ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


GEJALA SOSIAL – PI MAI PI MAI TANG TU


GEJALA SOSIAL – PI MAI PI MAI TANG TU


Sejak akhir-akhir ini, gejala sosial di Malaysia nampaknya semakin banyak dan menjadi-jadi. Jika dulu setiap kali isu sosial ini timbul, masyarakat akan terus mencemuh dan mengaitkannya dengan budaya kehidupan Barat. Istilah ‘budaya kuning’ cukup popular suatu waktu dulu bagi menggambarkan kehidupan bebas di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi di Malaysia. Waktu itu, masyarakat masih memandang keji budaya import ini yang telah merosakkan akhlak, khususnya golongan muda. Tahun demi tahun berlalu, istilah budaya kuning semakin terhakis dan terus hilang dari kamus. Dengan kata lain, ‘budaya kuning’ itu telah kehilangan kuningnya dan kini telah menjadi ‘budaya kita’. Sebab itulah, gejala sosial yang berlaku kini bukanlah merupakan satu perkara asing lagi di dalam masyarakat. Masyarakat nampaknya sudah ‘lali’ dengan apa yang berlaku dan sudah pasrah dengannya, bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’.


Hampir setiap hari kita didedahkan dengan bermacam-macam laporan tentang masalah salah laku remaja. Berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan sudah terlalu lumrah, sehingga ia tidak lagi dilakukan di tempat yang tersorok, malah telah berlaku secara terang-terangan di tempat awam. Jika dulu kes-kes berpeluk, cium dan raba adalah fenomena biasa di tasik-tasik, kini ia boleh dilihat di mana-mana, termasuklah di kedai-kedai mamak sekalipun. Budaya rempit sudah tidak terkata dan semakin hari mereka semakin menunjukkan belang. Ini terjadi setelah golongan mat rempit ini semakin mendapat perhatian kerajaan, seolah-olah mereka ini telah diberi satu ‘pengiktirafan’. Baik di bandar mahupun kampung, golongan ini sudah tidak memilih tempat lagi, asalkan ada jalan raya. Lebih buruk, aktiviti rempit ini turut melibatkan golongan remaja perempuan. Apa yang paling menyedihkan kita ialah, mereka ini semuanya beragama Islam! Malah sebahagian besar kes gejala sosial yang berlaku di Malaysia adalah melibatkan muda-mudi Islam!


SEDIKIT BERITA TERKINI


Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan moral khususnya yang menyentuh perkara-perkara berkaitan hubungan antara lelaki dan perempuan, mereka pastinya telah mengetahui tentang isu terkini sekitar laporan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dibuat oleh pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Khaidzir Ismail telah mendedahkan bahawa hanya seorang sahaja daripada subjek-subjek ujikaji berjumlah 887 remaja bermasalah masih belum pernah melakukan ’hubungan seks’. Laporan tersebut telah menjadi isu kontroversi di mana penemuan tersebut telah dikritik hebat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyatakan hasil laporan tersebut tidak boleh diguna pakai kerana terdapat kesalahan dari segi statistik serta definisi.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula meluahkan, ‘‘Jangan hukum seluruh generasi muda hanya kerana perlakuan 886 gadis... ramai lagi golongan remaja perempuan yang baik, rajin, menghormati orang tua dan tidak tinggal sembahyang... kenapa kita tidak bercakap mengenai mereka? Kenapa kita hanya menumpu kepada isu-isu kecil sahaja”. Beliau seterusnya menyatakan, ‘‘Jangan jadikan hasil kajian ini untuk menghukum mereka. Henti menghukum generasi muda,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran media Festival Sastera Antarabangsa Kuala Lumpur [UM 02/03/07].


Cukup malang apabila kita mendengar kes ini dianggap sebagai kes kecil sahaja, apatah lagi bila dikatakan tidak perlu menghukum remaja dengan (kajian) kes-kes sebegini. Mungkin kerana ia melibatkan remaja maka ia dianggap kes kecil dan tidak perlu menghukum, tetapi jika ia melibatkan mana-mana Datuk atau Menteri, maka kes ini adalah kes besar dan perlu dihukum. Mungkin juga kerana ia dilakukan secara suka sama suka oleh remaja yang berkenaan, maka ia dianggap sebagai kes kecil sahaja dan tidak perlu menghukum remaja kerananya, tetapi jika remaja memaksa (mencabul kehormatan/merogol) remaja lain, barulah kes ini dikatakan besar! Pelik! Apakah standard/ukuran yang digunakan? Walhal di dalam Islam, sesiapa sahaja yang berkhalwat, berzina (suka sama suka) atau merogol, sama ada rendah atau tinggi status sosialnya sekalipun, jika ia dilakukan oleh orang yang telah baligh dan berakal, maka ia wajib dihukum. Dengan kata lain, kes ini wajib diselesaikan, bukan dibiarkan.


Biarpun kesahihan kajian UKM tersebut dipertikaikan, namun apa yang pasti masalah keruntuhan akhlak terutama yang membabitkan hubungan antara lelaki dan perempuan seperti khalwat, zina dan lain-lain, memang telah lama menular di dalam masyarakat Islam di Malaysia. Pertikaian dari segi statistik dan definisi ini tidak dapat menidakkan gejala sosial yang semakin parah ini. Tambahan lagi, bukan soal statistik dan definisi yang ingin kita bahaskan, tetapi kesalahan itu sendiri. Maksudnya, wujud atau tidak salah laku tersebut, inilah yang kita perlu persoalkan. Jika wujud, tidak kira berapa statistiknya sekalipun, kita wajib menyelesaikannya, dan wajib diselesaikan menurut perspektif Islam, bukan menurut akal kita. Cara memandang dan menilai salah laku remaja dari aspek kuantitatif tidak akan membawa kepada apa-apa penyelesaian. Adakah kita hanya ingin menunggu statistik yang besar dan terbukti secara kuantitinya, barulah kita akan menganggap masalah ini serius dan perlu diatasi? Apakah kita ingin menunggu masalah ini menjadi sebati dengan remaja barulah kita ingin bertindak? Cara berfikir sebeginilah yang menyebabkan masyarakat menjadi lali dengan gejala sosial dan masyarakat juga turut lali dengan kegagalan yang berlanjutan dalam mengekang masalah ini dan mula menerimanya sebagai sesuatu yang lumrah.


Kebuntuan pihak-pihak bertanggungjawab dalam memberikan penyelesaian juga jelas terbukti dengan peningkatan kadar jenayah. Kita melihat dengan mata kepala kita sendiri bahawa, biarpun telah bermacam pendekatan diambil dan berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk menangani gejala-gejala ini, masalahnya tidak pernah berkurangan malah telah bertambah dari tahun ke tahun. Biarpun bilangan penduduk Malaysia hanya bertambah sekitar 2% setiap tahun, indeks jenayah rogol dan sebagainya telah bertambah dengan lebih besar. Pada tahun 2004, jenayah rogol telah bertambah sebanyak 16.8% kepada 1,718 kes daripada 1,471 kes pada tahun 2003 (statistik Polis DiRaja Malaysia) berbanding pertambahan penduduk yang hanya meningkat sebanyak 2.1%. Pada tahun 2005, kes rogol telah meningkat kepada 1,895 kes, peningkatan sebanyak 10.3% berbanding 2004 dan pada tahun lalu pula, jenayah rogol terus meningkat kepada 2,238 kes, pertambahan sebanyak 18.1%. Jika dibandingkan, pertambahan penduduk hanya meningkat sebanyak 1.9% sahaja.


Bagi kes pencabulan kehormatan pula, PDRM telah merekodkan 1,399 kes pada tahun 2003, meningkat 18.7% kepada 1,661 pada tahun 2004, meningkat lagi pada tahun 2005 kepada 1,771 dan pada tahun lepas terus lagi meningkat kepada 2,023 kes iaitu pertambahan sebanyak 14.2%. Ini tidak dikira kes-kes jenayah lain yang juga menunjukkan corak kenaikan yang sama setiap tahun. Adakah ini senario yang kita harap-harapkan? Adakah para ibu bapa boleh tidur lena dengan mengetahui risiko-risiko yang boleh menimpa anak-anak mereka? Bolehkah kita berbangga dengan pertumbuhan ekonomi lebih 5% setiap tahun dari tahun 2003, yang hakikatnya turut disertai pertumbuhan kadar jenayah sosial seperti yang telah dinyatakan? Adakah kita perlu pasrah dengan kenyataan bahawa peningkatan kadar jenayah tersebut sebagai suatu yang lumrah? Apakah kita tidak mahu mengubah keadaan ini? Apakah tidak wujud penyelesaian bagi masalah ini di dalam agama Allah?


KAEDAH PENYELESAIAN YANG TIDAK MENYELESAIKAN


Mereka yang terlibat dalam gejala sosial yang diketengahkan ini rata-ratanya menjalani kehidupan mereka dengan melakukan tindakan-tindakan tanpa matlamat yang jelas atau tanpa matlamat langsung. Tanpa matlamat dan hala tuju kehidupan yang jelas ini, maka perbuatan-perbuatan manusia akan dilakukan berdasarkan miqiyas (penilaian) yang tersasar dari jalan yang diredhai oleh Allah. Ada masanya mereka ini melakukan tindakan-tindakan bodoh kerana menjadi pak turut kepada satu pandangan hidup yang terpesong. Konsep kebebasan hidup yang dipeloporkan oleh ideologi ciptaan Barat telah meracuni minda umat Islam di Malaysia hingga ianya menjadi pasak kepada pembentukan asas nilai kepada tindak-tanduk mereka.


Budaya hedonisme dan budaya-budaya Barat lain yang mengajak kepada pemenuhan tuntutan nafsu dan keseronokan secara maksima menjadi ikutan hasil daripada tiadanya kefahaman terhadap tujuan manusia diciptakan di atas muka bumi ini. Ini ditambah pula dengan sistem kehidupan yang diamalkan kini telah meletakkan nilai-nilai pincang pujaan Barat sebagai asas nilai kehidupan masyarakat kini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju tetapi bukan sebagai pelanggaran perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Cinta sebelum kahwin dan muqaddimah zina dibiarkan dan dipandang enteng oleh masyarakat sehingga mereka yang tidak melakukannya dilihat sebagai kolot atau ketinggalan zaman. Undang-undang yang ada pula dengan mudah dipermainkan apabila nilai denda/hukuman yang dikenakan langsung tidak menggerunkan. Pihak berkuasa pula lebih memandang masalah sosial ini sebagai isu individu dan bukannya satu jenayah besar yang mesti dibanteras sekeras-kerasnya.


Setiap kali berlakunya kes-kes baru yang dihangatkan oleh media, seringkali kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian yang kononnya dapat menangani permasalahan yang timbul. Masyarakat telah lumrah dengan pendekatan-pendekatan tekstual seperti memberikan pendidikan agama yang secukupnya, menyediakan lebih banyak pusat-pusat didikan dan kaunseling, melaksanakan undang-undang yang lebih ketat dan sebagainya. Ada pula pihak yang lebih sibuk menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak tertentu daripada memberikan penyelesaian. Antara golongan yang biasa kita dengar akan dipersalahkan apabila adanya berita remaja terlibat dengan salah laku moral adalah pihak ibubapa, rakan sebaya, media massa, internet, pihak sekolah khususnya guru-guru, masyarakat dan seumpamnya. Malah, imam masjid kadang-kadang turut dipersalahkan kerana gagal menarik minat golongan muda untuk ke masjid dan mendalami ilmu agama. Yang pasti, satu-satunya pihak yang tidak pernah bersalah adalah kerajaan! Kerajaan adalah satu pihak yang telah melaksanakan segala-segalanya untuk kebaikan rakyat. Segala yang kerajaan lakukan ialah demi untuk rakyat. Jadi, jika masih terdapat masalah, maka rakyatlah yang bersalah. Kerajaan seolah-olah merupakan satu institusi ‘suci’ yang tidak pernah bersalah dalam apa jua masalah!


Sebagaimana yang telah disebutkan, setakat ini pelbagai jalan penyelesaian telah diambil. Rata-rata pendekatan yang selalu dicadangkan selama ini lebih banyak dilihat cuba mengubati simptom-simptom yang berlaku dan bukannya mengubati penyakit sebenar. Masalah remaja rosak akhlak, merempit, terjerumus ke lembah maksiat dan penagihan dadah adalah simptom yang timbul daripada penyakit sebenar. Contohnya, jika di sebuah kawasan perumahan terdapat aktiviti memecah batu (kuari) dan akibatnya sebahagian besar dari penduduk terkena batuk-batuk. Jadi, beberapa penyelesaian cuba diambil seperti memakan ubat batuk, menutup tingkap-tingkap rumah dengan kain, membersihkan halaman rumah dari debu-debu, memakai topeng penutup hidung dan sebagainya. Persoalannya? Apakah semua langkah ini dapat mengubati penyakit batuk tersebut? Apakah ini merupakan penyelesaian yang hakiki? Kami rasa para pembaca semua sudah dapat mengagak bahawa jawapan yang sebenarnya adalah cukup mudah, yakni menutup kuari tersebut atau menghentikan operasinya. Jika batuk yang diubati, bukannya kuari itu sendiri, maka inilah yang dikatakan mengubati simptom, bukan puncanya. Jika beginilah caranya, masalah yang timbul tidak akan pernah dapat diselesaikan!


Berbalik kepada isu gejala sosial seperti kes mat rempit, ada pihak yang mencadangkan agar lesen mat-mat rempit tersebut ditarik seumur hidup atau mereka diberi kaunseling dan didikan agama secukupnya. Turut dicadangkan agar ibubapa mereka didenda. Jika difikirkan, adakah mereka ini merempit hanya kerana mereka mempunyai lesen dan sekiranya lesen mereka ditarik maka mereka tidak akan merempit lagi? Bagi membanteras kes rogol pula, pernah dicadangkan agar perempuan memakai cawat besi, diperketat undang-undang dan sebagainya. Bagi kes tangkap khlawat atau berdua-duaan, cadangan yang biasa adalah diberi kaunseling dan didikan agama. Persoalannya, adakah mereka ini tidak memahami bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah dan berdosa dari segi agama sehingga perlu diberi kaunseling? Tidak cukupkah pendidikan agama dan nilai-nilai murni yang cuba diterapkan di sekolah-sekolah? Inilah beberapa contoh penyelesaian simptom kepada masalah, bukan menyelesaikan puncanya.


ADAKAH SINAR UNTUK KITA?


Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Orang-orang kafir Barat hidup tanpa berpandukan agama. Oleh itu, mereka menyelesaikan segala masalah mereka dengan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa panduan dari agama mereka. Kita umat Islam berbeza sama sekali dengan mereka di mana kita mempunyai panduan yang mana jika kita berpegang dengannya, kita tidak akan sesat selama-lamanya. Dan panduan kita itu tak lain tak bukan ialah Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Jika mengambil selain keduanya, maka sudah barang pasti, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan dan lebih buruk dari itu, umat Islam itu pasti akan tersesat. Inilah apa yang berlaku pada hari ini di mana, pada semua masalah diterapkan hukum akal di dalamnya, bukannya hukum Allah. Umat Islam telah mengambil cara berfikir kafir Barat di dalam menyesaikan segala permasalahan. Maka berlakulah apa yang kita saksikan sekarang - penyelesaian yang tidak pernah menyelesaikan.


Umat Islam tidak habis-habis menggunakan akal dan terus tersesat jalan dengan cuba mengubati penyakit dengan mengubati simptomnya sahaja. Ibarat kata, jika atap sebuah rumah itu bocor dan menyebabkan air menitis setiap kali hujan melanda, umat Islam sibuk mencari penyelesaian dengan mengambil baldi atau lain-lain bekas untuk menakung air yang bocor itu. Mereka sibuk berbincang dan bertelagah sesama sendiri sama ada baldi atau besen yang lebih sesuai. Mereka juga sibuk berbincang saiz baldi dan besen yang akan digunakan. Persoalannya, apakah selesai masalah dengan pendekatan sebegini, jikapun yang diambil itu adalah baldi atau besen emas sekalipun? Wahai kaum Muslimin! Kalian semua mengetahui bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang akan menuntaskan segala masalah ialah dengan membaiki atap yang bocor tadi. Inilah penyelesaian yang hakiki.


Justeru apa yang kami ingin utarakan ialah penyelesaian yang hakiki bagi semua permasalahan hidup manusia adalah Islam. Kerana yang menjadi punca kepada segala masalah ialah tidak diterapkan Islam di dalam kehidupan. Hukum Islam telah diganti dengan hukum kufur. Pemikiran sekular telah meresap dalam dan sebati dengan umat Islam, khususnya para pemimpin yang di tangan mereka terdapat kuasa membuat undang-undang. Oleh kerana telah sebati dengan sistem kufur sekular, maka di dalam menyelesaikan masalah pun, umat Islam telah berfikir dengan cara berfikir orang-orang kafir, yakni menggunakan akal di dalam berhukum. Kitab Allah dibuang, sunnah Rasul dicampak, undang-undang ciptaan manusia dijulang. Inilah punca kepada segala masalah yang menimpa umat Islam. Jadi, satu-satunya cara yang hakiki di dalam menyelesaikan setiap inci masalah ialah umat Islam wajib kembali kepada kehidupan Islam, wajib berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan dan wajib mengikuti sunah RasulNya di dalam segala aspek kehidupan. Barulah dikatakan kita menangani punca kepada masalah, bukan simptomnya. Jika tidak, maka umat Islam sebenarnya telah mengikuti jejak langkah syaitan yang menyesatkan!


“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah (2):208].


Apabila sistem yang mengatur kehidupan itu baik, maka tidak akan ada unsur-unsur yang boleh mendorong manusia untuk melakukan kejahatan atau jenayah. Dalam erti kata lain, sistem yang mampu mengarahkan kecenderungan manusia ke arah ketenteraman dengan terpenuhnya segala tuntutan naluri manusia yang asas akan mampu untuk memastikan terkawalnya manusia daripada melanggar norma-norma kehidupan yang sepatutnya. Sesiapapun perlu memuaskan keperluan fizikalnya (hajatul udhuwiyyah) dengan cara makan, minum, bernafas, buang hajat dan sebagainya. Begitu pula manusia memerlukan ketenangan dengan memenuhi naluri (gharizah) yang dimilikinya. Naluri untuk melestarikan jenis (gharizah an-nau’/sexual instinct) jika tidak diatur sesuai dengan Islam tentu akan mengakibatkan kerosakan akhlak (masalah sosial) dengan merebaknya kes-kes rogol, homoseks, lesbian, pergaulan bebas dan sebagainya.


Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian wanita muslimah, cara memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan (nizham) yang tertentu. Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti:


1. Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan [An-Nur (24):30-31];


2. Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya [An Nur (24):31] dan [Al-Ahzab (33):59];


3. Rasulullah bersabda, “Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya.” [HR. Bukhari dan Muslim].


4. Rasulullah juga bersabda, “Tidak diperbolehkan seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya” [HR. Muslim].


5. Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya;


6. Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jamaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jamaah (komuniti) kaum lelaki;


7. Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama;


8. Islam mengambil berat dalam memelihara keturunan dan nasab. Bahkan Islam menentukan hukuman rejam bagi penzina Muhsan (sudah berkahwin);


  1. Islam menetapkan bahawa penzina bukan Muhsan dihukum 100 kali sebatan [an-Nur (24):2].


Dalam perlaksanaan sistem yang dianjurkan oleh Islam, tanggungjawab untuk memastikan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam terletak ditangan setiap ahli masyarakat dan juga negara. Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihatnya, manakala Negara pula adalah satu institusi pelaksana (qiyan tanfizi) yang penting, yang mana Negaralah yang akan menghukum (uqubat) setiap orang yang melanggar hukum Allah. Jadi, dengan kata lain kehidupan itu wajib diatur dengan sistem Islam, dan jika masih wujud pelanggaran, maka Negaralah yang akan mengenakan hukuman terhadap setiap pelaku maksiat tersebut dan hukuman itu mestilah uqubat Islam, bukannya hukuman akal ciptaan manusia. Perlaksanaan hukuman Islam ini akan mewujudkan dua fungsi iaitu sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa di akhirat). Muhammad Ismail di dalam kitabnya, Fikrul Islam telah menghuraikan bahawa sistem Islam dapat mencegah manusia dari melakukan tindakan kejahatan sebab, bilamana dia melakukan juga kejahatan itu dia akan berhadapan dengan masyarakat dunia dan negara dengan sistem hukuman yang datang dari Al-Khaliq itu sendiri. Di akhirat kelak ia akan menghadapi azab Allah yang sangat pedih lagi menyeksakan.


KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Setakat ini hukum Islam tidak pernah dicadang untuk diterapkan apabila membincangkan setiap masalah. Walhal inilah penyelesaian yang haikiki. Malah, apa yang menyedihkan kita ialah jika pun ada cadangan untuk menerapkan hukum Allah ini, para pemimpin dan mereka yang cintakan sekular terus tidak bersetuju, mempertikaikan, mengkritik bahkan ada yang menolak mentah-mentah. Walhal apa yang sepatutnya mereka lakukan ialah berusaha bersungguh-sungguh ke arah penerapannya secara kaffah, bukan mempertikaikannya. Sekiranya mereka tidak faham sekalipun, apa yang wajib mereka lakukan ialah belajar bersungguh-sungguh memahaminya untuk kemudian mengamal dan menerapkannya. Jika untuk hukum kufur mereka boleh dan sanggup berusaha bersungguh-sungguh menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mempelajarinya, menggubal, membahaskan dan menerapkannya, kenapa tidak untuk hukum Islam?


Wahai kaum Muslimin! Kalian benar-benar memerlukan sebuah negara bagi menerapkan hukum Islam ini. Selagi tiadanya Daulah Khilafah yang akan menerapkan hukum-hukum Allah secara kaffah di dunia ini, selagi itulah kita akan menyaksikan masalah kehidupan yang bertali arus, yang tiada kesudahannya. Hanya mereka yang memiliki ketakwaan yang tinggi sahaja yang akan sanggup bergadai nyawa untuk mengenggam hukum Allah ini, walaupun ia umpama mengenggam bara api. Bagi para pelaku maksiat yang tidak memiliki ketakwaan ini, maka golongan ini hanya boleh diubah dengan adanya sebuah sistem yang datangnya dari Allah yang akan mengubah mereka. Saidina Usman bin Affan pernah berkata, “Sultan (kekuasaan) itu akan meluruskan manusia yang tidak dapat diluruskan oleh Al-Quran.” Maksudnya, jika manusia itu tidak mengikuti apa yang diperintahkan oleh Al-Quran, maka penguasalah (Khilafah) yang akan menghukum mereka (yang akan meluruskan semula mereka). Semoga kekuasaan (Khilafah) ini segera muncul dan akan meluruskan semula manusia dengan Al-Quran serta mengembalikan kehidupan Islam sama ada di dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan juga bernegara. Insya Allah.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR