ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


MENGEMBANG DAKWAH : KEWAJIPAN ATAS SEMUA


MENGEMBANG DAKWAH :

KEWAJIPAN ATAS SEMUA



‘Dakwah Bukan Tugas Ustaz Sahaja’ – Itulah tajuk artikel tulisan Mohd. Salehin Sopian, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di dalam Utusan Malaysia bertarikh 07/05/07. Walaupun dengan hanya membaca tajuk, ia sudah cukup untuk memberi kefahaman bahawa kewajipan dakwah di dalam Islam bukan hanya terletak di bahu orang-orang tertentu sahaja. Tidak ada nas, baik dalam Al-Quran mahupun Al-Hadis yang menunjukkan bahawa dakwah itu adalah kewajipan yang terkena ke atas individu-individu atau kelompok-kelompok tertentu sahaja. Sebagaimana solat dan puasa, dakwah adalah satu fardhu ‘ain yang wajib dilakukan oleh setiap orang yang mengucap syahadah. Tidak ada bezanya samada dia berketurunan Melayu, India, Arab, Inggeris, Bangladesh dan sebagainya. Tidak ada beza di antara pekerja kilang, ahli korporat, pelajar, peguam, polis, tentera, rakyat, pemerintah, miskin, kaya, baik lelaki ataupun wanita; juga tidak ada bezanya samada dia mendapat tauliah dari manusia atau tidak, kesemuanya dibebankan oleh Allah dengan kewajipan yang sama. Kewajipan berdakwah adalah termasuk di dalam hal yang maklum minaddin bi dharurah. Maksudnya, tidak ada seorangpun yang boleh berhujah di hadapan Allah di akhirat kelak bahawa dia tidak melakukan dakwah kerana tidak tahu akan kewajipannya!




Walaupun kewajipan dakwah adalah terlalu jelas, namun terdapat segelintir dari umat Islam yang langsung tidak berdakwah. Kejahilan telah membelenggu mereka menyebabkan mereka menganggap bahawa solat dan puasa itu wajib, tetapi dakwah tidak. Sebahagian yang lain pula benar-benar menjaga solat mereka, tetapi tidak pernah menjaga dakwah mereka. Mereka solat secara konsisten, tetapi tidak pernah berdakwah secara konsisten. Mereka menganggap bahawa dakwah hanyalah aktiviti ‘part time’ yang hanya akan dilakukan bila perlu dan jika ada masa lapang. Bila sibuk dengan urusan dunia, maka dakwah akan ditinggalkan, walaupun mereka ini mungkin tidak pernah meninggalkan solat di dalam kesibukan mereka. Ada sebahagian yang lain memberikan alasan ‘tidak cukup ilmu’ untuk berdakwah. Anehnya, mereka ini dalam masa yang sama tidak pula berusaha untuk menuntut ilmu, walaupun menuntut ilmu itu jelas-jelas diwajibkan oleh Islam. Apabila diajak untuk mempelajari ilmu Islam ataupun berdakwah, pelbagai alasan diberikan, walhal dalam masa yang sama mereka boleh menghabiskan masa di gelanggang futsal setiap minggu, menonton TV berjam-jam sehari, bermain golf sepanjang hari, melancong dan sebagainya. Mereka boleh pula menuntut pelbagai ilmu lain dengan amat mendalam, tetapi tidak ilmu Islam. Malah sebahagian mereka sanggup menghabiskan umur bermati-matian untuk cemerlang mendalami ilmu ekonomi Kapitalis, berusaha untuk mencapai kegemilangan dalam mempelajari dan melaksanakan undang-undang kufur serta ingin menjadi terkenal dan terbilang di dalam menerapkan sistem pemerintahan yang diwarisi dari penjajah. Bagi mereka, dakwah merupakan satu ‘bebanan’, bukannya kewajipan!



Dakwah - Kedaulatan Hanya Untuk Islam



Seorang pengembang dakwah wajib berilmu dengan ilmu Islam, lalu menyampaikan kepada manusia ilmu Islam yang dipelajarinya itu. Seorang pengemban dakwah harus meyakini bahwa apa yang diserukannya berupa berbagai pemikiran dan hukum-hukum syariat itu adalah benar kerana bersumber dari Allah. Ia tidak diperkenankan menyeru pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum yang batil yang tidak bersumber dari Allah. Jika pelbagai pemikiran dan hukum yang tidak bersumber dari Allah itu yang justeru disampaikannya (yang boleh jadi kerana kebodohan dirinya atau kesesatannya), maka jelas ia tidak dikatakan sedang berdakwah, sebaliknya ia sedang merosakkan dakwah. Fenomena sebegini semakin berleluasa di kalangan para pengembang dakwah. Mereka, secara sadar ataupun tidak, merasa atau mendakwa menyampaikan Islam, padahal mereka sebetulnya merosakkan Islam. Oleh kerana itu, setiap pengembang dakwah wajib memperhatikan bahawa apa sahaja yang ia sampaikan betul-betul hanya merupakan pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum Islam semata, dan dia wajib pula bersikap teguh dan konsisten dengan pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum Islam itu dalam situasi dan kondisi apa sekalipun. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan,



“Seandainya dia (Muhammad) mengada-ngadakan sebagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya Kami benar-benar memegang dia pada tangan kanannya, kemudian Kami benar-benar mempotong urat tali jantungnya. Maka sekali-kali tidak ada seorang pun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu.” [TMQ al-Haqqah (69):44-47].



Ayat ini merupakan peringatan dari Allah terhadap Rasulullah dan siapa sahaja yang berdakwah dengan mengada-adakan sesuatu atas nama Allah, padahal Allah sendiri tidak menyatakannya. Oleh itu, seorang pengembang dakwah tidak boleh menyatakan bahawa apa yang didakwahkannya adalah berasal dari Islam walhal ia bertentangan dengan Islam. Haram bagi orang yang berdakwah memasukkan ke dalam dakwah berbagai pemikiran dan hukum-hukum yang tidak bersumber dari Allah, tetapi mereka menyatakan ianya dari Allah. Ayat ini juga merupakan peringatan kepada pendakwah yang menjadikan para pemimpin mereka sebagai ‘sumber hukum’, sehingga mereka akan membenarkan apa sahaja yang diucapkan oleh pemimpin mereka tanpa memerhatikan lagi samada ia bertentangan dengan Quran dan Sunah atau tidak. Mereka ini hanyalah golongan yang taksub memegang dan membenarkan kata-kata pemimpin, bukannya berpegang kepada kata-kata Allah. Ayat ini juga memberikan peringatan kepada ‘ulama’ yang dekat dengan pemerintah untuk tidak menjadi pengampu kepada pemerintah yang kononnya membawa Islam, walhal mereka (ulama itu) sendiri menyedari bahawa hal itu bukan dari Islam. Siapa sahaja yang melakukan tindakan sedemikian, pasti Allah akan menghinakannya dan mencabut nyawanya tanpa ada seorang pun yang dapat menolongnya.



Oleh itu, mengembang dakwah Islam mewajibkan kedaulatan secara mutlak hanya untuk Islam sahaja. Yang menjadi ukuran di dalam dakwah adalah hukum syara’ semata-mata. Justru itu segala yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam wajiblah dijelaskan kesalahan dan keharamannya tanpa rasa takut atau ragu-ragu, tanpa mempertimbangkan apakah hal itu sesuai dengan keinginan pemimpin/pemerintah atau tidak. Dakwah kepada Islam juga bukannya perlu disesuaikan dengan kehendak atau keinginan masyarakat, sebaliknya masyarakatlah yang wajib dipimpin agar memahami dan mengikut Islam. Seorang pengembang dakwah wajib mempertahankan Islam, bukannya mempertahankan kedudukannya di dalam masyarakat agar dipandang mulia. Ia mungkin dihina, dibenci atau dikeji oleh masyarakat, tetapi hal itu bukanlah yang menjadi perhitungan baginya selama mana yang ia serukan adalah Islam. Hal ini pernah menimpa Rasulullah semasa berdakwah di Mekah, tetapi baginda tetap konsisten di dalam dakwahnya. Seorang pengemban dakwah tidak akan mencari muka atau menunjuk-nunjuk di hadapan masyarakat, bermuka dua atau bersikap toleransi terhadap penguasa yang zalim. Ini adalah kerana dakwah menuntut kedaulatan hanya untuk Islam semata, bukan untuk yang lain dan bahawasanya hanya Islamlah yang mesti diamal dan dizahirkan di tengah-tengah masyarakat, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,



"Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar, untuk dimenangkanNya atas seluruh agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya" [At-Taubah (9):33].



Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ke dunia ini dengan membawa risalah Islam dan menyampaikannya secara terus terang dan menentang (kebatilan). Baginda meyakini kebenaran risalah yang dikembangkannya kepada masyarakat, menentang dunia secara keseluruhan, mengumumkan perang atas seluruh manusia, baik yang berkulit putih, kuning mahupun hitam, tanpa memperdulikan sedikitpun adat istiadat, tradisi, kebiasaan-kebiasaan, agama-agama atau kepercayaan-kepercayaan, sikap para penguasa ataupun masyarakat. Baginda tidak memandang apa-apa pun selain dari kebenaran risalah yang dibawanya. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memulakan dakwahnya terhadap orang-orang Quraisy dengan mencela tuhan-tuhan mereka, menentang dan meremehkan seluruh kepercayaan-kepercayaan mereka. Sedangkan baginda ketika itu bersendirian dan dipulaukan oleh masyarakat, tanpa pendukung dan tanpa bekal selain imannya yang amat dalam terhadap Islam yang baginda serukan. Baginda sama sekali tidak memperhatikan kebiasaan dan adat istiadat bangsa Arab, dan tidak memperhatikan pula agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan mereka. Baginda membawa kebenaran tanpa memperhitungkan sedikit pun akan perasaan malu, curiga atau takut, demi untuk Islam semata.



Inilah yang wajib diteladani oleh para pengembang dakwah, sebagai pewaris kerja-kerja Nabi dan Rasul. Wajib ke atas seorang pengembang dakwah Islam menyampaikan dakwah secara terang-terangan; menerjang segala kebiasaan, kepercayaan-kepercayaan sesat, adat istiadat, idea-idea songsang, dan persepsi yang salah; sekalipun kerana ini menyebabkan dia dibenci dan dimusuhi oleh para fanatik segala kerosakan ini mahupun masyarakat secara umumnya. Seorang pengembang dakwah juga akan menasihati penguasa, menjelaskan segala penyelewengan dan kesesatan yang dilakukan, membongkar segala kerosakan yang dilakukan oleh penguasa serta menyeru kepada penguasa agar menerapkan Islam dan mengancam penguasa dengan azab Allah. Mereka tidak akan berdiam diri dan redha dengan apa jua kemaksiatan yang dilakukan oleh penguasa, sesuai dengan sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,



“Akan ada para amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengakui perbuatannya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa sahaja yang mengakui perbuatannya (kerana tidak bertentangan dengan hukum syara’) maka dia tidak diminta tanggungjawabnya (hisab), dan siapa sahaja yang mengingkari perbuatannya maka dia akan selamat. Tetapi siapa sahaja yang redha (dengan perbuatannya yang bertentangan dengan hukum syara’) dan mengikutinya (maka dia berdosa). Para sahabat bertanya: ‘Apakah kita tidak memerangi mereka?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, selama mereka menegakkan solat (menegakkan hukum-hukum Islam).” [HR Muslim]



Sekarang ini kita menyaksikan berapa ramai di kalangan umat Islam yang berdakwah hanya untuk mendapat manfaat dunia, ingin dipandang sebagai ulama atau mengharapkan pujian dari masyarakat. Ada yang berdakwah atas dasar maslahat untuk meraih sokongan, bukannya untuk mendapat redha Allah. Tidak kurang juga ada yang bersekongkol dengan pemerintah dan menyampaikan dakwah mengikut kehendak pemerintah. Mereka tidak akan bersuara kecuali sekadar yang diizinkan oleh pemerintah; mereka tidak akan berbicara kecuali setakat yang dibenarkan oleh pemerintah; mereka tidak akan bertindak kecuali dengan menurut kemahuan pemerintah. Mereka berharap agar mendapat ‘tempat’ di hati pemerintah dan mereka boleh kekal duduk di kerusi empuk yang disediakan oleh pemerintah. Mereka ini langsung tidak berani menegur pemerintah walaupun sudah jelas lagi nyata bahawa sistem yang diterapkan oleh pemerintah tersebut adalah sistem kufur. Mereka juga langsung tidak akan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah kerana khuatir ‘periuk nasi’ mereka akan terjejas, seolah-olah pemerintahlah yang menurunkan rezeki kepada mereka. Alangkah jauhnya mereka dari dakwah yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka tidak berani menasihati pemerintah, apatah lagi mengancam pemerintah dengan neraka Allah jika pemerintah melakukan maksiat. Mereka seolah-olah menyembunyikan hadis Rasulullah,



“Seseorang yang ditetapkan Allah (dalam kedudukan) mengurus umat dan dia tidak memberikan nasihat kepada mereka (umat), dia tidak akan mencium bau syurga.” [HR Bukhari]



“Seseorang yang memimpin kaum Muslimin dan dia mati sedangkan dia menipu mereka (umat) maka Allah akan mengharamkannya masuk syurga.” [HR Bukhari & Muslim]



Mengembang Dakwah Perlu Keteguhan



Sebagaimana orang-orang kafir Mekah senantiasa berusaha memalingkan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dari dakwah yang dikembangkannya, begitulah musuh-musuh Islam, khususnya kafir Barat senantiasa mencurahkan fikiran dan tenaga mereka untuk menghancurkan keteguhan para pengemban dakwah dan konsistensi mereka dalam berdakwah. Mereka senantiasa berusaha melakukan serangan pemikiran, penyesatan dan keraguan ke atas umat Islam. Mereka menyusupkan idea-idea dan hukum-hukum kufur seperti kebebasan, keadilan sosial, hak asasi manusia (HAM), plurarisme, emansipasi, nasionalisme, patriotisme dan sebagainya ke dalam tubuh umat Islam. Mereka berjaya menancapkan akidah sekularisme mereka ke dalam benak kaum Muslimin khususnya para penguasa sehingga menjadikan pemerintah umat Islam memerintah dengan undang-undang buatan sendiri, bukannya undang-undang Allah. Mereka berjaya meyakinkan penguasa umat Islam bahawa mereka (Barat) adalah ‘sahabat’ dan para pengembang dakwah Islam adalah ‘musuh’. Kejayaan ini jelas terlihat dengan tindakan yang dilakukan oleh para penguasa Muslim yang telah bersahabat dengan Barat dan memusuhi pengembang dakwah khususnya ahli-ahli gerakan Islam yang berusaha menegakkan agama Allah.



Sementara itu, untuk menakutkan para pengembang dakwah dalam usaha mereka menyerukan Islam untuk diterapkan, musuh-musuh dakwah dan musuh-musuh Islam ini telah lama menyediakan pelbagai cara seperti pemantauan, ugutan, penangkapan, penjara, penyiksaan malah pembunuhan ke atas mereka yang berjuang untuk Islam. Musuh-musuh dakwah ini tidak pernah bosan mengisytiharkan ‘perang’ ke atas para pengembang dakwah di setiap tempat dan masa dalam rangka menjauhkan pengembang dakwah dari aktivitinya memperjuangkan Islam. Dengan cara ini, mereka berharap agar dapat melemahkan kekuatan pejuang-pejuang Islam ini. Ia juga dilakukan untuk menakut-nakutkan orang lain yang ingin bersama-sama menegakkan kebenaran di jalan Allah. Oleh kerana itu, pengemban dakwah mana pun yang tidak teguh tentunya akan berpaling dan menuruti kemahuan musuh-musuh dakwah ini. Jika ini terjadi, bererti seorang pejuang itu telah gagal dalam perjuangannya dan syaitan telah berjaya menguasainya. Dalam hal ini, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala. telah memperingatkan kita dengan peringatan yang sangat keras apabila kita tidak bersikap teguh dan konsisten di dalam kebenaran dalam mengembang dakwah. Firman Allah,



“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia. Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong kepada mereka. Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu pula (siksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” [TMQ al-Isra’ (17):73-75]



Ayat ini merupakan peringatan Allah yang sangat keras yang ditujukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang jelas-jelas merupakan kekasihNya yang paling dikasihiNya, bahawa Allah pasti akan menimpakan azabNya di dunia dan di akhirat secara berlipat ganda seandainya baginda terfitnah dan terpaling sedikit sahaja dari risalah yang dibawanya (yakni terpaling dalam dakwahnya), lalu tunduk kepada kemahuan orang-orang kafir Mekah. Ayat ini juga ditujukan kepada umat Rasulullah yang menjelaskan bahawa di dalam menyeru kepada agama Allah, tidak boleh condong sedikit pun kepada musuh-musuh Allah dan siapa sahaja yang cuba menghalangi dakwah. Siapa sahaja di antara para pengembang dakwah yang tunduk pada kemahuan musuh, maka Allah akan mengazabnya berlipat ganda di dunia dan akhirat. Na‘uzu billah min zalik. Seorang pengembang dakwah wajib konsisten di dalam kebenaran dan tidak boleh sekali-kali berpaling dari jalan wahyu.



Mengembang Dakwah Sebagai Qiyadah Fikriyyah



Di dalam keluaran ke-115 (tajuk: Misi Agung Pengutusan Rasul), Sautun Nahdhah telah menjelaskan secara panjang lebar bahawa tujuan Rasulullah diutus kepada seluruh umat manusia adalah untuk mengizharkan deen Allah di muka bumi. Dan satu-satunya cara agama Allah ini dapat diizharkan adalah melalui jalan dakwah (dan jihad, bila ada Negara). Justeru, Rasulullah telah menjadikan dakwah sebagai ‘misi hidup-mati’ baginda. Bertolak dari pegangan inilah, maka Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah berjaya menamatkan misi baginda dan diteruskan pula oleh Khalifah-khalifah Islam sesudah itu. Inilah gambaran betapa agungnya tanggungjawab dakwah yang telah dijalankan oleh Rasul dan disusuli pula oleh para sahabat.



Berabad-abad lamanya kaum Muslimin berpegang teguh kepada kewajipan dakwah ini, dan ia turut dijalankan oleh Negara (Pemerintah) di setiap masa. Dakwah dan jihad sudah sebati dengan umat Islam dan mereka mencapai kemenangan demi kemenangan dengannya. Mereka maju dengan sejauh-jauh kemajuan, meninggalkan segala peradaban lain nun jauh ke belakang. Kaum Muslimin tidak pernah mengalami kemunduran dari kedudukannya sebagai pemimpin dunia, apabila tetap berpegang teguh pada agamanya. Bagaimanapun, kemunduran kaum Muslimin mulai tampak tatkala mereka meninggalkan ajaran-ajaran Islam dan meremehkannya; membiarkan peradaban asing melanda negeri-negerinya, membiarkan Ideologi Barat berakar dalam benak mereka. Kemunduran itu terjadi pada saat kaum Muslimin mengabaikan qiyadah fikriyyah (kepimpinan berfikir) Islam, yakni ketika mereka mula surut dalam mengembang dakwah Islam dan menyalahi pelaksanaan hukum-hukumnya.



Seseorang pendakwah itu perlu memahami bahawa usaha mengembang qiyadah fikriyyah tersebut, dengan cara menyebarluaskan dakwah Islam adalah dalam rangka untuk membangkitkan kaum Muslimin. Sejak jatuhnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924, umat Islam mengalami kemunduran berfikir yang amat parah. Ini adalah kerana mereka telah meninggalkan cara berfikir Islam yang selama ini menjadikan mereka mulia dan tinggi berbanding bangsa lain. Sejak hancurnya Khilafah, umat Islam telah dirasuk dengan cara berfikir kufur Barat. Umat Islam menjadi lemah, hina dan terpecah belah kerana dipengaruhi oleh sifat nationalisme dan patriotisme yang ditanamkan oleh Barat. Oleh itu, usaha mengembang dakwah Islam hendaklah difokuskan kepada mengembalikan semula pemikiran kaum Muslimin kepada cara berfikir Islam sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah di dalam merubah dan membangkitkan masyarakat kepada satu kebangkitan yang hakiki. Kebangkitan yang dibawa oleh Rasulullah adalah suatu kebangkitan yang bersifat antarabangsa, bukannya bersifat lokal (tempatan). Hal ini tidak lain adalah kerana hanya Islamlah satu-satunya deen yang boleh memperbaiki dan memulihkan dunia ini dari segala kerosakan. Di samping itu, kebangkitan yang sebenarnya tidak akan tercapai kecuali hanya dengan Islam, baik untuk kaum Muslimin mahupun bagi bangsa yang lain.



Dalam mengembangkan dakwah Islam hendaklah kita berpegang kepada satu prinsip, iaitu menyebarluaskannya sebagai satu qiyadah fikriyyah bagi dunia, yang melahirkan segenap peraturan, dan di atasnya dibangun seluruh pemikiran. Dari pemikiran-pemikiran ini lahir seluruh persepsi yang dapat mempengaruhi pandangan hidup (manusia) tanpa kecuali. Islam adalah agama bagi seluruh manusia, bukannya bagi bangsa Arab atau Melayu sahaja. Allah itu adalah Tuhan kepada semua manusia, bukannya Tuhan kepada orang Islam sahaja. Manusia, kehidupan dan alam semesta ini diatur oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan semuanya mesti tunduk kepada perintahNya. Islam pula adalah agama yang diturunkan oleh Allah untuk mengatur hidup manusia di dunia. Justeru, peraturan yang terpancar dari akidah Islam adalah peraturan yang bersifat antarabangsa dan wajib diterapkan ke atas seluruh umat manusia. Dengan kata lain, dunia ini mesti diatur dengan peraturan dari Allah, bukannya peraturan dari PBB atau Amerika. PBB dan Amerika tidak boleh menjadi penentu dan tidak boleh dibiarkan menjadi penentu kepada peraturan dunia. Hanya hukum Allah sahajalah yang layak menjadi peraturan yang mengatur dunia ini. Dengan ini, para pengembang dakwah mesti memahami bahawa di dalam dakwah kepada agama Allah, mereka tidak boleh dipengaruhi oleh pemikiran selain Islam, tetapi wajib menjadikan qiyadah fikriyyah Islam sebagai asasnya.



Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pada mulanya mengemban qiyadah fikriyyah Islam di Mekah. Namun tatkala melihat bahawa masyarakat Mekah tidak sanggup menjadikan Islam sebagai suatu peraturan kemasyarakatan, beliaupun menyiapkan masyarakat Madinah. Di sinilah kemudian baginda berjaya mewujudkan satu negara dan menerapkan Islam di dalamnya, serta mengembangkan risalahNya seraya menyiapkan umatnya untuk mengembangkan risalah Islam sepeninggalan baginda. Ini telah memastikan umat baginda tetap berjalan pada garis yang telah baginda tentukan. Oleh kerana itu, seharusnya dakwah Islam dalam keadaan tidak adanya seorang Khalifah bagi kaum Muslimin (sebagaimana sekarang), haruslah mencakup dua bahagian. Pertama, dakwah mengajak memeluk Islam; dan kedua, dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam dengan berusaha mendirikan negara Islam yang menerapkan hukum Islam dan mengembang risalah Islam ke seluruh dunia. Dengan cara ini, maka dakwah akan beralih dari dakwah yang tujuannya melanjutkan kehidupan Islam di kalangan umat, menuju kepada dakwah yang dikembangkan oleh negara ke seluruh dunia. Juga, akan beralih dari dakwah yang bersifat lokal di dunia Islam menuju dakwah yang bersifat antarabangsa. Inilah sifat dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita semua.



Khatimah



Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya kewajipan mengembang dakwah adalah terletak di atas bahu setiap dari kalian. Kewajipan agung inilah, yang apabila kalian lakukan akan dapat menjadikan kalian sebagai pewaris kepada para Nabi dan Rasul, satu kedudukan yang teramat mulia yang Allah kurniakan, khusus hanya kepada pengembang dakwah yang ikhlas untukNya. Apa lagi yang kalian harapkan di dalam hidup ini jika tidak untuk meraih kemuliaan di sisiNya? Justeru, bukalah pintu hati kalian untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu Islam, seterusnya berusaha mengembang dakwah Islam demi untuk menegakkan deen Allah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan sahabat-sahabat baginda. Berdakwahlah kalian untuk kepentingan akhirat, bukannya untuk habuan dunia; berharaplah kalian kepada redha Allah, bukannya redha manusia. Tiada sesiapapun yang akan dapat menyelamatkan kalian dari api neraka; hanya Allah jualah sebaik-baik Penolong dan Pelindung kalian. Bergeraklah kalian di dalam dakwah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Daulah Khilafah dan berdoalah kalian agar pertolongan Allah bersama-sama dengan kita. Ingatlah akan firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” [TMQ Muhammad (47):7]

HAMBA MANUSIA DAN HAMBA ALLAH


HAMBA MANUSIA DAN HAMBA ALLAH



Sebuah Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang 2007 sedang digubal ketika ini untuk mencegah eksploitasi seks, perhambaan, kerja paksa atau pemindahan organ. Ia juga memperuntukkan hukuman bagi kesalahan menjadikan Malaysia sebagai transit atau pusat perdagangan dan eksploitasi manusia. Hukuman penjara sehingga 20 tahun menanti pesalah yang memperdagangkan kanak-kanak atau orang dewasa untuk segala bentuk eksploitasi termasuk seks, perhambaan, kerja paksa atau pemindahan organ. Ini termasuklah jika ia melibatkan ancaman, kekerasan/paksaan, pemelarian, fraud (penipuan), perdaya dan penyalahgunaan kuasa. Rang Undang-Undang itu turut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 bagi kesalahan mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi mangsa. Kesalahan membuat, memperoleh, memberi, menjual atau memiliki suatu dokumen perjalanan atau pengenalan diri fraud bagi memudahkan perbuatan pemerdagangan orang pula boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda antara RM50,000 dan RM500,000 [BH 25/04/07].




‘Sudah terhantuk baru terngadah’. Mungkin inilah pepatah yang paling tepat untuk menggambarkan perkembangan undang-undang jenayah di Malaysia. Setiap kali peristiwa dan statistik jenayah yang semakin meningkat didedahkan di media massa, maka setiap kali itulah kita mendengar pelbagai rang undang-undang digubal untuk ‘mencegah’ kejadian tersebut. Sudah ratusan atau mungkin ribuan yang menjadi mangsa, maka barulah kerajaan bertindak. ‘Tunggu nasi menjadi bubur, barulah kita bertindak’ – mungkin slogan ini sebenarnya lebih sesuai untuk menggambarkan tindakan yang diambil oleh pihak berwajib selama ini di dalam menangani isu-isu yang berlaku. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, pelbagai akta dan undang-undang yang telahpun digubal sebelum ini kononnya dikatakan untuk ‘mencegah’ jenayah, namun realiti menceritakan sebaliknya, statistik jenayah semakin bertambah dari hari ke hari, dari tahun ke tahun. Jenayah dadah, samun, curi, rogol, pembunuhan, pecah rumah dan sebagainya tidak pernah dapat dicegah, malah menunjukkan peningkatan yang semakin menakutkan. Maka apakah rang undang-undang Antipemerdagangan Orang 2007 yang sedang dibentangkan ini akan membawa sinar untuk hari esok?




Penyelesaian Akal : Tikus Membaiki Labu




Mengikut catatan sejarah, perhambaan di Eropah telah dimansuhkan sejak kurun ke-18. Ia adalah hasil tekanan daripada golongan intelektual yang kebanyakannya memperjuangkan fahaman sekular berasaskan idea-idea kebebasan (freedom), di mana ketika itu, Eropah sedang mengalami proses pencerahan (renaissance). Setelah perhambaan dimansuhkan sepenuhnya, bentuk perhambaan baru pula muncul di mana ia bermula apabila tercetusnya Revolusi Perindustrian. Sejak itu, bermulalah kegiatan memeras, mengekploitasi dan memperhambakan tenaga kerja manusia atas nama pembangunan dan kemajuan. Selama mana kedudukan (eksploitasi) ini memberi keuntungan kepada pemilik-pemilik modal (Kapitalis), maka ianya ‘dibolehkan’. Keadaan eksploitasi sebegini sebenarnya kekal sehingga sekarang, yang tak lain mencerminkan Ideologi Kapitalis yang sememangnya bersifat sedemikian.




Berdasarkan statistik Anti-Slavery International, pada ketika ini terdapat lebih kurang 27 juta orang menjadi hamba di seluruh dunia. Ia adalah jumlah tertinggi di dalam sejarah peradaban manusia. Walaupun masih ada perhambaan warisan di sesetengah tempat di Afrika, kebanyakan hamba yang dimaksudkan itu bukanlah seperti yang terdapat pada zaman feudal di awal kurun ke-16 dahulu. Hamba yang dimaksudkan di sini adalah manusia merdeka yang terperangkap atau diperangkap lalu diperdagangkan akibat kesempitan hidup dan belenggu hutang. Di antara negara-negara yang dicatatkan mempunyai statistik perdagangan manusia tertinggi adalah negara-negara Afrika, India, Pakistan, Haiti, China dan Thailand. ‘Hamba-hamba’ ini samada dijual, ditukar-milik sebagai jaminan hutang atau untuk diekploitasi sebagai buruh di ladang-ladang atau di bidang industri atau juga di dalam kegiatan pelacuran. UNICEF melaporkan, lebih kurang 200,000 kanak-kanak di Afrika Tengah dan Barat di jual sebagai hamba setiap tahun [www.Infoplease.com] Menurut statistik Amnesty International pula, kira-kira 700,000 manusia diperdagangkan setahun untuk tujuan seks.



Itu adalah sebahagian kecil daripada kisah perhambaan dan eksploitasi manusia yang berlaku sekarang. Di dalam kehidupan hari ini di mana manusia hanya hidup untuk meraih sebanyak mungkin manfaat, maka kewujudan penindasan sebegini adalah sesuatu yang tidak menghairankan. Inilah sifat Ideologi Kapitalis yang diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia ketika ini, tidak terkecuali Malaysia. Manusia sudah hilang sifat kemanusiaannya - yang menjadi perkiraan di dalam setiap perbuatan adalah manfaat. Jika dengan mengeksploitasi manusia akan diperolehi manfaat, maka ia akan dilakukan. Jika dengan ‘mengeksploitasi’ diri sendiri sekalipun akan mendatangkan manfaat, maka golongan berpemikiran Kapitalis ini sanggup melakukannya. Jadi, tidak hairanlah wujudnya perbuatan ‘menjual diri’ untuk memperolehi manfaat seperti GRO atau para model, samada sambilan atau sepenuh masa yang sanggup berbuat apa sahaja, bukan setakat memperdagangkan wajah dan bentuk tubuh mereka sahaja, malah lebih dari itu, semata-mata kerana manfaat. Malangnya ‘eksploitasi seks’ semacam ini tidak dikategorikan sebagai salah.



Menurut pandangan Kapitalis, manusia adalah aset. Daripada konsep asas ini, setiap manusia disifatkan mempunyai nilai ekonomi yang boleh dipergunakan untuk meraih sebanyak mungkin manfaat. Contohnya, kecantikan seseorang wanita atau tubuh mereka dianggap mempunyai nilai ekonomi tersendiri yang boleh dimanfaatkan. Nilai ini boleh dipergunakan sebagai ‘pelaris’ jualan dan sebagainya. Justeru, kita melihat bagaimana wanita-wanita ini dipergunakan di rumah-rumah pelacuran, rumah urut, hotel, restoran, tempat-tempat GRO dan seumpamanya. Hatta iklan-iklan barangan dan lain-lain iklan pun diletakkan wanita cantik dan berpakaian seksi walaupun pada kebiasaannya barangan tersebut tiada kaitan langsung dengan wanita seperti iklan minyak pelincir, bateri kereta, motosikal, telefon bimbit dan banyak lagi. Yang peliknya, wanita itu sendiri sememangnya sanggup untuk ‘dipergunakan’ sedemikian rupa, tanpa apa-apa bantahan. Kenapa? Ternyata, kerana manfaatlah yang menjadi ukuran mereka. Walhal Islam memandang wanita dengan penuh kemuliaan sebagai ‘aurat’ yang perlu dijaga, bukannya suatu ‘aset’ yang boleh dieksploitasi atau dimanipulasi. Kita tertanya-tanya di manakah golongan feminis terutamanya Sisters In Islam di dalam memperjuangkan nasib kaum mereka yang ‘diperkudakan’ ini?




Matlamat hidup yang hanya untuk meraih manfaat adalah antara konsep yang ketara di dalam Ideologi Kapitalis. Sekarang ini, akidah sekularisme Kapitalis yang memisahkan agama dari kehidupan diterapkan oleh semua negara umat Islam, Malaysia tidak terkecuali. Yang nyata, akidah ini mengajar bahawa kehidupan mesti ditentukan sendiri oleh manusia, tidak ada campurtangan agama. Kerana inilah, kita menyaksikan mereka yang sudah diresapi oleh akidah ini membuat atau menggubal undang-undang mengikut akal mereka sendiri, tanpa merujuk lagi kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah. Mereka tanpa sedikit pun rasa takut kepada Allah dan Hari Kiamat, dengan bangganya membentang dan meluluskan undang-undang mengikut kehendak dan selera mereka.




Pembentangan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang 2007 hanyalah sebahagian kecil manifestasi dari pemikiran sekularisme yang ada pada mereka yang memegang kuasa. Setiap kali berlaku sesuatu isu, maka mereka akan terus menggunakan akal mereka untuk membuat undang-undang, bukannya merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah untuk menyelesaikan masalah. Inilah yang mereka amalkan sejak sekian lama kerana tebalnya pemikiran Kapitalis sekular dalam diri mereka, seolah-olah Islam sudah tidak ada gunanya lagi bagi mereka di dalam menyelesaikan masalah kehidupan. Jadi tidak hairanlah jika masalah akan terus wujud dan kadar jenayah akan terus meningkat, kerana yang diterapkan ialah hukum manusia yang penuh kelemahan manakala hukum Allah yang penuh kesempurnaan pula ditinggalkan. Walhal, hukum Allahlah satu-satunya hukum yang mempunyai sifat zawajir (mencegah) dan yang secara pasti akan mendatangkan rahmat bagi manusia.




Perhambaan Di Dalam Islam




Sebelum kedatangan Islam, aktiviti perhambaan telah lama wujud. Ia wujud hampir di seluruh pelusuk dunia. Terdapat pelbagai sebab ketika itu yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi hamba. Contohnya, apabila seseorang itu gagal membayar hutangnya atau muflis, maka dia akan dijadikan hamba. Perhambaan juga boleh berlaku sebagai hukuman atas perbuatan jenayah yang ia lakukan. Begitu juga halnya apabila kabilah seseorang ditawan oleh kabilah lain yang lebih kuat, ia berserta kabilahnya juga boleh dijadikan hamba. Aktiviti perhambaan juga merupakan satu fenomena biasa di dalam masyarakat Jahiliyyah. Kedatangan Islam tidak menghapuskan sistem perhambaan ini, tetapi Islam telah menggariskan beberapa ketetapan tentang hukum perhambaan. Islam memandang bahawa hamba adalah seorang manusia yang fitrahnya adalah sama sebagaimana halnya dengan orang merdeka. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengharamkan hamba dari dieksploitasikan oleh tuannya. Firman Allah, “Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri menginginkan kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi” [TMQ An-Nur(24):33].




Turunnya ayat di atas adalah untuk melarang orang-orang yang mempunyai hamba sahaya wanita untuk melakukan eksploitasi ke atas mereka. Eksploitasi hamba di sini merujuk kepada amalan masyarakat Jahiliyyah yang memaksa hamba-hamba sahaya wanita mereka untuk melacurkan diri. Biasanya hamba-hamba sahaya wanita ini akan dipaksa melayan tetamu atau pemuka-pemuka mereka untuk mendapatkan keuntungan daripada pelacuran tersebut [Tafsir Ibn Katsir]. Hamba-hamba ini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menurut kehendak tuannya. Tetapi, setelah kedatangan Islam, amalan buruk (eksploitasi hamba) ini telah diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.



Islam diturunkan oleh Allah untuk menjadikan manusia itu mulia dan kehidupannya sesuai dengan fitrah. Setiap manusia diciptakan semata-mata untuk mengabdikan sepenuh jiwa dan raganya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan kepada sesama manusia. Kerana itulah Islam hanya menetapkan keadaan tertentu sahaja yang membolehkan seseorang manusia itu dijadikan hamba. Di dalam keadaan aman, Islam tidak membolehkan sesiapapun yang merdeka dijadikan hamba secara mutlak. Perbuatan ini adalah haram. Berbeza halnya jika dalam suasana perang, di mana kita perlu meneliti nas-nas mengenai perhambaan dengan lebih mendalam.




Islam melarang menjadikan tawanan perang sebagai hamba. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah batang leher mereka. sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti.” [TMQ Muhammad (47):4]. Ayat ini diturunkan pada tahun ke-2 Hijrah ketika mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mula melancarkan peperangan demi peperangan terhadap orang-orang musyrik. Berdasarkan ayat ini, jika ada tawanan perang, maka pilihan yang ada kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) hanyalah membebaskan mereka atau menerima tebusan. Tidak ada kebenaran untuk menjadikan mereka sebagai hamba.



Namun begitu, ketika perang Hunain, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dicatatkan telah mengambil tawanan-tawanan perang sebagai hamba. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi sedangkan ayat di atas dengan jelas tidak menyatakan sebarang keizinan untuk menjadikan tawanan perang sebagai hamba? Di sinilah pemahaman yang mendalam tentang nas diperlukan agar tidak tersalah di dalam mengistinbat sesuatu hukum. Melalui perincian dari catatan sirah perang Hunain, ia menunjukkan bahawa ketika peperangan berlangsung, orang-orang musyrik turut membawa wanita dan kanak-kanak bertujuan untuk meningkatkan bilangan serta memberikan semangat kepada tentera mereka. Setelah kaum musyrik kalah dalam perang ini, wanita dan kanak-kanak ini menjadi tawanan, lalu dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah kepada kalangan tentera kaum Muslimin sebagai hamba. Tawanan-tawanan wanita dan kanak-kanak ini disebut (dalam bahasa arab) sebagai “sibyah”. Jadi, tindakan Rasulullah ini (menjadikan tawanan sebagai hamba) hanya berlaku khusus untuk sibyah sahaja. Walaupun setelah itu Rasulullah telah meminta kaum Muslimin untuk membebaskan mereka kepada keluarga masing-masing secara sukarela, namun tindakan Rasul ini sebenarnya telah menjadi dalil bagi membolehkan sibyah (iaitu tawanan wanita dan kanak-kanak yang turut sama ke medan perang) dijadikan sebagai hamba sekiranya pasukan musuh ditewaskan.



Manakala ketika perang Khaibar, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pula menjadikan tawanan wanita dan kanak-kanak (sibyah) sebagai hamba walaupun kaum Muslimin menang di dalam peperangan tersebut. Berdasarkan hal ini, Abu Ubaidah menerangkan tentang sibyah:Seseorang imam (Ketua Negara) itu mempunyai pilihan selagimana sabiyah belum dibahagikan di kalangan tentera Muslim. Tetapi, jika mereka telah dibahagikan, maka khalifah tidak berhak memaksa agar sabiyah itu dibebaskan kecuali dengan hadiah atau dibebaskan secara sukarela oleh tentera kaum Muslimin. Namun baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak melakukan hal itu kepada penduduk Khaibar, malah baginda membiarkan mereka bebas (merdeka). Baginda juga tidak meminta dari sesiapapun untuk mengembalikan mereka, sebab memang baginda tidak membahagikannya.” .




Dengan demikian, jelaslah bahawa Islam hanya melarang memperhambakan tawanan perang lelaki tetapi memberikan pilihan kepada Khalifah terhadap nasib sibyah antara diperhambakan atau dibebaskan dan tidak ada tebusan atas mereka. Namun begitu perlu diingat bahawa hukum ini hanya akan berlaku apabila wanita dan kanak-kanak tersebut ikut ke medan perang. Namun, apabila mereka tetap tinggal di rumah mereka, maka mereka tidak boleh dijadikan sebagai sibyah. Keputusan Khalifah dalam masalah perhambaan sibyah ini hendaklah berjalan sesuai dengan polisi perang (yang diadopsi) oleh Khalifah berkenaan pengambilan tindakan ke atas musuh. Objektif di sini bukanlah untuk menggalakkan perhambaan, tetapi hanya menunjukkan bahawa ia adalah salah satu polisi perang yang keputusannya terletak di tangan Khalifah, sebagai Ketua Negara.

Beberapa Hukum Tentang Perhambaan

Sejarah telah mencatatkan bahawa orang-orang kafir Barat melayan hamba dengan amat buruk. Golongan hamba ditindas dan diekploitasi sehabisnya oleh mereka. Mereka dilayan umpama binatang. Perlakuan buruk dan keji mereka terhadap hamba telah menyebabkan dunia menganggap perhambaan sebagai suatu bentuk kekejaman. Oleh itu, apabila mereka menghapuskan sistem perhambaan, maka langkah ini telah mendapat sambutan yang baik. Dalam masa yang sama, apabila mereka mengetahui bahawa perhambaan juga wujud di dalam Islam, maka mereka terus menyerang Islam sebagai satu agama yang kejam, tidak bertamadun, lapuk dan sebagainya. Sikap defensif dan ceteknya kefahaman umat Islam tentang hukum perhambaan telah memburukkan lagi keadaan. Walhal, jika kita menelusuri sejarah dan hukum-hakam Islam, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah meletakkan kedudukan hamba jauh dari segala kehinaan, kekejaman atau eksploitasi. Berikut ini dipaparkan beberapa hukum Islam yang mulia tentang perhambaan:-

1. Islam memerintahkan agar hamba dilayan dengan segala hak dan pertimbangan mereka sebagai seorang ‘manusia’ sebagaimana orang merdeka dan dengan penuh kebaikan dan tinggal bersamanya dengan penuh kesejahteraan. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan, “Bertakwalah kamu kepada Allah terhadap hamba-hambamu. Mereka itu adalah sahabatmu, yang telah Allah letakkan di bawah kuasamu. Justeru, berilah mereka makan sebagaimana kamu makan, dan berilah mereka pakaian sebagaimana kamu pakai, dan janganlah kamu bebani mereka dengan beban yang memberatkan mereka. Sekiranya kamu membebani mereka, maka bantulah mereka.” [HR Muslim]. Di dalam riwayat (Muslim) yang lain daripada Abu Hurairah, “Janganlah sekali-kali seorang pun daripada kamu memanggil (hambanya dengan panggilan) ‘Wahai hamba lelakiku’ dan ‘Wahai hamba perempuanku’. Kerana kamu semuanya adalah hamba lelaki Allah, sedangkan isteri-isteri kamu adalah hamba-hamba perempuan Allah. Tetapi panggilah (dengan panggilan) ‘ghulam’, ‘jariyah’, ‘fata’ dan ‘fatati.’ (pemuda atau pemudi)”. Islam juga telah mengangkat kedudukan seseorang hamba dan menempatkannya sejajar dengan orang merdeka. Ini adalah kerana darahnya dipelihara (sama dengan orang merdeka), yang apabila ia dibunuh (oleh orang merdeka), orang merdeka tersebut akan dibunuh balas. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu hukum qishas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh” [TMQ Al-Baqarah (2):178]. Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang membunuh hambanya, maka kami pasti akan membunuhnya.” [HR Ahmad].



2. Islam sangat menggalakkan pembebasan hamba. Bahkan, memerdekakan hamba itu akan membantu orang lain untuk mensyukuri nikmat Allah dan membantunya ketika berada di dalam kesusahan. Allah berfirman, “Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu, apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? Iaitu membebaskan hamba dari perhambaannya.” [TMQ Al-Balad (90):11-13]. Sabda Rasul yang bermaksud, “Sesiapa sahaja yang memerdekakan seorang Islam, maka Allah akan menyelamatkan anggota tubuhnya daripada api neraka.” [HR Bukhari].



3. Islam juga mempunyai hukum-hakam praktikal berhubung pembebasan hamba. Contohnya, bagi kesalahan-kesalahan seperti menzihar isteri (menyerupakan isteri dengan ibunya), membunuh orang Islam kerana tersalah, melanggar sumpah [lihat TMQ 58:3, 4:92, 5:89], dan menyetubuhi isteri pada siang hari di bulan Ramadhan, kesemuanya harus ditebus dengan memerdekakan hamba. Hanya apabila seseorang itu tidak mampu maka barulah diberi pilihan menebusnya dengan cara yang lain. Rasulullah juga menjelaskan, “Barangsiapa yang menampar hambanya atau memukulnya, maka kafarat (tebusan)nya adalah memerdekakannya.” [HR Muslim]. Yang dimaksudkan memukul di sini ialah pukulan yang menyakitkan (mubrih), bukannya pukulan mendidik, yang dibenarkan. Bukan setakat itu, Islam bahkan telah menjadikan seorang hamba itu boleh berusaha agar dapat memerdekakan dirinya dengan mengikat perjanjian dengan tuannya untuk bekerja. Setelah kontrak kerja dipersetujui dan dipenuhi, maka tuannya wajib memerdekakannya, sebagaimana firman Allah, “Dan hamba-hamba sahaya yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu melihat ada kebaikan pada diri mereka. Dan berikanlah kepada mereka sebahagian daripada apa yang diberikan oleh Allah kepada kamu.” [TMQ An-Nur (24):33]. Ayat ini memberikan kebenaran dan kreativiti kepada hamba dan tuannya untuk sama-sama berfikir mewujudkan satu akad kerja sebagai pembebasan bagi hamba tersebut.



4. Bukan setakat galakan untuk membebaskan hamba dan kontrak kerja untuk pembebasan, Islam juga memperuntukkan wang yang khas di dalam Baitul Mal untuk memerdekakan hamba. Wang ini berupa salah satu dari lapan asnaf zakat yang diperuntukkan khas untuk pembebasan mereka [lihat TMQ At-Taubah (9):60]. Al-Quran tidak menjelaskan berapa banyakkah jumlah peruntukannya yang bermaksud bahawa hak ini diberikan kepada Khalifah untuk memutuskannya mengikut pendapatnya, demi kemaslahatan kaum Muslimin.



Khatimah




Wahai pemimpin kaum Muslimin! Kalian semua adalah hamba kepada Allah Azza wa Jalla. Sebagai seorang hamba, kalian wajib mematuhi segala perintah dan laranganNya. Kalian langsung tidak berhak untuk mengingkariNya. Apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu urusan, maka kalian tidak lagi mempunyai pilihan kecuali mendengar dan taat. Kenapakah kalian sanggup menggubal undang-undang sendiri dengan membelakangi undang-undang Allah dan Rasul? Sudah berapa banyak undang-undang yang digubal oleh kalian dengan tangan-tangan kalian tanpa kalian menghiraukan hukum Allah. Adakah kalian merasa yang kalian lebih bijak dari Allah sehingga hukum Allah kalian campakkan? Adakah kalian merasakan yang kalian akan terus kekal berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja? Kenapakah kalian sanggup menjadi hamba kepada sistem kufur yang berasal dari penjajah dan kalian sanggup memilih untuk memperhambakan diri kepada taghut? Walhal yang diperintahkan kepada kalian adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah dan mengkufuri taghut. Yang wajib kalian lakukan adalah membuang segala undang-undang kufur yang ada dan menggantikannya dengan undang-undang Allah. Sebaliknya kalian mencipta undang-undang sendiri dan melupakan Allah. Ingatlah! Bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Membalas akan segala perbuatan kalian. Oleh itu, bertakwalah kalian kepada Allah, wahai mereka yang memegang kekuasaan!

 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR