AYAT HUKUM TIDAK SAMPAI 1%??
AYAT HUKUM TIDAK SAMPAI 1%??
Sesungguhnya kebangkitan umat Islam untuk kembali melihat agama Allah ini tertegak sudah tidak lagi mengenal sempadan. Umat sudah mula sedar bahawa mereka memerlukan seorang pemimpin yang bergelar Khalifah yang akan menyelamat dan menyatukan mereka dengan Al-Kitab dan As-Sunnah. Di seluruh dunia laungan dan perjuangan menegakkan Daulah Khilafah telah menghasilkan satu gelombang kebangkitan yang semakin kuat kedengaran di serata dunia. Sebahagian dari umat Islam mula sedar bahawa mereka perlu kembali kepada Islam demi mendapatkan semula kemuliaan mereka. Jika selama ini idea atau gagasan penyatuan umat Islam satu dunia dilihat hanya sebagai sebuah khayalan, tetapi kini ia sudah semakin menjelma dalam bentuk yang nyata. Dari Benua Eropah, Afrika, Timur Tengah, Benua Asia hinggalah ke Australia, petunjuk-petunjuk yang jelas sudah termanifestasi. Pihak kafir Barat sudah tidak senang duduk. Semakin banyak usaha yang mereka lakukan di dalam menghina, menzalimi, menangkap, menganiaya dan membunuh umat Islam, semakin ternampak usaha-usaha penyatuan umat Islam dan semakin terbongkar talibarut-talibarut mereka dari kalangan pemimpin umat Islam. Pendek kata, setiap kali Barat cuba membuat makar jahat, umat Islam terus bangkit dan bersatu. Umat Islam mula sedar bahawa satu-satunya entiti yang akan menyatukan mereka sedunia ialah Daulah Khilafah. Inilah hakikat yang tidak dapat dimungkiri lagi.
Namun demikian, musuh dalam selimut dan duri dalam daging memang sentiasa wujud. Seiring dengan seruan untuk kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, kedengaran juga suara hasad dan dengki pihak-pihak yang cuba meremeh atau memperkecilkan kebangkitan ini. Kembali kepada Al-Quran dikatakan kembali ke zaman lampau, mundur, sudah tidak relevan, ketinggalan zaman dan sebagainya. Inilah golongan berpemikiran sekular dan liberal yang sudah taksub dengan pemikiran kufur Barat, yang sememangnya benci melihat hukum Allah diterapkan 100%. Atas kejahilan dan keegoan yang tinggi, pihak ini mempertikaikan Al-Quran sebagai sumber hukum, mengatakan bahawa Al-Quran dan As-Sunnah itu tidak menitikberatkan ayat-ayat hukum, jika adapun, kurang dari 1% sahaja. Tidak terkecuali pihak yang cuba meletakkan diri mereka sebagai golongan tajdid lalu cuba bereaksi terhadap masalah ini namun dalam masa yang sama mereka sendiri tidak memahami mabda’ atau ‘way of life’ Islam dengan cara yang benar. Akhirnya, mereka turut terjerumus ke dalam perjuangan membendung "hukum-hakam Islam", bukannya berjuang supaya Islam dilaksanakan secara 100%.
AYAT HUKUM DALAM AL-QURAN TAK SAMPAI 1%?
Di dalam majalah Al-Islam keluaran terbaru (Februari 2007), Astora Jabat (AJ) untuk ke sekian kalinya menzahirkan pemikiran sekular dan liberal yang ada padanya. Perasaan hendak merubah hukum Allah dilihat tidak pernah pudar dari pemikirannya, sebagaimana pemikiran yang kita lihat ada pada Sisters In Islam (SIS). Ada beberapa hujah yang dikemukakan oleh AJ yang hanyalah menunjukkan muntahan intelektual beliau dan betapa beliau berusaha memesongkan kefahaman umat Islam dengan hujah akal liberal yang beliau miliki. Di antaranya beliau mengatakan:
Hujah 1: “...dalam agama terdapat undang-undang, tetapi agama bukan undang-undang atau Al-Quran bukan kitab undang-undang....ini berbeza dengan tanggapan orang awam Muslim bila menyebut tentang agama terus akan menggambarkan hukum-hakam, peraturan dan undang-undang serta balasan dan hukuman. Sedangkan agama Islam merujuk kepada Al-Quran dan Hadis dan bukan merujuk kepada fikah; kebanyakannya adalah nilai, konsep dan suku sakatnya itu merupakan 99% kandungan Al-Quran dan Hadis seperti keadilan, kesaksamaan, persaudaraan, rahmah, kasih sayang, bercakap benar, tolong menolong, bersangka baik, hormati orang tua, wanita kanak-kanak, membantu orang lemah, memberi pertolongan kepada orang berhajat dan sebagainya.”
Hujah 2: AJ mengakui bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang ayat hukum, ada yang mengatakannya sebanyak 500, 150, 200 dan 80. Tetapi seterusnya AJ berhujah “Bagaimanapun, 500 atau 200 atau 150 atau 80 ayat hukum yang dikatakan terkandung dalam Al-Quran itu pula ada yang disebut mengenai perkara yang sama secara berulang-ulang. Sebagai contoh ayat tentang hukum ibadat terdapat sebanyak 155 ayat di mana 12 daripadanya tentang bersuci (taharah), 62 tentang sembahyang, 5 tentang puasa, 15 tentang zakat, 4 tentang al-anfal (harta perang), 23 tentang haji, 33 tentang jihad dan 3 tentang amar dan makruf nahi munkar.” AJ seterusnya mengemukakan bilangan ayat-ayat lain yang didakwanya sebagai ayat hukum yang berulang dan kemudian membuat kesimpulan, “Dengan mengambil kira semua angka di atas serta kedudukan ayat-ayat hukum yang menyebut perkara yang sama secara berulang-ulang menyebabkan penulis menganggarkan bahawa ayat hukum dalam Al-Quran kurang daripada satu peratus...”
KRITIK TERHADAP HUJAH 1:
● Betapa lantangnya AJ dalam merendahkan Al-Quran sebagai sumber hukum. Para ulama tidak pernah jemu membincangkan bahawa Al-Quran dan Hadis adalah dua sumber hukum utama dalam Islam yang tidak perlu dipertikaikan, tetapi AJ mengambil pendekatan untuk merendah-rendahkan Al-Quran dan Hadis sebagai sumber hukum. Bagi AJ, seolah-olah kehidupan kita ini tidak ada hukum (kerana terlalu sedikit) atau kita tidak perlu terikat dengan hukum. Beliau cuba mengalih perhatian umat bahawa Islam ini bukan agama hukum-hakam. Walhal di dalam Islam setiap inci perbuatan kita nanti akan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kerana apa semua ini akan dihisab? Kerana setiap perbuatan adalah terikat dengan hukum-hakam. Adakah AJ menganggap bahawa setiap patah tulisan beliau akan dibiarkan oleh Allah (tanpa dihisab), sebab itulah beliau begitu lantang mempertikaikan dan menakwil ayat-ayat Allah sesuka hati? Ingatlah, Allah memperhatikan setiap huruf yang anda tulis dan akan menghisab setiap patah perkataan anda! Dan Allah adalah Maha Membalas setiap dosa.
● AJ semacam buta dengan keluasan ilmu fiqih Islam yang begitu hebat dibincangkan oleh para ilmuan Islam sejak dulu hingga sekarang dan ribuan kitab-kitab fiqih ditulis oleh para ulama yang menggambarkan kepada kita betapa luasnya cakrawala fiqih Islam. Tapi bagi AJ, semua itu hanyalah 1% sahaja dari kandungan Al-Quran dan Hadis. Kita teramat pelik, apakah standard ukuran atau parameter yang digunakan oleh AJ di dalam mengukur 1% atau 99%. Adakah AJ telah mengetahui keseluruhan kandungan Al-Quran dan telah khatam kesemua kitab-kitab Hadis? Inilah sebahagian dari muntahan intelektual AJ.
● Kejahilan AJ ternampak jelas apabila beliau mengatakan bahawa 99% daripada Al-Quran dan Hadis itu bukan fiqih tetapi adalah berkenaan nilai dan konsep seperti keadilan, kesaksamaan, persaudaraan, rahmah, kasih sayang, bercakap benar, tolong menolong, bersangka baik, hormati orang tua dan sebagainya. Beliau seperti seorang yang dangkal apabila tidak menganggap bahawa bercakap benar itu adalah (hukumnya) wajib, bersikap adil adalah (hukumnya) wajib, begitu juga dengan menghormati orang tua yang hukumnya juga adalah wajib. Kita semua memahaminya dengan jelas bahawa ini semua adalah masalah hukum, bukannya masalah nilai atau konsep. Bila disebut hukum, maksudnya, seseorang itu akan mendapat balasan dengan apa yang dikerjakannya, samada berupa dosa atau pahala. Dengan kata lain, adalah berdosa bagi seseorang itu bercakap bohong kerana hukumnya adalah haram. Tetapi AJ hanya menganggap ini merupakan nilai atau konsep sahaja, bukannya hukum. Kedangkalan inilah yang menyebabkan AJ meletakkan ayat-ayat hukum tidak sampai 1%. Alangkah jauhnya beliau dari kebenaran.
● Sesungguhnya Islam adalah sebuah agama yang dipenuhi dengan hukum-hakam, dari kita bangun tidur hinggalah kita tidur semula pada malam hari; setiap perbuatan kita mesti mematuhi hukum syarak, sama ada wajib, sunat, haram, makruh atau mubah. Bermula dari kita aqil baligh hinggalah ke liang lahad, malaikat yang berada di kiri dan kanan kita tidak akan berhenti mencatat setiap amalan kita, samada baik atau buruk. Yang pasti, setiap pahala dan dosa, walau sebesar zarah sekalipun, tidak akan terlepas dari catatan para malaikat yang mulia. Konsep pahala dan dosa ini terlahir dari pematuhan dan perlanggaran terhadap hukum. Bagaimana mungkin AJ boleh berhujah ayat hukum itu tidak sampai 1% bilamana perbuatan kita ini diperhati setiap saat oleh para malaikat untuk dicatat amalannya. Allah akan menghisab setiap amalan kita berdasarkan setiap hukum yang kita patuhi atau langgari. Hatta persoalan niat sahaja (yang baik) di dalam Islam sekalipun boleh memberikan pahala kepada seseorang walaupun perbuatan belum dilakukan. Sesungguhnya pahala itu lahir dari hukum yang dipatuhi, samada melakukan yang wajib atau sunat, atau meninggalkan yang makruh. Mungkin bagi AJ, malaikat hanya mencatat dosa dan pahala tentang persoalan fiqih, tetapi tidak untuk persoalan nilai dan konsep, kerana ini bukan ayat-ayat hukum!
KRITIK TERHADAP HUJAH 2:
● Hujah kuantitatif AJ ini sebenarnya hanya menunjukkan betapa tidak jelasnya AJ dengan definisi hukum syarak itu sendiri. Kesalahan beliau ini ternyata dapat dibahaskan dengan jitu dan bernas jika kita melihat apakah definisi hukum syarak di dalam Islam. Ulama Fiqih mendefinisikan bahawa Hukum Syarak adalah ‘Khitabu Syari’ al-muta’alliku bi af’alil ‘ibad thalban aw takhyiran aw wadh’an’ [seruan Allah (sebagai Pembuat Hukum) yang berkaitan dengan amal perbuatan hamba (manusia) baik dalam bentuk tuntutan atau memberi pilihan ataupun berkenaan dengan situasi]. Daripada definisi ini sendiri menjelaskan bahawa apa sahaja ayat Al-Quran dalam bentuk perintah melakukan atau meninggalkan perbuatan, atau memberi pilihan berbuat (mubah) adalah merupakan hukum syarak. Di dalam konteks ini, para ulama telah membahagikan Islam kepada Aqidah dan Syariat yang mana Al-Quran itu sendiri adalah terdiri dari kedua-kedua aspek ini. Ini bermaksud, Al-Quran mengandungi ayat-ayat aqidah dan selainnya adalah ayat-ayat berkenaan dengan syariat, yang berupa hukum-hakam. Ayat-ayat tentang akidah itu sendiri, walaupun bukan ayat hukum, namun terdapat hukum mengenainya iaitu kita wajib mempercayainya. Sesiapa yang tidak percaya, maka hukumnya adalah murtad. Contohnya, ayat tentang (keEsaan) Allah, kewujudan malaikat, rasul-rasul, syurga dan neraka dan sebagainya. Oleh itu, adalah amat dangkal jika kita cuba merendahkan atau mengelirukan orang lain bahawa ayat hukum itu tidak sampai 1%. Selama mana sesuatu perintah/larangan atau pilihan tersebut adalah berasal dari Allah yang berkaitan dengan perbuatan setiap mukallaf, maka ianya adalah termasuk persoalan hukum.
● AJ juga nampaknya tidak memahami Qa’idah Kulliyat, yakni perbincangan tentang kaedah terbitan dari mafhum (pemahaman) sesuatu ayat, yang akhirnya menyelesaikan banyak permasalahan hukum, walaupun hanya melibatkan satu ayat. Namun dari segi kualitatifnya ia dapat menyelesaikan banyak permasalahan hidup manusia. Sebagai contoh, jika kita membaca ayat:
“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi...” [TMQ al-Baqarah (2):29].
Ayat ini asalnya membawa maksud bahawa Allah menjadikan semua benda yang ada di muka bumi ini untuk manusia. Ayat ini mungkin bersifat khabar (pemberitahuan) dan tidak nampak di dalamnya unsur perintah bahawa Allah menyuruh manusia menggunakan sesuatu benda. Namun lafaz khabar ini menjelaskan bahawa Allah mencipta semua benda yang ada di dunia ini untuk kegunaan manusia. Ulama mengistinbatkan dari ayat ini keharusan menggunakan apa sahaja benda ciptaan Allah yang ada di bumi ini kecuali jika ada nas yang melarang penggunaannya seperti nas pengharaman babi, bangkai dan lain-lain. Lalu, oleh Ulama Usul, dibina satu kaedah usul bahawa “Al-aslu fil asyyia al-ibahah ma lam yurid dalil at-tahrim” ((Hukum) asal sesuatu benda itu adalah mubah kecuali ada dalil tentang pengharamannya). Kaedah ini telah menyelesaikan semua permasalahan hukum tentang benda-benda yang ada di bumi. Dengan mengaplikasi kaedah ini, kita dapat memahami bahawa benda-benda seperti kereta, komputer, telefon bimbit, mikrofon dan segala jenis peralatan teknologi lain adalah mubah hukumnya kerana tidak ada nas yang menerangkan keharamannya. Dengan kaedah ini kita telah menjawab persoalan hukum syarak tentang penggunaan semua benda-benda yang ada di dalam kehidupan kita. Kesimpulannya, semua alat-alat tadi boleh digunakan kerana hukumnya adalah mubah. Inilah yang dimaksud dengan Qa’idah Kulliyat tadi, yang darinya terbit hukum-hukum yang lain.
● Dalam ketaksubannya bermain dengan peratusan angka, AJ juga nampaknya tidak tahu penggunaan qiyas dan illat (pensyari’atan suatu hukum) di dalam suatu ayat Al-Quran. Illat yang wujud di dalam sesuatu ayat itu menjadikan suatu hukum itu boleh dikembangkan kepada beberapa hukum cabang yang mempunyai persamaan illatnya. Inilah yang menjadikan hukum-hukum di dalam ayat Al-Quran itu mempunyai peranan yang sama dari zaman Nabi sehinggalah sekarang dan sampai kiamat. Ia memang sentiasa sesuai dan wajib diguna pakai disepanjang zaman. Contohnya ayat tentang persiapan perang di dalam Surah al-Anfal (8):60 di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan umat Islam agar menyediakan kekuatan berupa kuda-kuda yang tertambat yang bertujuan menakutkan musuh Allah dan musuh umat Islam. Kewajiban di dalam ayat ini adalah ‘menyediakan peralatan perang semaksima mungkin’ (dulunya kuda) dan illatnya adalah ‘menakutkan musuh’. Persoalannya, jika umat Islam itu ingin berperang dengan musuh pada masa kini, apakah hukum dari segi persiapannya, walhal hukum menggunakan jet pejuang, kapal laut, kapal selam, kereta kebal dan sebagainya tidak ada di dalam Al-Quran? Di sinilah qiyas memainkan peranan, di mana persamaan illat yang muncul dari ayat ini adalah tentang ‘menakutkan musuh.’ Jadi hukumnya adalah wajib ke atas umat Islam menyediakan kekuatan semaksima mungkin yang boleh menakutkan musuh. Oleh itu, kewajiban penyediaan jet pejuang, peluru berpandu, smart bomb dan sebagainya adalah berupa hukum yang muncul dari qiyas dan illat tadi. Bagi AJ, mungkin menyediakan jet pejuang untuk berperang itu bukan merupakan satu hukum, kerana tidak ada di dalam Al-Quran! Ini belum lagi mengambil kira beberapa illat yang ada di dalam ayat-ayat yang lain.
● Di dalam Al-Quran terdapat ayat (hukum) yang memerintahkan kita agar mengikuti Rasulullah seperti ayat:
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka ambillah, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah” [TMQ al-Hasyr (59):7].
Ayat ini memerintahkan kepada kita agar menjadikan Sunnah sebagai sumber hukum dan sekaligus sebagai hukum syarak itu sendiri. Walaupun ringkas tetapi ayat ini telah menerbitkan hukum yang banyak yang berupa apa-apa sahaja perbuatan Nabi, perkataan dan juga taqrir (diamnya) baginda, selama mana tidak ada dalil bahawa hukum itu adalah khusus bagi Rasulullah. Pendek kata, kehidupan Rasulullah dari saat baginda mula diangkat oleh Allah sebagai Rasul sehinggalah kewafatannya, keseluruhannya merupakan hukum yang wajib kita teladani. Mana mungkin hukum itu adalah kurang dari 1% bilamana setiap perbuatan, perkataan dan taqrir Nabi selama hidupnya itu adalah merupakan hukum bagi umatnya. Sungguh tidak masuk akal!
● Sehubungan dengan hujah di atas, banyak lagi kedudukan Hadis yang menjadi hukum kepada kita yang lahir dari tindakan Rasulullah. Sebagai contoh ayat-ayat yang berbentuk mujmal [lafaz yang belum jelas dalalahnya (indikasi), iaitu dalil yang belum jelas tentang apa yang dimaksudkan oleh ayat] seperti perintah solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain yang tidak diterangkan secara terperinci di dalam Al-Quran. Oleh itu, segala hukum-hakam yang berkaitan dengannya seperti cara-cara solat, bilangan waktu, rakaat solat dan sebagainya, atau barangan yang dikenakan zakat, berapa nisab dan haulnya, masa pungutan dan lain-lain, termasuk juga dengan rincian ibadah haji, semua ini adalah berupa hukum-hakam, dan diambil dari tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
● Nampaknya AJ hanya memandang Al-Quran dan Hadis di dalam bentuk kuantitatif dan menilai hukum syarak sebagai angka-angka statistik semata-mata. Beliau kemudian cuba memperkecilkan nisbah ayat hukum ini melalui versi pemikiran quantitatif tadi lalu menisbahkan ayat hukum yang pada asalnya ialah 8% (500 ÷ 6236 x 100% = 8.01%) akhirnya diolah beliau menjadi 1%. Persoalannya, apakah penting bagi kita umat Islam membuat dan mengetahui akan kira-kira peratusan ini? Apakah yang dituntut di dalam Islam itu mengetahui bilangan peratusan hukum atau mematuhi hukum? Ingatlah! Hukum di dalam Al-Quran ataupun Hadis itu adalah untuk diamalkan, tak kira berapa peratusannya sekalipun. Jika ulama terdahulu melakukan perkiraan di dalam rangka mereka menambahkan ilmu tanpa meninggalkan hukum-hakamnya, malangnya AJ hanya berminat untuk menghitung bilangan statistik hukum Allah (kuantitatif) dari berusaha untuk menerapkannya.
Mungkin dalam ruangan yang sebegini sempit, tidak cukup untuk kami mengungkapkan kelemahan berfikir kuantitatif AJ, tetapi cukuplah sekadar untuk menyedarkan umat Islam betapa rosak dan bahayanya pemikiran sekular dan liberal yang dibawa oleh AJ. Inilah yang menyedihkan kita, penulisan-penulisan songsang dan karut seperti ini dibenarkan berlegar, tetapi penulisan-penulisan ke arah mengembalikan penerapan Islam dipantau dan disoal siasat. Selagi sistem sekular yang berkuasa, selagi itulah kita akan menyaksikan perlanggaran terhadap hukum Allah berleluasa. Oleh yang demikian, tidak ada jalan lain bagi menghapuskan segala kebatilan ini kecuali dengan perjuangan yang istiqamah di dalam menegakkan kebenaran. Segala pemikiran yang rosak hendaklah diungkap dan diuraikan dan diganti dengan pemikiran Islam. Segala sistem yang rosak hendaklah dibongkarkan kebatilannya dan seterusnya diganti dengan sistem Islam. Begitu jugalah dengan pemerintahan yang berasaskan sistem kufur demokrasi ciptaan Barat hendaklah ditukar dengan sistem pemerintahan Islam yang berasaskan wahyu. Dengan jalan ini sahajalah kebangkitan yang benar akan dapat diraih oleh umat Islam.
KHATIMAH
Wahai kaum Muslimin! Pihak kuffar Barat menyedari akan gelombang besar kebangkitan umat Islam di seluruh dunia dan mereka senantiasa berusaha menghalangnya. Di samping para pemimpin yang memang telah ditambat hidung mereka, Barat juga berusaha untuk memberi sokongan kepada gerakan-gerakan, ulama-ulama dan tokoh-tokoh yang bertopengkan Islam, yang hakikatnya adalah sekepala dengan Barat. Mereka ini diharap oleh Barat agar menjadi benteng dalaman kepada gelombang kebangkitan Islam yang sudah tidak dapat dibendung ini. Inilah golongan yang berpemikiran liberal sebagaimana yang disukai oleh Barat. Mereka ini hanyalah golongan yang ingin mengekalkan status quo sistem sekular yang ada sekarang. Pada masa umat ingin kembali bersatu, mereka ini menyeru kepada negara bangsa, patriotisme, assobiyyah dan segala bentuk perpecahan lainnya. Mereka tidak mahu melihat umat ini bergabung di bawah pemerintahan Islam (Daulah Khilafah) kerana ini akan menggugat kedudukan, pangkat dan status mereka. Mereka telah senang dengan habuan dunia yang mereka nikmati sekarang dan menolak usaha dan kewajiban menyatukan negeri-negeri kaum Muslimin di bawah Khilafah. Di masa umat ingin kembali berhukum dengan Al-Quran dan As-Sunnah, mereka ini menyeru untuk berhukum dengan hukum ciptaan akal manusia. Inilah golongan yang kononnya menyeru kepada Al-Quran dan As-Sunnah, walhal merekalah yang lari darinya.
Demi Allah! Sesungguhnya Daulah Khilafah pasti berdiri, walau bagaimana kuatnya halangan dari orang-orang kafir, pemimpin-peminpin yang zalim mahupun dari umat Islam yang membencinya sekalipun. Hukum Allah pasti akan tertegak secara kaffah walau bagaimana hebatpun penentangan dari golongan yang mempertikai dan membencinya. Cahaya Islam sesungguhnya telah pun memancarkan sinarnya dan bayangan Daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum Muslimin. Marilah bersama-sama berjuang menghapuskan segala pemikiran-pemiran kufur dan menggantikannya dengan pemikiran-pemikiran Islam, menghapuskan kesemua batas-batas sempadan palsu dan menggantikannya dengan Daulah Islam agar rahmat Allah akan menyelimuti bumi dan menyinari kita semua. Insya Allah. Allahu Akbar. Wa lillahil hamd!
0 comments:
Post a Comment