan Khilafah adalah tugas yang berat yang tidak akan mampu dipikul oleh individu. Kerana itu, umat wajib berkelompok (berjamaah) untuk mendirikan Khilafah kerana tanpa kelompok tersebut tidak mungkin kewajiban mulia ini dapat direalisasikan secara sempurna. Ini adalah sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud: "(Dan) hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (jamaah) yang menyeru kepada kebaikan (mengajak memilih kebaikan, yaitu memeluk Islam), memerintahkan kepada yang ma'aruf dan melarang dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung." [TMQ Ali-Imran [3]: 104].


2. Perjuangan harus berada di jalur politik (siyasah). Ini adalah kerana mendirikan Khilafah merupakan masalah politik sehingga thariqah yang relevan untuk mendirikannya tentulah melalui pendekatan politik. Penggunaan jalan politik ini bukan bererti menghalalkan segala cara, sebagaimana amalan politik saat ini yang sangat kotor. Jadi, mendirikan Khilafah paling tepat dilakukan oleh sebuah kelompok politik.


3. Perjuangan tidak menggunakan cara kekerasan (fizik), misalnya dengan membentuk pasukan bersenjata untuk menyerang penguasa. Dari seerah dapat diperhatikan bahawa aktiviti Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di Mekah terbatas hanya pada dakwah secara lisan dan tidak melakukan kegiatan apapun yang bersifat fizik sehinggalah Baginda berhijrah. Bahkan tatkala tokoh-tokoh Madinah menawarkan kepada beliau pada Bai'atul Aqabah II agar mereka diizinkan memerangi penduduk Mina dengan pedang, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab "lam nu`mar bi dzalika ba'du" (Kami belum diperintahkan untuk melakukan yang demikian (perang)).


4. Perjuangan dakwah intelektual; pemikiran-politik (fikriyyah-siyasah) wajib menempuh tahap-tahap (marhalah) yang dicontohkan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.


Dengan mendalami seerah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di Mekah hingga beliau berhasil mendirikan Daulah Islam di Madinah, akan kita dapati ia berjalan dalam tiga tahapan (marhalah) berikut :


a) Tahapan Pembinaan (Marhalah At Tatsqif), yang dilaksanakan untuk membentuk ahli-ahli yang mempercayai pemikiran Islam dalam rangka pembentukan kerangka tubuh jamaah/kelompok.


b) Tahapan Berinteraksi dengan Umat (Marhalah Tafa'ul Ma'al Ummah), yang dilaksanakan agar umat turut memikul kewajiban dakwah Islam, hingga umat menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya, agar umat berjuang untuk mewujudkannya dalam realiti kehidupan.

c) Tahapan Pengambilalihan Kekuasaan (Marhalah Istilaam Al Hukm), yang dilaksanakan untuk menerapkan Islam secara menyeluruh dan mengembang risalah Islam ke seluruh dunia. Adapun di dalam konteks memilih pemimpin yang akan dibai'at menjadi Khalifah, para sahabat ketika zaman khulafa' ar-rasyidin pernah meneladankannya.

Sebagai contoh, pemilihan Saidina Abu Bakar dan Umar yang rentetan perlantikan mereka diringkaskan di bawah:


Pertama, Khalifah Abu Bakar


a. Diadakan pertemuan (ijtima') oleh majoriti Ahlul Halli wal Aqdi*

b. Ahlul Halli wal Aqdi melakukan pencalonan (tarsyih) bagi satu atau beberapa orang tertentu yang layak untuk menjadi khalifah.

c. Dilakukan pemilihan (ikhtiyar) terhadap salah satu dari calon tersebut.

d. Dilakukan bai'at in'iqad bagi calon yang terpilih.

e. Dilakukan bai'at ta'at oleh umat kepada khalifah.

Kedua, Khalifah Umar bin al-Khathathab

a. Khalifah itu meminta pertimbangan (istisyarah) kepada Ahlul Halli wal Aqdi mengenai siapa akan menjadi khalifah setelah ia meninggal.

b. Khalifah itu melakukan istikhlaf (menunjukkan pengganti) kepada seseorang yang akan menjadi khalifah setelah ia meninggal. Setelah itu akan dilakukan 2 langkah lagi.

c. Calon khalifah yang telah ditunjuk akan dibai'at dengan bai'at in'iqad untuk menjadi khalifah

d. Dilakukan bai'at a t-ta'at oleh umat kepada khalifah.

* Ahlul halli wal aqdi adalah sekelompok individu yang menjadi wakil umat keseluruhan untuk tujuan mengangkat calon khalifah sebagai khalifah.

Khatimah

Secara asasnya, pilihanraya bukanlah suatu keharaman dalam Islam. Ia hanyalah suatu mekanisme (proses) yang boleh digunakan (selama mana tidak ada unsur penipuan) bagi tujuan yang dibenarkan yakni membentuk Majlis Ummat dan mencalonkan seorang Khalifah yang akan dibai'at oleh sekalian umat Islam sebagai pemimpin umum mereka. Namun ianya bukan Thariqah Rasulullah untuk meneggakan Negara Islam. Apa yang menjadi percanggahan di sisi syara' sekarang adalah pilihanraya disalahguna sehingga ia dijadikan satu-satunya jalan untuk membentuk sebuah majlis legislatif yang berfungsi sebagai penggubal undang-undang kehidupan selain dari wahyu (Allah) . Barat menjajakan demokrasi ke negara-negara Islam dengan bertopengkan kepada pilihanraya, lantas bila umat mengambil pilihanraya mereka juga mengambil pakej bahawa kedaulatan di tangan rakyat yang mana kuasa rakyatlah yang memilih sistem mana yang mereka inginkan, tambahan pula sikap kuku besi pemerintahan menjadi pemangkin kepada penyuburannya demokrasi ini.

Selagi kapitalisme dan demokrasi menjadi asas sistem yang memancarkan undang-undang yang mengatur urusan rakyat, selagi itulah Islam tidak akan berjaya diterapkan sepenuhnya. Bahkan Barat akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan sistemnya agar ia terus diterapkan, walau dengan apa cara sekalipun (meskipun dengan cara yang bertentangan dengan aspirasi kebebasan (demokrasi) itu sendiri). Sayugia diingatkan bahawa bukan pilihanraya menjadi isu, tapi yang menjadi isu adalah layakah kita menjadikan suara majoriti manusia se bagai asas pembuatan peraturan hidup kita, Apakah kita berhak mengundi hukum Allah? "Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata" . [TMQ Al-Ahzab, 33:36]

Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR