MENYONGSONG DAULAH KHILAFAH
MENYONGSONG DAULAH KHILAFAH
Dua hari lagi, yakni pada tanggal 28 Rejab 1428H, maka genaplah 86 tahun (kalender hijrah) kehilangan Daulah Khilafah dari atas muka bumi ini selepas kira-kira 1342 tahun menaungi dunia. Ketiadaan Khilafah yang sepatutnya amat dikesali oleh umat Islam sedunia mungkin langsung tidak disedari oleh sebilangan dari kaum Muslimin, apatah lagi untuk diratapi peristiwa hitam yang telah terpalit dalam lembaran sejarah Islam. Dari sebuah institusi yang menjadi manifestasi keagungan sistem kehidupan Islam yang kaffah, Daulah Khilafah telah dihancurkan oleh musuh-musuh Islam dan mereka setelah itu berusaha bersungguh-sungguh agar institusi ini dilupakan dari pemikiran arus politik umat Islam serta mereka ‘mengajar’ kaum Muslimin secara halus bahawa Khilafah hanyalah sekadar sebuah catatan sejarah tinggalan silam. Runtuhnya Khilafah sesungguhnya merupakan keruntuhan sebuah Negara yang berideologi Islam yang selama ini dipertahankan mati-matian oleh para Khalifah dari pihak musuh-musuh Islam. Hakikat ini adalah sebagaimana runtuhnya USSR satu ketika dulu, yang menandakan runtuhnya sebuah negara yang berideologi Komunis.
Mengingati 28 Rejab bukanlah bermaksud merayakan ulang tahun kejatuhan Khilafah, tetapi ia sebagai peringatan kepada umat Islam bahawa pada tanggal tersebut, satu institusi pembawa rahmat dan pencetus peradaban dunia telah hilang. Ia juga bertujuan untuk mengingatkan keseluruhan kaum Muslimin akan kewajipan mereka untuk mendirikan semula Daulah Islam yang selama lebih 1300 tahun berjaya meletakkan mereka sebagai umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Kita mengingati tarikh ini kerana tidak mahu memperpanjangkan lagi kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh umat Muhammad dan kita ingin menyedar dan membangkitkan kaum Muslimin dari lena mereka. Kita juga ingin menunjukkan kepada kaum kuffar musuh-musuh Islam bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan umat ini akan bangkit dan bersatu kembali untuk mengalahkan mereka, sebagaimana umat ini telah berjaya mengalahkan mereka di ketika wujudnya Daulah Khilafah dahulu. Sesungguhnya sejarah pasti akan berulang dan kita pasti akan mengalahkan mereka sekali lagi dengan terwujudnya Daulah Khilafah yang kedua kalinya! Insya Allah.
RANJAU DI AWAL PERJALANAN MENUJU DAULAH
Ash-hadu an la ilaha illallah, wa ash-hadu anna Muhammadu Rasulullah! Dengan kalimah tauhid inilah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mula menyeru manusia kepada Allah, mengajak isterinya Khadijah kepada Islam, lalu Khadijah pun beriman. Baginda kemudiannya mengajak Ali bin Abi Thalib dan Zaid, lalu Ali dan Zaid pun beriman, kemudian mengajak sahabat karibnya Abu Bakar, lalu Abu Bakar pun beriman. Begitulah setiap kali berjumpa orang, maka Rasulullah akan menawarkan Islam kepada mereka di mana akhirnya baginda berjaya mewujudkan satu kutlah (kelompok) manusia yang berdiri semata-mata di atas asas Islam. Pada awalnya kewujudan kelompok ini masih dirahsiakan. Baginda kemudiannya menetapkan sebuah rumah untuk dijadikan pusat bertemu dan mengajar kaum Muslimin iaitu rumah Arqam bin Abi al-Arqam, yang dijadikan markaz oleh Rasulullah untuk membaca dan menjelaskan Al-Quran kepada mereka yang telah memeluk Islam. Baginda memusatkan aktiviti dakwah di sini selama tiga tahun dan membina tsaqafah sahabat, solat berjemaah dan tahajjud bersama mereka. Di tengah-tengah mereka dibangkitkan aktiviti untuk berfikir tentang ayat-ayat Allah dan merenungkan makhluk-makhlukNya. Baginda membina para sahabat dengan memantapkan akidah dan syakhsiyah mereka dengan Islam, seterusnya mempersiapkan mereka untuk berdakwah kepada agama Allah dan sabar menghadapi segala ujian dan penderitaan yang bakal menimpa, ikhlas dan redha dengan apa jua yang Allah tetapkan.
Selang 3 hari selepas Islamnya Hamzah, maka agama Allah ini telah diperkuatkan lagi dengan Islamnya Umar bin Al-Khattab. Pada ketika ini, kutlah atau kelompok yang telah bersama Nabi berjumlah 40 orang. Setelah itu, turunlah firman Allah, “Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan dan berpalinglah kamu dari orang-orang musyrik” [TMQ Al-Hijr (15):94].
Setelah turun ayat ini, Rasulullah kemudian segera mematuhi perintah Allah dengan menampakkan kewujudan kutlah ini secara terang-terangan. Cara yang digunakan oleh Rasulullah untuk menzahirkan kewujudan kelompok ini adalah dengan keluar bersama-sama mereka dalam dua barisan. Satu barisan dipimpin oleh Hamzah dan satu barisan lagi dipimpin oleh Umar. Mereka bersama-sama menuju ke Kaabah dengan barisan yang rapi, satu cara dan bentuk penyatuan yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh bangsa Arab. Bermula dari sini, Rasulullah telah memasuki tahapan kedua di dalam dakwah yakni Marhalah Tafa’ul wal kiffah (tahap interaksi dan perjuangan).
Sejak saat ini, terjadilah pertentangan pemikiran yang sangat dahsyat di antara pemikiran Islam dan pemikiran kufur. Ternyata, kebenaran pemikiran Islam yang berasal dari wahyu berjaya mengalahkan pemikiran kufur Jahiliyyah. Hal ini telah menimbulkan kegelisahan dan kemarahan masyarakat Jahiliyyah khususnya para pemimpin dan pembesar mereka. Di sinilah bermulanya satu episod yang menyayat hati di dalam perjuangan Rasulullah dan sahabat di dalam mengembangkan agama Allah di mana mereka telah diperangi habis-habisan oleh pembesar Jahiliyyah yang ingin mempertahankan status quo mereka. Kafir Quraish, yang menjadi pemimpin Mekah waktu itu menggunakan pelbagai cara untuk menyekat dan menghapuskan dakwah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Cara pertama yang mereka gunakan ialah penganiayaan atau penyiksaan. Bilal al-Habsyi ditindih dengan batu besar dan dijemur di tengah padang pasir di bawah terik mentari dan dipaksa untuk meninggalkan Islam. Keluarga Yasir telah disiksa dengan amat pedih dan Sumaiyah dibunuh dengan kejam, hanya semata-mata kerana mereka bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah. Beberapa orang sahabat lain juga turut disiksa oleh kafir Quraish. Penyiksaan yang berterusan ke atas kaum Muslimin, menyebabkan Rasulullah memerintahkan sebahagian dari sahabat agar berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan di sana. Lalu berangkatlah sekelompok dari kaum Muslimin dengan dipimpin oleh Jaafar bin Abi Thalib. Hal ini membangkitkan kemarahan pemimpin Quraish di mana mereka kemudian mengutus Amru bin Aas dan Abdullah bin Rabi’ah untuk berjumpa Raja Najasyi dan membawa kaum Muslimin balik ke Mekah. Ternyata, kebenaran Islam yang disampaikan oleh Jaafar bin Abi Thalib telah diterima oleh Raja Najasyi dan membuatkan Raja Najasyi menghalau kedua-dua utusan Quraish tersebut.
Kafir Quraish menyedari bahawa perlawanan terhadap dakwah Rasulullah dengan cara penyiksaan ini tidak membawa hasil, malah membuatkan Muhammad dan sahabat-sahabatnya semakin teguh dengan Islam. Oleh itu, mereka menoleh kepada cara lain iaitu senjata propaganda. Mereka melakukan propaganda ini samada di dalam mahupun diluar Mekah, terutamanya di musim haji. Para pemimpin Quraish bermesyuarat dan bersepakat untuk melancarkan propaganda untuk menuduh Muhammad samada sebagai orang gila, dukun atau seorang ahli sihir walaupun mereka tahu bahawa Muhammad tidaklah sedemikian. Setelah buntu di dalam mesyuarat, mereka akhirnya menetapkan juga agar dihebahkan kepada umum bahawa Muhammad adalah seorang ahli sihir yang mana bila dia bercakap, dia akan menyihir orang dan sihirnya ini dapat memisahkan seseorang itu dari keluarga mereka. Tujuan mereka tidak lain kecuali untuk menakutkan orang ramai dengan dakwah Islam yang diserukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Bagaimanapun, cara ini juga tetap menemui kegagalan. Kekuatan dan kebenaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah dapat melawan segala bentuk propaganda busuk yang kafir Quraish lontarkan ini. Cahaya Islam yang baru terbit ini adalah terlalu terang sehingga dapat menembusi apa jua yang merintanginya. Kafir Quraish justeru beralih kepada senjata ketiga iaitu pemboikotan. Mereka sepakat untuk memboikot Rasulullah dan kerabat baginda. Mereka membuat perjanjian bertulis yang memboikot Bani Hashim dan Bani Abdul Muthalib. Mereka mengharapkan dengan pemboikotan ini maka kaum Muslimin akan meninggalkan Muhammad dan Muhammad akan terkucil sendirian. Dengan ini, mereka yakin Muhammad akan meninggalkan dakwahnya. Proses pemboikotan ini berlangsung lebih dari dua tahun dan pengaruhnya amat dirasakan oleh kaum Muslimin.
Selama pemboikotan, Rasulullah dan kerabat baginda terpaksa berlindung di bukit-bukit. Kelaparan, penderitaan, penyakit dan segala kekurangan serta kesusahan membelenggu mereka. Hampir-hampir mereka tidak menemui jalan untuk mengakhiri pemboikotan ini. Bagaimanapun, kes pemboikotan ini telah membangkitkan simpati bangsa-bangsa Arab terhadap Rasulullah, sehingga ada di kalangan mereka yang mengirimkan makanan dan minuman secara sembunyi-sembunyi. Demikianlah kaum Muslimin hidup di dalam penderitaan selama lebih kurang tiga tahun sehinggalah dengan kuasa Allah, lima orang pemuda Quraish mula mempertikaikan pemboikotan ini dan seterusnya mereka berhadapan dengan pemimpin Quraish dengan beraninya dan menuntut untuk ditamatkan pemboikotan tersebut. Ternyata, tindakan mereka telah mendapat sokongan dan akhirnya pemboikotan berjaya ditamatkan. Bagaimanapun, kejahatan kafir Quraish terhadap Rasulullah dan para sahabat tidak berhenti di situ, malah kejahatan mereka semakin bertambah, terutamanya setelah kematian Khadijah dan Abu Thalib, bapa saudaranya yang sentiasa melindungi baginda selama ini.
Bagaimanapun, Rasulullah tetap teguh di dalam dakwah baginda dan meneruskan dakwah dengan melakukan satu aktiviti yang dikenali sebagai Thalabun Nusrah iaitu mencari pertolongan untuk mendapatkan kekuasaan. Rasulullah mula mendatangi kabilah-kabilah yang kuat dan mengajak mereka memeluk Islam dan menolong baginda dengan mencurahkan kekuatan dan memberikan kekuasaan yang ada pada mereka kepada baginda. Rasulullah pergi ke Thaif tetapi ditolak dan diusir dengan begitu memedihkan. Namun, baginda tetap tidak putus asa dan meneruskan proses thalabun nusrah dengan kabilah-kabilah yang lain untuk mengajak mereka kepada Islam dan menolong baginda; antaranya adalah Bani Kindah, Kalb, Bani Hanifah, Amir Bin Sa’sa’ah dan banyak lagi.
Akhirnya, pertolongan Allah pun tiba. Kedatangan Bani Auz dan Khazraj ke kota Mekah menjadi benih kepada titik perubahan di dalam sejarah Islam. Auz dan Khazraj didatangi oleh Nabi dan mereka menyatakan kesanggupan untuk memberikan nusrah (pertolongan) kepada Rasulullah tanpa apa-apa syarat. Hasilnya, terjadilah Bai’ah Aqabah Pertama dan disusuli dengan Bai’ah Aqabah Kedua yang merupakan akad kepimpinan yang mereka berikan kepada Rasulullah untuk menjadikan baginda sebagai seorang ketua negara atau dengan kata lain pemerintah sebuah Negara Islam yang bakal berdiri di Madinah. Dengan nusrah yang diberi inilah, maka Allah telah memberi gelaran yang mulia, Al-Ansar, kepada mereka (Auz dan Khazraj).
Setelah berlangsungnya proses Bai’ah Aqabah yang kedua, maka bermulalah titik perubahan kepada perjuangan Nabi yang sekaligus merupakan titik perubahan kepada sejarah Islam dan titik perubahan kepada kepimpinan dunia serta titik perubahan kepada tamadun manusia - Hijrah. Rasulullah memerintahkan para sahabat untuk terlebih dahulu berhijrah ke Madinah sementara baginda dan Abu Bakar masih lagi berada di Mekah, sehinggalah turunnya wahyu mengarahkan baginda agar berhijrah. Proses hijrah kaum Muslimin ini telah disedari oleh kafir Quraish dan mereka mula mempertimbangkan bahaya yang bakal menimpa mereka jika Muhammad turut berhijrah. Mereka sedar bahawa telah wujud satu sokongan yang kuat untuk Islam di Madinah dan jika Muhammad berjaya sampai di sana, maka Muhammad akan mendapat satu kekuatan baru, yakni kekuatan di dalam bentuk sebuah Negara. Sebab itu, sejurus sebelum hijrah, kafir Quraish cuba membunuh Nabi, tetapi gagal. Quraish tetap tidak berdiam diri dan cuba mengekori Rasul untuk membunuh baginda, namun Allah tetap melindungi kekasihNya ini. Selepas lebih kurang dua minggu perjalanan yang penuh dengan kesulitan, maka sampailah kedua sahabat karib ini ke tempat yang telah dijanjikan Allah. Jejak Rasulullah di bumi Madinah adalah jejak seorang Ketua Negara yang bakal merubah dunia dengan cahaya Islam. Inilah hakikat dari hijrah Rasul, iaitu berhijrah dari darul Kufur menuju Darul Islam, dari kedudukan Rasulullah hanya sebagai seorang ketua sebuah kutlah Islam kepada kedudukan baginda sebagai seorang Ketua Negara. Dengan ini, rasmilah wujudnya sebuah Negara Islam yang pertama di dunia yang dipimpin oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
KHALIFAH PENYAMBUNG LEGASI DAULAH ISLAM
Melalui hadisnya, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan kaum Muslimin bahawa baginda adalah Nabi yang terakhir dan setelah baginda, urusan pemerintahan kaum Muslimin akan diambil alih oleh para Khalifah. Keberadaan institusi Khilafah sebagai kesinambungan kepada Daulah Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah bermula dengan terlantiknya Abu Bakar sebagai Khalifah pertama kaum Muslimin. Kemudian disusuli pula oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Thalib yang kesemua mereka merupakan Khulafa’ Rasyidin. Kemudian, kesinambungan Daulah Khilafah diteruskan lagi oleh Khulafa’ Umawiyyah di mana di bawahnya, wilayah Islam menjadi semakin luas. Seterusnya umat Islam mencapai kegemilangan di zaman pemerintahan Khilafah Abbasiyyah. Daulah Islam juga semakin meluas dan melebar. Usaha pengembangan dakwah ke wilayah-wilayah bersempadanan dengan Daulah telah diteruskan lagi di zaman Khilafah Uthmaniyyah sehingga Daulah Islam terus berkembang dan mencapai tahap yang tidak pernah dapat dicapai oleh mana-mana kuasa yang pernah wujud di dunia. Islam telah tersebar dan diterima kawasan-kawasan Balkan, Afrika, India, Eropah dan juga tidak terkecuali, di bahagian Nusantara. Sistem pemerintahan yang sama, undang-undang yang sama, bahasa yang sama (bahasa Arab) telah digunakan di kesemua wilayah yang berada di bawah pemerintahan Daulah Islam tanpa mengira kawasan geografi, adat-istiadat, bangsa mahupun warna kulit. Umat Islam di seluruh dunia benar-benar bersatu dan disatukan dibawah satu bumbung pemerintahan. Darah, harta dan kehormatan mereka terjaga rapi. Khalifah benar-benar menjadi perisai yang melindungi umat Islam.
Kepesatan perkembangan tamadun Islam dirasakan di seluruh penjuru dunia. Daulah Islam menjadi lampu yang menerangi dunia yang hidup di dalam kegelapan. Daulah menjadi pusat penyelidikan dan ilmu dunia apabila manusia dari seluruh pelusuk dunia berpusu-pusu datang ke Daulah Islam untuk menimba ilmu. Tamadun Rom, Yunani, Parsi, Mesir dan sebagainya telah ditenggelamkan oleh Islam sehingga meletakkan Islam sebagai sebuah peradaban dunia yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negara sekalipun. Bermula dengan tegaknya Daulah Islam di Madinah, kemudian diteruskan oleh Khilafah Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah, Negara Islam menjadi sebuah super power yang digeruni oleh lawan dan dihormati oleh kawan. Kekuatan Daulah Islam tidak dapat dibayangkan. Kaum Muslimin benar-benar hidup di dalam rahmat dan kemuliaan. Semua ini dinikmati oleh umat Islam disepanjang pemerintahan Khilafah yang menerapkan hukum berdasarkan kitab Allah dan sunnah RasulNya.
RUNTUHNYA SEBUAH PERADABAN
Dendam musuh-musuh Islam terhadap kejayaan Islam tidak pernah pudar, terutamanya sejak kekalahan mereka di dalam Perang Salib. Mereka senantiasa mencari ruang untuk menjatuhkan Daulah Islam dan menjauhkan umat dari pemikiran Islam. Setelah kekalahan mereka, pasukan Salib menyadari bahawa kekuatan Islam terletak pada kekuatan akidah yang dianut oleh umat Islam dan selama mana kaum Muslimin berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah, maka Khilafah tidak akan dapat dihancurkan. Inilah sebabnya di akhir abad ke 16, mereka mendirikan pusat misionari pertama di Malta dan menjadikannya sebagai markaz untuk melancarkan serangan misionari terhadap Dunia Islam. Inilah awal masuknya kebudayaan Barat ke Dunia Islam yang dilakukan para misionaris. Barat seterusnya meniupkan api nasionalisme dan patriotisme ke dalam tubuh umat sehingga pada tahun 1916, British berjaya memperalatkan agennya Sharif Hussein dari Mekah untuk melancarkan Pemberontakan Arab terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Pemberontakan ini berjaya dalam memisahkan tanah Arab dari Khilafah lalu menempatkan tanah itu di bawah mandat British dan Perancis.
Pemecahan wilayah Khilafah sebenarnya telah dirancang oleh golongan kuffar lebih awal melalui sebuah perjanjian rahsia antara British dan Perancis iaitu Perjanjian Sykes-Picot. Di bawah perjanjian itu, kaum kuffar telah membahagi-bahagikan tanah umat Islam dengan sewenang-wenangnya di mana Jordan, sebahagian Iraq dan wilayah kecil sekitar Haifa dibahagikan kepada British sementara Perancis diberikan kawalan ke atas Turki wilayah Selatan-Timur, utara Iraq, Syria dan Lebanon. Hingga kini, peta Timur Tengah yang ada pada kita masih berdasarkan garis sempadan yang dibuat pada perjanjian Sykes-Picot ini. Walaupun British dan Perancis sudah keluar dari bumi Timur Tengah, namun mereka telah memastikan agen-agen mereka dari pemimpin kaum Muslimin tetap menjaga batas sempadan palsu ini. Tahun-tahun berikutnya yang menghampiri kehancuran Khilafah, British memainkan peranan utama dengan cara memastikan agennya Mustafa Kamal la’natullah menyempurnakan hasrat mereka. Dengan bantuan British, Mustafa Kamal berjaya menjadikan dirinya berkuasa di Turki, lalu dia mengobarkan perjuangan nasionalisme untuk ‘memerdekakan’ Turki dari Khilafah. Pada ahun 1922, Persidangan Lausanne diadakan oleh Menteri Luar British, Lord Curzon untuk membincangkan ‘kemerdekaan’ Turki. Turki ketika itu telah berada di bawah pendudukan pasukan sekutu dengan institusi Khilafah hanya tinggal nama sahaja. Selama persidangan, Lord Curzon menetapkan empat syarat sebelum mengakui kemerdekaan Turki iaitu (1) Penghapusan Khilafah secara total (2) Pengusiran Khalifah ke luar perbatasan (3) Perampasan asset-aset Khilafah (4) Pengisytiharan bahawa Turki menjadi sebuah Negara Sekular.
Pada hari Isnin tanggal 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), dunia telah dikejutkan dengan berita bahawa Mustafa Kamal secara rasminya telah menghapuskan Khilafah dan menggantikannya dengan sebuah republik Turki Sekular. Pada malam itu Sultan Abdul Majid II, Khalifah terakhir kaum Muslimin, dipaksa untuk mengemas barangnya dan beliau dikepung untuk masuk ke dalam kendaraannya serta dihalau keluar dari Turki pada pagi hari tersebut. Dengan cara ini, maka berakhirlah sebuah Daulah Islam yang telah memayungi dunia selama 1342 tahun. Sebuah Daulah yang kewujudannya dahulu telah dirintis oleh Rasulullah dan para sahabat dengan jiwa dan raga, dengan darah dan airmata. Pada tarikh inilah, lenyapnya sebuah Negara Islam yang asasnya dibangunkan oleh Rasulullah berdasarkan wahyu, runtuhnya sebuah peradaban dunia yang selama ini menyebarkan cahaya Allah di dunia dan membawa rahmat ke seluruh alam. Tanggal 28 Rejab inilah, kaum Muslimin telah kehilangan ibu yang selama ini menjaga mereka, perisai yang selama ini melindungi mereka. Bermula dari sini, maka kita menyaksikan darah dan airmata kaum Muslimin belum pernah kering membasahi bumi dek penderitaan dan kesengsaraan yang mereka alami.
KHATIMAH
Wahai kaum Muslimin! Daulah Khilafah telahpun lenyap. Kita tidak mahu selamanya meratapi kehilangan ini dan kita samasekali tidak dituntut untuk hanya berdiam diri dan membiarkan pemergian ini. Sebaliknya kita mahu melakar kembali sejarah dunia dengan mengembalikan semula institusi politik agung umat Islam ini. Ingatlah bahawa adalah menjadi kewajiban setiap dari kita untuk mengikuti jejak langkah Rasulullah dan para sahabat yang telah menyerahkan hidup mereka berdakwah di jalan Allah dan berkorban jiwa dan raga mereka di dalam menubuhkan sebuah Daulah Islam. Inilah tanggungjawab yang Allah telah letakkan di atas bahu setiap Muslim, yakni kewajiban untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Daulah Khilafah. Perjuangan menegakkan kembali Daulah Islam ini pastinya menuntut keikhlasan hati dan pengorbanan yang tinggi oleh setiap pengembang dakwah. Kita pastinya akan melalui segala ranjau dan liku yang dahulunya dilalui oleh para pendahulu kita. Perjuangan ini sudah barang pasti memerlukan pengorbanan masa, harta dan jiwa setiap Muslim.
Namun, beban berat perjuangan penegakkan kembali Daulah Khilafah ini tentunya akan menjadi ringan dan akan terasa semakin ringan jika dilakukan secara bersama-sama. Justeru, Hizbut Tahrir menyeru kalian wahai kaum Muslimin! Bersegeralah kepada perjuangan menegakkan semula Daulah Islam yang akan mengembalikan kemuliaan kalian. Bersegeralah kepada kebaikan ini. Marilah kita tunjukkan kepada musuh-musuh Islam bahawa kita adalah umat yang satu dan kita akan bersatu di bawah satu perjuangan. Biar apapun yang akan melanda, ingatlah, bahawa kejayaan kita dalam menegakkan kembali Khilafah bukan satu angan-angan kosong tetapi satu janji yang telahpun dikhabarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.. “...kemudian akan kembali semula zaman Khilafah di atas manhaj kenabian” [HR Ahmad]
0 comments:
Post a Comment