ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS

ASSABIYYAH & WATHANIYYAH –

ASSABIYYAH & WATHANIYYAH –
PENCETUS MALAPETAKA DAN PERPECAHAN



Di dalam suasana rakyat Malaysia berpesta meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan sebuah negara-bangsa yang diberi oleh penjajah, satu peristiwa tragis yang juga terkait dengan negara-bangsa telah ‘meletus’ pada masa yang sama. Insiden seorang pengadil karate dari Indonesia yang dipukul empat orang anggota polis Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan pada 24 Ogos lepas telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di Indonesia dari peringkat rakyat, pertubuhan-pertubuhan hinggalah ke peringkat ahli politik. Pengadil tersebut, Donald Kolopita pecah gegendang sebelah telinga dan lebam di beberapa bahagian badan termasuk kemaluan sehingga terpaksa dimasukkan ke wad. Tunjuk perasaan anti Malaysia diadakan tiga hari berturut-turut di hadapan Kedutaan Malaysia, di Jakarta dan pejabat konsul Malaysia di Medan dan Kalimantan. Perkarangan Kedutaan Malaysia dilontar dengan kayu, batu dan telur. Jalur Gemilang juga dibakar oleh para penunjuk perasaan yang sedang marah [Mingguan Malaysia 02/09/07].


Selain itu, berbagai-bagai kecaman dan sindiran dibuat oleh pelbagai pihak di Jakarta daripada artis hinggalah pemimpin politik, terhadap pemerintah dan rakyat Malaysia berhubung penganiayaan terhadap tenaga kerja dan kes pencederaan pengadil karate tersebut. Media massa di Indonesia terus menerus membakar semangat rakyat, seolah-olah tidak ada langsung yang baik tentang negara yang menjadi tempat naungan lebih 1.5 juta pedududuk Indonesia untuk mencari rezeki. Rakyat Malaysia juga dituduh angkuh dan dianggap sebagai bangsa yang biadap. Ada yang mengancam untuk bertindak balas termasuk mengusir rakyat Malaysia yang berada di sana. Walaupun pernyataan maaf telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri bagi menjaga kehamornian yang terjalin antara dua negara, masih ada nada-nada sindiran secara tidak langsung oleh penyampai stesen televisyen. Mereka tidak dapat menerima penjelasan itu sekalipun telah ditegaskan bahawa insiden seperti penderaan dan penganiayaan itu telah diberikan perhatian serius dan perbuatan itu bukan budaya rakyat Malaysia. Beberapa pihak juga telah mendesak pemimpinnya agar tidak menghadiri perayaan ulang tahun kemerdekaan dan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur dan di Jakarta [Mingguan Malaysia 02/09/07].


Demikianlah seriusnya suasana ini. Perasaan marah yang membuak-buak yang ditunjukkan oleh mereka yang tidak puas hati adalah tidak lain kerana insiden ini melibatkan dua negara-bangsa yang berbeza. Dengan kata lain, hal ini sebenarnya muncul dari perasaan dan pemikiran bahawa ‘aku warganegara Indonesia dan engkau warganegara Malaysia’. Inilah perasaan assabiyyah (kebangsaan/nasionalisme) yang muncul kerana perbezaan bangsa, ditambah pula dengan rasa sayangkan tanahair/negara (wathaniyyah/patriotisme). Ketegangan dan kekecohan yang berlaku di atas adalah manifestasi dari nasionalisme dan patriotisme, yang jelas-jelas merupakan pemikiran kufur yang dijadikan ikatan oleh sebahagian kaum Muslimin, tanpa memperdulikan persamaan akidah yang mereka miliki. Analoginya cukup mudah; jika yang dipukul itu adalah pengadil karate dari Malaysia sendiri (katakan beragama Islam), maka sudah barang pasti rakyat Indonesia tidak akan terasa apa-apa. Tidak akan ada demonstrasi, tidak akan ada perasaan sakit hati, marah, dendam dan sebagainya dan yang pasti berita ini tidak akan dipandang sedikitpun, apatah lagi untuk dijadikan satu isu. Begitu juga jika yang dipukul itu adalah rakyat Mesir atau Turki (walau beragama Islam sekalipun), tentunya rakyat Indonesia akan diam membisu. Sebaliknya, rakyat Mesir atau Turki pula yang akan melenting. Inilah hakikat assabiyyah dan wathaniyyah.


ASSABIYYAH – AGENDA KUFFAR MENGHANCURKAN ISLAM

Assabiyyah merupakan ikatan yang mengikat bangsa Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Mereka sering bergaduh serta berperang antara satu sama lain semata-mata kerana ingin mempertahan puak masing-masing. Setelah Rasulullah diutus, baginda terus menghapuskan ikatan ini dan menyatukan manusia di bawah satu ikatan baru yang bukan sahaja dapat mengikat bangsa Arab, malah seluruh umat manusia. Siapa sahaja yang menyahut seruan Rasulullah, maka terburailah semua ikatan bangsa atau keturunan, walau antara bapa dengan anak sekalipun dan mereka hanya bersatu di bawah ikatan yang baru ini, yakni ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.


Ikatan akidah ini terus menjadi asas kepada hubungan antara Muslim selama beribu tahun, dari zaman Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah. Islam telah menyatukan bangsa Arab, Barbar, Rom, Parsi, India dan lain-lain dan menjadikan mereka ummatan wahidah (umat yang satu). Islam juga telah mempersatukan manusia tanpa mengira warna kulit, keturunan, bahasa mahupun status sosial. Semuanya disatukan berdasarkan kalimah yang sama dan digabungkan di bawah negara yang sama (Daulah Khilafah). Tidak diragukan lagi, kalimah tauhid inilah yang telah meruntuhkan semua sifat dan sempadan assabiyyah serta wathaniyyah yang telah membelenggu manusia selama ini. Dan ikatan suci tanpa sempadan inilah yang pihak kuffar Barat berusaha siang dan malam untuk menghapuskannya.


Dengan membelek lipatan sejarah, kita akan dapati bahawa pihak kuffar telah berusaha berabad-abad lamanya untuk menghancurkan Daulah Islam yang telah dibina dan berdiri kukuh di atas asas akidah yang telah dibawa oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Peperangan demi peperangan tak kunjung padam, bermula dari Perang Badar, Uhud, Ahzab, Mu’tah, Tabuk, Yarmuk, Qadisiyah, dan yang paling panjang, Perang Salib. Namun, semua usaha golongan kuffar untuk memadamkan cahaya Allah ini tidak mendatangkan hasil. Kekuatan Daulah Islam yang tiada taranya membuatkan musuh-musuh Islam akur bahawa Daulah Islam adalah satu kuasa yang tidak akan dapat dikalahkan. Hal ini berlaku tidak lain kerana kaum Muslimin memerangi kuffar semata-mata atas satu dasar yakni Islam. Kaum Muslimin dulunya adalah orang-orang yang hidup hanya untuk Islam dan sanggup menyerahkan jiwa dan raga demi Islam, bukannya demi assabiyyah atau wathaniyyah. Bak ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.” Para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah dan bukannya berperang atas dasar bangsa atau tanahair.


Setelah gagal mengalahkan Daulah Islam, sebaliknya tersungkur di dalam banyak peperangan, golongan kuffar mula mencari cara lain untuk menghancurkan Islam. Akhirnya mereka menemukan jalan bahawa satu-satunya cara untuk mengalahkan kaum Muslimin adalah dengan memisahkan mereka dari ajaran Islam yang selama ini telah sebati dengan kaum Muslimin. Mereka yakin bahawa hal ini akan dengan sendirinya meruntuhkan Daulah Islam dari dalam. Dalam satu sidang House of Commons, Perdana Menteri Britain berketurunan Yahudi, Benjamin Disraeli pernah mengatakan, “Kaum Muslimin tak akan dapat dikalahkan sampai bila-bila sehingga ini dicabut dari mereka”, sambil jarinya menunjuk kepada Al-Quran. Inilah hasrat dan cita-cita mereka dan mereka benar-benar melaksanakannya. Agenda untuk memasukkan racun assabiyyah ke tubuh kaum Muslimin telah diberi perhatian serius oleh mereka. Mereka mula mengirim para muballigh (missionaries) ke dalam Daulah Islam kononnya untuk ‘ilmu dan kemanusiaan’ walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menanam benih perpecahan di tengah-tengah jantung Daulah. Malangnya Daulah tidak dapat menghidu perkara ini, lalu membenarkan kemasukan missionaries ini. Walaupun mengalami kesukaran di peringkat awal, namun akhirnya, benih yang ditanam mula mengakar umbi dan hidup di dalam tubuh Daulah dan terus tumbuh sebagai parasit yang menjahanamkan perumahnya sedikit demi sedikit.


Melalui gerakan missionaries inilah, golongan kuffar berjaya di dalam makar mereka untuk memecahbelahkan umat Islam dan Daulah Islam dengan api assabiyyah dan wathaniyyah yang mereka hembuskan. Kaum Muslimin benar-benar terasuk dengan pemikiran kufur, mengalami perpecahan dan terlibat dengan perbalahan serta pergaduhan sesama sendiri yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Mereka mula membenci sesama sendiri dan tidak dapat menerima pemerintah yang bukan dari bangsa mereka. Mereka merasa seolah-olah ditindas dan dizalimi oleh pemerintah berbangsa asing, walhal kesemuanya adalah Muslim. Mereka mula menyanjung dan memuja pemikiran-pemikiran dari Barat yang kononnya membawa kebebasan dan kemajuan. Dengan racun nasionalisme dan patriotisme yang sudah menular di badan, maka muncullah perjuangan untuk memerdekakan diri sebagai satu bangsa bagi menubuhkan negara sendiri yakni negara yang berdiri atas asas bangsa. Dari sini muncullah pejuang-pejuang kebangsaan (yang sebenarnya adalah agen British) seperti Mustafa Kamal, Syarif Hussein beserta kedua anaknya Faizal dan Abdullah yang hakikatnya ditaja dan dibiayai oleh British untuk menjatuhkan Daulah Khilafah. Akhirnya, melalui perjuangan assabiyyah dan wathaniyyah yang dilancar tanpa henti, tumbanglah sebuah Daulah Islam yang selama ini menyatukan kaum Muslimin atas dasar ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ dan bermulalah pemerintahan negara-bangsa yang terpecah-belah dan terdiri dari pemimpin yang kebanyakannya adalah agen Barat.


Wahai kaum Muslimin! Baik dari segi sejarah mahupun apa yang sedang kita saksikan sekarang, ikatan assabiyyah dan wathaniyyah ini telah terlalu banyak membawa malapetaka dan perpecahan kepada umat Islam. Perasaan-perasaan kufur ini boleh disifatkan sebagai sebuah time-bomb (bom jangka) yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja apabila ianya diusik. Selagi ikatan kufur ini tidak dihapuskan ke akar umbinya, selagi itulah lingkaran kekufuran akan terus menguasai dunia Islam.


KEHARAMAN NASIONALISME & PATRIOTISME


Nasionalisme adalah satu konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengikat dan menyatukan manusia atas dasar bangsa atau keturunan, walhal satu-satunya cara yang benar untuk mengikat dan menyatukan umat Islam adalah berdasarkan ikatan akidah. Bersatu atas dasar jalur keturunan atau bangsa jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.


Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap assabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah. Nabi dengan tegas lalu bersabda, “Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.” Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103. [Sirah Ibn Hisyam].


At-Thabrani dan al-Hakim melaporkan bahawa pada suatu hari beberapa orang sedang berbual tentang Salman al-Farisi dengan merendah-rendahkan bangsa Parsi berbanding bangsa Arab. Apabila mendengar hal ini, Rasulullah tersu bersabda, “Salman adalah dari ahli al-bait (keluarga Rasulullah).” Kata-kata Nabi ini sebenarnya memutuskan segala bentuk ikatan berdasarkan keturunan atau bangsa. Dikisahkan juga oleh Ibn Al-Mubarak di dalam dua kitabnya, Al-Birr dan As-Salah bahawa terjadi perselisihan antara Abu Zar dan Bilal, lalu Abu Dzar berkata kepada Bilal, “Engkau anak orang hitam.” Rasulullah amat marah mendengar kata-kata Abu Zar ini lalu bersabda, “Engkau sudah melampau wahai Abu Dzar. Orang yang mempunyai ibu yang putih langsung tidak ada kelebihan di atas orang yang mempunyai ibu yang hitam.” Kata-kata Rasulullah ini memberi kesan yang mendalam ke atas Abu Dzar sehingga beliau meletakkan kepalanya ke tanah dan bersumpah tidak akan mengangkat kepalanya selagi Bilal tidak memijak kepalanya.


Peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan kepada kita bahawa ikatan assabiyyah dan wathaniyyah langsung tidak ada tempat di dalam Islam. Kaum Muslimin diperintahkan agar bersatu atas dasar persamaan akidah dan tidak membezakan antara satu sama lain hanya disebabkan oleh perbezaan bangsa atau asal keturunan. Rasulullah mengingatkan kita bahawa kaum Muslimin adalah umpama tubuh yang satu, jika salah satu bahagian sakit maka keseluruhan tubuh akan terasa sakit. Ini bermakna setiap Muslim tidak kira Arab, Melayu, Cina, Turki, Kurdi, Pakistan dan sebagainya adalah ummatan wahidah dan kita tidak boleh dibezakan antara satu sama lain berdasarkan bangsa mahupun tanahair.


Sesetengah orang mendakwa bahawa Rasulullah membenarkan assabiyyah berdasarkan peristiwa hijrah di saat Rasulullah bersabda tentang Mekah dengan air mata membasahi pipinya, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi.” Sebenarnya kata-kata Nabi ini langsung tidak ada kena-mengena dengan assabiyyah (nasionalisme) mahupun wathaniyyah (patriotisme). Kesalahfahaman ini timbul kerana hadis ini selalunya tidak dibaca atau dipetik secara sepenuhnya, yang berbunyi, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi kerana engkau adalah bumi yang paling Allah sayangi”. Oleh itu, kecintaan Rasulullah kepada Mekah adalah kerana kedudukannya yang suci yang Allah berikan dan bukannya kerana Rasulullah dilahirkan di sana. Setiap Muslim justeru mesti cinta dan sayangkan Mekah kerana bumi ini adalah bumi yang paling Allah sayangi dan hal ini langsung tidak ada hubung-kaitnya dengan nasionalisme atau patriotisme!


PERUBAHAN POLITIK DAN KEPIMPINAN


Walaupun nasionalisme di kalangan kaum Muslimin kini semakin terhakis, namun masih terdapat beberapa halangan untuk menghapuskan penyakit ini secara total dari dunia Islam. Halangan ini mesti dikaji dan difahami betul-betul oleh umat Islam agar usaha untuk menghapuskannya berjalan sesuai dengan tuntutan syara’. Halangan utama yang wujud adalah kerana umat Islam itu sendiri (khususnya pemerintah) yang tidak berhukum dengan hukum Islam. Ini adalah manifestasi dari sistem politik kufur yang diamalkan dan sistem pendidikan yang masih bertunjangkan kurikulum penjajah. Ini ditambah dengan kedudukan pemimpin-pemimpin dunia Islam yang rata-ratanya adalah agen Barat atau pun tunduk patuh pada kuffar Barat.


Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa sistem pendidikan yang diamalkan di negeri-negeri umat Islam sekarang adalah hasil tinggalan penjajah yang telah direka sedemikian rupa oleh golongan kufur ini agar memisahkan hukum-hukum Islam dari kehidupan. Islam hanya diajar sekadar sebuah ‘agama’ sebagaimana ‘agama’ yang difahami oleh Barat, yang langsung tidak berfungsi di dalam kehidupan kecuali di dalam bidang ritual sahaja. ‘Islam’ hanya menjadi salah satu dari subjek yang langsung tidak ada kaitan dengan penyelesaian masalah manusia (mu’alajah li masyaakil insan), apatah lagi jika hendak dikaitkan Islam dengan sistem pemerintahan, politik, mua’malat, uqubat, jihad, ghanimah, jizyah, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Sistem pendidikan yang ada bukan sekadar mengembangkan lagi sekularisme sebagaimana yang Barat mahukan, malah direka dengan sebaik mungkin untuk memastikan anak-anak kaum Muslimin disemai dengan benih cintakan bangsa dan tanahair dan mesti sanggup mati demi mempertahankannya.


Namun demikian, sistem pendidikan bukanlah halangan terbesar di dalam menghapuskan assabiyyah dan wathaniyyah kerana sistem pendidikan hanyalah ‘produk’ dari sistem politik dan pemerintahan. Dengan kata lain, sekiranya sistem politik berjaya diubah, maka insya Allah sistem pendidikan juga akan turut berubah. Malangnya, sistem politik yang berjalan sejak runtuhnya Daulah Khilafah adalah tidak lebih dari apa yang telah dicorakkan oleh penjajah. Melihat kepada situasi politik pada hari ini, secara de factonya ia akan meletakkan umat Islam selamanya terpisah (melalui negara-bangsa) atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah. Secara sedar atau tidak, pemimpin kaum Muslimin yang ada pada hari ini adalah ‘mekanisme’ utama Barat untuk memastikan kaum Muslimin tidak akan bergabung semula dari segi politik. Sesungguhnya ramai dari pemimpin kaum Muslimin yang berkuasa pada hari ini sebenarnya ‘dimahkotakan’ secara langsung oleh Barat dan tak kurang pula bilangan yang diberi lampu hijau untuk memerintah selama mana mereka mengikut telunjuk Barat. Para pemimpin inilah yang bermati-matian mempertahankan batas sempadan palsu yang Barat tetapkan hingga ada yang mengisytiharkan perang sesama Muslim atas dasar perbezaan sempadan ini, semata-mata kerana takut kehilangan takhta. Lebih dahsyat, para pemerintah ini sanggup menangkap, memenjara, menyiksa malah membunuh rakyatnya sendiri yang berjuang untuk menyatukan semula kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan dengan menghapuskan segala bentuk assabiyyah dan wathaniyyah.


Manifestasi pemikiran kufur ini (nasionalisme dan patriotisme) tidak akan dapat di atasi tanpa adanya perubahan politik. Jika para pemimpin kaum Muslimin ini tidak mahu menukar pemikiran kufur yang ada pada mereka dan menggantikannya dengan pemikiran Islam, maka mereka ini pada hakikatnya wajib ditukar dan diganti dengan para pemimpin ikhlas yang akan menerapkan hukum-hukum Allah. Dengan ini, benteng penghalang terbesar dalam menghancurkan pemikiran assabiyyah dan wathaniyyah akan dapat diruntuhkan. Nasionalisme dan patriotisme yang selama ini membelenggu umat Islam, menyebabkannya terpecah belah dan bercerai berai akan pasti terhapus dengan hidupnya pemerintahan ikhlas yang benar-benar menerapkan hukum-hukum Allah dan mengikat umat hanya dengan ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.


Sesungguhnya keharaman assabiyyah dan wathaniyyah adalah jelas dan nyata, sebagaimana jelasnya malapetaka dan perpecahan yang dibawa keduanya. Justeru, adalah menjadi kewajiban setiap Muslim untuk menghilangkan sifat dan sikap ini dari diri mereka, seterusnya bergerak dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah melenyapkan kekufuran ini di mana jua mereka temui. Setiap Muslim juga wajib memuhasabah (bukannya bersekongkol dengan) pemimpin yang mengamalkan fahsya’ (kekejian) ini dan berusaha menyatukan kaum Muslimin di bawah bendera ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ tanpa mengenal batas sempadan, bangsa mahupun keturunan. Dalam konteks ini, seluruh negeri kaum Muslimin (termasuk Malaysia dan Indonesia) sepatutnya bergabung membentuk satu negara dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan pemerintahan berdasarkan Al-Kitab dan As-Sunnah. Jika dulu Rom dan Parsi yang asalnya negara kufur, boleh tunduk dan bergabung di bawah satu Daulah, apatah lagi kini, Malaysia dan Indonesia yang sememangnya negara kaum Muslimin, tentunya lebih mudah untuk digabungkan, Insya Allah. Pokoknya, jika dibuang jauh-jauh segala bentuk assabiyyah dan wathaniyyah yang mengikat kedua-dua negara sekarang ini, maka dengan izin Allah, Malaysia dan Indonesia akan bersatu.


KHATIMAH


Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa Allah menciptakan kalian dari setitis air mani, lalu dijadikan segumpal darah dan kemudian segumpal daging. Kalian berada di dalam keadaan yang lemah selama sembilan bulan di dalam perut ibu-ibu kalian. Allah kemudian mengizinkan kalian lahir ke dunia dalam keadaan tidak berdaya dan tidak mengerti apa-apa. Kalian kemudian menyusu dan membesar dalam dakapan ibu-ibu kalian. Apakah setelah Allah menjadikan kalian sebagai seorang Muslim, kalian kemudian merasa bangga dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Arab atau Pakistan? Dan apakah kalian merasa bangga dengan tanahair tempat kalian dilahirkan sehingga bumi itu lebih mulia di sisi kalian berbanding bumi-bumi Allah lainnya? Ingatlah wahai saudaraku bahawa setiap insan tidak pernah meminta untuk lahir ke dunia dan setiap insan juga tidak pernah meminta jenis bangsa, keturunan dan bumi tempat untuk dia dilahirkan. Allahlah Yang Maha Mencipta dan Allahlah yang menentukan segala-galanya. Tunduk dan patuhlah wahai setiap insan...

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR