ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


RAMADHAN 1428H : MENGGAPAI HAKIKAT TAQWALLAH

RAMADHAN 1428H : MENGGAPAI HAKIKAT TAQWALLAH


Alhamdulillah kita telahpun memasuki bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan pengampunan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Syukur kepada Allah yang telah memberi kesempatan sekali lagi kepada kita untuk beribadat kepadaNya di bulan yang mulia ini. Bagi mereka yang benar-benar berpuasa atas dasar keimanan dan keikhlasan kepada Allah, maka dengan izinNya, akan diampunkan dosa-dosa mereka bak bayi yang baru lahir. Begitulah Maha Penyayangnya Allah kepada hamba-hambaNya yang melakukan ibadat puasa pada bulan yang penuh pengampunan ini. Bukan itu sahaja, Allah juga menjadikan satu malam di bulan Ramadhan ini yang nilainya lebih baik dari seribu bulan, untuk umat Islam beribadah di dalamnya. Jadi, tidak hairanlah jika orang-orang Mukmin dan Mukhlis sentiasa berlumba-lumba untuk menggapai segala kebaikan yang ada di bulan ini. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah, Allah mewajibkan atas kalian berpuasa. Dalam bulan ini dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa terlepas kebaikannya, sesungguhnya telah terlepaslah ia” [HR an-Nasa’i dan Ahmad].


Ramadhan juga merupakan satu bulan di mana pelbagai peristiwa besar berlaku di dalamnya. Antaranya adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam iaitu turunnya Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pada 17 Ramadhan. Peristiwa agung ini dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai peringatan untuk kita semua sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (di antara yang hak dan batil)” [TMQ Al-Baqarah (2):185]. Selain segala kelebihan di atas, bulan Ramadhan juga merupakan satu bulan di mana banyak peristiwa besar terjadi di dalamnya di sepanjang sejarah Islam seperti Perang Badar, Fathul Mekah, persiapan Perang Khandaq, pengepungan kota Constantinople, kota Amuriyah (Byzantium), pembebasan Andalusia, perang Ain Jalut dan banyak lagi.



TAQWA DI BULAN RAMADHAN


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mewajibkan kita berpuasa agar kita menjadi hamba-hambaNya yang bertaqwa, firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [TMQ al-Baqarah (2):183]. Sebagaimana dinyatakan oleh Imam Al Ghazali bahawa dengan adanya taqwa dalam dirinya, setiap Muslim memiliki perasaan takut yang amat sangat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, hanya berbakti dan tunduk kepadaNya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa [Minhajul ‘Abidin, halaman 121]. Taqwa bukanlah sekadar sebuah ‘pengakuan’, sebaliknya, taqwa itu adalah suatu yang dibuktikan dengan amalan. Jadi, seseorang itu tidak dikatakan bertaqwa jika hanya sekadar mengaku bahawa puasa itu wajib, tetapi tidak berpuasa. Hal yang sama bagi solat yang merupakan satu perintah Allah, maka jika sekadar ‘mengaku’ bahawa solat itu wajib, tetapi tidak mengerjakannya, maka orang itu tidak dikatakan bertaqwa. Begitu juga dengan riba, jika sekadar ‘mengaku’ bahawa riba itu haram, tetapi tetap mengambil riba, maka seseorang itu secara jelas lagi nyata tidak bertaqwa kepada Allah. Justeru, taqwa atau takut kepada Allah adalah suatu yang wajib dibuktikan dengan amalan, bukan sekadar sebuah pengakuan.



Berdasarkan pembahasan di atas, jelas bahawa taqwa merupakan ketaatan total kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan cara mengerjakan setiap perintahNya dan menjauhi setiap laranganNya. Perlu difahami bahawa taqwa bukan hanya dituntut untuk dilakukan di bulan Ramadhan sahaja, tetapi setiap manusia wajib bertaqwa kepada Allah bila-bila masa sahaja dan di mana sahaja. Berpuasa di bulan Ramadhan hanyalah salah satu dari manifestasi ketaqwaan seseorang Muslim kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Suatu fenomena yang amat menyedihkan kita adalah berapa ramai dari umat Islam yang hanya ‘bertaqwa’ di bulan Ramadhan sahaja di mana bulan ini mampu mengubah persepsi dan perilaku seorang Muslim sedemikian rupa. Orang fasik menjadi malu menampakkan kefasikannya; orang munafik menjadi enggan menampakkan kemunafikannya; pelaku maksiat pun mengurangi kadar maksiatnya. Ayat-ayat suci al-Quran lebih sering kedengaran; perempuan-perempuan berpakaian lebih sopan; konsert-konsert nyanyian sudah tidak kelihatan, kelab malam dan disko kurang berpengunjung dan macam-macam perubahan lagi yang dapat kita saksikan. Media massa pun tidak ketinggalan (terutama televisyen) meyiarkan acara-acara yang bernuansa keagamaan, mengurangi tayangan-tayangan yang menjurus pada kemaksiatan. Begitulah suasana bulan Ramadhan di negeri-negeri kaum Muslimin di seluruh dunia. Pendek kata, wujud seolah-olah satu ‘magic’ yang merubah suasana dan sifat ‘ketaqwaan’ seseorang Muslim. Anehnya, hal-hal sebegini hanya terjadi di bulan Ramadhan.



Apakah mereka mengira bahawa mereka hanya dihisab di hadapan Allah untuk amal perbuatan yang dilakukan di bulan Ramadhan sahaja? Jika demikian, apakah hal itu bukan berarti sifat kemunafikan mereka sebenarnya belum lagi hilang, bahkan ditonjolkan secara jelas selama bulan Ramadhan? Ini adalah kerana bulan berikutnya, pasca Ramadhan, mereka kembali bergelumang dengan dosa; tidak takut mendemonstrasikan kefasikan, kemunafikan, dan kezaliman; tidak takut kepada (murka dan azab) Allah. Jika mereka mampu menjaga suasana keimanan selama bulan Ramadhan, mengapa suasana yang sama tidak secara sengaja dijaga/dipelihara agar tetap ada sepanjang tahun? Jika mereka mampu mengubah persepsi, perilaku, bahkan aktiviti-aktiviti keislaman di tengah-tengah masyarakat selama bulan Ramadhan, lalu mengapa mereka tidak melanjutkan suasana itu pada bulan-bulan selain Ramadhan? Wujudkah keimanan, keikhlasan dan ketaqwaan mereka kepada Allah dalam ertikata yang sebenar? Padahal ketaqwaan itu merupakan manifestasi dari ketundukan kita kepada perintah Allah dan keengganan kita untuk terjerumus ke dalam larangan Allah, tidak kira di bulan mana sekalipun kita berada.



Ini dari satu sisi. Di sisi yang lain, terdapat segolongan kaum Muslimin yang ingin meraih ketaqwaan di bulan Ramadhan dengan mempertingkatkan amal ibadat, namun dalam masa yang sama masih tidak berhenti dari amalan riba, mereka berpuasa tetapi mereka tidak merasa apa-apa (dosa) terikat dan terlibat dengan transaksi ribawi; ahli politik juga berpuasa tetapi masih tetap dengan permainan politik kotor mereka; pemerintah berpuasa tetapi kekayaan negara masih tetap dibolot mereka habis-habisan; pengamal undang-undang juga berpuasa tetapi masih tetap mempertahankan undang-undang kufur ciptaan manusia; masyarakat amnya berpuasa tetapi perasaan assabiyyah dan wathaniyyah masih menebal di jiwa mereka; malah ramai lagi yang berpuasa, tetapi dalam masa yang sama melakukan pelbagai bentuk keharaman ataupun meninggalkan pelbagai bentuk kewajiban yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.. Kalau begitu, apakah ertinya ketaqwaan di bulan Ramadhan bagi mereka?


TAQWA (TAKUT) KEPADA ALLAH ATAU TAQWA (TAKUT) KEPADA MUSUH ALLAH


Dalam persiapan kita menunaikan ibadat di bulan Ramadhan, kita sekali-kali tidak boleh leka dengan persiapan musuh yang senantiasa memerhati dan mengawasi kita. Kita jangan lalai bahawa ‘Perang Melawan Keganasan’ atau lebih tepatnya ‘Perang Melawan Islam’ masih menjadi agenda utama musuh-musuh Islam. Dalam usaha mereka untuk menghapuskan pengganas (baca: Islam), pada masa yang sama mereka cuba untuk menyuarakan sokongan kepada pemerintah dunia Islam agar pemerintah ini turut bersama-sama mereka di dalam menjayakan agenda jahat mereka ini. Semasa berucap pada sidang kemuncak ahli-ahli perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Sydney pada 7 September lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush memuji Malaysia dan lain-lain negara anggota ASEAN yang telah bersama-sama dengannya memerangi kegiatan pengganas. Presiden AS itu juga memuji usaha Abdullah yang telah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari di Malaysia di mana melalui pendekatan ini, katanya, Perdana Menteri Malaysia telah menunjukkan bagaimana warga negara itu boleh menjadi sebuah masyarakat yang moden, demokratik, bertolak ansur dan pada masa sama berdaya saing dalam ekonomi global [UM 08/09/07].



Secara politiknya, pujian seorang Ketua Pengganas Dunia, George Bush la’natullah terhadap Islam Hadhari bukanlah satu pujian kosong, walaupun kita semua tahu bahawa si Bush ini ‘buta kayu’ dengan konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh Pak Lah. Justeru apakah agenda di sebaliknya?


Tak berapa lama sebelum itu (pada 28/08/07), di dalam ucapannya berkenaan ‘ekstremis’ di 89th Convention of the American Legion, Bush dengan angkuhnya menyatakan,


“We meet today at a critical time for our country. America is engaged in a great ideological struggle -- fighting Islamic extremists across the globe.....These extremists hope to impose that same dark vision across the Middle East by raising up a violent and radical caliphate that spans from Spain to Indonesia.” [http://www.whitehouse.gov/news/releases/2007/08/20070828-2.html akses pada 12/09/07].



(“Kita bertemu hari ini pada masa yang kritikal untuk negara kita. Amerika sedang berhadapan dengan pertarungan ideologi yang hebat (iaitu) memerangi ekstremis (pelampau) Islam di seluruh dunia......Ekstremis ini berharap untuk menerapkan visi yang gelap di seluruh Timur Tengah dengan cara membangkitkan kekerasan dan Khilafah yang radikal yang meliputi Sepanyol hingga Indonesia”)



Sekali lagi kita melihat si musuh Allah ini mengeluarkan kenyataan yang menzahirkan ketakutan sekaligus keyakinan beliau akan kembalinya Khilafah, institusi politik antarabangsa umat Islam yang akan menghapuskan segala kekejaman dan kezaliman mereka ke atas umat Islam seterusnya menjadi penyelamat dan pelindung umat ini dari segala kejahatan. Baru sahaja pada 13/06/07 yang lalu (sila rujuk SN127) Presiden AS ini melontarkan propaganda jahatnya yang hampir sama tentang Khilafah, kali ini beliau berkokok lagi. Nampaknya beliau telah benar-benar terdesak dan gentar dengan kembalinya Khilafah yang akan melawan segala norma-norma Barat dan akan membalas segala bentuk pembunuhan dan penyeksaan yang beliau telah lakukan ke atas umat Islam. Si Bush la’natullah ini nampaknya benar-benar faham bahawa Khilafah yang akan muncul nanti akan menggabungkan keseluruhan negeri kaum Muslimin dan menyatukannya di bawah satu kepimpinan. Beliau cukup-cukup gerun dan gentar dengan kehadiran penyelamat dan perisai umat Islam ini, sebaliknya beliau cukup berminat dan tertarik dengan Islam Hadhari yang dibawa oleh Perdana Menteri. Inilah kata-kata yang diluahkan sendiri oleh musuh Allah ini. Nah!



Apakah kata-kata ini masih belum membawa apa-apa erti bagi kita? Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan kita,



“Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.” [TMQ Ali Imran (3):118].


Terbaru, di dalam wawancara untuk IA Malaysia yang dipetik oleh ITAR-TASS, Bush la’natullah ini menyeru semua pemimpin umat Islam untuk bersama-samanya di dalam memerangi golongan yang ingin mengembalikan Khilafah. Beliau menyatakan,



“We should open new chapter in the fight against enemies of freedom, against those who in the beginning of XXI century call Muslims to restore caliphate and to spread sharia” (“Kita mesti membuka lembaran baru di dalam peperangan terhadap musuh kebebasan, terhadap sesiapa sahaja yang pada permulaan abad ke-21 ini, menyeru kaum Muslimin untuk menegakkan semula Khilafah dan menyebarkan syariah”) [http://www.demaz.org/cgi-bin/e-cms/vis/vis.pl?s=001&p=0055&n=002632&g akses pada 12/09/07].



Inilah antara beberapa propaganda terkini Bush di dalam menghalang kembalinya Khilafah ke arena politik antarabangsa. Beliau bersungguh-sungguh cuba menakutkan umat Islam khususnya golongan pemimpin dengan melabelkan para pendakwah yang berjuang untuk menegakkan Khilafah sebagai ‘ekstremis’, radikal dan teroris. Dengan apa yang sering dilontarkan ini, Bush mengharapkan agar semua pemimpin kaum Muslimin akan takut terhadap kemunculan Khilafah, lalu para pemimpin ini akan bersama-sama dengannya untuk memerangi sesiapa sahaja yang berjuang untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah, yang dilabelnya sebagai ‘ektremis’. Oleh itu, kita menyaksikan berapa ramai dari kalangan pemimpin dunia Islam yang, kerana takutkan Bush lebih dari takutkan Allah, lalu mereka bersalaman dengan Bush dan bersekutu dengan musuh Allah ini di dalam usaha beliau menghalang segala usaha untuk mengembalikan Islam ke muka bumi. Pemimpin ini beralasan bahawa Presiden AS sebenarnya menyeru mereka untuk membawa keamanan dunia, seolah-olah mereka (pemimipin ini) tidak membacakan ayat Allah yang menjelaskan kejahatan orang-orang kafir ini bahawa,



“Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agama kamu (kepada kekafiran) seandainya mereka mampu” [TMQ al-Baqarah (2):217].


Selain menuduh pejuang kepada Khilafah sebagai kelompok ekstremis, AS dalam masa yang sama cuba menyampaikan mesej bahawa perjuangan Islam yang dikatakan ekstrem ini adalah berasal dari Timur Tengah. Dari sini, Bush hendak mengatakan bahawa perjuangan tersebut harus ditolak karena bukan bersifat lokal atau lahir dari perjuangan lokal (tempatan). Kerananya, dalam konteks Malaysia atau Indonesia (atau lain-lain negara sekalipun), perjuangan Khilafah mesti ditolak. Perjuangan Islam yang dibenarkan atau ‘direstui’ oleh Bush hanyalah perjuangan Islam yang bersifat lokal. Justeru, di dalam tempurung kepala pemerintah, mereka akan membenarkan perjuangan Islam di peringkat lokal, tetapi jika perjuangan Islam itu mempunyai jaringan di peringkat antarabangsa, ini dianggap sebagai ekstremis yang mesti dihapuskan. Para pemerintah ini sebenarnya telah menari dengan gendang yang dipalu oleh Bush. Jadi, tidaklah menghairankan bila para penguasa dunia Islam saat ini belum dapat menerima Khilafah sebagai solusi yang digali dari al-Quran dan as-Sunnah yang mana penyebabnya bukanlah ketidaksesuaian Khilafah bagi dunia Islam itu sendiri tetapi kuatnya serangan pemikiran dan tekanan politik oleh rejim AS terhadap mereka. Ketakutan mereka kepada musuh Allah ini melebihi ketakutan mereka kepada Allah menyebabkan kata-kata musuh ditaati tetapi kata-kata Allah dilanggari.



Melihat hal-hal di atas nampak ada keselarasan antara apa yang dikehendaki oleh Bush dengan suara-suara pihak yang tidak setuju dengan Khilafah. Bezanya, jika Bush menolak Khilafah, ia adalah kerana sifat semulajadinya sebagai seorang kafir musuh Allah yang ingin memadamkan cahaya Allah di muka bumi, tetapi pemimpin atau umat Islam yang menolak Khilafah adalah kerana terpengaruh dengan pemikiran kufur yang dibawa oleh musuh Allah ini. Jadi, di manakah letaknya ketaqwaan seseorang pemimpin apabila si kafir musuh Allah ini menyeru untuk menghalang kembalinya Khilafah, maka seruan ini disahut oleh mereka? Apakah mereka dikatakan bertaqwa kepada Allah apabila menolak sistem pemerintahan Khilafah (yang diwarisi dari Ijma’ Sahabat), tetapi menerapkan sistem pemerintahan dan undang-undang yang berasal dari sistem dan undang-undang kufur? Di manakah letaknya ketaqwaan para pemimpin umat Islam apabila mereka berbaik dengan Amerika dan bersama Amerika di dalam memerangi pengganas dan ekstremis walhal jelas-jelas ‘pengganas’ dan ‘ekstremis’ yang dimaksudkan Amerika adalah golongan umat Islam yang bersungguh-sungguh ingin menerapkan Islam secara kaffah? Apakah mereka bertaqwa kepada Allah atau ‘bertaqwa’ kepada musuh Allah?



BUSH ADALAH MUSUH ALLAH DAN MUSUH KITA


Wahai kaum Muslimin! Kita seharusnya mengetahui siapa musuh dan siapa kawan. Orang yang mengenali dan memuji kita tidak semestinya seorang kawan dan orang yang membenci kita tidak semestinya seorang musuh. ‘Musuh’ kita adalah orang-orang yang dikategorikan oleh Allah sebagai musuh dan begitulah sebaliknya. Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah al-Khaliq, Pencipta manusia dan Dia Mahatahu tentang sifat-sifat semua makhluk ciptaanNya tersebut. Dia pun Mahatahu apa yang ada di dalam hati setiap manusia dan Mahatahu siapakah musuh bagi kaum Mukmin,



“Allah lebih mengetahui (daripada kamu) tentang musuh-musuh kamu. Cukuplah Allah menjadi Pelindung kamu. Cukuplah Allah menjadi Penolong kamu” [TMQ an-Nisa’ (4):45].


Dengan demikian, siapa saja yang diberitakan oleh Allah sebagai pihak-pihak yang memusuhi kaum Mukmin maka hal tersebut merupakan realiti yang benar-benar dapat disaksikan, yakni mereka ini benar-benar wujud dan menjadi musuh bagi kita. Justeru, siapakah musuh kaum Mukmin menurut Allah dalam al-Quran?



“Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ an-Nisa’ (4):101].


Al-Quran juga telah memberikan kepada kita petunjuk bagaimana berinteraksi dengan orang-orang kafir, melalui ayat-ayat yang sangat jelas, agar kita tidak terperosok ke dalam perangkap dan propaganda negara-negara kafir. Firman Allah,



“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil musuh-Ku dan musuh kamu sebagai teman-teman setia” [TMQ al-Mumtahanah (60):1].



“Janganlah orang-orang Mukmin menjadikan orang-orang kafir sebagai wali (teman akrab, pemimpin, pelindung, atau penolong) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Siapa saja yang berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah” [TMQ al-‘Imran (3):28].



“Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapatkan siksaan yang pedih. Mereka adalah orang-orang yang menjadikan orang-orang kafir sebagai penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu? Sesungguhnya semua kemuliaan itu kepunyaan Allah” [TMQ an-Nisa (4):138-139].



Oleh kerana itu, jika kita adalah seorang yang bertaqwa, adakah kita akan mengambil musuh Allah yang jelas-jelas merupakan ‘kafir harbi’ sebagai kawan untuk kita taati dan patuhi. Bush dan sekutu-sekutunya adalah merupakan kafir harbi yang sedang memusuhi Islam dan kaum Muslimin. Si laknatullah ini telah banyak kali dan tanpa bertapis menyebut bahawa umat Islam yang ingin menerapkan Islam adalah musuh atau ‘seteru’ mereka. Malangnya para pemimpin kaum Muslimin sebaliknya menjadikan si kafir ini sebagai teman atau ‘sekutu’ mereka. Mereka menyahut seruan persahabatan dan kerjasama yang Bush lontarkan walhal ayat-ayat Allah sudah terang-terang memperingatkan sikap yang mesti kita ambil terhadap golongan musuh ini. Jadi, umat Islam tidak seharusnya terjebak dengan propaganda kotor musuh Allah ini yang ingin menyekat penerapan syariat dan kemunculan Khilafah yang tak lain adalah bertujuan untuk mengekalkan Ideologi kufur dan hegemoninya di seluruh dunia Islam. Umat Islam sebaliknya wajib berusaha bersungguh-sungguh ke arah menegakkan semula Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan menyatukan semula negeri-negeri umat Islam dan memerintah dunia dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya.


Jika ada perbezaan pendapat sekalipun tentang Khilafah, umat Islam seharusnya duduk berbincang secara intelektual dengan penuh keimanan dan persaudaraan berpandukan nas-nas al-Quran dan al-Hadis, dan bukannya berusaha untuk membantu Bush samada secara langsung atau tak langsung di dalam usaha si la’nat ini untuk menghalang kembalinya Khilafah!

KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, sukacitalah kami ingin menasihatkan kalian, saudara kami sesama Muslim agar nasihat yang diberi ini dilipatgandakan oleh Allah akan pahalanya. Jika kalian berpuasa kerana yakin ianya adalah satu kewajiban, maka bergeraklah kalian untuk menegakkan Khilafah kerana ianya juga adalah satu kewajiban. Kami ingin mengingatkan bahawa perjuangan untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Khilafah adalah satu perjuangan yang mulia dan fardhu ke atas setiap kalian. Kembalinya Khilafah bukanlah satu mimpi atau khayalan, malah satu janji dan kepastian. Si Bush la’natullah dan musuh-musuh Allah lainnya sendiri benar-benar meyakini dan takut kembalinya semula Khilafah dan mereka sekarang sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalangnya. Apatah lagi kita umat Islam yang mana sesungguhnya khabar gembira tentang kembalinya Khilafah telah pun disebut oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Justeru, bersama-samalah kita mempertingkatkan usaha kita di bulan yang mulia ini, bergerak dan bersatu di dalam menunaikan segala kewajiban yang telah Allah tetapkan ke atas kita tanpa mengurangi sedikitpun antara satu kewajiban dengan kewajiban lainnya. Wallahu a’lam.

ASSABIYYAH & WATHANIYYAH –

ASSABIYYAH & WATHANIYYAH –
PENCETUS MALAPETAKA DAN PERPECAHAN



Di dalam suasana rakyat Malaysia berpesta meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan sebuah negara-bangsa yang diberi oleh penjajah, satu peristiwa tragis yang juga terkait dengan negara-bangsa telah ‘meletus’ pada masa yang sama. Insiden seorang pengadil karate dari Indonesia yang dipukul empat orang anggota polis Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan pada 24 Ogos lepas telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di Indonesia dari peringkat rakyat, pertubuhan-pertubuhan hinggalah ke peringkat ahli politik. Pengadil tersebut, Donald Kolopita pecah gegendang sebelah telinga dan lebam di beberapa bahagian badan termasuk kemaluan sehingga terpaksa dimasukkan ke wad. Tunjuk perasaan anti Malaysia diadakan tiga hari berturut-turut di hadapan Kedutaan Malaysia, di Jakarta dan pejabat konsul Malaysia di Medan dan Kalimantan. Perkarangan Kedutaan Malaysia dilontar dengan kayu, batu dan telur. Jalur Gemilang juga dibakar oleh para penunjuk perasaan yang sedang marah [Mingguan Malaysia 02/09/07].


Selain itu, berbagai-bagai kecaman dan sindiran dibuat oleh pelbagai pihak di Jakarta daripada artis hinggalah pemimpin politik, terhadap pemerintah dan rakyat Malaysia berhubung penganiayaan terhadap tenaga kerja dan kes pencederaan pengadil karate tersebut. Media massa di Indonesia terus menerus membakar semangat rakyat, seolah-olah tidak ada langsung yang baik tentang negara yang menjadi tempat naungan lebih 1.5 juta pedududuk Indonesia untuk mencari rezeki. Rakyat Malaysia juga dituduh angkuh dan dianggap sebagai bangsa yang biadap. Ada yang mengancam untuk bertindak balas termasuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di sana. Walaupun pernyataan maaf telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri bagi menjaga kehamornian yang terjalin antara dua negara, masih ada nada-nada sindiran secara tidak langsung oleh penyampai stesen televisyen. Mereka tidak dapat menerima penjelasan itu sekalipun telah ditegaskan bahawa insiden seperti penderaan dan penganiayaan itu telah diberikan perhatian serius dan perbuatan itu bukan budaya rakyat Malaysia. Beberapa pihak juga telah mendesak pemimpinnya agar tidak menghadiri perayaan ulang tahun kemerdekaan dan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur dan di Jakarta [Mingguan Malaysia 02/09/07].


Demikianlah seriusnya suasana ini. Perasaan marah yang membuak-buak yang ditunjukkan oleh mereka yang tidak puas hati adalah tidak lain kerana insiden ini melibatkan dua negara-bangsa yang berbeza. Dengan kata lain, hal ini sebenarnya muncul dari perasaan dan pemikiran bahawa ‘aku warganegara Indonesia dan engkau warganegara Malaysia’. Inilah perasaan assabiyyah (kebangsaan/nasionalisme) yang muncul kerana perbezaan bangsa, ditambah pula dengan rasa sayangkan tanahair/negara (wathaniyyah/patriotisme). Ketegangan dan kekecohan yang berlaku di atas adalah manifestasi dari nasionalisme dan patriotisme, yang jelas-jelas merupakan pemikiran kufur yang dijadikan ikatan oleh sebahagian kaum Muslimin, tanpa memperdulikan persamaan akidah yang mereka miliki. Analoginya cukup mudah; jika yang dipukul itu adalah pengadil karate dari Malaysia sendiri (katakan beragama Islam), maka sudah barang pasti rakyat Indonesia tidak akan terasa apa-apa. Tidak akan ada demonstrasi, tidak akan ada perasaan sakit hati, marah, dendam dan sebagainya dan yang pasti berita ini tidak akan dipandang sedikitpun, apatah lagi untuk dijadikan satu isu. Begitu juga jika yang dipukul itu adalah rakyat Mesir atau Turki (walau beragama Islam sekalipun), tentunya rakyat Indonesia akan diam membisu. Sebaliknya, rakyat Mesir atau Turki pula yang akan melenting. Inilah hakikat assabiyyah dan wathaniyyah.


ASSABIYYAH – AGENDA KUFFAR MENGHANCURKAN ISLAM

Assabiyyah merupakan ikatan yang mengikat bangsa Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Mereka sering bergaduh serta berperang antara satu sama lain semata-mata kerana ingin mempertahan puak masing-masing. Setelah Rasulullah diutus, baginda terus menghapuskan ikatan ini dan menyatukan manusia di bawah satu ikatan baru yang bukan sahaja dapat mengikat bangsa Arab, malah seluruh umat manusia. Siapa sahaja yang menyahut seruan Rasulullah, maka terburailah semua ikatan bangsa atau keturunan, walau antara bapa dengan anak sekalipun dan mereka hanya bersatu di bawah ikatan yang baru ini, yakni ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.


Ikatan akidah ini terus menjadi asas kepada hubungan antara Muslim selama beribu tahun, dari zaman Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah. Islam telah menyatukan bangsa Arab, Barbar, Rom, Parsi, India dan lain-lain dan menjadikan mereka ummatan wahidah (umat yang satu). Islam juga telah mempersatukan manusia tanpa mengira warna kulit, keturunan, bahasa mahupun status sosial. Semuanya disatukan berdasarkan kalimah yang sama dan digabungkan di bawah negara yang sama (Daulah Khilafah). Tidak diragukan lagi, kalimah tauhid inilah yang telah meruntuhkan semua sifat dan sempadan assabiyyah serta wathaniyyah yang telah membelenggu manusia selama ini. Dan ikatan suci tanpa sempadan inilah yang pihak kuffar Barat berusaha siang dan malam untuk menghapuskannya.


Dengan membelek lipatan sejarah, kita akan dapati bahawa pihak kuffar telah berusaha berabad-abad lamanya untuk menghancurkan Daulah Islam yang telah dibina dan berdiri kukuh di atas asas akidah yang telah dibawa oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Peperangan demi peperangan tak kunjung padam, bermula dari Perang Badar, Uhud, Ahzab, Mu’tah, Tabuk, Yarmuk, Qadisiyah, dan yang paling panjang, Perang Salib. Namun, semua usaha golongan kuffar untuk memadamkan cahaya Allah ini tidak mendatangkan hasil. Kekuatan Daulah Islam yang tiada taranya membuatkan musuh-musuh Islam akur bahawa Daulah Islam adalah satu kuasa yang tidak akan dapat dikalahkan. Hal ini berlaku tidak lain kerana kaum Muslimin memerangi kuffar semata-mata atas satu dasar yakni Islam. Kaum Muslimin dulunya adalah orang-orang yang hidup hanya untuk Islam dan sanggup menyerahkan jiwa dan raga demi Islam, bukannya demi assabiyyah atau wathaniyyah. Bak ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.” Para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah dan bukannya berperang atas dasar bangsa atau tanahair.


Setelah gagal mengalahkan Daulah Islam, sebaliknya tersungkur di dalam banyak peperangan, golongan kuffar mula mencari cara lain untuk menghancurkan Islam. Akhirnya mereka menemukan jalan bahawa satu-satunya cara untuk mengalahkan kaum Muslimin adalah dengan memisahkan mereka dari ajaran Islam yang selama ini telah sebati dengan kaum Muslimin. Mereka yakin bahawa hal ini akan dengan sendirinya meruntuhkan Daulah Islam dari dalam. Dalam satu sidang House of Commons, Perdana Menteri Britain berketurunan Yahudi, Benjamin Disraeli pernah mengatakan, “Kaum Muslimin tak akan dapat dikalahkan sampai bila-bila sehingga ini dicabut dari mereka”, sambil jarinya menunjuk kepada Al-Quran. Inilah hasrat dan cita-cita mereka dan mereka benar-benar melaksanakannya. Agenda untuk memasukkan racun assabiyyah ke tubuh kaum Muslimin telah diberi perhatian serius oleh mereka. Mereka mula mengirim para muballigh (missionaries) ke dalam Daulah Islam kononnya untuk ‘ilmu dan kemanusiaan’ walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menanam benih perpecahan di tengah-tengah jantung Daulah. Malangnya Daulah tidak dapat menghidu perkara ini, lalu membenarkan kemasukan missionaries ini. Walaupun mengalami kesukaran di peringkat awal, namun akhirnya, benih yang ditanam mula mengakar umbi dan hidup di dalam tubuh Daulah dan terus tumbuh sebagai parasit yang menjahanamkan perumahnya sedikit demi sedikit.


Melalui gerakan missionaries inilah, golongan kuffar berjaya di dalam makar mereka untuk memecahbelahkan umat Islam dan Daulah Islam dengan api assabiyyah dan wathaniyyah yang mereka hembuskan. Kaum Muslimin benar-benar terasuk dengan pemikiran kufur, mengalami perpecahan dan terlibat dengan perbalahan serta pergaduhan sesama sendiri yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Mereka mula membenci sesama sendiri dan tidak dapat menerima pemerintah yang bukan dari bangsa mereka. Mereka merasa seolah-olah ditindas dan dizalimi oleh pemerintah berbangsa asing, walhal kesemuanya adalah Muslim. Mereka mula menyanjung dan memuja pemikiran-pemikiran dari Barat yang kononnya membawa kebebasan dan kemajuan. Dengan racun nasionalisme dan patriotisme yang sudah menular di badan, maka muncullah perjuangan untuk memerdekakan diri sebagai satu bangsa bagi menubuhkan negara sendiri yakni negara yang berdiri atas asas bangsa. Dari sini muncullah pejuang-pejuang kebangsaan (yang sebenarnya adalah agen British) seperti Mustafa Kamal, Syarif Hussein beserta kedua anaknya Faizal dan Abdullah yang hakikatnya ditaja dan dibiayai oleh British untuk menjatuhkan Daulah Khilafah. Akhirnya, melalui perjuangan assabiyyah dan wathaniyyah yang dilancar tanpa henti, tumbanglah sebuah Daulah Islam yang selama ini menyatukan kaum Muslimin atas dasar ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ dan bermulalah pemerintahan negara-bangsa yang terpecah-belah dan terdiri dari pemimpin yang kebanyakannya adalah agen Barat.


Wahai kaum Muslimin! Baik dari segi sejarah mahupun apa yang sedang kita saksikan sekarang, ikatan assabiyyah dan wathaniyyah ini telah terlalu banyak membawa malapetaka dan perpecahan kepada umat Islam. Perasaan-perasaan kufur ini boleh disifatkan sebagai sebuah time-bomb (bom jangka) yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja apabila ianya diusik. Selagi ikatan kufur ini tidak dihapuskan ke akar umbinya, selagi itulah lingkaran kekufuran akan terus menguasai dunia Islam.


KEHARAMAN NASIONALISME & PATRIOTISME


Nasionalisme adalah satu konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengikat dan menyatukan manusia atas dasar bangsa atau keturunan, walhal satu-satunya cara yang benar untuk mengikat dan menyatukan umat Islam adalah berdasarkan ikatan akidah. Bersatu atas dasar jalur keturunan atau bangsa jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.


Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap assabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah. Nabi dengan tegas lalu bersabda, “Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.” Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103. [Sirah Ibn Hisyam].


At-Thabrani dan al-Hakim melaporkan bahawa pada suatu hari beberapa orang sedang berbual tentang Salman al-Farisi dengan merendah-rendahkan bangsa Parsi berbanding bangsa Arab. Apabila mendengar hal ini, Rasulullah tersu bersabda, “Salman adalah dari ahli al-bait (keluarga Rasulullah).” Kata-kata Nabi ini sebenarnya memutuskan segala bentuk ikatan berdasarkan keturunan atau bangsa. Dikisahkan juga oleh Ibn Al-Mubarak di dalam dua kitabnya, Al-Birr dan As-Salah bahawa terjadi perselisihan antara Abu Zar dan Bilal, lalu Abu Dzar berkata kepada Bilal, “Engkau anak orang hitam.” Rasulullah amat marah mendengar kata-kata Abu Zar ini lalu bersabda, “Engkau sudah melampau wahai Abu Dzar. Orang yang mempunyai ibu yang putih langsung tidak ada kelebihan di atas orang yang mempunyai ibu yang hitam.” Kata-kata Rasulullah ini memberi kesan yang mendalam ke atas Abu Dzar sehingga beliau meletakkan kepalanya ke tanah dan bersumpah tidak akan mengangkat kepalanya selagi Bilal tidak memijak kepalanya.


Peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan kepada kita bahawa ikatan assabiyyah dan wathaniyyah langsung tidak ada tempat di dalam Islam. Kaum Muslimin diperintahkan agar bersatu atas dasar persamaan akidah dan tidak membezakan antara satu sama lain hanya disebabkan oleh perbezaan bangsa atau asal keturunan. Rasulullah mengingatkan kita bahawa kaum Muslimin adalah umpama tubuh yang satu, jika salah satu bahagian sakit maka keseluruhan tubuh akan terasa sakit. Ini bermakna setiap Muslim tidak kira Arab, Melayu, Cina, Turki, Kurdi, Pakistan dan sebagainya adalah ummatan wahidah dan kita tidak boleh dibezakan antara satu sama lain berdasarkan bangsa mahupun tanahair.


Sesetengah orang mendakwa bahawa Rasulullah membenarkan assabiyyah berdasarkan peristiwa hijrah di saat Rasulullah bersabda tentang Mekah dengan air mata membasahi pipinya, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi.” Sebenarnya kata-kata Nabi ini langsung tidak ada kena-mengena dengan assabiyyah (nasionalisme) mahupun wathaniyyah (patriotisme). Kesalahfahaman ini timbul kerana hadis ini selalunya tidak dibaca atau dipetik secara sepenuhnya, yang berbunyi, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi kerana engkau adalah bumi yang paling Allah sayangi”. Oleh itu, kecintaan Rasulullah kepada Mekah adalah kerana kedudukannya yang suci yang Allah berikan dan bukannya kerana Rasulullah dilahirkan di sana. Setiap Muslim justeru mesti cinta dan sayangkan Mekah kerana bumi ini adalah bumi yang paling Allah sayangi dan hal ini langsung tidak ada hubung-kaitnya dengan nasionalisme atau patriotisme!


PERUBAHAN POLITIK DAN KEPIMPINAN


Walaupun nasionalisme di kalangan kaum Muslimin kini semakin terhakis, namun masih terdapat beberapa halangan untuk menghapuskan penyakit ini secara total dari dunia Islam. Halangan ini mesti dikaji dan difahami betul-betul oleh umat Islam agar usaha untuk menghapuskannya berjalan sesuai dengan tuntutan syara’. Halangan utama yang wujud adalah kerana umat Islam itu sendiri (khususnya pemerintah) yang tidak berhukum dengan hukum Islam. Ini adalah manifestasi dari sistem politik kufur yang diamalkan dan sistem pendidikan yang masih bertunjangkan kurikulum penjajah. Ini ditambah dengan kedudukan pemimpin-pemimpin dunia Islam yang rata-ratanya adalah agen Barat atau pun tunduk patuh pada kuffar Barat.


Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa sistem pendidikan yang diamalkan di negeri-negeri umat Islam sekarang adalah hasil tinggalan penjajah yang telah direka sedemikian rupa oleh golongan kufur ini agar memisahkan hukum-hukum Islam dari kehidupan. Islam hanya diajar sekadar sebuah ‘agama’ sebagaimana ‘agama’ yang difahami oleh Barat, yang langsung tidak berfungsi di dalam kehidupan kecuali di dalam bidang ritual sahaja. ‘Islam’ hanya menjadi salah satu dari subjek yang langsung tidak ada kaitan dengan penyelesaian masalah manusia (mu’alajah li masyaakil insan), apatah lagi jika hendak dikaitkan Islam dengan sistem pemerintahan, politik, mua’malat, uqubat, jihad, ghanimah, jizyah, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Sistem pendidikan yang ada bukan sekadar mengembangkan lagi sekularisme sebagaimana yang Barat mahukan, malah direka dengan sebaik mungkin untuk memastikan anak-anak kaum Muslimin disemai dengan benih cintakan bangsa dan tanahair dan mesti sanggup mati demi mempertahankannya.


Namun demikian, sistem pendidikan bukanlah halangan terbesar di dalam menghapuskan assabiyyah dan wathaniyyah kerana sistem pendidikan hanyalah ‘produk’ dari sistem politik dan pemerintahan. Dengan kata lain, sekiranya sistem politik berjaya diubah, maka insya Allah sistem pendidikan juga akan turut berubah. Malangnya, sistem politik yang berjalan sejak runtuhnya Daulah Khilafah adalah tidak lebih dari apa yang telah dicorakkan oleh penjajah. Melihat kepada situasi politik pada hari ini, secara de factonya ia akan meletakkan umat Islam selamanya terpisah (melalui negara-bangsa) atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah. Secara sedar atau tidak, pemimpin kaum Muslimin yang ada pada hari ini adalah ‘mekanisme’ utama Barat untuk memastikan kaum Muslimin tidak akan bergabung semula dari segi politik. Sesungguhnya ramai dari pemimpin kaum Muslimin yang berkuasa pada hari ini sebenarnya ‘dimahkotakan’ secara langsung oleh Barat dan tak kurang pula bilangan yang diberi lampu hijau untuk memerintah selama mana mereka mengikut telunjuk Barat. Para pemimpin inilah yang bermati-matian mempertahankan batas sempadan palsu yang Barat tetapkan hingga ada yang mengisytiharkan perang sesama Muslim atas dasar perbezaan sempadan ini, semata-mata kerana takut kehilangan takhta. Lebih dahsyat, para pemerintah ini sanggup menangkap, memenjara, menyiksa malah membunuh rakyatnya sendiri yang berjuang untuk menyatukan semula kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan dengan menghapuskan segala bentuk assabiyyah dan wathaniyyah.


Manifestasi pemikiran kufur ini (nasionalisme dan patriotisme) tidak akan dapat di atasi tanpa adanya perubahan politik. Jika para pemimpin kaum Muslimin ini tidak mahu menukar pemikiran kufur yang ada pada mereka dan menggantikannya dengan pemikiran Islam, maka mereka ini pada hakikatnya wajib ditukar dan diganti dengan para pemimpin ikhlas yang akan menerapkan hukum-hukum Allah. Dengan ini, benteng penghalang terbesar dalam menghancurkan pemikiran assabiyyah dan wathaniyyah akan dapat diruntuhkan. Nasionalisme dan patriotisme yang selama ini membelenggu umat Islam, menyebabkannya terpecah belah dan bercerai berai akan pasti terhapus dengan hidupnya pemerintahan ikhlas yang benar-benar menerapkan hukum-hukum Allah dan mengikat umat hanya dengan ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.


Sesungguhnya keharaman assabiyyah dan wathaniyyah adalah jelas dan nyata, sebagaimana jelasnya malapetaka dan perpecahan yang dibawa keduanya. Justeru, adalah menjadi kewajiban setiap Muslim untuk menghilangkan sifat dan sikap ini dari diri mereka, seterusnya bergerak dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah melenyapkan kekufuran ini di mana jua mereka temui. Setiap Muslim juga wajib memuhasabah (bukannya bersekongkol dengan) pemimpin yang mengamalkan fahsya’ (kekejian) ini dan berusaha menyatukan kaum Muslimin di bawah bendera ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ tanpa mengenal batas sempadan, bangsa mahupun keturunan. Dalam konteks ini, seluruh negeri kaum Muslimin (termasuk Malaysia dan Indonesia) sepatutnya bergabung membentuk satu negara dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan pemerintahan berdasarkan Al-Kitab dan As-Sunnah. Jika dulu Rom dan Parsi yang asalnya negara kufur, boleh tunduk dan bergabung di bawah satu Daulah, apatah lagi kini, Malaysia dan Indonesia yang sememangnya negara kaum Muslimin, tentunya lebih mudah untuk digabungkan, Insya Allah. Pokoknya, jika dibuang jauh-jauh segala bentuk assabiyyah dan wathaniyyah yang mengikat kedua-dua negara sekarang ini, maka dengan izin Allah, Malaysia dan Indonesia akan bersatu.


KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa Allah menciptakan kalian dari setitis air mani, lalu dijadikan segumpal darah dan kemudian segumpal daging. Kalian berada di dalam keadaan yang lemah selama sembilan bulan di dalam perut ibu-ibu kalian. Allah kemudian mengizinkan kalian lahir ke dunia dalam keadaan tidak berdaya dan tidak mengerti apa-apa. Kalian kemudian menyusu dan membesar dalam dakapan ibu-ibu kalian. Apakah setelah Allah menjadikan kalian sebagai seorang Muslim, kalian kemudian merasa bangga dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Arab atau Pakistan? Dan apakah kalian merasa bangga dengan tanahair tempat kalian dilahirkan sehingga bumi itu lebih mulia di sisi kalian berbanding bumi-bumi Allah lainnya? Ingatlah wahai saudaraku bahawa setiap insan tidak pernah meminta untuk lahir ke dunia dan setiap insan juga tidak pernah meminta jenis bangsa, keturunan dan bumi tempat untuk dia dilahirkan. Allahlah Yang Maha Mencipta dan Allahlah yang menentukan segala-galanya. Tunduk dan patuhlah wahai setiap insan...

NEGARA-BANGSA YANG TERJAJAH

NEGARA-BANGSA YANG TERJAJAH

Sambutan kemerdekaan yang disambut oleh Malaysia pada 31 Ogos tahun ini mungkin merupakan sambutan terbesar yang pernah diadakan. Ini adalah kerana Malaysia akan meraikan ulangtahun ke-50 kemerdekaannya, satu angka (angka 50) yang seolah-olah seperti satu keramat dan penuh makna. Satu perayaan raksasa telah dirancang sejak berbulan lalu yang melibatkan puluhan ribu peserta dengan pelbagai acara. Entah berapa juta lagi wang rakyat yang akan dibelanjakan dengan pelbagai persiapan dan acara-acara yang telah dirancang dengan penuh meriah dan besar-besaran. Sebenarnya sambutan ulangtahun kemerdekaan bukan sahaja dirayakan oleh Malaysia, malah seluruh dunia. Pada 14 Ogos lepas, Pakistan menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke-60 dan sehari selepasnya (15 Ogos) merupakan sambutan ulangtahun kemerdekaan India yang juga ke-60. Sebagaimana Malaysia, Pakistan dan India turut mendapat ‘kemerdekaan’ dari penjajahan British. Selain itu, British turut menghadiahkan kemerdekaan kepada Lebanon (22 November 1943), Jordan (25 May 1946), Kuwait (26 Januari 1961), Qatar (3 September 1971), Brunei (1 Januari 1984) dan banyak lagi. Indonesia pula mendapat kemerdekaan dari Belanda pada 17 Ogos 1945.


Begitulah juga kedudukan negeri-negeri kaum Muslimin lainnya yang saban tahun, tarikh-tarikh kemerdekaan telah menjadi tarikh keramat bagi negara masing-masing. Setiap tahun, masing-masing sanggup menghanguskan ratusan ribu malah jutaan wang demi menyambut dan meraikan kemerdekaan yang telah dianugerahkan oleh kafir penjajah. Setiap kali sambutan kemerdekaan diadakan, kita akan diperingatkan dengan pelbagai nikmat yang telah dikecapi sejak merdeka dan kita seterusnya diseru agar bersyukur dan tetap menjaga kemerdekaan ini. Dalam menari dan menyanyi gembira dengan sambutan kemerdekaan, ramai yang terleka bahawa di luar sana masih ada banyak lagi negeri kaum Muslimin yang terjajah, yang mana tanah yang terjajah ini sebenarnya adalah tanah mereka juga. Tenggelam di dalam sifat assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme) yang kental menyebabkan mereka tidak merasakan bahawa Palestin adalah tanah umat Islam, Iraq adalah tanah umat Islam, begitu juga dengan Kashmir dan Somalia yang kesemuanya merupakan tanah umat Islam yang masih lagi terjajah dan kesemua tanah ini wajib dibebaskan dan disatukan. Ini belum mengambil kira bumi umat Islam lain yang, walaupun telah merdeka secara fizikal, namun pemerintah mereka adalah terdiri dari agen penjajah, bersubahat dengan penjajah dan tunduk menyembah penjajah seperti Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Jordan, Syria, Libya, Uzbekistan dan banyak lagi. Inilah realiti yang dapat kita saksikan pada hari ini di mana walaupun telah berpuluh tahun negeri-negeri ini mencapai kemerdekaan, namun hakikatnya mereka tetap terjajah!


KEMERDEKAAN PALSU


Sautun Nahdhah (edisi Ogos) keluaran tahun-tahun sebelum ini telah menjelaskan betapa sebenarnya kemerdekaan Malaysia dan lain-lain negara kaum Muslimin hanyalah suatu ilusi. Umat Islam telah ‘diplot’ oleh kafir penjajah dengan sebuah kemerdekaan untuk memecah belahkan mereka dan pada masa-masa berikutnya umat Islam di ajar dengan sejarah perjuangan kemerdekaan sebagaimana yang penjajah mahukan. Penjajah telah mengajar kita apakah definisi kemerdekaan dan mereka mahu kita memahami kemerdekaan dengan definisi yang diberi oleh mereka. Penjajah telah menamakan ‘hero-hero’ kemerdekaan dan mereka mahu kita hanya mengenali hero-hero yang telah mereka watakkan ini. Hasilnya, umat Islam telah memahami bahawa kemerdekaan bermaksud bebas dari ‘kehadiran fizikal’ penjajah dan wira-wira kemerdekaan adalah pejuang-pejuang kebangsaan (assabiyyah/nasionalisme) yang ingin menubuhkan negara-bangsa (nation state). Inilah erti kemerdekaan yang penjajah mahu kita fahami sampai bila-bila. Mereka mahu kita faham bahawa erti kemerdekaan adalah dengan terwujudnya pemerintahan sendiri berdasarkan sempadan-sempadan yang mereka telah lukiskan. Mereka seterusnya mahu kita memahami hakikat kemerdekaan adalah dengan mempertahankan batas sempadan ciptaan mereka ini selama-lamanya.

Jika kita mengimbas kembali sejarah kemerdekaan Malaysia, kita tidak akan dapat menafikan fakta bahawa kemerdekaan ini adalah hadiah dari pihak British. Di penghujung proses penjajahan, tiada lagi perjuangan, tiada lagi pemberontakan dan tiada lagi penumpahan darah, yang ada hanyalah sebuah proses perundingan (baca: permohonan) untuk mendapatkan kemerdekaan. Suasana aman di bawah pemerintahan British sebenarnya telah lama dikecapi. Rakyat tidak lagi menentang penjajahan British dengan nyawa dan darah sebagaimana di zaman Tok Janggut dan Mat Kilau; yang ada hanyalah demonstrasi yang diadakan secara aman membantah polisi pentadbiran British. Suasana aman ini membolehkan Tunku Abdul Rahman terbang ke London untuk membuat permohonan. Kali pertama Tunku Abdul Rahman menemui pihak British di London pada 12 April 1954, permohonannya gagal. Bagaimanapun, British tetap ‘bermurah hati’ membenarkan satu pilihan raya umum yang di adakan sekembalinya dari London. Pilihan raya umum pertama yang diadakan pada tahun 1955 menyaksikan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC, PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Onn Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, dan sebagainya bertanding. Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dan 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk dan Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.


Pada 18 Januari 1956, Tunku Abdul Rahman sekali lagi mengetuai rombongan ke London untuk memohon dan membincangkan hal-hal mengenai kemerdekaan. Rundingan ini telah memakan masa selama tiga minggu. Akhirnya Perjanjian London 1956 ditandatangani, tepatnya pada 8 Februari 1956 di mana British menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekiranya kita meneliti laporan sejarah, rata-rata laporan akan menyebut bahawa tujuan Tunku ke London adalah untuk ‘berunding’ dengan British perihal kemerdekaan. ‘Perundingan’ bermaksud adanya syarat-syarat yang akan ditetapkan dan yang perlu dipatuhi oleh pihak yang berunding, khususnya yang memohon.

Dalam kedudukan di mana Britishlah yang menjajah dan Tanah Melayu adalah negara yang terjajah, sudah tentu British adalah pihak yang mendominasi. Dan sudah pasti Tanah Melayu perlu tunduk kepada segala syarat yang British tetapkan, jika ingin merdeka. Kemerdekaan sudah tentu tidak akan diberikan jika pihak yang terjajah tidak ingin mematuhi syarat yang dikenakan oleh pihak yang menjajah. Di sinilah kita perlu memahami bahawa British bukanlah satu bangsa yang bodoh dan akan memberi kemerdekaan dengan begitu mudah. Kita perlu faham bahawa British adalah negara kafir harbi yang sedang memusuhi Islam dan sedang menyebarluaskan akidah sekular mereka ke negara umat Islam yang sedang mereka jajah. Sudah pasti mereka tidak akan keluar begitu sahaja. Ternyata, setelah dua kali ‘perbincangan’, akhirnya British bersetuju memberikan ‘kemerdekaan’ kepada Tanah Melayu.

Sekembalinya dari London pada 20 Februari 1956, Tunku disambut meriah dan beliau kemudian mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu di padang Bandar Hilir, Melaka. Semua bergembira dengan pengisytiharan ini tanpa menyedari betapa halusnya syarat-syarat kemerdekaan yang telah ditetapkan British dan betapa liciknya British dalam membuat perancangan. Bagaimana mungkin British akan meninggalkan tanah umat Islam yang dijajahnya tanpa memastikan umat Islam tetap tunduk dengan sistem dan undang-undang mereka. Bagaimana mungkin British akan mengangkat kaki selagi mereka tidak yakin pemimpin yang bakal menggantikan mereka adalah pemimpin yang sepemikiran dengan mereka yang akan meneruskan sistem sekular mereka. Bagaimana mungkin British akan berganjak dari bumi umat Islam kecuali setelah benar-benar pasti bahawa pemerintahan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah tidak akan diterapkan. Justeru, pada bulan Mac 1956, satu Suruhanjaya ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali dengan Suruhanjaya Reid yang dipengerusi sendiri oleh Lord Reid dari Britain dan beberapa orang pakar undang-undang kufur dari negara Komanwel mula merangka perlembagaan untuk Tanah Melayu, sebagai syarat untuk merdeka. Akhirnya, pada bulan Ogos 1957 siaplah sebuah dokumen yang berisi apa sahaja yang dikehendaki oleh British untuk dipatuhi oleh umat Islam.

Setelah segalanya selesai, maka kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan pada 31 Ogos 1957 dengan Perlembagaan yang digubal oleh Lord Reid tadi terus menjadi undang-undang tertinggi negara mengatasi Al-Quran dan Sunnah di mana pemakaiannya terus kekal hingga ke hari ini. Dengan ini rasmilah wujudnya sebuah lagi negara-bangsa yang memisahkan kaum Muslimin antara satu dengan yang lainnya berdasarkan sempadan palsu yang ditetapkan oleh si kafir penjajah. Bermula dari sini, walaupun secara fizikalnya umat Islam telah merdeka dari penjajah, namun seluruh pemikiran umat Islam telah ‘diikat’ dengan sebuah dokumen yang dibuat oleh penjajah. Umat Islam sudah tidak dapat berfikir kecuali di dalam ruang lingkup Perlembagaan yang telah dibuat oleh Lord Reid.

Segala sistem dan undang-undang yang akan dibuat mestilah mengikut ketetapan yang tersedia di dalam Perlembagaan, dan tidak boleh terkeluar walau seincipun. Tidak ada apa yang dapat diluluskan kecuali diizinkan oleh Perlembagaan hatta undang-undang Allah sekalipun. Hudud Allah tidak akan dapat diterapkan, Qisas tidak akan dapat dilaksanakan, Ta’zir pun langsung tidak ada tempat untuknya, semata-mata kerana Perlembagaan yang digubal oleh si kafir Lord Reid tidak mengizinkannya. Begitulah bagaimana dan betapa ‘pemikiran’ kaum Muslimin telah di‘set’kan oleh British, sehingga mereka tidak boleh berfikir, kecuali sekadar yang British mahukan. Jika British tidak mahu negara kaum Muslimin bergabung, mereka telah berjaya melakukannya, jika British tidak mahu undang-undang Allah diterapkan di Malaysia, mereka telah berjaya melakukannya dan jika British inginkan sempadan Malaysia (yang diberi kemerdekaan) ini kekal, mereka juga telah berjaya melakukannya – hanya melalui Perlembagaan yang telah mereka gubal sebagai syarat untuk Malaysia merdeka.

Setelah 50 tahun merdeka dan memerintah sendiri dan mempunyai kuasa untuk menentukan nasib sendiri, anehnya Malaysia masih mematuhi syarat yang telah ditetapkan British lebih 50 tahun dahulu. Apakah jika Malaysia melanggar syarat ini sekarang, maka Malaysia terpaksa diserahkan semula (atau otomatik jatuh) ke tangan British? Atau apakah musuh Islam ini akan datang menyerang Malaysia sekali lagi jika syarat kemerdekaan tersebut dilanggar? Atau apakah Malaysia sebenarnya ‘sengaja’ mengekalkan segala yang diwarisi dari penjajah ini kerana pemikiran para pemimpin yang ada sudah sebati dengan akidah sekular yang telah dibawa oleh penjajah? Jadi, merdekakah umat ini sebenarnya, dengan hanya menyaksikan British keluar dari bumi Malaysia, walhal sistem dan undang-undang British masih bertapak kukuh? Merdekakah umat ini apabila Perlembagaan yang digubal dan ditinggalkan oleh British masih menjadi undang-undang tertinggi negara yang lebih tinggi dari Al-Quran dan As-Sunnah? Merdekakah umat ini apabila pemikiran mereka sebenarnya masih lagi terjajah? Sungguh aneh apa yang dikatakan ‘kemerdekaan’ ini; kita mohon kemerdekaan dari John kerana benci dengan apa yang dia bawa, lalu John menganugerahkan kemerdekaan. Setelah merdeka, kita melantik Johan sebagai pemimpin, yang membawa idea sama sebagaimana John, lalu kita mengatakan kita telah merdeka!

NEO-IMPERIALISME (PENJAJAHAN BENTUK BARU)

Pada abad ke-19, negara-negara Eropah, khususnya Britain dan Perancis berebut-rebut untuk menjajah Negara Islam dan juga lain-lain negara di dunia. Penjajahan (imperialisme) ketenteraan menjadi salah satu cara yang ditempuh oleh negara-negara Eropah untuk menundukkan sekaligus menerapkan ideologi kufur mereka di negara-negara jajahan. Keadaan ini berlangsung terus hingga berakhirnya Perang Dunia II, yang telah memunculkan Amerika sebagai samseng baru di pentas dunia. Dengan kekuatan, kelicikan dan agenda baru, Amerika mula mengatur strategi politiknya. Dunia sudah mula bosan dan mengutuk segala bentuk penjajahan ketenteraan/fizikal. Bagaimanapun, sebagai negara penganut Ideologi Kapitalis yang mana ‘manfaat’ adalah pegangan hidupnya, Amerika semestinya tidak boleh berdiam diri dan merelakan apa sahaja yang sedang terjadi, apalagi dengan sifat permusuhan dan kebencian mereka terhadap Islam dan umatnya yang tidak pernah padam. Amerika mula merancang untuk menakluk dunia dengan satu penjajahan bentuk baru yang boleh diterima dunia. Dengan makar yang teliti dan mendalam, terbentuklah PBB yang kononnya menggabungkan negara-negara merdeka di dunia demi mencapai dan memelihara penyatuan dan keamanan sejagat. Ternyata, makar ini membuahkan hasil yang diingininya dan Amerika berjaya ‘menguasai’ dunia melalui pertubuhan kufur ini.


Dari sini juga diwujudkan beberapa badan/lembaga lainnya juga atas nama kesejahteraan dunia seperti World Bank (WB), International Monetary Fund (IMF), World Trade Organisation (WTO), International Court of Justice (ICJ) dan banyak lagi. Seterusnya dilaungkanlah slogan-slogan untuk keharmonian bersama seperti Hak Asasi Manusia (HAM), Demokrasi, Globalisasi, Hak-hak Wanita, Kebebasan dan bermacam-macam lagi. Atas alasan memberi bantuan kepada negara-negara yang lemah (yang kebanyakannya adalah negeri-negeri umat Islam), Barat akhirnya berjaya menjerat negara-negara ini dengan hutang luar yang berbilion-bilion jumlahnya. Atas alasan pasaran bebas, Barat berjaya masuk ke setiap negeri kaum Muslimin dan menjadikan negeri-negeri Muslim bergantung kepadanya. Selain itu, mereka juga berjaya mengaut segala kekayaan alam khususnya minyak dan gas yang ada di Arab Saudi, Iraq, Mesir, Kuwait, Indonesia dan lain-lain lagi. Atas nama HAM, Demokrasi dan kebebasan, Amerika berjaya ‘memerintah’ Iraq, Afghanistan dan Pakistan. Dengan ICJ, Barat berjaya menjadikan undang-undang kufur mereka sebagai undang-undang antarabangsa yang mesti dipatuhi oleh semua.


Pendek kata, percaturan kuffar Imperialis Barat dengan adanya PBB dan badan-badan di bawahnya telah memberikan kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang kepada mereka untuk menjajah umat Islam dalam bentuk penjajahan baru ini. Kesimpulannya, negara-negara yang kononnya telah mencapai kemerdekaan sebenarnya masih tetap terjajah dengan penjajahan bentuk baru ini (neo-imperialisme) oleh Barat. Seperkara lagi yang kita perlu fahami adalah Barat tidak akan berjaya menguasai negeri umat Islam jika pemerintahnya mencampakkan semua hukum dari Barat lalu menerapkan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Barat pasti tidak akan berjaya mengaut segala kekayaan dari bumi umat Islam jika para pemimpin umat Islam tidak menjadi agen mereka, tidak bersubahat dengan mereka di dalam mengambil hak umat, serta tidak tunduk patuh kepada Barat. Sungguh! Barat berjaya menguasai keseluruhan negeri umat Islam kerana pemerintah umat Islam saat ini terus berhukum dengan hukum Barat. Justeru, di manakah kemerdekaan apabila undang-undang yang diterapkan adalah undang-undang Jahiliyyah Barat, sistem ekonomi adalah sistem Kapitalis bukannya sistem Islam, perbankan riba masih merajalela, gaya hidup Barat masih berleluasa, sistem pendidikan masih sekular dan yang paling penting, sistem pemerintahan masih dibelenggu dengan sistem pemerintahan negara-bangsa berdasarkan sempadan yang telah ditetapkan oleh kafir Imperalis Barat. Di manakah kemerdekaan? Sungguh malang! Malaysia berusaha mencapai kemerdekaan kerana inginkan pemerintahan sendiri, namun hakikatnya masih tetap memerintah dengan apa yang kafir penjajah tinggalkan!

KEMERDEKAAN HAKIKI

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin bertanya, adakah kalian akan bergembira jika Kelantan terpisah dari Malaysia, lalu menyambut kemerdekaan. Adakah kalian akan bergembira jika Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia dan mereka menyatakan bahawa mereka telah merdeka, sebagaimana Singapura mencapai kemerdekaan dari Malaya dahulu? Adakah penduduk Johor dan penduduk Malaysia lainnya akan berpesta kegembiraan jika Johor berjaya keluar dari Malaysia dan merdeka? Apakah ini yang dikatakan kemerdekaan, dan apakah kita bergembira dengan kenyataan ini, kenyataan bahawa negeri-negeri umat Islam menjadi terpecah belah, semakin lemah dan kecil dan terpisah antara satu sama lain dan mewujudkan pemerintahan sendiri-sendiri?


Jika kalian gembira dengan sambutan kemerdekaan ini, kalian sebenarnya sedang berkongsi kegembiraan dengan kafir Barat, yang setiap tahun tersenyum menyaksikan sambutan kemerdekaan yang diadakan besar-besaran di negeri kaum Muslimin. Golongan kuffar ketawa riang menyaksikan kejayaan mereka memecah-belahkan kaum Muslimin dengan negara-bangsa yang ‘merdeka’, yang dahulunya mereka berjaya pisahkan dari satu bumbung pemerintahan yakni Daulah Khilafah. Kini, semuanya terpecah belah dan ‘merdeka’ dengan berjalan mengikut ketetapan penjajah. Wahai saudaraku, bukankah kita umat yang satu dan Rasulullah telah menyatukan kita dengan kalimah syahadah yang baginda bawa, tanpa memerhatikan lagi bangsa dan negara manakah kita berada. Begitulah juga dengan para Khalifah sesudah baginda dan para pejuang-pejuang Islam yang ikhlas berjuang menyatukan umat Islam dan memerdekakan mereka dari belenggu kekufuran. Kesemua mereka ini membawa kemerdekaan yang hakiki untuk umat Islam.


Mereka membebaskan manusia dari hidup di dalam kekufuran dan kezaliman menuju rahmat Allah, membebaskan manusia dari berada di bawah telunjuk dan naungan kufur kepada petunjuk dan cahaya Islam. Firman Allah,


“Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya. Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya menuju kegelapan.” [TMQ al-Baqarah (2):256]


Rab’i bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin, dan Mughirah bin Syu‘bah ketika ditanya oleh Jeneral Rustum (Parsi) secara bergantian pada hari yang berbeza pada Perang Qadisiyah, di mana Rustum bertanya,


“Apa yang menyebabkan kalian datang ke sini?”. Mereka menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk membebaskan/memerdekakan siapa saja dari penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju keluasanNya, dan dari kezaliman agama-agama selain Islam menuju keadilan Islam...” [Tarikh at-Thabari, II/401].


KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Sukacita kami ingin mengakhiri naskhah ini dengan memetik kata-kata seorang intelektual bebas dari Jepun, yang dahulunya non-Muslim, namun Allah telah menunjuk beliau ke jalan kebenaran. Beliau adalah Prof. Dr. Hassan Ko Nakata dari Center for Interdisciplinary Study of Monotheistic Religions (CISMOR), Universiti Doshisha, Jepun (juga merupakan Presiden, Persatuan Muslim Jepun). Dalam makalahnya untuk International Khilafah Conference di Jakarta 12 Ogos lepas, beliau menyatakan bahawa [teks penuh beliau boleh didapati di http://www.hizbut-tahrir.or.id/index.php/category/kki/makalah]; “(Penjajahan) Kapitalisme global hanya mungkin boleh dilawan oleh ideologi yang juga bersifat global. Dalam konteks ini, Islamlah yang akan membebaskan manusia dari penjajahan sistem Kapitalisme global. Islam dengan sistem Khilafahnya, juga berfungsi sebagai sarana pembebasan umat manusia dari penjara negara-bangsa saat ini yang eksploitatif.


Ini karena Khilafah merupakan kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslim di dunia untuk menegakkan hukum-hukum syariah dan mengemban risalah Islam sebagai rahmat ke seluruh penjuru dunia melalui dakwah dan jihad...Sekarang semakin jelas, bahwa Khilafah bukanlah kelompok yang terdiri dari berbagai negara-bangsa, namun merupakan satu pemerintahan universal yang bertentangan dengan sistem negara-bangsa, dan juga sistem yang membebaskan bangsa-bangsa dari penjara buatan mereka. Kenyataannya, konsep negara-bangsa Barat tidak hanya bertentangan dengan ajaran Islam, namun juga bertentangan dengan premis dasar agama-agama Ibrahim yang menyatakan, bahwa Tuhan adalah penguasa sekelian alam...


Islam adalah satu-satunya agama terbesar di dunia yang memperjuangkan kemanusiaan dengan menolak sistem negara-bangsa dengan teritorialnya. Karena sistem ini sendiri jelas bertentangan dengan kemanusiaan. Sayangnya, kecuali Hizbut Tahrir, di tengah-tengah umat Islam sendiri tidak ada gerakan internasional sejati yang menentang secara terang-terangan sistem negara-bangsa (nation state), dan membela kewajiban untuk menegakkan kembali Khilafah sebagai satu-satunya sistem politik Islam yang sah. Jangankan kaum Muslimin biasa, para aktivis yang tergabung dalam gerakan Islam itu sendiri kerap tidak peduli dengan perjuangan menegakkan kembali Khilafah beserta peranan penting mendasarnya dalam membebaskan manusia.


Mereka umumnya melakukan kompromi dengan sistem negara-bangsa; apakah karena mereka terpengaruh dan disesatkan oleh pemikiran keliru tentang logika politik Barat, atau karena mereka takut akan tekanan penguasa zalim di dalam negeri mereka sendiri - yang sedang mempertahankan statusnya karena kepatuhannya kepada penjaga sistem dari Barat, atau negara super power Barat. Karena itu, menurut hemat saya, dalam konteks dunia Islam kontemporer, hanya Hizbut Tahrirlah yang boleh dikatakan sebagai “gerakan politik Islam” yang memperjuangkan terealisasinya Khilafah - yang merupakan panggilan universal; tidak hanya untuk umat Islam, tetapi lebih dari itu. Konsekuensinya, kejayaan Hizbut Tahrir tentu tidak hanya bermanfaat bagi umat Islam, tetapi juga untuk seluruh umat manusia.”

MANSUH COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW

MANSUH COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW


Ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Petaling Jaya pada 21 Ogos lepas, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu. Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.


Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa. “Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita. Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?” , soalnya. Katanya lagi, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956. Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England [UM 22/08/07].


Sebagai seorang yang telah lama bergelumang dengan undang-undang sekular, pandangan Ketua Hakim Negara di atas mesti diberi perhatian serius dan tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Sedikit sebanyak ia mencerminkan perubahan paradigma yang ketara dalam pemikiran seorang profesional dan intelektual, walaupun dalam koridor yang masih sempit. Setidak-tidaknya pandangan tersebut jauh lebih baik dari pandangan golongan ulama dan profesional yang menyeru agar dikekalkan undang-undang British (common law) yang dah lapuk ini. Kita sedia maklum bahawa pandangan sebegini bukanlah suatu yang baru, cuma yang baru di sini ialah ‘orang’ yang bercakap.


Walaupun selama ini terdapat begitu banyak suara yang menyeru agar diganti hukum British yang kufur ini kepada hukum Allah, namun, seruan tersebut tidak pernah tersiar di muka hadapan, mahupun muka tengah suratkhabar. Kita berdoa agar seruan (baca: usaha) yang lebih baik dari ini, nanti dilakukan pula oleh golongan yang memegang pemerintahan dan kekuasaan, kerana di tangan merekalah terletaknya kuasa untuk menerapkan undang-undang. Insya Allah perubahan akan lebih cepat berlaku jika yang berusaha adalah mereka yang berkuasa itu sendiri. Jika mereka mengabaikan kewajiban ini (mengubah hukum manusia kepada hukum Allah), mereka perlu ingat bahawa Allah Maha Berkuasa untuk mencabut kekuasaan mereka dalam sekelip mata dan menyerahkannya kepada siapa jua yang Dia kehendaki!


SEJARAH PENERAPAN UNDANG-UNDANG BRITISH


Sebelum Tanah Melayu jatuh ke tangan British, kita sedia maklum bahawa Tanah Melayu telah dijajah lebih awal oleh Portugis (1511–1641) dan Belanda (1641–1795). Tanah Melayu juga pernah berada di bawah pemerintahan Jepun untuk sementara waktu. Bagaimanapun, kesemua penjajah ini tidak menerapkan undang-undang mereka secara nyata di Tanah Melayu sehinggalah kedatangan British pada tahun 1796. Sebelum penjajahan British, penduduk Tanah Melayu masih berpegang kepada pemerintahan Islam, walaupun tidak secara keseluruhan. Ternyata, semenjak penjajahan Britishlah Tanah Melayu mula menerapkan undang-undang kufur penjajah. Perundangan kufur Brtitish bermula dengan pengenalan ‘the Royal Charter of Justice’ pada tahun 1807.


Charter (Piagam) ini melakar sejarah penting di dalam sistem perundangan Malaysia kerana ia menandakan bermulanya undang-undang berkanun Inggeris di negara ini dan dari sinilah ditubuhkan ‘the Court of Judicature of the Prince of Wales' Island’' (nama lama Pulau Pinang). Kemudian, setelah Singapura dan Melaka jatuh ke tangan British, maka dibentuklah Negeri-negeri Selat (the Straits Settlement) pada tahun 1826, lalu diperkenalkan pula the Charter of Justice yang baru dan diwujudkan sebuah mahkamah baru yang dinamakan ‘the Court of Judicature of Prince of Wales’ Island, Singapore and Malacca'. Dengan ini, penerapan undang-undang kufur British menjadi semakin luas dan rasmi. Walaupun Charter baru telah dilaksanakan, namun pentadbiran undang-undang British masih amat tidak memuaskan. Maka, pada tahun 1855 the Charter of Justice yang ketiga pula diperkenalkan yang membolehkan penstrukturan semula sistem mahkamah.



Pada tahun 1867, mahkamah disusun sekali lagi apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari India ke tanah jajahan. Mahkamah baru yang diberi nama ‘the Supreme Court of the Straits Settlements’ ditubuhkan pada tahun 1873 dengan empat orang hakim, kemudian diikuti dengan penubuhan Court of Appeal. Sejak itu, sistem perundangan semakin berubah ke arah bentuk yang lebih moden. Undang-undang Perdagangan British (English commercial law) diperkenalkan secara rasminya melalui Seksyen 6 Civil Law Ordinance 1878 dan masih terpakai hingga sekarang di Pulau Pinang dan Melaka, sebagaimana termaktub di dalam pindaan Civil Law Act, 1956 (Revised 1972).


Pada tahun 1937, British mengukuhkan cengkaman undang-undang mereka di Tanah Melayu dengan menggubal Civil Law Enactment 1937 yang berkuatkuasa ke atas Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan). Setelah Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) bergabung membentuk Federation of Malaya pada tahun 1948, British terus membuat pindaan, menjadi Civil Law (Extension) Ordinance, 1951, bagi memastikan undang-undang sivil mereka ini diterapkan di kesemua negeri yang telah bergabung tadi. Ia kemudian diganti dengan Civil Law Ordinance, 1956 dan apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 (setelah penggabungan Sabah dan Sarawak), Ordinan tersebut ditukar sekali lagi menjadi Civil Law Act, 1956 (revised 1972) berkuatkuasa pada 1 April, 1972 hinggalah sekarang.


Adapun common law, secara mudah untuk difahami, ia bermaksud undang-undang yang berasal dari keputusan-keputusan hakim di mahkamah. Dengan kata lain common law adalah undang-undang yang dibuat oleh hakim di dalam kes-kes tertentu yang menjadi ‘precedent’ (duluan) yang mengikat untuk kes-kes selepasnya (prinsip ini juga dikenali sebagai ‘stare decisis’). Common law adalah sebahagian dari undang-undang, walaupun ia bukannya undang-undang berkanun atau bertulis yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Yang jelas dan pasti, common law ini berasal dari praktis mahkamah di England berdasarkan amalan dan adat kebiasaan mereka. Ringkasnya, common law merupakan sebahagian dari undang-undang Malaysia (walaupun kes-kes yang dirujuk adalah dari England) dan ia menjadi undang-undang kerana dibenarkan oleh Civil Law Act, 1956 (revised 1972).


Wahai kaum Muslimin!


Demikianlah sepintas lalu sejarah bagaimana undang-undang kufur British boleh masuk ke bumi Malaysia dan kekal hingga sekarang. Britain sebagai sebuah negara yang berideologi Kapitalis menjajah bukan sahaja Tanah Melayu, tetapi banyak lagi negeri-negeri umat Islam lainnya. Mereka masuk ke tanah umat Islam dan menancapkan sistem kufur mereka ke atas kita. Pada masa yang sama, British juga memasuki Palestin, India, Pakistan serta Bangladesh dan menerapkan undang-undang sekular mereka. Mereka membunuh umat Islam dan mengaut kekayaan di setiap bumi yang mereka jajah.


Setelah puas berseronok dan setelah yakin bahawa umat Islam akan tetap mewarisi sistem mereka, mereka lalu menghadiahkan kemerdekaan kepada negara yang berkenaan dengan terlebih dahulu memastikan yang pemimpin (umat Islam) yang mengganti mereka adalah agen mereka atau orang yang sepemikiran dengan mereka. Justeru, kita menyaksikan kini bahawa walaupun penjajahan fizikal telah lama berakhir, pemerintahan yang ada tetap mengekalkan sistem dan undang-undang penjajah. Pemikiran Islam ditanam dan ditimbus sedalam-dalamnya oleh sang kafir penjajah dan terus terkubur hingga kini dari benak pemimpin kaum Muslimin, seolah-olah pemerintahan Islam tidak pernah wujud. Inilah hakikat yang telah dan sedang terjadi. Hanya orang yang bodoh sombong sahaja yang akan menafikan hakikat dan kebenaran ini.


MENCAMPURADUKKAN HAK DAN BATIL?

Di dalam cadangannya untuk memansuhkan common law, Ketua Hakim Negara seterusnya menyatakan, sebagai ganti, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia. Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa. Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat [UM 22/08/07].

Akibat nila setitik rosaklah susu sebelanga. Begitulah keadaannya apabila yang jernih dicampurkan dengan yang keruh dan yang baik dicampurkan dengan yang buruk. Tepatnya, rosaklah kebenaran apabila yang hak dicampur dengan yang batil. Dalam pada kita ingin mengganti common law yang jelas-jelas merupakan undang-undang kufur yang diambil dari England ini, penyelesaiannya di sini bukanlah untuk kita menggantikannya dengan undang-undang tempatan. Jika kita ingin membuang Carslberg, penyelesaiannya bukanlah dengan mengambil Guiness Stout, tetapi ia wajib diganti dengan air bersih yang halal, yang suci lagi menyucikan. Undang-undang yang dibuat oleh British adalah haram bagi kita kerana ia merupakan undang-undang kufur ciptaan manusia. Begitulah juga haramnya bagi kita untuk mengambil undang-undang Malaysia, Mesir, Jordan, Arab Saudi dan sebagainya selama mana ia adalah undang-undang ciptaan manusia.

Tidak ada bezanya proses pembuatan undang-undang oleh kerajaan British dengan kerajaan Malaysia, kedua-duanya adalah undang-undang buatan manusia yang digubal atau dibuat dan seterusnya diluluskan dengan mendapat undi majoriti. Begitulah juga kedudukan common law atau undang-undang kes (stare decisis) yang terang-terang terhasil dari produk akal-akal manusia tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah sedikitpun. Ya benar, undang-undang Islam perlu dimartabatkan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara.


Bahkan ia bukan sekadar perlu, malah wajib! Dan ia wajib diterapkan secara kaffah (sempurna dan menyeluruh) tanpa ada campur aduk dengan undang-undang sivil buatan manusia sedikitpun. Manusia pada hakikatnya langsung tidak ada hak untuk membuat undang-undang. Allah telah menyempurnakan agama ini yang sekaligus bermaksud bahawa Allah telah menyempurnakan segala undang-undangnya. Maha Suci Allah! Allah tidak perlu bersyarikat (bersekutu) dengan manusia untuk membuat undang-undang dan Allah Azza wa Jalla tidak perlu campurtangan dari manusia untuk membuat undang-undang. Undang-undang ciptaan Allah adalah satu-satunya yang hak (benar) dan segala undang-undang ciptaan manusia adalah batil adanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,


“...menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah...” [TMQ al-An’am (6):53].

Justeru, di dalam Islam tidak ada konsep ‘mengharmonikan’ undang-undang sivil dan syariah. Hak untuk membuat undang-undang hanyalah di tangan Allah sahaja. Jika kita benar-benar ingin kembali kepada Allah, maka undang-undang Allahlah satu-satunya yang wajib kita ambil dengan meninggalkan segala undang-undang batil ciptaan manusia. Yang hak dan yang batil sekali-kali tidak boleh dimadukan. Apakah seseorang dibolehkan meminum arak, berjudi atau menyembelih babi jika dia membaca ‘Bismillah’ sebelumnya? Apakah seseorang dikatakan mengikut hak apabila selalu menepati waktu di dalam membayar riba? Apakah membahagi harta curi secara adil (sama banyak) kepada 2 orang pencuri dikatakan hak? Apakah sesuatu itu dikatakan hak (kebenaran) apabila membelakangkan ketetapan dari Allah dan RasulNya? Apakah menghukum penzina dengan sebatan 6 kali, denda RM5,000 atau penjara 3 tahun dikatakan hak (benar)? Apakah menghukum 7 tahun penjara bagi sipencuri dikatakan hak (benar)? Apakah mendenda RM2,000 kepada simurtad dikatakan hak? Apakah mencampuraduk atau mengharmonikan undang-undang sivil dan undang-undang syariah di dalam negara bertepatan dengan hak? Apakah bertepatan dengan hak bila dicampur susu dengan arak, kemudian diminum? Apakah ini yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya? Sedarlah wahai kaum Muslimin, yang hak dan yang batil itu tidak akan bersatu selama-lamanya! Firman Allah,


“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):42].

Kecelaruan dan ketidakjelasan dalam berfikir dan menyelesaikan masalah menyebabkan umat Islam tersadung di tengah jalan. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telahpun menurunkan al-Furqan (Pembeza) kepada manusia dan Dia telah menunjuki manusia dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan buruk [TMQ al-Balad (90):10] dan tidak ada jalan tengah di antara keduanya. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memisahkan di antara jalan fajir dan jalan takwa dan mengilhamkannya kepada manusia [TMQ as-Syams (91):8] dan Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah memperjelaskan jalan petunjuk dari jalan yang sesat [TMQ al-Baqarah (2):256].

Oleh yang demikian, satu-satunya jalan petunjuk hanyalah dengan kembali berhukum dengan hukum Allah, bukannya kekal berhukum dengan undang-undang buatan manusia, samada dibuat oleh manusia kafir atau Muslim. Amat aneh apabila seseorang itu ingin menghapuskan undang-undang dan pemikiran penjajah, tetapi dalam masa yang sama menyeru kepada penyelesaian yang diberikan oleh penjajah juga. Hasratnya ingin menghapuskan common law, namun dikekalkan pula undang-undang sivil untuk diharmonikan dengan undang-undang syariah!


HAPUS COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW



Wahai kaum Muslimin! Sekiranya kita diajukan persoalan, ‘undang-undang manakah yang lebih baik ataupun terbaik untuk manusia, adakah undang-undang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala atau undang-undang ciptaan manusia'? Sudah tentulah kita akan menjawab undang-undang Allah. Demi Allah! Walaupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk membuat undang-undang atau merubah apa yang Allah telah tetapkan, nescaya undang-undang Allah dan apa sahaja yang Allah telah tetapkan untuk manusia, itu adalah yang terbaik bagi manusia untuk selama-lamanya. Oleh itu, jika kita ingin mengganti undang-undang ciptaan manusia yang melingkari hidup kita sekarang, apakah kita akan beralih kepada undang-undang ciptaan manusia juga? Sudah tentu tidak! Oleh itu, satu-satunya jalan keluar dari segala fitnah dan kegelapan ini adalah dengan kembali kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukannya kembali kepada kitab undang-undang dan sistem ciptaan manusia. Inilah perintah dari Tuhan sekelian alam ke atas manusia, firmanNya,


“...kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian...” [TMQ an-Nisa’(4):59].


Wahai kaum Muslimin!

Kami ingin bertanya, mahukah kalian jika kehidupan kalian ditentukan sepenuhnya oleh jiran kalian? Sukakah kalian jika yang menetapkan apa yang kalian boleh dan tidak boleh lakukan adalah jiran kalian? Mahukah kalian jika jiran kalian adalah orang yang menentukan halal dan haram untuk kalian? Sudah tentu pelik dan tak masuk akal bunyinya! Tetapi tahukah kalian bahawa inilah yang kalian sedang hadapi sekarang. Kehidupan kalian sebenarnya ditentukan oleh orang-orang yang berdekatan dengan kalian. Mereka adalah orang yang membuat undang-undang untuk mengatur hidup kalian, menetapkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kalian lakukan dan mereka menetapkan hukuman bagi orang-orang yang bersalah di kalangan kalian.


Mereka adalah orang yang terpilih untuk membuat undang-undang, lalu mereka ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk ‘menentukan’ perjalanan hidup kalian, melalui proses pengundian demi pengundian. Maha Suci Allah! Apakah ini yang kalian inginkan? Bukankah hidup kalian sepatutnya ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala? Bukankah Allah yang sepatutnya mengatur hidup kalian, dengan hukum dan undang-undang yang datang dariNya? Bukankah Allah yang sepatutnya menentukan halal dan haram, yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan, yang menetapkan hukuman bagi pesalah dan yang wajib ditaati? Jadi siapakah yang kalian pilih untuk menentukan hidup kalian, manusia selain kalian atau Allah Subhanahu wa Ta’ala, Pencipta kalian? Allah bertanya,


“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

Wahai kaum Muslimin!

Satu-satunya jalan untuk menggantikan segala kebatilan hukum ciptaan manusia adalah dengan kembali mengamalkan hukum ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita tidak mahu berhukum dengan common law dan kita juga tidak mahu berhukum dengan mana-mana man-made law, tetapi kita mahu berhukum dengan hukum Allah. Man-made law adalah produk kufur yang lahir dari sistem sekular dan tidak layak untuk umat Islam. Umat Islam adalah umat yang mulia dan terbaik dan status ini hanya dapat dicapai apabila umat Islam itu berhukum dengan hukum Allah. Jika tidak, kehinaanlah yang akan meliputi. Lebih dari itu, Allah mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan tetapi tidak menerapkan hukum Allah, “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya suara untuk kembali kepada Islam semakin hari semakin kuat kedengaran dan benteng kekufuran semakin hari semakin meretak. Walaupun ada yang menyeru di jalan yang keliru, namun suara mereka tetap mewujudkan satu gelombang perubahan. Insya Allah, semoga gelombang ini akan mengikuti, berpadu dan menyatu dengan gelombang kebenaran dan akan menghasilkan ombak yang cukup besar untuk menerjah dan seterusnya meruntuhkan segala benteng kekufuran. Sesungguhnya benteng kekufuran itu amat lemah, ia nampak berdiri kukuh kerana selama ini tidak ada ombak yang mendatang. Justeru, ayuhlah wahai saudaraku, kita sama-sama bergabung membentuk satu gelombang kebangkitan yang besar, yang satu sama lain akan saling memperkuatkan. Bergerak dan teruslah bergerak dengan mengumandangkan suara kebenaran, Insya Allah ia akan menenggelam dan melenyapkan semua suara yang batil. Inilah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala,


“Dan katakanlah: ‘Yang benar telah datang dan yang batil pasti lenyap’. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap” [TMQ al-Isra’ (17):81].

KHILAFAH AKAN KEMBALI DENGAN IZIN ALLAH

KHILAFAH AKAN KEMBALI DENGAN IZIN ALLAH


Laungan ALLAHU AKBAR oleh 100,000 manusia menggamatkan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Ahad lepas (28 Rejab 1428H / 12 Ogos 2007M) di mana telah berlangsung International Khilafah Conference (Persidangan Khilafah Antarabangsa) 2007 dengan tema “Saatnya Khilafah Memimpin Dunia” yang diselenggarakan oleh Hizbut Tahrir Indonesia (HTI). Tidak ada daya dan kekuatan kecuali milik Allah jua. Tidak ada apa yang dapat menyekat kuasa Allah Subhanahu wa Ta’ala apabila Dia menghendaki sesuatu untuk berlaku. Rejim-rejim kufur di seluruh dunia yang cuba menghalang suara kebenaran dari dikumandangkan ternyata gagal di dalam usaha mereka. Kejayaan Hizbut Tahrir Indonesia di dalam menganjurkan Muktamar Khilafah Antarabangsa Ahad lalu memberi mesej yang jelas kepada seluruh dunia bahawa kebangkitan umat Islam sudah tidak dapat dibendung lagi dan Khilafah akan kembali semula dengan izin Allah di dalam waktu yang terdekat, InsyaAllah.


Segala puji bagi Allah yang telah menyempurnakan muktamar tersebut dari awal hingga akhir dan menjadikannya muktamar terbesar di dunia semenjak jatuhnya Khilafah pada 28 Rejab 1342H. Dalam perkembangan yang berkaitan, Muktamar Khilafah oleh Hizbut Tahrir Malaysia yang sepatutnya diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor telah di pindahkan pada waktu-waktu terakhir ke Pusat Perkembangan Dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Dengan izin Allah, muktamar telah berjalan dengan baik, meskipun berlaku sedikit masalah melibatkan pihak berkuasa. Suara kebenaran sesungguhnya akan pasti menyerlah walau apa jua halangan dan hambatan yang dilontarkan kepadanya.


Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Masjid Negeri Shah Alam dan juga pihak CITU khususnya yang telah memberi kerjasama penuh sehingga muktamar dapat berjalan dengan baik hingga ke penghujungnya. Kepada Allah kami memohon agar segala kerjasama dan kebaikan yang diberikan diganjari olehNya. Kami juga sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada lebih kurang 500 orang hadirin yang datang dari seluruh negara yang terpaksa membanjiri Dewan Muktamar yang hanya dapat menampung 200 orang peserta. Selain Indonesia dan Malaysia, pada hari yang sama, Muktamar Khilafah turut diadakan oleh Hizbut Tahrir Lebanon dan Hizbut Tahrir Belanda. Sehari sebelumnya, ia diadakan oleh Hizbut Tahrir Palestin (di Tebing Barat) yang dihadiri oleh lebih 10,000 orang. Terdahulu, Hizbut Tahrir Britain telahpun mengadakan Khilafah Conference yang sama pada 4 Ogos 2007 yang menyaksikan kehadiran peserta lebih kurang 3,000 orang dan pada awal tahun ini iaitu pada 28 Januari 2007, Hizbut Tahrir Australia telah berjaya menyelenggarakan Persidangan Khilafah yang julung-julung kali diadakan di Sydney, Australia. InsyaAllah di dalam masa lebih kurang seminggu lagi, Khilafah Conference akan diadakan oleh Hizbut Tahrir di Yemen, Pakistan dan juga Denmark. Semoga Allah bersama dengan mereka yang bersungguh-sungguh dan ikhlas menyampaikan kebenaran.


Di antara mereka yang berucap di International Khilafah Conference 2007 Jakarta ialah Ustaz Muhammad Ismail Yusanto (jurucakap rasmi HTI), Ustaz Hafidz Abdurrahman (Ketua, Dewan Pimpinan Pusat HTI), Dr. Salim Fredericks (HT Denmark) dan Syeikh Usman Ibrahim (HT Sudan). Selain dari anggota Hizbut Tahrir, mereka yang turut berucap adalah Ketua Umum Muhammadiyah, Din Syamsuddin, Ketua Umum Syarikat Islam, Amrullah Ahmad, Ketua Majlis Ulama Islam (MUI) Sumatera Selatan, Tholan Abdul Rauf, dan tokoh Nahdiyin (NU) dari Nusa Tenggara Barat, Tuan Guru Turmudzi Badhuli. Dua orang pembicara lainnya yang sepatutnya berucap iaitu Ustadz Abu Bakar Basyir dan Habieb Rizieq Shihab telah dihalang lebih awal oleh Pihak Berkuasa Indonesia dari menghadiri persidangan tersebut. Selain ulama dari Indonesia, Profesor Hassan Ko Nakata dari Jepun turut menjadi pembicara undangan.


Dr. Imran Waheed dari Hizbut Tahrir Britain, yang sepatutnya menjadi salah seorang pembicara, telah dihalang dari memasuki Indonesia sebaik sahaja memijakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta. Tiada sebarang sebab diberikan samada oleh Pihak Imigresen mahupun kerajaan Indonesia tentang halangan tersebut. Beliau seterusnya diiringi sehingga menaiki semula kapal terbang untuk membawa beliau keluar dari Indonesia.


Turut menerima nasib yang sama adalah Ismail Wah Wah dari Hizbut Tahrir Australia apabila beliau turut dihalang memasuki Indonesia di lapangan terbang yang sama. Lebih mendukacitakan, Syeikh Issam Amirah dari Hizbut Tahrir Palestin dihalang semasa beliau masih di Palestin dan tidak dibenar meninggalkan Palestin, tanpa apa-apa sebab diberikan. Persidangan Antarabangsa Khilafah di Jakarta ini telah mendapat liputan media di seluruh dunia. Di Malaysia, liputan turut dimuatkan oleh pihak TV3 dalam Bulletin Utama pada malam itu juga. Antara agensi berita asing yang membuat liputan segera adalah Reuters, Euronews, Al-Jazeera, BBC World, Independent, Fox News dan banyak lagi.


Para pembaca yang dihormati bolehlah menonton berita-berita yang disiarkan dengan melayari www.khilafah.com atau laman web Hizbut Tahrir Indonesia (atau HT Britain) bagi mendapat gambaran sebenar dan menyeluruh. Beberapa perkembangan juga telah dimuat naik (uploaded) di www.youtube.com. Sesungguhnya International Khilafah Conference 2007 di Jakarta telah berjaya menghimpunkan umat Islam di seluruh Indonesia khasnya dan seluruh dunia amnya di dalam membawa satu mesej dan aspirasi bahawa kaum Muslimin memerlukan Khilafah yang akan menyatukan mereka dan mengembalikan semula kemuliaan dan kegemilangan mereka dan seterusnya mengalahkan musuh-musuh mereka. Gelombang perubahan dan angin rahmat kini bertiup kencang untuk menghilangkan segala rintangan dan debu-debu kotor yang menyelimuti umat Islam. Ketakutan dan kegerunan Barat kepada kemunculan semula Khilafah semakin jelas kelihatan. Suara kebenaran dilaungkan oleh seluruh umat Islam dan bergema dari seluruh pelusuk dunia tanpa mengira sempadan, bangsa, bahasa dan keturunan.


Panji-panji dan bendera Rasulullah berkibar megah tanda bersatunya kaum Muslimin di bawah satu kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Pertolongan Allah terasa semakin dekat dan kemenangan semakin hampir. Inilah janji Allah kepada mereka yang beriman dan beramal soleh bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Allah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Bersempena dengan Khilafah Conference yang diadakan hampir serentak di seluruh dunia, Amir Hizbut Tahrir sedunia (Hizbut Tahrir Pusat), Syeikh Atha’ Abu Rusytah telah membuat satu perutusan yang telah dibacakan di permulaan muktamar-muktamar tersebut (watikah asal adalah di dalam Bahasa Arab) dan kami paparkan di sini perutusan tersebut agar dapat dijadikan peringatan kepada semua kaum Muslimin dan kami memohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati mereka yang masih tertutup, semoga cahaya kebenaran memasuki dan menyinari hati-hati mereka...


KALIMAH IFTITAH


Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin, wassalatu was salamu ‘ala Rasulillah, wa ‘ala alihi wa sahbihi wa min walah...


Saudara-saudaraku yang mulia! Assalamu‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah meletakkan keutamaan kepada bani Adam berbanding penciptaanNya yang lain.


“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah benarkan mereka menggunakan berbagai kenderaan di darat dan di lautan dan Kami telah memberi rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan” [TMQ al-Isra’ (17):70]

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan manusia lebih tinggi kerana akal dan pemikiran mereka, agar manusia dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa hebat yang berlaku di sepanjang zaman, tidak kira samada peristiwa tersebut adalah peristiwa yang baik mahupun yang buruk. Kesemua ini berlaku agar manusia dapat belajar dari perisiwa-peristiwa ini, agar manusia dapat belajar dari yang baik dan membuang yang buruk, tanpa membiarkan sahaja peristiwa-peristiwa tersebut berlalu seolah-olah ia tidak pernah berlaku. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memilih tempat dan masa bagi sesuatu peristiwa untuk berlaku dan Allah juga memilih beberapa peristiwa yang lebih utama untuk diperhatikan pada waktu dan tempat tertentu lebih dari yang lainnya. Sebagai contoh, kezaliman merupakan sesuatu yang haram dan ia merupakan suatu dosa tidak kira di mana juga ia berlaku. Walaubagaimanapun, sekiranya kezaliman berlaku di Baitul Haram, ia merupakan satu keharaman yang besar dan dosanya juga adalah lebih besar.

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia dari jalan Allah dan Masjid al-Haram yang telah Kami jadikan untuk semua manusia, baik yang bermukim di situ mahupun di padang pasir, dan sesiapa yang bermaksud melakukan kejahatan secara zalim di dalamnya, nescaya Kami azab mereka itu dengan azab yang pedih” [TMQ al-Hajj (22):25].


Kezaliman juga adalah haram dan satu perbuatan yang berdosa tidak kira dilakukan pada bila-bila masa sekalipun. Walaubagaimanapun, kezaliman membawa keharaman dan dosa yang lebih besar sekiranya ia dilakukan pada bulan-bulan haram.


“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang empat itu...” [TMQ at-Taubah (9):36].

Apa saja peristiwa yang berlaku, baik atau buruk, di dalam bulan-bulan haram, adalah lebih wajar diperhatikan berbanding peristiwa yang sama berlaku di bulan-bulan lainnya. Hari ini, kita berkumpul di dalam bulan haram, iaitu bulan Rejab dan Allah menjadikan bulan ini bulan yang mulia dan penuh kerahmatan. Kerana itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat juga menjadikan bulan ini bulan yang mulia dan penuh keberkatan. Ingin kami mengambil kesempatan bersama kalian, pada hari yang mulia ini untuk memperingati tiga peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini agar kita sama-sama dapat mengambil iktibar darinya; mengkajinya dan mengambil teladan darinya; semoga kita dapat mengambil yang baik darinya dan menghalang keburukan yang kita perhatikan melalui peristiwa–peristiwa tersebut dari berulang. Ini bermakna bahawa kita harus benar-benar mengambil iktibar darinya, dan berusaha agar tidak mengulangi pembacaan mengenai peristiwa-peristiwa ini, ibarat kata kita membuang masa membaca sebuah kisah, tanpa mengambil sebarang pelajaran darinya.


Peristiwa pertama adalah peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Ia berlaku pada 27hb Rejab berdasarkan riwayat yang paling sahih. Peristiwa ini berlaku selepas Ummul Mukminin, Khadijah RadiAllahu’anha dan bapa saudara Rasulullah, Abu Thalib, meninggal dunia. Sejak pemergian mereka berdua, kaum Quraish memperhebatkan lagi gangguan dan penyiksaan ke atas Rasulullah dan para sahabat. Masyarakat Mekah mula tidak memperdulikan seruan Rasulullah. Namun Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengurniakan kepada baginda kemuliaan melalui peristiwa Isra’ di mana baginda dibawa dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Setelah itu, di dalam peristiwa Mi’raj, Allah telah mengangkat baginda ke langit yang tertinggi. Melalui peristiwa ini Allah telah menunjukkan kepada kekasihNya ini berbagai penciptaanNya yang agung. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini dengan jelas sekali meletakkan Islam dan RasulNya di tempat yang mulia serta memberikan ketenangan kepada baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ia merupakan petanda bahawa kekufuran akan lenyap dan kemenangan adalah semakin hampir. Wahai saudara-saudaraku! Di sini kita perlu berfikir sejenak untuk menghayati kepentingan peristiwa ini. Ramai antara kita yang tidak sedar akan hakikat peri pentingnya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ketika kita membacanya atau mendengar ceramah mengenainya. Apa yang harus kita sedari adalah, bersamaan dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, terdapat satu lagi perkara yang amat penting – iaitu peristiwa thalabun nusrah (mendapatkan sokongan bagi mencapai kemenangan untuk Islam). Allah Yang Maha Pemurah telah memuliakan Rasulullah dengan dua perkara ini (Isra’ Mi’raj dan thalabun nusrah) ketika gangguan dan penyiksaan kaum Quraish ke atas baginda semakin menjadi-jadi. Pemahaman akan hakikat ini memanifestasikan kepada kita hubungan antara peristiwa bai’ah Aqabah serta usaha-usaha ke arah kemenangan yang lainnya dengan peristiwa Isra’ Mi’raj dan thalabun nusrah. Dalam kita belajar, mengambil iktibar dan beramal bersandarkan peristiwa Isra’ Mi’raj ini serta bersyukur kepada Allah akan kebaikan yang diperoleh darinya, kita juga haruslah berusaha siang dan malam untuk melakukan thalabun nusrah dari mereka yang memiliki kekuasaan dengan kebenaran dan keikhlasan. Kita juga yakin bahawa kemenangan dari Allah ini akan tiba melalui mereka yang akan membantu (al-Ansar), sama seperti kaum al-Ansar (Auz dan Khazraj) dahulu yang beriman, ketika mana mereka membantu Rasulullah memperolehi kemenangan bagi Islam. Selepas bantuan (nusrah) ini, dengan izin Allah, Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah (Khilafah atas jalan kenabian) akan kembali dan pada hari tersebut, kaum Muslimin akan bergembira dengan kemenangan agung dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Peristiwa kedua yang perlu kita sama-sama ingati di dalam bulan haram ini adalah peristiwa pembebasan Baitul Maqdis yang berlaku pada 27hb Rejab 583H. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, ramai antara kita yang tidak menyedari tentang thalabun nusrah ; begitulah juga, ramai tidak menyedari akan satu hal penting yang seharusnya kita ambil perhatian ketika kita membaca mengenai pembebasan Baitul Maqdis. Hal yang penting ini adalah bahawa pembebasan ini berlaku pada bulan Rejab 583H, selepas Mesir kembali disatukan ke dalam Daulah Khilafah pada 567H. Mesir pada suatu ketika telah terpisah dari Daulah Khilafah apabila golongan Fathimiyyin memisahkan diri dari Khilafah pada tahun 359H.


Apa yang dapat kita perhatikan adalah bahawa Salahuddin dan Nuruddin sebelumnya tidak dapat membebaskan Palestin sehinggalah mereka dapat menyatukan kembali Mesir ke dalam Daulah. Ketika Al-Nasir menjadi Khalifah Abbasiyyah dan Salahuddin merupakan wali di Mesir dan Sham, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan kemenangan kepada kaum Muslimin melalui pembebasan Masjid Al-Aqsa. Salahuddin telah mengirimkan berita gembira ini kepada Al-Nasir dan mendengarkan berita kemenangan yang agung ini, kaum Muslimin telah bertakbir dan bertahmid, bersyukur kepada Allah atas nikmat ini. Perkara ini, yakni mengenai pembebasan Baitul Maqdis ini, haruslah disedari dengan akal dan intelek yang telah Allah kurniakan kepada kita. Justeru, bagi mereka yang mencintai Al-Aqsa dan ingin melihat pembebasannya, maka seharusnyalah ia memulakan perjuangan dengan ikhlas untuk menegakkan sebuah Negara bagi seluruh kaum Muslimin (iaitu) Khilafah Rashidah ‘ala minhaj nubuwwah.


Negara ini kemudiannya akan menghancurkan Negara Yahudi dari akar umbinya dan mengembalikan Palestin kepada Daulah Islam, tanpa sebarang perundingan atau perdamaian dengan mereka. Sekiranya kaum Muslimin tidak dapat melakukannya hari ini, kita akan terus berada dalam suasana perang dengan entiti Yahudi ini sehinggalah seseorang yang mendapat bantuan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala tiba dan membebaskannya. Sesungguhnya amat agunglah kemenangan ini baginya.


Peristiwa ketiga yang harus kita ingati di bulan haram ini adalah mengenai tragedi kehancuran Khilafah apabila golongan kolonial kuffar, diketuai oleh Britain dengan bantuan para pengkhianat Arab dan Turki, telah berjaya meruntuhkan tahkta kemuliaan Islam dan kaum Muslimin, dengan mendeklarasi keruntuhannya pada 28hb Rejab 1342H bersamaan 3hb Mac 1924M. Selepas peristiwa kehancuran ini, berbagai tragedi telah menimpa kaum Muslimin. Tanah mereka dikecai-kecai dan dibahagi-bahagikan kepada lebih 50 buah negara. Golongan kolonial kuffar meletakkan di setiap Negara tersebut pemerintah yang saling memusuhi antara satu sama lain. Mereka bertelagah atas perkara kebaikan dan sekiranya mereka bersetuju sekalipun, ia kerapkali diselubungi keburukan. Setiap kali mereka bertemu, ia hanya akan membawa kemudharatan kepada umat. Kali terakhir, lihatlah sahaja pertemuan di Riyadh di mana mereka bersepakat untuk menjual Palestin kepada Yahudi.


Mereka ini telah mencapai tahap kehinaan yang amat rendah, sehingga Amerika sendiri memanipulasi kehinaan ini dengan mempergunakan nyawa kaum Muslimin untuk menyelamatkan tenteranya di Iraq, sepertimana yang dilihat di Persidangan Baghdad dan Sharm al-Sheikh. Semakin tenggelamlah mereka, yakni para pemimpin ini di dalam kehinaan – begitu sombong sekali mereka menggunakan kekuasaan mereka! Semua kehinaan ini berlaku kerana mereka telah membelakangi kefardhuan yang telah Allah tetapkan ke atas mereka, yakni mengembalikan Daulah Khilafah; menyebabkan mereka ditimpa keaiban dan kehinaan dari semua pihak. Kita pada hari ini wahai saudara-saudaraku, diwajibkan untuk bekerja ke arah menegakkan semula kefardhuan ini dan kita yakin bahawa ia pasti akan berlaku, bertepatan dengan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bermaksud, “...kemudian akan kembali khilafah ‘ala minhaj nubuwwah” [HR Ahmad].


Pada ketika itu, kita akan dimuliakan seperti mana mereka yang terdahulu dari kita telah dimuliakan dengan iman dan kita akan mencapai kemenangan yang agung seperti mana mereka yang terdahulu dari kita mencapainya. Dan yang lebih utama, kita akan bertemu dengan Allah pada hari Kiamat dalam keadaan Allah redha kepada kita. Kita sebagai kaum Muslimin seharusnya bertemu dengan Allah dalam keadaan kita meletakkan bai’ah kepada seorang Khalifah yang memerintah dengan Islam, sehingga kebaikan bai’ah yang ada pada pundak kita ini akan menjadi saksi bagi kita ketika bertemu denganNya. Janganlah kita menemui Allah dalam keadaan mati jahiliyyah sekiranya kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kepada Allah dan RasulNya untuk mengembalikan kefardhuan ini.

Wahai saudaraku! Cukuplah kita meneliti tiga peristiwa tersebut di bulan haram, bulan Rajab yang mulia ini, yakni:-


(1) Isra’ dan Mi’raj dan hubungannya dengan peristiwa thalabun nusrah yang akhirnya membawa kemenangan kepada kaum Muslimin;

(2) Pembebasan Baitul Maqdis setelah penyatuan Mesir ke dalam Daulah Khilafah; dan

(3) Tragedi penghancuran Khilafah, di mana kita wajib bekerja untuk mengembalikannya semula dengan penuh keikhlasan.


Dengan menyingkapkan peristiwa-peristiwa tersebut yang penuh dengan pengajaran, ingin saya akhiri Kalimah Iftitah (kata-kata pembukaan) ini dengan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar menjadikan mujtama’ (perhimpunan) ini penuh dengan kebaikan, dengan pandangan-pandangan yang bijaksana, amal yang benar, ilmu yang memberikan kesan dan dengannya Allah memberikan kebaikan, keberkatan dan kemenangan yang agung. Insya Allah.
Wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR