EKSTREMIS ISLAM -VS- EKTREMIS SEKULAR
EKSTREMIS ISLAM -VS- EKTREMIS SEKULAR
Umat Islam telah lama dilabel oleh Barat sebagai terrorist (pengganas). Ini dilakukan di dalam usaha Barat untuk menghapuskan umat Islam dan menakluk negeri-negeri kaum Muslimin. Mereka 'mencipta' beberapa kejadian dan mencari 'kambing hitam' untuk dijadikan korban. Setelah itu, mereka memaksa dunia menerima bahawa merekalah yang akan menyelamatkan dunia dari ancaman terroris ini. Jika diteliti, selain terroris, banyak lagi cop-cop lain yang digunakan oleh Barat terhadap umat Islam dan perkara ini telah lama dilakukan oleh mereka. Barat melabelkan umat Islam sebagai fundamentalis, ekstremis, moderate dan sebagainya dan istilah-istilah ini telah dipropagandakan oleh mereka agar diterima pakai di seluruh dunia. Oleh itu, adalah suatu perkara biasa apabila istilah-istilah ini digunakan oleh sesiapapun dari kalangan umat Islam, baik dari kalangan rakyat mahupun pemimpin.
Baru-baru ini, kita sekali lagi mendengar istilah ini disebut rentetan dari isu kongsi raya dan ucapan 'Selamat Deepavali'. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abdul Aziz Shamsudin, menyatakan, "golongan ekstremis agama yang kini membabitkan golongan bijak pandai adalah ejen pemusnah perpaduan paling berbahaya serta menjadi ancaman kepada keutuhan ikatan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara in i'. Malah golongan esktremis ini menurut beliau bakal menggagalkan RMK-9. [Mingguan Malaysia 22 Oktober 2006]. Begitulah persepsi negatif yang cuba digambarkan ke atas golongan 'ekstremis' ini. Walaupun tidak jelas kepada siapakah ucapan 'ektremis' itu ditujukan, namun mesej yang pasti adalah ' mereka ini sangat merbahaya'.
Sautun Nahdhah kali ini ingin membawa pembaca budiman meneliti penggunaan istilah-istilah seperti ini, yang kerapkali digunakan oleh pihak Barat dalam melabelkan Islam dan umat Islam yang istiqamah dengan Islam. SN juga akan membongkar makar jahat Barat dalam meracuni pemikiran umat Islam dan bagaimana mereka 'memaksa' kita menggunakan istilah-istilah ciptaan mereka ini di dalam rangka memecah belahkan kesatuan kita.
USAHA BARAT DALAM MERACUNI PEMIKIRAN UMAT ISLAM
Semenjak Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam berjaya menzahirkan Islam di atas segala deen-deen lain, kejayaan ini diteruskan pula dengan gilang-gemilang oleh para khalifah sesudah baginda. Kekuatan Negara Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyyah dan Khilafah Uthmaniyyah memang tiada tolok bandingnya sehingga seluruh penjuru dunia mengetahui dan mengakui bahawa kekuatan Islam adalah kekuatan yang tidak mungkin dikalahkan. Golongan kuffar cuba untuk mengalahkan Islam dengan peperangan fizikal selama ratusan tahun, namun apa yang mereka perolehi hanyalah kekalahan demi kekalahan. Setelah menyedari bahawa peperangan fizikal tidak membuahkan hasil, maka golongan kuffar ini telah beralih kepada peperangan baru yang lebih dahsyat yakni peperangan pemikiran. Perang ini sebenarnya jauh lebih merbahaya kerana ia dirangka untuk merosakkan aqidah kaum Muslimin dan menghapuskan syariat Islam dari dalam. Melalui perang pemikiran ini jugalah Daulah Khilafah Uthmaniyyah yang begitu besar dan kuat telah berjaya dihancurkan. Racun assabiyyah dan wathaniyyah yang ditanam di dalam benak kaum Muslimin telah menyebabkan mereka terpecah belah kepada negeri-negeri kecil berdasarkan bangsa (nation states).
Walaupun Daulah Khilafah telah berjaya dihancurkan, namun kebencian dan dendam mereka tidak berakhir di situ. Perang pemikiran diteruskan dalam pelbagai bentuk dan cara. Ini dilakukan bagi memastikan kaum Muslimin tetap di dalam perpecahan dan permusuhan dan agama Allah ini tidak akan kembali diamalkan oleh umat Islam. Mereka juga berusaha bagi memastikan agar Daulah Khilafah tidak akan muncul lagi. Mereka merancang dan melaksanakan perang baru ini dengan penuh sabar dan berhati-hati. Mereka telah menggunakan segala sarana yang ada untuk memastikan kejayaan mereka di dalam peperangan ini. Hari ini, kita dapat saksikan bahawa perang ini telah membuahkan hasil yang lumayan bagi kaum kuffar. Umat Islam hari ini bertelagah sesama sendiri dalam hal agama, berpecah dan membenci antara satu sama lain. Para pemimpin mereka pula berjaya dipengaruhi untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memerangi dan memusuhi Islam serta umatnya.
Kita mengetahui bahawa buat masa ini Amerika Syarikat (AS) menguasai dunia dengan sejumlah jaringan informasi raksasa yang mereka miliki. Dengan kekuatan ini, mereka berjaya mengawal dunia dan mengarahkan jaringan informasi negara-negara lain agar berkiblat kepada mereka. Tujuannya adalah agar umat Islam tidak mendengar, kecuali apa yang disiarkan oleh mereka; tidak menonton, kecuali apa yang mereka tayangkan; tidak membaca, kecuali apa yang mereka tulis; tidak berbicara kecuali apa yang mereka bicarakan; tidak mengikut, kecuali apa yang mereka arahkan dan tidak berfikir, kecuali menurut sebagaimana yang mereka inginkan. Terhadap Islam, AS menginginkan agar kita memahaminya dengan cara berfikir mereka. Oleh itu, jika ada orang yang menyimpang dari cara pandang mereka, maka AS akan segera menggerakkan media massanya untuk menyerang. Mereka akan menggambarkan orang tersebut sebagai berlawanan dengan Hak Asasi Manusia, tidak demokratik, perosak perpaduan, pengacau keamanan dan sebagainya. Mereka akan menyatakan kepada dunia bahawa ini adalah golongan ekstremis, fundamentalis, terroris, radikal dan merbahaya.
Istilah-istilah sebegini direka dan dimanipulasi oleh AS untuk membawa satu konotasi yang negatif dan buruk. Merekalah yang mula-mula mencipta istilah-istilah ini dan mereka berjaya memaksa dunia menerima makna-makna istilah ini sebagaimana makna yang dimaksudkan oleh mereka. Dahulu, istilah 'Mujahidin' pernah digunakan oleh Amerika Syarikat dengan makna 'pejuang kebebasan'. Akhbar-akhbar di AS dan Britain menonjolkan istilah 'Mujahidin' dengan makna yang positif, sesuai dengan agenda AS dan sekutunya dalam menyekat kemaraan USSR di Afghanistan. Setelah kejayaan kelompok Mujahidin di Afghanistan dan kelompok ini tidak lagi menyebelahi AS, maka AS telah melabelkan golongan ini (Mujahidin) sebagai 'terroris' yang didalangi oleh kelompok Taliban dan Al Qaeda, walaupun pada hakikatnya mereka adalah orang yang sama.
Selain istilah 'terroris', AS dan sekutunya juga telah mempopularkan istilah 'ekstremis' (pelampau), yang tidak lain hanyalah ditujukan kepada umat Islam. Golongan yang berjuang di jalan Allah dicop sebagai ekstremis. Mana-mana orang yang tidak berfikir cara Barat, mana-mana orang yang tidak sehaluan dengan Barat dan mana-mana orang yang ingin mengamalkan ajaran Islam, tetapi tidak sesuai dengan kehendak Barat, maka golongan ini akan dicop sebagai 'ekstremis'. Pada masa yang sama, Barat mempropagandakan istilah 'moderate' (sederhana) dan meracuni pemikiran umat Islam bahawa kelompok Islam yang 'baik' adalah kelompok moderate (sesuai dengan kehendak Barat). Mereka mengheret dunia agar bersetuju dengan mereka melalui istilah-istilah yang dilontarkan. Di dalam hal ini, Menteri luar Australia, Alexander Downer pernah berkata, "Ekstremis Islam mahu menenggelamkan dunia ke dalam era pramoden tanpa teknologi dan tanpa hak untuk wanita. Mereka (kelompok ekstremis) ingin menghapuskan kepentingan Barat dan pengaruh dari negara-negara Islam, dan mereka ingin memusnahkan kerajaan-kerajaan Islam berpendirian sederhana. "Dan mereka mahu menggantikannya dengan rejim Islam ekstremis yang ganas, kejam dan tidak bertolak ansur ." [Utusan 02/10/05]
Di dalam sebuah majlis makan malam anjuran Ahli-Ahli Kongres Amerika Berbangsa Yahudi bagi meraikan General Pervez Musharraf, Tom Lantos (salah seorang ahli kongres) melontarkan kata-kata pujian kepada General Pervez Musharraf, "When the civilized world is engaged in a global war against extremist Islamic terrorism, you have emerged as the quintessential Muslim leader of moderation, decency, reason, and acceptance of pluralism" (Apabila tamadun dunia (merujuk kepada AS dan sekutunya) bertembung dalam perang terhadap ekstremis Islam yang ganas, kamu telah muncul sebagai seorang muslim yang sederhana, baik, rasional dan menerima konsep pruralisma) [AFP].
Tidak cukup dengan itu, istilah ekstremis yang telah digandingkan dengan istilah terroris dikaitkan pula dengan cita-cita untuk untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan penerapan syariat melalui Sistem Khilafah Islam. Ini jelas terlihat dari kenyataan Perdana Menteri Britain, Tony Blair pada 16 Julai 2005 di mana beliau telah mengaitkan kelompok ekstremis sebagai kelompok yang ingin menerapkan syariat melalui Sistem Khilafah Islam.
Sesungguhnya cop-cop sebegini dilontarkan oleh Barat kepada umat Islam, agar kita mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka. Malangnya sekarang ini, bukan sahaja Barat, kita juga melihat bahawa cop-cop ini telah dilontarkan pula oleh sesetengah kaum Muslimin termasuk para pemimpin, kepada umat Islam, dengan konotasi yang sama. Jika suatu waktu dahulu, di zaman kebebasan individu mula melanda negeri dan tubuh umat Islam, mana-mana perempuan yang memakai tudung labuh akan dianggap sebagai ekstrem. Sesiapa sahaja yang berjubah dan berserban juga dianggap sebagai ekstremis agama. Ringkasnya, sesiapa sahaja yang cuba berpegang teguh dengan ajaran agama akan dilabelkan sebagai pelampau. Golongan yang tidak ekstrem adalah mereka yang tidak bertudung, minum arak, pergi ke pub-pub atau kelab malam, bercampuran lelaki dan wanita (bersosial) dan seumpamanya.
Kedudukan ini masih kekal hingga sekarang, cuma sedikit berbeza dari segi perbuatan yang dipertuduhkan. Sekarang, sesiapa yang tidak mengambil riba dikatakan ekstrem, apatah lagi jika cuba untuk menghapuskan sistem riba, lagilah dikatakan ekstrem. Sesiapa yang tidak mengambil demokrasi juga dicop sebagai golongan yang ekstrem, apatah lagi jika cuba menghapuskan sistem demokrasi untuk digantikan dengan Sistem Khilafah Islam, lagi dahsyat ekstremnya. Pendek kata, sesiapa yang benar-benar berpegang kepada hukum syara', maka mereka in adalah ekstremis. Sesiapa yang cuba untuk mengamalkan ajaran Islam dan menerapkan hukum-hukumnya, ini adalah golongan ekstrem. Sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kehendak Barat dan pemikirannya, maka mereka ini adalah ektremis dan sesiapa sahaja yang berjuang untuk menegakkan agama Allah, maka mereka inilah ekstremis ....
Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa golongan yang dicop sebagai ekstrem oleh Barat adalah golongan yang dibenci dan ditakuti oleh Barat kerana ingin menegakkan hukum Allah. Golongan yang dicop sebagai ekstrem oleh para penguasa kaum Muslimin adalah golongan yang benar-benar berpegang teguh kepada agama Allah dan mereka ini adalah golongan yang ikhlas berjuang untuk memastikan agama ini zahir di atas agama-agama lain. Tiada apa yang mereka (yang dicop ekstrem) ini inginkan kecuali melihat agama Allah kembali ke muka bumi. Tidak ada apa-apa habuan dunia yang mereka harapkan, kecuali redha Allah. Tidak ada apa yang mereka kejar, kecuali syurga Allah. Apa yang mereka harapkan hanyalah kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat melalui penerapan Islam yang sepenuhnya. Kenapakah mereka dicop sebagai ekstremis? Kenapakah mereka dimusuhi oleh sesama umat Islam? Kenapakah mereka dibenci dan diburu? Sedarlah wahai saudaraku! Sesunguhnya semua ini adalah manifestasi dari racun kuffar Barat yang telah menular di dalam pemikiran kita agar kita bermusuhan antara satu sama lain serta membenci dan memerangi sesama kita. Pandanglah dengan pandangan Islam, dan Islam semata-mata. Buanglah racun ini sebelum ia membunuh kita ... kalian mampu melakukannya.
ANTARA BUKTI PERANCANGAN BARAT
Bukti bahawa Barat sekarang ini sedang memerangi umat Islam secara pemikiran adalah begitu jelas sehingga tidak perlu dilakukan kajian yang mendalam mengenainya. Barat sendiri dengan begitu angkuh dan sombong menyatakan hakikat ini. Bagi mewujudkan 'Muslim' mengikut selera mereka, maka mereka mengetengahkan istilah 'Moderate Muslim' (umat Islam berhaluan sederhana). 'Moderate Muslim' ini merujuk kepada kelompok Islam yang berfikiran selari dengan pemikiran dan nilai-nilai yang dibawa oleh Barat. Kelompok moderate ini disokong oleh AS dan sekutunya dengan harapan agar golongan ini dapat menenggelamkan suara kelompok ekstremis. Bagaikan dipukau, umat Islam kemudian berusaha untuk 'menambat hati' AS bagi mendapatkan gelaran 'kelompok moderate'. Inilah kelicikan AS. AS seterusnya hanya akan menjadi penonton kepada drama pergaduhan serta perpecahan umat Islam. Maka, berebutlah umat Islam, termasuk pemimpin mereka, untuk melabelkan diri sebagai golongan moderate (sederhana). Mereka juga 'bangga' apabila telah dicop oleh Barat sebagai moderate, seolah-olah telah berjaya memenangi anugerah terbaik dari Pihak Penganjur (AS).
Strategi melahirkan kelompok 'sederhana' dan menghapuskan kelompok ekstremis ini telah dikemukakan oleh badan-badan intelektual di Barat. Antaranya adalah sebuah laporan yang dikeluarkan oleh RAND Coporation di bawah tajuk 'The Muslim World After 9/11'. Ketua penyelidik dalam laporan ini, Dr. Angel Rabasa mencadangkan, "While only Muslims themselves can effectively challenge the message of radical Islam, there is much the United States and like-minded countries can do to empower Muslim moderates in this ideological struggle ." (Meskipun hanya umat Islam sahaja yang mampu secara efektif mencabar mesej yang ingin dibawa oleh kelompok radikal Islam, ada banyak sumbangan yang dapat diberikan oleh AS dan negara yang sehaluan dengannya untuk menggerakkan kelompok Islam sederhana dalam perang ideologi ini).
Laporan itu menggesa AS dan sekutunya agar,
(a) Create a strong and vocal network to unite the fractured voices of moderate Muslims. This can provide moderates with a platform for their message and provide alternatives to extremist movements. An external catalyst may be needed to give life to this goal. (Membentuk kerjasama di kalangan kelompok Muslim sederhana untuk menyuarakan pandangan mereka. Ini boleh menjadi platform bagi kelompok ini untuk menyalurkan pandangan mereka dan menyediakan alternatif kepada gerakan ektremis. Bantuan luar mungkin diperlukan untuk menghidupkan matlamat ini)
(b) Support Muslim civil society groups that advocate moderation and modernity. The
(c) Disrupt radical networks. Engage Islamists to participate in the political process, and strengthen relations with the military in Muslim nations. In the war against terror, the
(d) Reform Islamic schools. Educational systems have long been a vital component of radical Islamic indoctrination and recruitment. The best way to counter this is to help Islamic schools ensure they are providing modern education and marketable skills for future generations. (Perbaharui sekolah-sekolah Islam. Sistem pendidikan telah lama menjadi unsur terpenting dalam proses indoktrinisasi dan merekrut kelompok radikal. Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini (Islam radikal) adalah dengan membantu sekolah-sekolah Islam memastikan bahawa mereka menawarkan pendidikan moden dengan kepakaran-kepakaran yang boleh dipasarkan untuk generasi akan datang).
Cadangan-cadangan di atas tidak hanya berhenti di dewan-dewan seminar, ianya telahpun bermula. Ini dikukuhkan oleh kata-kata Gorge Bush,"Will we support the moderates and reformers who are working for change across the
EKSTREMIS SEKULAR
Sebagaimana kita maklum, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang kepada sekularisme. Mereka membunuh, memerangi dan menjajah kita dan menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita atas nama sekularisme. Sistem kufur ini adalah sistem yang lahir dari aqidah sekularisme yang diamalkan oleh mereka – aqidah yang memisahkan agama dari kehidupan. Dengan kata lain, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang teguh dengan fahaman sekular mereka. Anehnya, mereka tidak pernah melabel diri mereka atau dilabel oleh mana-mana pihak sebagai ekstrem, namun begitu, umat Islam yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam pula, dicop sebagai ekstrem.
Wahai kaum Muslimin! Tidakkah kalian sedar bahawa dunia Islam seluruhnya adalah dunia yang diterapkan di dalamnya sistem kufur yang berteraskan aqidah sekularisme? Telah bertahun lamanya negara-negara kaum Muslimin diperintah dengan ideologi kufur ini dan para pemerintah di dunia Islam telah berpegang teguh dengannya (sekularisme) , dan tidak menyimpang darinya walau sejengkal. Jika umat Islam yang benar-benar berpegang teguh dengan Islam dicop sebagai ekstremis Islam, bukankah sepatutnya mereka yang benar-benar berpegang teguh dengan sekularisme dicop sebagai ekstremis sekular? Manakah yang lebih baik di antara ektremis Islam dengan ekstremis sekular? Mana yang lebih baik di antara mereka yang benar-benar ingin menerapkan Islam yang menjanjikan kesejahteraan dan kebaikan dengan mereka yang benar-benar ingin mempertahankan sekularisme yang telah terlalu banyak membawa kehancuran dan kerosakan di bumi Allah ini?? Mana yang lebih baik di antara mereka yang esktrem berdakwah dan berjuang untuk menegakkan Deen Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat yang mulia, dengan mereka yang ekstrem ingin menghapuskan para pejuang ini?
Kebencian dan ketakutan golongan kuffar akan kembalinya Sistem Islam adalah sangat nyata dan mereka tidak mampu menyembunyikannya lagi. Ini jelas terpancar dari kata kata Setiausaha Dalam Negeri Britain, Charles Clark pada 5 Disember 2005 dalam ucapan beliau di 'The Heritage Foundation',
'Apa yang menggerakkan kelompok ini adalah pemikiran. Dan (kelompok ini) bukanlah seperti pergerakan pembebasan selepas Perang Dunia Kedua di kebanyakan tempat di dunia yang mengejar tujuan politik seperti kemerdekaan negara dari penjajah kolonial atau kesamarataan bagi semua penduduk tanpa mengira bangsa mahupun kepercayaan atau perjuangan kebebasan bersuara tanpa penindasan yang bersifat totalitarian. Secara prinsipnya, kita boleh bertolak ansur dalam cita-cita sebegini, dan kita sebenarnya telah pun bertolak ansur dalam kebanyakan kes. Walaubagaimanapun tidak ada tolak ansur tehadap perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah Islam, tidak ada tolak ansur terhadap perjuangan menerapkan Syariah Islam, tidak ada tolak ansur terhadap ancaman kepada kesamaan gender dan tidak ada tolak ansur terhadap sekatan ke atas kebebasan bersuara. Nilai-nilai inilah yang mendukung peradaban kita dan tidak boleh ada tolak ansur ke atasnya'.
Wahai kaum Muslimin! Kafir Barat telah, sedang dan akan bersungguh-sungguh berusaha dengan apa cara sekalipun untuk memecahbelah dan melemahkan persatuan kita. Tuduhan mereka yang palsu dan penuh bias terhadap Islam dan penerapan Islam memanifestasikan kebencian dan dendam mereka terhadap Islam. Hakikatnya, Islam telah selama lebih 1300 tahun memberikan kesejahteraan dan kemajuan untuk umat manusia. Hakikat ini mereka cuba ketepikan, mereka cuba putarbelitkan. Mereka letakkan Islam di kandang pesalah dan mereka lontarkan pelbagai tuduhan sehingga ada di antara umat Islam yang turut sama menuding jari ke arah Islam dan mempersalahkannya . Barat sekali-kali tidak akan berhenti di dalam usaha ini. Mereka akan terus menggunakan kelompok ekstremis sekular untuk cuba melemah dan menghancurkan para pejuang Islam yang ikhlas.
Wahai kaum Muslimin! Kita bersaudara. Kita adalah satu kesatuan. Haram untuk kita berpecah belah dan bermusuhan. Musuh kita adalah mereka yang menolak Allah dan RasulNya, bukan sesama kita. Marilah kita bersatu menunjukkan perpaduan dan kekuatan kita kepada musuh Allah ini. Buktikan bahawa peperangan fizikal mahu pun peperangan pemikiran yang mereka lancarkan ke atas kita adalah lemah berbanding keagungan dan kekuatan Islam; bahawa makar mereka adalah lemah dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas Makar. Sesungguhnya Allah adalah bersama hamba-hambaNya yang ikhlas. Berdoalah akan kemenangan kita wahai saudaraku, sesungguhnya Allah itu adalah dekat dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan. Amin ya Rabbal 'alamin.
0 comments:
Post a Comment