KERA DIHUTAN DISUSUI ANAK SENDIRI DIRACUNI
KERA DIHUTAN DISUSUI ANAK SENDIRI DIRACUNI
Kes ‘tangkap khalwat’ di mana-mana negeri di Malaysia adalah merupakan fenomena biasa. Tidak ada yang ’istimewa’nya dengan kes-kes sebegini kecuali beberapa kes sensasi yang melibatkan artis-artis atau orang-orang kenamaan. Walaubagaimanapun, kes penangkapan khalwat pasangan pelancong di Kuah, Langkawi oleh Jabatan Hal-Ehwal Agama Kedah bulan lepas telah menjadi satu isu dan mendapat liputan meluas media. Ini adalah kerana pasangan yang ditangkap itu merupakan pelancong asing dan bukan beragama Islam (Kristian). Tambahan pula mereka adalah sepasang suami-isteri. Peristiwa ini berlaku pada 12 Oktober lepas di mana seorang pesara polis Amerika Syarikat, Randal Barnhart, 62 bersama isterinya Carol, 61 telah diserbu di kondominium sewa mereka oleh pegawai penguatkuasa agama pada jam 2.00 pagi. Pegawai tersebut menuduh mereka melakukan khalwat serta meminta mereka menunjukkan sijil perkahwinan.
Sehubungan ini, Kementerian Pelancongan telah mengarahkan pegawainya di Kedah untuk menyiasat. Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Donald Lim menyatakan bahawa Kementerian memandang serius perkara ini dan akan menghantar laporan kepada Menteri. Katanya, “Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menyerahkan laporan berkenaan kepada Kabinet”. Orang ramai dan pihak pembangkang telah melahirkan keprihatinan mereka dan ingin mendapat jawapan dari pihak berkuasa, tambah beliau [The Star Online 03/11/06].
Peristiwa ini turut mendapat tindakbalas, komentar serta cadangan penyelesaian dari pelbagai pihak. Antaranya adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). JAKIM dilapor akan menjalankan mesyuarat khas menerangkan garis panduan operasi kepada semua Jabatan Agama Negeri pada 23-25 November. Mereka perlu mematuhi Piawaian Prosedur Operasi (SOP) ini. Mengikut SOP yang baru digubal, operasi hanya boleh dilakukan oleh pegawai yang mempunyai surat kuasa daripada Jabatan Agama Islam Negeri atau pemerintah negeri terbabit sahaja [NST, BH 16/11/06]. Persoalannya, apakah isu ini begitu hangat diperbincangkan kerana ia berlaku ke atas pelancong warga Amerika? Bagaimana pula jika ia berlaku ke atas pasangan suami isteri beragama Islam warga Malaysia? Adakah ia akan menjadi isu yang hangat? Sautun Nahdhah akan membicarakan perkara ini serta peranan yang sepatutnya dimainkan oleh kaum Muslimin di dalam menangani gejala maksiat yang terus bermaharajalela pada hari ini.
BARAT DITATANG ISLAM DITENTANG
Wahai kaum Muslimin! Kafir Barat tidak pernah menghormati Islam, malah mereka cukup benci kepada Islam dan berusaha menghapuskannya. Mereka tidak akan senang kepada kita sehinggalah kita mengikuti millah mereka. Walaupun mereka gagal menarik umat Islam agar memeluk agama mereka, tetapi mereka berjaya menarik sebahagian besar dari umat Islam agar mengikuti cara hidup mereka. Mereka memisahkan agama dari kehidupan (sekular), lalu umat Islam mengikutinya; mereka mengamalkan kebebasan, lalu umat Islam mengikutinya; mereka kasihkan dunia dan takutkan mati, lalu umat Islam juga mengikutinya. Yang lebih buruk, mereka bencikan umat Islam dan sistem Islam, lalu umat Islam juga mengikutinya. Oleh itu, kita menyaksikan sudah tiada lagi kehidupan Islam di sekililing kita, kita menyaksikan para pemimpin kaum Muslimin tidak lagi menerapkan Islam, sebaliknya mempertahankan sistem sekular yang mereka warisi dari Barat ini.
Kejayaan kafir Barat di dalam mengubah pemikiran umat Islam agar memisahkan diri dari Islam tidak berhenti di sini; mereka malah berjaya mengubah pemikiran umat Islam agar menyayangi mereka, menghormati mereka dan tunduk kepada mereka. Justeru, kita melihat umat Islam menyanjung tinggi sistem mereka yang kufur, menganggap hebat tamadun liar mereka dan memuliakan kehadiran mereka. Atas kejahilan ini, pelancong asing terutama dari Barat akan diberi layanan ’first class’ oleh kita. Mereka seperti insan yang mulia, berbanding rakyat sendiri. Kita sanggup berbuat apa sahaja asalkan dapat ’menambat hati’ dan memuliakan ’tetamu kehormat’ ini. Sehingga, jika ada undang-undang di dalam negeri yang menyusahkan mereka, maka undang-undang ini perlu dipinda agar ’tetamu’ ini dapat menikmati hidup dengan selesa di sini. Umat Islam seolah-olah sudah ’hilang punca’ bahawa kita adalah umat yang terbaik dan sistem kita adalah sistem terbaik yang datang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Tidak lama dahulu ada cadangan supaya dilanjutkan tempoh operasi pusat hiburan, pusat beli-belah dan restoran sehingga jam 5.00 pagi. Kementerian Pelancongan pernah mencadangkan kawasan hiburan khas diwujudkan sebagai jalan penyelesaian terbaik untuk mengimbangi keselesaan pelancong selepas keputusan dibuat untuk tidak melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan di beberapa tempat tertentu di negara ini. Para pemimpin kita berusaha untuk memberi keselesaan kepada pelancong asing ini tanpa memikirkan bahawa usaha ini hanya akan menyuburkan lagi aktiviti maksiat di dalam negara. Mereka memandang penting akan keselesaan dan apa-apa aduan dari pelancong asing. Jika ada sedikit sahaja aduan, maka ia akan terus dilayan dengan sungguh-sungguh. Namun jika aduan tersebut datang dari rakyat sendiri, maka ia seolah-olah tak perlu disegerakan. Jika kita tersilap tangkap pasangan Barat sedang berkhalwat, maka undang-undang perlu dipinda agar perkara ini tidak berulang. Tetapi jika yang tersilap tangkap itu adalah pasangan tempatan, maka ini soal kecil sahaja, tak perlu dibincangkan! Pendek kata apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan ’ketidakselesaan’ atau ’kemarahan’ orang-orang Barat, maka ini adalah isu penting dan perlu ditangani segera, apatah lagi jika isu-isu tersebut membabitkan soal keselamatan.
Lihat sahaja kedatangan Presiden rejim ganas AS, George Bush ke Indonesia baru-baru ini yang disambut baik oleh sang pemimpin, seolah-olah si laknatullah ini seorang hero penyelamat umat. Ribuan polis dikerah berjaga-jaga, bukan semasa kedatangan, malah sebulan sebelum kedatangannya!! Begitu juga kita melihat kedatangan Condoleeza Rice ke Malaysia tidak lama dulu yang disambut dengan ‘permaidani merah’, walaupun pada hakikatnya tangan rejim ganas AS ketika itu masih berlumuran darah dengan pembunuhan yang mereka lakukan ke atas saudara-saudara kita. Sama juga halnya dengan delegasi-delegasi atau pelancong-pelancong dari Barat di mana layanan yang diberikan kepada mereka sangat luarbiasa. Para pemimpin kaum Muslimin sudah tidak lagi membezakan kawan atau lawan, musuh atau sahabat, golongan yang mulia atau yang hina, musuh Allah ataupun tidak.
Wahai kaum Muslimin! Janganlah sekali-kali kalian lupa akan kebiadaban Barat ke atas kalian dan ke atas agama Allah. Barat sentiasa memandang serong ke atas semua orang yang pada namanya ada ’bin’ atau ’binti’. Di lapangan terbang, nama-nama sebegini akan diperiksa habis-habisan dan akan diberi ’perhatian istimewa’. Bukan diperhati untuk dijaga keselamatannya, tetapi untuk ditembak seperti anjing jika perlu. Dari mula menjejakkan kaki di lapangan terbang, umat Islam terus menjadi ’pesalah’ sehinggalah kita menaiki kapal terbang semula untuk pulang. Bahkan, umat Islam yang telah lama berada di negara mereka atau yang telah menjadi warganegara mereka sekalipun, turut dilayan dengan ’kurang ajar’ oleh mereka. Mereka tidak membenarkan kita mengamalkan cara hidup kita, walhal mereka mendakwa mereka adalah negara yang mengamalkan kebebasan. Mereka mahu kita berfikir sebagaimana mereka dan tunduk kepada mereka.
Jika Bush menyatakan (tuduhan liar) bahawa Arab Saudi, Syria, Indonesia atau Malaysia adalah sarang pengganas, maka kita akan melihat betapa para pemimpin kaum Muslimin akan kelam kabut berusaha untuk membuktikan bahawa negara mereka bukan sarang pengganas. Kita melihat seolah-olah kenyataan Bush itu adalah hasil dari analisis yang mendalam dan disertai bukti-bukti yang tidak dapat disangkal. Pokoknya, hanya dengan satu tuduhan, kita terus menjadi bersalah sehinggalah kita membuktikan sebaliknya. Yang menuduh (Bush) seolah-olah tidak bersalah dan tidak perlu membuktikan apa-apa; sebaliknya, yang dituduh mesti mendatangkan bukti. Demi untuk membuktikan bahawa tuduhan Bush itu tidak berasas, maka rakyat sendiri menjadi mangsa. Maka lahirlah pemimpin-pemimpin yang membenci dan memusuhi rakyatnya, terutama gerakan Islam yang ikhlas berjuang menegakkan hukum Allah, meskipun mereka (gerakan-gerakan ini) tidak menggunakan kekerasan dalam dakwah. Golongan ini akan dicop sebagai ekstrem, radikal, pengganas dan sebagainya. Pemuja Barat disanjung, pejuang Islam dibendung. Musuh Allah dianggap dan dilayan sebagai sahabat, golongan yang menolong agama Allah dianggap dan dilayan seperti musuh. Ibarat kata, kera di hutan disusui, anak sendiri diracuni.
Wahai kaum Muslimin! Wahai para pemimpin kaum Muslimin! Lupakah kalian akan segala kejahatan yang telah dilakukan Barat ke atas kalian dan saudara-saudara kalian? Saudara kalian diseksa, disembelih dan dibunuh dengan kejam oleh mereka. Anak-anak perempuan dan wanita-wanita dirogol dan ditembak sesuka hati. Di dalam pemikiran Barat, umat Islam adalah umat yang hina, umat Islam adalah musuh, jahat, terroris dan sebagainya. Mereka betul-betul menganggap kita sebagai penjenayah yang perlu dihapuskan, kecuali golongan yang tunduk kepada Barat dan mengamalkan nilai-nilai mereka. Atas dasar ini, mereka memerangi kita habis-habisan.
Tidak lama dahulu di Perancis, pelajar perempuan Islam dilarang memakai tudung ke sekolah. Baru-baru ini, isu tudung sekali lagi dibangkitkan oleh Menteri Luar Britain, Jack Straw. Britain yang kononnya sebuah negara yang memperjuangkan demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan, tidak membenarkan umat Islam mengamalkan cara hidup Islam. Kita tidak boleh mengamalkan cara hidup kita di tempat mereka, tetapi mereka bebas mengamalkan cara hidup mereka di tempat kita. Mereka bebas memakai bikini di negara mereka dan melakukan perkara yang sama di negara-negara kita. Mereka berjemur di pantai tanpa seurat benang pun di negara mereka dan mereka dibiarkan melakukan hal yang sama di negara kita. Apabila kita ingin menyekat perkara ini, maka kita akan dikatakan menolak idea kebebasan. Inilah sikap hipokrit Barat yang memperjuangkan kebebasan. Takut dicop oleh Barat sebagai golongan yang menolak kebebasan, maka para pemimpin dan ulama kita hanya membiarkan sahaja mereka bertelanjang di negara kita. Undang-undang kita digubal dan dijaga agar tidak menyekat konsep kebebasan seperti ini.
Wahai kaum Muslimin! Sedarkah kalian bahawa golongan kuffar tidak pernah mengambil kira sensitiviti umat Islam di dalam apa-apa hal sekalipun. Sebaliknya, para pemimpin dan ulama’ kalian terlalu menjaga dan mengambil kira sensitiviti Barat di dalam segenap hal. Penjagaan rapi terhadap sensitiviti kaum kuffar ini menyebabkan mereka meletakkan Islam di belakang. Hukum syara’ diketepikan hanya semata-mata kerana takut mengguris atau melukakan hati penganut agama lain, seolah-olah Islamlah yang bersalah. Mereka yang bersuara menegakkan hukum syara’ terus dicop sebagai ekstremis dan radikal. Islam seolah-olah sudah menjadi musuh di dalam selimut!!
AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR – TUGAS SIAPA?
Banyak pihak hanya meletakkan urusan amar makruf nahi mungkar di tangan orang-orang atau agensi-agensi tertentu sahaja. Atas dasar ini, jika aktiviti amar makruf nahi mungkar ini gagal, maka jari boleh dituding kepada pihak-pihak yang telah dipertanggungjawabkan. Akibatnya, pihak-pihak lain, termasuk para pemimpin dan kerajaan adalah tidak bersalah. Justeru, JAKIM, sebagai pihak yang diberi tanggungjawab selalu dipersalahkan apabila banyak kegiatan negatif gagal dibendung. Semua pihak terus-terusan menyerang JAKIM di atas kegagalan ini, sekaligus berjaya menutup kelemahan-kelemahan ’pihak lain’ dan ’sistem’ yang ada. JAKIM dikritik hebat dalam Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini. JAKIM juga sebenarnya telah dikritik dalam perhimpunan-perhimpunan yang lepas. Mungkin ramai yang berpendapat JAKIM wajar membela diri di atas setiap pertuduhan meskipun ia turut mengakui kelemahan yang ada dan berusaha untuk memperbaikinya. Persoalannya, adakah JAKIM benar-benar bersalah dan jika ya, adakah langkah-langkah yang diambil untuk memperbaikinya sesuai dengan Islam?
Tugas kami di sini bukanlah untuk menghukum siapakah yang bersalah tetapi kami bertanggungjawab untuk merungkai segala kebatilan dan menjelaskan segala kebenaran, agar cahaya kebenaran akan melenyapkan segala kebatilan. Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa kegiatan amar makruf nahi mungkar diwajibkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada setiap individu, masyarakat dan juga gerakan-gerakan Islam. Ia bukan hanya tugas orang atau pihak tertentu sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh menghadkan aktiviti amar makruf nahi mungkar bagi pihak-pihak tertentu sahaja.
Untuk setiap individu Muslim, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman.” [HR Muslim]. Menurut Qadi Iyadh, hadis ini berkaitan dengan sifat-sifat seseorang ketika mengubah kemungkaran. Orang yang hendak mengubah kemungkaran boleh dengan berbagai cara, samada melalui perkataan mahupun tangan (perbuatan). Jika dia menduga bahawa sekiranya kemungkaran tersebut diubahnya dengan tangan akan muncul kemungkaran yang lebih besar lagi, seperti risiko akan dibunuh atau orang lain akan terbunuh kerana perbuatannya, cukuplah ia mengubahnya dengan lisan seperti nasihat dan peringatan. Jika ia bimbang ucapannya itu boleh mengakibatkan risiko yang sama, cukuplah diingkarinya dengan hati (tidak redha akan maksiat tersebut). Itulah maksud hadis tersebut [An-Nawawi, Syarh Sahîh Muslim, jilid II/25].
Berdasarkan hal ini, semua orang pada hakikatnya mampu dan berhak mengubah kemungkaran. Tidak kira siapakah dia, samada pegawai kerajaan atau orang awam. Ini jelas telah dilaksanakan oleh Daulah Islamiyyah sebagaimana yang digambarkan oleh Abu Ya’la Muhammad al-Farra’ di dalam kitab Al-Ahkam as-Sulthaniyyah ketika menceritakan peristiwa hisbah yang mana ianya melibatkan pegawai Negara dan sukarelawan yang terdiri daripada rakyat tempatan [Al-Farra, Al-Ahkam as-Sulthaniyyah, 1983].
Masyarakat secara keseluruhan juga diperintahkan oleh Rasulullah agar melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar ini. Perumpamaan yang tepat telah digambarkan oleh Rasullullah di dalam sebuah hadis yang lebih dikenali sebagai ‘hadis kapal’ di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Perumpamaan orang-orang yang mencegah maksiat dan melanggarnya adalah seperti kaum yang menaiki sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di atas dan yang lain berada di bawah. Jika orang-orang yang berada di bawah memerlukan air, mereka terpaksa melalui orang-orang yang di atasnya. Lalu mereka berkata: ‘Jika kami tebuk sahaja lubang pada bahagian kami ini, tentu kami tidak perlu menyusahkan orang-orang di atas kami’. Tetapi jika yang demikian itu dibiarkan oleh orang-orang yang berada di atas (walhal mereka tidak menghendakinya), maka binasalah seluruhnya. Dan jika dikehendaki dari tangan mereka keselamatan, maka akan selamatlah kesemuanya.” [HR Bukhari].
Begitulah perumpamaan jelas yang dibuat oleh Junjungan kita. Jika masyarakat membiarkan aktiviti maksiat berlaku di dalam lingkaran mereka, maka keseluruhan masyarakat itu disifatkan oleh Rasulullah akan binasa. Idea ’kebebasan’ yang dianut oleh masyarakat pada hari ini menyebabkan mereka tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka, yang penting mereka tidak diganggu. Oleh itu, kita menyaksikan segala kerosakan berlaku di dalam masyarakat kita sebagai natijah dari tidak wujudnya di kalangan kita yang menegur atau mengubah kemungkaran sebagaimana yang Rasulullah perintahkan. Justeru, masyarakat secara umumnya haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencegah dan menghalang segala aktiviti maksiat agar kita semua terselamat dari bencana.
Bagi gerakan-gerakan Islam pula, Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan melalui FirmanNya, ”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang menang.” [TMQ Ali Imran (3):104]. Ayat yang mulia ini merupakan perintah Allah yang sangat jelas kepada kelompok-kelompok Islam bahawa mereka wajib melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar dan ini adalah asas kepada kegiatan mereka.
Seperkara lagi yang perlu difahami dengan benar adalah maksud kemungkaran atau maksiat itu sendiri. Ramai di kalangan umat Islam yang menganggap perkara-perkara maksiat adalah zina, khalwat, berdua-duaan dan seumpamanya. Fahaman sebegini jelas keliru dan mengelirukan. Maksiat bermaksud melakukan apa-apa sahaja perkara yang haram atau meninggalkan yang wajib. Oleh itu mengambil riba adalah maksiat, begitu juga dengan makan rasuah, berjudi, tajassus (mengintip sesama umat Islam), tidak solat, tidak puasa dan seumpamanya. Adapun melakukan perkara yang mubah, tidak melakukan perkara yang sunat atau melakukan perkara yang makruh tidaklah dikategorikan sebagai maksiat. Oleh itu, tidak berpuasa hari Isnin dan Khamis, tidak bersedekah atau memakan bawang tidaklah dikategorikan sebagai maksiat. Oleh yang demikian, yang dimaksudkan dengan mencegah kemungkaran di sini adalah mencegah segala perkara yang haram (maksiat).
Sehubungan dengan ini, Negara adalah satu-satunya entiti pelaksana (kiyan tanfizi) dalam membendung aktiviti maksiat yang dilakukan oleh mana-mana individu atau kumpulan. Maksudnya, Negara wajib menghukum semua pelaku maksiat dengan hukum Allah. Oleh itu, para pelaku maksiat wajib dihukum samada dengan jinayat (qisas), hudud, ta’zir mahupun mukhalafat. Inilah sistem ’uqubat (hukuman) di dalam Islam ke atas mereka yang memaksiati Allah. Sehubungan dengan ini juga, kita harus sedar bahawa maksiat terbesar yang dilakukan oleh manusia terhadap Allah adalah tidak menerapkan hukum Allah itu sendiri. Menerapkan hukum selain hukum Allah adalah sebesar-besar kemungkaran yang dilakukan oleh manusia kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Begitu besar dosa mereka yang melakukan perkara ini di sisi Allah sehingga Allah mengkategorikan mereka ini sebagai kafir, zalim dan fasik. [lihat Al-Qur’anul Karim Surah Al-Maidah (5): 44, 45 dan 47]
Justeru, wajib ke atas setiap individu Muslim, gerakan-gerakan Islam dan mana-mana agensi Islam sekalipun mencegah segala maksiat yang berlaku di sekeliling mereka. Kewajiban ini tidak boleh diletakkan di bahu pihak tertentu sahaja dan tidak dibolehkan mana-mana pihak menyekat mana-mana individu atau kelompok Islam dari melakukan amar makruf nahi mungkar. Kewajiban ini datangnya dari Allah dan Rasul, bukannya datang dari manusia. Sama sebagaimana kewajiban solat dan puasa, di mana kita melakukannya tanpa perlu izin dari mana-mana pihak, maka hal yang sama hukumnya wajib ke atas setiap kaum Muslimin untuk melakukan amar makruf nahi mungkar tanpa perlu terlebih dahulu meminta izin dari mana-mana pihak. Namun begitu, yang perlu dibezakan di sini ialah dari segi hukuman. Hanya Negara yang berhak menjatuhkan hukuman, itu pun wajib dijatuhkan hukum Allah, bukan hukum manusia. Sekiranya hukum manusia yang dijalankan, maka semua pihak (termasuk JAKIM) wajib pula mencegah kemaksiatan terbesar ini. Dengan kata lain, para pemimpin yang telah melakukan maksiat terbesar ini wajib dimuhasabah.
Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengakhiri risalah ini dengan satu kata-kata yang mulia, yang keluar dari mulut seorang yang mulia, dari peribadi seorang yang mulia, dari semulia-mulia makhluk, agar kalian benar-benar mengambil peringatan darinya dan takut akan azabNya ke atas kalian jika kalian tidak melakukan amar makruf nahi mungkar.
“Demi jiwaku yang ada dalam genggamanNya, (hendaklah) kalian memerintahkah kemakrufan dan mencegah kemungkaran atau Allah akan menimpakan azab atas kalian, kemudian kalian berdoa kepadaNya, lalu doa kalian tidak akan dikabulkan.” [HR at-Tirmidzi].
Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan...
0 comments:
Post a Comment