ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


DEMOKRASI : SISTEM KUFUR YANG MEMBAWA PADAH KEPADA ISLAM


Rentetan fenomena politik di Perak, kini meninggalkan seribu satu kesan yang pastinya tidak akan memihak kepada kebaikan Islam mahupun umatnya. Pergelutan merebut kuasa memaparkan sikap pihak yang bergelut, masing-masing menggunakan hujah, teknik bagi memenangkan diri agar meraih apa yang dihajati. Salah satunya, political hijack. Teknik ini diguna bagi menjatuhkan lawan dengan ‘membeli’ ahli yang juga pemimpin parti lawan agar parti itu mengalami kejatuhan dan kekalahan. Teknik lama ini menjadi semakin panas di Malaysia setelah lahirnya impian ‘16 September’.

Dalam kes di Perak, nampaknya apabila pihak musuh telah terlebih dahulu menggunakan ‘modal’ yang lebih besar, maka ‘hijacking’ terkena pada pihak yang ingin meng’hijack’. Akhirnya, terjadilah apa yang kita saksikan di Perak sekarang.

Selain memerhatikan perkembangan yang berlaku, persoalan ‘kesan’ ke atas apa yang berlaku ini perlu dilihat oleh kita semua sebagai satu impak yang penting, khususnya kepada umat Islam. Setelah semua ini, pastinya wujud satu persepsi yang buruk di kalangan umat Islam terhadap ‘politik’ dan asas perjuangan kedua-dua pihak terbabit. Memerhatikan mereka sedang berusaha menjatuhkan lawan masing-masing dengan cara yang kotor dan menyimpang dari kebenaran (syarak), hal ini ternyata telah menghinakan pihak-pihak yang terbabit itu sendiri. Semua sedar bahawa dalam politik demokrasi sekarang, ada pihak yang sanggup menjadikan pihak lain sebagai mangsa percaturan politik, tanpa memikirkan kesannya kepada Islam, dan tanpa memikirkan persoalan dosa dan pahala.

Pihak-pihak yang bergaduh sebenarnya telah terperangkap di dalam sistem kotor demokrasi yang memecah-belahkan sesama umat Islam dan melemahkan lagi ikatan persaudaraan mereka. Kuffar Barat sedang tertawa melihat gelagat umat Islam yang bergaduh sesama sendiri dek sistem demokrasi yang mereka (Barat) ciptakan. Agenda (demokrasi) Barat sekali lagi berjaya, dan hal ini langsung tidak disedari oleh pihak-pihak yang bertelagah. Malah mereka masih berpegang teguh membicarakan demokrasi di saat-saat segenting ini untuk mempertahankannya.

Dengan apa yang berlaku, golongan umat Islam yang sudah sedia bencikan politik akan bertambah kebencian mereka kepada politik, kerana bagi mereka, politik tidak menambah kecuali perbalahan sesama umat Islam. Mereka yang kecewa dengan politik pula akan semakin bertambah kecewa melihat kekotoran politik yang diamalkan sekarang. Dan hal ini tentunya akan melahirkan lebih ramai golongan yang berkecuali dari politik, dan akan semakin menjauhkan umat Islam dari kefahaman sebenar politik menurut Islam.

Puak sekular sememangnya jahat dan bencikan Islam. Mereka akan menggunakan segala taktik keji dan kotor untuk menjamin kuasa mereka. Menasihati mereka kepada Islam tidak lebih seumpama mencurah air ke daun keladi. Justeru, menasihati dan menyedarkan parti Islam jauh lebih baik dari menjadi anjing menyalak bukit kepada puak sekular.

Gerakan Islam seharusnya sedar bahawa mereka sebenarnya ‘terperangkap’ dengan kekotoran politik di bawah nama sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan. Akhirnya, agama Islam yang mereka perjuangkan terpaksa akur dengan kehendak demokrasi yang dibawa oleh puak sekular yang lebih berkuasa. Islam tidak didaulatkan sebaliknya demokrasi pula yang dijulang dan didaulatkan.

Akibat terlibat secara langsung dengan pemerintahan demokrasi, setiap kali berlaku kemelut, tidak terkecuali seperti di Perak ini, parti Islam tidak lagi bercakap tentang Islam, tetapi bercakap tentang demokrasi sebagai ‘standard kebenaran’ di dalam menilai apa yang berlaku. Di dalam mengembalikan kebenaran, seluruh percakapan mereka adalah berkisar tentang mengembalikan demokrasi, bukannya lagi tentang mengembalikan Islam sebagai satu-satunya hukum untuk manusia. Semua ini berlaku akibat mereka terjebak dan terbius dengan racun demokrasi!

Kita semua harus sedar bahawa hakikat permasalahan umat Islam sekarang adalah kerana hidup mereka tidak dinaungi oleh syariah. Mereka dinaungi oleh demokrasi. Kehidupan mereka bukan lagi kehidupan Islam. Mereka mengembalikan segala penyelesaian kepada demokrasi, bukannya kepada Islam. Walaupun ada yang mendakwa bahawa mereka hanya ‘mempergunakan’ demokrasi untuk menegakkan Islam, tetapi apa yang berlaku dari dulu hingga sekarang adalah sebaliknya (iaitu) mereka hanya ‘dipergunakan’ oleh demokrasi. Malah mereka sering dipermainkan dan diperbodohkan atas nama demokrasi. Mereka mendakwa mereka sah berkuasa kerana demokrasi, kemudian ternyata kuasa mereka digulingkan sedemikian rupa, pun atas nama demokrasi. Dan mereka kini dikatakan tidak sah berkuasa, pun kerana demokrasi. Mereka masih mengatakan mereka sah berkuasa atas nama demokrasi, dan dalam masa yang sama puak sekular yang merampas kuasa juga mendakwa merekalah pemimpin yang sah menurut demokrasi! Siapakah yang menang dan siapakah yang benar? Apa jadi dengan Islam?

Demokrasi yang mereka perjuangkan hanyalah memakan diri sendiri sejak dahulu lagi. Ini kerana demokrasi tidak akan menguntungkan Islam sedikit pun, melainkan ia hanya memberi keuntungan kepada golongan kuffar dan puak sekular. Hinanya demokrasi adalah sehinanya golongan sekular yang memperjuangkannya dan ia (demokrasi) tidak layak diperjuangkan oleh golongan umat Islam yang mulia, khususnya yang berada di dalam parti-parti Islam.

Sesungguhnya standard kebenaran ada pada Islam, tidak pada demokrasi. Dan sebagai pengubat/penawar dari masalah ini, Islam perlu diletakkan semula posisinya dalam kehidupan secara menyeluruh dan nalar. Maka perlu ada usaha dan perjuangan ke arah merealisasikan tujuan mengembalikan kehidupan Islam dalam kehidupan umat di kala ini, bukannya perjuangan untuk memulihkan demokrasi. Itulah yang sepatutnya dan itulah yang sewajibnya diperjuangkan oleh kelompok politik Islam, bukannya terus menerus membiarkan diri terjebak dengan perangkap demokrasi yang hina lagi menghinakan. Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita erti politik Islam yang jauh berbeza bahkan bertentangan asas, konsep, prinsip dan sebagainya dengan sistem demokrasi yang ada sekarang. Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan demokrasi sedikit pun!


0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR