ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


RASUAH SEMAKIN PARAH


RASUAH SEMAKIN PARAH


Dewasa ini gejala rasuah bukan lagi merupakan satu kejutan, tetapi sudah mendarah daging di dalam tubuh masyarakat. Hampir setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita penangkapan, dakwaan dan juga hukuman ke atas pesalah rasuah, dari sekecil-kecil kes hinggalah ke kes yang melibatkan personaliti yang berprofil tinggi. Kali ini, yang agak menggemparkan, walaupun tidak menghairankan, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) sendiri, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor dilaporkan telah terlibat dalam rasuah, gangguan seksual dan salah guna kuasa [UM 03/03/07]. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kertas siasatan melibatkan Ketua Pengarah BPR itu yang dibuka 10 tahun lalu kini diserahkan semula kepada pejabat Peguam Negara. Musa memberitahu bahawa kertas siasatan itu adalah berupa laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan wanita pada Julai 1997 di Balai Polis Cheras. “Dalam laporan polis yang dibuat, wanita berkenaan yang ketika itu berusia 42 tahun mendakwa dipukul oleh Zulkipli ekoran beliau menolak untuk melakukan hubungan seks”. Semasa laporan itu dibuat, Zulkipli adalah bekas Ketua Polis Johor. Beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah BPR pada 2001, yang mana sebelum menjawat jawatan dalam BPR, beliau adalah Ketua Polis Sarawak [UM 01/03/07].


Dalam perkembangan yang sama, sebuah laporan lain menyebut Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom didakwa menerima sogokan 5 juta ringgit bagi membebaskan tiga penjenayah yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat. Mohd. Johari yang mengaku membebaskan tiga penjenayah mengikut Ordinan Darurat, bagaimanapun menafikan dakwaan beliau menerima sogokan sebanyak RM5 juta dan beliau bersedia untuk disiasat oleh BPR. Katanya, pembebasan ketiga-tiga penjenayah itu dibuat berdasarkan penilaian beliau atas nasihat penasihat undang-undang kementerian dan berdasarkan laporan polis. Beliau sebaliknya mendakwa, terdapat banyak kes polis melepaskan orang yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat tanpa pengetahuan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN). Beliau turut mempertikaikan kredibiliti polis kerana mendakwa banyak kes seperti itu dilepaskan tanpa pengetahuan KKDN [UM 05/03/07].


Sesungguhnya bagi mereka yang prihatin, dua kes yang terbaru ini cukup membimbangkan kita. Apa tidaknya, ia tak ubah seperti kata pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Umum mengetahui bahawa kes di atas hanyalah secebis dari ratusan kes rasuah yang dilaporkan dan ribuan lagi yang tidak dilaporkan. Apa yang berlaku itu hanyalah membenarkan suatu kajian yang dilakukan oleh Transparency International Malaysia yang mengatakan bahawa golongan berpendapatan tinggi di Malaysia lebih cenderung memberi rasuah kepada pihak berkuasa. Menurut kajian itu, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 ke atas didapati paling ramai memberi rasuah iaitu 52%, diikuti kumpulan berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM5,000 (40%), RM1,501 - RM3,000 (31%) dan kurang RM1,500 (18%) [BH 06/03/07].


Suatu kajian yang dikeluarkan oleh Transparency International mendedahkan bahawa terdapat perkaitan yang rapat di antara gejala rasuah dan kemiskinan, iaitu gejala rasuah berlaku kerana didorongi oleh faktor kemiskinan [laporan Corruption Perception Index 2006 (CPI 2006)]. Tiga per-empat (3/4) dari negara-negara yang mempunyai indeks kurang dari 5 adalah terdiri dari negara-negara miskin di mana rakyatnya berpendapatan kurang dari 1USD sehari (0 adalah paling dicemari oleh rasuah, dan 10 adalah paling bersih dari rasuah). Haiti iaitu negara yang paling miskin di Carribean menduduki tangga terbawah dengan index 1.8, sementara Guinea, Iraq dan Myanmar menduduki tangga kedua tercorot dengan index 1.9. Iraq mengalami kemiskinan selepas penjahahan oleh Amerika di mana satu pertiga dari rakyatnya hidup di bawah paras kemiskinan, dan 5% dari rakyat Iraq mengalami kemiskinan serius, walaupun Iraq mempunyai simpanan minyak kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi [http://www.islamonline.com, 19 Febuari 2007].


Laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun ini dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004. Kajian pada tahun 2006 pula telah mencatatkan Malaysia dengan index CPI 5.0, jatuh ke tangga 44, dari sejumlah 163 buah negara. [http://www.finfacts.com/corruption.htm]. Laporan ini membuktikan bahawa gejala rasuah adalah semakin buruk di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok sendiri tidak menyangkal indeks ini [UM 13/02/07].


Walau apa yang dilaporkan sekalipun, bukanlah kerja kita untuk melihat dari segi kuantiti dan seterusnya berbangga jika indeks negara Malaysia semakin baik. Sebagai seorang Muslim, kita wajib melihat isu ini dari perspektif Islam, yang mana Islam memandang bahawa tujuan hidup kita adalah untuk beribadah kepada Allah dan meraih keredhaanNya semata-mata. Justeru, tolok ukur perbuatan kita di dunia di dalam meraih redha Allah adalah diukur dengan indeks halal dan haram dan bukannya diukur dengan indeks selain dari ini. Inilah di antara perbezaan mendasar di antara Ideologi Islam dengan Ideologi Kapitalis yang memandang bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah untuk meraih sebanyak-banyak manfaat (samada berupa wang ringgit, harta-benda atau lain-lain) tanpa mengira halal atau haram. Inilah juga sebenarnya yang telah menjadi punca kehinaan umat Islam di mana mereka telah mencampakkan Ideologi Islam dan mengambil serta mengamalkan Ideologi Kapitalis di dalam kehidupan mereka. Halal dan haram tidak lagi menjadi pegangan, tetapi manfaatlah yang dijadikan ukuran di dalam setiap perbuatan! Oleh itu, jika dengan memberi atau menerima rasuah akan beroleh manfaat, maka mereka terus melakukannya, tanpa mengambil kira lagi aspek keharamannya dan tanpa rasa takut akan dosa dan azab yang bakal menanti.


KEBURUKAN DAN KESAN RASUAH


Sebelum perbincangan lanjut tentang kedudukan rasuah di dalam Islam, ingin kami utarakan beberapa fakta nyata dari segi politik, ekonomi dan lainnya kesan dari gejala rasuah yang semakin subur ini:


Pertama: Terhakisnya konsep keadilan. Apabila sumber-sumber ekonomi seperti tender-tender dimonopoli oleh sekelompok pihak yang mampu memberikan ‘sogokan’ yang paling lumayan tetapi tidak menunaikan tanggungjawab dan tidak memberikan kualiti yang baik dalam melaksanakan tugas. Akibatnya rakyatlah yang terpaksa menanggung padah, disebabkan hasil kerja buruk oleh syarikat yang mendapatkan tender projek-projek yang selalunya bukanlah syarikat yang terbaik untuk projek-projek tersebut.


Contoh bagi kes-kes seumpama ini boleh dilihat sendiri dengan mata kasar dan terjadi secara berulang-ulang. Bagi golongan yang beriman dan terlibat secara langsung di dalam kes-kes tender dan pembinaan, kepedihan dan keperitannya sudah tidak terkata melihat dan menyaksikan gejala rasuah di depan mata. Baru-baru ini Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Kerja Raya melaporkan bahawa 85.37% projek yang dilaksanakan oleh kontraktor bumiputera mengalir kepada kaum lain. Isu ketirisan projek ini telah mendapat reaksi yang hangat, khususnya bagi mereka yang sering tertindas. Rasuah yang dilakukan melalui ‘kabel politik’ dan ‘orang dalam’ di jabatan-jabatan berkaitan yang berkuasa membuat keputusan adalah perkara biasa. Di samping itu, ada syarikat-syarikat tertentu meletakkan nama ‘orang-orang besar’ dan ‘berpengaruh’ dalam syarikat mereka agar kehendak mereka dapat tercapai dengan mudah. Telah sering kedengaran keluhan syarikat-syarikat kontraktor tulen yang benar-benar mampu melaksanakan kerja tanpa perlu sub kepada syarikat lain, menceritakan nasib mereka yang seringkali gagal mendapat projek kerana ketiadaan kabel atau pengaruh kuat melobi sama ada melalui kuasa politik atau kuasa wang ringgit. [Inilah di antara keluhan Saudara Samsudin Ismail dari Skudai Johor, yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 26/02/07].


Kedua: Berlakunya peningkatan kos. Kos bertambah kerana biasanya harga yang ditawarkan telah dimark-up bagi mengimbangi atau mendapat balik keuntungan (hasil dari projek) setelah ditolak dengan jumlah rasuah yang telah dikeluarkan. Justeru, kita dapati pada hari ini pengguna dibebankan dengan harga atau kos yang begitu tinggi yang tidak sepatutnya.


Ketiga: Masyarakat akan hilang hormat dan kepercayaan kepada individu atau institusi-institusi yang terlibat dengan rasuah. Hal ini amat merbahaya kerana kebanyakan individu atau institusi yang terlibat di dalam menerima rasuah adalah pihak berkuasa.


Keempat: Sistem pentadbiran negara tidak akan berfungsi secara sepatutnya kerana wujud saluran-saluran lain selain sistem itu. Sistem pentadbiran dirangka bagi melicinkan perjalanan sesuatu urusan pentadbiran, tetapi sistem ini ternyata gagal berfungsi apabila wujud amalan rasuah. Ini kerana rasuahlah yang telah menjadi ‘minyak pelincir’ untuk melicinkan perjalanan pengurusan. Jika tidak ada rasuah, maka kebanyakan kerja tidak akan berjalan lancar.


Kelima: Dari segi hukuman, orang yang bersalah kerana melanggar undang-undang tetapi memiliki kekayaan, seolah-olah menjadi ‘kebal’ kerana boleh menggunakan kuasa wang untuk melepaskan dirinya dari dikenakan hukuman.


Keenam: Keselamatan negara boleh terdedah kepada campurtangan asing dan ancaman luar. Walaupun belum berlaku kepada negara ini, tetapi pada zaman perang dingin, blok Kapitalis pernah memberikan sogokan besar kepada pegawai-pegawai atasan blok Sosialis untuk mengetahui rahsia ketenteraan blok Sosialis, dan juga sebaliknya.


Ketujuh: Hilangnya amanah di dalam sesuatu urusan, kerana mereka bukan lagi bekerja sebagai satu amanah, tetapi kerana manfaat yang boleh diraih dengan jawatan yang dimiliki.


Jika kita lihat secara sepintas lalu, di antara faktor yang menyebabkan berlakunya rasuah ini adalah faktor individu dan juga sistem yang mengatur individu tersebut. Faktor sistem sebenarnya lebih banyak menyumbang kepada gejala rasuah jika dibandingkan dengan faktor individu. Ini berlaku kerana individu adalah sebahagian dari masyarakat, dan masyarakat diatur oleh sistem. Maka sistem sebenarnya akan membentuk dan mempengaruhi syakhsiyyah (keperibadian) individu. Oleh itu, kita dapati pada hari ini sistem/ideologi Kapitalis yang diamalkan telah membentuk individu dengan syakhsiyyah Kapitalis yang mana manfaat/kebendaan menjadi tolok ukur dalam segala perbuatan, tanpa memandang aspek halal dan haram. Sistem Kapitalis juga sebenarnya telah mewujudkan jurang yang sangat besar di antara golongan kaya dan miskin, di mana harta kekayaan dimonopoli oleh golongan yang memiliki modal (capital). Oleh itu, kekayaan di dalam negara hanya berputar di kalangan mereka.


Namun begitu, ini bukan bermakna gejala rasuah boleh dikurangkan dengan menambahkan kekayaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat sesuatu negara. Kajian Transparency International membuktikan bahawa gejala rasuah berlaku di dalam negara Kapitalis miskin dan negara Kapitalis yang kaya. Tidak ada gunanya jika sesebuah negara itu berubah menjadi negara yang kaya, walhal sistem yang diamalkan adalah sistem yang berasal dari Ideologi Kapitalis. Persoalannya sekarang adalah kewajiban menukar sistem kufur Kapitalis ini dengan sistem Islam yang datang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.


KEJINYA RASUAH MENURUT ISLAM


Rasuah adalah harta yang diperolehi kerana terselesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudharatan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan. Di dalam sesetengah keadaan, rasuah ini hampir sama dengan upah sehingga ada orang yang cuba menyatakan bahawa ‘ini bukan rasuah, tapi upah’. Walhal kedua-duanya jelas berbeza. Upah (ujrah) diperolehi sebagai imbalan atas terlaksananya pekerjaan tertentu yang sewajibnya dilakukan. Ujrah (upah) memerlukan penyempurnaan aqad ijarah (pekerjaan) dan perlu ada ajir (pekerja) dan musta’jir (majikan). Sedangkan rasuah adalah imbalan atas terlaksananya pekerjaan tertentu yang wajib dilaksanakan (oleh orang yang bertanggungjawab) tanpa sepatutnya mendapat imbalan apapun dari orang yang dipenuhi kepentingannya (sipemberi rasuah). Orang yang memberi rasuah disebut rasyi, sedangkan yang menerimanya disebut murtasyi, sementara perantara (orang tengah) di antara mereka berdua disebut raisy.


Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan Al-Qur’an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


Dan janganlah ada di antara kalian yang memakan harta benda sebahagian yang lain dengan jalan yang batil, dan janganlah menggunakannya sebagai umpan (untuk menyuap) para hakim dengan maksud agar kalian dapat memakan harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kalian mengetahui (hal itu)” [TMQ Al Baqarah (2):188].


Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah di dalam urusan pemerintahan”. At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis serupa berasal dari Abdullah bin ‘Amr, bahawasanya Rasulullah bersabda, “Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah”. Hadis lain mengenai hal ini juga diriwayatkan oleh Ahmad, Thabrani, Al-Bazar dan Al-Hakim, berasal dari Tsuban yang mengatakan, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan orang yang menyaksikannya.” Abu Dawud juga meriwayatkan, “Barang siapa yang kami berikan tugas untuk melakukan suatu pekerjaan dan kepadanya telah kami beri rezeki (imbalan gaji), maka apa yang diambil olehnya selain itu adalah kecurangan.”


Ada juga rasuah yang diberikan oleh seseorang dengan maksud agar orang itu tidak menjalankan tugas yang menjadi kewajibannya. Perkara ini ditentang oleh sahabat Rasulullah dengan tegas. Di dalam sebuah riwayat dari Sulaiman bin Yassar, disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin. Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:


“Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh,” Abdullah menjawab, ”Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” [Imam Malik, Al Muwattha’:1450].


Bentuk lain yang diharamkan sebagaimana rasuah adalah hadiah/hibah. Islam melarang harta kekayaan yang diperolehi secara tidak sah oleh golongan pemerintah, penguasa dan kakitangan negara. Iaitu larangan pegawai/kakitangan menerima hadiah, di mana hadiah itu bermaksud apa-apa sahaja yang diberikan kepada pemerintah, penguasa atau kakitangannya sebagai suatu pemberian. Berbeza dengan rasuah, hadiah adalah apa-apa sahaja yang diberikan oleh seseorang kepada orang/pihak yang mempunyai kepentingan, bukan sebagai imbalan kerana terpenuhinya kepentingan tertentu, namun orang yang diberi hadiah itu adalah orang yang pada hakikatnya mempunyai kekuasaan (atau pengaruh) untuk menyelesaikan kepentingan tersebut, dengan harapan dia (orang yang mempunyai kekuasaan/pengaruh) itu akan dapat menyelesaikan atau memenuhi kepentingan tertentu pada saat yang diperlukan (oleh sipemberi hadiah).


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” [HR Imam Ahmad]. Imam Bukhari meriwayatkan dari Abi Humaid As-Saidi yang mengatakan, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengangkat seorang lelaki dari bani Asad kerana kejujurannya, sebahagian mengatakan (orang tersebut) adalah Ibnu Utaibiyah. Ketika dia datang mengadap Rasulullah, ia berkata, ‘(harta) ini aku serahkan kepadamu, sedangkan ini adalah hadiah yang diberikan orang kepadaku.’ Baginda kemudian berdiri di atas mimbar, memuji dan mengagungkan Allah, lalu bersabda (kepada orang ramai): Bagaimanakah keadaan seorang petugas yang aku utus, lalu salah seorang datang mengadap kepadaku dengan mengatakan, ’Ini adalah harta untuk anda, dan ini (harta) yang dihadiahkan kepadaku’. Apakah tidak sebaiknya dia duduk sahaja di rumah ayah atau ibunya, lalu (lihat) apakah hadiah itu akan diberikan kepadanya atau tidak? Demi Zat yang jiwaku di dalam genggamanNya, tidak akan ia membawa sesuatu pun melainkan di Hari Kiamat nanti, ia akan memikul (kesalahan) di atas pundaknya.


Hadis di atas menunjukkan bahawa hadiah/hibah umumnya diberikan kepada pegawai tertentu kerana jawatannya. Sekiranya dia tidak menjawat jawatannya itu, sudah tentu hadiah/hibah tidak sampai kepadanya atau dengan kata lain tidak akan diberikan kepadanya. Oleh yang demikian, tidak kira samada itu adalah rasuah mahupun hadiah, kedua-duanya adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Semua harta yang diperolehi dari jalan rasuah adalah haram, menyimpannya adalah haram, membelanjakannya adalah haram. Justeru, setiap penerima, pemberi dan perantara yang terlibat di dalam keharaman ini wajib dihukum, dan hukuman ke atas mereka adalah ta’zir. Ta’zir yang berat perlu dikenakan kepada pesalah-pesalah ini agar ia benar-benar menjadi pengajaran bagi mereka dan menjadi pencegah kepada umat Islam lainnya. Dengan tidak diterapkannya sistem uqubat Islam pada hari ini, kita menyaksikan mereka yang terlibat dengan kes rasuah masih mampu senyum dan kelihatan tenang semasa menghadapi perbicaraan di mahkamah dan langsung tidak kelihatan rasa kesal dan takut pada wajah-wajah mereka dengan kekejian yang mereka lakukan.


KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Jika kita menelusuri kisah Khalifah yang diredhai Allah, kita akan mendapati bahawa mereka benar-benar menunaikan amanah mereka. Khalifah Umar Al-Khattab radiAllahu ‘anhu contohnya, di dalam mengawasi perbuatan curang pegawainya, beliau menghitung harta mereka di awal jawatannya sebagai pegawai Daulah, kemudian menghitungkannya semula di akhir jawatannya. Jika terdapat pertambahan harta yang tidak munasabah dengan pendapatan pegawai tersebut, maka Umar radiAllahu ‘anhu memerintahkan untuk ia menyerahkan lebihan harta kepada Baitul Mal. Khalifah Umar telah menyelesaikan masalah harta kekayaan yang tidak munasabah jumlahnya yang diperolehi oleh penguasa Bahrain, Mesir dan Kufah pada zaman pemerintahannya. Inilah bentuk ‘pengisytiharan harta’ ke atas pegawainya yang dilakukan oleh Khalifah Allah ini di dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua negara.


Wahai kaum Muslimin! Sekarang ini kita tidak lagi diperintah oleh pemimpin yang takutkan Allah. Tidak ada lagi pemimpin yang bertakwa seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Utsman Ibnu Affan dan Ali Ibnu Abi Thalib karramallahu wajhah. Saudaraku, kita selalu berdoa agar Allah menjadikan bagi kita pemimpin-pemimpin yang bertakwa (wa ja’alna lilmuttaqina imama). Malangnya, sebahagian dari kita tidak memahami dan ada yang langsung tidak mempraktikkan apa yang didoakan. Mereka berdoa agar Allah memberi mereka pemimpin yang bertakwa, tetapi pada masa yang sama mereka hanya berdiam diri melihat para pemimpin yang melanggar hukum Allah, yang tidak menerapkan Islam. Mereka terus berdoa dan pada masa yang sama mereka berpeluk tubuh dan redha dengan sistem kufur yang diterapkan ke atas mereka. Mereka langsung tidak berani menegur pemimpin, apatah lagi menukar pemimpin, malah sebahagian dari mereka turut bersekongkol dengan para pemimpin ini kerana manfaat dunia yang dapat mereka raih darinya. Lalu (kerana sokongan inilah) para pemimpin ini terus memegang kekuasaan dengan kelalaian dan lupa akan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka dengan itu, kita menyaksikan mereka ini terlibat dengan rasuah, penipuan, penyelewengan kuasa, skandal seks dan banyak kekejian lain lagi.


Subhanallah! La haula wa la quwwata illa billah! Ya Allah! Apakah yang telah berlaku? Mereka ini adalah golongan yang di bahu mereka terdapat amanah atas pekerjaan mereka, tetapi mereka sedikit pun tidak menunjukkan ketakutan mereka kepadaMu ya Allah? Ya Rabb! Sampai bilakah Engkau akan mengizinkan mereka ini memegang kekuasaan? Masukkanlah ketakutan dalam diri mereka akan azabMu yang amat pedih, yang dengan itu mereka lalu akan bertaubat dan bertakwa kepadaMu ya Rabbal Izzati! Jika tidak demikian, Engkau balaslah mereka dengan balasan yang setimpal wahai Zat Yang Maha Membalas. Ya Allah! Engkau gantilah mereka dan kurniakanlah kepada kami para pemimpin yang takut kepadaMu. Ya Allah! Datangkanlah kepada kami seorang KhalifahMu yang benar-benar bertakwa dan akan menegakkan agamaMu. Sesungguhnya hanya kepadaMu kami memohon dan hanya kepadaMulah kami berlindung. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR