ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


HUKUM MENYAMBUT MAULID AL RASUL

HUKUM MENYAMBUT MAULID AL RASUL


Saban tahun kita menyaksikan hari kelahiran Junjungan Besar kita, Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam disambut dengan penuh meriah. Bukan sahaja di Malaysia, malah di banyak negara umat Islam lainnya, sambutan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam atau lebih dikenali dengan maulid al-Rasul diraikan dengan mengadakan perarakan secara beramai-ramai oleh umat Islam. Di ibu negara tahun ini, seramai 10,000 orang dijangka menyertai perarakan dan perhimpunan peringkat kebangsaan di Stadium Putra, Bukit Jalil, bertemakan ‘Menjana Ummah Gemilang’. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Najibah Abdul Mutalib, berkata majlis sambutan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. “Perarakan akan disertai 103 kontinjen daripada jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, pertubuhan, kelab, institusi pengajian tinggi, institusi latihan dan kemahiran serta pelajar sekolah dari sekitar Lembah Klang, katanya dalam satu kenyataan. Mereka akan memulakan perarakan sambil berselawat dari padang letak kereta, Stadium Hoki ke Stadium Putra [BH 19/03/08].

Dalam pada umat Islam sibuk meraikan sambutan maulid al-Rasul, tidak banyak di kalangan mereka yang mengambil inisiatif untuk mengkaji sama ada tindakan mereka ini bertepatan dengan Islam atau tidak. Jarang sekali mereka membuka kitab dan hadis untuk meneliti apakah hukumnya menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam. Kebanyakan kaum Muslimin lebih suka mengambil sikap untuk bertaklid buta dan hanya mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain. Bagi sebahagian yang lain pula, walaupun tidak setuju dengan apa yang dilihat di depan mata, tetapi tidak cukup berani untuk mengambil tindakan menentang arus. Masih ramai dari kalangan kaum Muslimin yang kerana ‘mengikut arahan’, terpaksa pejam mata dan turun untuk berarak. Bagaimanapun, suatu yang tidak dapat dipertikaikan dewasa ini adalah, kita menyaksikan semakin ramai dari kalangan umat Islam yang sudah mula mempersoalkan sambutan maulid al-Rasul ini, walaupun sebahagian besar masih lagi suka menjadi pak turut. Atas dasar ini, Sautun Nahdhah minggu ini akan menyuntik sedikit kesedaran kepada kaum Muslimin agar pemikiran yang masih lagi terkongkong dengan kejahilan, kemalasan dan kejumudan akan kembali kepada hukum Allah yang benar di dalam menilai setiap tindakan yang akan diambil.

Sejarah Sambutan Maulid al-Rasul

Sesungguhnya bagi setiap orang yang memerhatikan hadis Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam dan sirah baginda, maka ia akan mengetahui bahawa Nabi sama sekali tidak pernah memerintahkan perayaan/peringatan maulid (kelahiran) baginda. Akan tetapi orang-orang yang berdusta atas nama Rasul telah meriwayatkan banyak hadis maudhu’ (palsu) yang tidak pernah dikenal atau dihafal oleh para muhaddisin, kemudian dijadikan mereka sebagai dasar perayaan/sambutan maulid Nabi, seperti hadis (palsu), “Barangsiapa yang mengagungkan hari kelahiranku, maka wajib baginya (mendapat) syafaatku pada hari Kiamat” atau hadis palsu, “Barangsiapa yang menginfaqkan satu dirham pada hari kelahiranku, seakan-akan ia menginfaqkan emas seberat gunung Uhud”. Terlaknatlah mereka yang sengaja mendustakan Rasulullah dengan meriwayatkan hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh baginda. Dosanya di sisi Allah amat besar, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah dalam hadis mutawatir yang masyhur, “Barangsiapa yang berdusta atasku secara sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di neraka”.

Rasulullah tidak pernah mengagungkan hari lahir baginda. Baginda juga tidak pernah mengkhususkannya dengan apa-apa aktiviti taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) baik solat, puasa, zikir, membaca al-Quran mahupun mengadakan perarakan. Baginda juga tidak pernah memerintahkan kepada kaum Muslimin untuk menyambut/merayakan hari kelahiran baginda. Juga, baginda tidak pernah memerintahkan untuk melakukan perkara di atas atau untuk bersedekah, memberi makan atau menyembelih haiwan. Maka termasuk suatu yang pasti bahawa Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam tidak pernah menyambut hari kelahiran baginda. Kaum Muslimin juga tidak melakukannya selama masa Nabi masih hidup atau sehingga tiga generasi sesudah itu, walhal mereka adalah generasi terbaik yang dijamin oleh Rasulullah, sebagaimana sabdanya, “Sebaik-baik manusia adalah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya, kemudian datang kaum yang tidak ada kebaikan di dalamnya” [HR Thabari].

Bagi mereka yang mengamati sejarah, mereka akan dapati bahawa acara sambutan maulid al-Rasul tidaklah masuk ke negeri kaum Muslimin kecuali pada masa kebelakangan sesudah itu, kerana terpengaruh dengan orang-orang Nasrani yang menyambut kelahiran Nabi Isa alaihi salam. Menurut catatan sejarah, orang yang pertama sekali mengadakan acara sambutan ini adalah al-Muiz Lidinillah al-Fathimi pada tahun 362H di Mesir. Dia adalah seorang dari aliran Ismailli bathini yang mengikuti fahaman kebatinan dari aliran Ismailiyyah yang telah keluar dari Islam. Perayaan ini terus berlangsung sehinggalah dibatalkan oleh panglima pasukan yang mulia Badrul Jamali pada tahun 488H di masa Khalifah Al-Musta’li Billah. Keadaan ini tidak bertahan lama sehingga perayaan ini diamalkan semula pada tahun 495H. Manakala di Iraq, orang yang pertama mengadakan sambutan maulid Nabi adalah Raja Al-Muzaffar Abu Said Kukuburiy bin Zainuddin Ali bin Baktakin pada abad ketujuh hijrah, namun ada pendapat yang menyatakan pemulanya adalah Syeikh Umar bin Muhammad al-Mala’ al-Irbali di kota Irbil, Iraq. Diriwayatkan dari Ibnu Katsir, “bahawa dia (Al-Muzaffar) melakukan perayaan maulid Nabi pada bulan Rabiul Awal dengan perayaan yang meriah” [Al-Bidayah wa al-Nihayah Fi al-Tarikh, juz 3 hlm 131]. Ibnu Khalkan menyebutkan dalam Wafiyyati al-A’yan, bahawa al-Hafiz Ibnu al-Khatthab bin Duhayyah datang dari Maghribi dan masuk ke negeri Syam dan sampai ke Iraq pada tahun 604H. Di Iraq, dia mendapati penguasa Iraq Muzaffaruddin bin Zainuddin meyakini maulid Nabi, maka ia menulis kitab kepadanya, al-Tanwir Fi Maulidi al-Basyiri al-Nadiri dan ia membacakannya sendiri kepada Muzaffar, lalu Muzaffar membalasnya dengan seribu dinar [Al-Hawi Li al-Fatawi, Imam al-Suyuthi, juz 1 hlm 189].

Para ulama ahli sejarah bersepakat bahawa yang pertama kali melakukan sambutan maulid al-Rasul, kemudian berkembang di tengah-tengah kaum Muslimin, adalah golongan al-Ubaidiyyun di Mesir dari kelompok Ismailiyyah yang kafir (lebih dikenali dengan sebutan al-Fathimiyyun) yang keberadaannya merupakan bencana bagi kaum Muslimin. Mereka memisahkan Mesir dari Khilafah Abbasiyyah dan mendirikan di sana sebuah negara khas yang bercirikan kelompok mereka sahaja. Aliran kebatinan ini, setelah mendapat kuasa, mereka berusaha merubah Daulah Islam menjadi negara kebatinan kufur dan berjalan sesuai dengan hukum-hukum mereka yang batil. Termasuk di antara bid’ah yang mereka ada-adakan adalah perayaan hari al-Ghadir, hari raya Nairuz (hari raya Parsi), hari raya al-Khamis (termasuk hari raya Nasrani) yang mereka jadikan salah satu dari hari raya kaum Muslimin. Mereka juga turut menyambut hari kelahiran Ali bin Abi Thalib, al-Hassan, al-Hussin, Fathimah, maulid Khalifah al-Qaim bi Amrillah, hari raya tahun baru Hijrah dan lain-lain lagi.

Pendapat Ulama Tentang Maulid al-Rasul

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang hukum menyambut maulid Nabi, tetapi disebabkan keterbatasan ruang, kami hanya akan mengutip beberapa pendapat yang masyhur sahaja. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj, Ibnu Katsir, Ibnu Abaad, Ibnu Marzuq, al-Subki, Abu Syamah (guru Imam Nawawi), Ibnu Duhayyah, al-Suyuthi, al-Sakhawi dan beberapa ulama lain lagi membolehkan sambutan hari kelahiran Nabi dengan syarat sambutan tersebut bersih dari segala aktiviti kemungkaran. Manakala Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, al-Syatibi, al-Abdari dan beberapa ulama lain mengharamkan sambutan maulid ini. Al-Hafiz Ibnu Hajar, Ibnu al-Haj dan al-Sakhawi setuju bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah kerana tidak pernah dilakukan pada zaman Rasulullah, tidak pula pada zaman sahabat dan generasi sesudah mereka. Namun begitu, mereka menilai bahawa sambutan maulid Nabi ini sebagai bid’ah hasanah (bid’ah yang baik), dan akan menjadi bid’ah dhalalah (bid’ah yang sesat) jika mengandungi kemungkaran. Sebahagian besar ulama memandang bahawa sambutan maulid al-Rasul adalah bid’ah muharramah (bid’ah yang haram). Mereka juga berpendapat bahawa segala perbelanjaan harta (infaq) untuk sambutan maulid adalah haram. Yang paling masyhur di antara para ulama yang menyatakan hal ini merupakan bid’ah dhalalah adalah Tajudin Umar bin Ali al-Lakhami al-Sakandari al-Maliki yang terkenal dengan panggilan al-Fakihani. Beliau mengarang kitab berjudul al-Maurid fi al-Kalami ala Amali al-Maulid yang memuat jawapan dari pelbagai pertanyaan oleh masyarakat.

Di dalam kitab tersebut, terdapat soalan tentang maulid berbunyi; “apakah ada dasarnya menurut syara’ ataukah hal itu merupakan bid’ah dalam agama?”. Maka Tajudin menjawab, “Saya tidak mengetahui adanya dasar syar’i untuk sambutan maulid baik dalam Al-Kitab mahupun Sunnah, begitu pula tidak ada satu riwayat pun dari salah seorang ulama umat yang menjadi teladan dalam urusan agama, yang berpegang teguh pada atsar (peninggalan khazanah) orang-orang terdahulu yang mendukung, bahkan hal itu (sambutan maulid) merupakan bid’ah. Bukan termasuk kewajipan yang sesuai dengan ijmak, tidak pula sunnah kerana hakikat dari sunnah (mandub) adalah tuntutan syara’ tanpa adanya celaan bagi yang meninggalkannya. Mereka yang mengadakan maulid tidak mendapat izin dari syara’ untuk menyambutnya. Para sahabat tidak pernah melakukannya, begitu pula para tabi’in tidak melakukannya. Para ulama pun tidak melakukannya. Begitulah sesuai yang saya ketahui...” [lihat Al-Hawiy li al-Fatawi, Imam Suyuthi, juz 1 hlm 190]. Imam Suyuthi sendiri mengarang makalah tentang maulid dengan judul Husnu al-Qasdi fi Amali al-Maulid, di mana di dalamnya beliau menjawab hukum maulid di mana beliau cenderung kepada membolehkannya. Imam Suyuthi menilai berkumpulnya manusia untuk membaca Al-Quran dan pelbagai riwayat atau khabar (hadis) Rasulullah, kemudian ada jamuan makan di dalamnya sebagi bid’ah hasanah, sebab di dalamnya terdapat pengagungan terhadap kedudukan Rasulullah dan menampakkan kegembiraan akan kelahiran baginda. Beliau mengupas pendapat al-Fakihani dan membantahnya.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang hidup hingga awal abad ketujuh hijriyah (meninggal tahun 728H) pula berpendapat, “Apa yang diada-adakan oleh sebahagian orang dalam aktiviti maulid, kadang-kadang menyerupai Nasara dalam menyambut kelahiran Nabi Isa as, dan kadang-kadang sebagai ungkapan kecintaan dan pengagungan kepada Nabi, bukan untuk bid’ah seperti menjadikan hari kelahiran baginda sebagai hari raya Nabi (maulid), meskipun tanggal kelahiran baginda masih diperselisihkan oleh ulama. Namun sesungguhnya sambutan maulid itu tidak pernah dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari generasi salaf (sahabat, tabi’in dan tabi’i tabi’in) padahal merekalah yang lebih berhak melakukannya jika itu diperlukan, dan tidak ada suatu apa pun yang dapat mencegah mereka melakukannya. Andaikata itu merupakan satu kebaikan yang pasti atau kuat dugaan kebenarannya, nescaya generasi salaflah yang paling berhak dari kita untuk melakukannya, kerana mereka termasuk orang-orang yang paling kuat kecintaannya dan pengagungannya kepada Nabi dan dari segi mengerjakan kebaikan, mereka lebih memerhatikan hal ini dari generasi-generasi Islam lainnya. Kesempurnaan dan kecintaan kaum Muslimin dan pengagungan mereka kepada Nabi seharusnya nampak dalam peneladanan, ketaatan dan pelaksanaan perintah Rasul. Termasuk dalam hal ini adalah menghidupkan sunnah Nabi baik secara batin (dalam diri) mahupun zahir (dalam realiti kehidupan), menyebarkan risalahnya serta berjihad dalam penyebaran risalah itu dengan hati, tangan dan lisan. Itulah cara orang-orang terdahulu...” [Iqtidhau al-Sirathil Mustaqim Mukhalafatu As-habi al-Jahim, hlm 294-297].

Berpegang Kepada Dalil, Jangan Bertaklid Buta

Sesungguhnya dalam apa jua perkara yang diperselisihkan oleh umat Islam, maka wajiblah dikembalikan kepada Allah dan Rasul. Firman Allah, “...jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Al-Sunah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir...” [TMQ al-Nisa’ (4):59]. “Tentang suatu apa pun yang kamu berselisih, maka hukumnya (terserah) kepada Allah” [TMQ al-Syura (42):10]. Atas dasar ini, maka marilah kita mengembalikan perkara ini (sambutan maulid al-Rasul) kepada Kitabullah dan Sunah RasulNya. Di dalam KitabNya, Allah mengingatkan kita bahawa, “Dan apa sahaja yang dibawa (diperintahkan) oleh Rasul kepadamu, maka ambillah (laksanakanlah) ia, dan apa sahaja yang dilarangnya, maka tinggalkanlah ia” [TMQ al-Hasyr (59):7]. Allah juga berfirman, “Dan hendaklah orang-orang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ al-Nur (24):63]. Sambutan maulid al-Rasul ini pastinya bukan perkara yang didatangkan oleh Rasulullah kerana tidak ada seorang pun yang meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah menyatakan atau melakukan atau memerintahkan atau menunjukkan persetujuannya terhadap sambutan hari lahir baginda.

Dengan merujuk kepada Al-Sunnah pula, kita tidak akan menjumpai nas yang menjelaskan Rasulullah menyambut hari kelahiran baginda atau memerintahkan umatnya untuk menyambutnya. Tidak pula kita dapati ia disambut oleh para Khulafa’ Rasyidin atau sahabat-sahabat yang lain, tidak juga oleh para tabi’in mahupun tabi’ihim bi ihsan (generasi sesudahnya yang mengikut mereka dengan baik). Dengan ini, amatlah jelas bagi mereka yang berakal bahawa sambutan maulid al-Rasul merupakan perkara yang tidak pernah dikenal pada masa awal Islam, sehingga dapat dikatakan secara pasti bahawa sambutan maulid al-Rasul ini adalah termasuk dalam perkara bid’ah. Di sini timbul satu persoalan bagi mereka yang membolehkan sambutan maulid al-Rasul ini atas niat ibadah atau taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Apakah hukumnya? Sebenarnya hal inilah justeru yang dengan sendirinya menjadikan perkara ini sebagai bid’ah, kerana bid’ah itu bermaksud suatu perbuatan yang dilakukan seseorang dengan niat beribadah dan bertaqarrub kepada Allah tetapi tanpa didasari oleh dalil syara'. Agar ibadah dikatakan benar dan sah, maka mestilah ada nas yang membenarkannya. Ibadah adalah termasuk di dalam persoalan yang bersifat tauqifiyyah (telah ditetapkan oleh Allah dan di ambil seadanya, tanpa boleh diubah, ditambah atau dikurangi). Kita tidak boleh melakukan ibadah, kecuali dengan cara (kaifiyat) yang telah ditunjukkan oleh Rasul kepada kita sahaja. Jika seseorang beribadah kepada Allah dengan caranya sendiri (tanpa ada nas), maka dia telah mengikut hawa nafsu dan akan tergolong ke dalam ahlu al-bid’ah. Na’uzubillah min zalik. Segala jenis ibadah dan bentuk taqarrub illallah wajiblah dilakukan mengikut Rasulullah secara tauqifi (seadanya).

Jadi, sekiranya seseorang Muslim berniat ingin beribadah dan ingin bertaqarrub kepada Allah tetapi dengan cara yang tidak pernah disyariatkan oleh Allah maka hal inilah yang justeru disebut bid'ah. Adapun pandangan sesetengah ulama' yang mengatakan bahawa ada terdapat perbuatan yang disebut bid'ah hasanah (bid’ah yang baik), maka hal ini mestilah dikembalikan kepada nas dengan cara yang benar, sesuai dengan sabda Rasulullah, “Setiap (perbuatan) bid'ah itu sesat” [HR Abu Daud, Tirmidzi, Ahmad]. Inilah yang hak/benar (yakni) setiap bid’ah itu adalah sesat dan tidak ada pada hakikatnya yang disebut di dalamnya bid’ah yang baik. Sabda Rasulullah lagi, “Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan tanpa didasari perintah dari kami maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Bukhari & Muslim].

Di samping termasuk di dalam hal bid’ah, sambutan maulid al-Rasul ini juga boleh menjerumuskan seseorang Muslim itu kepada tasyabbuh bil kuffar (menyerupai orang-orang kafir) jika ia disambut dengan niat ke arah itu. Jika kita mengamati sambutan maulid Nabi yang dirayakan sejak dahulu lagi maka kita akan dapati sebahagian dari umat Islam melakukan hal ini sebagai sikap taqlid dan menyerupai orang-orang Nasrani yang merayakan hari Krismas bagi menyambut kelahiran Nabi Isa. Hal ini pernah terjadi ke atas kaum Muslimin di masa kemunduran berfikir melanda mereka, sehingga mereka berkata, “Nabi Muhammad lebih utama dari Nabi Isa, jadi mengapa mereka boleh memuliakan Isa dan kita tidak boleh memuliakan Nabi Muhammad?” . Dengan analogi yang salah dan tidak berdasarkan nas ini, mereka menganggap bahawa ianya adalah baik jika diadakan. Bagi mereka yang melakukan hal ini berdasarkan analogi tersebut maka mereka telah termasuk ke dalam perbuatan yang haram kerana menyerupai orang-orang kafir. Banyak hadis sahih yang melarang tasyabbuh bil kuffar ini. Di antaranya, “Tidak termasuk golongan kita orang yang menyerupai kaum lain” dan “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk salah seorang dari mereka” [HR Muslim dan Ahmad]. Rasulullah begitu menekankan perlunya kita berbeza dari golongan kafir sehingga orang-orang Yahudi pernah berkata, “Muhammad ini tidak meninggalkan sesuatu urusan kita melainkan melakukan hal-hal yang sebaliknya”.

Dengan ini, amatlah jelas bahawa sambutan maulid Nabi ini tidak termasuk bahagian dari ajaran Islam, malah merupakan satu hal yang bid’ah dan tasyabbuh bil kuffar yang mesti ditinggalkan. Bagi yang melakukannya kerana ingin memuliakan Rasulullah, maka ingin kami tegaskan di sini bahawa memuliakan Rasul itu memanglah wajib, tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang telah ditetapkan oleh syara’, bukan mengikut hawa sendiri. Sesungguhnya memuliakan Nabi itu adalah dengan mengikuti dan berpegang teguh kepada segala sunnahnya, baik itu perkataan, perbuatan ataupun taqrir (pembenaran) baginda. Memuliakan Rasul juga boleh dilakukan dengan cara membaca selawat ke atas baginda di setiap waktu, bukan hanya di hari maulid baginda. Firman Allah, “Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya” [TMQ al-Ahzab (33):56]. Kaum Muslimin di zaman Rasulullah begitu berhati-hati dalam melakukan sebarang perbuatan kerana bimbang akan melakukan bid'ah. Pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa para sahabat pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Maka Nabi pun mengajarkan mereka caranya...” .Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan keutamaan berselawat kepada Rasul di setiap waktu, namun apa yang jelas, perbuatan selawat sekalipun, haruslah mengikuti dalil-dalil syara’ yang telah ditetapkan. Malangnya kini umat Islam terlalu berpegang kepada fatwa-fatwa yang kadangkalanya terpesong jauh dari hukum syara’ dan umat Islam terlalu banyak bertaqlid buta tanpa mengkaji sendiri dengan lebih mendalam akan dalil-dalil bagi setiap perbuatan yang ingin dilakukan mereka. Keadaan menjadi lebih parah apabila para pemerintah dan ulama yang ada membenarkan, dan lebih buruk mengarahkan perkara ini tanpa mengkaji nas-nas dengan terperinci akan kebolehannya. Islam di ambil hanya di dalam bentuk untuk memuaskan kehendak kerohanian atau untuk memenuhi gharizah tadayyun (naluri beragama) semata-mata, tanpa diambil sebagai hukum-hakam untuk menyelesaikan seluruh permasalahan manusia.

Bagi para ulama dan juga kaum Muslimin yang membolehkan sambutan maulid al-Rasul dengan alasan masih terdapat syubhat al-dalil di dalamnya, maka semoga hal tersebut dapat menjadi hujah dan alasan yang membebaskan mereka di sisi Allah nanti kerana hal itu dibolehkan/dilakukan atas dorongan kecintaan, penghormatan dan keagungan mereka kepada Rasulullah; atau dengan maksud untuk bersyukur kepada Allah di atas kurnia yang diberikanNya kepada kaum Muslimin dengan dilahirkan seorang manusia yang paling mulia di muka bumi yang mana kita telah menjadi umatnya. Namun mesti diperhatikan di sini bahawa para ulama yang membolehkan diadakannya sambutan maulid Nabi ini telah mensyaratkan bahawa ia mestilah bersih dari segala kemungkaran seperti zikir yang menyesatkan, ratapan, tangisan yang berlebih-lebih, nyanyian, iktilath (percampuran antara lelaki dan perempuan), tabarruj (bersolek dan menghiaskan diri - bagi perempuan) dan lain-lain kemungkaran lagi.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Demikianlah hukum mengenai sambutan maulid al-Rasul. Janganlah hendaknya kalian memperbesar-besarkan hari kelahiran Nabi walhal dalam masa yang sama sunnah Nabi kalian tinggalkan. Yang lebih utama dan sewajibnya diambil oleh kalian adalah apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kalian berupa perkataan, perbuatan dan taqrir (pembenaran) baginda. Inilah sunnah Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam yang wajib kalian ikuti. Rasulullah bukan sahaja seorang ahli ibadah, malah baginda adalah juga seorang suami, seorang ayah, seorang ahli politik yang agung dan seorang ahli perang. Rasulullah adalah seorang pendakwah, pembawa risalah Allah, penyebar Islam dan pembawa rahmat ke seluruh alam. Rasulullah tidak pernah berhenti berdakwah sejak baginda di angkat oleh Allah menjadi RasulNya, Rasulullah berdakwah dalam rangka untuk meninggikan kalimah Allah dan menerapkan segala hukum-hakam Allah di muka bumi, tidak berehat (dari dakwah) dan tidak mengenal penat dan lelah, menghadapi segala cabaran dan penderitaan. Inilah sunnah Rasul Sallallahu alaihi wa Sallam yang wajib diteladani oleh umat Islam, bukan hanya sekadar mengingati dan menyambut tarikh kelahiran baginda, namun berdiam diri dari semua yang lain.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ al-Ahzab (33):21].



1 comments:

  1. Aneroid said...
     

    Sambut maulidurrasul, ada orang pertikai bid'ah ke tidak.dalam majlis maulidurrasul tu ade juga selawat (kita dituntut berselawat)...jadi, sambut keputeraan sultan, agong macamana? sambut harijadi sendiri macamana? (confirm takde selawat)...boleh saudara postkan satu artikel berkaitan.

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR