MANSUH COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW
MANSUH COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW
Ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Petaling Jaya pada 21 Ogos lepas, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu. Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.
Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa. “Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita. Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?” , soalnya. Katanya lagi, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956. Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England [UM 22/08/07].
Sebagai seorang yang telah lama bergelumang dengan undang-undang sekular, pandangan Ketua Hakim Negara di atas mesti diberi perhatian serius dan tidak patut dibiarkan begitu sahaja. Sedikit sebanyak ia mencerminkan perubahan paradigma yang ketara dalam pemikiran seorang profesional dan intelektual, walaupun dalam koridor yang masih sempit. Setidak-tidaknya pandangan tersebut jauh lebih baik dari pandangan golongan ulama dan profesional yang menyeru agar dikekalkan undang-undang British (common law) yang dah lapuk ini. Kita sedia maklum bahawa pandangan sebegini bukanlah suatu yang baru, cuma yang baru di sini ialah ‘orang’ yang bercakap.
Walaupun selama ini terdapat begitu banyak suara yang menyeru agar diganti hukum British yang kufur ini kepada hukum Allah, namun, seruan tersebut tidak pernah tersiar di muka hadapan, mahupun muka tengah suratkhabar. Kita berdoa agar seruan (baca: usaha) yang lebih baik dari ini, nanti dilakukan pula oleh golongan yang memegang pemerintahan dan kekuasaan, kerana di tangan merekalah terletaknya kuasa untuk menerapkan undang-undang. Insya Allah perubahan akan lebih cepat berlaku jika yang berusaha adalah mereka yang berkuasa itu sendiri. Jika mereka mengabaikan kewajiban ini (mengubah hukum manusia kepada hukum Allah), mereka perlu ingat bahawa Allah Maha Berkuasa untuk mencabut kekuasaan mereka dalam sekelip mata dan menyerahkannya kepada siapa jua yang Dia kehendaki!
SEJARAH PENERAPAN UNDANG-UNDANG BRITISH
Sebelum Tanah Melayu jatuh ke tangan British, kita sedia maklum bahawa Tanah Melayu telah dijajah lebih awal oleh Portugis (1511–1641) dan Belanda (1641–1795). Tanah Melayu juga pernah berada di bawah pemerintahan Jepun untuk sementara waktu. Bagaimanapun, kesemua penjajah ini tidak menerapkan undang-undang mereka secara nyata di Tanah Melayu sehinggalah kedatangan British pada tahun 1796. Sebelum penjajahan British, penduduk Tanah Melayu masih berpegang kepada pemerintahan Islam, walaupun tidak secara keseluruhan. Ternyata, semenjak penjajahan Britishlah Tanah Melayu mula menerapkan undang-undang kufur penjajah. Perundangan kufur Brtitish bermula dengan pengenalan ‘the Royal Charter of Justice’ pada tahun 1807.
Charter (Piagam) ini melakar sejarah penting di dalam sistem perundangan Malaysia kerana ia menandakan bermulanya undang-undang berkanun Inggeris di negara ini dan dari sinilah ditubuhkan ‘the Court of Judicature of the Prince of Wales' Island’' (nama lama Pulau Pinang). Kemudian, setelah Singapura dan Melaka jatuh ke tangan British, maka dibentuklah Negeri-negeri Selat (the Straits Settlement) pada tahun 1826, lalu diperkenalkan pula the Charter of Justice yang baru dan diwujudkan sebuah mahkamah baru yang dinamakan ‘the Court of Judicature of Prince of Wales’ Island, Singapore and Malacca'. Dengan ini, penerapan undang-undang kufur British menjadi semakin luas dan rasmi. Walaupun Charter baru telah dilaksanakan, namun pentadbiran undang-undang British masih amat tidak memuaskan. Maka, pada tahun 1855 the Charter of Justice yang ketiga pula diperkenalkan yang membolehkan penstrukturan semula sistem mahkamah.
Pada tahun 1867, mahkamah disusun sekali lagi apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari India ke tanah jajahan. Mahkamah baru yang diberi nama ‘the Supreme Court of the Straits Settlements’ ditubuhkan pada tahun 1873 dengan empat orang hakim, kemudian diikuti dengan penubuhan Court of Appeal. Sejak itu, sistem perundangan semakin berubah ke arah bentuk yang lebih moden. Undang-undang Perdagangan British (English commercial law) diperkenalkan secara rasminya melalui Seksyen 6 Civil Law Ordinance 1878 dan masih terpakai hingga sekarang di Pulau Pinang dan Melaka, sebagaimana termaktub di dalam pindaan Civil Law Act, 1956 (Revised 1972).
Pada tahun 1937, British mengukuhkan cengkaman undang-undang mereka di Tanah Melayu dengan menggubal Civil Law Enactment 1937 yang berkuatkuasa ke atas Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan). Setelah Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) bergabung membentuk Federation of Malaya pada tahun 1948, British terus membuat pindaan, menjadi Civil Law (Extension) Ordinance, 1951, bagi memastikan undang-undang sivil mereka ini diterapkan di kesemua negeri yang telah bergabung tadi. Ia kemudian diganti dengan Civil Law Ordinance, 1956 dan apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 (setelah penggabungan Sabah dan Sarawak), Ordinan tersebut ditukar sekali lagi menjadi Civil Law Act, 1956 (revised 1972) berkuatkuasa pada 1 April, 1972 hinggalah sekarang.
Adapun common law, secara mudah untuk difahami, ia bermaksud undang-undang yang berasal dari keputusan-keputusan hakim di mahkamah. Dengan kata lain common law adalah undang-undang yang dibuat oleh hakim di dalam kes-kes tertentu yang menjadi ‘precedent’ (duluan) yang mengikat untuk kes-kes selepasnya (prinsip ini juga dikenali sebagai ‘stare decisis’). Common law adalah sebahagian dari undang-undang, walaupun ia bukannya undang-undang berkanun atau bertulis yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Yang jelas dan pasti, common law ini berasal dari praktis mahkamah di England berdasarkan amalan dan adat kebiasaan mereka. Ringkasnya, common law merupakan sebahagian dari undang-undang Malaysia (walaupun kes-kes yang dirujuk adalah dari England) dan ia menjadi undang-undang kerana dibenarkan oleh Civil Law Act, 1956 (revised 1972).
Wahai kaum Muslimin!
Demikianlah sepintas lalu sejarah bagaimana undang-undang kufur British boleh masuk ke bumi Malaysia dan kekal hingga sekarang. Britain sebagai sebuah negara yang berideologi Kapitalis menjajah bukan sahaja Tanah Melayu, tetapi banyak lagi negeri-negeri umat Islam lainnya. Mereka masuk ke tanah umat Islam dan menancapkan sistem kufur mereka ke atas kita. Pada masa yang sama, British juga memasuki Palestin, India, Pakistan serta Bangladesh dan menerapkan undang-undang sekular mereka. Mereka membunuh umat Islam dan mengaut kekayaan di setiap bumi yang mereka jajah.
Setelah puas berseronok dan setelah yakin bahawa umat Islam akan tetap mewarisi sistem mereka, mereka lalu menghadiahkan kemerdekaan kepada negara yang berkenaan dengan terlebih dahulu memastikan yang pemimpin (umat Islam) yang mengganti mereka adalah agen mereka atau orang yang sepemikiran dengan mereka. Justeru, kita menyaksikan kini bahawa walaupun penjajahan fizikal telah lama berakhir, pemerintahan yang ada tetap mengekalkan sistem dan undang-undang penjajah. Pemikiran Islam ditanam dan ditimbus sedalam-dalamnya oleh sang kafir penjajah dan terus terkubur hingga kini dari benak pemimpin kaum Muslimin, seolah-olah pemerintahan Islam tidak pernah wujud. Inilah hakikat yang telah dan sedang terjadi. Hanya orang yang bodoh sombong sahaja yang akan menafikan hakikat dan kebenaran ini.
MENCAMPURADUKKAN HAK DAN BATIL?
Di dalam cadangannya untuk memansuhkan common law, Ketua Hakim Negara seterusnya menyatakan, sebagai ganti, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia. Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa. Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat [UM 22/08/07].
Akibat nila setitik rosaklah susu sebelanga. Begitulah keadaannya apabila yang jernih dicampurkan dengan yang keruh dan yang baik dicampurkan dengan yang buruk. Tepatnya, rosaklah kebenaran apabila yang hak dicampur dengan yang batil. Dalam pada kita ingin mengganti common law yang jelas-jelas merupakan undang-undang kufur yang diambil dari England ini, penyelesaiannya di sini bukanlah untuk kita menggantikannya dengan undang-undang tempatan. Jika kita ingin membuang Carslberg, penyelesaiannya bukanlah dengan mengambil Guiness Stout, tetapi ia wajib diganti dengan air bersih yang halal, yang suci lagi menyucikan. Undang-undang yang dibuat oleh British adalah haram bagi kita kerana ia merupakan undang-undang kufur ciptaan manusia. Begitulah juga haramnya bagi kita untuk mengambil undang-undang Malaysia, Mesir, Jordan, Arab Saudi dan sebagainya selama mana ia adalah undang-undang ciptaan manusia.
Tidak ada bezanya proses pembuatan undang-undang oleh kerajaan British dengan kerajaan Malaysia, kedua-duanya adalah undang-undang buatan manusia yang digubal atau dibuat dan seterusnya diluluskan dengan mendapat undi majoriti. Begitulah juga kedudukan common law atau undang-undang kes (stare decisis) yang terang-terang terhasil dari produk akal-akal manusia tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah sedikitpun. Ya benar, undang-undang Islam perlu dimartabatkan bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Hakim Negara.
Bahkan ia bukan sekadar perlu, malah wajib! Dan ia wajib diterapkan secara kaffah (sempurna dan menyeluruh) tanpa ada campur aduk dengan undang-undang sivil buatan manusia sedikitpun. Manusia pada hakikatnya langsung tidak ada hak untuk membuat undang-undang. Allah telah menyempurnakan agama ini yang sekaligus bermaksud bahawa Allah telah menyempurnakan segala undang-undangnya. Maha Suci Allah! Allah tidak perlu bersyarikat (bersekutu) dengan manusia untuk membuat undang-undang dan Allah Azza wa Jalla tidak perlu campurtangan dari manusia untuk membuat undang-undang. Undang-undang ciptaan Allah adalah satu-satunya yang hak (benar) dan segala undang-undang ciptaan manusia adalah batil adanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“...menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah...” [TMQ al-An’am (6):53].
Justeru, di dalam Islam tidak ada konsep ‘mengharmonikan’ undang-undang sivil dan syariah. Hak untuk membuat undang-undang hanyalah di tangan Allah sahaja. Jika kita benar-benar ingin kembali kepada Allah, maka undang-undang Allahlah satu-satunya yang wajib kita ambil dengan meninggalkan segala undang-undang batil ciptaan manusia. Yang hak dan yang batil sekali-kali tidak boleh dimadukan. Apakah seseorang dibolehkan meminum arak, berjudi atau menyembelih babi jika dia membaca ‘Bismillah’ sebelumnya? Apakah seseorang dikatakan mengikut hak apabila selalu menepati waktu di dalam membayar riba? Apakah membahagi harta curi secara adil (sama banyak) kepada 2 orang pencuri dikatakan hak? Apakah sesuatu itu dikatakan hak (kebenaran) apabila membelakangkan ketetapan dari Allah dan RasulNya? Apakah menghukum penzina dengan sebatan 6 kali, denda RM5,000 atau penjara 3 tahun dikatakan hak (benar)? Apakah menghukum 7 tahun penjara bagi sipencuri dikatakan hak (benar)? Apakah mendenda RM2,000 kepada simurtad dikatakan hak? Apakah mencampuraduk atau mengharmonikan undang-undang sivil dan undang-undang syariah di dalam negara bertepatan dengan hak? Apakah bertepatan dengan hak bila dicampur susu dengan arak, kemudian diminum? Apakah ini yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya? Sedarlah wahai kaum Muslimin, yang hak dan yang batil itu tidak akan bersatu selama-lamanya! Firman Allah,
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):42].
Kecelaruan dan ketidakjelasan dalam berfikir dan menyelesaikan masalah menyebabkan umat Islam tersadung di tengah jalan. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telahpun menurunkan al-Furqan (Pembeza) kepada manusia dan Dia telah menunjuki manusia dua jalan, iaitu jalan baik dan jalan buruk [TMQ al-Balad (90):10] dan tidak ada jalan tengah di antara keduanya. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memisahkan di antara jalan fajir dan jalan takwa dan mengilhamkannya kepada manusia [TMQ as-Syams (91):8] dan Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah memperjelaskan jalan petunjuk dari jalan yang sesat [TMQ al-Baqarah (2):256].
Oleh yang demikian, satu-satunya jalan petunjuk hanyalah dengan kembali berhukum dengan hukum Allah, bukannya kekal berhukum dengan undang-undang buatan manusia, samada dibuat oleh manusia kafir atau Muslim. Amat aneh apabila seseorang itu ingin menghapuskan undang-undang dan pemikiran penjajah, tetapi dalam masa yang sama menyeru kepada penyelesaian yang diberikan oleh penjajah juga. Hasratnya ingin menghapuskan common law, namun dikekalkan pula undang-undang sivil untuk diharmonikan dengan undang-undang syariah!
HAPUS COMMON LAW GANTI ISLAMIC LAW
Wahai kaum Muslimin! Sekiranya kita diajukan persoalan, ‘undang-undang manakah yang lebih baik ataupun terbaik untuk manusia, adakah undang-undang dari Allah Subhanahu wa Ta’ala atau undang-undang ciptaan manusia'? Sudah tentulah kita akan menjawab undang-undang Allah. Demi Allah! Walaupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk membuat undang-undang atau merubah apa yang Allah telah tetapkan, nescaya undang-undang Allah dan apa sahaja yang Allah telah tetapkan untuk manusia, itu adalah yang terbaik bagi manusia untuk selama-lamanya. Oleh itu, jika kita ingin mengganti undang-undang ciptaan manusia yang melingkari hidup kita sekarang, apakah kita akan beralih kepada undang-undang ciptaan manusia juga? Sudah tentu tidak! Oleh itu, satu-satunya jalan keluar dari segala fitnah dan kegelapan ini adalah dengan kembali kepada Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukannya kembali kepada kitab undang-undang dan sistem ciptaan manusia. Inilah perintah dari Tuhan sekelian alam ke atas manusia, firmanNya,
“...kemudian jika kamu berbantah-bantah tentang sesuatu, kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian...” [TMQ an-Nisa’(4):59].
Wahai kaum Muslimin!
Kami ingin bertanya, mahukah kalian jika kehidupan kalian ditentukan sepenuhnya oleh jiran kalian? Sukakah kalian jika yang menetapkan apa yang kalian boleh dan tidak boleh lakukan adalah jiran kalian? Mahukah kalian jika jiran kalian adalah orang yang menentukan halal dan haram untuk kalian? Sudah tentu pelik dan tak masuk akal bunyinya! Tetapi tahukah kalian bahawa inilah yang kalian sedang hadapi sekarang. Kehidupan kalian sebenarnya ditentukan oleh orang-orang yang berdekatan dengan kalian. Mereka adalah orang yang membuat undang-undang untuk mengatur hidup kalian, menetapkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kalian lakukan dan mereka menetapkan hukuman bagi orang-orang yang bersalah di kalangan kalian.
Mereka adalah orang yang terpilih untuk membuat undang-undang, lalu mereka ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk ‘menentukan’ perjalanan hidup kalian, melalui proses pengundian demi pengundian. Maha Suci Allah! Apakah ini yang kalian inginkan? Bukankah hidup kalian sepatutnya ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala? Bukankah Allah yang sepatutnya mengatur hidup kalian, dengan hukum dan undang-undang yang datang dariNya? Bukankah Allah yang sepatutnya menentukan halal dan haram, yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan, yang menetapkan hukuman bagi pesalah dan yang wajib ditaati? Jadi siapakah yang kalian pilih untuk menentukan hidup kalian, manusia selain kalian atau Allah Subhanahu wa Ta’ala, Pencipta kalian? Allah bertanya,
“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].
Wahai kaum Muslimin!
Satu-satunya jalan untuk menggantikan segala kebatilan hukum ciptaan manusia adalah dengan kembali mengamalkan hukum ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita tidak mahu berhukum dengan common law dan kita juga tidak mahu berhukum dengan mana-mana man-made law, tetapi kita mahu berhukum dengan hukum Allah. Man-made law adalah produk kufur yang lahir dari sistem sekular dan tidak layak untuk umat Islam. Umat Islam adalah umat yang mulia dan terbaik dan status ini hanya dapat dicapai apabila umat Islam itu berhukum dengan hukum Allah. Jika tidak, kehinaanlah yang akan meliputi. Lebih dari itu, Allah mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan tetapi tidak menerapkan hukum Allah, “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].
KHATIMAH
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya suara untuk kembali kepada Islam semakin hari semakin kuat kedengaran dan benteng kekufuran semakin hari semakin meretak. Walaupun ada yang menyeru di jalan yang keliru, namun suara mereka tetap mewujudkan satu gelombang perubahan. Insya Allah, semoga gelombang ini akan mengikuti, berpadu dan menyatu dengan gelombang kebenaran dan akan menghasilkan ombak yang cukup besar untuk menerjah dan seterusnya meruntuhkan segala benteng kekufuran. Sesungguhnya benteng kekufuran itu amat lemah, ia nampak berdiri kukuh kerana selama ini tidak ada ombak yang mendatang. Justeru, ayuhlah wahai saudaraku, kita sama-sama bergabung membentuk satu gelombang kebangkitan yang besar, yang satu sama lain akan saling memperkuatkan. Bergerak dan teruslah bergerak dengan mengumandangkan suara kebenaran, Insya Allah ia akan menenggelam dan melenyapkan semua suara yang batil. Inilah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan katakanlah: ‘Yang benar telah datang dan yang batil pasti lenyap’. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap” [TMQ al-Isra’ (17):81].
0 comments:
Post a Comment