ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PBB MERUPAKAN ORGANISASI KUFUR

PBB – ORGANISASI KUFUR CIPTAAN BARAT

Apakah Kita Masih Mengharapkannya???


Malaysia dan negara-negara sahabat sedang berusaha mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan isu Asia Barat, termasuk melaksanakan segera gencatan senjata di Palestin dan Lebanon. ''Kita telah pun menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin berkenaan (kuasa-kuasa besar) termasuk kepada ahli tetap dan ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi mendapatkan sokongan mereka''. Itulah antara kata-kata Perdana Menteri yang terpampang di muka depan Utusan Malaysia 30/07/06. Beliau juga menolak cadangan menantunya, Khairy Jamaluddin supaya negara-negara anggota OIC menarik diri daripada menjadi anggota PBB kerana badan dunia itu gagal berfungsi melindungi keselamatan penduduk dunia. Abdullah berkata, OIC tidak boleh keluar dari PBB kerana negara-negara anggota OIC boleh mendapat banyak manfaat daripada badan dunia itu. Beliau seterusnya menegaskan, PBB masih merupakan badan yang berfaedah dan negara-negara anggota OIC boleh terus memainkan peranan aktif dalam pertubuhan berkenaan. Dengan terus menyertai PBB, negara-negara anggota OIC boleh membawa banyak isu lain kepada PBB termasuk isu-isu yang melibatkan negara-negara sedang membangun.[UM 30/07/06].

Inilah realiti yang senantiasa melingkari pemikiran pemerintah kaum Muslimin setiap kali dunia dilanda krisis. Ini bukanlah kali pertama, dan bukan juga kali ke seratus kita melihat pemimpin-pemimpin kita bergantung harap kepada badan dunia itu. Sudah jutaan nyawa umat Islam melayang, sudah ribuan wanita dan anak-anak menderita, para pemimpin kaum Muslimin terus bergantung harap kepada PBB seolah-olah inilah satu-satunya 'hero' yang akan menyelamatkan kita semua! Kini, di saat Israel terus menggila melancarkan serangan ke atas umat Islam di Lebanon dengan mendapat sokongan padu dari Amerika Syarikat (AS), sekali lagi kita melihat para pemimpin kaum Muslimin duduk berpangku tubuh di bangku mewah sambil menjerit meminta tolong kepada organisasi yang dikawal oleh Amerika ini. Hakikatnya kewujudan PBB hanyalah untuk mengekalkan hegemoni Barat ke atas kaum Muslimin dan menjadikan umat Islam terus menerus berada di bawah kekuasaan mereka. Sautun Nahdhah pada minggu ini ingin menjelaskan dan mengingatkan para penguasa kaum Muslimin khasnya dan umat Islam umumnya bahawa tindakan menagih ihsan dan simpati kepada PBB yang sudah terang lagi nyata merupakan sebuah organisasi kufur adalah tindakan yang salah dan boleh menimbulkan pelbagai masalah. Semoga hidayah Allah tercurah kepada para pembaca sekalian.

Sejarah Kewujudan PBB

PBB secara rasminya terbentuk pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia II di San Francisco Amerika Syarikat oleh sejumlah 51 buah negara. Pembentukannya didokong oleh lima negara besar saat itu iaitu Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, China, Britain dan Perancis yang berkonflik dengan Jerman dan sekutunya. Negara-negara inilah yang mempersiapkan draf pembentukan PBB dan menjadi penandatangan utamanya. Nama "United Nations" sendiri merupakan usulan dari Presiden Amerika Syarikat ketika itu iaitu Franklin D. Roosevelt. Istilah ini telah dicipta oleh Roosevelt sewaktu Perang Dunia II sedang berlangsung untuk merujuk kepada Pihak Berikat yang terdiri daripada 26 buah negara. Nama ini digunakan secara rasmi buat pertama kalinya pada 1 Januari 1942 di dalam 'Pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu'.

Selepas pengistytiharan itu, Pihak Berikat menggunakan nama "Angkatan Pertempuran PBB" untuk merujuk kepada perikatan mereka. Gagasan untuk PBB telah diperincikan dalam pengisytiharan yang ditandatangani dalam beberapa persidangan Pihak Berikat di Moscow, Kaherah dan Tehran sewaktu perang masih berlanjutan pada tahun 1943. Dari Ogos sehingga Oktober 1944, wakil-wakil daripada Perancis, China, Britain, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet bertemu untuk memperincikan rancangan-rancangan mereka di Dumbarton Oaks Estate, Washington DC. Perbincangan ini dan perbincangan yang seterusnya menghasilkan cadangan-cadangan yang menggariskan tujuan-tujuan pertubuhan ini, keahlian serta pengurusan untuk memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa. Termasuk yang dibincangkan adalah kerjasama ekonomi dan sosial antarabangsa. Pada 25 April 1945, "Persidangan PBB tentang Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa" bermula di San Francisco. 50 buah negara yang menghadiri persidangan ini menandatangani "Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu" dua bulan kemudian pada 26 Jun. Poland tidak menghadiri persidangan itu, tetapi satu tempat telah diperuntukkan kepadanya di mana ia kemudiannya menandatangani piagam tersebut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada 24 Oktober 1945, selepas Piagamnya disahkan oleh kelima-lima ahli tetap Majlis Keselamatan, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Soviet, Perancis dan Republik China. Perhimpunan Agung pertama yang diadakan di Rumah Church, London, United Kingdom pada 10 Januari 1946 disertai oleh kesemua 51 buah negara anggota. Sehingga kini, PBB dianggotai oleh 192 buah negara.

Sebenarnya kewujudan PBB bukanlah secara kebetulan, bukan pula sekadar memenuhi keinginan negara-negara perintisnya. Ada proses panjang di sebalik bagaimana ianya bermula dan sesungguhnya, ada agenda yang tersembunyi di sebalik kewujudannya. Tidak lama sebelum ia muncul, benih pembentukannya telah dimulai dengan wujudnya Liga Bangsa-Bangsa (The League of Nations). Gagasan pendirian organisasi ini dicetuskan pada tahun 1918, sebelum berakhirnya Perang Dunia I. Di dalam ucapannya kepada Kongres, Presiden AS ketika itu, Woodrow Wilson telah menggariskan beberapa syarat yang dikenali sebagai Fourteen Points For Peace mengandungi 14 butiran untuk mewujudkan perdamaian. Butiran ke 14 dari syarat-syarat tersebut menyebutkan perlunya pembentukan satu kesatuan negara-negara yang akan memberi jaminan keamanan kepada semua negara tanpa membeza-bezakan negara besar atau kecil. Dari sinilah akhirnya lahir kesatuan yang diberi nama The League of Nations pada tahun 1919. Sejak itu, AS mula berperanan di arena antarabangsa sehinggalah seterusnya berjaya mengekalkan kekuasaannya ke atas dunia dengan kewujudan United Nations.

Jauh sebelum kemunculan the League of Nations ini, sudah terdapat sebuah organisasi antarabangsa yang mula digagaskan oleh negara-negara Eropah sejak abad ke 16M lagi. Ketika itu, Daulah Uthmaniah yang memerintah dunia begitu kuat dan tidak dapat dapat dikalahkan oleh mana-mana negara. Angkatan tentera Uthmani berjaya membuka satu demi satu negara Eropah dan membawa Islam ke sana. Daya jelajahnya begitu besar, dari Yunani, Rumania, Albania, Yugoslavia, Hungary hingga hampir menembusi dinding Vienna. Kekuatan tentera Allah ini digeruni dan amat menakutkan musuh (Eropah) ketika itu. Ketakutan dan kebencian Eropah kepada Islam menyebabkan mereka berfikir dan berusaha keras untuk membentuk kekuatan bagi menghambat pasukan tentera Islam. Dari sinilah mereka kemudian membentuk gabungan dalam usaha untuk menghalang kemaraan kaum Muslimin. Gabungan yang terdiri dari negara-negara Kristian Eropah ini mula dikenali sebagai 'Keluarga Eropah'.

Hingga pertengahan abad ke 17M, kekuatan Keluarga Eropah ini belum dapat menandingi kekuatan Daulah Islam. Pada tahun 1648, negara-negara Kristian Eropah mengadakan Persidangan Westphalia dan menetapkan pelbagai aturan untuk mengatur hubungan antara mereka. Sejak saat itu, muncullah apa yang dikenali sebagai 'Komuniti Antarabangsa' dan 'Undang-Undang Antarabangsa'. Komuniti ini terdiri dari negara-negara Kristian tanpa membezakan bentuk negara, samada kerajaan atau rebublik dan sebagainya. Pada mulanya komuniti ini dikhususkan bagi negara-negara Eropah Barat, tetapi kemudian diikuti oleh semua negara Kristian di luar Eropah. Mereka memadu tenaga mempertahankan kesepakatan yang telah mereka bangunkan, khususnya dalam prinsip-prinsipnya yang diambil dari gabungan ajaran Kristian dan Yahudi. Dengan kekuatan baru yang mereka miliki, mereka telah berusaha untuk menghancurkan Daulah Islam. Setelah Daulah Islam semakin melemah, mereka mula membangun imej buruk terhadap Daulah dengan menjolokinya sebagai 'Orang Sakit Eropah' (The Sick Man of Europe).

Dengan kekalahan Jerman, Austria-Hungary dan Daulah Uthmaniyyah pada Perang Dunia I, The League of Nations telah ditubuhkan secara rasmi, selepas Persidangan Keamanan Paris, pada tahun 1920. Semua negara kemudiannya dibenarkan masuk dengan syarat negara-negara tersebut bersetuju dengan prinsip-prinsip mereka. Setelah itu, The League of Nations 'ditukar nama' kepada The United Nations, yang pada awal kemunculannya terbatas kepada negara-negara yang menentang Jerman. Setelah itu, keanggotaan PBB terus dibuka seluas-luasnya, sesuai dengan hasrat AS untuk menyebarkan hegemoninya ke seluruh dunia dan menundukkan seluruh negeri kaum Muslimin di bawah ideologi kufur yang mereka bawa.

Wahai kaum Muslimin!
Itulah secebis dari hakikat sejarah kemunculan PBB yang jarang-jarang diketengahkan kepada kalian. Awal kemunculannya adalah sebagai langkah musuh-musuh Islam untuk melawan Islam dengan menghapuskan kekuatan Daulah Islamiyyah yang berpusat di Turki ketika itu. Setelah kejayaan mereka menghapuskan Daulah Islam, maka agenda seterusnya adalah untuk memastikan agar Daulah Islam tidak akan muncul lagi. Banyak lagi sejarah yang tidak dapat diungkapkan di sini yang menceritakan dengan jelas bagaimana badan dunia itu 'dicipta' dengan begitu licik untuk menghapuskan Islam dan umatnya. Yang selalu ditonjolkan adalah 'fungsi' PBB yang ditubuh untuk menyelamatkan dan menjaga keamanan dunia. Itulah kejayaan Barat dalam usaha mereka melenyapkan Islam melalui PBB yang ditelan bulat-bulat oleh para pemimpin umat Islam hari ini dengan menganggapnya sebagai 'penyelamat' dunia.

AS Pengarah, PBB Pelakonnya

Kebijakan negara-negara kufur Barat khususnya Amerika Syarikat nampaknya telah berhasil menghias PBB menjadi sebuah pertubuhan yang tampil bagaikan seorang 'pendekar' antarabangsa yang datang untuk menyelamatkan dunia. Buktinya, pemimpin-pemimpin dunia termasuklah di dunia Islam memberikan ketaatan dan kepercayaan kepada 'pahlawan agung' ini di dalam menghadapi apa jua masalah antarabangsa, walaupun secara jelas ia telah gagal menyelesaikan pelbagai masalah di peringkat antarabangsa terutamanya yang melibatkan negeri-negeri umat Islam. Malahan yang lebih menyedihkan, telah terbukti bahawa PBB telah membiarkan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam, tetapi pemimpin kaum Muslimin masih memberikan kesetiaan sepenuhnya kepada organisasi kafir ini!

Wahai kaum Muslimin!
Bukalah mata, pasanglah telinga, fikirkanlah dengan aqal yang Allah anugerahkan kepada kalian, lihatlah dengan mata hati kalian bahwa PBB jelas-jelas membohongi kalian atas nama keamanan dan kesamarataan. Penubuhan PBB ditandatangani oleh 51 buah negara dan sekarang ini dianggotai oleh 192 buah negara, tetapi 5 negara mempunyai kuasa veto. [Majlis Keselamatan PBB yang merupakan badan yang paling berpengaruh di dalam pertubuhan itu terdiri daripada 15 kerusi, lima diduduki secara tetap, oleh anggota yang memiliki kuasa veto (Amerika, Russia, China, Britain dan Perancis) dan sepuluh yang lain diberi secara bergilir-gilir bagi setiap dua tahun untuk negara-negara anggota lain dan tidak mempunyai kuasa veto]. Hak istimewa yang dikenali dengan kuasa veto ini merupakan hak khusus yang hanya dimiliki oleh lima buah negara kuasa besar sahaja. Kuasa veto ini boleh menghapuskan segala resolusi, peraturan, undang-undang dan apa sahaja yang akan diluluskan, walaupun ia disetujui oleh majoriti negara anggota. Masuk aqalkah kedudukan istimewa ini, apatah lagi AS adalah salah satu darinya? Inikah konsep kesamaan dan keserataan bagi semua anggota sebagaimana yang dilaungkan-laungkan? Inilah kepalsuan terbesar PBB semenjak kelahirannya ke dunia ini yang kononnya akan membawa kesamaan, kedamaian dan keamanan kepada dunia sejagat.

Jauh panggang dari api, itulah pepatah yang tepat bagi PBB. Secara pastinya PBB hanyalah kuda tunggangan yang kewujudannya adalah bagi mengekalkan nafsu buas kuasa-kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Umum mengetahui bahawa AS adalah dalang di sebalik kebanyakan tindakan PBB. Dominasi AS ke atas PBB telah menjadikan organisasi tersebut sebagai alat yang cukup efektif bagi negara Uncle Sam ini untuk menempatkan dirinya sebagai pencatur politik dunia ketika ini. Oleh kerana itu, adalah sesuatu yang wajar apabila kita melihat polisi-polisi PBB diwarnai oleh cita-cita ideologi Amerika Syarikat sendiri (kapitalisme), yang menggunakan metod (thariqah) penjajahan untuk menyebarluaskan ideologinya. Ada beberapa strategi yang digunakan oleh AS untuk memanfaatkan PBB bagi kepentingan dirinya. Antaranya ialah:-

1. Mengukuhkan kedudukan PBB sebagai organisasi antarabangsa yang berkuasa untuk menyelesaikan masalah-masalah dunia yang dihadapi oleh berbagai bangsa dan negara.

Strategi ini dilakukan dengan cara membangunkan public opinion (pandangan umum) dunia bahawa PBB merupakan organisasi yang bersifat antarabangsa meskipun tidak semua negara yang ada di dunia ini menjadi anggotanya Dengan sifat ini PBB menjadi satu-satunya pihak yang berkuasa dan dapat diyakini untuk membahas masalah-masalah antarabangsa. Selain itu negara-negara yang dilibatkan di dalam percaturan politik internasional dibatasi hanya bagi mereka yang bergabung menjadi anggota PBB sahaja. Hal ini menjadikan negara-negara yang tidak menjadi negara anggota tersingkir dan tidak mampu memberikan sebarang pengaruh. Fenomena ini pernah dialami oleh Rusia pasca Perang Dunia I dan Sepanyol pasca Perang Dunia II.

2. Mengukuhkan kedudukan PBB sebagai organisasi internasional yang mempunyai kuasa untuk merumuskan undang-undang yang menjadi sumber undang-undang antarabangsa.

Dengan mengeksploitasi sifat 'keantarabangsaannya' PBB dan badan-badan yang berada di bawahnya seperti WB, IMF, UNCR, UNESCO, WHO, ICJ dan lain-lain, dapat meletakkan dirinya sebagai badan yang berkuasa mengeluarkan peraturan, undang-undang, keputusan, piagam, resolusi atau apapun yang dilabelkan sebagai ketetapan masyarakat antarabangsa. Hakikatnya, ketetapan-ketetapan ini rata-rata menguntungkan AS dalam menyebarluaskan lagi ideologi kufur mereka. Segala peraturan, undang-undang, piagam, resolusi dan yang lain-lainnya bukanlah bersifat universal sebagaimana yang mereka laung-laungkan. Akan tetapi ianya rata-rata merupakan produk ideologi Kapitalisme-Demokrasi semata-mata yang tidak lain hanyalah bertujuan untuk meng'kapitalisme'kan dan men'demokrasi'kan semua manusia di dunia (terutamanya dunia Islam) agar mengikut telunjuk AS dalam segenap aspek kehidupan!! Inilah kehendak AS.

3. Memberikan kuasa yang luas kepada Majlis Keselamatan (Security Council).

Majlis yang bertugas menjaga agar tidak berlaku peperangan di antara negara ini berkuasa memberikan keputusan bahkan tindakan apa pun terhadap sebuah negara yang menurutnya layak menerima hukuman. Melalui dominasinya di dalam Majlis Keselamatan ini, AS dapat memaksakan keinginannya dan mengambil segala tindakan atas negara-negara yang dianggap membahayakan kepentingannya. Sebagai contohnya, 'penaklukan' ke atas Kuwait oleh Iraq pada tahun 1990. Akibat kejadian ini, Majlis Keselamatan telah mengeluarkan resolusi 678 yang isi kandungannya memberikan kuasa kepada Amerika dan sekutunya untuk menggunakan apa jua cara bagi mengeluarkan Iraq dari Kuwait. Namun anehnya, sikap yang serupa tidak dilakukan oleh PBB terhadap Israel yang jelas-jelas merampas tanah umat Islam di Palestin. Umat Islam malah dibiarkan dibunuh dengan kejam dan diusir dari rumah-rumah mereka untuk memberi penempatan kepada Yahudi. PBB sebaliknya mengeluarkan resolusi 242 dan 381 yang mengakui sahnya kewujudan negara Zionis Israel la'natullah itu. Si Yahudi terus-terusan membunuh umat Islam dan melebarluaskan lagi tanah jajahannya sehingga sekarang, tetapi PBB tidak pernah sekalipun mengeluarkan resolusi walau untuk sekadar 'mengutuk' tindakan jahat Israel ini. Inilah PBB yang merupakan 'harapan agung' pemimpin umat Islam hari ini yang akan 'menyelamatkan' umat Islam dari terus dibunuh oleh Israel!

4. Membuka kesempatan yang seluas-luasnya bagi negara-negara di dunia untuk menjadi negara anggota.

Dengan semakin banyaknya negara anggota PBB maka kedudukannya sebagai organisasi dunia semakin kukuh. Keadaan ini akan memperkuatkan kewibawaan dan pengaruh PBB di pentas politik antarabangsa, sekaligus mengukuhkan hegemoni AS ke atas dunia. Keterlibatan, kepercayaan dan kesetiaan negara-negara anggota kepada badan dunia ini akan mempermudah dan memperlancarkan segala aktiviti AS menakluki dunia.

5. Mengadakan Persidangan Antarabangsa di dalam berbagai bidang.

Di atas nama PBB, AS menaja berbagai-bagai persidangan peringkat antarabangsa untuk mempropagandakan idea dan pemikiran-pemikiran kufur mereka. Sebagai contoh pada tahun 1994 di Cairo Mesir telah diadakan Persidangan Antarabangsa Kependudukan Dan Pembangunan (International Conference On Population and Development). Persidangan yang dianjurkan oleh PBB ini hampir sepenuhnya dibiayai oleh AS, bertujuan untuk mendapatkan persetujuan masyarakat antarabangsa bagi program tindakan 20 tahun yang akan datang bagi mengawal jumlah kelahiran penduduk dunia. Dalam draf plan tindakannya setebal 113 mukasurat terdapat beberapa usulan untuk mencegah kelahiran penduduk dunia di antaranya ialah membenarkan pengguguran, homoseksual dan seks luar nikah. Inilah di antara contoh bagaimana AS cuba menerapkan pemikiran/nilai mereka kepada dunia umat Islam. Banyak lagi persidangan seumpama ini yang tak putus-putus di adakan atas nama Hak Asasi Manusia dan sebagainya yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Wahai kaum Muslimin!
Setelah melihat apa yang berlaku, apakah kita masih mengharapkan PBB dapat menyelesaikan persoalan kita. Apakah kalian lupa bahawa PBB hanya sekadar menyaksikan pembunuhan saudara-saudara kita di Shabra dan Shatilla, juga pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Jenin oleh Yahudi la'natullah? Apakah kalian telah lupa dengan apa yang berlaku kepada umat Islam di Bosnia ketika mereka dihabisi oleh pengganas Serbia? Apakah kalian sudah melupakan nasib saudara kita yang terus dibunuh di bumi Iraq oleh syaitan besar Amerika la'natullah? Apakah kalian tidak menyaksikan apa yang sekarang ini berlaku di Lebanon? Apakah yang telah dilakukan oleh PBB??? Masihkah kalian mengharapkannya? Belum sedarkah kalian bahawa PBB adalah satu badan yang diwujudkan bukan untuk menyelamatkan umat Islam, malah untuk menghancurkan agama Allah dan umat Muhammad. Adakah kalian mengharapkan musuh Allah untuk menyelamatkan kita kaum Muslimin? Ingatlah wahai kaum Muslimin, inilah organisasi yang telah banyak bertanggungjawab ke atas berbagai musibah dan bencana yang menimpa umat Islam!!

Sikap Kita Terhadap PBB

Bagaimana pandangan Islam terhadap kewujudan PBB dan hukum bergabung dengannya? Perkara ini adalah penting untuk diketahui oleh umat Islam agar mereka dapat mengambil sikap yang benar sesuai dengan ketentuan hukum syara'. Ditinjau dari segi asasnya, jelas PBB berdiri di atas asas yang bertentangan dengan hukum Islam. Pertubuhan ini didirikan di atas ideologi kufur Barat. Ideologi inilah yang dijadikan sebagai asas dalam pembentukan berbagai peraturan yang selanjutnya dinamakan sebagai Undang-undang Antarabangsa. Hukum kufur inilah yang digunapakai untuk mengatur hubungan di antara semua bangsa-bangsa di dunia ini. Ideologi kufur Barat ini pulalah yang dijadikan sebagai landasan di dalam menyusun berbagai piagam dan deklarasi. Apa yang dinamakan Deklarasi Universal Hak-Hak Asasi Manusia contohnya adalah natijah dari nilai-nilai kufur tersebut. Atas dasar inilah keberadaan PBB adalah haram. Bergabung dengannya, menjadi anggotanya juga adalah haram. Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya mewajibkan umat Islam untuk berhukum hanya kepada syariatNya semata-mata dan mengharamkan mereka untuk berhukum kepada thaghut. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: "Apakah engkau tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada engkau dan apa yang telah diturunkan sebelum engkau? Mereka hendak berhukum kepada thaghut padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari thaghut itu. Syaitan itu bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya" [TMQ an-Nisa'(4):60].

Selain dari itu, ditinjau dari segi peranannya, PBB adalah tidak lebih dari sekadar alat bagi negara kafir Barat khususnya AS untuk mengukuhkan penjajahannya terutamanya ke atas negeri-negeri kaum Muslimim. Organisasi ini telah terbukti menjadi alat yang cukup efektif bagi orang-orang kafir untuk terus menguasai umat Islam. Atas dasar ini bergabungnya negeri kaum Muslimin dengan PBB telah membuka jalan dan kesempatan bagi musuh-musuh umat Islam untuk menguasai mereka. Inilah apa yang berlaku sekarang di mana keseluruhan negeri kaum Muslimin sedang tunduk kepada badan kufur ini. Tindakan ini adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Firman Alllah Subhanahu wa Ta'ala: "Allah tidak sekali-kali memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman" [TMQ an-Nisa'(4):141].

Jelaslah jika ditinjau dari sudut mana sekalipun keberadaan PBB adalah haram dan menjadi anggotanya adalah haram. Adalah suatu kemungkaran yang besar di mana para penguasa kaum Muslimin bergabung dan berhukum dengan apa-apa sahaja yang datang dari PBB. Dengan melihat kepada semua ini, maka umat Islam perlu menyedari bahawa satu-satunya tindakan yang dibenarkan oleh syara' terhadap PBB ialah negeri-negeri kaum Muslimin wajib keluar darinya dan satu-satunya wadah yang wajib dijadikan oleh kaum Muslimin untuk mengikat dan mempersatukan negeri-negeri mereka adalah dengan bersatu di bawah Daulah Khilafah bukannya di bawah naungan PBB. Yakin dan percayalah wahai seluruh kaum Muslimin, hanya Daulah Khilafah sahajalah yang akan dapat membebaskan kalian semua dari terus menjadi mangsa kekejaman dan kebiadaban kuffar Barat. Negeri-negeri kaum Muslimin wajib bersatu di bawah naungan Daulah Khilafah yang akan menjadi penyelamat kita semua. Wahai para pemimpin kaum Muslimin! Apakah cahaya PBB yang kalian cari, bukannya cahaya Ilahi? Ingatlah, bahawa sesungguhnya segala kemuliaan dan kekuatan itu adalah milik Allah dan RasulNya dan juga seluruh kaum Muslimin, bukannya milik PBB sebagaimana yang kalian harap-harapkan.

Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR