ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PSEDUO SCIENCE DALAM KAJIAN SOLAT



PSEDUO SCIENCE DALAM KAJIAN SOLAT


Baru-baru ini suatu kajian telah dicadangkan untuk mengkaji kesan solat ke atas tubuh badan dan kesihatan individu muslim yang mengerjakannya. Ianya akan dilakukan oleh Jabatan Bioperubatan Universiti Malaya. Kajian tersebut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Daripada kajian awal, dikatakan bahawa pergerakan yang dilakukan di dalam solat itu dapat memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang. Bahkan, apabila kajian itu siap, ia dikatakan mampu untuk menjadi kaedah berdakwah yang berkesan dalam mendidik umat Islam mengenai perlaksanaan tiang kedua rukun Islam ini. Datuk Seri Abdullah juga berharap agar kajian itu akan dapat mendedahkan kesan biologi dan perubatan di samping kesan-kesan kerohanian daripadanya [UM 13/12/06].




Berita seumpama ini bukanlah suatu yang baru atau suatu berita yang menggemparkan. Kita sering mendengar tentang kajian saintifik yang dilakukan ke atas orang yang berpuasa dan segala kebaikan yang diperolehi dari amalan tersebut.
Para ulama dan cendekiawan kita juga tak pernah habis membincangkan tentang penemuan saintifik sejenis kuman atau virus yang terdapat pada babi. Begitulah perbincangan demi perbincangan dilakukan ke atas beberapa amalan ibadat tertentu untuk digali segala kebaikan saintifik darinya untuk dibuat kesimpulan seperti, ”Lihat! Inilah kebaikan-kebaikan yang ada di dalam ibadat ini dan itu, sebab itulah Allah memerintahkannya.” atau kesimpulan lain seperti, ”Inilah hikmah kenapa Allah mewajibkan atau mengharamkan perkara ini”. Sautun Nahdhah kali ini akan mengajak pembaca untuk menilai kembali akan kebenaran pernyataan-pernyataan di atas agar kita tidak terjerumus melakukan perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.




BARAT DAN KAEDAH SAINTIFIK




Sejak kekalahan di dalam Perang Salib, orang-orang Barat mula melancarkan serangan-serangan pemikiran terhadap Islam. Serangan ini dilancarkan dengan agak kencang setelah Eropah melalui zaman pencerahan (Rennaisance). Barat mula menyerang aqidah umat Islam dan juga hukum syara’ dengan membangkitkan segala isu yang boleh menimbulkan keraguan pada kaum Muslimin. Mereka menyerang Islam dengan mengatakan Islam itu berkembang dengan mata pedang. Mereka mengatakan jihad adalah satu perbuatan yang kejam, ganas, brutal dan sebagainya. Barat menyerang poligami dengan mengatakan tindakan ini adalah satu bentuk penghinaan ke atas wanita dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Mereka juga menyerang kaum Muslimin yang kuat berpegang pada Islam dengan menyatakan bahawa golongan ini adalah fundamentalis dan ekstrem. Siapa sahaja yang berpegang kepada agama dianggap fanatik dan golongan yang merbahaya. Barat juga menyerang Sistem Khilafah dengan mengatakan bahawa ini adalah suatu kezaliman kerana kuasa hanya dipegang oleh seorang pemimpin. Maka Khalifah digambarkan sebagai seburuk-buruk pemimpin yang diktator, gila kuasa, kaki perempuan dan bermacam-macam lagi.




Serangan-serangan sebegini menyebabkan umat Islam merasa mereka perlu ’membela diri’. Perasaan inilah yang telah menyebabkan umat Islam terperangkap di dalam jerat Barat. Oleh itu, mereka mula menjawab segala tuduhan, seolah-olah mereka berada di pihak yang salah dengan agama yang salah. Umat Islam lalu menyatakan bahawa mereka bukanlah golongan yang fanatik kepada agama, bukan golongan yang suka berperang dan peperangan bukanlah suatu tuntutan agama. Mereka menjawab bahawa “Jihad itu adalah sebagai tindakan mempertahankan diri, poligami itu hanya dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat yang ketat, otoriti pemerintahan Islam bukanlah dari Khalifah, tetapi Islam mengambil pendapat majoriti (Demokrasi) di dalam sistem pemerintahan.” Pelbagai lagi jawapan yang diberikan yang timbul dari perasaan bersalah. Inilah sebahagian daripada bentuk jawapan-jawapan yang dikatakan bersifat apologetik (membela diri kerana bersalah).




Sebenarnya inilah method yang digunakan oleh cendekiawan Barat semasa mereka menyerang dogma-dogma gereja di dalam perjuangan mereka untuk memisahkan agama/gereja dari kehidupan. Apologetic merujuk kepada sikap dan cara para paderi Kristian berhujah ketika berhadapan dengan golongan intelektual mereka yang terdiri daripada ahli-ahli falsafah rasionalis menjelang zaman kebangkitan Eropah (Zaman Renaissance). Mereka betul-betul menyerang gereja dengan meletakkan segala kesalahan, kelemahan dan kemunduran sebagai berpunca dari gereja. Gereja waktu itu amat sceptical (mempersoalkan/curiga) terhadap sains, ditambah dengan sikap paderi yang tidak faham dan memusuhi sains, lalu masyarakat mula mempertikaikan ajaran gereja. Dengan kemunculan sekumpulan cerdik pandai dan bukti-bukti saintifik yang mereka temui pada waktu itu serta serangan pemikiran yang berterusan ke atas pihak gereja, lalu mereka berjaya meruntuhkan institusi gereja sebagai sebuah pemerintahan.




APA YANG TAK KENA?




Jika dulu umat Islam tenggelam di dalam perbincangan falsafah, kerana telah terpengaruh dengan kaedah berfikir Yunani, sekarang, kehidupan banyak dipengaruhi oleh kemajuan sains dan teknologi. Maka kaedah saintifik telah dijadikan asas berfikir dan mula menjadi popular di dalam membahaskan banyak perkara. Cukup menyedihkan, cakupan perbahasan telah merambah ke dalam hukum syara’. Persoalannya di sini adalah, adakah Islam memerintahkan hukum syara’ dikaji atau dibenarkan secara saintifik untuk membongkar persoalan di sebalik perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala, walaupun sekadar mencari kepentingannya kepada manusia sejagat?




Tidak berapa lama dulu seorang Professor di dalam bidang Fizik di Amerika Syarikat menyatakan bahawa, berdasarkan Teori Fizik, terdapat pertukaran di antara cas-cas yang wujud di antara individu jemaah di dalam saf solat. Pertukaran ini berpunca daripada ketidakseimbangan jumlah cas di dalam tubuh seseorang setelah menjalankan aktiviti seharian. Ia dikatakan menyebabkan seseorang itu merasa letih dan lesu. Dengan melakukan sembahyang berjemaah sambil merapatkan bahu, cas-cas pada para jemaah akan dapat bergerak dan saling bertukar, seterusnya dapat mengimbangi semula jumlah cas di kalangan mereka yang berada di dalam saf. Keseimbangan cas ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi ‘segar’ semula. Sebagai seorang Islam, secara emosinya kita akan cenderung untuk membenarkan fakta ini dan merasa ‘bangga’ dengan perkara-perkara sebegini. Kalau boleh ingin disampaikan kepada semua orang akan penemuan baru ini. Tetapi, tidak inginkah kita bertanya kepada diri kita dengan lebih lanjut tentang apakah alat yang digunakan untuk mengukur cas-cas tersebut, bagaimanakah eksperimen itu dilakukan? Kenapa pula ada di kalangan umat Islam yang sentiasa cergas, walaupun jarang atau tidak pernah berjemaah, malah orang kafir yang tidak pernah solat berjemaah pun ramai yang ‘segar’? Kenapa pula ada yang sering berjemaah tetapi selalu sakit atau tidak ‘segar’? Tidakkah kita terfikir bahawa orang yang berjemaah boleh menjadi semakin lemah, bukannya semakin segar kerana boleh dikatakan majoriti jemaah bersembahyang di dalam keadaan ‘letih’ kerana kepenatan melakukan aktiviti harian, jadi yang saling bertukar antara para jemaah adalah adalah ‘cas-cas letih’ sahaja. Tambah mendukacitakan, pak imam tentunya akan terus lesu dan lesu kerana beliau tidak berlaga bahu dengan sesiapa. Tidak ada cas yang dapat diseimbangkan di dalam tubuhnya.




Dahulu di jumpai cacing pita di dalam babi, kemudian dijumpai pula virus JE. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh. Di dalam perkembangan lain, dengan kepesatan kemajuan teknologi mikroskop dan ilmu perubatan moden, saintis telah dapat membuktikan bahawa daging babi mengandungi kuman dan virus yang berbahaya kepada manusia. Ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Dr Yoshihiro Kawaoka, dari Universiti
Wisconsin. Di dalam penemuan yang diterbitkan di dalam salah satu jurnal perubatan pada tahun 1997, ia membuktikan bahawa pada kerongkong haiwan tersebut, ada sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman dan virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Saintis-saintis menganggap babi sebagai mixing vessel atau 'tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya'. [The Detroit News, Scientists Discover the Infection Route Between Bird Virus and Pigs, Robert Cooke, Okt 20,1997]. Lalu, sebahagian daripada cendekiawan Islam membuat kesimpulan bahawa itulah jawapan kepada persoalan mengapa Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkan babi.




Islam tidak menolak sains. Benar, kita pun tidak boleh menolak sains, tetapi persoalan di sini ialah, apakah kita perlu dan kita diperintahkan mencari jawapan saintifik untuk segala hal, atau ha-hal tertentu sahaja? Siapakah yang berhak menentukannya? Bagaimana pula hukum-hukum Islam yang lain yang banyak terdapat di dalam Al-Quran atau Hadis? Bagaimana pula penjelasan saintifik tentang hukum muamalat seperti jual-beli, sewa, hutang dan lain-lain? Bagaimana pula dengan hukum uqubat seperti bunuh, potong tangan, sebat dan lain-lain? Kenapakah tangan kanan yang dipotong, tidak kiri? Kenapa pula pergelangan tangan, tidak keseluruhan lengan? Apakah ada penjelasan saintifik kenapa zakat unta dan kambing/biri-biri diwajibkan, tetapi tidak ayam atau itik? Jika wudhu’ dikatakan untuk mensucikan diri, kenapa pula Allah mewajibkan tayammum bila tidak ada air? Apakah perlu dicari penjelasan saintifik mengenainya? Jika babi dikatakan haram kerana penemuan saintifik membuktikan adanya virus yang merbahaya, adakah babi akan menjadi halal jika ada kaedah yang dapat menghapuskan virus-virus tersebut? Kenapa pula virus yang ada pada babi tidak membunuh atau menyebabkan orang-orang yang memakannya jatuh sakit? Apakah segala hukum Allah ini perlu dibongkar secara saintifik? Tidakkah kita terfikir bahawa dahulu, para imam mazhab dan ulama muktabar tidak pernah membincangkan tentang aspek saintifik dalam ibadat ini, namun Islam tetap maju dan jauh mendahului bangsa-bangsa lain dalam apa jua bidang. Jadi, persoalannya sekarang, perlukah kita mencari jawapan saintifik untuk masalah solat untuk kita menjadi maju?




Kedudukan Illat Dan
Al-Hasan Wa Al-Qabih




Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa setiap hukum Allah itu pasti ada maslahat (kebaikan)nya. Tetapi di dalam masa yang sama kita tidak boleh menyatakan bahawa Allah mewajibkan sesuatu hukum itu berdasarkan maslahat. Kita juga boleh memperkatakan tentang ‘kebaikan’ dari setiap hukum (mengikut ukuran manusia), tetapi kita tidak boleh menyatakan bahawa “hukum ini diwajibkan kerana ini” atau kita membuat kesimpulan sendiri seperti “inilah sebabnya Allah mewajibkan hukum ini” atau “maka terjawablah persoalan kenapa Allah mengharamkan ini” atau ucapan-ucapan seumpamanya. Persoalan-persoalan sebegini di dalam ilmu usul fiqh adalah termasuk di bawah perbincangan tentang illat. Illat adalah suatu yang kerana (keberadaan)nya, adanya hukum. Dengan kata lain, illat adalah perkara yang memunculkan hukum, yakni tasyri’ (pensyari’atan suatu hukum). Jadi hukum itu disyari’atkan kerana adanya illat. Illat adalah dalil, tanda dan yang memberitahu (adanya) hukum. Illatlah yang membangkitkan hukum. Ia haruslah dibezakan dengan sabab dan hikmah, yang memiliki pengertiannya masing-masing. [Syeikh Atha’ Bin Khalil, Taisir al-wusul ila al-usul]





Hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan ibadah, akhlaq, makanan dan pakaian tidak boleh dikaitkan dengan illat secara mutlak. Sebab hukum-hukum sebegini tidak mengandung illat. Hukum seperti ini diambil sesuai dengan apa yang terdapat dalam nash sahaja, tanpa dikaitkan sama sekali dengan illat, seperti halnya solat, puasa, haji, zakat, tatacara mengerjakan solat, bilangan raka'at solat, manasik haji, nisab-nisab zakat dan yang sejenisnya, diambil secara tauqifi (sebagaimana adanya), dan diterima dengan penuh pasrah tanpa melihat segi illatnya. Bahkan, tidak boleh mencari-cari illatnya. Begitu pula pengharaman memakan bangkai, daging babi, dan yang sejenisnya, sekali-kali tidak dicari-cari illatnya. Bahkan termasuk suatu kesalahan yang cukup berbahaya, apabila mencari illat bagi hukum-hukum tadi. Sebab, apabila ada usaha untuk mencari illat bagi suatu hukum terhadap perkara-perkara tersebut akan membawa kepada konsekuensi bahawa apabila hilang illatnya, hukumnyapun akan hilang, sebab kaedah syara’ menyatakan’




("illat itu senantiasa mengikuti ma'lulnya, ada atau tidaknya.")




Seandainya illat wudlu itu kebersihan, illat solat adalah senaman atau kesihatan, illat puasa itu kesihatan dan seterusnya, maka tentu hal ini akan mengakibatkan bahawa disaat tidak didapati illatnya maka tidak akan didapati hukumnya. Kerana itu, mencari-cari illat dalam masalah ini akan membahayakan eksistensi hukum dan pelaksanaannya. Maka hukum-hukum ibadat wajib diterima sebagaimana adanya tanpa mencari-cari illatnya. [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Mafahim Hizbut Tahrir].




Sikap untuk menjadikan sains sebagai tolok ukur untuk mengatakan bahawa perbuatan solat baik dari segi aspek sains memberikan kesan bermanfaat ke atas jantung, tulang belakang dan keupayaan ingatan serta perhatian seseorang adalah bertolak dari pemahaman yang salah tentang mensifati sesuatu ibadah. Sebenarnya tindakan untuk merasionalkan ajaran Islam ini telah berlaku sejak lama dulu. Perbincangan tentang perkara ini telah menjadi satu maudhuk (subjek) yang tersendiri semasa berlaku pertembungan pemikiran Islam dan pemikiran falsafah. Contohnya di dalam perbincangan al-hassan wa al-qabih (terpuji dan tercela), golongan Muktazilah
cuba merasionalkan setiap hukum-hakam Islam yang ada pada masa itu dengan akal, dengan menggunakan ilmu logik (mantik) iaitu ilmu yang dominan pada masa itu. Seiring dengan peredaran zaman, Kaedah Empirik kemudiannya telah menjadi satu cabang ilmu sains yang sangat dominan di persada intelektual. Hasilnya, umat Islam sekali lagi cuba merasionalkan hukum-hakam Islam, dengan tolok ukur baru, yakni ilmu sains empirik. Tujuannya tetap sama iaitu untuk merasionalkan hukum ibadah, cuma tekniknya yang berbeza.




Jika kita kaji secara teliti, ada 4 sumber utama yang dijadikan hujah oleh manusia untuk menentukan samada perbuatan itu terpuji atau tercela,

(i) Aqal semata-mata,

(ii) Syara’ yang dijustifikasi dengan aqal

(iii) Aqal yang dijustifikasi dengan syara’

(iv) Syara’ semata-mata.




Golongan Islam Liberal yang menganut pemikiran bebas sering menjadikan aqal sebagai satu sandaran untuk membebaskan diri dari nas-nas syara’, seperti menyerang idea pembahagian harta warisan mengikut syara’, mengharamkan poligami, menafikan hukum hudud dan sebagainya. Mereka menggunakan aqal mereka untuk memansukhkan hukum syara’. Mereka mendakwa bahawa hukum-hakam syara’ hanya sesuai dengan zaman tersebut sahaja. Mereka menjadikan aqal semata-mata untuk menilai buruk dan baiknya sesuatu perbuatan tersebut.




Akibat perkembangan sains dan teknologi, umat Islam melihat bahawa mereka perlu menyesuaikan hukum-hakam Islam dengan sains. Mereka merasa perlu untuk membincangkan kenapa daging babi diharamkan dari segi kesihatan dan saintifik. Mereka juga ‘ghairah’ dengan penemuan baru bahawa sujud dalam solat akan menyebabkan darah mengalir dengan baik, dapat membekalkan oksigen ke bahagian saraf dalam otak yang tidak mendapat oksigen. Walhal mereka sendiri gagal menunjukkan kajian saintifik yang sah, gagal menerangkan bahagian otak yang mana, tetapi yang ada hanyalah sebuah hipotesis yang gagal dibuktikan oleh kaedah saintifik itu sendiri. Golongan ini sebenarnya adalah golongan yang meletakkan aqal di atas hukum Allah, menjadikan hukum Allah itu perlu disokong oleh aqal.




Sedangkan aliran pemikiran yang ketiga adalah golongan yang menjadikan aqal sebagai penentu baik dan buruk, kemudian mereka menjadikan nas syara’ sebagai hujah dari aqal mereka ini. Contoh yang dapat kita lihat adalah golongan yang melihat bahawa poligami adalah tidak baik dari segi akal mereka, lantas mereka mencari-cari dalil untuk menyesuaikan dengan kehendak aqal dan hawa mereka. Sebagaimana Sisters In Islam (SIS) pernah menggunakan Hadis Riwayat Ibn Majah yang merupakan teguran Rasulullah saw terhadap Ali karamallahuwajhu, semasa ingin memadukan Fatimah (ra), sebagai hujah Rasulullah tidak menggalakkan poligami. Pendapat ini lahir semata-mata kerana mereka menilai poligami berasaskan pemikiran Barat. Mereka kemudian mencari-cari nas untuk membenarkan pendapat mereka walhal penafsiran mereka sebenarnya jauh menyimpang dari kebenaran. Inilah golongan yang menjadikan hukum syara’ sebagai pendokong hujah aqal mereka.




Untuk meluruskan pandangan seperti ini, perlu dijelaskan bahawa suatu perbuatan itu tidak boleh dipandang baik dan buruk menurut apa yang kita benci ataupun suka, mendatangkan manfaat kepada kita ataupun mudharat. Tolok ukur baik atau buruk hendaklah dikembalikan kepada syara’ sahaja, iaitu kepada Pembuat Hukum itu semata-mata, yakni Allah swt. Hanya dengan ini, barulah kita akan kembali kepada kebenaran. Dalam aspek hukum syara’, aqal mestilah digunakan untuk memahami perintah Allah, bukannya alat untuk menghakimi perintah Allah.




KHATIMAH




Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengajak kalian merenungi kata-kata Maryam Jameelah (seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) di dalam
surat yang dikirim beliau kepada ibubapanya, “Ayah, anda telah mengulangi beberapa kali bahawa anda tidak boleh menerima mana-mana agama tradisi kerana anda yakin bahawa teologi bertentangan dengan sains moden. Sains dan teknologi sebenarnya telah memberi banyak maklumat kepada kita tentang alam nyata, menyediakan kesenangan dan keselesaan yang tidak pernah ditemui sebelum ini, meningkatkan kecekapan dan menemukan ubat-ubatan bagi banyak jenis penyakit yang biasanya boleh membawa maut. Namun, sains tidak pernah dan tidak akan pernah dapat mengajar kita tentang makna (hakikat) kehidupan dan kematian. Sains memberitahu kita ‘bagaimana’ tetapi tidak pernah dapat menjawab persoalan ‘kenapa’. Pernahkah sains mampu memberitahu kita apa yang betul dan apa yang salah? Apakah yang dikatakan baik (khair) dan apakah yang dikatakan buruk (syar)? Apakah yang terpuji (hasan) dan apakah yang tercela (qabih)? Kepada siapakah kita bertanggungjawab dengan apa yang kita buat? Hanya agamalah yang dapat mengajar semua ini.” [http://www.geocities.com/embracing_islam/mjletter.htm]




Itulah kefahaman bekas pengikut Zionis yang telah memeluk Islam, tentang sains dan agama. Beliau telah membuat perbezaan yang jelas dengan bahasa yang padat dan tepat untuk menggambarkan bahawa sains langsung tidak bernilai dipandang dari aspek keperluan manusia kepada agama. Contohnya, sains boleh menerangkan ‘bagaimana’ manusia dijadikan, tetapi sains tidak akan dapat menjawab persoalan ‘kenapa’ manusia dijadikan. Sains juga dapat menerangkan ‘bagaimana’ solat boleh menyihatkan badan tetapi sains tidak akan dapat menjawab ‘kenapa’ manusia solat. Memandangkan Allahlah yang menjadikan manusia dan Allahlah yang mewajibkan solat, maka hanya Allah sahajalah yang dapat menjawab persoalan ‘kenapa’ Dia berbuat demikian.




Wahai kaum Muslimin! Islam adalah agama yang benar dan setiap hukumnya adalah hukum yang benar. Semuanya berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita kaum Muslimin bukanlah pihak yang bersalah dan tidak perlu membela diri dengan pelbagai tuduhan. Kita tidak perlu terjebak dengan sikap apologetic seperti yang dialami oleh pendeta-pendeta gereja suatu ketika dahulu di mana mereka terpaksa mencari-cari bukti dan hujah tentang kebenaran gereja untuk menaikkan semula imej gereja yang sememangnya rosak.




Wahai kaum Muslimin! Apakah kita ingin disibukkan dengan kajian-kajian saintifik yang tidak ada perintah Allah ke atasnya? Apakah kita akan berbangga dengan pseudo sains ini, yang hanyalah merupakan sebuah hipotesis saintifik? Kenapakah kita tidak melakukan kajian tentang segala kekejaman dan kezaliman yang berlaku hasil tidak diterapkan hukum Allah di dalam kehidupan? Kenapakah kita tidak menyibukkan diri dengan usaha-usaha untuk menegakkan hukum Allah, tetapi sanggup menyibukkan diri dengan melakukan kajian yang tidak dituntut oleh syara’. Sesungguhnya penemuan-penemuan saintifik berkenaan kesan solat ke atas kesihatan tubuh badan tidak akan menjadikan manusia itu lebih mulia di sisi Allah, kerana yang dituntut oleh Islam adalah mendirikan solat itu sendiri, bukan mengkaji kesannya. Juga, yang dituntut oleh Islam adalah terlaksananya sistem uqubat bagi menghukum orang-orang yang meninggalkan solat. Inilah kewajipan bagi seluruh kaum Muslimin, yakni mendirikan sebuah Daulah Khilafah Islamiyyah yang bukan sahaja akan menghukum orang-orang yang meninggalkan solat, malah yang akan menegakkan keseluruhan hukum-hukum agama ini. Apa guna kita berusaha bersungguh-sungguh mengkaji suatu perkara yang Allah tidak perintahkan, sedangkan dalam masa yang sama kita meninggalkan banyak kewajipan yang lain.



Wallahua'lam

DAKWAH HIZBUT TAHRIR


DAKWAH HIZBUT TAHRIR



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, penghulu segala Nabi dan pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa, juga ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda.


Kaum Muslimin yang dimuliakan! Kali ini genaplah siri ke-100 nasyrah Sautun Nahdhah (Suara Kebangkitan) keluaran Hizbut Tahrir Malaysia. Kami bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah izinNya, kami masih dapat meneruskan usaha dakwah ini. Kami sentiasa berdoa kepada Zat Yang Maha Kuasa agar kami sentiasa istiqamah di dalam perjuangan menegakkan agamaNya ini dan jika ada halangan-halangan yang melanda, maka kepadaNya jualah kami memohon agar dihapuskan segala halangan tersebut. Tiada apa yang kami harapkan dengan penulisan dan usaha dakwah ini kecuali untuk meraih redha dan syurgaNya. Bersempena keluaran ke-100 SN kali ini, kami ingin memaparkan sedikit penjelasan tentang dakwah Hizbut Tahrir agar bergembiralah golongan yang inginkan kebaikan, lembutlah hati orang-orang yang keras memfitnah sesama Islam dan gentarlah jantung orang-orang yang memusuhi Islam. Jika pun selepas ini keluaran Sautun Nahdhah akan terhenti atas apa sebab sekalipun, kami akan teruskan doa kepada Allah agar sentiasa ada di luar sana hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas, yang akan meneruskan perjuangan ini, yang tidak takut kecuali kepada Allah semata, yang akan berusaha siang dan malam untuk memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini.


LATAR BELAKANG BERDIRINYA HIZBUT TAHRIR


Di sini kami hanya akan menjelaskan serba sedikit sahaja tentang Hizbut Tahrir kerana bukanlah niat kami untuk mempromosikan HT. Para pembaca boleh membacanya dengan lebih terperinci di dalam laman web rasmi kami (www.mykhilafah.com) ataupun lain-lain laman web rasmi HT di seluruh dunia. Selain penerangan di laman web, Hizbut Tahrir Pusat ada mengeluarkan sebuah buku khusus yang bertajuk ”Hizbut Tahrir” (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia) yang boleh didapati di mana-mana kedai buku, khususnya di Lembah Kelang. Bagi yang masih inginkan penjelasan, bolehlah berjumpa terus dengan anggota-anggota kami yang boleh ditemui dengan mudah di seluruh Malaysia dan juga lain-lain negara di mana Hizbut Tahrir bergerak di dalamnya.


Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang berideologi Islam. Politik merupakan kegiatannya, dan Islam adalah ideologinya. Hizbut Tahrir bergerak di tengah-tengah umat, dan bersama-sama mereka berjuang untuk menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya, serta membimbing mereka untuk mendirikan kembali Daulah Khilafah dan menegakkan hukum yang diturunkan Allah di dalam realiti kehidupan. Hizbut Tahrir didirikan di dalam rangka memenuhi seruan Allah Subhanahu wa Ta’ala:


"(Dan) hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (jamaah) yang menyeru kepada kebaikan (Islam), memerintahkan kepada yang ma'ruf dan melarang dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung." [TMQ Ali Imran (3):104].


Hizbut Tahrir berjuang untuk membangkitkan kembali umat Islam dari kemerosotan yang amat parah, membebaskan umat dari idea-idea, undang-undang dan hukum-hukum kufur, serta membebaskan mereka dari cengkaman dominasi dan pengaruh negara-negara kafir. Hizbut Tahrir juga berjuang untuk membangun kembali Daulah Khilafah Islamiyyah di muka bumi, sehingga hukum yang diturunkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dapat dilaksanakan kembali.


KEMBALI KEPADA ISLAM DENGAN JALAN MENEGAKKAN KHILAFAH


Ada segelintir yang masih keliru dengan perjuangan Hizbut Tahrir beranggapan bahawa tujuan (ghayah) Hizbut Tahrir adalah untuk menegakkan Khilafah. Di sini kami ingin menjelaskan bahawa tujuan Hizbut Tahrir adalah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam (isti’naf al-hayah al-Islamiyyah), memikul dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia dan memimpin serta mengawal pemikiran dan perasaan masyarakat. Kita semua maklum bahawa hukum Islam telah ditinggalkan oleh umat Islam, samada secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Oleh itu, di dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir menyeru agar umat Islam (termasuk pemimpin mereka) agar kembali menerapkan Islam di dalam kehidupan. Tujuan ini bererti mengajak kaum Muslimin kembali hidup secara Islami di dalam semua aspek. Seluruh kegiatan kehidupan hendaklah diatur sesuai dengan hukum-hukum syara' dan pandangan hidup yang wajib dijadikan pegangan adalah halal dan haram.


Di samping itu, ghayah Hizbut Tahrir juga adalah untuk membangkitkan kembali umat Islam dengan kebangkitan yang benar, melalui cara berfikir yang cemerlang. Hizbut Tahrir berusaha untuk mengembalikan posisi umat ke masa kejayaan dan keemasannya seperti dahulu, di mana umat Islam merupakan umat yang sangat maju, dengan pemikiran yang sangat tinggi. Hizbut Tahrir juga berusaha untuk mengembalikan umat Islam sehingga dapat mengambil alih kendali negara-negara dan bangsa-bangsa di dunia ini, dan Negara Khilafah akan kembali menjadi negara superpower di dunia (sebagaimana pada masa silam) serta memimpin dunia sesuai dengan hukum-hukum Islam sehingga Islam dapat menyelimuti bumi.


Adapun thariqah (metod) Hizbut Tahrir dalam rangka merealisasikan tujuan (ghayah) di atas adalah dengan menegakkan Daulah Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan dibai’ah oleh umat Islam untuk memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Hizbut Tahrir yakin bahawa hanya dengan tertegaknya Daulah Khilafah, barulah keseluruhan hukum Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya. Khalifahlah nanti yang akan menyelamatkan umat ini dari segala penderitaan dan kesengsaraan, menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia, mengisytiharkan jihad ke atas musuh-musuh Islam dan menghancurkan segala kezaliman. Khalifah jualah yang seterusnya akan menzahirkan Deen Allah ini di atas segala deen yang lain, sekaligus membawa rahmat ke seluruh alam.


PERJUANGAN HIZBUT TAHRIR DI SELURUH DUNIA


Hizbut Tahrir (HT) merupakan sebuah parti politik yang bergerak di seluruh dunia untuk membangkitkan umat Islam melalui perubahan pemikiran. HT ada di lebih kurang 40 buah negara di dunia, termasuk di negara kaum kafir sekalipun. Seluruh dunia mengenali HT dan mengetahui bahawa dakwah HT adalah secara fikriyyah (pemikiran), bukan kekerasan/fizikal. HT mengambil thariqah dakwah Rasulullah semasa di Makkah yang tidak pernah menggunakan kekerasan sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Secara ringkasnya, perjuangan dakwah Rasulullah semasa di Makkah ialah melalui sira’ul fikri (pergolakan pemikiran – pemikiran kufur vs pemikiran Islam), kifahu siyasi (perjuangan politik) dan juga thalabun nusrah (mendapatkan perlindungan). Bagi yang mempunyai kemudahan internet, bolehlah mengakses laman web rasmi HT di pelbagai negara dan melihat sendiri dakwah HT di seluruh dunia. HT selalu muncul di kaca TV di Indonesia, Britain, Australia dan lain-lain negara. Wakil HT juga sering diwawancara di BBC [sila ke www.youtube.com dan taip perkaaan ” Hizbut Tahrir”]. Di Malaysia, dari masa ke semasa, TV3 dan NTV7 turut membuat liputan tentang aksi-aksi HT yang berlaku di luar negara. Berita Harian dan Utusan Malaysia juga telah beberapa kali menyiarkan gambar dan berita tentang aktiviti dakwah HT di seluruh dunia.


HT bergerak aktif di banyak bahagian di dunia ini, dari Timur Tengah, Eropah, Asia Tengah hinggalah ke Asia Tenggara. HT berjuang di Palestin, Mesir, Iraq, Jordan, Syria, Lebanon, Kuwait, UAE, Yemen, Oman, Maghribi, Turki, Perancis, Jerman, Denmark, Belgium, Azerbaijan, Tajikistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Turkmenistan, Algeria, Kenya, Sudan, China, Amerika, Rusia, India, dan banyak lagi negara. HT merupakan antara gerakan Islam yang terbesar dan menonjol di Britain, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Palestin dan beberapa negara lain lagi. Di Palestin sebagai contoh, HT mengadakan kuliah setiap minggu di Masjidil Aqsa selepas Solat Jumaat yang dihadiri oleh ribuan umat Islam. Di Indonesia, kuliah dan ceramah HT diadakan di masjid-masjid di seluruh Indonesia. Begitu juga di beberapa negara lain, termasuk Malaysia.


Di sebalik perjuangan mulia HT untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia, sememangnya HT tidak dapat lari dari tohmahan dan fitnah. Segala halangan dan fitnah yang dilontarkan ini sebenarnya muncul dari beberapa hal:


1. Halangan dan fitnah dari Barat. Fitnah dari Barat sememangnya wajar berlaku kerana mereka adalah musuh Islam. Barat benar-benar takut dengan perjuangan menegakkan Khilafah kerana Negara Khilafah nanti bakal menghancurkan segala ideologi kufur dan dominasi mereka ke atas umat Islam, seterusnya menamatkan segala hegemoni mereka ke atas kaum Muslimin. Negara Khilafah nanti juga akan mengisytiharkan jihad untuk melawan segala kejahatan dan kekejaman yang telah mereka lakukan ke atas umat Islam. Jadi tidak hairanlah jika Barat menggunakan segala cara yang ada untuk menakut-nakutkan dan menghapuskan HT dan lain-lain gerakan Islam yang tidak sehaluan dengan mereka. Kembalinya Daulah Khilafah ke arena politik antarabangsa merupakan mimpi ngeri dan ketakutan Barat dan InsyaAllah, hal ini sesungguhnya akan pasti berlaku, sesuai dengan janji Allah dan RasulNya.


2. Halangan dan fitnah dari penguasa kaum Muslimin. Di seluruh dunia, HT sering difitnah dan dilabel dengan pelbagai label negatif oleh pemerintah yang ada. Hal ini berlaku biasanya bagi negara yang pemerintahnya adalah agen atau talibarut Barat. HT juga sering mendapat tentangan dari pemerintah yang berpemikiran sekular yang berusaha menghapuskan HT kerana ingin mengekalkan status quo mereka di bawah sistem sekular ciptaan penjajah. Hal ini amat menyedihkan kerana mereka (pemerintah) sepatutnya menerapkan hukum Islam, menjaga rakyatnya, menunaikan amanah Allah ke atas mereka, menerima muhasabah dari rakyat dan menjadi pemerintah yang bertakwa. Malangnya mereka menjadi golongan yang sekadar mementingkan diri sendiri dan ingin kekal berkuasa. Tambah menyedihkan lagi, pemerintah ini mempergunakan ulama yang digaji oleh mereka untuk memfitnah dan memburuk-burukkan HT dan juga gerakan-gerakan Islam lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Secara sedar atau tidak, ulama murahan yang diberi sedikit jawatan ini bersekongkol dengan pemerintah zalim ini untuk menghambur fitnah terhadap HT. Tentang mereka ini (pemerintah dan ulama), Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita,


"Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rusaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan penguasa." [HR Abu Na’im]


"Akan datang penguasa-penguasa fasik dan zhalim. Barangsiapa percaya kepada kebohongannya dan membantu kezalimannya maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya, dan dia tidak akan masuk syurga." [HR Tirmizi]


Dalam hadis di atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menerangkan bahawa penguasa itu ada yang baik dan ada pula yang buruk. Begitu pula ulama itu ada yang baik dan ada yang buruk (ulama su‘). Lebih tegas lagi Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan dan mengingatkan kita bahawa ulama su’ ini adalah seburuk-buruk manusia,


Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.; "Akan tiba suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali". [HR al-Baihaqi]


3. Dari gerakan-gerakan Islam yang lain. HT turut ditohmah dan dilempar dengan pelbagai fitnah oleh gerakan-gerakan Islam yang tidak sehaluan dengannya. Hal ini berlaku kerana mereka menganggap bahawa kewujudan HT akan menggugat pengaruh dan kedudukan mereka. Juga, kerana ada di kalangan mereka yang mendapat informasi yang salah tentang HT sehingga mereka menganggap HT sebagai saingan atau musuh. Walaubagaimanapun, sebahagian dari mereka telah pun bersama-sama dengan HT setelah menyedari kesilapan dan kesalahfahaman mereka selama ini terhadap HT. Bagi yang masih termakan fitnah terhadap HT, kami berdoa kepada Allah agar menghilangkan segala prasangka buruk yang ada pada mereka. Kami juga berdoa semoga Allah melapangkan dada-dada mereka agar memandang HT dan juga gerakan-gerakan Islam yang lain dengan pandangan ukhwah, sebagaimana HT memandang mereka.


4. Dari umat Islam. Keadaan umat Islam yang tidak memahami dakwah HT serta tidak jelas dengan perjuangan HT menyebabkan segelintir masyarakat memandang negatif pada HT. Walaubagaimanapun, ini hanya berlaku pada sebahagian kecil masyarakat sahaja. Bagi golongan yang lebih ikhlas, mereka telah mendekati HT dan mendapat gambaran yang sebenar dari sumber yang sebenar. Sebilangan besar ingin bergabung dengan HT setelah menghadiri dan mendengar sendiri tentang HT melalui seminar, forum dan juga dialog-dialog yang dianjurkan oleh HT. Banyak juga permohonan yang kami terima samada secara individu, melalui e-mail atau sms dari mereka yang menyatakan sokongan padu dan ingin berjuang bersama-sama HT. Semoga Allah memberkati mereka dan memasukkan mereka sebagai para pejuang di jalan kebenaran.


Wahai kaum Muslimin! HT berusaha di seluruh dunia untuk menyatukan semula umat Islam dengan aqidah Islam. HT cuma ingin melihat umat Islam di satukan atas dasar aqidah ini, bukannya bersatu atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah. HT ingin menghapuskan segala ikatan kebangsaan dan negara bangsa demi untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia (sebagaimana dahulunya) di bawah payung pemerintahan Khilafah. Oleh itu, dakwah HT di mana-mana bahagian dunia ini adalah sama. HT berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Daulah Khilafah yang akan menyatukan seluruh negeri kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan sahaja. HT yakin bahawa hanya dengan Khilafah, barulah Deen Allah ini akan zahir di atas segala deen yang lain dan dengannya rahmat Allah tersebar ke seluruh alam. Tanpa Khilafah, siapakah yang akan menjadikan Islam ini superpower? Siapakah yang akan membawa rahmat ke seluruh penjuru alam?


UMAT ISLAM WAJIB BERSATU DI BAWAH KHILAFAH


Wahai kaum Muslimin! Kami selalu menegaskan bahawa menegakkan Khilafah adalah suatu kewajiban yang dibebankan ke atas setiap individu Muslim. Mengembalikan semula hukum Allah ini bukannya tanggungjawsab HT semata-mata tetapi merupakan taklif yang Allah telah tetapkan ke atas seluruh kaum Muslimin. Hukum tentang wajibnya kaum Muslimin memiliki hanya seorang Khalifah bukanlah di-istinbathkan oleh HT sahaja, malah ia merupakan pandangan imam-imam dan ulama muktabar. Syeikh Abdurrahman Al Jaziri menegaskan hal ini dalam kitabnya Al Fiqh ‘Ala Al Madzahib Al Arba’ah, jilid V, hal. 416: ”Seluruh imam madzhab dan para mujtahid besar tanpa kecuali telah bersepakat bulat akan wajibnya Khilafah (atau Imamah) ini.... Para imam madzhab (Abu Hanifah, Malik, Syafi’i, dan Ahmad) --rahimahumullah-- telah sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu wajib adanya, dan bahawa umat Islam wajib mempunyai seorang imam (Khalifah,) yang akan meninggikan syiar-syiar agama serta menolong orang-orang yang tertindas dari yang menindasnya...."


Imam Asy Syaukani dalam Nailul Authar jilid 8 hal. 265 menyatakan, "Menurut golongan Syiah, minoriti dari Mu’tazilah, dan Asya’riyah, (Khilafah) adalah wajib menurut syara’. Ibnu Hazm dalam Al Fashl fil Milal Wal Ahwa’ Wan Nihal juz 4 hal. 87 mengatakan: "Telah sepakat seluruh Ahlus Sunnah, seluruh Murji`ah, seluruh Syi’ah, dan seluruh Khawarij, mengenai wajibnya Imamah (Khilafah). Bahawa Khilafah adalah sebuah ketentuan hukum Islam yang WAJIB (bukan haram, radikal atau ekstrem, apalagi bid’ah) dapat kita temukan dalam khazanah tsaqafah Islam yang sangat kaya seperti Imam Al Mawardi (Al-Ahkam al-Shulthaniyah, hal. 5), Abu Ya’la Al Farraa’ (Al-Ahkam al-Shulthaniyah, hal.19), Ibnu Taimiyah (As-Siyasah Asy Syar’iyah, hal. 161), Ibnu Taimiyah (Majmu’ul Fatawa, jilid 28 hal. 62), Imam Al Ghazali (Al-Iqtishaad fil I’tiqad, hal. 97), Ibnu Khaldun (Al-Muqaddimah, hal. 167), Imam Al-Qurthubi (Tafsir Al-Qurthubi, juz 1 hal. 264), Ibnu Hajar A1-Asqallany (Fathul Bari, juz 13 hal. 176), Imam An-Nawawi (Syarah Muslim, juz 12 hal. 205), Abdul Qadir Audah (Al-Islam Wa Audla’una As Siyasiyah, hal. 124) dan banyak lagi.


Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa Khilafah bukan hak Hizbut Tahrir, tetapi ia adalah hak umat Islam. Hizbut Tahrir hanya berjuang untuk menegakkannya, sesuai dengan perintah Allah, yang mana kalian juga wajib memperjuangkannya. Sistem pemerintahan Khilafah adalah sistem pemerintahan Islam, bukan sistem pemerintahan Hizbut Tahrir. Khalifah tidak semestinya datang dari anggota Hizbut Tahrir. Kami akan berbai’ah kepada sesiapa sahaja yang dilantik secara sah oleh umat sebagai Khalifah, tidak kira samada dia berasal dari Hizbut Tahrir atau tidak, selama mana Khalifah tersebut memerintah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Justeru itulah, Hizbut Tahrir senantiasa menyeru kepada seluruh kaum Muslimin agar bersama-sama dengan Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah. Ia adalah tannggungjawab dan hak kita semua. Kami sentiasa berdoa kepada Allah agar seluruh kaum Muslimin sedar dan bangkit serta bersegera kepada tugas yang mulia ini.


Inilah tugas Hizbut Tahrir. Hizbut Tahrir akan menyeru dan terus menyeru kaum Muslimin dan pemimpin mereka agar kembali kepada hukum Islam, agar kita sama-sama berusaha untuk mendirikan Daulah Khilafah, satu-satunya entiti yang akan mengembalikan kemuliaan dan kekuatan kita serta menyatukan kita di dunia ini. Hizbut Tahrir akan terus berusaha dan berusaha, tanpa mengira penat dan lelah, siang atau malam, senang atau sukar demi untuk menegakkan Deen ini. Hizbut Tahrir telah berjanji kepada Allah dan RasulNya bahawa ia akan menjadi penjaga agama Allah yang amanah. Kami akan berjuang dan terus berjuang sehinggalah Allah memanggil kami pulang. Kami hidup hanya untuk Islam dan kami mati hanya untuk Islam. Semoga Allah membuka hati kalian untuk kita bersama-sama memikul kemuliaan ini, wahai saudaraku.....


KHATIMAH


Memandangkan taklif utama adalah terhadap para pemerintah yang sepatutnya menggabungkan seluruh negeri kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan, kami akhiri penulisan ini untuk bertanya kepada mereka yang berkuasa, sebelum tibanya hari di mana hanya milik Allahlah kekuasaan itu. Demi Allah wahai para pemimpin kaum Muslimin! Kenapakah kalian sekarang berpecah-pecah dan tidak bergabung mewujudkan Daulah Khilafah? Apakah kalian tidak pernah terfikir sedetik pun bahawa kalian sekarang memerintah dengan undang-undang kufur bukannya undang-undang Allah? Apakah tidak pernah terlintas di hati kalian bahawa kalian sekarang menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah? Kalian menerapkan hukum ciptaan sendiri bukan hukum ciptaan Allah!


Apakah kalian fikir bahawa segala alasan yang kalian nyatakan untuk tidak menerapkan hukum Allah akan diterima oleh Allah? Pernahkah Rasulullah yang sepatutnya kalian ikuti itu, memberikan alasan kepada Allah sebagaimana alasan kalian? Atau apakah Rasulullah berusaha bermati-matian untuk menegakkan hukum Allah tanpa sebarang alasan? Bagaimana dengan kalian? Tidak takutkah kalian kepada murka dan azab Allah? Tidak adakah di kalangan kalian walau seorang yang benar-benar ikhlas di dalam menjaga agama Allah ini? Tidak adakah di kalangan kalian walau seorang pun yang sedar akan amanah yang Allah letakkan di atas bahu kalian? Apakah kalian tidak sedar bahawa Allah berkuasa untuk mencabut pemerintahan kalian dengan sekelip mata? Apakah di benak kalian tidak pernah terlintas bahawa Allah berkuasa untuk menyentap nyawa kalian dalam sesaat sahaja? Apakah kalian tidak berfikir tentang semua itu? Takutlah kalian kepada Allah wahai mereka yang memegang kekuasaan!! Satukanlah kami di bawah Khilafah..... amin

PERTUBUHAN ZAKAT ANTARABANGSA


Pertubuhan Zakat Antarabangsa


Apakah Ini Yang DiTuntut Oleh Islam?


Baru-baru ini telah diadakan Persidangan Antarabangsa Zakat 2006 selama satu hari di Kuala Lumpur bagi membolehkan negara-negara peserta berkongsi pengalaman dan idea dalam urusan mentadbir, mengumpul dan mengagihkan zakat. Ia diadakan hasil cetusan idea Perdana Menteri Malaysia mengenai keperluan mewujudkan dana khas antarabangsa berasaskan pengumpulan zakat sebagai kaedah utama mengagihkan bantuan pembangunan kepada negara-negara anggota OIC yang mundur. Idea itu diikuti persetujuan berupa penubuhan Pertubuhan Zakat Antarabangsa pada bulan Jun lalu bagi mengagih dan menyalurkan dana zakat dari negara-negara anggota yang lebih kaya kepada negara-negara yang memerlukan. [UM 28/11/06]


Perbincangan tentang zakat sememangnya tidak dapat lari dari topik kemiskinan. Ini adalah suatu yang terkait rapat kerana salah satu dari asnaf zakat itu sendiri adalah untuk orang-orang miskin. Jadi, tidak hairanlah jika ada cadangan diutarakan untuk mengagihkan harta zakat kepada negara-negara miskin. Yang hairannya ialah, kenapakah dengan jumlah zakat yang berjuta-juta ringgit dipungut setiap tahun, namun kemiskinan masih tetap berleluasa? Tambah menghairankan lagi ialah, kenapakah setelah dibahagi-bahagikan harta zakat, masih banyak lagi yang tersisa di dalam simpanan sehingga ada cadangan untuk melaburkan harta zakat? Sungguh aneh! Wang zakat banyak tersisa tetapi fakir miskin tetap ada. Ke mana perginya harta zakat, sehingga masih ada yang merempat?


Sekilas Fakta Zakat Di Zaman Khilafah


Zakat sememangnya suatu hal yang sangat penting di dalam Islam. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Sesiapa yang membezakan di antara kewajipan zakat dan solat, maka tergelincirlah aqidahnya. Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah memerangi golongan yang enggan membayar zakat, walaupun mereka masih mengerjakan solat. Walaupun Saidina Abu Bakar dikenali sebagai seorang yang berperwatakan lembut, namun beliau tidak pernah berlembut kepada sesiapa sahaja yang menyeleweng dari hukum Allah. Beliau mengisytiharkan perang ke atas golongan yang enggan membayar zakat walaupun jumlah mereka adalah ramai dan mereka mempunyai kekuatan. Kata-kata beliau yang sangat lantang dan tegas terpahat di dalam sejarah umat Islam dan masih segar sehingga ke hari ini. Inilah sifat seorang pemimpin yang benar-benar menjaga agama Allah. Beliau sanggup menggadai nyawa hanya semata-mata kerana ingin memastikan hukum Allah tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.


Kisah Abu Bakar ini menunjukkan dengan jelas kepada kita akan kepentingan zakat di dalam Islam sebagai satu hukum Allah yang wajib dijaga. Hukum berkenaan zakat diterangkan di dalam Al-Qur'an dan dirincikan lagi di dalam hadis-hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam. Terdapat pelbagai peristiwa di zaman Rasulullah yang menunjukkan dengan jelas bagaimana Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam menerap dan melaksanakan rukun Islam yang keempat ini. Kisah-kisah yang berlaku di zaman para sahabat juga banyak menerangkan kepada kita betapa mereka benar-benar menjaga perlaksanaan hukum ini di dalam pemerintahan mereka. Imam-imam empat mazhab dan juga ulama-ulama muktabar yang lainnya tidak pernah ketinggalan membincangkan tentang zakat di dalam kitab-kitab mereka. Semua ini membuktikan kepada kita bahawa zakat yang merupakan salah satu dari rukun Islam ini, senantiasa diperhatikan hukum-hakam dan perlaksanaannya oleh pemerintah dan ulama agar kesucian hukum Allah ini tetap terpelihara. Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus sedar bahawa zakat merupakan salah satu dari perintah Allah yang menuntut kita menjaganya dengan hati-hati agar kita tidak terjerumus atau menjerumuskan diri ke dalam kesalahan dan kebinasaan di dalam penerapannya.


Zakat telah direalisasikan secara nyata dan berjayanya di dalam perjalanan sejarah Islam. Kejayaan gemilang di dalam perlaksanaannya terbukti ketika ada zaman di mana tidak ditemui orang-orang fakir atau miskin yang berhak untuk menerima zakat. Ini dapat dilihat semasa pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, sebagaimana diungkapkan oleh Yahya bin Sa'id, seorang petugas amil zakat pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau berkata, "Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengutusku untuk mengumpulkan zakat orang Afrika. Lalu aku menariknya dan aku minta dikumpulkan orang-orang fakirnya untuk kuberi zakat. Tapi ternyata tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang mengambilnya. " [Ulwan, 1985:2, As-Siba'i, 1981:392]. Zaman pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz terkenal dan terabadi sebagai zaman yang penuh kemakmuran sehingga tiada dari rakyatnya yang layak untuk menerima zakat. Jadi, tidak hairanlah jika ada ulama yang menyatakan bahawa Khalifah Umar Bin Abdul Aziz adalah salah seorang dari Khulafa'ur Raasyidin.


Namun sayang, keadaan seperti itu kini hanya menjadi nostalgia silam. Setelah hancurnya Daulah Khilafah Islamiyyah pada 3 Mac 1924 sebagai institusi pelaksana zakat dan setelah pemahaman umat terhadap ajaran-ajaran Islam (termasuk zakat) menjadi semakin lemah, maka urusan zakat telah diselewengkan sehingga yang berhak menerima zakat tidak diberikan haknya, manakala yang tidak layak pula diberikan zakat. Setelah tidak adanya Daulah Khilafah yang memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, maka zakat kini difahami sebagai sesuatu yang terpisah dari insitusi pelaksananya. Zakat telah dicabut dari kesatuannya dengan hukum-hukum Islam yang lain di dalam bidang ekonomi.


Oleh kerana itu, tatkala umat membicarakan persoalan berkenaan dengan zakat, ia dianggap sebagai satu-satunya hukum Islam yang dapat digunakan untuk mengatasi kemiskinan. Zakat dipaksa untuk 'memikul' semua beban dari keseluruhan tugas sistem ekonomi Islam seolah-olah zakat itulah satu-satunya sistem ekonomi di dalam Islam. Hukum-hukum utama yang lainnya yang menjadi teras ekonomi Islam seolah-olah tidak pernah wujud.


Persoalan seperti al-anfaal (harta rampasan perang), jizyah (harta yang diambil oleh negara dari warga negara bukan Islam), hukum kharaj (hukum cukai tanah), hukum syirkah (persyarikatan dalam Islam), hukum istisna' (hukum berkaitan industri pembuatan), hukum milkiyah al-'ammah (harta milik umum), hukum milkiyah ad-daulah (harta milik negara), 'usyuur (harta yang diambil oleh negara dari komoditi perniagaan ahlul zimmah/kafir harbi yang melintasi sempadan negara) dan sebagainya langsung tidak disentuh, bahkan lebih buruk, langsung tidak difahami atau dipelajari. Jika dipelajari sekalipun, hanyalah untuk tujuan akademik atau bersifat teori semata-mata, bukannya untuk diterapkan. Sebaliknya sistem ekonomi kapitalis dipelajari dengan bersungguh-sungguh untuk diterapkan. Inilah kondisi terburuk yang melanda umat Islam saat ini, hukum kufur dilaksanakan, hukum Allah dibakul sampahkan! Na'uzubillah min zhalik .


Zakat Dan Baitul Mal


Baitul Mal adalah tempat yang dikhususkan bagi kemasukan dan pengeluaran harta yang menjadi hak seluruh kaum Muslimin. Pengelolaan Baitul Mal ini adalah di bawah tanggungjawab Negara secara langsung di mana Negaralah yang menjalankan kerja-kerja kemasukan dan pengeluaran semua harta yang disimpan di Baitul Mal. Di zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam, segala harta yang dikumpul oleh Negara ditangani oleh baginda sendiri, dan ada ketikanya oleh para wali dan amil baginda. Baginda juga melantik pencatat untuk mencatat jenis harta. Antaranya adalah Muaiqib bin Abi Fathimah untuk mencatat ghanīmah, Zubair bin Awwam untuk zakat, Hudzaifah bin Yaman untuk hasil masukan dari Hijaz, Abdullah bin Rawahah untuk hasil masukan dari Khaibar dan lain-lain lagi. Setiap kali adanya harta yang masuk maka Rasulullah segera membahagikannya atau membelanjakannya untuk kepentingan kaum Muslimin sesuai dengan apa yang telah ditentukan oleh syara'. Hasan bin Muhammad menuturkan,


"Bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam, jika datang kepada beliau harta fa'i, ghanīmah, atau kharāj, beliau tidak menyimpannya pada siang hari dan tidak juga pada malamnya."


Hal yang sama dituturkan juga oleh Jubair bin Muhammad, sebagaimana diriwayatkan oleh Abdur Razzaq. Keadaan yang sedemikian terus berlanjutan sampai ke tahun pertama pemerintahan Khalifah Abu Bakar. Pada tahun kedua pemerintahan, Abu Bakar menetapkan satu tempat (bilik) di rumahnya secara khusus untuk menyimpan harta yang masuk dari berbagai daerah. Semua harta itu beliau belanjakan untuk kepentingan seluruh kaum Muslimin. Apabila Abu Bakar meninggal dunia, Umar menjawat jawatan khalifah. Beliau mengumpulkan para sahabat dan bersama-sama masuk ke rumah Abu Bakar dan membuka bilik tempat menyimpan harta. Ternyata harta yang ada hanya berbaki satu dinar dan itu pun kerana kelalaian pencatatnya. Semua harta habis dibelanjakan untuk kepentingan kaum Muslimin.


Tatkala futūhāt (pembukaan negeri baru) semakin meluas, harta yang masuk ke dalam simpanan Negara pun bertambah banyak, maka Umar mengkhususkan satu rumah untuk menyimpan segala harta. Beliau membentuk jabatan untuk mengurus dan mencatatnya. Beliau juga melantik pencatatnya, memberi bantuan kepada rakyat, serta membentuk satu jawatankuasa untuk menguruskan harta-harta tersebut. Peristiwa ini menurut sebahagian ahli sejarah terjadi pada tahun ke-20 H. Sejak saat itu, Umar adalah khalifah pertama yang memperuntukkan sebuah rumah khusus, yang disebut Baitul Mal (rumah harta) untuk menguruskan pendapatan dan pengeluaran harta kaum Muslimin. Umar membentuk diwan (seperti jabatan) khusus untuk mengendalikan pengurusan harta-harta tersebut dan sejak saat ini Baitul Mal sebagai lembaga dan tempat menyimpan harta dengan struktur diwannya menjadi sebahagian dari struktur Negara Khilafah. Oleh kerana itu apabila kita membicarakan tentang zakat, maka ianya tidak boleh dipisahkan dengan Baitul Mal dan juga Khilafah kerana Baitul Mal adalah suatu institusi yang terintegrasi di dalam negara Islam (Khilafah) yang berperanan sebagai pusat mengumpul dan mengagihkan harta.


Zakat Dan Hubungannya Dengan Khilafah


Sebagaimana yang kita sedia maklum, zakat adalah suatu kewajiban yang hukumnya bersifat pasti (qath'i) seperti mana yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kaum Muslimin di dalam Al-Qur'anul Karim. Namun dalam perlaksanaannnya zakat bukanlah kewajiban individu yang bergantung semata-mata kepada urusan individu seseorang Muslim. Zakat adalah suatu kewajiban yang dilaksanakan di bawah pengawasan pemerintah. Peranan pemerintah dalam mengatur urusan zakat dapat diringkaskan kepada dua bahagian. Pertama, pemerintah berperanan sebagai pelaksana tunggal dalam urusan pengaturan zakat baik dalam aspek pengumpulan mahupun pembahagian harta zakat tersebut. Kedua, pemerintah berperanan sebagai badan pelaksana ( kiyan tanfiz) hukuman ('uqubat) terhadap mereka yang enggan membayar zakat.


Dalil-dalil Al-Qur`an dan Al-Sunnah menunjukkan bahawa pihak yang wajib mengurus/mengelola zakat adalah pemerintah, yakni seorang Imam (Khalifah) atau orang-orang yang mewakilinya. Orang-orang yang berhak menerima zakat (para mustahiq zakat) telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasarkan firmanNya, "Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil zakat, mu`allaf, hamba, orang-orang berhutang, jihad fi sabilillah, dan ibnu sabil." [TMQ At-Taubah (9):103]. Ayat ini membatasi dan mengkhususkan para mustahiq zakat hanya kepada lapan golongan (asnaf) sahaja. Zakat tidak boleh diberikan kepada selain mereka.


Pemerintah selain berperanan sebagai pengelola harta zakat juga berhak menjatuhkan hukuman kepada orang-orang yang tidak melaksanakan zakat ketika mana hartanya sudah memenuhi syarat-syarat wajib menunaikan zakat. Tindakan dan hukuman yang dijatuhkan oleh pemerintah kepada orang yang menolak dari membayar zakat bergantung kepada keadaan masing-masing yang dapat dihuraikan seperti berikut:


Pertama, jika seseorang itu tidak membayar zakat kerana tidak tahu akan kewajibannya maka ia tidak dikafirkan dan tidak dijatuhi hukuman ta'zir. Pemerintah perlu menjelaskan kewajibannya dalam membayar zakat dan mengambil zakat darinya.


Kedua, jika seseorang itu tidak membayar zakat dengan mengingkari kewajibannya maka ia dianggap murtad dan diperlakukan sebagai seorang murtad. Dia akan diminta untuk bertaubat (kembali masuk Islam) dan jika tidak mahu bertaubat, maka pemerintah mesti menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dan hartanya menjadi hak Baitul Mal.


Ketiga, jika seseorang itu tidak membayar zakat tetapi masih mengimani akan kewajibannya dalam agama maka zakat akan diambil secara paksa oleh pemerintah dari individu tersebut. Jika mereka menentang secara berkelompok dan tidak mahu membayar zakat maka mereka akan diperangi oleh pemerintah dan diperlakukan sebagai bughat (pemberontak) .


Kenapa Sukar Untuk Kembali Kepada Khilafah?


Wahai kaum Muslimin! Terlalu amat nyata bagi kita bahawa dunia dahulunya berada di bawah naungan Khilafah. Segala urusan umat Islam satu dunia diuruskan oleh seorang pemimpin sahaja yang bergelar Khalifah. Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali adalah Khalifah yang memerintah dunia. Begitu juga para Khulafa' Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. Mereka semuanya adalah Khalifah-Khalifah Allah di muka bumi. Mereka digelar Khalifah bukan disebabkan oleh tradisi, mereka memerintah dengan Sistem Khilafah bukan kerana tradisi, mereka dibai'ah juga bukan kerana tradisi, namun mereka menjadi Khalifah dan memerintah dengan Sistem Khilafah serta mereka dibai'ah kerana ianya adalah suatu KEWAJIBAN. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah menunjukkan dengan jelas bahawa baginda merupakan Nabi yang terakhir yang mengurus umat di mana setelah baginda, urusan pemerintahan ini akan diganti dan diuruskan oleh para Khalifah. Inilah pesan baginda kepada kita semua yang WAJIB kita ikuti,


"Dahulu Bani Israel diuruskan oleh Nabi-nabi. Setelah wafat seorang Nabi, maka digantikan (oleh Allah) dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya selepasku ini tidak akan ada Nabi, (tetapi) akan ada banyak Khalifah. Sahabat (lalu) bertanya, apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab baginda, penuhilah bai'ah yang pertama dan yang pertama (sahaja).... ."

[HR Muslim].


Di saat ini, di mana-mana sahaja negeri umat Islam, kita melihat bahawa hukum Allah 'ditundukkan' oleh akal-akal manusia. Yang malangnya, manusia itu adalah manusia yang beragama Islam, yang sepatutnya tunduk kepada hukum Allah. Hukum Allah mewajibkan umat Islam bersatu dan haram berpecah belah. Umat Islam wajib bersatu dengan persaudaraan Islam. Negeri-negeri umat Islam wajib bersatu di bawah Sistem Pemerintahan Islam. Daulah Khilafah adalah satu-satunya entiti penyatu umat Islam di seluruh dunia. Dengannya, segala hukum-hakam Islam akan menjadi satu. Perlaksanaan hukum juga akan turut disatukan. Hukum tentang pengagihan zakat tidak akan menjadi satu masalah jika yang memerintah dunia adalah seorang Khalifah. Kenapa umat Islam boleh berada bersama di bawah bumbung PBB? Kenapa negeri-negeri Arab boleh berkumpul di bawah Liga Arab? Kenapa negeri-negeri umat Islam boleh bersatu di bawah OIC? Kenapakah umat Islam, para pemimpin Islam, negara-negara umat Islam tidak boleh bersatu di bawah Daulah Khilafah?


Wahai kaum Muslimin! Kita tidak pernah mendengar masalah pengagihan zakat timbul semasa pemerintahan Khilafah, walhal Daulah Khilafah ketika itu menjangkau hampir dua pertiga dunia. Apa yang kita dengar adalah Daulah Khilafah merupakan sebuah negara yang kaya yang tidak ada kemiskinan di dalamnya sehingga di masa-masa tertentu tidak ada orang yang layak menerima zakat. Tidak timbul langsung soal batas sempadan negara yang menyekat pengagihan keluar zakat. Ini adalah kerana negara umat Islam itu adalah negara yang satu.


Wahai kaum Muslimin! Allah dan RasulNya tidak pernah membataskan harta zakat mengikut negeri atau negara. Setiap orang yang beragama Islam dan termasuk di dalam mana-mana asnaf adalah berhak menerima zakat, tidak kira di manapun mereka berada. Salah satu asnaf zakat itu sendiri adalah Ibnus Sabil (anak perjalanan), yang mana ini merujuk kepada mereka yang kehabisan bekalan di dalam perjalanan. Mereka layak menerima zakat. Tetapi, oleh kerana penyelewengan hukum yang berlaku pada hari ini, maka batas negeri dan batas negara menjadi penghalang kepada pengagihan zakat. Walhal ini hanyalah batas-batas palsu dan khayalan ciptaan penjajah. Apakah kalian masih tidak nampak wahai saudaraku bahawa penghalang kepada penyatuan kalian adalah pemikiran kufur yang mendominasi pemikiran kalian dan para pemimpin kalian, yang menjadikan kalian dipisah-pisah, dikerat-kerat oleh sempadan yang direka oleh musuh-musuh kalian. Tanyalah pada diri kalian sendiri wahai saudaraku, apakah kalian memerlukan Pertubuhan Zakat Antarabangsa untuk menyelesaikan masalah yang melanda kalian dan saudara-saudara kalian? Apakah di dalam Islam ini persoalan zakat sahaja yang perlu kalian selesaikan sehinggakan kalian memerlukan Pertubuhan ini? Apakah pertubuhan ini merupakan perintah Allah ke atas kalian? Atau apakah Daulah Khilafah yang menjadi perintah Allah itulah yang benar-benar kalian perlukan?


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Selagi sistem yang diterapkan di dalam negeri-negeri umat Islam adalah sistem kapitalisme dan sosialisme yang mengenepikan hukum Allah, maka selagi itulah kita akan menyaksikan penderitaan yang tak berkesudahan berlaku ke atas umat Islam. Mungkin sebahagian dari kita terdiri dari golongan yang kaya atau stabil dari segi kewangan, maka golongan ini tidak merasakan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara mereka yang lain. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam mengingatkan kita bahawa tidak beriman seseorang itu yang tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Rasulullah juga mengingatkan kita bahawa haram hukumnya seseorang itu tidur di dalam kekenyangan sedangkan dia mengetahui bahawa jirannya tidur di dalam kelaparan. Rasulullah turut mengingatkan kita bahawa pemimpin itu adalah pemelihara rakyatnya. Maka, bagaimana mungkin seorang Muslim yang lalai dan seorang pemimpin yang kaya raya terlepas dari dosa bila mana mereka hidup dikelilingi kemewahan walhal pada masa yang sama kemiskinan berleluasa di depan mata. Adalah suatu yang lumrah di dalam sistem sekular yang mengamalkan ekonomi kapitalis sekarang, jika kita menyaksikan golongan pemimpin dibanjiri kemewahan, sedangkan rakyatnya menderita kelaparan, dihimpit kemiskinan dan juga kesusahan. Manakala zakat tak pernah kehabisan, kemiskinan masih tidak hilang! Apa kisah, apa gerangan?


Wahai kaum Muslimin! Wahai pemimpin kaum Muslimin! Tidakkah kalian pernah bertanya pada diri kalian, sampai bilakah sistem kufur ini akan kalian pertahankan? Tidak terdetikkah di dalam hati kalian bahawa perbuatan ini adalah suatu dosa yang cukup besar? Tidak sedarkah kalian bahawa segala dosa yang kalian lakukan akan terus dicatit oleh malaikat yang tidak pernah lalai dan sentiasa ada di sebelah kalian, tidak pernah rehat dan tidak pernah tidur? Tidak terfikirkah kalian bahawa kaki kalian tidak akan dapat melangkah walau sedikitpun di padang mahsyar sehingga Allah selesai memberikan perhitunganNya ke atas kalian? Kenapakah kalian menggunakan kuasa yang ada untuk menerapkan hukum sendiri, bukannya hukum Allah? Tidak takutkah kalian dengan siksaan Allah yang amat pedih yang akan mengazab kalian kerana tidak menerapkan hukumNya? Bertaqwalah kepada Allah wahai kaum Muslimin, wahai para pemimpin kaum Muslimin...

KONTRAK SOSIAL : KEMBALI KEPADA SEJARAH ATAU KEMBALI KEPADA ISLAM


Kontrak Sosial :

Kembali Kepada Sejarah

atau

Kembali Kepada Islam?



Pada persidangan Agung UMNO ke-57 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga merupakan Presiden UMNO menegaskan dalam ucapannya, bahawa kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang ke atas pihak yang terus mempertikaikan kontrak sosial yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini kemudiannya disambut secara positif oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman yang menyatakan, kontrak sosial itu telah diterima sekian lama oleh rakyat Malaysia dan tidak wajar ia diperbahaskan. ‘‘Kontrak sosial tersebut memberi ketenteraman sekian lama hingga Malaysia menjadi contoh bagi sesetengah negara lain.....Ia tidak patut dipertikai oleh mana-mana pihak’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perasmian Sekretariat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Tambahnya, seandainya pertikaian berterusan, ia akan menggugat perkembangan dan kemajuan Malaysia. [UM 18/11/06].



Isu Kontrak Sosial ini sebenarnya telah pun hangat pada tahun lepas, tatkala Mingguan Malaysia pada 14/08/05 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati’. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa dari beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media. Selepas beberapa orang pemimpin campur tangan, maka seperti biasa, semua pihak yang berani bersuara terus menutup mulut dan memendam segala rasa tidak puas hati.



Meskipun istilah ‘Kontrak Sosial’ bukan merupakan sesuatu yang asing bagi rakyat
Malaysia dan telah menjadi bualan dan perbincangan pada mesyuarat agung UMNO yang lepas, tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai di kalangan rakyat yang kurang faham ataupun langsung tidak memahami maksudnya. Sautun Nahdhah kali ini akan menyongsong sejarah tentang kedudukan Kontrak Sosial (The Social Contract) ini, seterusnya memaparkan perbincangan tentang Piagam Umat (Mitsaq al-Ummah) menurut perspektif Islam.



‘Du Contract Sosial’


Ketika Eropah masih di zaman kegelapan (dark ages), gereja bersikap keras terhadap sains dan akan menghalang apa sahaja teori yang bercanggah dengan dogmanya. Ini menyebabkan wujudnya ahli fikir dan ahli falsafah (golongan intelektual) yang amat tidak berpuas hati dan mengambil keputusan untuk menggulingkan kuasa gereja/ agama. Setelah itu, terjadi pertembungan yang begitu hebat di antara gereja dan kelompok intelektual ini. Krisis berdarah ini berakhir dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil jalan tengah (kompromi) di mana kuasa pemerintahan yang ada pada gereja dihapuskan dan diserahkan kepada golongan intelektual. Gereja hanya dibenar menguruskan hal-hal agama sahaja. Agama tidak dinafikan tetapi mesti dipisahkan dari kehidupan atau pemerintahan. Setiap orang adalah bebas untuk percaya kepada agama atau tidak (kebebasan beraqidah). Yang penting, agama mesti dipisahkan dari urusan kehidupan. Inilah peristiwa yang membidani lahirnya ‘Sekularisme’.



Golongan Intelektual ini kemudian berfikir keras tentang cara untuk mewujudkan sebuah negara yang ideal (sempurna). Mereka sebenarnya tidak mempunyai idea untuk membina sebuah Negara pun, apatah lagi yang ideal. Dari sini, lahirlah para pemikir atau cendekiawan Barat yang
cuba membina suatu persepsi baru untuk memulakan sebuah Negara. Selama ini mereka jauh ketinggalan dari segala aspek tentang kenegaraan berbanding umat Islam, yang diterajui oleh Khilafah Uthmaniah yang mendominasi politik dunia pada ketika itu. Beberapa perkara tentang Negara mula difikirkan oleh pemikir-pemikir Eropah yang akhirnya meletuskan Revolusi Perancis sebagai manifestasi dari proses Renaissance (pencerahan dari aspek pemikiran). Para pemikir ini kemudian melahirkan pelbagai teori bagaimana untuk mengatur urusan sebuah negara. Oleh kerana tiada apa-apa yang boleh menjadi pegangan mereka, tiada kitab sebagai rujukan, tiada hukum-hakam yang menjadi pegangan, tiada ajaran agama yang boleh memandu mereka, maka mereka hanyalah menggunakan kecerdasan akal semata-mata di dalam mencipta setiap teori. Pada peringkat ini, apa yang mereka boleh kemukakan hanyalah teori semata-mata, dengan beberapa istilah yang digunakan untuk menjelaskan teori tersebut.



Istilah asal Kontrak Sosial (the social contract) telah dikemukakan oleh Plato, seorang ahli falsafah Yunani, lebih 2,500 tahun yang lalu dalam tulisannya ‘The Republic’. Namun begitu beliau tidak memberikan penjelasan secara terperinci mengenainya. Setelah itu datang ahli falsafah yang menerangkan konsep Kontrak Sosial ini; antaranya adalah Hugo Grotius, Kant, Rousseau dan Hobbes. Ahli-ahli falsafah ini bersetuju tentang wujudnya Kontrak Sosial antara pemerintah dengan rakyat. Idea Kontrak Sosial ini diasaskan atas premis bahawa kuasa terletak pada rakyat. Tiga orang ahli falsafah yang banyak menghidupkan dan mewarnai teori Kontrak Sosial dalam sains politik moden Barat, ketika zaman pencerahan dan Revolusi Industri adalah Thomas Hobbes [Leviathan, 1651M], dikuti oleh John Locke [Two Treaties of Goverment, 1690M] dan Jean Jacques Rousseau [Du Contrat Social 1762M]. Karya Rousseau, Du Contrat Social, dikatakan amat berpengaruh dalam mencetuskan Revolusi Perancis 1789.



Dua isu penting yang dibincangkan di dalam teori Kontrak Sosial ini ialah:-


•Institusi yang baik dan berkesan untuk menjaga kepentingan rakyat ialah ‘Negara’ di mana setiap individu melepaskan dirinya dan kuasanya kepada ’kehendak umum’.


•Negara diwujudkan ekoran dari sebuah ‘perjanjian’.


Namun ada beberapa persoalan yang sering menjadi perselisihan di kalangan mereka - mengapakah manusia mewujudkan negara? Siapakah yang akan menganggotai pakatan yang kemudiannya mewujudkan negara? Apakah syarat-syarat perjanjian tersebut? Persoalan-persoalan sebegini telah menjadi perdebatan oleh mereka di dalam perjalanan mewujudkan ‘negara idaman’ mereka. Sebenarnya semua persoalan ini muncul hasil dari ketidakjelasan dan kecelaruan mereka di dalam berfikir yang tidak dipandu oleh suatu aqidah yang benar, yang gagal menjawab dan memuaskan akal si pemikir dan manusia secara umumnya. Inilah manifestasi dari kegagalan aqidah Sekularisme yang memberikan penyelesaian berdasarkan akal manusia, bukannya wahyu. Di dalam Islam, persoalan-persoalan sebegini telah lama dijawab oleh Rasulullah di dalam perjalanan dakwah baginda mewujudkan Negara Islam di Madinah.


Piagam Umat


Sebelum kedatangan Islam lagi telah ada satu kesepakatan seakan-akan ‘Kontrak Sosial’ antara dua kaum Aus dan Khazraj dalam hal kepimpinan dan kenegaraan, namun ianya berlegar atas dasar perkauman. Telah wujud satu kesepakatan di antara mereka bahawa kepimpinan Yathrib (Madinah) mestilah terdiri dari kalangan dua kaum itu sahaja. Namun kesepakatan ini telah terungkai setelah mereka memeluk Islam dan disusuli dengan peristiwa Bai’ah Al-Aqabah II. ‘Kontrak Sosial’ yang wujud sejak sekian lama di negara mereka (Madinah) telah diubah oleh mereka sendiri apabila mereka memeluk Islam dan berbai’ah kepada Rasulullah. Hal ini jelas terlihat dari ucapan mereka kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tatkala proses bai’ah berlangsung. Asy-Sya’bi meriwayatkan bahawa As’ad bin Zararah (pemimpin suku Khazraj) berkata kepada Rasulullah,



“.....engkau telah meminta kepada kami (untuk menyerahkan kekuasaan milik kami), walhal kami adalah satu kelompok masyarakat yang hidup di dalam negara dalam keadaan mulia dan kuat di mana di dalamnya tidak ada seorang pun yang rela dipimpin oleh orang dari luar suku kami.........permintaan tersebut adalah suatu hal yang sukar sekali, tetapi kami ini (telah sepakat) memenuhi permintaan engkau.” Begitulah para sahabat yang mulia telah melepaskan segala ikatan yang ada pada mereka hanya semata-mata untuk mengikat diri mereka dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka meninggalkan ikatan sejarah mereka dan mengikat diri dengan ikatan Islam. Setelah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hijrah ke Madinah, maka baginda terus menggubal piagam yang dinamakan Sahifah Al-Madinah (Piagam Madinah) sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara baru, yakni Daulah Islamiyyah. Sahifah yang menjadi dokumen asas negara ini digubal berdasarkan wahyu semata-mata. Antara kandungan yang jelas adalah unsur pembentukan Negara, hubungan antara orang Islam dan kafir serta hubungan luar negara. Yang paling penting sekali adalah jika wujud sebarang persengketaan, hendaklah ia dirujuk kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.


Sekiranya kita mengkaji khazanah Islam tentang sains politik, maka kita akan menjumpai jawapan yang jelas tentang ilmu politik Islam. Kita pasti akan menemui dengan mudah apa yang dinamakan oleh Barat, Kontrak Sosial ini, bahkan penjelasannya adalah jauh lebih terperinci. Di dalam keadaan Barat terkial-kial mencari jawapan yang benar, di dalam keadaan mereka meraba-raba untuk keluar dari kegelapan, Islam telah lama memberi cahaya petunjuk kepada kita semua. Sebagai contoh, persoalan ahli falsafah Barat berkenaan apakah ‘kontrak’ yang perlu wujud antara pemimpin dan yang dipimpin? Islam telah lama menjelaskan bahawa “Imam (Khalifah) itu adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipeliharanya (rakyatnya).....” [HR Bukhari dan Muslim]. Islam juga menjelaskan bahawa “Imam itu adalah perisai, yang mana dibelakangnya umat berperang.” [HR Muslim]. Hadis-hadis ini dan yang senada dengannya menjelaskan tentang tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya.


Syeikh Abu Ubaid Al-Qasim, salah seorang ulama Islam yang meninggal tahun 224H (884M), hampir seribu tahun mendahului Rousseau, telah meletakkan bab Haqqul Imam ’ala Ra’iyyat, Wa Haqqul Ra’iyyat ’ala Imam (tanggungjawab rakyat terhadap pemimpin dan tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat) sebagai bab pertama di dalam kitab tulisannya berkenaan harta, Al- Amwal. Beliau memuatkan hadis-hadis dan atsar berkenaan dengan dua identiti penting dalam negara iaitu rakyat dan pemerintah. [Kitab Al-Amwal, Abu Ubaid Al- Qasim Bin Salam, ms 10].


Imam Marwardi (meninggal 450H/1058M) dan Imam Abu Ya’la (meninggal 458 H/1065M) telah menulis kitab kenegaraan yang sama judulnya, iaitu Al-Ahkam Al- Sulthaniyyah mengikut pandangan Mazhab Syafie dan Hambali. Kalau kita mengkaji kitab-kitab ini nescaya kita akan dapat menjawab semua permasalahan asas yang dilontarkan oleh pelopor teori Kontrak Sosial Barat. Hukum-hakam bernegara di dalam Islam telah selesai lebih dari 1400 tahun yang lepas. Barat yang telah lama hidup di dalam kegelapan dan jahil tentang ilmu pemerintahan berusaha merangkak keluar darinya dengan mencari-cari alasan yang rasional dan logik terhadap keperluan penubuhan sebuah negara, Hasilnya, mereka menemukan teori Kontrak Sosial yang dilihat sebagai jalan keluar, hal yang telah lama diselesaikan oleh Islam dengan jalan wahyu. Malangnya, pemimpin umat Islam sekarang telah kembali semula ke zaman kegelapan dengan menelusuri sejarah kelam Eropah untuk membentuk sebuah negara berdasarkan kontrak sosial ala Barat. Walhal yang sepatutnya dilakukan oleh para pemimpin ialah mengikuti sejarah pembentukan Negara Islam Madinah yang dirintis oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Inilah KEWAJIBAN yang sebenar-benarnya.


Di sini kami ingin utarakan dua isu sebagai kajian perbandingan, kerana ruangan ini semestinya terlalu sempit untuk membicarakan satu kritikan yang komprehensif. Persoalan Pertama, mengapakah manusia mewujudkan negara? Persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh kedua-dua Imam tentang peri pentingnya Imam (Ketua Negara) dalam Islam. Al-Mawardi dan Abu Ya’la mengatakan bahawa WAJIB secara Ijma’ untuk melantik Imam (Khalifah), di mana mereka beristidlal dengan surah Al-Nisa ayat 49 [Al-Ahkam Al-Sultaniyyah, Mawardi, ms 5, Abu Ya’la ms 19]. Ulama kontemporeri, Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menerangkan dengan jelas tentang kewajiban menubuhkan sebuah Negara Islam (Negara Khilafah) sebagai pimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia yang akan menerapkan hukumhakam syara’ dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia. Beliau telah mengambil dalil dari Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan kaedah usul untuk menerangkan secara syar’i, mengapa umat Islam wajib mendirikan sebuah Daulah Islam. [Al-Khilafah, Taqiuddin Al-Nabhani, ms 1-14]. Justeru, jawapan ringkas kepada persoalan kenapa kita perlu kepada negara adalah ia merupakan suatu KEWAJIBAN yang telah ditetapkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas kita.


Persoalan Kedua ialah, apakah boleh berlaku pembaharuan Kontrak Sosial jika rakyat menginginkannya? Persoalan ini dijawab oleh Rousseau dalam bab ‘Bagaimana Menyekat Rampasan Kuasa Kerajaan’; beliau menyatakan “...bahawa dalam negara, tidak ada undang-undang asas apapun yang boleh ditarik balik, termasuk perjanjian sosial itu sendiri..”. Persoalan ini juga telah lama terjawab di dalam khazanah politik Islam dengan jawapan yang benar-benar memuaskan akal, di mana ‘Piagam Umat’ yang wujud adalah merupakan suatu perkara yang baku, yang tidak dapat diubah kerana ianya bersumber dari wahyu. Perubahan hanya boleh berlaku jika ada nas yang menjelaskan kebolehannya. Rampasan kuasa haram dilakukan sama sekali, selama mana pemerintah memerintah dengan kitabullah dan sunnah RasulNya. Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang seorang pemimpin yang berbuat zalim, “Apakah kami diperbolehkan untuk memerangi mereka, ya Rasulullah?”, jawab Nabi, “Jangan, biarkan mereka selama mereka masih mendirikan puasa dan solat.” [HR At-Thabrani dalam Al-Kabir juga Ibnu Hajar Al-Haitsami dalam Majma Al-Zawaid, V/224]. Puasa dan solat di dalam hadis tersebut merupakan kinayah (kiasan) kepada ‘penerapan syariat Islam’ oleh Ketua Negara.


Dalam riwayat lain: “Dan agar kami tidak merampas urusan (pemerintahan) itu dari pemegangnya, kecuali (kata Nabi): “Jika kalian melihat kekufuran yang nyata, dimana kalian mempunyai bukti yang jelas di sisi Allah.” [HR Bukhari dan Muslim]. Semuanya ini menjelaskan larangan yang nyata untuk merampas atau mengguling pemerintahan selama mana pemerintah masih menerapkan hukum-hukum Islam [Muqadimah Al-Dustur, Taqiuddin Al-Nabhani, ms 8]. Manakala jika ada pihak pemberontak (bughat) cuba untuk merampas kuasa, Islam telah memerintahkan pihak yang memegang tampuk pemerintahan untuk memerangi mereka sehingga mereka tunduk. Peperangan ini adalah peperangan berbentuk ta’dib (pengajaran) bukannya sebuah perang untuk membunuh musuh [Nizhamul Uqubat, Abdurahman Al- Maliki]. Jika kita kaji dengan teliti, nescaya kita akan dapati bahawa hukum-hakam Islam telah pun menjawab seawal satu abad (1,000 tahun) persoalan-persoalan yang baru muncul di Barat tentang kenegaraan, dengan jawapan yang jauh lebih jitu, terperinci dan sempurna.


Kontrak Sosial Di dalam Penubuhan Malaysia


Apabila negara-negara Komunis menyerang Ideologi Kapitalis dengan mengatakan bahawa kemuncak kepada Kapitalisme adalah penjajahan, ini menyebabkan berlaku beberapa perubahan yang mendasar dalam polisi luar British di tanah jajahan mereka. Mereka mula berfikir untuk memerdekakan negara-negara jajahan mereka. Oleh itu, mereka mula menanamkan asas-asas pemikiran Negara Ideal yang menjadi imaginasi tokoh-tokoh Renaissance mereka. Mereka telah meletakkan bahawa untuk mencapai apa yang mereka sebut sebagai sebuah ‘kemerdekaan’, penduduk negara tersebut mestilah mengadakan apa yang mereka namakan sebagai Kontrak Sosial, sebagai prasyarat untuk kemerdekaan. Dr Chandra Muzaffar mengulas dalam temubual bertajuk ‘Kembali Kepada Sejarah’ “Tanpa kontrak sosial tidak ada Perlembagaan. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan kerana British menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak Sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Kontrak Sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan. Atas sekurang-kurangnya empat perkara ini - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan - Kontrak Sosial telah memainkan peranan yang penting.” [UM
28/08/05].


Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkaitan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orangorang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kadang-kala digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa
Malaysia adalah sebuah negara sekular. [http:// ms.wikipedia.org/wiki/Kontrak_Sosial_di_Malaysia]


Begitulah liciknya British, semasa mereka memerintah (sebenarnya menjajah) negara umat Islam (termasuk Tanah Melayu). Mereka tidak pernah memperkenal atau mengamalkan konsep Kontrak Sosial ini di dalam pemerintahan mereka malah hanya menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita secara paksa. Namun, bila mereka ingin meninggalkan negara dengan ‘memberi’ sebuah ‘kemerdekaan’, mereka mencari jalan supaya ‘legacy’ (warisan) mereka terus tertanam dalam negara umat Islam. Maka, mereka ‘mencipta’ satu konsep yang menurut mereka kononnya ‘baik’ untuk kita, lalu mereka meletakkan Kontrak Sosial sebagai pra-syarat kemerdekaan. Seterusnya, untuk mengukuhkan lagi cengkaman mereka ke atas kita, dimasukkan pula konsep ini ke dalam Perlembagaan, dan mereka menetapkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang mesti ‘dijunjung’. Inilah di antara kejayaan kafir British, dengan kerjasama, secara sedar atau tidak, bonekaboneka mereka – kaum Muslimin telah benar-benar berjaya dikongkong oleh mereka, sehingga umat Islam menganggap seolah-olah apa yang ditinggalkan oleh sang kafir ini sebagai suatu yang ‘suci’ dan tidak boleh dipermainkan. Hukum Allah boleh ditukar ganti tetapi hukum British tidak boleh! Inilah hakikat Kontrak Sosial yang telah ditetapkan oleh British di negeri-negeri kaum Muslimin, termasuk Malaysia.


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam. Agama Allah ini telah sempurna diturunkan untuk mengatur segala hubungan di antara manusia sesama manusia. Apa yang wajib kita lakukan hanyalah kembali kepada Islam di dalam menyelesaikan segala masalah yang muncul. Rasulullah telah mengatur urusan dunia dengan Islam. Baginda telah merubah sistem masyarakat dengan sistem Islam. Oleh yang demikian adalah suatu yang tabi’i dan patut disedari oleh umat Islam bahawa untuk mengatur hubungan masyarakat di dalam negara secara benar, kita perlu kembali kepada Islam, bukan kepada sejarah, apatah lagi sejarah penjajahan Barat. Umat Islam wajib beriman dengan Kitab dan Sunnah dan wajib menjadikan keduanya sebagai Piagam Umat, sebagai sumber rujukan tertinggi untuk Perlembagaan dan Undang-Undang.


Di dalam melaksanakan aktiviti ini, umat Islam memerlukan ‘Kerangka Kerja’ yang jelas bagaimana untuk mengaplikasikan Al-Quran dan Sunnah sebagai Piagam Umat, seterusnya memastikan kelicinan perjalanannya. Penjelasan tentang cara untuk memahami Al-Qur’an dan Sunnah serta bagaimana keduanya ini menjadi sumber Perlembagaan dan Undang-Undang, pencerahan tentang konsep negara dan asas-asasnya, juga dari aspek perlaksanaannya, perlu dikaji dengan mendalam. Oleh sebab itu Al-Quran dan Sunnah hendaklah diambil sebagai Piagam Umat di dalam bentuk ‘blue print’ yang bersifat praktikal, yang menjadi kerangka dasar Piagam ini. Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdul Qadim Zallum telah menulis sebuah kitab untuk kaum Muslimin yang begitu baik bagi menggambarkan sebuah Piagam Umat [Mitsaqul Ummah, Abdul Qadim Zallum].


Wahai kaum Muslimin! Di dalam membincangkan isu Kontrak Sosial ini dan juga lain-lain permasalahan, kita tidak boleh melihatnya dari aspek sejarah dan berpegang dengan apa yang British (dan Perlembagaan mereka) telah ‘tetapkan’ ke atas kita, tetapi kita wajib melihat dan mengembalikan segala persoalan yang ada hanya kepada Islam semata. Ingatlah Firman Allah, “.....kemudian jika kamu berbantah-bantah (berlainan pendapat) tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul(Nya)....” [TMQ An-Nisa (4):59]. Sejak kejatuhan Daulah Khilafah, segala keburukan dan kehinaan tidak putus-putus menyelimuti umat yang digelar oleh Allah sebagai sebagai umat yang terbaik ini, umat yang suatu ketika dulu pernah menakluk hampir dua pertiga dunia, dan memerintah dunia dengan hukum dari tujuh petala langit. Umat ini pada hari ini cukup menderita, menggelupur kesakitan, mengalami pelbagai siksaan dan penghinaan setelah mereka memerintah dengan hukum keji ciptaan mereka sendiri, malah lebih buruk, ciptaan musuh-musuh mereka, musuh Rasul dan musuh Allah.


Apa sudah jadi???


Wahai kaum Muslimin! Saat ini, beberapa negeri umat Islam telah mengambil sistem Sosialisme dan yang selebihnya menerapkan sistem Kapitalisme di dalam negara masing-masing. Tidakkah kalian saksikan bahawa kesemua sistem yang diterapkan ini gagal menjadikan kalian umat yang terbaik? Malah sistem yang lahir dari ideologi kufur inilah yang sebenarnya telah menjadikan kalian umat yang hina. Ini adalah kerana kalian dipimpin dengan hukum kufur yang meninggikan akal manusia dan merendahkan ayat Allah. Oleh itu, bersaksilah kalian bahawa satu-satunya jalan untuk mengembalikan kemuliaan kalian adalah dengan mengembalikan semula kehidupan Islam melalui penegakan semula Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah yang akan menerajui dunia dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Bersaksilah wahai saudaraku.....

 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR