ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


1429H: HIJRAH DARI SISTEM SEKULAR MENUJU SISTEM KHILAFAH

Segala puji bagi Allah yang masih memberi ruang dan kesempatan untuk kita beribadah kepadaNya. Syukur kita ke hadhrat Yang Esa kerana dengan izinNya kita masih mampu berkata-kata dan berdakwah di jalan kebenaran. Sedar atau tidak, kini kaum Muslimin telah melangkah ke tahun baru hijrah. Umat Islam di seluruh dunia telah pun memasuki bulan Muharam, yang menandai datangnya tahun baru 1429H. Di sebalik kegembiraan dan kesyukuran kita menyambut tahun baru, namun kesedihan yang menimpa umat Islam masih lagi terpahat di sanubari setiap hamba yang beriman kepada Allah dan Rasul. Tahun demi tahun telah berlalu, namun kehidupan umat Islam, terutama sejak runtuhnya institusi Khilafah pada 28 Rejab 1342H, masih berada dalam penderitaan dan kesengsaraan yang amat parah. Negeri-negeri umat Islam masih terpecah belah menjadi negara-negara kecil yang berbentuk nation-state (negara-bangsa) yang sekali gus telah melemahkan kekuatan umat Islam dan lebih buruk, umat Islam telah dijadikan alat eksploitasi negara-negara penjajah.

Persoalan perpecahan, assabiyyah, wathaniyyah, kemiskinan, jenayah, murtad, penghinaan terhadap Al-Quran dan Rasulullah saw dan berbagai persoalan lain masih tetap membelenggu umat Islam di seluruh dunia. Keadaan yang sama dialami rakyat Malaysia. Beban hidup rakyat semakin berat akibat kezaliman pemerintah yang tidak menerapkan hukum Islam. Kenaikan harga petrol, tol, barang-barang dapur, yuran pendidikan, peningkatan kadar jenayah, rasuah, penyelewengan kuasa dan pelbagai masalah lain satu per satu telah menambahkan penderitaan rakyat akibat penerapan sistem kufur/sekular. Ketidakpedulian pemerintah akan masalah rakyat, ketidakpedulian pemerintah akan hukum Islam dan ketidakpedulian pemerintah akan tanggungjawab mereka melayan dan menjadi khadam kepada rakyat telah menyengsarakan kehidupan rakyat dari sehari ke sehari. Pemerintah semakin kaya-raya dan semakin rakus merampas hak rakyat, tetapi dari tahun ke tahun meminta rakyat berterima kasih kepada mereka dengan segala ‘kenikmatan’ yang mereka berikan kepada rakyat.

Keadaan terpuruk dalam segenap aspek ini membuat kita seperti kembali memasuki masa jahiliyah yang pernah dialami oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Akidah umat Islam saat ini banyak dikotori dengan kemusyrikan seperti masa jahiliyah dahulu. Berhala (sembahan)nya bukan lagi dalam bentuk patung atau batu tetapi dalam bentuk wang, kuasa, jawatan atau pangkat. Kesemua ini telah menjadi ‘tuhan-tuhan’ baru yang disembah. Hukum Allah telah dicampakkan, Sunah Rasul telah dibuang, pemerintahan yang ada adalah berlandaskan hawa nafsu untuk meraih sebanyak-banyak manfaat dan kenikmatan dunia dengan melupakan Hari Pertemuan dengan Allah.
Sistem sekular dari Barat disucikan dan undang-undang serta peraturan hidup digubal sendiri atas nama demokrasi. Akal-akal manusia dijadikan sumber hukum dan tangan-tangan manusia dijadikan sumber untuk meluluskan hukum. Undang-undang Al-Quran dan Sunah sudah tidak ada tempatnya.

Setiap kali tiba tahun baru Hijrah, pemerintah menyeru agar umat Islam berhijrah dari segala keburukan menuju kebaikan. Mereka lupa bahawa merekalah punca kepada segala keburukan! Merekalah yang menjadi punca kepada perpecahan umat Islam kepada negara-bangsa, merekalah yang menjadi punca umat Islam diperangi dan dibunuh oleh kafir penjajah, merekalah yang menjadi punca Palestin dirampas oleh Israel, Afghanistan dan Iraq jatuh ke tangan AS, merekalah yang menjadi punca kepada kemiskinan yang wujud, pendek kata merekalah yang sebenarnya menjadi punca kepada segala keburukan yang ada. Ini kerana merekalah yang telah menerapkan sistem sekular dengan ketundukan mereka terhadap kuffar penjajah dalam segenap hal manakala hukum Allah telah mereka buang sejauh-jauhnya. Pemerintah tidak pernah berusaha untuk menerapkan Islam dan menyatukan umat Islam sedunia di bawah sistem Khilafah yang mana hanya dengan ini sahajalah umat Islam akan menjadi kuat dan bersatu. Justeru, seruan untuk hijrah yang dilaungkan setiap tahun tidak ada maknanya jika menyeru untuk mengekalkan negara-bangsa yang sudah tersedia wujud atau menyeru untuk mengekalkan sistem sekular yang sudah sekian lama diwarisi dari penjajah ini. Di manakah perubahan/hijrah yang dimaksudkan? Inilah keadaannya apabila makna hijrah tidak lagi difahami dalam konteksnya yang sebenar, tetapi cuma ‘dihayati’ untuk kepentingan politik.

Tahun Hijriah, dalam sejarahnya, bertitik tolak dari peristiwa Hijrah Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah. Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat. Adapun secara syar‘i, para fukaha mendefinisikan hijrah sebagai, “keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam” [An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, II/276]. Karena itu, pengajaran dan ingatan penting dari tahun baru Hijriah ini adalah kesediaan umat Islam untuk berhijrah dari Darul Kufur yang ada sekarang menuju Daulah Islam (Khilafah). Umat Islam wajib berhijrah dari sistem sekular menuju sistem Islam. Hal ini Insya Allah akan dapat dilakukan jika umat Islam bersama-sama memperjuangkan Khilafah Islam untuk menegakkan Islam secara kaffah.

Hijrah dari sistem sekular menuju sistem Islam, Insya Allah akan membebaskan kaum Muslimin dari berbagai penderitaan, kesengsaraan dan ketakutan yang ada sekarang menuju kepada satu sistem yang penuh dengan keamanan, keberkatan dan pertolongan dari Allah swt. Aisyah ra pernah meriwayatkan,

“Dahulu ada orang Mukmin yang lari membawa agamanya kepada Allah dan RasulNya karena takut difitnah. Adapun sekarang (setelah Hijrah) Allah swt benar-benar telah memenangkan Islam, dan seorang Mukmin dapat beribadah kepada Allah swt semahunya” [HR Bukhari]

Sehubungan dengan masuknya Tahun Baru 1429H, Hizbut Tahrir Malaysia menyeru umat Islam:-

(1) Untuk berhijrah dari sistem sekular menuju sistem Islam. Umat Islam wajib berhijrah dari sistem yang penuh diliputi dengan kegelapan dan kemaksiatan, menuju sistem Islam yang penuh dengan cahaya dan keimanan kepada Allah. Umat Islam wajib menjadikan syariah sebagai undang-undang. Hijrah sesungguhnya merupakan pembeza antara sistem yang hak dengan yang batil, sebagaimana dinyatakan oleh Khalifah Umar bin Khaththab ra yang diriwayatkan oleh Ibn Hajar, “Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan.”

(2) Untuk menegakkan kembali Khilafah Islam yang merupakan institusi penting untuk menegakkan syariah Islam. Sebagaimana kita ketahui, hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah ditandai oleh peristiwa penting yakni tegaknya Daulah Islam yang menjadikan Rasulullah saw sebagai Ketua Negara dan baginda terus menjadikan syariat Islam sebagai peraturan negara.

Sesungguhnya kebangkitan dan kemenangan umat Islam hanya akan dapat dikembalikan sekiranya umat Islam kembali menegakkan Daulah Khilafah. Hijrah Rasulullah saw ke Madinah boleh dikatakan menjadi momentum kepada kebangkitan Islam, yang selama 13 tahun diperjuangkan oleh baginda dan para sahabat di Makkah sebelumnya. Tidak dapat dinafikan bahawa, pasca Hijrahlah, yang segera diikuti dengan pembentukan Daulah Islamiyah di Madinah, Islam mengalami perkembangan yang luar biasa. Bahkan, hanya dalam kurun waktu 10 tahun kepemimpinan Rasulullah saw di Madinah, Islam telah tersebar ke seluruh Jazirah Arab. Seluruh Jazirah Arab telah disatukan di bawah satu kepimpinan dan pemerintahan. Kebangkitan dan kejayaan ini kemudian disambung pula oleh para Khalifah yang menggantikan baginda sebagai Ketua Negara. Tanah-tanah baru dibuka dan manusia berduyun-duyun memasuki agama Allah. Seluruh negeri baru dibuka dan disatukan, begitu juga dengan umat Islam sedunia yang kesemuanya telah disatukan di bawah satu kepimpinan dan pemerintahan – Khilafah.

Semoga tahun hijrah tahun ini menjadi tahun yang terakhir umat Islam menyambutnya dengan perpecahan. Dan semoga tahun hijrah yang akan datang akan disambut oleh umat Islam dengan tegaknya Daulah Khilafah sebagaimana hijrah Rasulullah dan para sahabat yang menandakan tegaknya Daulah Islam.

Hizbut Tahrir Malaysia

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR