KEBIADAPAN ISRAEL HARUS DI JAWAB DENGAN JIHAD
Ketika makalah ini masih dalam penulisan, tentera Israel terus mengebom Palestin dan Selatan Lebanon. Israel telah mengerahkan beribu-ribu askar simpanannya ke sempadan Lebanon bagi mencari dan memusnahkan kedudukan Hizbullah. Sudah ribuan yang mati dan juga tercedera. Kementerian Kesihatan Awam Lebanon menganggarkan hampir 400 penduduk telah terbunuh sejak kali pertama serangan ke atas Hizbullah. Setakat ini jumlah yang cedera melebihi 1,350 orang. Sebagai reaksi atas apa yang berlaku, pada hari Jumaat yang lepas satu demonstrasi telah diadakan oleh Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) yang berarak dari masjid menuju ke lima pejabat perwakilan negara Anggota Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi menunjukkan bantahan serta menyerahkan memorandum terhadap kekejaman Israel kepada kedutaan Amerika Syarikat, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain, Kedutaan Perancis, Kedutaan Besar China dan Russia. Perarakan itu turut disertai wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). [BH 23/07/06].
Demonstrasi juga telah diadakan di beberapa bandar utama di seluruh negara termasuklah di Kota Bharu yang dihadiri oleh lebih 5,000 orang. Begitu juga di Kuantan dan Ipoh di mana umat Islam telah mengadakan perhimpunan secara aman di perkarangan masjid selepas solat Jumaat. Tunjuk perasaan bagi membantah tindakan ganas Israel diadakan di seluruh dunia samada di negeri-negeri umat Islam mahupun di negara kafir sendiri. Di Dhaka, Bangladesh sekurang-kurangnya 2,000 penduduk berdemonstrasi. Tunjuk perasaan juga diadakan di Kashmir, Islamabad, Jakarta, Amman, Kaherah dan lain-lain lagi yang menyaksikan ribuan orang hadir bagi menyatakan bantahan ke atas keganasan Israel. Di Sydney dan Berlin, lebih 10,000 dilaporkan berhimpun. Ribuan penunjuk perasaan juga berhimpun di Sao Paulo, Copenhagen, Bern (Switzerland) dan Vienna. Sementara itu di kota London beribu-ribu orang bersiap sedia untuk menyertai bantahan besar-besaran di seluruh Britain bagi mengecam keganasan negara Yahudi itu. Bantahan di London sehingga ke Glasgow dan Kirkcaldy, turut dilihat menjadi tekanan ke atas kerajaan Britain. Andrew Burgin, wakil Stop the War Coalition, meramalkan 10,000 orang akan menyertai bantahan di London. [Agensi]
SEDIKIT ANALISIS
Krisis ini diwartakan oleh media bermula dengan peristiwa seorang tawanan tentera Yahudi, Koperal Gilad Shalit yang ditahan pejuang Palestin. Dia sebenarnya ditawan dalam peperangan dan bukan diculik dari rumahnya. Dengan kata lain dia merupakan tawanan perang, namun negara Yahudi menggambarkan kepada dunia seolah-olah seperti dia diculik. Bermula dari situ, negara Yahudi tanpa berlengah terus menganggap peristiwa ini sebagai masalah qadhiyyah mashiriyyah (hidup dan mati). Sejak Ahad 2 Julai lalu Israel telah melakukan operasi tentera besar-besaran ke Semenanjung Gaza atas alasan untuk membebaskan tawanan tersebut. Dengan peristiwa ini, Yahudi berjaya menyebabkan dunia lupa bahawa mereka dari dulu sehingga kini masih menahan lebih 9,000 warga Palestin.
Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan krisis di Asia Barat, peristiwa penangkapan tawanan bukan satu perkara asing. Ia sering berlaku sejak dari dahulu lagi dan senario ini biasanya akan diakhiri dengan penyelesaian melalui rundingan pertukaran tawanan. Yang menghairankan, di dalam kes tawanan pada kali ini Israel tidak lagi berminat dengan pertukaran tawanan, sebaliknya mengambil langkah memerangi pejuang Palestin habis-habisan. Mereka menyatakan 'hanya akan berhenti setelah mencapai tujuan yang mereka inginkan'. Bukankah pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa Israel ada objektif tertentu?
Jika diteliti, peristiwa ini sebenarnya telah dirancang sejak lama lama dahulu. Kita tentunya masih ingat peristiwa pembunuhan Rafiq Hariri lebih setahun lepas di Beirut. Tidak semena-mena selepas pembunuhan tersebut, tentera Syria keluar dari bumi Lebanon. Apakah kaitannya? Ini jelas merupakan sebahagian dari perancangan AS dan Israel - mengeluarkan tentera Syria yang selama ini menyokong Hizbullah sehingga Hizbullah berjaya mengusir Israel dari selatan Lebanon. Setelah kekuatan (tentera Syria) di selatan Lebanon berjaya dilumpuhkan, maka sekarang ini (objektif jangka pendek) adalah menundukkan kekuatan Hizbullah serta melemahkan ikatannya dengan Syria dan Iran. Tanpa Hizbullah, lengkaplah penguasaan politik AS ke atas Lebanon. Ini dinyatakan sendiri oleh Menteri Pertahanan Israel, Amir Peretz. Beliau dengan angkuhnya memberi amaran bahawa Israel akan melancarkan pencerobohan darat besar-besaran 'tanpa berfikir dua kali' jika perlu, untuk menghancurkan Hizbullah [BH 23/07/06].
Untuk memastikan negara-negara sekitar tidak campur tangan, Amerika Syarikat (AS) telah pun meletakkan kapal perangnya di Teluk sejak peristiwa ini tercetus. Sebelumnya mereka telah mengadakan latihan tentera bersama dengan Jordan. Britain pula dilaporkan telah menghantar dua kapal perangnya ke sana. AS juga mula menekan Iran dengan menuduh mereka memberi bantuan peralatan kepada Hizbullah dan Syria pula dituduh menjadi pusat menyuburkan kegiatan Hizbullah. Inilah percaturan Israel dan sekutunya AS dengan memberi tekanan kepada musuh-musuhnya. Keadaan ini diparahkan lagi dengan kejahatan dan kezaliman para pemimpin negeri-negeri umat Islam yang selama ini menjadi agen dan boneka AS. Bayangkan wahai kaum Muslimin, Israel hanyalah sebuah negara kecil yang dikelilingi oleh negara-negara umat Islam yang begitu besar. Tetapi apa dah jadi pada umat Islam? Inilah nasib yang menimpa umat Islam apabila mereka dipimpin oleh para penguasa yang menjadi talibarut AS, berpemikiran sekular, takut, sayang dan bekerjasama dengan Bush, tetapi bencikan Islam dan hukum-hukumnya. Natijahnya, negara mereka diserang, saudara mereka dibunuh tetapi mereka masih berdiam diri tanpa ada rasa malu dan bersalah sedikitpun. Lebih buruk, mereka malah membantu Barat membunuh saudara-saudara mereka!
PENYELESAIAN YANG TIDAK MENYELESAIKAN
Liga Arab dan OIC, seperti biasa, hanya 'pintar' menghasilkan slogan demi slogan, resolusi demi resolusi yang sekadar kecaman dan seruan tidak bermakna. Lebih banyak 'bercakap' dari 'bertindak' menyelesaikan masalah. Para anggota Liga Arab yang mengadakan perjumpaan tergempar bagi membincangkan situasi di Asia Barat malah saling bertengkar mempersoalkan samada tindakan Hizbullah menawan dua orang tentera Israel sehingga membawa kepada serangan Israel ke atas Lebanon adalah tindakan yang sah. Mereka langsung tidak membincangkan bagaimana untuk menghadapi Israel atau sekurang-kurangnya mempersoalkan tindakan kejam Israel yang melakukan serangan ganas ke atas Lebanon, sebaliknya mereka menjadikan Hizbullah sebagai 'mangsa' kesalahan.
Apa yang lebih menyedihkan, kaum Muslimin (terutamanya para pemimpin) hanya menganggap Palestin sebagai masalah bangsa Palestin atau masalah bangsa Arab sahaja. Inilah manifestasi dari pemikiran kufur yang ada pada mereka, menganggap peperangan di Palestin adalah masalah rakyat Palestin. Kerana apa?? Kerana setiap negara kaum Muslimin adalah negara yang berdaulat? Kerana semuanya ada sempadan sendiri? Kerana masing-masing memerintah negara masing-masing? Kerana sempadan geografi mesti dihormati dan dijaga? Masing-masing menyelesaikan masalah masing-masing, jangan campurtangan urusan negara lain? Kerana masing-masing adalah negara berkecuali? Wahai kaum Muslimin!! Inilah pemikiran kufur yang masih menebal dalam para pemimpin dan sebahagian kaum Muslimin!!! Sempadan negara (yang hanya dilakar oleh Barat) yang wajib dihapuskan malah dijaga dan dipertahankan. Darah saudara seagama yang wajib dibela malah dibiarkan. Tentera yang ada di dalam negara 'dimandulkan', hanya semata-mata kerana sempadan geografi!!
Kelompok berpemikiran liberal dan sekular pula menyatakan bahawa ini bukanlah peperangan yang melibatkan agama, tetapi ia adalah pencerobohan terhadap Hak Asasi Manusia. Oleh itu, langkah fizikal diambil dengan membuat gerakan keamanan antarabangsa bagi menimbulkan kesedaran masyarakat, melaungkan Hak Asasi Manusia, mengharap dunia mengembalikan keamanan rantau berkenaan serta menyeru dan menggesa PBB untuk campurtangan dan mengembalikan keamanan sejagat.
Ada pula yang sudah putus harapan dengan PBB (mungkin buat seketika). Mereka menyeru agar umat Islam bersatu menentang pencerobohan Israel. Laungan penyatuan umat Islam bergema di mana-mana, baik oleh rakyat mahupun pemimpin, demi untuk menyelamatkan Palestin dan Lebanon. Namun, persoalannya ialah penyatuan bagaimanakah yang diinginkan? Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengajak umat Islam seluruh dunia bersatu membangunkan kekuatan ummah setelah melihat PBB yang sepatutnya berupaya mempertahankan mereka di masa krisis, gagal dan tidak bermaya berbuat demikian. Oleh sebab pertubuhan dunia itu tidak mampu, sudah tiba masanya umat Islam dan negara Islam bersatu, katanya [Utusan 25/07/06].
Mengenai kekuatan yang dimaksudkan beliau itu, katanya, Islam telah menetapkan asas yang kukuh untuk membangunkan kekuatan umat dan ekonomi, sambil memberi contoh mengenai sumber alam yang banyak dan kepelbagaian bangsa penganutnya, yang seharusnya memberi nikmat kesepakatan dan persamaan serta kerjasama. Beliau memberi contoh Indonesia dan Malaysia sebagai dua negara yang mempunyai majoriti umat Islam yang dianugerahkan kekayaan kelapa sawit sebagai satu hasil buminya, yang boleh dimanfaatkan untuk membina kemakmuran dan kekuatan negara. Kelapa sawit kini berhasil diproses menjadi bio-diesel sebagai sumber tenaga baru yang menjadi alternatif kepada minyak yang diperlukan seluruh dunia, katanya, sambil mengajak kedua-dua negara berganding bahu memajukan penemuan itu dan menggembleng sumber untuk pengeluaran bio-diesel [Utusan 25/07/06].
Wahai kaum Muslimin yang dikurniakan Allah dengan pemikiran yang waras!! Fikirkanlah dengan penuh kesedaran dan buatlah keputusan sendiri akan nilai 'laungan penyatuan' oleh Perdana Menteri di dalam menjawab persoalan krisis di Palestin dan Lebanon!!!!!
Ada juga sebahagian dari umat Islam yang ikhlas, tetapi gagal melihat cara penyelesaian yang sebenar. Mereka berkata, "Kekuatan Islam ialah doa. Oleh itu, kami menyeru semua umat Islam berdoa agar kesengsaraan rakyat Palestin dan Lebanon sekarang berakhir segera. Itu saja yang mampu kita lakukan,". Perkataan seumpama ini juga pernah kedengaran suatu ketika dulu semasa AS menyerang dan membunuh umat Islam di Afghanistan dan juga Iraq.
Benar, kita digalakkan berdoa dan doa adalah satu ibadat. Ia dapat memperdekatkan lagi kesedaran akan hubungan kita dengan Allah. Walau bagaimanapun kita wajib memahami dan mengkaji setiap masalah agar dapat memberikan penyelesaian yang sebenar menurut Islam. Sebagai contoh, kita faham bahawa rezeki di tangan Allah, tetapi kita tidak boleh hanya berdoa dan menunggu rezeki datang dari langit. Kita wajib berusaha untuk mendapatkannya. Begitu juga dengan seorang pelajar yang malas dan selalu merosot pelajarannya, tidak akan berjaya dengan hanya menadah tangan berdoa agar Allah menurunkan kejayaan kepadanya. Dia wajib berusaha dan ini harus diiringi dengan doa. Setiap kali darah umat Islam tertumpah, Rasulullah tidak pernah hanya berdoa dan berdiam diri mengharapkan pertolongan Allah ke atas kaum Muslimin. Rasulullah akan terus mengambil tindakan fizikal (ketenteraan) untuk memerangi siapa sahaja yang memerangi umat Islam. Dalam masa yang sama baginda berdoa agar Allah menurunkan kemenanganNya bagi kaum Muslimin.
UMAT ISLAM SEBENARNYA KUAT
Sesungguhnya tidak ada alasan bagi Dunia Islam saat ini untuk takut kepada Amerika, apatah lagi Israel. Meskipun ketika ini industri tentera Dunia Islam nampak lebih mundur dari Amerika, secara kuantiti, potensi tentera di Dunia Islam sesungguhnya sangat besar. Mengikut data yang dikeluarkan oleh CIA World Fact Book, potensi kekuatan tentera (military manpower availability) dan kelayakan untuk menyertai tentera (fit for military service) yang dimiliki oleh beberapa negara umat Islam cukup luarbiasa. Dengan gabungan tentera Mesir, Iraq, Iran, Pakistan, Turki dan Indonesia sahaja, potensi pasukan kaum Muslimin yang tersedia berjumlah sekitar 162 juta!!! Jika dibandingkan dengan AS, potensi tenteranya hanya 79 juta, apalagi dengan Israel yang hanya memiliki potensi tentera sekitar 1.5 juta pasukan lelaki dan 1.4 juta pasukan wanita.
Bukti yang ada sekarang sudah cukup menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang kuat. Walaupun Israel (sebuah negara) hanya meghadapi sebuah kumpulan iaitu Hizbullah, beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh Hizbullah agak membanggakan. Ternyata Israel tidak dapat mengalahkannya dengan begitu mudah. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja muncul berita mengenai kemusnahan di pihak Israel. Israel mengakui kehilangan 4 tenteranya pada Khamis lalu (20/07/06) Kemudian, 4 orang pasukannya terbunuh, dan 14 lainnya luka parah dalam satu pertempuran lain (http://www.eramuslim.com). Sumber-sumber Israel juga menyebut bahawa pesawat Apache miliknya telah jatuh diserang peluru berpandu Hizbullah. Menurut Hizbullah, mereka juga berjaya meletupkan dua kereta kebal Mirkava milik Israel yang berusaha masuk ke wilayah Marun Ras, pada pagi Khamis. Televisyen Al-Mannar menyebutkan, pasukan Hizbullah berjaya merampas sejumlah peralatan tentera Israel, seperti senjata, teropong infra merah, dan sejumlah peralatan tentera lainnya.
Selain peperangan yang sedang berlaku sekarang, kita juga masih belum selesai menyaksikan AS semakin hilang kekuatan di Iraq. Walaupun perang telah diisytiharkan tamat, angka kematian tentera AS semakin meningkat dari hari ke hari, yang kini mencecah lebih dua ribu orang. AS bukannya berhadapan dengan sebuah negara (Iraq), tetapi hanya berhadapan dengan pasukan-pasukan dari kaum Muslimin yang tidak dapat dikenal pasti oleh mereka. AS, sebagai sebuah negara super power dan mempunyai segala peralatan perang yang canggih, berperang dengan pasukan yang tiada pemimpin dan kekurangan peralatan, tetapi gagal menghapuskannya. Bayangkan wahai saudaraku, jika umat Islam disatukan dengan satu kuasa pemerintahan dan dipimpin oleh seorang Khalifah, maka saat kehancuran Amerika dan sekutunya Israel sudah pasti tidak dapat dielakkan lagi!
AS + ISRAEL VS KHILAFAH : BUKU DENGAN RUAS
Wahai kaum Muslimin! Dahulu kalian diperintah oleh Rasulullah yang begitu cintakan kalian, melayan kaum Muslimin dengan penuh kasih sayang, melayan musuh dengan penuh kekerasan. Kekuatan musuh tidak pernah menggentarkan Rasulullah. Rom dan Parsi yang merupakan super power pada waktu itu berjaya dikalahkan. Manusia setelah itu berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan mereka dipersatukan di bawah satu sistem pemerintahan. Kemudian Rasulullah mewariskan Sistem Pemerintahan ini kepada sahabat-sahabat baginda. Mereka adalah pemimpin yang begitu takutkan Allah dan mengasihi serta menjaga kaum Muslimin. Mereka turut membuka negeri-negeri baru dan sekali lagi manusia beramai-ramai masuk ke dalam agama Allah. Seluruh negeri dipersatukan di bawah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh hanya seorang pemimpin yang bergelar Khalifah. Mereka menjaga darah kaum Muslimin kerana sayangkan kaum Muslimin dan takut kepada Allah.
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah mengisytiharkan jihad ke atas Yahudi Bani Qainuqa' hanya kerana tersingkapnya aurat seorang Muslimah. Khalifah al-Mu'tasim Billah tanpa berlengah terus membela seorang Muslimah yang dicabul oleh orang Romawi di kota Amuria. Hanya kerana membela seorang rakyatnya yang dinodai, sang Khalifah mengirimkan ratusan ribu pasukan kaum Muslimin hingga berhasil menakluki kota tersebut. Demikian pula Khalifah Abdul Hamid II yang bermati-matian mempertahankan tanah Palestin dari berbagai usaha Yahudi untuk mendudukinya, kerana keyakinan beliau bahawa tanah Palestin adalah tanah umat Islam yang wajib dijaga oleh seorang Khalifah.
Para Khalifah memahami bahawa menjaga rakyatnya adalah tanggungjawab dan amanah yang Allah telah pikulkan ke atas bahu mereka. Mereka sentiasa ingat dan mematuhi perintah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam, "Imam (Khalifah) adalah laksana perisai (pelindung) di mana orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya". [HR Muslim].
Sejarah Islam menjadi bukti yang jelas kepada kita betapa para Khalifah benar-benar menjaga rakyat mereka. Mereka berjuang untuk menyebarluaskan lagi Islam dan seterusnya menzahirkan agama Allah di muka bumi. Sejak dari zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam sehinggalah ke zaman Daulah Khilafah Uthmaniah, para pemimpin kaum Muslimin benar-benar telah menyahut perintah Allah, memerangi orang kafir yang menjadi kewajiban bagi mereka,
"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari Kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk" [TMQ at-Taubah (9):29].
Wahai kaum Muslimin! Jenuh sudah kita menyaksikan kegagalan segala penyelesaian yang diambil. Sudah berapa kali umat Islam dipatuk dari lubang yang sama, tetapi masih juga mengulanginya. Tidakkah kalian terfikir bahawa segala cara yang ditempuh selama ini tidak pernah berhasil. Apa sahaja cara yang dilakukan tidak pernah dipedulikan oleh Israel. Mereka kononnya bersetuju berunding, namun pada masa yang sama mereka membunuh kaum Muslimin. Kemudian pemimpin kaum Muslimin duduk semeja lagi, berjabat tangan dan berunding lagi. Selepas itu kaum Muslimin dibunuh lagi. Itulah perkara yang berulang-ulang terjadi. Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa pemimpin kalian hanya bekerjasama dengan Yahudi dan tunduk patuh kepada Amerika dengan pelbagai perjanjian damai. Mereka hidup senang sebagai balasan ketaatan mereka kepada Amerika walhal anak isteri dan saudara-saudara kalian disembelih dan diperkosa oleh musuh-musuh Allah ini. Para pemimpin ini tidak menjaga kalian tetapi menjaga musuh kalian. Musuh-musuh Allah sentiasa bersatu untuk memusnahkan kalian, sebaliknya pemimpin kalian sentiasa bersatu untuk tidak membantu kalian.
Pemimpin yang ada sekarang hanya melaungkan seruan-seruan kosong untuk menyatukan dunia Islam. Dalam masa yang sama mereka bahkan berharap pada PBB untuk bertindak, walhal jelas-jelas PBB hanyalah kuda tunggangan Amerika yang digunakan untuk menghancurkan umat Islam. Mereka langsung tidak kembali kepada Islam dalam menyelesaikan konflik berdarah ini. Wahai para pemimpin! Adakah Allah memerintahkan PBB (organisasi kafir) untuk menyelesaikan masalah umat Islam atau Allah memerintahkan kamu untuk menjaga darah umat Islam? Adakah kamu lebih takut kepada Amerika dari takutkan Allah? Tidak takutkah kamu kepada azab Allah yang akan menimpa kamu kerana pengkhianatan yang telah kamu lakukan ke atas kaum Muslimin? Umat Islam sekarang umpama anak ayam yang kehilangan ibu, tidak tahu di mana tempat bergantung dan arah tuju. Pemimpin mereka mengkhianati mereka dan mengikut telunjuk Barat.
Umat Islam sekarang benar-benar memerlukan pembelaan dari seorang Khalifah, yang akan menyelamatkan mereka dari tentera-tentera kuffar. Hanya Khalifahlah yang akan mengajar segala kebiadaban Israel dan AS ke atas kaum Muslimin. Hanya Khalifahlah yang akan menyeru kepada kesatuan negeri-negeri kaum Muslimin yang ada sekarang untuk bersatu di bawah Daulah Khilafah, seterusnya mengisytiharkan jihad ke atas Israel dan AS. Inilah penyatuan dan kekuatan sebenar umat Islam – bersatunya umat Islam di bawah satu Sistem Pemerintahan (Daulah Khilafah) yang akan menghancurkan kekuatan AS, Israel dan sekutu mereka. Penyatuan dan kekuatan ini telah wujud dahulu dan ia akan kembali wujud untuk menyelamatkan kita semua. InsyaAllah.
KHATIMAH
Wahai para pemimpin kaum Muslimin! Sampai bilakah kalian akan sedar dan bertaubat akan dosa-dosa kalian membiarkan Muslim Palestin menderita akibat kekejaman Yahudi Israel? Sampai bilakah kalian akan membiarkan dan mengkhianati saudara-saudara kalian yang sedang dihentam oleh Israel? Sampai bilakah kalian akan sedar kewajiban kalian untuk mengerahkan pasukan tentera yang kalian miliki untuk menyelamatkan saudara kalian? Bagaimana perasaan kalian menyaksikan ayah, ibu, keluarga dan saudara-saudara kalian yang lemah dilanyak oleh musuh, sementara kalian yang mempunyai kekuatan berpeluk tubuh menjadi penonton? Baculkah kalian dalam melindungi saudara-saudara kalian?
Wahai tentera kaum Muslimin! Bukankah saat ini jantung-jantung kalian sepatutnya berdegup kencang, dan darah-darah kesatria kalian mendidih menyaksikan saudara-saudara kalian di Palestin dan Lebanon dibedil dan dibom oleh tentera Yahudi laknatullah? Adakah kalian sanggup hanya menjadi penonton, membiarkan saudara-saudara kalian di tembusi peluru-peluru tentera Israel? Bukankah kalian diasuh dan diajar dengan segala ilmu perang untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kalian? Tidakkah kalian terdorong walau sedikitpun untuk memberikan pertolongan kepada Muslim Palestin, padahal dengan itu kalian akan memperolehi satu di antara dua kebaikan, kemenangan atau mati syahid? Bukankah itu janji Rasulullah kepada kalian? Bahkan, sebagai tentera Muslim, bukankah kalian lebih wajib dan lebih layak membela saudara-saudara kalian yang Muslim, yang sedang menderita dijajah dan dibunuh Yahudi Israel, daripada mendukung para pemimpin kalian yang pengecut dan telah mengkhianati kaum Muslimin?
Wahai kaum Muslimin! Saksikanlah, bahawa para pemimpin kalian tidak pernah memiliki rasa malu atas tindakan mereka selama ini membiarkan rakyat Palestin berjuang sendirian; bahawa mereka sama sekali tidak mahu bergerak untuk menyerang musuh-musuh Allah dan musuh-musuh mereka demi menyelamatkan kaum Muslimin. Saksikanlah oleh kalian bahawa pemimpin kalian tidak pernah merasa bersalah tidak memerangi kaum kuffar yang memerangi Islam, walhal Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
"Perangilah mereka (orang-orang kafir itu), niscaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tangan kalian, menghinakan mereka, menolong kalian terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman". [TMQ at-Taubah (9):14].
YA ALLAH, SAKSIKANLAH BAHAWA KAMI TELAH MENYAMPAIKAN.
0 comments:
Post a Comment