ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PERTUBUHAN ZAKAT ANTARABANGSA


Pertubuhan Zakat Antarabangsa


Apakah Ini Yang DiTuntut Oleh Islam?


Baru-baru ini telah diadakan Persidangan Antarabangsa Zakat 2006 selama satu hari di Kuala Lumpur bagi membolehkan negara-negara peserta berkongsi pengalaman dan idea dalam urusan mentadbir, mengumpul dan mengagihkan zakat. Ia diadakan hasil cetusan idea Perdana Menteri Malaysia mengenai keperluan mewujudkan dana khas antarabangsa berasaskan pengumpulan zakat sebagai kaedah utama mengagihkan bantuan pembangunan kepada negara-negara anggota OIC yang mundur. Idea itu diikuti persetujuan berupa penubuhan Pertubuhan Zakat Antarabangsa pada bulan Jun lalu bagi mengagih dan menyalurkan dana zakat dari negara-negara anggota yang lebih kaya kepada negara-negara yang memerlukan. [UM 28/11/06]


Perbincangan tentang zakat sememangnya tidak dapat lari dari topik kemiskinan. Ini adalah suatu yang terkait rapat kerana salah satu dari asnaf zakat itu sendiri adalah untuk orang-orang miskin. Jadi, tidak hairanlah jika ada cadangan diutarakan untuk mengagihkan harta zakat kepada negara-negara miskin. Yang hairannya ialah, kenapakah dengan jumlah zakat yang berjuta-juta ringgit dipungut setiap tahun, namun kemiskinan masih tetap berleluasa? Tambah menghairankan lagi ialah, kenapakah setelah dibahagi-bahagikan harta zakat, masih banyak lagi yang tersisa di dalam simpanan sehingga ada cadangan untuk melaburkan harta zakat? Sungguh aneh! Wang zakat banyak tersisa tetapi fakir miskin tetap ada. Ke mana perginya harta zakat, sehingga masih ada yang merempat?


Sekilas Fakta Zakat Di Zaman Khilafah


Zakat sememangnya suatu hal yang sangat penting di dalam Islam. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Sesiapa yang membezakan di antara kewajipan zakat dan solat, maka tergelincirlah aqidahnya. Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah memerangi golongan yang enggan membayar zakat, walaupun mereka masih mengerjakan solat. Walaupun Saidina Abu Bakar dikenali sebagai seorang yang berperwatakan lembut, namun beliau tidak pernah berlembut kepada sesiapa sahaja yang menyeleweng dari hukum Allah. Beliau mengisytiharkan perang ke atas golongan yang enggan membayar zakat walaupun jumlah mereka adalah ramai dan mereka mempunyai kekuatan. Kata-kata beliau yang sangat lantang dan tegas terpahat di dalam sejarah umat Islam dan masih segar sehingga ke hari ini. Inilah sifat seorang pemimpin yang benar-benar menjaga agama Allah. Beliau sanggup menggadai nyawa hanya semata-mata kerana ingin memastikan hukum Allah tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.


Kisah Abu Bakar ini menunjukkan dengan jelas kepada kita akan kepentingan zakat di dalam Islam sebagai satu hukum Allah yang wajib dijaga. Hukum berkenaan zakat diterangkan di dalam Al-Qur'an dan dirincikan lagi di dalam hadis-hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam. Terdapat pelbagai peristiwa di zaman Rasulullah yang menunjukkan dengan jelas bagaimana Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam menerap dan melaksanakan rukun Islam yang keempat ini. Kisah-kisah yang berlaku di zaman para sahabat juga banyak menerangkan kepada kita betapa mereka benar-benar menjaga perlaksanaan hukum ini di dalam pemerintahan mereka. Imam-imam empat mazhab dan juga ulama-ulama muktabar yang lainnya tidak pernah ketinggalan membincangkan tentang zakat di dalam kitab-kitab mereka. Semua ini membuktikan kepada kita bahawa zakat yang merupakan salah satu dari rukun Islam ini, senantiasa diperhatikan hukum-hakam dan perlaksanaannya oleh pemerintah dan ulama agar kesucian hukum Allah ini tetap terpelihara. Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus sedar bahawa zakat merupakan salah satu dari perintah Allah yang menuntut kita menjaganya dengan hati-hati agar kita tidak terjerumus atau menjerumuskan diri ke dalam kesalahan dan kebinasaan di dalam penerapannya.


Zakat telah direalisasikan secara nyata dan berjayanya di dalam perjalanan sejarah Islam. Kejayaan gemilang di dalam perlaksanaannya terbukti ketika ada zaman di mana tidak ditemui orang-orang fakir atau miskin yang berhak untuk menerima zakat. Ini dapat dilihat semasa pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, sebagaimana diungkapkan oleh Yahya bin Sa'id, seorang petugas amil zakat pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau berkata, "Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengutusku untuk mengumpulkan zakat orang Afrika. Lalu aku menariknya dan aku minta dikumpulkan orang-orang fakirnya untuk kuberi zakat. Tapi ternyata tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang mengambilnya. " [Ulwan, 1985:2, As-Siba'i, 1981:392]. Zaman pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz terkenal dan terabadi sebagai zaman yang penuh kemakmuran sehingga tiada dari rakyatnya yang layak untuk menerima zakat. Jadi, tidak hairanlah jika ada ulama yang menyatakan bahawa Khalifah Umar Bin Abdul Aziz adalah salah seorang dari Khulafa'ur Raasyidin.


Namun sayang, keadaan seperti itu kini hanya menjadi nostalgia silam. Setelah hancurnya Daulah Khilafah Islamiyyah pada 3 Mac 1924 sebagai institusi pelaksana zakat dan setelah pemahaman umat terhadap ajaran-ajaran Islam (termasuk zakat) menjadi semakin lemah, maka urusan zakat telah diselewengkan sehingga yang berhak menerima zakat tidak diberikan haknya, manakala yang tidak layak pula diberikan zakat. Setelah tidak adanya Daulah Khilafah yang memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, maka zakat kini difahami sebagai sesuatu yang terpisah dari insitusi pelaksananya. Zakat telah dicabut dari kesatuannya dengan hukum-hukum Islam yang lain di dalam bidang ekonomi.


Oleh kerana itu, tatkala umat membicarakan persoalan berkenaan dengan zakat, ia dianggap sebagai satu-satunya hukum Islam yang dapat digunakan untuk mengatasi kemiskinan. Zakat dipaksa untuk 'memikul' semua beban dari keseluruhan tugas sistem ekonomi Islam seolah-olah zakat itulah satu-satunya sistem ekonomi di dalam Islam. Hukum-hukum utama yang lainnya yang menjadi teras ekonomi Islam seolah-olah tidak pernah wujud.


Persoalan seperti al-anfaal (harta rampasan perang), jizyah (harta yang diambil oleh negara dari warga negara bukan Islam), hukum kharaj (hukum cukai tanah), hukum syirkah (persyarikatan dalam Islam), hukum istisna' (hukum berkaitan industri pembuatan), hukum milkiyah al-'ammah (harta milik umum), hukum milkiyah ad-daulah (harta milik negara), 'usyuur (harta yang diambil oleh negara dari komoditi perniagaan ahlul zimmah/kafir harbi yang melintasi sempadan negara) dan sebagainya langsung tidak disentuh, bahkan lebih buruk, langsung tidak difahami atau dipelajari. Jika dipelajari sekalipun, hanyalah untuk tujuan akademik atau bersifat teori semata-mata, bukannya untuk diterapkan. Sebaliknya sistem ekonomi kapitalis dipelajari dengan bersungguh-sungguh untuk diterapkan. Inilah kondisi terburuk yang melanda umat Islam saat ini, hukum kufur dilaksanakan, hukum Allah dibakul sampahkan! Na'uzubillah min zhalik .


Zakat Dan Baitul Mal


Baitul Mal adalah tempat yang dikhususkan bagi kemasukan dan pengeluaran harta yang menjadi hak seluruh kaum Muslimin. Pengelolaan Baitul Mal ini adalah di bawah tanggungjawab Negara secara langsung di mana Negaralah yang menjalankan kerja-kerja kemasukan dan pengeluaran semua harta yang disimpan di Baitul Mal. Di zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam, segala harta yang dikumpul oleh Negara ditangani oleh baginda sendiri, dan ada ketikanya oleh para wali dan amil baginda. Baginda juga melantik pencatat untuk mencatat jenis harta. Antaranya adalah Muaiqib bin Abi Fathimah untuk mencatat ghanīmah, Zubair bin Awwam untuk zakat, Hudzaifah bin Yaman untuk hasil masukan dari Hijaz, Abdullah bin Rawahah untuk hasil masukan dari Khaibar dan lain-lain lagi. Setiap kali adanya harta yang masuk maka Rasulullah segera membahagikannya atau membelanjakannya untuk kepentingan kaum Muslimin sesuai dengan apa yang telah ditentukan oleh syara'. Hasan bin Muhammad menuturkan,


"Bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam, jika datang kepada beliau harta fa'i, ghanīmah, atau kharāj, beliau tidak menyimpannya pada siang hari dan tidak juga pada malamnya."


Hal yang sama dituturkan juga oleh Jubair bin Muhammad, sebagaimana diriwayatkan oleh Abdur Razzaq. Keadaan yang sedemikian terus berlanjutan sampai ke tahun pertama pemerintahan Khalifah Abu Bakar. Pada tahun kedua pemerintahan, Abu Bakar menetapkan satu tempat (bilik) di rumahnya secara khusus untuk menyimpan harta yang masuk dari berbagai daerah. Semua harta itu beliau belanjakan untuk kepentingan seluruh kaum Muslimin. Apabila Abu Bakar meninggal dunia, Umar menjawat jawatan khalifah. Beliau mengumpulkan para sahabat dan bersama-sama masuk ke rumah Abu Bakar dan membuka bilik tempat menyimpan harta. Ternyata harta yang ada hanya berbaki satu dinar dan itu pun kerana kelalaian pencatatnya. Semua harta habis dibelanjakan untuk kepentingan kaum Muslimin.


Tatkala futūhāt (pembukaan negeri baru) semakin meluas, harta yang masuk ke dalam simpanan Negara pun bertambah banyak, maka Umar mengkhususkan satu rumah untuk menyimpan segala harta. Beliau membentuk jabatan untuk mengurus dan mencatatnya. Beliau juga melantik pencatatnya, memberi bantuan kepada rakyat, serta membentuk satu jawatankuasa untuk menguruskan harta-harta tersebut. Peristiwa ini menurut sebahagian ahli sejarah terjadi pada tahun ke-20 H. Sejak saat itu, Umar adalah khalifah pertama yang memperuntukkan sebuah rumah khusus, yang disebut Baitul Mal (rumah harta) untuk menguruskan pendapatan dan pengeluaran harta kaum Muslimin. Umar membentuk diwan (seperti jabatan) khusus untuk mengendalikan pengurusan harta-harta tersebut dan sejak saat ini Baitul Mal sebagai lembaga dan tempat menyimpan harta dengan struktur diwannya menjadi sebahagian dari struktur Negara Khilafah. Oleh kerana itu apabila kita membicarakan tentang zakat, maka ianya tidak boleh dipisahkan dengan Baitul Mal dan juga Khilafah kerana Baitul Mal adalah suatu institusi yang terintegrasi di dalam negara Islam (Khilafah) yang berperanan sebagai pusat mengumpul dan mengagihkan harta.


Zakat Dan Hubungannya Dengan Khilafah


Sebagaimana yang kita sedia maklum, zakat adalah suatu kewajiban yang hukumnya bersifat pasti (qath'i) seperti mana yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kaum Muslimin di dalam Al-Qur'anul Karim. Namun dalam perlaksanaannnya zakat bukanlah kewajiban individu yang bergantung semata-mata kepada urusan individu seseorang Muslim. Zakat adalah suatu kewajiban yang dilaksanakan di bawah pengawasan pemerintah. Peranan pemerintah dalam mengatur urusan zakat dapat diringkaskan kepada dua bahagian. Pertama, pemerintah berperanan sebagai pelaksana tunggal dalam urusan pengaturan zakat baik dalam aspek pengumpulan mahupun pembahagian harta zakat tersebut. Kedua, pemerintah berperanan sebagai badan pelaksana ( kiyan tanfiz) hukuman ('uqubat) terhadap mereka yang enggan membayar zakat.


Dalil-dalil Al-Qur`an dan Al-Sunnah menunjukkan bahawa pihak yang wajib mengurus/mengelola zakat adalah pemerintah, yakni seorang Imam (Khalifah) atau orang-orang yang mewakilinya. Orang-orang yang berhak menerima zakat (para mustahiq zakat) telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasarkan firmanNya, "Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil zakat, mu`allaf, hamba, orang-orang berhutang, jihad fi sabilillah, dan ibnu sabil." [TMQ At-Taubah (9):103]. Ayat ini membatasi dan mengkhususkan para mustahiq zakat hanya kepada lapan golongan (asnaf) sahaja. Zakat tidak boleh diberikan kepada selain mereka.


Pemerintah selain berperanan sebagai pengelola harta zakat juga berhak menjatuhkan hukuman kepada orang-orang yang tidak melaksanakan zakat ketika mana hartanya sudah memenuhi syarat-syarat wajib menunaikan zakat. Tindakan dan hukuman yang dijatuhkan oleh pemerintah kepada orang yang menolak dari membayar zakat bergantung kepada keadaan masing-masing yang dapat dihuraikan seperti berikut:


Pertama, jika seseorang itu tidak membayar zakat kerana tidak tahu akan kewajibannya maka ia tidak dikafirkan dan tidak dijatuhi hukuman ta'zir. Pemerintah perlu menjelaskan kewajibannya dalam membayar zakat dan mengambil zakat darinya.


Kedua, jika seseorang itu tidak membayar zakat dengan mengingkari kewajibannya maka ia dianggap murtad dan diperlakukan sebagai seorang murtad. Dia akan diminta untuk bertaubat (kembali masuk Islam) dan jika tidak mahu bertaubat, maka pemerintah mesti menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dan hartanya menjadi hak Baitul Mal.


Ketiga, jika seseorang itu tidak membayar zakat tetapi masih mengimani akan kewajibannya dalam agama maka zakat akan diambil secara paksa oleh pemerintah dari individu tersebut. Jika mereka menentang secara berkelompok dan tidak mahu membayar zakat maka mereka akan diperangi oleh pemerintah dan diperlakukan sebagai bughat (pemberontak) .


Kenapa Sukar Untuk Kembali Kepada Khilafah?


Wahai kaum Muslimin! Terlalu amat nyata bagi kita bahawa dunia dahulunya berada di bawah naungan Khilafah. Segala urusan umat Islam satu dunia diuruskan oleh seorang pemimpin sahaja yang bergelar Khalifah. Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali adalah Khalifah yang memerintah dunia. Begitu juga para Khulafa' Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. Mereka semuanya adalah Khalifah-Khalifah Allah di muka bumi. Mereka digelar Khalifah bukan disebabkan oleh tradisi, mereka memerintah dengan Sistem Khilafah bukan kerana tradisi, mereka dibai'ah juga bukan kerana tradisi, namun mereka menjadi Khalifah dan memerintah dengan Sistem Khilafah serta mereka dibai'ah kerana ianya adalah suatu KEWAJIBAN. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah menunjukkan dengan jelas bahawa baginda merupakan Nabi yang terakhir yang mengurus umat di mana setelah baginda, urusan pemerintahan ini akan diganti dan diuruskan oleh para Khalifah. Inilah pesan baginda kepada kita semua yang WAJIB kita ikuti,


"Dahulu Bani Israel diuruskan oleh Nabi-nabi. Setelah wafat seorang Nabi, maka digantikan (oleh Allah) dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya selepasku ini tidak akan ada Nabi, (tetapi) akan ada banyak Khalifah. Sahabat (lalu) bertanya, apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab baginda, penuhilah bai'ah yang pertama dan yang pertama (sahaja).... ."

[HR Muslim].


Di saat ini, di mana-mana sahaja negeri umat Islam, kita melihat bahawa hukum Allah 'ditundukkan' oleh akal-akal manusia. Yang malangnya, manusia itu adalah manusia yang beragama Islam, yang sepatutnya tunduk kepada hukum Allah. Hukum Allah mewajibkan umat Islam bersatu dan haram berpecah belah. Umat Islam wajib bersatu dengan persaudaraan Islam. Negeri-negeri umat Islam wajib bersatu di bawah Sistem Pemerintahan Islam. Daulah Khilafah adalah satu-satunya entiti penyatu umat Islam di seluruh dunia. Dengannya, segala hukum-hakam Islam akan menjadi satu. Perlaksanaan hukum juga akan turut disatukan. Hukum tentang pengagihan zakat tidak akan menjadi satu masalah jika yang memerintah dunia adalah seorang Khalifah. Kenapa umat Islam boleh berada bersama di bawah bumbung PBB? Kenapa negeri-negeri Arab boleh berkumpul di bawah Liga Arab? Kenapa negeri-negeri umat Islam boleh bersatu di bawah OIC? Kenapakah umat Islam, para pemimpin Islam, negara-negara umat Islam tidak boleh bersatu di bawah Daulah Khilafah?


Wahai kaum Muslimin! Kita tidak pernah mendengar masalah pengagihan zakat timbul semasa pemerintahan Khilafah, walhal Daulah Khilafah ketika itu menjangkau hampir dua pertiga dunia. Apa yang kita dengar adalah Daulah Khilafah merupakan sebuah negara yang kaya yang tidak ada kemiskinan di dalamnya sehingga di masa-masa tertentu tidak ada orang yang layak menerima zakat. Tidak timbul langsung soal batas sempadan negara yang menyekat pengagihan keluar zakat. Ini adalah kerana negara umat Islam itu adalah negara yang satu.


Wahai kaum Muslimin! Allah dan RasulNya tidak pernah membataskan harta zakat mengikut negeri atau negara. Setiap orang yang beragama Islam dan termasuk di dalam mana-mana asnaf adalah berhak menerima zakat, tidak kira di manapun mereka berada. Salah satu asnaf zakat itu sendiri adalah Ibnus Sabil (anak perjalanan), yang mana ini merujuk kepada mereka yang kehabisan bekalan di dalam perjalanan. Mereka layak menerima zakat. Tetapi, oleh kerana penyelewengan hukum yang berlaku pada hari ini, maka batas negeri dan batas negara menjadi penghalang kepada pengagihan zakat. Walhal ini hanyalah batas-batas palsu dan khayalan ciptaan penjajah. Apakah kalian masih tidak nampak wahai saudaraku bahawa penghalang kepada penyatuan kalian adalah pemikiran kufur yang mendominasi pemikiran kalian dan para pemimpin kalian, yang menjadikan kalian dipisah-pisah, dikerat-kerat oleh sempadan yang direka oleh musuh-musuh kalian. Tanyalah pada diri kalian sendiri wahai saudaraku, apakah kalian memerlukan Pertubuhan Zakat Antarabangsa untuk menyelesaikan masalah yang melanda kalian dan saudara-saudara kalian? Apakah di dalam Islam ini persoalan zakat sahaja yang perlu kalian selesaikan sehinggakan kalian memerlukan Pertubuhan ini? Apakah pertubuhan ini merupakan perintah Allah ke atas kalian? Atau apakah Daulah Khilafah yang menjadi perintah Allah itulah yang benar-benar kalian perlukan?


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Selagi sistem yang diterapkan di dalam negeri-negeri umat Islam adalah sistem kapitalisme dan sosialisme yang mengenepikan hukum Allah, maka selagi itulah kita akan menyaksikan penderitaan yang tak berkesudahan berlaku ke atas umat Islam. Mungkin sebahagian dari kita terdiri dari golongan yang kaya atau stabil dari segi kewangan, maka golongan ini tidak merasakan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara mereka yang lain. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam mengingatkan kita bahawa tidak beriman seseorang itu yang tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Rasulullah juga mengingatkan kita bahawa haram hukumnya seseorang itu tidur di dalam kekenyangan sedangkan dia mengetahui bahawa jirannya tidur di dalam kelaparan. Rasulullah turut mengingatkan kita bahawa pemimpin itu adalah pemelihara rakyatnya. Maka, bagaimana mungkin seorang Muslim yang lalai dan seorang pemimpin yang kaya raya terlepas dari dosa bila mana mereka hidup dikelilingi kemewahan walhal pada masa yang sama kemiskinan berleluasa di depan mata. Adalah suatu yang lumrah di dalam sistem sekular yang mengamalkan ekonomi kapitalis sekarang, jika kita menyaksikan golongan pemimpin dibanjiri kemewahan, sedangkan rakyatnya menderita kelaparan, dihimpit kemiskinan dan juga kesusahan. Manakala zakat tak pernah kehabisan, kemiskinan masih tidak hilang! Apa kisah, apa gerangan?


Wahai kaum Muslimin! Wahai pemimpin kaum Muslimin! Tidakkah kalian pernah bertanya pada diri kalian, sampai bilakah sistem kufur ini akan kalian pertahankan? Tidak terdetikkah di dalam hati kalian bahawa perbuatan ini adalah suatu dosa yang cukup besar? Tidak sedarkah kalian bahawa segala dosa yang kalian lakukan akan terus dicatit oleh malaikat yang tidak pernah lalai dan sentiasa ada di sebelah kalian, tidak pernah rehat dan tidak pernah tidur? Tidak terfikirkah kalian bahawa kaki kalian tidak akan dapat melangkah walau sedikitpun di padang mahsyar sehingga Allah selesai memberikan perhitunganNya ke atas kalian? Kenapakah kalian menggunakan kuasa yang ada untuk menerapkan hukum sendiri, bukannya hukum Allah? Tidak takutkah kalian dengan siksaan Allah yang amat pedih yang akan mengazab kalian kerana tidak menerapkan hukumNya? Bertaqwalah kepada Allah wahai kaum Muslimin, wahai para pemimpin kaum Muslimin...

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR