ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


KONTRAK SOSIAL : KEMBALI KEPADA SEJARAH ATAU KEMBALI KEPADA ISLAM


Kontrak Sosial :

Kembali Kepada Sejarah

atau

Kembali Kepada Islam?



Pada persidangan Agung UMNO ke-57 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga merupakan Presiden UMNO menegaskan dalam ucapannya, bahawa kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang ke atas pihak yang terus mempertikaikan kontrak sosial yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini kemudiannya disambut secara positif oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman yang menyatakan, kontrak sosial itu telah diterima sekian lama oleh rakyat Malaysia dan tidak wajar ia diperbahaskan. ‘‘Kontrak sosial tersebut memberi ketenteraman sekian lama hingga Malaysia menjadi contoh bagi sesetengah negara lain.....Ia tidak patut dipertikai oleh mana-mana pihak’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perasmian Sekretariat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Tambahnya, seandainya pertikaian berterusan, ia akan menggugat perkembangan dan kemajuan Malaysia. [UM 18/11/06].



Isu Kontrak Sosial ini sebenarnya telah pun hangat pada tahun lepas, tatkala Mingguan Malaysia pada 14/08/05 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati’. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa dari beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media. Selepas beberapa orang pemimpin campur tangan, maka seperti biasa, semua pihak yang berani bersuara terus menutup mulut dan memendam segala rasa tidak puas hati.



Meskipun istilah ‘Kontrak Sosial’ bukan merupakan sesuatu yang asing bagi rakyat
Malaysia dan telah menjadi bualan dan perbincangan pada mesyuarat agung UMNO yang lepas, tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai di kalangan rakyat yang kurang faham ataupun langsung tidak memahami maksudnya. Sautun Nahdhah kali ini akan menyongsong sejarah tentang kedudukan Kontrak Sosial (The Social Contract) ini, seterusnya memaparkan perbincangan tentang Piagam Umat (Mitsaq al-Ummah) menurut perspektif Islam.



‘Du Contract Sosial’


Ketika Eropah masih di zaman kegelapan (dark ages), gereja bersikap keras terhadap sains dan akan menghalang apa sahaja teori yang bercanggah dengan dogmanya. Ini menyebabkan wujudnya ahli fikir dan ahli falsafah (golongan intelektual) yang amat tidak berpuas hati dan mengambil keputusan untuk menggulingkan kuasa gereja/ agama. Setelah itu, terjadi pertembungan yang begitu hebat di antara gereja dan kelompok intelektual ini. Krisis berdarah ini berakhir dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil jalan tengah (kompromi) di mana kuasa pemerintahan yang ada pada gereja dihapuskan dan diserahkan kepada golongan intelektual. Gereja hanya dibenar menguruskan hal-hal agama sahaja. Agama tidak dinafikan tetapi mesti dipisahkan dari kehidupan atau pemerintahan. Setiap orang adalah bebas untuk percaya kepada agama atau tidak (kebebasan beraqidah). Yang penting, agama mesti dipisahkan dari urusan kehidupan. Inilah peristiwa yang membidani lahirnya ‘Sekularisme’.



Golongan Intelektual ini kemudian berfikir keras tentang cara untuk mewujudkan sebuah negara yang ideal (sempurna). Mereka sebenarnya tidak mempunyai idea untuk membina sebuah Negara pun, apatah lagi yang ideal. Dari sini, lahirlah para pemikir atau cendekiawan Barat yang
cuba membina suatu persepsi baru untuk memulakan sebuah Negara. Selama ini mereka jauh ketinggalan dari segala aspek tentang kenegaraan berbanding umat Islam, yang diterajui oleh Khilafah Uthmaniah yang mendominasi politik dunia pada ketika itu. Beberapa perkara tentang Negara mula difikirkan oleh pemikir-pemikir Eropah yang akhirnya meletuskan Revolusi Perancis sebagai manifestasi dari proses Renaissance (pencerahan dari aspek pemikiran). Para pemikir ini kemudian melahirkan pelbagai teori bagaimana untuk mengatur urusan sebuah negara. Oleh kerana tiada apa-apa yang boleh menjadi pegangan mereka, tiada kitab sebagai rujukan, tiada hukum-hakam yang menjadi pegangan, tiada ajaran agama yang boleh memandu mereka, maka mereka hanyalah menggunakan kecerdasan akal semata-mata di dalam mencipta setiap teori. Pada peringkat ini, apa yang mereka boleh kemukakan hanyalah teori semata-mata, dengan beberapa istilah yang digunakan untuk menjelaskan teori tersebut.



Istilah asal Kontrak Sosial (the social contract) telah dikemukakan oleh Plato, seorang ahli falsafah Yunani, lebih 2,500 tahun yang lalu dalam tulisannya ‘The Republic’. Namun begitu beliau tidak memberikan penjelasan secara terperinci mengenainya. Setelah itu datang ahli falsafah yang menerangkan konsep Kontrak Sosial ini; antaranya adalah Hugo Grotius, Kant, Rousseau dan Hobbes. Ahli-ahli falsafah ini bersetuju tentang wujudnya Kontrak Sosial antara pemerintah dengan rakyat. Idea Kontrak Sosial ini diasaskan atas premis bahawa kuasa terletak pada rakyat. Tiga orang ahli falsafah yang banyak menghidupkan dan mewarnai teori Kontrak Sosial dalam sains politik moden Barat, ketika zaman pencerahan dan Revolusi Industri adalah Thomas Hobbes [Leviathan, 1651M], dikuti oleh John Locke [Two Treaties of Goverment, 1690M] dan Jean Jacques Rousseau [Du Contrat Social 1762M]. Karya Rousseau, Du Contrat Social, dikatakan amat berpengaruh dalam mencetuskan Revolusi Perancis 1789.



Dua isu penting yang dibincangkan di dalam teori Kontrak Sosial ini ialah:-


•Institusi yang baik dan berkesan untuk menjaga kepentingan rakyat ialah ‘Negara’ di mana setiap individu melepaskan dirinya dan kuasanya kepada ’kehendak umum’.


•Negara diwujudkan ekoran dari sebuah ‘perjanjian’.


Namun ada beberapa persoalan yang sering menjadi perselisihan di kalangan mereka - mengapakah manusia mewujudkan negara? Siapakah yang akan menganggotai pakatan yang kemudiannya mewujudkan negara? Apakah syarat-syarat perjanjian tersebut? Persoalan-persoalan sebegini telah menjadi perdebatan oleh mereka di dalam perjalanan mewujudkan ‘negara idaman’ mereka. Sebenarnya semua persoalan ini muncul hasil dari ketidakjelasan dan kecelaruan mereka di dalam berfikir yang tidak dipandu oleh suatu aqidah yang benar, yang gagal menjawab dan memuaskan akal si pemikir dan manusia secara umumnya. Inilah manifestasi dari kegagalan aqidah Sekularisme yang memberikan penyelesaian berdasarkan akal manusia, bukannya wahyu. Di dalam Islam, persoalan-persoalan sebegini telah lama dijawab oleh Rasulullah di dalam perjalanan dakwah baginda mewujudkan Negara Islam di Madinah.


Piagam Umat


Sebelum kedatangan Islam lagi telah ada satu kesepakatan seakan-akan ‘Kontrak Sosial’ antara dua kaum Aus dan Khazraj dalam hal kepimpinan dan kenegaraan, namun ianya berlegar atas dasar perkauman. Telah wujud satu kesepakatan di antara mereka bahawa kepimpinan Yathrib (Madinah) mestilah terdiri dari kalangan dua kaum itu sahaja. Namun kesepakatan ini telah terungkai setelah mereka memeluk Islam dan disusuli dengan peristiwa Bai’ah Al-Aqabah II. ‘Kontrak Sosial’ yang wujud sejak sekian lama di negara mereka (Madinah) telah diubah oleh mereka sendiri apabila mereka memeluk Islam dan berbai’ah kepada Rasulullah. Hal ini jelas terlihat dari ucapan mereka kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tatkala proses bai’ah berlangsung. Asy-Sya’bi meriwayatkan bahawa As’ad bin Zararah (pemimpin suku Khazraj) berkata kepada Rasulullah,



“.....engkau telah meminta kepada kami (untuk menyerahkan kekuasaan milik kami), walhal kami adalah satu kelompok masyarakat yang hidup di dalam negara dalam keadaan mulia dan kuat di mana di dalamnya tidak ada seorang pun yang rela dipimpin oleh orang dari luar suku kami.........permintaan tersebut adalah suatu hal yang sukar sekali, tetapi kami ini (telah sepakat) memenuhi permintaan engkau.” Begitulah para sahabat yang mulia telah melepaskan segala ikatan yang ada pada mereka hanya semata-mata untuk mengikat diri mereka dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka meninggalkan ikatan sejarah mereka dan mengikat diri dengan ikatan Islam. Setelah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hijrah ke Madinah, maka baginda terus menggubal piagam yang dinamakan Sahifah Al-Madinah (Piagam Madinah) sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara baru, yakni Daulah Islamiyyah. Sahifah yang menjadi dokumen asas negara ini digubal berdasarkan wahyu semata-mata. Antara kandungan yang jelas adalah unsur pembentukan Negara, hubungan antara orang Islam dan kafir serta hubungan luar negara. Yang paling penting sekali adalah jika wujud sebarang persengketaan, hendaklah ia dirujuk kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.


Sekiranya kita mengkaji khazanah Islam tentang sains politik, maka kita akan menjumpai jawapan yang jelas tentang ilmu politik Islam. Kita pasti akan menemui dengan mudah apa yang dinamakan oleh Barat, Kontrak Sosial ini, bahkan penjelasannya adalah jauh lebih terperinci. Di dalam keadaan Barat terkial-kial mencari jawapan yang benar, di dalam keadaan mereka meraba-raba untuk keluar dari kegelapan, Islam telah lama memberi cahaya petunjuk kepada kita semua. Sebagai contoh, persoalan ahli falsafah Barat berkenaan apakah ‘kontrak’ yang perlu wujud antara pemimpin dan yang dipimpin? Islam telah lama menjelaskan bahawa “Imam (Khalifah) itu adalah pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipeliharanya (rakyatnya).....” [HR Bukhari dan Muslim]. Islam juga menjelaskan bahawa “Imam itu adalah perisai, yang mana dibelakangnya umat berperang.” [HR Muslim]. Hadis-hadis ini dan yang senada dengannya menjelaskan tentang tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya.


Syeikh Abu Ubaid Al-Qasim, salah seorang ulama Islam yang meninggal tahun 224H (884M), hampir seribu tahun mendahului Rousseau, telah meletakkan bab Haqqul Imam ’ala Ra’iyyat, Wa Haqqul Ra’iyyat ’ala Imam (tanggungjawab rakyat terhadap pemimpin dan tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat) sebagai bab pertama di dalam kitab tulisannya berkenaan harta, Al- Amwal. Beliau memuatkan hadis-hadis dan atsar berkenaan dengan dua identiti penting dalam negara iaitu rakyat dan pemerintah. [Kitab Al-Amwal, Abu Ubaid Al- Qasim Bin Salam, ms 10].


Imam Marwardi (meninggal 450H/1058M) dan Imam Abu Ya’la (meninggal 458 H/1065M) telah menulis kitab kenegaraan yang sama judulnya, iaitu Al-Ahkam Al- Sulthaniyyah mengikut pandangan Mazhab Syafie dan Hambali. Kalau kita mengkaji kitab-kitab ini nescaya kita akan dapat menjawab semua permasalahan asas yang dilontarkan oleh pelopor teori Kontrak Sosial Barat. Hukum-hakam bernegara di dalam Islam telah selesai lebih dari 1400 tahun yang lepas. Barat yang telah lama hidup di dalam kegelapan dan jahil tentang ilmu pemerintahan berusaha merangkak keluar darinya dengan mencari-cari alasan yang rasional dan logik terhadap keperluan penubuhan sebuah negara, Hasilnya, mereka menemukan teori Kontrak Sosial yang dilihat sebagai jalan keluar, hal yang telah lama diselesaikan oleh Islam dengan jalan wahyu. Malangnya, pemimpin umat Islam sekarang telah kembali semula ke zaman kegelapan dengan menelusuri sejarah kelam Eropah untuk membentuk sebuah negara berdasarkan kontrak sosial ala Barat. Walhal yang sepatutnya dilakukan oleh para pemimpin ialah mengikuti sejarah pembentukan Negara Islam Madinah yang dirintis oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Inilah KEWAJIBAN yang sebenar-benarnya.


Di sini kami ingin utarakan dua isu sebagai kajian perbandingan, kerana ruangan ini semestinya terlalu sempit untuk membicarakan satu kritikan yang komprehensif. Persoalan Pertama, mengapakah manusia mewujudkan negara? Persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh kedua-dua Imam tentang peri pentingnya Imam (Ketua Negara) dalam Islam. Al-Mawardi dan Abu Ya’la mengatakan bahawa WAJIB secara Ijma’ untuk melantik Imam (Khalifah), di mana mereka beristidlal dengan surah Al-Nisa ayat 49 [Al-Ahkam Al-Sultaniyyah, Mawardi, ms 5, Abu Ya’la ms 19]. Ulama kontemporeri, Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menerangkan dengan jelas tentang kewajiban menubuhkan sebuah Negara Islam (Negara Khilafah) sebagai pimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia yang akan menerapkan hukumhakam syara’ dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia. Beliau telah mengambil dalil dari Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan kaedah usul untuk menerangkan secara syar’i, mengapa umat Islam wajib mendirikan sebuah Daulah Islam. [Al-Khilafah, Taqiuddin Al-Nabhani, ms 1-14]. Justeru, jawapan ringkas kepada persoalan kenapa kita perlu kepada negara adalah ia merupakan suatu KEWAJIBAN yang telah ditetapkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas kita.


Persoalan Kedua ialah, apakah boleh berlaku pembaharuan Kontrak Sosial jika rakyat menginginkannya? Persoalan ini dijawab oleh Rousseau dalam bab ‘Bagaimana Menyekat Rampasan Kuasa Kerajaan’; beliau menyatakan “...bahawa dalam negara, tidak ada undang-undang asas apapun yang boleh ditarik balik, termasuk perjanjian sosial itu sendiri..”. Persoalan ini juga telah lama terjawab di dalam khazanah politik Islam dengan jawapan yang benar-benar memuaskan akal, di mana ‘Piagam Umat’ yang wujud adalah merupakan suatu perkara yang baku, yang tidak dapat diubah kerana ianya bersumber dari wahyu. Perubahan hanya boleh berlaku jika ada nas yang menjelaskan kebolehannya. Rampasan kuasa haram dilakukan sama sekali, selama mana pemerintah memerintah dengan kitabullah dan sunnah RasulNya. Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang seorang pemimpin yang berbuat zalim, “Apakah kami diperbolehkan untuk memerangi mereka, ya Rasulullah?”, jawab Nabi, “Jangan, biarkan mereka selama mereka masih mendirikan puasa dan solat.” [HR At-Thabrani dalam Al-Kabir juga Ibnu Hajar Al-Haitsami dalam Majma Al-Zawaid, V/224]. Puasa dan solat di dalam hadis tersebut merupakan kinayah (kiasan) kepada ‘penerapan syariat Islam’ oleh Ketua Negara.


Dalam riwayat lain: “Dan agar kami tidak merampas urusan (pemerintahan) itu dari pemegangnya, kecuali (kata Nabi): “Jika kalian melihat kekufuran yang nyata, dimana kalian mempunyai bukti yang jelas di sisi Allah.” [HR Bukhari dan Muslim]. Semuanya ini menjelaskan larangan yang nyata untuk merampas atau mengguling pemerintahan selama mana pemerintah masih menerapkan hukum-hukum Islam [Muqadimah Al-Dustur, Taqiuddin Al-Nabhani, ms 8]. Manakala jika ada pihak pemberontak (bughat) cuba untuk merampas kuasa, Islam telah memerintahkan pihak yang memegang tampuk pemerintahan untuk memerangi mereka sehingga mereka tunduk. Peperangan ini adalah peperangan berbentuk ta’dib (pengajaran) bukannya sebuah perang untuk membunuh musuh [Nizhamul Uqubat, Abdurahman Al- Maliki]. Jika kita kaji dengan teliti, nescaya kita akan dapati bahawa hukum-hakam Islam telah pun menjawab seawal satu abad (1,000 tahun) persoalan-persoalan yang baru muncul di Barat tentang kenegaraan, dengan jawapan yang jauh lebih jitu, terperinci dan sempurna.


Kontrak Sosial Di dalam Penubuhan Malaysia


Apabila negara-negara Komunis menyerang Ideologi Kapitalis dengan mengatakan bahawa kemuncak kepada Kapitalisme adalah penjajahan, ini menyebabkan berlaku beberapa perubahan yang mendasar dalam polisi luar British di tanah jajahan mereka. Mereka mula berfikir untuk memerdekakan negara-negara jajahan mereka. Oleh itu, mereka mula menanamkan asas-asas pemikiran Negara Ideal yang menjadi imaginasi tokoh-tokoh Renaissance mereka. Mereka telah meletakkan bahawa untuk mencapai apa yang mereka sebut sebagai sebuah ‘kemerdekaan’, penduduk negara tersebut mestilah mengadakan apa yang mereka namakan sebagai Kontrak Sosial, sebagai prasyarat untuk kemerdekaan. Dr Chandra Muzaffar mengulas dalam temubual bertajuk ‘Kembali Kepada Sejarah’ “Tanpa kontrak sosial tidak ada Perlembagaan. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan kerana British menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak Sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Kontrak Sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan. Atas sekurang-kurangnya empat perkara ini - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan - Kontrak Sosial telah memainkan peranan yang penting.” [UM
28/08/05].


Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkaitan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orangorang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kadang-kala digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa
Malaysia adalah sebuah negara sekular. [http:// ms.wikipedia.org/wiki/Kontrak_Sosial_di_Malaysia]


Begitulah liciknya British, semasa mereka memerintah (sebenarnya menjajah) negara umat Islam (termasuk Tanah Melayu). Mereka tidak pernah memperkenal atau mengamalkan konsep Kontrak Sosial ini di dalam pemerintahan mereka malah hanya menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita secara paksa. Namun, bila mereka ingin meninggalkan negara dengan ‘memberi’ sebuah ‘kemerdekaan’, mereka mencari jalan supaya ‘legacy’ (warisan) mereka terus tertanam dalam negara umat Islam. Maka, mereka ‘mencipta’ satu konsep yang menurut mereka kononnya ‘baik’ untuk kita, lalu mereka meletakkan Kontrak Sosial sebagai pra-syarat kemerdekaan. Seterusnya, untuk mengukuhkan lagi cengkaman mereka ke atas kita, dimasukkan pula konsep ini ke dalam Perlembagaan, dan mereka menetapkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang mesti ‘dijunjung’. Inilah di antara kejayaan kafir British, dengan kerjasama, secara sedar atau tidak, bonekaboneka mereka – kaum Muslimin telah benar-benar berjaya dikongkong oleh mereka, sehingga umat Islam menganggap seolah-olah apa yang ditinggalkan oleh sang kafir ini sebagai suatu yang ‘suci’ dan tidak boleh dipermainkan. Hukum Allah boleh ditukar ganti tetapi hukum British tidak boleh! Inilah hakikat Kontrak Sosial yang telah ditetapkan oleh British di negeri-negeri kaum Muslimin, termasuk Malaysia.


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam. Agama Allah ini telah sempurna diturunkan untuk mengatur segala hubungan di antara manusia sesama manusia. Apa yang wajib kita lakukan hanyalah kembali kepada Islam di dalam menyelesaikan segala masalah yang muncul. Rasulullah telah mengatur urusan dunia dengan Islam. Baginda telah merubah sistem masyarakat dengan sistem Islam. Oleh yang demikian adalah suatu yang tabi’i dan patut disedari oleh umat Islam bahawa untuk mengatur hubungan masyarakat di dalam negara secara benar, kita perlu kembali kepada Islam, bukan kepada sejarah, apatah lagi sejarah penjajahan Barat. Umat Islam wajib beriman dengan Kitab dan Sunnah dan wajib menjadikan keduanya sebagai Piagam Umat, sebagai sumber rujukan tertinggi untuk Perlembagaan dan Undang-Undang.


Di dalam melaksanakan aktiviti ini, umat Islam memerlukan ‘Kerangka Kerja’ yang jelas bagaimana untuk mengaplikasikan Al-Quran dan Sunnah sebagai Piagam Umat, seterusnya memastikan kelicinan perjalanannya. Penjelasan tentang cara untuk memahami Al-Qur’an dan Sunnah serta bagaimana keduanya ini menjadi sumber Perlembagaan dan Undang-Undang, pencerahan tentang konsep negara dan asas-asasnya, juga dari aspek perlaksanaannya, perlu dikaji dengan mendalam. Oleh sebab itu Al-Quran dan Sunnah hendaklah diambil sebagai Piagam Umat di dalam bentuk ‘blue print’ yang bersifat praktikal, yang menjadi kerangka dasar Piagam ini. Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdul Qadim Zallum telah menulis sebuah kitab untuk kaum Muslimin yang begitu baik bagi menggambarkan sebuah Piagam Umat [Mitsaqul Ummah, Abdul Qadim Zallum].


Wahai kaum Muslimin! Di dalam membincangkan isu Kontrak Sosial ini dan juga lain-lain permasalahan, kita tidak boleh melihatnya dari aspek sejarah dan berpegang dengan apa yang British (dan Perlembagaan mereka) telah ‘tetapkan’ ke atas kita, tetapi kita wajib melihat dan mengembalikan segala persoalan yang ada hanya kepada Islam semata. Ingatlah Firman Allah, “.....kemudian jika kamu berbantah-bantah (berlainan pendapat) tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul(Nya)....” [TMQ An-Nisa (4):59]. Sejak kejatuhan Daulah Khilafah, segala keburukan dan kehinaan tidak putus-putus menyelimuti umat yang digelar oleh Allah sebagai sebagai umat yang terbaik ini, umat yang suatu ketika dulu pernah menakluk hampir dua pertiga dunia, dan memerintah dunia dengan hukum dari tujuh petala langit. Umat ini pada hari ini cukup menderita, menggelupur kesakitan, mengalami pelbagai siksaan dan penghinaan setelah mereka memerintah dengan hukum keji ciptaan mereka sendiri, malah lebih buruk, ciptaan musuh-musuh mereka, musuh Rasul dan musuh Allah.


Apa sudah jadi???


Wahai kaum Muslimin! Saat ini, beberapa negeri umat Islam telah mengambil sistem Sosialisme dan yang selebihnya menerapkan sistem Kapitalisme di dalam negara masing-masing. Tidakkah kalian saksikan bahawa kesemua sistem yang diterapkan ini gagal menjadikan kalian umat yang terbaik? Malah sistem yang lahir dari ideologi kufur inilah yang sebenarnya telah menjadikan kalian umat yang hina. Ini adalah kerana kalian dipimpin dengan hukum kufur yang meninggikan akal manusia dan merendahkan ayat Allah. Oleh itu, bersaksilah kalian bahawa satu-satunya jalan untuk mengembalikan kemuliaan kalian adalah dengan mengembalikan semula kehidupan Islam melalui penegakan semula Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah yang akan menerajui dunia dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Bersaksilah wahai saudaraku.....

1 comments:

  1. Anonymous said...
     

    Blognya bagus ;)

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR