ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


MALAYSIA - NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?

MALAYSIA - NEGARA ISLAM ATAU SEKULAR?



Isu Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Islam’ mula diperkatakan dengan hangat apabila Dato’ Seri Dr. Mahathir (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) mengisytiharkannya secara terbuka pada 29/09/01 semasa Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Bermula dari sini, ada pihak yang kerana ingin menjaga periuk nasi hanya tunduk dan ‘yes sir’ sahaja kepada apa yang diumumkan. Di samping itu, tidak kurang juga bilangan pihak yang menyanggah pernyataan tersebut, termasuklah dari golongan bukan Islam sendiri. Yang pasti, perdebatan mengenainya sehingga kini masih belum sampai ke penghujung. Baru-baru ini pula, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab pertanyaan dari wartawan mengatakan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri. Menurutnya lagi, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi. Ketika diajukan soalan tentang kerajaan kelihatan sedang menuju ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, Najib berkata: “Saya perlu betulkan anda. Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang ditakrif oleh Barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara. Kita tidak pernah berpendirian sedemikian (kerana) kita sentiasa didorong oleh pegangan kita kepada asas Islam. Tanggapan anda adalah salah.” [UM 18/07/07]

Hasil dari kenyataan Najib tersebut, banyak pihak yang tidak berpuas hati dan menyuarakan ketidaksetujuan mereka, termasuklah dari Parti Komponen Barisan Nasional sendiri. Dalam reaksinya, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan memetik memorandum yang diserahkan oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid pada 27/09/1956 yang berbunyi “Agama Malaysia adalah Islam. Kepatuhan kepada prinsip ini tidak boleh boleh meminggirkan rakyat bukan Islam yang memeluk dan mengamalkan agama masing-masing dan tidaklah bermakna bahawa Malaysia bukannya Negara Sekular”. Ong seterusnya memetik satu nota yang disediakan oleh Colonial Office bertarikh 23/03/1957 semasa London Conference Talks yang berbunyi,



Para anggota delegasi Parti Perikatan menekankan bahawa mereka tidak ada niat untuk mewujudkan (negara) teokrasi Muslim tetapi bahawasanya Malaya akan menjadi Negara Sekular”. “Ini adalah niat asal yang begitu jelas dan nyata oleh ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC”, kata Ong. Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee pula menyatakan bahawa sifat semulajadi Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya sekular menjadi asas kepada pembentukan bangsa semenjak 1957 dan diimplementasikan semula pada 1963 (semasa penubuhan Malaysia). “Kedudukan Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular juga telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada tahun 1988 di dalam kes Pendakwaraya –vs- Che Omar”, tegas Wong lagi. [The Star 19/07/07]



KECELARUAN TAKRIF



Mutakhir ini kita melihat hasrat umat untuk kembali semula kepada Islam semakin meningkat. Arus kebangkitan Islam telah mengalir di mana-mana dan menyapu apa-apa sahaja yang menghalang laluannya. Rata-rata umat Islam sudah mula nampak bahawa keburukan yang membelenggu mereka selama ini adalah berpunca dari sistem sekular yang busuk. Kebangkitan ini dapat dilihat telah menjadi ancaman kepada mereka yang memegang tampuk kekuasaan. Justeru, agar tidak ditolak oleh kebangkitan rakyat yang mahukan Islam, maka golongan ini terpaksa merubah ‘haluan’ mereka agar nampak lebih ‘Islami’. Tindakan ini perlu agar mereka dilihat sejalan dengan arus (Islam) yang menerpa dan dalam masa yang sama mereka boleh kekal di kerusi pemerintahan. Padahal, pada hakikatnya, mereka boleh terus kekal di kerusi pemerintahan hanya dengan membuang sistem sekular dan menggantikannya dengan hukum-hakam Islam. Sekiranya mereka melakukan perkara ini, InsyaAllah seluruh umat Islam akan mendokong pemerintahan mereka. Malangnya mereka ternyata lebih rela membenarkan dunia yang fana’ ini membelenggu mereka.



Dalam mengubah ‘haluan’ ini, pelbagai kekeliruan ditimbulkan dalam penggunaan istilah seperti ‘sekular’ dan ‘Negara Islam’. Istilah-istilah ini ditakrif mengikut kehendak sendiri tanpa bersandarkan fakta dan dalil yang sahih. Oleh itu, kita menyaksikan pada hari ini banyak konsep, definisi dan istilah-istilah Islam yang sebelum ini begitu jelas menjadi kabur, keliru, terseleweng dan yang lebih teruk, hilang dari kamus kaum Muslimin. Walaupun istilah hudud telah dikenali ramai, namun istilah-istilah seperti ta’zir, ghanimah, jizyah, khumus, siyasah, kharaj, usyur, darul harb, darul islam dan banyak lagi ternyata kabur, malah sebahagian dari umat Islam sendiri langsung tidak memahaminya. Istilah seperti khalifah, syura, wali, jihad dan sebagainya pula telah diselewengkan sehingga lari dari maknanya yang sebenar dari segi syara’. Inilah juga apa yang telah terjadi dengan istilah Darul Islam (Negara Islam) di mana ramai umara’ dan ulama sekarang memberikan maksud baru Negara Islam yang begitu asing dari Islam, sehingga ada yang membolehkannya diterjemah mengikut acuan sendiri.



Maksud ‘sekular’ juga telah dipolemikkan sehingga umat terjerat dengan pelbagai tafsirannya. Ada yang cuba memesongkan maknanya dengan mengatakan bahawa ‘kita mesti memahami istilah sekular bukan sebagaimana takrifan Barat’ yang seolah-olah menjelaskan ‘sekular’ boleh ditakrifkan dengan maksud yang baik, jika tidak mengikut Barat. Ada yang mengatakan sekular bermaksud tidak mempercayai hari kiamat dan hisab di akhirat. Manakala sebahagian umat Islam yang lain hanya nampak sekular membawa erti politik yang dipisahkan dari agama. Justeru, adalah perlu untuk kita mencerahkan kembali kekaburan penakrifan sekularisme dan Negara Islam memandangkan telah berlaku pelbagai tafsiran mengikut kepentingan yang tersasar jauh dari maksud sebenar istilah-istilah ini.



Malaysia Dan Sekularisme Sesungguhnya Barat adalah penganut dan pengembang Ideologi (mabda’) Kapitalis yang menjadikan sekularisme sebagai akidah mereka. Kelahiran mabda ini bermula pada saat kaisar (caesars) dan raja-raja di Eropah menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama (gereja) waktu itu, dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbullah pergolakan sengit, yang kemudian membawa kepada kebangkitan ahli falsafah dan cendekiawan. Sebahagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak, sedangkan yang lainnya mengakui adanya agama, tetapi menyeru agar ia dipisahkan dari kehidupan dunia. Sampai akhirnya, pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu lebih cenderung memilih idea untuk memisahkan agama dari kehidupan yang kemudiannya menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan negara. Jika dahulu agamalah yang menjadi penentu di dalam kehidupan, sekarang, telah disepakati agar agama tidak diperhitungkan lagi dalam kehidupan ini. Maksudnya, seseorang boleh menerima mahupun menolak agama (atau Tuhan) selama mana ia (agama) tidak campurtangan dalam kehidupan.Pokoknya, agama itu harus dipisahkan dari kehidupan dan kehidupan mesti ditentukan sendiri oleh manusia. Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang mengkehendaki segala sesuatu itu harus tunduk kepada mereka (atas nama agama) dengan para ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari adanya agama. Jadi, idea sekularisme ini sama sekali tidak mengingkari atau menolak adanya agama, *****a ia tidak menjadikan agama berperanan dalam kehidupan. Ini menjadikan agama hanya sekadar ‘formaliti’ belaka, kerana sekalipun mereka mengakui kewujudannya, namun pada dasarnya mereka menganggap bahawa kehidupan dunia ini tidak ada hubungannya dengan agama. Justeru, kita menyaksikan bahawa sesiapa yang mahukan agama, maka mereka akan pergi ke gereja-gereja untuk ‘berhubung’ dengan Tuhan mereka tetapi apabila mereka (di luar gereja) melakukan aktiviti jual beli, mengambil riba, sewa-menyewa, mencuri, membunuh, berzina dan sebagainya, maka segala peraturan dalam hal ini ditentukan oleh mereka sendiri tanpa ada ketentuan atau ‘hubungan’ dengan Tuhan. Penentuan jenis hukuman, terpuji dan tercela, halal dan haram dan sebagainya berada di tangan manusia dan boleh diubah mengikut kehendak manusia. Dengan kata lain, mereka meyakini bahawa peraturan kehidupan tidak ada ‘hubungan’ dengan Tuhan, kerana agama hanyalah berperanan dalam mengatur ‘hubungan peribadi’ seseorang itu dengan Tuhannya sahaja. Setelah mereka sepakat untuk memisahkan agama dari kehidupan, maka timbullah persoalan bagaimana untuk mengatur kehidupan manusia, apakah yang harus dilakukan dan apakah tolok ukur yang akan digunakan. Dari sini timbullah idea demokrasi yang dianut oleh ideologi ini yang berasal dari pandangannya bahwa manusialah yang berhak membuat peraturan (undang-undang). Menurut keyakinan mereka, rakyat adalah sumber kekuasaan. Rakyatlah yang berhak membuat undang-undang dan setiap orang bebas berpendapat dan berbuat sesuka hati di dalam mengatur kehidupan ini. Oleh kerana ada terlalu ramai manusia dan ini menyukarkan proses untuk membuat sesuatu peraturan atau mengambil keputusan, maka mereka menetapkan agar dilantik wakil (rakyat) dan diambil suara majoriti di dalam apa jua keputusan. Dengan ini, mereka boleh menggubal, meminda dan menghapuskan mana-mana undang-undang semahu mereka berdasarkan kaedah atau kehendak majoriti tadi. Inilah konsep sekular yang mereka terapkan di dalam negara mereka. Kemudian, apabila mereka menjajah negeri-negeri umat Islam, konsep inilah yang mereka bawa dan terapkan di dalam negeri umat Islam sehingga kita saksikan sekarang di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia, konsep sekularisme, iaitu konsep memisahkan agama dari kehidupan ini (faslud deen’ anil hayah), telah diterapkan dengan baik dan sempurnanya.

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan golongan bukan Islam benar-benar memahami akan hakikat ini. Sebab itulah mereka boleh mendatangkan fakta yang tidak dapat disangkal membuktikan yang Malaysia adalah sebuah negara sekular. Malangnya, dengan hanya pengisytiharan oleh seorang pemimpin, banyak pihak cuba menegakkan benang yang basah. Dalam ruangan yang serba sempit ini, kami paparkan sedikit bukti baik secara normatif, empirik mahupun historis yang dapat disaksikan oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran berkenaan hakikat Malaysia sebagai sebuah negara sekular: (i) Bukti Normatif: Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh sikafir Lord Reid adalah bukti yang paling jelas meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama dengan kedudukan Islam hanyalah sebagai agama rasmi. Ini diperjelaskan lagi dari peristiwa semasa majlis sambutan harijadi Tunku Abdul Rahman yang ke-81 pada tahun 1983 di mana beliau menegaskan



“Perlembagaan mestilah dihormati dan diikuti. Pernah adanya percubaan oleh segelintir orang untuk cuba memperkenalkan undang-undang agama dan undang-undang moral. Ini tidak dibenarkan. Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi”.



Dari sudut ekonomi pula, sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem ekonomi Kapitalis di mana riba menjadi tunjang kepada banyak aktiviti perdagangan, khuususnya perbankan. Judi dan arak dibenarkan dengan hanya memberikan satu tauliah yang dipanggil ‘lesen’. Hak umum rakyat yang wajib disediakan secara percuma oleh pemerintah seperti pendidikan, kesihatan, petrol, air, jalanraya dan lain-lain dikenakan bayaran sesuka hati oleh pemerintah. Ada yang berdalih dengan mengatakan Malaysia adalah negara Islam dengan adanya Bank Islam, pajak gadai Islam (ar-Rahn), universiti Islam dan sebagainya. Mereka jahil bahawa penerapan ‘nilai-nilai’ Islam di dalam sistem Kapitalis tidak sekali-kali menjadikan sistem itu Islam, sebagaimana jika kita melihat Ah Chong atau Muthusami menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam tidaklah menjadikan mereka Muslim. (ii) Bukti Empirik: Bukti empirik pula boleh dilihat dengan jelas dari peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang diterimapakai dan diterapkan di negara ini. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa ia adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang diluluskan bertentangan dengan Perlembagaan, maka ia secara otomatik akan terbatal. Peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran di bawah (lebih rendah dari) Perlembagaan dan dengan sendirinya menafikan kedudukan Al-Quran dan Hadis yang sepatutnya menjadi undang-undang tertinggi (dan satu-satunya undang-undang) bagi negara. Kewujudan dua sistem mahkamah (sivil dan syariah) mengukuhkan lagi hakikat yang Malaysia adalah negara sekular (sila rujuk ‘SN117 Konflik Antara Agama’ dan ‘SN125 Sijil Mati Untuk Lina Joy’ untuk penjelasan lanjut). Dari sudut pemerintahan pula, sistem yang dilaksanakan adalah Demokrasi berparlimen – sebuah sistem (sekular) yang dicedok sepenuhnya dari penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat Undang-Undang) hendaklah diketepikan. Jadi, jika majoriti manusia bersetuju untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, maka ini adalah sah menurut amalan demokrasi-sekular. Pendek kata, undang-undang boleh digubal, dipinda atau dihapuskan sesuka hati oleh manusia hanya dengan undi majoriti. Di sinilah peranan agama dinafikan secara total di dalam menentukan kehidupan. (iii) Bukti Historis: Hasil dari penjajahan kafir British ke atas Tanah Melayu yang sebelumnya pernah berada di bawah pemerintahan Islam, undang-undang Barat yang berasaskan sekular telah diperkenalkan. British telah memaksa umat Islam menerima undang-undang mereka. Penggantian undang-undang ini tercatat dalam sejarah penentangan hebat oleh para ulama di Tanah Melayu. Penentangan Naning (1831-1832) yang dipimpin Dol Said bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Apabila Undang-undang 99 berteraskan Islam diketepikan penjajah, peristiwa ini telah memunculkan penentangan di Perak. Di Kelantan pula, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang berkenaan cukai hasil. Ia dipimpin Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram dan dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbau di Pasir Puteh. Di Terengganu, gerakan dimulakan oleh Sultan sendiri, kemudian oleh Hj Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggot dan Tok Janggut (Lebai Deraman). Di Pahang, Dato’ Bahaman, To’ Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain telah bangkit meniupkan jihad melawan British yang telah memaksa pelaksanaan undang-undang British menggantikan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Namun, penjajah berjaya menguasai politik Tanah Melayu dengan kelicikan dan kekuatan mereka. Sejak itu urusan pemerintahan diurus dengan undang-undang British dan merekalah yang menentukan perjalanan pentadbiran dan pemerintahan berdasarkan sistem sekular mereka yang diwarisi sehingga ke hari ini.

DEFINISI ‘DAR’ (NEGARA) ISLAM



Istilah Negara Islam (Darul Islam) adalah istilah syara’. Negara Islam menurut syara’ adalah suatu wilayah yang melaksanakan hukum–hakam Islam dan keamanan wilayah tersebut berada di tangan Islam, iaitu di bawah kekuasaan dan kekuatan kaum Muslimin, walaupun majoriti penduduknya bukan Islam. Oleh itu, untuk menentukan keadaan sebuah wilayah, apakah termasuk Negara Islam atau Negara Kufur, bukanlah negeri atau penduduknya yang diambil kira, tetapi undang-undang di wilayah tersebut dan keamanannya. Apabila hukum (undang-undang) yang diterapkan oleh suatu wilayah adalah Islam dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah seperti inilah yang disebut Darul Islam atau Negara Islam. Sedangkan apabila hukum-hakam (undang-undang) yang diterapkannya adalah undang-undang kufur dan keamanannya tidak berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah demikian disebut Darul Kufur atau Darul Harb. Pengertian ‘dar’ ini diambil dari sebuah hadis riwayat Sulaiman ibnu Buraidah yang di dalamnya tercantum: “Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (yang merupakan darul kufur) ke darul muhajirin (darul Islam yang berpusat di Madinah) dan beritahulah kepada mereka bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana hak kaum muhajirin dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum muhajirin.” [HR Muslim] Hadis ini menyatakan dengan jelas wujudnya pembezaan antara Darul Islam dan Darul Kufur. Hadis ini menunjukkan bahawa apabila mereka tidak berpindah, maka hak mereka tidak sama dengan kaum muhajirin iaitu orang-orang yang telah berada di Darul Islam. Dengan demikian, hadis ini sesungguhnya telah menjelaskan perbezaan hukum (undang-undang) antara orang yang telah berhijrah dan yang tidak. Darul Muhajirin adalah Darul Islam pada zaman Rasulullah dan selainnya adalah Darul Kufur. Dari sinilah diambil istilah Darul Islam dan Darul Kufur atau Darul Harb. Jadi, penambahan kata Islam, kufur atau harb pada “Dar” adalah mewakili sistem hukum (undang-undang) dan pemerintahannya. Oleh kerana itu untuk menggunakan istilah ‘dar’ atau ‘negara’, ianya selalu dikaitkan dengan penguasa iaitu berkenaan: (1) pemeliharaan kepentingan umat mengikut undang-undang tertentu dan (2) kekuatan (negara) yang menjaga/membela rakyat serta melaksanakan undang-undang tersebut, iaitu faktor keamanannya. Dari sinilah dua syarat yang disebutkan di atas ditekankan. Selain itu mengenai syarat penerapan hukum-hukum, ia digali dari dalil al-Quran dan juga Sunnah. Firman Allah: “Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Mai’dah (5):44]. Dalam Hadis riwayat ‘Auf ibnu Malik mengenai kedudukan pemimpin-pemimpin zalim, tercatit sebahagian di dalamnya: “...ditanyakan oleh para sahabat: ‘Wahai Rasulullah tidakkah kita perangi saja mereka itu dengan pedang?’ Baginda menjawab: ‘Tidak selama mereka masih menegakkan solat (maksudnya menerapkan hukum-hukum Islam) di tengah-tengah masyarakat”. Terdapat juga hadis riwayat Ubadah ibnu Samit mengenai bai’at aqabah, di mana katanya: “Dan hendaknya kami tidak menentang kekuasaan penguasa kecuali (sabda Rasulullah:) ‘Apabila kalian melihat kekufuran yang bersifat terang-terangan, yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah.”. Di dalam riwayat Imam Thabrani disebut ‘kekufuran yang jelas’ (surahan). Manakala syarat keamanan mestilah keamanan Islam, yakni di bawah kekuasaan kaum Muslimin, ini diistinbat dari firman Allah: “Dan Allah (selama-lamanya) tidak memberi hak bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141]. Ayat ini bermaksud tidak boleh memberi ruang kepada orang-orang kafir untuk berkuasa atas orang-orang Mukmin. Ini adalah kerana dengan memberikan kekuasaan kepada mereka bererti menjadikan keamanan kaum Muslimin berada di bawah kekuasaan mereka (kufur) bukan di bawah kekuasaan Islam. Keadaan ini boleh dilihat di negara kaum Muslimin saat ini seperti Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi, Kuwait, Libya dan banyak lagi yang mana pemimpin mereka nyata-nyata tunduk di bawah rejim kafir Amerika. Walaupun (kerana keterbatasan ruang) kami tidak dapat mengungkapkan semua nas, namun berdasarkan nas yang qat’i dari al-Quran dan Hadis, ternyata pada hari ini, tidak ada satu negarapun di dunia ini, termasuk Malaysia yang layak disebut negara Islam. Namun perlu difahami bahawa istilah negara sekular atau negara kufur bukanlah membawa maksud penduduknya juga semua sekular atau kufur. Istilah ini merujuk kepada ‘negara’ bukan ‘individu’nya. Adapun untuk individu, perlu dilihat kepada akidah dan pemikiran yang dimilikinya untuk menentukannya samada ia adalah seorang Muslim, kafir atau sekular.



KHATIMAH



Wahai kaum Muslimin! Kita mengetahui bahawa Negara Islam adalah Negara Khilafah dan inilah bentuk negara dan pemerintahan yang diwariskan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para sahabat baginda serta generasi sesudah mereka hingga ke hari kiamat. Kita juga mengetahui bahawa Negara Khilafah ini telah runtuh kira-kira 83 tahun yang lalu, tepatnya pada tanggal 3 Mac 1924 dan sejak itu hingga sekarang, Negara Khilafah ini masih belum muncul kembali. Sedarlah wahai saudaraku bahawa tidak ada satu negara kaum Musliminpun, termasuklah Malaysia, yang boleh diberi status Negara Islam. Seluruh tanah kaum Muslimin telah mewarisi bentuk pemerintahannya dari penjajah kuffar, bukannya diwarisi dari Rasulullah. Justeru itu, bangkitkanlah kalian untuk menunaikan kewajiban kalian mengembalikan semula, melalui tariqah Rasulullah, Negara Khilafah yang merupakan satu-satunya Negara Islam yang sebenar.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR