ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


THALABUN NUSHRAH :PERUBAHAN SISTEM DENGAN THARIQAH RASULULLAH SAW

Thalabun Nusrah :
Perubahan sistem dengan Tareqah Rasulullah SAW




Pendahuluan



Penubuhan sesuatu gerakan atau jemaah Islam biasanya berlandaskan kepada satu tujuan tertentu. Salah satu daripadanya adalah untuk melakukan perubahan atau pembaikan ke atas sistem-sistem buatan manusia. Kebanyakkannya mempunyai matlamat untuk mengembalikan kehidupan Islam yang telah lama hilang di balik sistem kehidupan buatan manusia yang sedang bermaharajalela ketika ini. Ada di antara gerakan-gerakan Islam ini yang masuk ke kancah politik untuk memimpin masyarakat dan mendedahkan kerosakkan demi kerosakkan yang dilakukan oleh Pemerintah. Mengembalikan sistem kehidupan Islam untuk menggantikan sistem kehidupan manusia adalah perjuangan yang murni dan ianya adalah sesuatu yang telah diperintahkan oleh Syara’.



Firman Allah SWT,


“Barangsiapa mencari selain daripada Islam sebagai deen ( cara hidup), maka sekali-kali tidaklah akan diterima ( deen itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi” [TMQ Al Imran (3) : 85]


Di dalam ayat lain, Allah berfirman;


“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al Maidah (5) : 44]


“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al Maidah (5) : 45]


“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al Maidah (5) : 47]


Namun, kaedah untuk melakukan perubahan tersebut berbeza di kalangan gerakan-gerakan Islam. Ini mungkin disebabkan oleh perbezaaan di dalam pendekatan yang digunakan untuk memahami realiti dan mengaitkannya dengan nas-nas yang terdapat di dalam hukum syara’. Antara tareqah-tareqah untuk melakukan perubahan yang digunakan termasuklah dengan menggunakan pilihanraya-Demokrasi dan seterusnya terlibat di dalam dewan perwakilan atau parlimen untuk melakukan perubahan hukum. Ada juga yang menggunakan tareqah jihad, iaitu dengan mengangkat senjata untuk mendesak kerajaan yang memerintah agar melaksanakan hukum Islam.



Perubahan Menerusi Pilihanraya-Demokrasi.


Pada pandangan umum, proses yang paling sesuai untuk merubah kepimpinan pada ketika ini adalah menerusi proses pilihanraya-demokrasi. Dunia telah menyaksikan beberapa pertukaran kerajaan memerintah menerusi proses ini. Pertukaran kerajaan Sepanyol dan Sweden baru-baru ini menunjukkan bukti bagaimana proses ini boleh menukar kerajaan yang memerintah. Tetapi, kebanyakkannya hanya menukar kerajaan daripada yang pro-Sosialis kepada pro-Kapitalis ataupun sebaliknya. Baik sistem Sosialis mahupun Kapitalis, kedua-duanya bukanlah bersumber daripada Islam.


Jika ada usaha-usaha untuk menukar kepada sistem Islam, ia juga terbukti gagal. Contoh yang baik ialah kegagalan FIS di Algeria. FIS yang berazam untuk menubuhkan Kerajaan Islam telah berjaya memenangi pilihanraya Algeria dengan undi majoriti pada sekitar pertengahan 1990-an. Namun kemenangan tersebut dibatalkan setelah pasukan tentera yang didokong oleh Perancis telah mengisytiharkan perintah darurat. Para pemimpin FIS dan penyokongnya kemudian ditangkap dan ada yang dibunuh. Siri-siri pembunuhan kaum muslimin di pendalaman Algeria setelah itu dipercayai untuk mengurangkan pengaruh FIS di kalangan rakyat Algeria.


Walaupun apa yang berlaku di Algeria tidak boleh disamakan dengan keadaan di negara-negara Islam yang lain, ia sebenarnya memberikan petunjuk yang jelas bahawa kebanyakkan negara-negara kaum muslimin masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada cengkaman penjajah. Samada mereka masih dicengkam dengan ancaman berbentuk ketenteraan seperti di Algeria itu ataupun yang berbentuk politik dan ekonomi seperti yang berlaku di kebanyakkan negara-negara Islam yang lain.


Menukar pemimpin menerusi pilihanraya pada asasnya tidak bercanggah dengan syara’. Ia hanyalah sebagai suatu wasilah untuk menukar seorang pemimpin. Tetapi apabila ia dikaitkan dengan sistem Demokrasi, proses pilihanraya itu dengan sendirinya akan terikat dengan prinsip-prinsip demokrasi dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Sistem Demokrasi. Ini menyebabkan proses pilihanraya bukan lagi suatu wasilah am, tetapi ia telah menjadi alat untuk memilih ketua di kalangan umat Islam yang kemudiannya akan terikat dengan prinsip-prinsip demokrasi dan undang-undang ciptaan manusia.


Firman Allah SWT,

“ Apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan ( oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehinggalah mereka memasuki perbicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya ( kalau kamu bersikap demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka.” [TMQ An Nisaa’(4) : 140]



Demokrasi adalah sistem yang pernah runtuh bersama-sama dengan tamadun Yunani tetapi telah dikorek dan dicuci serta diperhalusi oleh Voltaire dan ahli-ahli falsafah ketika zaman kebangkitan Eropah. Masyarakat Eropah kemudiannya telah mengambil idea-idea kuno zaman Yunani ini untuk diterapkan. Ia merupakan idea berkaitan dengan sistem pengaturan hidup manusia dan bukan tentang kaedah pertanian, sains ataupun teknologi. Sistem pengaturan hidup yang diterima oleh Allah SWT hanyalah Islam.


Firman Allah SWT:

“Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu” [TMQ Al Maidah (5) : 3]
Terdapat juga kes-kes lain di mana pilihanraya-Demokrasi gagal untuk menukar kerajaan yang memerintah. Walaupun sebahagian rakyat telah dapat melihat penyelewengan dan kerosakkan yang dilakukan, namun, mereka masih gagal untuk menukar kerajaan. Sehinggalah keadaan menjadi terlalu parah sehingga pihak tentera terpaksa melakukan campurtangan. Sekiranya itu berlaku, rampasan kuasa tentera biasanya berlaku.


Rampasan Kuasa Tentera sebagai Alternatif.


Rampasan kuasa secara ketenteraan adalah satu lagi cara menukar kerajaan yang memerintah dan juga pemimpin. Ini dapat dilihat daripada peristiwa rampasan kuasa oleh tentera di Thailand baru-baru ini. Ia berlaku tanpa melibatkan perubahan sistem. Ia semata-mata berdasarkan kebencian kepada penyelewengan dan hasrat ingin menyelamatkan negara Thai daripada menuju kehancuran. Hal yang sama juga pernah berlaku di Pakistan, Myanmar, Indonesia dan Filipina.


Di dalam kebanyakkan rampasan kuasa yang berlaku, ia tidak mendapat sokongan masyarakat, samada masyarakat bangkit menentang seperti di Myanmar ataupun rakyat hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa seperti yang pernah berlaku di Pakistan dan baru-baru ini di Thailand.



Setiap rampasan kuasa biasanya disertai dengan penggubalan perlembagaan yang baru. Penggubalan biasanya hanya melibatkan imuniti undang-undang ke atas pegawai-pegawai tentera yang terlibat di dalam rampasan kuasa dan mengekalkan bentuk asal perlembagaan tersebut. Setelah itu, kuasa memerintah diserahkan kembali kepada rakyat. Kecuali di dalam di dalam kes tertentu, tentera terus berkuasa seperti di Myanmar.



Tareqah Rasulullah : Thalabun Nusrah


Thalabun nusrah atau meraih dokongan bermaksud lindungi dakwah, atau mendapat dokongan dakwah sehingga tertegaknya hukum Allah. Ia dapat difahami menerusi manhaj yang di tunjukkan oleh Rasulullah SAW. Usaha Rasulullah SAW melakukan Thalabun Nusrah adalah manhaj yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Katakanlah (Muhammad) : ‘Aku hanya akan mengikuti apa sahaja yang diwahyukan kepadaku oleh Tuhanku’” [TMQ Al Araf : 203]

Ibnu Katsir meriwayatkan dari Ali karamallahu wajha,“Tatkala Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk melakukan dakwah kepada suku-suku Arab, beliau pergi ke Mina yang merupakan tempat suku-suku Arab berkumpul, dengan ditemani olehku dan Abu Bakar” ( Bidayah wan Nihayah, Jilid 3)

Diriwayatkan di dalam kitab-kitab sirah bahawa Baginda telah pergi ke kota Thaif untuk meminta pertolongan dan perlindungan dari Bani Tsaqif, baginda menemui sebahagian daripada pemimpin dan orang-orang terkemuka dari Bani Tsaqif. Baginda menyeru agar mereka beriman kepada Allah dan memberi perlindungan dan pembelaan kepada baginda dan Islam dalam menghadapi ancaman daripada kaum Quraisy yang menentang beliau. Namun mereka menolak.



Disamping itu, baginda juga meminta pertolongan daripada sebahagian orang daripada kabilah Kilab, Beliau juga minta pertolongan pada Suwaid bin Shamit, yang merupakan tokoh terhormat dari kaum tersebut.



Rasulullah SAW juga menawarkan dirinya kepada bani Amr bin Sha'sha'ah dan mereka bersedia memberikan perlindungan dan pertolongan tetapi dengan syarat kekuasaan mesti diserahkan kepada mereka setelah Rasulullah SAW wafat. Namun, baginda SAW menolak dengan tegas syarat tersebut.



Rasulullah SAW terus mengunjungi satu demi satu kabilah untuk mendapatkan dokongan dan perlindungan dakwah beliau. Diriwayatkan bahawa baginda telah menemui lebih daripada 40 suku di dalam melaksanakan usaha tersebut. Ini merupakan petunjuk yang tegas ( qarinah) bahawa Thalabun Nusrah adalah sebahagian daripada tareqah Rasulullah SAW untuk menegakkan sebuah Negara Islam.


Akhirnya, suku Aus dan Khazraj, iaitu dua suku yang paling berpengaruh di Madinah tampil untuk memberikan bai’at ( janji taat setia) kepada Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya segera mengutus Mush’ab Umair untuk mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Setelah penduduk Madinah bersedia untuk menerapkan Islam, Rasulullah SAW telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah ke Madinah. Sebaik sahaja menghampiri kota Madinah, para pahlawan yang lengkap berpakaian perang dari kalangan Aus dan Khazraj telah bersiap untuk melindungi Rasulullah SAW. Penduduk Madinah dan ketua masing-masing seterusnya memberikan bai’at kepada Rasulullah SAW menandakan mereka bersetuju hukum Islam diterapkan ke atas mereka sementara proses tersebut mendapat perlindungan daripada pahlawan-pahlawan dari kedua-dua suku tersebut.
Khatimah
Berbanding dengan Thalabun Nusrah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, ia jelas berbeza dengan proses perubahan kerajaan menerusi rampasan kuasa tentera seperti yang berlaku di Thailand, Pakistan, Myanmmar dan Filipina. Di samping tiada perubahan sistem, pasukan tentera sendiri yang telah merancang dan menumbangkan kerajaan yang memerintah tanpa mempedulikan hak kekuasaan yang ada pada rakyat. Sedangkan di dalam Islam, perubahan kepimpinan dan sistem haruslah melalui pemberian kuasa daripada umat dan disokong oleh pasukan bersenjata seperti yang berlaku di Madinah.


Di dalam perjalanan dakwah, semuanya harus terikat kepada hukum yang berasal Islam. Manhaj yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk mendapatkan kekuasaan daripada masyarakat adalah melalui jalan pemikiran, politik, dan tanpa kekerasan disertai thalabun nushrah dan dokongan umat. Allah SWT telah berjanji untuk menolong orang-orang mukmin yang berpegang teguh pada syariat-Nya.


Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa” [TMQ. Al Hajj : 40].
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ. An Nuur : 55].

Wallahu alam

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR