ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PERAK : BUKTI NYATA KEBOHONGAN DEMOKRASI



Mengikut lunasnya, demokrasi adalah sistem pemerintahan dari, oleh dan untuk rakyat. Walau bagaimanapun amat mustahil sesebuah negara itu dapat mengumpulkan seluruh rakyatnya untuk bermesyuarat, seterusnya menggubal hukum untuk mereka semua. Oleh itu, secara praktiknya rakyat akan memilih wakil (bukan memilih pemimpin) untuk mewakili mereka di dewan persidangan baik dikenali sebagai parlimen mahupun dewan undangan negeri. Wakil ini dipilih tidak lain kecuali untuk membuat atau menggubal undang-undang yang akan diterapkan oleh mereka. Inilah antara konsep asas dalam sistem demokrasi, yang sebenarnya cuba mengabui mata rakyat dengan 'kebaikan' yang dibawanya.




Perkembangan terkini di Malaysia selepas pilihan raya umum ke 12 pada 8 Mac 2008 telah menyingkapkan pembohongan sistem demokrasi, malah ia turut menyingkapkan lagi keburukan dan kekejian yang terdapat di dalam sistem demokrasi. Masing-masing dilihat berebut untuk mendapatkan kekuasaan bagi memerintah negara atas nama demokrasi. Yang jahat bercakap tentang demokrasi, yang baik pun bercakap tentang demokrasi, seolah-olah demokrasi ini suatu yang suci yang perlu diperjuangkan baik oleh golongan sekular atau Islami. Bermula dengan harapan pengambil alihan kuasa pada 16 September yang tidak kunjung tiba walaupun cukup menggegarkan kestabilan negara, kemudian timbul pula isu ahli parlimen lompat parti, khususnya di Sabah dan Sarawak. Isu lompat si katak lompat ini ‘diperjuangkan’ buat seketika kerana ingin mengambil alih kuasa yang dikatakan secara demokratik.



Kini, si katak bukan sahaja memang hebat melompat, terapi telah pandai melakukan ‘u-turn’. Bagaimanapun, u-turn ini juga adalah demokratik dan tak sepatutnya menimbulkan kemarahan sesiapa. Kalau si katak boleh melompat ke seberang dan ini dikatakan demokratik, maka jika si katak tadi melompat balik ke tempat asal, ini juga adalah demokratik. Tidak perlu kecoh. Lompat-melompat begini sudah teramat biasa dengan sistem demokrasi yang ‘suci’ ini. Jadi, sepatutnya ‘kesucian’ demokrasi ini tetap dijaga oleh pihak-pihak yang memperjuangkannya. Dan si katak yang melompat yang hanya mengamalkan demokrasi ini, sepatutnya tidak dicemuh, dimarahi, dikutuk atau dihentam.



Politik Perak bergolak setelah Adun Bota, Datuk Nasharudin Hasim dari BN melompat ke PR. Situasi ini mencemaskan BN di Perak sehinggakan Pengerusi Umno Perak terpaksa melepaskan jawatan dan digantikan oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak. Sebaik sahaja teraju UMNO di Perak dipegang oleh Najib pendirian Nasharudin goyah semula. Apbila ditanya, beliau dipetik sebagai berkata:



"Tengok dulu, tengok dulu... apa yang akan berlaku... tengok keadaan," [Mstar 30 Jan].



Perkembangan hari Ahad 1 Februari lebih mengkucar-kacirkan keadaan, apabila dua Adun yang merupakan Exco kerajaan negeri Perak telah ‘hilang’. Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar pada pukul 5.55pm 1 Februari mendakwa telah menerima surat peletakan jawatan dari dua Exco terbabit melalui faksimili yang seterusnya berlakulah pembubaran dewan undangan negeri dan pilihan raya sepatutnya berjalan di seluruh Perak. Walau bagaimanapun kedua dua exco terbabit menafikan menghantar peletakan jawatan tersebut. Nasaharudin pula telah melompat balik ke pangkuan UMNO.



Begitulah serba ringkas bagaimana bermulanya kekecohan di Perak. Wakil yang dipilih oleh rakyat dengan harapan mewakili mereka, akhirnya menjadi bahan sepak terajang dalam perebutan kuasa yang tidak ada kena mengena langsung dengan aspirasi rakyat.



Islam vs Demokrasi



Idea suci demokrasi yang mengatakan kedaulatan di tangan rakyat telah nyata dihapuskan oleh pihak-pihak yang memperjuangkan demokrasi itu sendiri. Apa yang berlaku di Perak sebenarnya menunjukkan bahawa ‘kedaulatan’ adalah di tangan pihak yang berkuasa, bukannya di tangan rakyat. Kedaulatan juga sekarang ini telah jatuh terus di tangan Raja, setelah istana terheret secara langsung ke dalam kemelut ini. Jadi, di manakah idea suci murni demokrasi kononnya ‘kedaulatan di tangan rakyat’? Sesungguhnya rakyat hanyalah menjadi mangsa kepada kerakusan parti-parti politik yang ingin berkuasa.



Dalam pergaduhan ini, kedua-dua pihak mendakwa bahawa tindakan mereka adalah demokratik dan menuduh pihak lain tidak demokratik. Yang pasti, tidak ada satu pihak pun yang menyatakan bahawa tindakan mereka adalah bersesuaian dengan Islam. Justeru, ‘standard kebenaran’ telah diletakkan kepada demokrasi, bukannya kepada Islam atau hukum syarak. Walhal yang bergaduh majoritinya adalah sesama Islam. Mereka langsung tidak merujuk kepada firman Allah,



...kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [TMQ an-Nisa’ (4):59]



Jika mereka merujuk kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka tidak akan mengembalikan persengketaan mereka kepada ‘demokrasi’. Jika merujuk kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka akan sedar bahawa Islam meletakan kedaulatan di tangan syarak, bukannya di tangan rakyat, yakni manusia wajib tunduk patuh kepada ketetapan syara’. Wajib bagi pihak-pihak yang bertelagah untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunah, bukannya kembali kepada Perlembagaan Malaysia atau Perlembagaan Perak yang diciptakan oleh manusia di bawah sistem demokrasi. Hukum Allah SWT sebagai Asy-Syari’ adalah yang satu-satunya hukum yang wajib dipatuhi oleh manusia, bukannya hukum demokrasi. Allah SWT berfirman,



.....menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ Al An’aam:57]



Sekiranya mereka kembali kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka akan tahu bahawa sistem pemerintahan Islam adalah sistem Khilafah, tidak sebagaimana sistem demokrasi yang ada sekarang yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara federasi yang membahagi-bahagikan antara kuasa Pusat dan kuasa Negeri. Oleh sebab sistem demokrasi yang mewujudkan federasi inilah yang menyebabkan timbulnya kekecohan dan pergaduhan sesama umat Islam di Perak amnya dan di Malaysia amnya. Kedua-dua pihak sudah tidak dapat keluar dari cara berfikiran yang telah sikafir Lord Reid letakkan di dalam perlembagaan Malaysia, yang mana Malaysia mesti ada kuasa Pusat dan kuasa Negeri. Jadi mereka cuba mempertahankannya habis-habisan. Wlahal pembahagian kuasa pusat dan kuasa negeri ini langsung tidak ada di dalam Al-Quran, As-Sunah, Ijmak Sahabat mahupun Qiyas. Oleh sebab tidak kembali kepada Al-Quran dan Sunnahlah yang menyebabkan mereka ini selamanya terperangkap dengan kekejian demokrasi yang memecah belahkan sesama umat Islam, khususnya di dalam hal perebutan kuasa untuk memerintah.



Islam telah meletakkan peranan seorang Khalifah untuk mendaulatkan hukum-hukum Islam di tengah-tengah masyarakat. Seorang Khilafah itu dibaiat untuk melaksanakan hukum-hukum Allah ke atas manusia dan bukan seperti demokrasi iaitu melaksanakan hukum-hukum ciptaan manusia ke atas manusia.



Dalam demokrasi, yang diterapkan adalah hawa nafsu manusia, manusia tidak dipimpin kecuali dengan hukum buatan manusia yang senantiasa menimbulkan ketidakpuasan dan pertelingkahan. Undang-undang yang dicipta bukan untuk mengatur kehidupan manusia tetapi untuk menjamin kepuasan hawa nafsu manusia yang memerintah. Para pemimpin dan wakil rakyat hanya melampiaskan hawa nafsu untuk kepentingan masing-masing, bukannya untuk kepentingan Islam, dan rakyat hanyalah menjadi mangsa mainan politik kotor mereka.


0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR