ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PERSIDANGAN LONDON



AMERIKA & BRITAIN SALING BEREBUT SOKONGAN DAN KEPENTINGAN DI BUMI YAMAN!

Pada 1/1/2010 Perdana Menteri Britain menggesa diadakan Persidangan London bagi membincangkan krisis di Yaman atas alasan mencari penyelesaian terhadap krisis tersebut. Persidangan telah diadakan pada 27/1/2010 dengan dihadiri oleh wakil dari 21 buah negara dan berlangsung hanya dua jam! (untuk menyelesaikan satu krisis penting!). Di akhir persidangan diumumkan resolusi untuk menyokong Yaman dalam misinya memerangi Al-Qaeda disertai bantuan pembangunan dan program reformasi ekonomi serta politik, perundingan dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan rundingan perdamaian secara menyeluruh. Penganalisis yang memerhatikan peristiwa yang telah dan sedang berlaku di Yaman akan dapat memahami bahawa resolusi-resolusi tersebut tidak lain hanyalah selubung di sebalik resolusi sebenar, kedudukan ‘para pemain politik’ dan peranan negara-negara di sekitar Yaman serta selubung terhadap matlamat serta hasil persidangan.

Amerika, sejak pengaruh British mula bertapak di Yaman hinggalah ke hari ini, khususnya dengan rejim sekarang, secara konsisten terus berusaha menimbulkan kekacauan serta (berusaha) melaksanakan idea lamanya yang diperbaharui, bahawa dia (Amerika)lah yang layak menjadi pewaris Barat di negara-negara yang berada di dalam cengkaman pengaruhnya. Bagi Amerika, merekalah yang layak menguasai Yaman dan bukannya empayar tua yang lemah. Namun demikian, pemerintah Yaman yang ada pada hari ini hampir-hampir berjaya menghapuskan golongan politik yang setia kepada Amerika dengan membunuh, memenjarakan, menghukum buang negeri dan menjadikan mereka pelarian. Justeru Amerika tidak lagi mempunyai ahli-ahli politik yang berkemampuan serta setia kepadanya untuk menjadi orang suruhannya bagi menguasai kerajaan di Yaman, sekali gus dapat meminggirkan pengaruh British di sana dan mencengkam pengaruh Amerika ke atas Yaman. Oleh itu misi Amerika di Yaman telah difokuskan kepada dua matlamat iaitu:-

(1) Misi  meningkatkan ancaman, yang ditujukan kepada kerajaan Yaman.
(2) Misi merekrut, yang ditujukan kepada media, agensi dan kumpulan  politik kecil yang berkiblatkan Amerika.

‘Misi meningkatkan ancaman’ diserahkan kepada Iran yang memberikan sokongan kepada kumpulan pemberontak Houthi, di mana bom-bom jangka akan meletup bila perlu di utara Yaman, bersebelahan Arab Saudi. Kita namakannya ‘misi mewujudkan ancaman’, meskipun para pemberontak Houthi mengangkat senjata, kerana mereka bukanlah bertujuan menguasai kerajaan Yaman, tetapi tujuan sebenar puak tersebut adalah untuk mendapatkan kedudukan yang kuat serta berpengaruh di kawasan mereka.

‘Misi merekrut’ agensi, badan atau kumpulan politik yang setia kepada Amerika pula dilaksanakan dengan wujudnya Gerakan Pemisah Selatan Yaman, dan Amerika menggerakkannya untuk memisahkan diri dengan Utara Yaman. Ini dilakukan sebagai langkah pertama (dari keseluruhan langkah yang akan dilakukan selepas ini) oleh Amerika dalam menanamkan pengaruhnya ke atas Yaman. Kita namakannya ‘misi merekrut’ kerana kumpulan politik ini masih di peringkat pembentukan yang dilatih menerusi gerakan pemisah ini. Hal ini terjadi setelah para pemimpinnya yang pro-aktif dipinggirkan dan dihapuskan.

Amerika telah berjaya dalam kedua-dua misi tersebut kerana ia mengambil kesempatan dari penindasan pemerintah terhadap Selatan Yaman serta pengalaman politik mereka, dan sekatan pemerintah terhadap pelaksanaan syariah Islam oleh golongan Houthi. Sikap pemerintah Yaman yang tidak melaksanakan syariah Islam dalam bentuk sebenar di negara ini, turut memberi peluang kepada Amerika memanipulasikannya bagi menjayakan misi mewujudkan ancaman di Utara Yaman, dan misi merekrut di Selatan Yaman. Hal ini dilakukan hingga ke peringkat memaksa pemerintah Yaman mengikut telunjuk Britain, dengan Yaman melaksanakan langkah-langkah ‘kecemasan’, di antaranya:-

Pertama: Memujuk Amerika melalui perjanjian keamanan agar Amerika mendiamkan diri terhadap kezaliman pemerintah Yaman. Yaman telah menandatangani perjanjian keamanan dan ketenteraan dengan Amerika Syarikat setelah mengadakan perbincangan di antara ketua-ketua tentera dan perisikan di San’a pada 10 dan 11 November 2009. Perjanjian ini merangkumi kerjasama ketenteraan dan keamanan serta pertukaran maklumat dan kemahiran dalam kedua-dua bidang tersebut. Perjanjian ini diumumkan setelah berlangsungnya perbincangan di antara Panglima Tertinggi Tentera Yaman, Mejar Jeneral Ahmad Ali Asywal dengan Pengarah Perancangan Pimpinan Bersekutu Amerika, Brigadier Jeneral Jeffrey Smith.

Kedua: Melancarkan peperangan terhadap Al-Qaeda. Anggota-anggota Al-Qaeda memang telah dikenal pasti oleh pemerintah Yaman sejak sekian lama, namun pemerintah tidak pernah mengambil sebarang tindakan terhadap mereka, kerana tidak mahu berhadapan dengan musuh baru, dalam suasana mereka sedang menghadapi serangan dari puak Houthi dan Puak Pemisah Selatan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Britain mengubah sikap, kerana Britain mengetahui bahawa isu Al-Qaeda sangat sensitif kepada Amerika. Sekiranya Yaman berperang dengan Al-Qaeda, ini akan memaksa Amerika memberikan sokongan dan bantuannya terhadap Yaman. Tindakan ini sekali gus akan meringankan bebanan yang dihadapi Britain di Utara dan Selatan Yaman. Dalam keadaan ini, pemerintah Yaman akan mula melancarkan serangan ke markas-markas kegiatan Al-Qaeda yang telah dikenal pasti. Oleh itu, jelas bahawa langkah menentang Al-Qaeda ini bukan satu kebetulan, malah ia adalah di luar polisi am Yaman. Bagi sebuah negara yang sedang menghadapi dua krisis serentak, iaitu di Utara dan Selatan, maka bukanlah satu tindakan normal untuk membuka satu lagi medan pertempuran, kalau bukan ianya adalah kerja politik yang bertopengkan tentera yang datangnya dari Britain.

Di celah-celah detik yang amat sukar ketika ini, Perdana Menteri Britain mengajak dunia datang ke Persidangan London (kononnya) untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada Republik Yaman menghadapi Al-Qaeda serta berdiri bersama-sama Britain dalam hal ini. Apa yang dilakukan Britain ini sebenarnya akan menyulitkan usaha Amerika mendampingi Yaman serta meringankan tekanan yang dihadapi kerajaan Yaman di Utara dan Selatan republik tersebut. Amerika tidak mempunyai pilihan lagi kecuali bersetuju dengan persidangan ini. Dalam pada itu AS mahu mewujudkan markasnya di Yaman bagi memerangi Al-Qaeda serta mengukuhkan agensi atau kumpulan politik kecil (yang dirancangnya) khususnya di selatan Yaman. Pada masa yang sama, AS cuba mencapai penyelesaian yang sekadar “cukup makan” bagi gerakan Houthi, iaitu sekadar meringankan masalah bukan menamatkan krisis, supaya gerakan ini boleh ditonjolkan semula penentangannya apabila dirasakan perlu.

Beginilah suasana Persidangan London, pada satu sisi Amerika menumpukan perhatian kepada menghulur bantuan ketenteraan dan logistik bagi menghancurkan Al-Qaeda, serta menekan pemerintah Yaman agar berunding dengan gerakan pemberontak di Selatan dan Utara negara itu, pada sisi yang lain Britain pula menumpukan perhatian kepada menghulur bantuan ekonomi serta (kononnya) berdiri bersama-sama masyarakat antarabangsa menyokong Yaman menentang pemberontak di Selatan dan Utara negara itu. Dalam masa yang sama, Britain ‘menimbangkan’ isu Al-Qaeda dalam konteks membantu Yaman menentang puak Houthi dan puak pemisah Selatan Yaman!

Sungguh! Persidangan selama dua jam ini tidak lebih dari menjadi tempat wakil-wakil 21 buah negara bergaya di hadapan kamera televisyen, dengan Britain dan Amerika menghimpunkan negara sekutu masing-masing untuk mencapai matlamat masing-masing di atas tumpahan darah rakyat Yaman!

Wahai kaum Muslimin!

Sampai bilakah negeri-negeri umat Islam akan terus menjadi medan pertarungan kuasa-kuasa besar dengan bersenjatakan penduduk-penduduknya? Sampai bilakah negeri umat Islam akan terus kekal menjadi pentas yang di atasnya Barat berpesta menumpahkan darah penduduknya dan menghisap segala kekayaan alamnya? Sampai bilakah Barat akan terus menyalakan api di negeri umat Islam mengikut masa dan tempat yang mereka suka? Sampai bilakah pemerintah-pemerintah di Yaman, serta negeri-negeri umat Islam yang lain, akan sentiasa menjadi bidak-bidak catur yang digerakkan oleh Barat, dalam keadaan para pemerintah itu tidak membantah, malahan tidak merasa jemu sedikit pun! Adakah belum sampai masanya bagi rakyat Yaman menyedari bahawa pemerintah Yaman melalui tindakan-tindakannya yang zalim itu akan memudahkan lagi puak-puak yang bertelagah di bumi Yaman membunuh penduduknya serta menghancurkan rumah-rumahnya? Nampaknya tidak ada yang lebih penting bagi pemerintah tersebut melainkan berusaha untuk terus kekal di kerusi empuknya sekalipun dalam keadaan lemah, bengkok dan hampir-hampir tumbang!

Di sepanjang siri peperangan yang meletus di Yaman, sudah berpuluh-puluh ribu, malah beratus-ratus ribu orang telah diusir, dibunuh, dan cedera. Semua pihak yang terlibat dalam peperangan tersebut adalah orang Islam yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa peperangan di antara sesama umat Islam merupakan bencana yang amat besar, dan bahawa dosa membunuh orang Islam tanpa sebab adalah lebih besar daripada dosa meruntuhkan Kaabah!? Abdullah bin Umar meriwayatkan,

“Aku melihat Rasulullah SAW tawaf di sekeliling Kaabah sambil bersabda, ‘Alangkah harum baumu, alangkah hebat dan agungnya kehormatanmu. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya kemuliaan seorang mukmin itu lebih besar di sisi Allah daripadamu, pada harta dan darahnya, dan kami diperintah bersangka baik terhadapnya” [HR Ibnu Hibban].


Sesungguhnya Amerika dan Britain bertarung di Yaman bersenjatakan rakyatnya (Yaman), dengan menggunakan segala kemudahan keamanan dan logistik yang disediakan oleh pemerintah Yaman itu sendiri, dengan keberanian membabi-buta puak pemisah di Selatan dan puak Houthi di Utara, dan orang-orang yang seperti mereka dari kalangan yang terjebak ke kancah kecelakaan dalam keadaan mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu adalah baik!

Wahai kaum Muslimin!

Ada dua musibah yang menimpa kita:-

Pertama: Para pemerintah di negeri-negeri umat Islam yang tidak takutkan azab Allah dalam mengendalikan urusan negara dan rakyat! Sekiranya umat Islam menggunakan akal yang sihat, tentu mereka mengetahui bahawa pemerintah yang mengkhianati rakyatnya tidak akan masuk syurga, malah tidak akan mencium kewangiannya. Sabda Nabi SAW,

“Siapa sahaja di kalangan penguasa yang (diangkat) menguruskan urusan kaum Muslimin, lalu dia mati dalam keadaan menipu mereka, tidak akan masuk syurga” [HR al-Bukhari].

Jika begitu, bagaimana pula pemerintah yang menyesatkan manusia, menukar yang haq menjadi batil dan menukar yang batil menjadi haq, serta menganggap perbuatan khianat itu sebagai amanah!? Pemerintah seperti ini akan menjadi golongan ‘Ruwaibidhah’ yang memimpin rakyatnya kepada kebinasaan! Sabda Rasulullah SAW,

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah, dan orang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhah’. Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhah wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab, ‘Orang bodoh yang bercakap mengenai urusan orang ramai” [HR Ahmad].

Kedua:  Adanya sebahagian umat Islam yang mendiamkan diri terhadap pemerintah-pemerintah yang zalim serta tidak membantah kezaliman mereka, sekalipun mereka (umat Islam) ditimpa pelbagai kehinaan sebagai akibat dari apa yang dilakukan oleh pemerintah itu. Maka berlakulah sepertimana yang kita lihat di Palestin, Kashmir, Chehnya, Cyprus, Timor Leste dan tempat-tempat lain. Sudan hampir terbahagi dua, Iraq, Afghanistan, Pakistan dan akhir sekali Yaman, telah menjadi medan perebutan Barat melakukan serangan dan penjajahan, manakala yang menjadi alat (ejen)nya adalah para pemerintah umat Islam dan kroni mereka. Bukanlah satu perkara baru apabila ditimpakan ke atas umat Islam azab dan malapetaka, yang bukan sahaja terkena ke atas golongan pemerintah, tetapi terkena juga ke atas golongan yang diperintah, yang kesemua ini berlaku bilamana umat Islam mendiamkan diri terhadap kezaliman pemerintah. Allah SWT berfirman,

“Takutlah kamu akan fitnah yang tidak akan ditimpakan terhadap golongan yang zalim di kalangan kamu sahaja”
[TMQ al-Anfal (8):25].

Sabda Nabi SAW, “Apabila manusia melihat kemungkaran berlaku lalu mereka tidak menentangnya, maka hampir sahaja azab Allah ditimpakan ke atas mereka kesemuanya” [HR Ahmad dan Abu Daud].

Wahai kaum Muslimin!

Sesungguhnya telah terbitlah fajar bagi orang-orang yang melihat. Tidak akan selamat umat ini melainkan dengan apa yang telah menyelamatkan umat ini di zaman silam iaitu dengan adanya Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj Nubuwah, yang berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah serta berjihad di jalanNya. Pemerintahnya adalah para Khalifah yang mana tentera Islam berperang di belakangnya dan ia digeruni kawan dan lawan. Para Khalifah menjadi perisai yang senantiasa melindungi rakyatnya dan selalu terbuka dalam menerima nasihat. Sesungguhnya Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj Nubuwah akan kembali untuk kedua kalinya dan ketika itu tidak ada lagi ruang untuk Amerika, Britain dan mana-mana kuasa kuffar untuk menyerang negeri kita serta menanam pengaruh mereka...kerana ketika itu mereka akan terlalu sibuk melindungi tanah air mereka sendiri, kerana melarikan diri daripada cahaya Islam yang berada hampir dengan negeri-negeri mereka!

“Allah akan tetap menguasai urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
[TMQ Yusuf (12):21].

Hizbut Tahrir
12 Safar 1431 H
27 Januari 2010 M

[Artikel di atas adalah terjemahan dari Bahasa Arab yang telah disunting ke Bahasa Melayu dan disebarkan oleh Hizbut Tahrir ke seluruh dunia]

sumber : http://mykhilafah.com

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR