ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


Showing posts with label SAUTUN NAHDHAH. Show all posts
Showing posts with label SAUTUN NAHDHAH. Show all posts

APABILA GOLONGAN RUWAIBIDHAH BERBICARA

Nampaknya kes perbicaraan liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melewati dimensi baru apabila pihak luar seperti Amerika melalui Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry mengeluarkan kenyataan supaya kes tersebut dikendalikan secara adil dan begitu juga sekutunya Australia, apabila  seramai 50 Ahli Parlimen Australia meminta supaya kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Anwar.  Sehubungan dengan desakan ahli parlimen Australia itu, pihak parti pemerintah yang diketuai oleh UMNO mengerahkan ahlinya yang diketuai oleh sayap pemudanya untuk turun berdemonstrasi di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia baru-baru ini. Diberitakan hampir 500 individu dari parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun dan berarak secara aman dalam demonstrasi tersebut. Keadaan dalam negeri juga tidak kurang kecohnya apabila sekutu baik PKR iaitu DAP melalui desakan penasihatnya Lim Kit Siang, mengesyorkan agar usul pengguguran kes liwat Anwar itu dibawa ke Parlimen. Begitu juga dengan Anwar sendiri yang nampaknya menggunakan talian hayat negara luar seperti Amerika dan Turki dalam menanggapi isu ini, di mana Anwar mengatakan bahawa beliau mendapat sokongan daripada Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dan juga Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogen yang ditemuinya ketika berlangsungnya Forum Dunia Islam-Amerika Syarikat di Doha, Qatar baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia nampaknya agak melenting dengan campurtangan kuasa asing ini, namun anehnya dalam masa yang sama berusaha memberikan penjelasan. Timbalan Perdana Menteri dengan tegas berkata bahawa Malaysia tidak akan tunduk dengan desakan negara asing [UM 20/02/10]. Namun pada masa yang sama Perdana Menteri sendiri, semasa berucap di Maran berkata, “Kita (kerajaan) kena terangkan, sebab mereka (Ahli Parlimen Australia) tidak dapat maklumat sebenar. Maklumat diperoleh hanya daripada pembangkang,” katanya.  Najib juga memberitahu bahawa Kedutaan Malaysia di AS telah menjelaskan kepada Washington mengenai kedudukan sebenar kes pendakwaan liwat tersebut [UM 20/02/10]. Mengapa perlu memberi penjelasan jika benar tidak tunduk kepada kuasa asing? Takkan setiap kali mereka mendesak maka Malaysia perlu menjawab dengan panjang lebar? Adakah ini sikap orang yang tidak tunduk kepada kuasa asing? Umum mengetahui bahawa AS dan negara-negara kuffar yang lain seperti Australia memang akan menangguk di air keruh. Amerika telah lama berlagak sebagai polis dunia yang kononnya prihatin dengan keamanan dunia dan hak asasi manusia. Walhal orang buta sekalipun mengetahui bahawa Amerikalah syaitan besar dunia pada saat ini. Secara faktanya, semua undang-undang mahupun sistem penghakiman yang diguna pakai di Malaysia tidak ada bezanya dengan Australia dan Amerika, iaitu sama-sama buatan manusia dan sama-sama kufur kerana bertentangan dengan hukum Allah. Justeru, mengapa mereka perlu campurtangan dalam kes Anwar Ibrahim? Walaupun AS dan Australia bercakap tentang keadilan dan hak asasi manusia, namun orang kampung sekalipun tahu bahawa bukan ‘kedaulatan undang-undang’ yang menjadi fokus negara kuffar tersebut dalam kes ini, tetapi ‘Anwar Ibrahim’ itu sendirilah yang menjadi minat dan sasaran mereka. Persoalannya, kenapa dan untuk apa mereka begitu berminat dengan Ketua Pembangkang Malaysia ini? Mungkin para pembaca sekalian ada jawapannya...

Hudud Adalah Hak Allah Yang Tidak Boleh Digugurkan

Had liwat, sebagaimana hudud yang lain adalah hak Allah SWT meskipun di dalam sesetengah kes hudud (seperti mencuri), terdapat hak anak Adam di dalamnya. Dalam kes hudud, ia tidak boleh digugurkan dengan pengampunan, permintaan, tekanan atau arahan daripada sesiapa pun. Semua hadis yang menyentuh tentang liwat adalah bersifat umum sebagaimana ayat tentang zina dan mencuri. Rasulullah SAW bersabda,

“Barang siapa yang kamu dapati ia melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah kedua-duanya”
[HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tirmizi].

Hadis ini dengan jelas mewajibkan perlaksanaan hukuman (hudud) ke atas kedua-dua pelaku liwat, baik yang meliwat mahupun yang diliwat. Jika dakwaan liwat telah terbukti, maka had wajib dijatuhkan. Atau jika tiada dakwaan sekalipun, tetapi pelaku liwat tersebut tampil di hadapan qadhi dan mengaku akan perbuatannya, maka hukuman had wajib dijatuhkan ke atasnya. Tidak ada seorang pun terkecuali daripada hukuman apabila kes ke atasnya telah terbukti, baik dibuktikan dengan kesaksian mahupun pengakuan.

Dalilnya adalah hadis tentang wanita Makhzumiyah, bahawa Rasulullah SAW begitu marah atas tuntutan pengampunan atau pengguguran hukuman yang diajukan oleh Usamah. Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kalian  adalah disebabkan apabila ada orang yang terhormat di kalangan mereka mencuri, ia dibiarkan. Akan tetapi apabila orang yang lemah mencuri, tangannya dipotong. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya”.


Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan bahawa kehancuran umat sebelum kita adalah kerana tidak dilaksanakannya hudud Allah. Nabi SAW juga bersabda,

“Had yang ditegakkan di muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada turunnya hujan selama 40 hari.”

Daripada Ibnu Umar ra, daripada Nabi SAW,

“Barangsiapa memberikan pengampunan dengan tidak melaksanakan had dari had-had (hudud) Allah, maka ia telah menjadi pembangkang terhadap perintah Allah”.

Kesemua nas ini menunjukkan bahawa tidak boleh menggugurkan hudud Allah. Sebab hudud adalah hak Allah. Hatta Rasulullah sendiri tidak boleh menggugurkan dakwaan atau hukuman ke atas pesalah hudud.

Sebahagian ulama yang terkeliru berpendapat bahawa hukuman hudud boleh digugurkan sekiranya ada pengampunan sebelum kesnya dibawa ke muka pengadilan. Mereka berdalil dengan apa yang diriwayatkan daripada Safwan bin Umayyah, yang berkata,

“Aku sedang tidur di masjid dengan membawa baju berjalur hitam dan merah (khamisah) milikku. Lalu baju itu dicuri. Kami berjaya menangkap pencuri itu kemudian kami melaporkan kepada Rasulullah SAW. Baginda memerintahkan untuk memotong tangannya. Aku berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, adakah ia dipotong tangannya hanya kerana mencuri khamisah yang bernilai 3 dirham? Baiklah,  (kalau begitu) akan ku berikan sahaja khamisah ini kepadanya atau aku jualkan kepadanya’. Nabi menjawab, ‘Mengapa (hal ini) tidak (dilakukan) sebelum engkau serahkan dia ke mari?”.


Mereka yang terkeliru juga berdalil dengan apa yang dikeluarkan oleh Abu Daud daripada hadis Amru bin Syuaib daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Saling bermaafanlah kalian dalam  masalah hudud yang terjadi di antara kalian. Kerana kalau kes pelanggaran itu telah sampai kepadaku, maka hukuman itu pasti aku laksanakan.”


Daruquthni mengeluarkan riwayat daripada hadis Zubair bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Saling bermaafanlah di antara kalian selama mana belum dilaporkan kepada wali. Jika terdapat pengampunan setelah kes dilaporkan kepada wali, maka Allah tidak memaafkannya”.


Bagi orang yang meneliti dengan mendalam dan mustanir (jernih) kesemua nas-nas mengenai perkara ini, akan mendapati bahawa hudud (potong tangan) tidak boleh digugurkan dengan adanya pengampunan secara mutlak, baik sebelum atau setelah kes dilaporkan kepada pihak yang berkuasa. Dalilnya adalah keumuman ayat tentang mencuri. Ini adalah kerana, jika kes mencuri itu telah terbukti, maka hukuman potong tangan wajib dilakukan walaupun tidak ada laporan sekalipun. Apatah lagi dalam kes yang mempunyai laporan (dakwaan) biarpun ia ditarik balik. Ibnu Abdilbarr telah meriwayatkan tentang Ijma’ Sahabat mengenai wajibnya penguasa menegakkan hudud apabila kes itu telah sampai kepadanya. Demikian pula diriwayatkan dalam kitab al-Bahr tentang Ijma’ Sahabat atas perkara tersebut. Di samping itu, hadis-hadis yang melarang pengampunan itu datangnya dalam bentuk yang umum. Nas-nas tersebut ternyata merangkumi kedua-dua keadaan kes sama ada sebelum atau setelah laporan/dakwaan dibuat. Hujah yang lain, kerana hukuman had bagi mencuri adalah hak Allah, meskipun di dalamnya terdapat juga hak anak Adam. Sedangkan hak Allah tidak boleh sama sekali digugurkan dengan pengampunan daripada manusia. Semua hal ini menunjukkan bahawa had pencurian tidak boleh digugurkan dengan pengampunan.

Adapun hadis-hadis daripada Safwan, Amru bin Syuaib dan Zubair, kesemuanya bukan  menunjukkan adanya atau bolehnya ‘menggugurkan’ had, sebaliknya ia hanya menunjukkan tentang bolehnya memberi ‘pengampunan’ daripada pemilik barang (yang dicuri), itu sahaja. Dan hadis-hadis tersebut langsung tidak menyentuh mengenai kebolehan/kebenaran menggugurkan hukuman. Pengampunan daripada pemilik barang (jika diberikan) tidak boleh menggugurkan hudud Allah, sama halnya dengan pengampunan daripada penguasa, juga langsung tidak boleh menggugurkan hudud Allah. Pengampunan hanya membawa kepada hal ‘menghapuskan dosa’, bukannya (dan tidak boleh) membawa kepada ‘menghapuskan hukuman (hudud)’.

Hadis daripada Safwan dengan jelas menyatakan,

“Baiklah, (kalau begitu) akan ku berikan sahaja khamisah ini kepadanya atau aku jualkan kepadanya’. Nabi menjawab, ‘Mengapa (hal ini) tidak (dilakukan) sebelum engkau serahkan dia ke mari?”.


Maksud daripada hadis ini adalah, Rasulullah bertanya ‘mengapa pengampunanmu tidak diberikan kepadanya sebelum engkau membawanya kepadaku’. Hal ini tidak bererti bahawa, jika pemilik barang telah mengampuni si pencuri sebelum pencuri diserahkan kepada penguasa, maka dakwaannya boleh digugurkan kerana ia mengampuninya. Hadis ini langsung tidak memberi pengertian seperti ini. Adapun kata-kata pemilik baju kepada Rasulullah (setelah melihat si pencuri itu akan dipotong tangannya),

“Baiklah, (kalau begitu) akan ku berikan sahaja khamisah ini kepadanya atau aku jualkan kepadanya”,

ini hanyalah kinayah (kiasan) atas permintaan daripada pemilik baju agar baginda SAW mengampuni (tidak menghukum) pencuri tersebut. Jawapan Rasulullah,

“Mengapa (hal ini) tidak (dilakukan) sebelum engkau serahkan dia ke mari?”,

bermaksud adalah boleh bagi tuan punya baju untuk mengampuni si pencuri sebelum dia melaporkannya kepada Rasulullah (penguasa/qadhi). Namun, jika setelah dilaporkan, maka tuanpunya baju tadi tidak lagi boleh mengampunkannya. Hak untuk dia mengampunkannya hanya wujud sebelum kes tersebut di bawa ke muka pengadilan.

Hadis ini tidak menunjukkan bahawa pencuri yang telah dimaafkan oleh si pemilik barang sebelum ia diserahkan kepada penguasa, maka gugurlah had potong tangan bagi pencuri tersebut. Hadis ini juga tidak menunjukkan bahawa jika si pencuri itu diserahkan kepada penguasa oleh orang selain daripada pemilik barang, maka penguasa tidak perlu membicarakannya. Dan hadis ini juga tidak menunjukkan bahawa penguasa wajib untuk mengampuni pencuri tersebut jika adanya pengampunan daripada pemilik barang. Sesungguhnya hadis tersebut tidak menunjukkan pengertian tersebut secara mutlak. Dalalah hadis ini hanya menunjukkan gugurnya hak pemilik barang untuk mengampuni pencuri setelah kes dilaporkan kepada penguasa, serta kebolehan untuk memberi pengampunan sebelum kes itu dibawa kepada penguasa. Tidak ada pengertian lain lagi selain ini. Hadis ini langsung tidak menunjukkan tentang gugurnya hudud jika ada pengampunan kerana hadis ini hanya berbicara tentang persoalan pengguguran pengampunan, bukannya persoalan pengguguran hudud.
 
Adapun tentang hadis Amru bin Syuaib, ia menunjukkan bahawa pengampunan di kalangan mereka hukumnya adalah jaiz (boleh). Itulah sebabnya baginda SAW bersabda,

“Akan tetapi, kalau kes pelanggaran itu telah sampai kepadaku, maka hukuman itu pasti akan dilaksanakan.”

Hadis ini berbentuk umum, sama sahaja keadaannya baik kes itu dilaporkan oleh si pemilik barang mahupun oleh orang lain.

Sedangkan hadis Zubair di mana Rasulullah SAW bersabda,

“Saling bermaafanlah di antara kalian selama mana belum dilaporkan kepada wali”.

Ini adalah saranan daripada Rasulullah agar saling memaafkan, tidak ada kena mengena dengan persoalan gugurnya hudud jika ada kemaafan. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda,

“Jika ada pengampunan setelah dilaporkan kepada wali, maka Allah tidak memaafkannya”,

di mana hadis ini adalah bersifat umum yang menunjukkan pengertian bahawa tidak boleh memberi pengampunan apabila kes telah dilaporkan kepada wali, baik (laporan) oleh pemilik barang ataupun  oleh orang lain. Keumuman hadis Amru bin Syuaib dan hadis Zubair memperkuatkan hujah bahawa pengampunan daripada pemilik barang sebelum kes dilaporkan kepada penguasa sama sekali tidak menggugurkan hudud, apatah lagi setelah dilaporkan. Seluruh hadis tersebut menunjukkan bahawa pemilik barang boleh memberikan pengampunan (bukan menggugurkan dakwaan atau menggugurkan hukuman hudud) sebelum kesnya dilaporkan kepada penguasa.

Dengan demikian, had (hukuman) pencuri adalah hak Allah SWT. Had tidak boleh digugurkan secara mutlak, baik pemilik barang memaafkannya sebelum atau sesudah kes di bawa kepada pengadilan. Jika seseorang penguasa/qadhi telah menerima laporan sesuatu kes hudud, maka dia wajib mendengar dakwaan si pelapor, tidak kira siapa sahaja yang melaporkannya. Bagaimanapun kes hudud tidak semestinya memerlukan adanya laporan/dakwaan. Hudud Allah wajib ditegakkan dalam apa keadaan sekalipun. Berdasarkan nas yang jelas, Islam menyatakan bahawa setelah sesuatu kes hudud di bawa ke mahkamah, maka kesnya wajib dijalankan dan tidak boleh digugurkan dengan apa jua cara sekalipun. Seseorang tertuduh hanya akan terlepas daripada hukuman sekiranya si pendakwa gagal membuktikan kesnya sama ada kerana ketiadaan saksi, kekurangan saksi atau ketiadaan bukti-bukti lain yang boleh mensabitkan kesalahan tertuduh. Dengan kata lain, tertuduh akan terlepas jika wujudnya sebab-sebab yang dibenarkan syarak sahaja, dan ia hanya berlaku setelah kes dibicarakan, bukan sebelumnya. Tertuduh juga tidak terlepas (dan tidak boleh dilepaskan) begitu sahaja hanya kerana adanya pengampunan, permintaan, tekanan atau arahan mana-mana pihak untuk menggugurkan kes. Sesungguhnya undang-undang sekular di bawah sistem pemerintahan sekular dengan pemimpin sekular yang ada pada hari inilah justeru menjadi penyebab kepada keberanian dan kebiadapan puak kuffar untuk memberi tekanan dalam hal ehwal yang melibatkan umat Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Masalah pokok yang kita perlu fahami di sini adalah, semua perkara yang dibincangkan di atas hanya berlaku apabila kes tersebut merupakan sebuah kes hudud yang dibicarakan mengikut undang-undang Islam di bawah mahkamah Islam dan di negara Islam, bukannya kes atau kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) yang dibicarakan di mahkamah kufur dan di negara kufur. Apa yang berlaku sekarang di dalam kes Anwar Ibrahim, walaupun jelas bahawa dakwaan terhadapnya adalah atas kesalahan hudud (liwat), namun daripada A hingga Z hukum Allah telah dicampakkan oleh institusi kehakiman mahupun pemerintahan. Yang digunakan dalam perbicaraan sekarang adalah 100% undang-undang buatan akal manusia yang mustahil akan mewujudkan sebuah keadilan. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa keadilan hakiki hanya akan terwujud apabila hukum daripada kitab Allah dilaksanakan sepenuhnya. Dan demi Allah, tidak akan ada keadilan walau sebesar zarah sekalipun apabila hukum daripada kitab Lord Reid yang diterapkan. Apabila hukum Allah dan Rasul telah dibuang, yang dapat kita saksikan sekarang adalah munculnya satu golongan yang disebut Rasulullah,

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah, dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhah’. Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhah wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab, ‘Orang bodoh yang bercakap mengenai urusan orang ramai” [HR Ahmad].
 

REVOLUSI UNTUK APA?


11 Febuari merupakan tarikh keramat bari rakyat Iran di mana pada tarikh tersebut tiga puluh satu tahun yang lepas telah berlaku pertukaran sebuah kerajaan diktator kepada pemerintahan teokrasi di negara yang terkenal dengan isu nuklear itu. Penggulingan kuasa melalui sebuah revolusi yang dikenali sebagai ‘Revolusi Islam Iran’ itu mendapat perhatian besar dunia hingga kini. Beratus ribu penyokong kerajaan membanjiri pusat bandar Teheran semalam bagi menyambut ulang tahun ke-31 revolusi manakala pasukan keselamatan mengambil langkah berjaga-jaga di seluruh bandar bagi mematahkan bantahan balas pihak pembangkang. Gambar televisyen kerajaan menunjukkan imej beribu-ribu orang membawa sepanduk yang semuanya sama bentuk dan rupa sambil berarak di jalan raya menghala ke tengah Azadi atau Dataran Kebebasan.

Di sinilah perhimpunan raksasa itu melambaikan bendera Iran dan membawa gambar Ayatollah Ruhollah Khomeini, pengasas negara Islam berkenaan dan penggantinya, pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei [BH 12/02/10]. Khomeini berjaya menggulingkan pemerintah Shah Iran (Shah Mohammad Reza Pahlavi) dan dikatakan berjaya membentuk revolusi ini dengan menyebarkan pemikiran-pemikirannya serta aspirasi sebuah negara bersistemkan republik teokrasi seperti yang ada sekarang.

Sekitar 26 tahun sebelum revolusi iaitu pada 1953, kerajaan British dengan kerjasama US Central Intelligence Agency (CIA) telah melaksanakan satu projek yang dinamakan AJAX untuk mengguling kerajaan Mohammed Mosaddeq. Usaha itu berjaya dengan mengangkat semula Shah Iran sebagai pemerintah sekaligus pemelihara kepentingan Barat di sana. Di masa pemerintahannya di era 60-an, Shah Iran membangun negara tersebut atas nama modernisasi dan kemajuan namun semua itu tidak berjaya memuaskan hati rakyat. Akibatnya, telah tercetus beberapa siri revolusi yang menzahirkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintahannya. Akhirnya, genap tanggal 11 Febuari 1979 Ayatollah Ruhollah Khomeini yang selama ini menjadi simbol perjuangan revolusi berjaya menumbangkan kerajaan Shah Iran. Bagaimanapun, sepanjang lebih kurang 30 tahun usia revolusi itu, ribuan nyawa terkorban akibat pergeseran yang tidak henti-henti  antara rakyat dan pemerintah. Selepas berkuasa, Khomeini kemudian terjerumus ke dalam perang saudara Iran-Irak yang berpanjangan, lalu menumpukan usahanya ke arah agenda peperangan. Kesannya, urusan perekonomian rakyat terabai dan Islam sama sekali tidak zahir dalam pemerintahan. Justeru, walaupun ‘pemimpin’nya telah berubah, namun tidak ada perubahan signifikan kepada rakyat baik di zaman sebelum revolusi mahupun selepasnya di mana rakyat tetap tinggal dalam sistem kufur.

Revolusi Sebagai Jalan Meraih Kekuasaan

Revolusi (dalam bahasa arab ‘inqilab’) bermaksud membalikkan, menumbangkan atau menjatuhkan [kamus Al-Miftah] yang dari segi maksud politiknya adalah menggulingkan penguasa yang sedang memerintah yang biasanya dengan ‘cara paksa’ sama ada paksaan militer atau rakyat yang memaksa [Oxford Advanced Learner’s]. Di sepanjang sejarahnya, dunia telah menyaksikan beberapa revolusi besar yang telah menyebabkan perubahan kerajaan seperti revolusi Bolshevik di Russia, revolusi Iran, revolusi Perancis dan sebagainya dan kebanyakan dari revolusi yang berlaku adalah revolusi berdarah yang mengorbankan ratusan ribu jiwa. Persoalannya, adakah perubahan kerajaan melalui jalan revolusi ini wujud dalam Islam, sehingga apa yang berlaku di Iran pada tahun 1979 itu digelar ‘revolusi Islam’? Apakah Islam membenarkan rampasan kuasa secara paksa atau kekerasan, pembunuhan, pertumpahan darah dan sebagainya apatah lagi sesama Muslim di dalam menukar sesebuah kerajaan? Bagaimanakah Islam menanggapi persoalan ini?

Sebelum Rasulullah SAW mendapat kekuasaan di Madinah, sirah telah mencatatkan bahawa penduduk di Madinah ketika itu sudah pun mempunyai pemimpin dan struktur kepimpinan mereka sendiri. Jadi, bagaimanakah Rasulullah SAW mendapat kekuasaan dan menjadi pemimpin di Madinah dengan menggantikan pimpinan atau kerajaan yang sedia ada ketika itu? Realiti proses pertukaran itu dapat difahami apabila kita mengkaji perjalanan sirah yang menerangkan bentuk  interaksi pemimpin dan penduduk Madinah dengan Rasulullah SAW. Peralihan kuasa tidaklah berlaku dengan mendadak kecuali melalui beberapa proses yang sebelum itu telah dilalui oleh Rasulullah dengan ketetapan dari Allah SWT. Ia bermula dengan proses dakwah yang dijalankan oleh Mus’ab bin Umair yang diutus oleh Nabi SAW ke Madinah (setelah Bai’ah Aqabah I) untuk menyeru penduduk Madinah memeluk Islam dan mengimani Rasulullah dan risalah yang dibawa baginda. Dakwah yang dibawa oleh Mus’ab berjaya mengubah pemikiran dan tingkah laku kaum Aus dan Khazraj sehingga mereka menerima Islam dengan sukarela dan dengan jalan damai. Tidak ada satu paksaan dan kekerasan sebesar zarah pun yang dibawa oleh Mus’ab.

Mus’ab bin Umair mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah sehingga diriwayatkan tidak ada satu rumah pun di Madinah yang tidak mendengar Islam. Islam menjadi buah mulut setiap orang sehingga ia berjaya menarik ramai pemimpin-pemimpin Madinah untuk memeluk Islam dan menerima kerasulan Muhammad SAW dengan hati yang ikhlas, tenang dan terbuka. Sehinggalah para pemimpin Madinah ini tidak sabar-sabar untuk ke Mekah bagi menemui Rasulullah bagi menyerahkan jiwa dan raga serta seluruh kehidupan mereka kepada Allah dan RasulNya itu. Setelah mereka benar-benar beriman kepada risalah yang dibawa oleh Nabi SAW, maka mereka faham dan dengan penuh ketaatan dan ketundukan kepada Allah, menyerahkan diri-diri mereka dan ‘negara’ mereka (Madinah) kepada Rasulullah untuk dipimpin dan diatur dengan Islam. Hal ini tercatat dengan jelas di dalam sirah Rasulullah yang wajib dijadikan teladan dan hukum syarak bagi kita di dalam usaha kita menerapkan Islam dan merubah atau mengganti kerajaan yang sedia ada dengan sebuah kerjaan Islam yang menerapkan hukum Allah dan Rasul.

Pada peristiwa Baiah Aqabah II, diriwayatkan bahawa pada malam yang telah dijanjikan, kaum Aus dan Khazraj telah keluar dari penginapan masing-masing dan menuju ke pergunungan Aqabah dan mendakinya secara bersama-sama termasuk dua orang wanita yang menyertai mereka. Kemudian mereka menunggu ketibaan Rasulullah SAW dan dalam waktu yang tidak lama Baginda tiba bersama bapa saudaranya, Abbas (yang belum masuk Islam ketika itu). Abbas datang hanya untuk mengawasi dan menjaga keselamatan anak saudaranya itu. Dialah orang pertama yang berbicara dengan ucapan, “Wahai kaum Khazraj, sebagaimana yang kalian ketahui, sesungguhnya Muhammad berasal dari golongan kami. Kami telah menjaganya dari ancaman kaum kami yang juga memiliki pandangan yang sama dengan kami tentang dirinya. Dia dimuliakan kaumnya dan disegani di negerinya. Akan tetapi semuanya dia tolak, kecuali untuk ke mari mendatangi kalian dan bergabung dengan kalian. Jika kalian menganggap diri kalian dapat memenuhi segala hal yang dia serukan, maka penuhilah itu dengan sempurna dan jagalah dia dari siapa pun yang menyelisihinya. Maka itu semua menjadi tanggungjawab kalian. Jika kalian melihat diri kalian akan melalaikan dan membiarkannya setelah kalian keluar bersamanya menuju tempat kalian, maka mulai saat ini tinggalkanlah dia.”

Mendengar ucapan Abbas tersebut, maka mereka (Aus dan Khazraj) berkata, “Kami mendengar apa yang telah engkau katakan.” Lalu mereka berpaling kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Bicaralah wahai Rasulullah, maka ambillah (dari kami) apa yang engkau sukai untuk dirimu dan Tuhanmu.” Setelah membaca al-Quran dan menyeru mereka kepada Islam, Rasulullah SAW menjawab, “Aku menawarkan bai’at agar kalian melindungiku seperti kalian melindungi isteri-isteri dan anak-anak kalian.” Lalu al-Barra’ mengulurkan tangannya untuk membai’at baginda seraya berkata, “Kami membai’atmu, wahai Rasulullah. Demi Allah, kami adalah generasi perang dan pemilik medannya. Kami mewarisinya dengan penuh kebanggaan.” Namun, sebelum Al-Barra’ selesai berucap, Abu al-Haitsam bin at-Tihan mencelah dengan mengatakan, “Wahai Rasulullah, di antara kami dan orang-orang Yahudi ada ikatan perjanjian. Kami berniat memutuskannya. Jika kami melakukan hal itu, kemudian Allah memenangkanmu, apakah engkau akan kembali kepada kaummu dan meninggalkan kami?” Rasulullah SAW lau tersenyum dan berkata, “Bahkan, darah akan dibalas dengan darah, pukulan dibalas dengan pukulan! Sesungguhnya aku adalah bahagian dari kalian, dan kalian adalah bahagian dariku. Aku akan memerangi siapa pun yang kalian perangi dan aku akan berdamai dengan siapa pun yang kalian berdamai.”

Orang-orang Madinah itu pun sangat bersemangat untuk memberikan bai’at. Namun, Abbas bin ‘Ubadah segera berdiri dan berkata, “Wahai kaum Khazraj, apakah kalian menyedari makna membai’at lelaki ini? Sesungguhnya kalian membai’atnya untuk memerangi manusia baik yang berkulit putih mahupun hitam. Jika kalian menyaksikan harta benda kalian habis ditimpa musibah, dan tokoh-tokoh kalian mati terbunuh, apakah kalian akan membiarkannya? Maka mulai sekarang, demi Allah, jika kalian melakukannya, itu adalah kehinaan dunia dan akhirat. Namun, jika kalian melihat bahawa diri kalian akan memenuhinya dengan segala hal yang telah kalian janjikan kepadanya  walau harus kehilangan harta dan terbunuhnya para tokoh kalian, maka ambillah dia, dan demi Allah hal itu merupakan kebaikan dunia dan akhirat!” Kaum Khazraj pun menjawab, “Sesungguhnya kami akan mengambilnya meski dengan risiko musnahnya harta benda dan terbunuhnya para pemimpin.” Kemudian mereka berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang kami dapat apabila kami memenuhi hal itu?” Rasulullah menjawab dengan tenang, “syurga”. Seketika itu juga mereka beramai-ramai mengulurkan tangannya masing-masing lalu menggenggam tangan baginda dan membai’atnya dengan kata-kata, “Kami membai’at Rasulullah SAW untuk mendengar dan mentaati sama ada dalam keadaan kami sukar, mudah, senang, benci, mahupun musibah sedang menimpa kami. Kami tidak akan merampas (kekuasaan) dari pemiliknya serta akan mengucapkan kebenaran di mana pun kami berada. Kami juga tidak akan takut di jalan Allah terhadap celaan orang-orang yang suka mencela.”

Tatkala mereka selesai, Nabi saw berkata, “Ajukanlah kepadaku dari kalian 12 orang wakil yang akan bertanggungjawab terhadap kaumnya dalam segala urusan mereka!” . Mereka memilih sembilan orang dari Khazraj dan tiga orang dari Aus, lalu Nabi berkata kepada para wakil tersebut, “Kalian bertanggung jawab atas kaum kalian dalam segala urusan mereka, seperti Hawariyyun melindungi Isa bin Maryam, dan aku adalah penanggung jawab kaumku” . Mereka menjawab, “Ya”. Setelah itu mereka kembali ke perkemahan masing-masing, mengemas barang-barang mereka, lalu pulang ke Madinah. Tidak lama selepas itu, Rasul SAW memerintahkan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah dan mereka pun berangkat secara terpisah-pisah. Rasulullah SAW akhirnya berhijrah ke Madinah bersama Abu Bakar as-Siddiq. Setibanya di Madinah, Rasulullah disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk Madinah dan di sinilah mulanya berdiri Negara Islam yang pertama di dunia dengan Rasulullah SAW sebagai Ketua Negaranya [lihat Sirah Nabawiyah Ibn Hisyam dan Ad-Daulah al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Dari riwayat di atas, kita dapat lihat dengan jelas bahawa penyerahan kekuasaan di antara para pemimpin Madinah kepada Rasulullah SAW itu berlangsung tanpa ada unsur paksaan sedikitpun, malah mereka (beserta penduduk Madinah lainnya) dengan penuh keredhaan dan sukarela menyerahkan diri mereka dan negara Madinah kepada Nabi SAW. Tidak ada pertumpahan darah, tidak ada pembunuhan, tidak ada kematian atau kecederaan, tidak ada kerosakan hartabenda, tidak ada kekacauan dan tidak ada rusuhan. Dengan kata lain, langsung tidak berlaku apa yang dikatakan sebagai  revolusi berdarah atau rampasan kuasa secara kekerasan. Penyerahan kuasa tersebut berlaku dengan penuh keredhaan dan kehendak dari pemimpin dan rakyat negara itu sendiri. Inilah proses perubahan kuasa di dalam Islam yang sama sekali berbeza dengan revolusi berdarah atau demokrasi pilihanraya seperti mana yang berlaku dalam dunia moden hari ini. Walaupun tanpa pilihanraya, Rasulullah SAW ternyata tetap memperolehi sebuah kekuasaan dengan izin Allah. Justeru, inilah jalan yang wajib ditempuh oleh mana-mana individu mahupun gerakan Islam yang berjuang untuk mewujudkan sebuah Negara Islam demi menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Sebagai Muslim, kita hendaklah faham bahawa apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah ini bukanlah sekadar sirah (sejarah) semata-mata, namun ia adalah thariqah (jalan) Nabi SAW yang menjadi hukum syarak yang wajib untuk kita ikuti, tanpa menyimpang sedikitpun.

Seperkara lagi yang perlu kita fahami adalah pemberian (bukan rampasan) kekuasaan yang diberi oleh Aus dan Khazraj kepada Rasulullah adalah hasil dari tindakan atau proses Rasulullah di dalam melakukan thalabun nusrah (mencari pertolongan untuk mendapatkan kekuasaan) di dalam thariqah dakwah Baginda menegakkan Islam di dalam bentuk bernegara secara kaffah (menyeluruh). Dan setelah berjaya mendapatkan kekuasaan, kita hendaklah faham bahawa ia tidak terhenti di situ sahaja. Persoalan seterusnya adalah penerapan hukum Allah di dalam negara, penjagaannya dan penyebarannya ke luar negara. Kesemuanya hendaklah berjalan di atas landasan Islam. Adapun revolusi yang kita lihat berlaku di dunia moden kini, selain dari prosesnya bercanggah dengan Islam, ia juga secara nyata bukanlah sebuah revolusi yang merubah sebuah negara kepada negara Islam atau sebuah revolusi untuk menerapkan hukum Allah. Hakikatnya, langsung tidak berlaku perubahan kepada Islam. Yang berlaku adalah perubahan ‘orang’ atau pemimpinnya sahaja manakala sistemnya tetap sistem kufur-sekular. Jika berlaku perubahan sistem sekalipun, ia hanyalah perubahan dari sebuah sistem sekular kepada sebuah sistem sekular yang lain. Hukum Al-Quran dan Sunnah tetap sahaja tidak pernah diterapkan. Sistem Khilafah yang jelas merupakan Sistem Pemerintahan Islam tetap tidak pernah terwujud. Hukum jihad yang wajib dilancarkan oleh pemimpin sebuah negara Islam, juga tidak pernah mereka terapkan. Yang wujud hanyalah sebuah republik Islam itu dan republik Islam ini, yang secara namanya sahaja ‘Islam’ namun sistem dan undang-undang di dalam negaranya tetap sahaja sekular hasil akal-akal manusia!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sebelum melakukan pertukaran sesebuah pemerintahan, dari pemerintahan kufur kepada pemerintahan Islam, umat Islam ini perlu didakwahi melalui sebuah revolusi pemikiran terlebih dahulu di mana mereka hendaklah meninggalkan segala pemikiran kufur-sekular yang berasal dari Barat dan kembali kepada pemikiran Islam yang sebenar. Umat Islam hendaklah diseru agar meninggalkan idea-idea assabiyyah, kebebasan, hak asasi manusia, pluralisme, liberalisme, feminisme, teokrasi, monarki, demokrasi dan sebagainya yang sudah jelas lagi nyata bertentangan dengan Islam dan umat ini wajib dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengambil pemikiran Islam dari sumbernya yang sebenar yakni Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Sahabat dan Qiyas. Kita telah menyaksikan bahawa revolusi dengan cara rampasan kuasa yang berlaku di negara umat Islam ternyata gagal menobatkan Islam sebagai sebuah Deen yang membawa rahmat, malah menimbulkan lagi banyak perpecahan di kalangan umat. Ini kerana, para pencetus dan penggerak revolusi ini sememangnya tidak pernah pun memfokuskan perjuangannya kepada perubahan pemikiran dari kufur menuju Islam dan menegakkan sebuah negara yang akan menyatukan umat Islam di bawah panji La ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Percayalah! Hanya dengan terwujudnya perubahan kepimpinan yang disusuli dengan perubahan undang-undang dan sistem pemerintahan sebagaimana Daulah Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW atau pemerintahan Khulafa’ Rasyidun, maka barulah umat ini akan benar-benar mengalami sebuah revolusi atau pertukaran pemerintahan yang diredhai oleh Allah SWT. Yakinlah bahawa hal ini pasti akan terjadi dalam sedikit masa lagi dengan izin Allah, kerana Rasulullah SAW telah mengkhabarkan bahawa, “Kemudian akan kembali Khilafah ala minhaj nubuwwah” [HR Ahmad].

Wallahu a’lam.
 

PERSIDANGAN LONDON



AMERIKA & BRITAIN SALING BEREBUT SOKONGAN DAN KEPENTINGAN DI BUMI YAMAN!

Pada 1/1/2010 Perdana Menteri Britain menggesa diadakan Persidangan London bagi membincangkan krisis di Yaman atas alasan mencari penyelesaian terhadap krisis tersebut. Persidangan telah diadakan pada 27/1/2010 dengan dihadiri oleh wakil dari 21 buah negara dan berlangsung hanya dua jam! (untuk menyelesaikan satu krisis penting!). Di akhir persidangan diumumkan resolusi untuk menyokong Yaman dalam misinya memerangi Al-Qaeda disertai bantuan pembangunan dan program reformasi ekonomi serta politik, perundingan dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan rundingan perdamaian secara menyeluruh. Penganalisis yang memerhatikan peristiwa yang telah dan sedang berlaku di Yaman akan dapat memahami bahawa resolusi-resolusi tersebut tidak lain hanyalah selubung di sebalik resolusi sebenar, kedudukan ‘para pemain politik’ dan peranan negara-negara di sekitar Yaman serta selubung terhadap matlamat serta hasil persidangan.

Amerika, sejak pengaruh British mula bertapak di Yaman hinggalah ke hari ini, khususnya dengan rejim sekarang, secara konsisten terus berusaha menimbulkan kekacauan serta (berusaha) melaksanakan idea lamanya yang diperbaharui, bahawa dia (Amerika)lah yang layak menjadi pewaris Barat di negara-negara yang berada di dalam cengkaman pengaruhnya. Bagi Amerika, merekalah yang layak menguasai Yaman dan bukannya empayar tua yang lemah. Namun demikian, pemerintah Yaman yang ada pada hari ini hampir-hampir berjaya menghapuskan golongan politik yang setia kepada Amerika dengan membunuh, memenjarakan, menghukum buang negeri dan menjadikan mereka pelarian. Justeru Amerika tidak lagi mempunyai ahli-ahli politik yang berkemampuan serta setia kepadanya untuk menjadi orang suruhannya bagi menguasai kerajaan di Yaman, sekali gus dapat meminggirkan pengaruh British di sana dan mencengkam pengaruh Amerika ke atas Yaman. Oleh itu misi Amerika di Yaman telah difokuskan kepada dua matlamat iaitu:-

(1) Misi  meningkatkan ancaman, yang ditujukan kepada kerajaan Yaman.
(2) Misi merekrut, yang ditujukan kepada media, agensi dan kumpulan  politik kecil yang berkiblatkan Amerika.

‘Misi meningkatkan ancaman’ diserahkan kepada Iran yang memberikan sokongan kepada kumpulan pemberontak Houthi, di mana bom-bom jangka akan meletup bila perlu di utara Yaman, bersebelahan Arab Saudi. Kita namakannya ‘misi mewujudkan ancaman’, meskipun para pemberontak Houthi mengangkat senjata, kerana mereka bukanlah bertujuan menguasai kerajaan Yaman, tetapi tujuan sebenar puak tersebut adalah untuk mendapatkan kedudukan yang kuat serta berpengaruh di kawasan mereka.

‘Misi merekrut’ agensi, badan atau kumpulan politik yang setia kepada Amerika pula dilaksanakan dengan wujudnya Gerakan Pemisah Selatan Yaman, dan Amerika menggerakkannya untuk memisahkan diri dengan Utara Yaman. Ini dilakukan sebagai langkah pertama (dari keseluruhan langkah yang akan dilakukan selepas ini) oleh Amerika dalam menanamkan pengaruhnya ke atas Yaman. Kita namakannya ‘misi merekrut’ kerana kumpulan politik ini masih di peringkat pembentukan yang dilatih menerusi gerakan pemisah ini. Hal ini terjadi setelah para pemimpinnya yang pro-aktif dipinggirkan dan dihapuskan.

Amerika telah berjaya dalam kedua-dua misi tersebut kerana ia mengambil kesempatan dari penindasan pemerintah terhadap Selatan Yaman serta pengalaman politik mereka, dan sekatan pemerintah terhadap pelaksanaan syariah Islam oleh golongan Houthi. Sikap pemerintah Yaman yang tidak melaksanakan syariah Islam dalam bentuk sebenar di negara ini, turut memberi peluang kepada Amerika memanipulasikannya bagi menjayakan misi mewujudkan ancaman di Utara Yaman, dan misi merekrut di Selatan Yaman. Hal ini dilakukan hingga ke peringkat memaksa pemerintah Yaman mengikut telunjuk Britain, dengan Yaman melaksanakan langkah-langkah ‘kecemasan’, di antaranya:-

Pertama: Memujuk Amerika melalui perjanjian keamanan agar Amerika mendiamkan diri terhadap kezaliman pemerintah Yaman. Yaman telah menandatangani perjanjian keamanan dan ketenteraan dengan Amerika Syarikat setelah mengadakan perbincangan di antara ketua-ketua tentera dan perisikan di San’a pada 10 dan 11 November 2009. Perjanjian ini merangkumi kerjasama ketenteraan dan keamanan serta pertukaran maklumat dan kemahiran dalam kedua-dua bidang tersebut. Perjanjian ini diumumkan setelah berlangsungnya perbincangan di antara Panglima Tertinggi Tentera Yaman, Mejar Jeneral Ahmad Ali Asywal dengan Pengarah Perancangan Pimpinan Bersekutu Amerika, Brigadier Jeneral Jeffrey Smith.

Kedua: Melancarkan peperangan terhadap Al-Qaeda. Anggota-anggota Al-Qaeda memang telah dikenal pasti oleh pemerintah Yaman sejak sekian lama, namun pemerintah tidak pernah mengambil sebarang tindakan terhadap mereka, kerana tidak mahu berhadapan dengan musuh baru, dalam suasana mereka sedang menghadapi serangan dari puak Houthi dan Puak Pemisah Selatan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Britain mengubah sikap, kerana Britain mengetahui bahawa isu Al-Qaeda sangat sensitif kepada Amerika. Sekiranya Yaman berperang dengan Al-Qaeda, ini akan memaksa Amerika memberikan sokongan dan bantuannya terhadap Yaman. Tindakan ini sekali gus akan meringankan bebanan yang dihadapi Britain di Utara dan Selatan Yaman. Dalam keadaan ini, pemerintah Yaman akan mula melancarkan serangan ke markas-markas kegiatan Al-Qaeda yang telah dikenal pasti. Oleh itu, jelas bahawa langkah menentang Al-Qaeda ini bukan satu kebetulan, malah ia adalah di luar polisi am Yaman. Bagi sebuah negara yang sedang menghadapi dua krisis serentak, iaitu di Utara dan Selatan, maka bukanlah satu tindakan normal untuk membuka satu lagi medan pertempuran, kalau bukan ianya adalah kerja politik yang bertopengkan tentera yang datangnya dari Britain.

Di celah-celah detik yang amat sukar ketika ini, Perdana Menteri Britain mengajak dunia datang ke Persidangan London (kononnya) untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada Republik Yaman menghadapi Al-Qaeda serta berdiri bersama-sama Britain dalam hal ini. Apa yang dilakukan Britain ini sebenarnya akan menyulitkan usaha Amerika mendampingi Yaman serta meringankan tekanan yang dihadapi kerajaan Yaman di Utara dan Selatan republik tersebut. Amerika tidak mempunyai pilihan lagi kecuali bersetuju dengan persidangan ini. Dalam pada itu AS mahu mewujudkan markasnya di Yaman bagi memerangi Al-Qaeda serta mengukuhkan agensi atau kumpulan politik kecil (yang dirancangnya) khususnya di selatan Yaman. Pada masa yang sama, AS cuba mencapai penyelesaian yang sekadar “cukup makan” bagi gerakan Houthi, iaitu sekadar meringankan masalah bukan menamatkan krisis, supaya gerakan ini boleh ditonjolkan semula penentangannya apabila dirasakan perlu.

Beginilah suasana Persidangan London, pada satu sisi Amerika menumpukan perhatian kepada menghulur bantuan ketenteraan dan logistik bagi menghancurkan Al-Qaeda, serta menekan pemerintah Yaman agar berunding dengan gerakan pemberontak di Selatan dan Utara negara itu, pada sisi yang lain Britain pula menumpukan perhatian kepada menghulur bantuan ekonomi serta (kononnya) berdiri bersama-sama masyarakat antarabangsa menyokong Yaman menentang pemberontak di Selatan dan Utara negara itu. Dalam masa yang sama, Britain ‘menimbangkan’ isu Al-Qaeda dalam konteks membantu Yaman menentang puak Houthi dan puak pemisah Selatan Yaman!

Sungguh! Persidangan selama dua jam ini tidak lebih dari menjadi tempat wakil-wakil 21 buah negara bergaya di hadapan kamera televisyen, dengan Britain dan Amerika menghimpunkan negara sekutu masing-masing untuk mencapai matlamat masing-masing di atas tumpahan darah rakyat Yaman!

Wahai kaum Muslimin!

Sampai bilakah negeri-negeri umat Islam akan terus menjadi medan pertarungan kuasa-kuasa besar dengan bersenjatakan penduduk-penduduknya? Sampai bilakah negeri umat Islam akan terus kekal menjadi pentas yang di atasnya Barat berpesta menumpahkan darah penduduknya dan menghisap segala kekayaan alamnya? Sampai bilakah Barat akan terus menyalakan api di negeri umat Islam mengikut masa dan tempat yang mereka suka? Sampai bilakah pemerintah-pemerintah di Yaman, serta negeri-negeri umat Islam yang lain, akan sentiasa menjadi bidak-bidak catur yang digerakkan oleh Barat, dalam keadaan para pemerintah itu tidak membantah, malahan tidak merasa jemu sedikit pun! Adakah belum sampai masanya bagi rakyat Yaman menyedari bahawa pemerintah Yaman melalui tindakan-tindakannya yang zalim itu akan memudahkan lagi puak-puak yang bertelagah di bumi Yaman membunuh penduduknya serta menghancurkan rumah-rumahnya? Nampaknya tidak ada yang lebih penting bagi pemerintah tersebut melainkan berusaha untuk terus kekal di kerusi empuknya sekalipun dalam keadaan lemah, bengkok dan hampir-hampir tumbang!

Di sepanjang siri peperangan yang meletus di Yaman, sudah berpuluh-puluh ribu, malah beratus-ratus ribu orang telah diusir, dibunuh, dan cedera. Semua pihak yang terlibat dalam peperangan tersebut adalah orang Islam yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Apakah mereka tidak mengetahui bahawa peperangan di antara sesama umat Islam merupakan bencana yang amat besar, dan bahawa dosa membunuh orang Islam tanpa sebab adalah lebih besar daripada dosa meruntuhkan Kaabah!? Abdullah bin Umar meriwayatkan,

“Aku melihat Rasulullah SAW tawaf di sekeliling Kaabah sambil bersabda, ‘Alangkah harum baumu, alangkah hebat dan agungnya kehormatanmu. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya kemuliaan seorang mukmin itu lebih besar di sisi Allah daripadamu, pada harta dan darahnya, dan kami diperintah bersangka baik terhadapnya” [HR Ibnu Hibban].


Sesungguhnya Amerika dan Britain bertarung di Yaman bersenjatakan rakyatnya (Yaman), dengan menggunakan segala kemudahan keamanan dan logistik yang disediakan oleh pemerintah Yaman itu sendiri, dengan keberanian membabi-buta puak pemisah di Selatan dan puak Houthi di Utara, dan orang-orang yang seperti mereka dari kalangan yang terjebak ke kancah kecelakaan dalam keadaan mereka menyangka apa yang mereka lakukan itu adalah baik!

Wahai kaum Muslimin!

Ada dua musibah yang menimpa kita:-

Pertama: Para pemerintah di negeri-negeri umat Islam yang tidak takutkan azab Allah dalam mengendalikan urusan negara dan rakyat! Sekiranya umat Islam menggunakan akal yang sihat, tentu mereka mengetahui bahawa pemerintah yang mengkhianati rakyatnya tidak akan masuk syurga, malah tidak akan mencium kewangiannya. Sabda Nabi SAW,

“Siapa sahaja di kalangan penguasa yang (diangkat) menguruskan urusan kaum Muslimin, lalu dia mati dalam keadaan menipu mereka, tidak akan masuk syurga” [HR al-Bukhari].

Jika begitu, bagaimana pula pemerintah yang menyesatkan manusia, menukar yang haq menjadi batil dan menukar yang batil menjadi haq, serta menganggap perbuatan khianat itu sebagai amanah!? Pemerintah seperti ini akan menjadi golongan ‘Ruwaibidhah’ yang memimpin rakyatnya kepada kebinasaan! Sabda Rasulullah SAW,

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah, dan orang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhah’. Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhah wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab, ‘Orang bodoh yang bercakap mengenai urusan orang ramai” [HR Ahmad].

Kedua:  Adanya sebahagian umat Islam yang mendiamkan diri terhadap pemerintah-pemerintah yang zalim serta tidak membantah kezaliman mereka, sekalipun mereka (umat Islam) ditimpa pelbagai kehinaan sebagai akibat dari apa yang dilakukan oleh pemerintah itu. Maka berlakulah sepertimana yang kita lihat di Palestin, Kashmir, Chehnya, Cyprus, Timor Leste dan tempat-tempat lain. Sudan hampir terbahagi dua, Iraq, Afghanistan, Pakistan dan akhir sekali Yaman, telah menjadi medan perebutan Barat melakukan serangan dan penjajahan, manakala yang menjadi alat (ejen)nya adalah para pemerintah umat Islam dan kroni mereka. Bukanlah satu perkara baru apabila ditimpakan ke atas umat Islam azab dan malapetaka, yang bukan sahaja terkena ke atas golongan pemerintah, tetapi terkena juga ke atas golongan yang diperintah, yang kesemua ini berlaku bilamana umat Islam mendiamkan diri terhadap kezaliman pemerintah. Allah SWT berfirman,

“Takutlah kamu akan fitnah yang tidak akan ditimpakan terhadap golongan yang zalim di kalangan kamu sahaja”
[TMQ al-Anfal (8):25].

Sabda Nabi SAW, “Apabila manusia melihat kemungkaran berlaku lalu mereka tidak menentangnya, maka hampir sahaja azab Allah ditimpakan ke atas mereka kesemuanya” [HR Ahmad dan Abu Daud].

Wahai kaum Muslimin!

Sesungguhnya telah terbitlah fajar bagi orang-orang yang melihat. Tidak akan selamat umat ini melainkan dengan apa yang telah menyelamatkan umat ini di zaman silam iaitu dengan adanya Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj Nubuwah, yang berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah serta berjihad di jalanNya. Pemerintahnya adalah para Khalifah yang mana tentera Islam berperang di belakangnya dan ia digeruni kawan dan lawan. Para Khalifah menjadi perisai yang senantiasa melindungi rakyatnya dan selalu terbuka dalam menerima nasihat. Sesungguhnya Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj Nubuwah akan kembali untuk kedua kalinya dan ketika itu tidak ada lagi ruang untuk Amerika, Britain dan mana-mana kuasa kuffar untuk menyerang negeri kita serta menanam pengaruh mereka...kerana ketika itu mereka akan terlalu sibuk melindungi tanah air mereka sendiri, kerana melarikan diri daripada cahaya Islam yang berada hampir dengan negeri-negeri mereka!

“Allah akan tetap menguasai urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
[TMQ Yusuf (12):21].

Hizbut Tahrir
12 Safar 1431 H
27 Januari 2010 M

[Artikel di atas adalah terjemahan dari Bahasa Arab yang telah disunting ke Bahasa Melayu dan disebarkan oleh Hizbut Tahrir ke seluruh dunia]

sumber : http://mykhilafah.com

AGAMA BARU ITU BERNAMA PLURALISME!



Nampaknya sehingga ke hari ini isu penggunaan kalimah Allah masih belum reda. Bezanya, perkembangan mutakhir ini menyaksikan wujudnya ketegangan bukan di antara penganut Islam dan Kristian, tetapi di kalangan sesama Islam sendiri. Sesetengah pihak begitu ekstrem berpegang kepada pendapat masing-masing sehingga ikatan ukhuwah Islam terus terbakar dan semakin hangus kerananya. Sejak awal tercetusnya isu ini, Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad antara yang dikecam hebat kerana pendiriannya, sehingga lebih 20 laporan polis dibuat terhadapnya dan terbaru, Zulkifli Nordin membuat laporan polis terhadap Khalid yang menyebabkan timbul ketegangan di dalam PKR sehingga ada desakan agar Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu dibuang dari parti. Sungguh malang melihat perkembangan ini di mana isu kalimah Allah kini telah bertukar menjadi satu ‘tragedi’ sesama Muslim. Di sisi yang lain, pelbagai political milage yang cuba diraih oleh parti politik dan golongan politikus bagi menjatuhkan lawan masing-masing menggunakan isu ini.

Tidak kurang pentingnya dari semua hal di atas, satu lagi ‘agenda’ lain yang timbul ekoran dari isu kalimah Allah ini adalah munculnya usaha-usaha dialog antara agama atau aktiviti lain yang cuba merapatkan ‘ukhuwah’ di antara penganut pelbagai agama di Malaysia. Di Kelantan, Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganjurkan majlis Jamuan Muhibah Antara Agama dengan menjemput seramai 200 orang ketua-ketua agama seluruh negara yang mewakili lima agama utama negara yang diadakan pada 28 Januari (semalam). Seramai 16 orang daripadanya adalah ketua-ketua paderi Kristian dari seluruh negara yang sedang bersidang di Kota Bharu. “Majlis makan ini adalah lambang kita meraikan tetamu bagi orang Islam”, kata Nik Aziz [harakahdaily.net].

Menariknya, terdapat satu  perkembangan yang hampir sama berlaku di negara jiran, Indonesia, walaupun peristiwa yang menjadi momentumnya adalah berbeza. Bersamaan dengan meninggalnya mantan Presiden Republik Indonesia yang ke-4, Abdul Rahman Wahid atau lebih dikenali dengan Gus Dur, isu ‘toleransi’ di antara agama kembali menjadi perbincangan hangat. Isu ini yang lebih tepatnya dikenali sebagai ‘pluralisme’ menjadi berita utama selama beberapa hari hampir di kesemua media cetak, baik ia dikaitkan secara langsung dengan peribadi Gus Dur atau pun tidak. Isu pluralisme kembali mencuat terutama setelah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menjuluki Gus Dur sebagai “Bapak Pluralisme” yang patut menjadi teladan bagi seluruh bangsa [antara.co.id 31/12/09]. Mantan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat, Amien Rais pun menilai Gus Dur sebagai ikon pluralisme [kompas.com 02/01/10]. Kalangan liberal juga tidak ketinggalan. Salah seorang aktivisnya, Zuhairi Misrawi, menulis bahawa dalam rangka memberikan penghormatan terhadap Gus Dur sebagaimana dilakukan oleh Presiden Yudhoyono, akan sangat baik jika Majlis Ulama Indonesia (MUI) mencabut kembali fatwa pengharaman terhadap pluralisme [kompas.com, 04/01/10]. MUI dalam fatwanya No.7/MUNAS VII/MUI/11/2005 telah menyatakan dengan jelas bahawa pluralisme (selain sekularisme dan liberalisme) adalah fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam, dan umat Islam haram mengikuti fahaman tersebut. Sautun Nahdhah kali ini akan menjelaskan serba ringkas dalam ruang yang terbatas ini akan hakikat pluralisme dan pandangan Islam mengenainya.

Hakikat Dan Bahaya Pluralisme

Sebelum pergi lebih jauh, kita harus membezakan terlebih dahulu antara ‘pluraliti’ dan ‘pluralisme’. Pluraliti (keragaman) adalah satu keadaan di mana di tengah masyarakat terdapat pelbagai ragam ras, suku, bangsa, bahasa dan agama. Ini adalah sebuah kenyataan yang wujud di dunia sebagai hasil dari proses-proses sosiologi, biologi dan juga historis yang berjalan di muka bumi. Secara biologi, Allah SWT memang menciptakan manusia bersuku-suku, berbangsa-bangsa dengan warna kulit, serta bahasa yang berbeza-beza. Sedangkan secara sosiologi, manusia yang beragam ini memilih untuk memiliki keyakinan atau agama yang berbeza-beza pula. Berbeza dengan pluraliti, pluralisme adalah satu fahaman yang menempatkan keragaman sebagai nilai yang tinggi dalam masyarakat. Pluralisme agama adalah sebuah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Ia adalah satu bentuk toleransi agama di mana agama apa pun dalam pandangan fahaman ini hanyalah merupakan jalan yang berbeza untuk menuju titik kebenaran yang sama (different ways to the same truth). Kerana itu, tidak boleh ada ‘dakwaan kebenaran’ (claim of truth) dari agama mana pun bahawa agama merekalah yang paling benar, dan juga tidak boleh ada dakwaan bahawa keselamatan sebenar (true salvation) dari seksa neraka hanya diperoleh apabila memeluk agama tertentu sahaja. Menurut fahaman ini, kerana agama yang ada hanyalah jalan yang berbeza menuju titik kebenaran yang sama, maka semua agama pasti akan menghantarkan pemeluknya menuju syurga.

Kemunculan idea pluralisme didasarkan pada keinginan untuk melenyapkan keyakinan claim of truth yang dianggap menjadi penyebab munculnya sikap ekstrem, radikal, konflik antara agama serta penindasan dan perang atas nama agama. Kerana itu, mereka berpendapat bahawa diperlukan gagasan pluralisme sehingga agama tidak lagi bersifat eksklusif dan berpotensi memicu konflik. Menurut kaum pluralis, konflik dan kekerasan atas nama agama hanya akan hilang jika setiap agama tidak lagi menganggap agamanya adalah yang paling benar. Inilah hakikat idea pluralisme agama yang dipropagandakan di seluruh dunia Islam melalui pelbagai bentuk dan cara. Kuffar Barat mahukan agar umat Islam mempunyai iktikad (keyakinan) ini, yakni umat Islam mesti yakin (beriktikad) bahawa agama lain juga membawa kebenaran dan jangan sekali-kali beriktikad bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar. Secara sedar atau tidak, segelintir umat Islam telah condong ke arah ini dengan berusaha mencari titik temu di antara agama-agama yang ada, kerana kesemua agama dianggap benar dalam rangka untuk bertoleransi di antara satu sama lain.

Dari idea pluralisme inilah, maka lahir pelbagai gagasan lainnya sebagai usaha ke arah mewujudkan toleransi beragama seperti dialog antara agama, doa bersama, perayaan bersama dan sebagainya. Dalam politik, idea pluralisme ini senantiasa didukung oleh polisi pemerintah yang diterjemahkan sebagai amalan demokrasi dan hak asasi manusia. Inilah sekilas fakta yang menjadi faktor yang memunculkan gagasan pluralisme agama ini. Namun selanjutnya, faktor dominan yang memicu maraknya isu pluralisme agama adalah niat dan usaha kuffar Barat untuk mengukuhkan dominasi Kapitalisme mereka, khususnya ke atas dunia Islam. Selain isu-isu demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan serta perdamaian dunia, pluralisme agama adalah sebuah gagasan yang terus disuarakan Kapitalisme global yang digalang Amerika Syarikat untuk memecah belah kefahaman sekaligus melemahkan akidah umat Islam, dengan pengakuan bahawa semua agama adalah sama dan sama-sama benar!

Kita semua tahu bahawa hujah atau ciri penting sesebuah agama adalah ‘dakwaan kebenaran’ terhadapnya. Inilah juga hujah atau ciri penting yang cuba dibawa oleh gagasan pluralisme yang mana semua orang cuba dimasukkan iktikad agar meyakini bahawa ‘semua agama adalah sama’. Apabila seseorang itu telah meyakininya, maka ini bermakna, dalam diri seseorang itu telah muncul satu lagi akidah baru yakni akidah pluralisme (= meyakini bahawa semua agama adalah sama). Justeru, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa akidah baru ini telah menjadikan pluralisme sebagai satu ‘agama baru’ kepada manusia sehingga manusia bersungguh-sungguh cuba memperjuangkannya, sesuai dengan ‘sifat’ sebuah agama yakni mesti diperjuangkan akan ‘kebenarannya’. Inilah bahayanya idea pluralisme pada umat Islam yang jelas-jelas boleh menggelincirkan akidah umat Islam, tanpa mereka sedari! Kuffar Barat sangat memahami bahawa akidah Islam adalah rahsia kekuatan umat Islam di mana jika ia tidak dilemahkan, maka umat Islam akan bisa bangkit dan mengancam hegemoni Barat. Maka, demi memastikan kebangkitan umat Islam tidak berlaku, akidah seseorang Muslim harus digoncang dan jika boleh, dimusnahkan terus. Inilah tujuan sebenarnya dari wacana pluralisme agama, tidak ada yang lain.

Kebatilan Pluralisme

Umat Islam seharusnya mengkaji bahawa asal-usul fahaman pluralisme ini bukanlah dari Islam, tetapi dari orang-orang kafir Barat yang mengalami trauma hasil konflik dan perang antara puak Katolik dan Protestan serta kumpulan Ortodoks. Antaranya adalah kesan dari peristiwa tahun 1527 di Paris yang disebut dengan The St Bartholomeus Day’s Massacre di mana pada satu malam di tahun tersebut, seramai lebih 10,000 orang Protestan dibantai habis-habisan oleh puak Katolik. Peristiwa yang mengerikan inilah yang telah mengilhamkan ‘semakan semula’ ke atas teologi Katholik pada Vatican Conciliation II (1962-1965). Keyakinan bahawa ‘extra ecclesiam nulla salus’ (no salvation outside the church - tidak ada keselamatan di luar gereja) telah diubah menjadi kebenaran dan keselamatan terdapat juga di luar gereja (di luar agama Katolik/Protestan). Dari sinilah munculnya fahaman bahawa kebenaran itu turut  ada pada agama lain, yang nyatanya lahir dari peristiwa sosio-historik kaum Kristian di Eropah dan AS.

Kelihatan amat jelas di sini bahawa wujudnya pendirian tidak tetap Gereja. Andai kata hasil Vatican Conciliation II diamalkan secara konsisten, tentunya gereja harus menganggap agama Islam juga adalah benar, tidak hanya agama Kristian sahaja. Tetapi fakta tidak menunjukkan demikian. Buktinya, kaum Kristian dari dulu hingga kini terus sahaja melakukan usaha-usaha kristianisasi yang menurut mereka adalah untuk menyelamatkan domba-domba (baca: umat Islam) yang sesat yang belum pernah mendengar khabar gembira dari Tuhan Jesus. Jika benar golongan Kristian ini menganggap bahawa agama Islam juga adalah benar, kenapakah mereka terus melakukan usaha pengkristianan ke atas umat Islam? Jika benar mereka mengakui kesamaan agama, kenapakah mereka memperuntukkan dana yang tidak terbatas untuk mengkristiankan umat Islam? Ini jelas menunjukkan bahawa puak Kristian tidak pernah menganggap bahawa agama Islam adalah benar. Inilah pembohongan idea pluralisme yang mereka perjuangkan.

Secara realitinya, berapa banyak kes yang kita dengar dan kita tahu sendiri bahawa seorang Kristian yang telah bertukar agama kepada Islam, ahli keluarga mereka (yang Kristian) memarahi, memusuhi, malah menghalau mereka dari rumah!? Begitu juga dengan agama-agama lain seperti Hindu dan Buddha contohnya, apabila ada di kalangan ahli keluarga mereka yang memeluk Islam, maka terdapat begitu banyak kes di mana ahli keluarga mereka yang memeluk Islam itu dipulaukan, malah ada yang dipukul dan dihalau dari rumah. Jika benar mereka mengamalkan toleransi agama dan percaya kepada kesamaan di antara agama, mengapa mereka harus memusuhi ahli keluarga mereka yang memeluk Islam? Sedarlah wahai umat Islam! Bahawa agenda pluralisme ini adalah tidak lebih dari usaha pembohongan dan penyesatan kuffar yang begitu nyata ke atas kita semua.

Kemajmukan Bangsa Manusia (Pluraliti) vs Kemajmukan Agama (Pluralisme)

Kita perlu jelas bahawa kemajmukan bangsa atau keturunan manusia ciptaan Allah (pluraliti) merupakan perkara yang berada di luar kuasa kita. Allah menciptakan manusia berlainan bangsa untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain, bukan untuk melebih-lebihkan suatu bangsa atau kaum. Ini berbeza dengan pluralisme yang memikul idea bahawa semua agama, dalam kemajmukannya, adalah sama. Setelah datangnya Islam, agama yang sah di sisi Allah adalah Islam. Malangnya, umat Islam yang terpesona dan terperangkap dengan idea pluralisme agama ini, berusaha keras mencari dalil-dalil di dalam Al-Quran agar ‘agama baru’ ini diterima oleh kaum Muslimin. Sering kita melihat golongan ini menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tentang kepelbagaian kaum atau bangsa untuk menyokong hujah mereka, sedangkan ayat ini tidak ada kaitan langsung dengan pengiktirafan Islam terhadap agama lain. Islam tidak pernah mengiktiraf kebenaran agama lain, namun begitu,  penganut Islam dilarang memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam atau melakukan provokasi terhadap mereka. Umat Islam hendaklah menyeru mereka kepada Islam secara pemikiran dengan cara yang terbaik.

Antara dalil yang sering mereka ketengahkan untuk membenarkan idea sesat ini ialah firman Allah,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling mengenal...”
[TMQ al-Hujurat (49):13].

Menurut kaum pluralis, ayat ini menunjukkan adanya pengakuan Islam terhadap gagasan pluralisme. Walhal sesungguhnya, ayat ini sama sekali tidak ada kaitannya dengan idea pluralisme agama yang diajarkan oleh kaum pluralis. Ayat ini hanya menjelaskan kemajmukan (pluraliti) suku dan bangsa manusia yang Allah ciptakan dan ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa Islam mengakui claim of truth dari agama-agama atau isme-isme selain Islam. Ayat ini langsung tidak menjelaskan apatah lagi membenarkan persamaan antara agama. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah yang mengakui hanya Islamlah satu-satunya agama yang benar,

“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19].

Memang benar bahawa kewujudan agama-agama selain Islam diakui oleh Islam, tetapi bukan bererti ianya benar. Maksudnya, orang-orang kafir dibiarkan bebas menganut agama mereka tetapi tidak sekali-kali bermakna bahawa agama yang mereka anuti adalah benar. Islam mengakui ‘kewujudan’ agama-agama lain namun bukan mengakui ‘kesahihan’ agama-agama tersebut. Semua agama selain Islam adalah tidak benar dan tidak diterima oleh Allah,

“Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi” [TMQ Ali Imran (3):85].

Satu soalan yang kita perlu tujukan kepada umat Islam yang memperjuangkan pluralisme adalah, jika benar mereka meyakini bahawa semua agama adalah sama, apakah mereka sanggup untuk menukar agama Islam yang mereka anuti itu dan masuk agama Hindu atau Buddha atau Kristian atau Yahudi? Jika semua agama adalah sama dan sama-sama benar, maka secara logiknya tentulah tidak menjadi masalah untuk mereka bertukar kepada agama apa sekalipun, namun persoalannya, sanggupkah mereka berbuat demikian? Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya kita sekali-kali tidak akan menukar agama Islam yang kita anuti ini kepada agama-agama lain kerana agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan kesemua agama lain adalah sesat, sesesat-sesatnya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Apa yang wajib untuk kita lakukan bukanlah mengadakan dialog atau meraikan orang-orang kafir untuk mencari atau menjunjung persamaan agama, tetapi mengadakan perdebatan intelektual dengan mereka dalam rangka menyatakan kebenaran agama Islam dan kebatilan agama mereka. Apa yang wajib kita lakukan adalah terus-menerus menyeru para pemeluk agama lain untuk memeluk Islam sebagai satu-satunya agama yang benar yang akan menyelamatkan mereka dari azab Allah. Sungguh, tidak ada persamaan langsung di antara agama kita dengan agama mereka. Agama kita adalah benar dan agama mereka adalah salah. Tidak ada pluralisme!!! Adalah satu keharaman memperjuangkan idea kesamaan agama dan sesungguhnya murtadlah mereka yang meyakini bahawa semua agama adalah benar! Demi sesungguhnya satu-satunya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam dan hanya Islam sahajalah yang akan membawa seseorang itu ke syurga dan sesungguhnya tidak ada dan tidak akan pernah ada titik temu di antara Islam dengan agama-agama lain. Yang ada hanyalah titik temu  di antara agama-agama lain sesama mereka sahaja – titik temu mereka adalah dalam kesesatan dan dalam neraka! Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk”
[TMQ al-Baiyyinah (98):6].

Na’uzubillah min zalik.
 

PEMBAKARAN GEREJA : WASPADA DENGAN TIPUDAYA


Rentetan dari tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009 yang lalu, sebahagian dari umat Islam telah melakukan demonstrasi membantah keputusan mahkamah tersebut. Demonstrasi kali ini agak istimewa di mana Perdana Menteri sendiri telah pun memberikan ‘lampu hijau’ ke atasnya, malah pihak polis dan pasukan cawangan khas (SB) yang hadir turut memberikan kerjasama, satu pemandangan yang sukar dilihat di Malaysia. Dalam pada ramai umat Islam yang masih ‘terkejut’ dengan sokongan kerajaan ke atas demonstrasi yang diberi liputan besar-besaran ini, berlaku satu lagi kejutan apabila tidak lama selepas itu beberapa buah gereja di sekitar Lembah Kelang dilaporkan terbakar atau cuba dibakar. Insiden pertama berlaku di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati pada pukul 12.30 tengah malam pada 8 Januari lepas, disusuli kejadian di Gereja Assumption di Petaling Jaya kira-kira pukul 4 pagi dan Gereja Chapel, Damansara pada pukul 9 pagi [UM 10/01/10].

Kejadian yang sama kemudian melarat ke Ipoh di mana dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah, selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah. Tiada kerosakan berlaku pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, katanya [UM 11/01/10]. Insiden pembakaran seterusnya menular ke Negeri Sembilan apabila Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Seremban di Lakeview Square, Seremban 2 dibakar pada awal pagi [UM 12/01/10].

Setakat ini, polis masih melakukan siasatan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, beberapa pemimpin tertinggi kerajaan nampaknya ‘kepanasan’ apabila pihak pembangkang seolah-olah menuding jari bahawa UMNO adalah dalang di sebalik apa yang berlaku. Sebagai tanda simpati, Datuk Seri Najib Tun Razak telah turun sendiri melawat Gereja Metro Tabernacle selama 15 minit untuk menilai kerosakan gereja tersebut dan terus mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada gereja tersebut untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain [UM 10/01/10]. Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz adalah antara pemimpin tertinggi PAS yang turut melawat rumah ibadat Kristian yang terbakar itu sebagai tanda simpati.

Haram Merosakkan Rumah Ibadat Agama Lain

Islam mengharamkan penganutnya dari merosakkan rumah ibadat agama lain, baik dengan membakar atau memusnahkannya dengan apa cara sekalipun. Walaupun kita tidak bersetuju dan tidak redha dengan perbuatan mereka dalam apa jua hal, khususnya dalam soal kekufuran mereka kepada Allah, namun kita diharamkan untuk membakar atau merosakkan rumah ibadat mereka. Sesungguhnya Rasulullah dan para sahabat (Ijmak Sahabat) tidak pernah menunjukkan atau membenarkan hal ini dilakukan. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

“...Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya...”
[TMQ al-Hajj (22):40].

Di dalam kitab Tafsir at-Thabari, beliau menyebut bahawa Ibnu Khuwaiz Mindad berkata, ayat ini mengandungi larangan meroboh dan merosakkan binaan gereja kafir ahli zimmah, dan biara-biara mereka.

Sehubungan dengan perkara ini, Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini ingin mengingatkan umat Islam agar tidak terpancing dengan emosi dan provokasi sehingga melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Islam. Emosi hendaklah dipandu mengikut hukum syarak. Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mungkin sahaja ada pihak-pihak yang berkepentingan sengaja melakukan pembakaran tersebut bagi mengeruhkan lagi suasana, baik dari kalangan orang kafir mahupun dari kalangan orang Islam sendiri. Namun, setiap gerakan Islam dan individu Muslim yang ikhlas hendaklah berhati-hati dan tidak seharusnya melatah dengan apa yang berlaku. Tanpa kita perlu menuding jari kepada pihak yang mungkin melakukannya, perhatian kita hendaklah difokuskan kepada ‘kesan’ dari peristiwa ini.

Jika kejadian ini didalangi oleh pihak tertentu yang cuba meraih political milage, semoga Allah membalas kejahatan mereka dengan setimpal. Tetapi sekiranya kejadian ini benar-benar dilakukan oleh umat Islam yang ikhlas yang tidak sanggup melihat puak-puak kuffar menyalahgunakan kalimah Allah, maka nilailah dengan mendalam apa yang anda telah lakukan. Di samping menyalahi hukum syarak, ‘kesan’ penting dari peristiwa pembakaran ini adalah menyebabkan pihak polis dan juga pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang lebih berpihak kepada gereja. Sebaik sahaja terjadinya peristiwa ini, ketua-ketua polis di seluruh negara telah mengarahkan ramai dari anggota mereka untuk menjaga keselamatan tempat ibadat kufur tersebut. Kerajaan malah, tanpa siasatan bermula pun lagi, telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada gereja Metro Tarbenacle, satu jumlah yang bagi kerajaan mungkin semacam RM5, tetapi tidak bagi rakyat. Proses menjaga keselamatan gereja juga tentunya akan memakan masa yang agak panjang dan tentunya menelan belanja yang tidak sedikit di dalam keseluruhan prosedurnya. Dari manakah semua wang yang telah dan akan dibelanjakan ini jika bukan wang rakyat? 

Memanglah kita tidak nafikan bahawa menjadi tugas kerajaan untuk menjaga keselamatan dan keamanan rakyat, namun persoalannya di sini adalah, siasatan masih belum selesai dijalankan, namun wang yang begitu banyak telah dibayar kepada pihak yang berkenaan. Di samping kita tidak menolak dakwaan pembangkang yang menyalahkan kerajaan, mungkin sahaja pembakaran ini dilakukan oleh segelintir puak Kristian sendiri yang cuba menangguk di air keruh. Sepatutnya kerajaan selesaikan dahulu siasatan sebelum memberi gantirugi. Setelah jelas siapa yang bersalah, barulah boleh timbul soal gantirugi, tetapi bukan sebelumnya. Berapa banyak kes-kes yang berlaku sebelum ini sehingga ada yang melibatkan kematian, tetapi kerajaan tidak pernah membayar gantirugi sebelum kes diputuskan oleh Mahkamah. Tetapi dalam kes ini, kerajaan bertindak sepantas kilat memberi gantirugi. Lihat sahaja kes tiga orang pelajar di Kampar yang mati lemas akibat jambatan runtuh semasa menghadiri  perkhemahan 1Malaysia pada 27 Oktober tahun lepas. Begitu juga dengan kes kematian Teoh Beng Hock semasa siasatan SPRM, dan banyak lagi kes lainnya yang ada kaitannya dengan kerajaan, semuanya tidak mendapat ‘gantirugi simpati’ dari kerajaan sebagaimana kes pembakaran gereja ini. Oleh itu, fikirkanlah betapa ruginya umat Islam itu sendiri dengan kejadian pembakaran gereja ini, di mana terlalu jelas bahawa segala kelebihan adalah berpihak kepada orang-orang kafir.

Kesan langsung yang tak kurang pentingnya adalah propaganda yang boleh dilakukan oleh orang kafir ke atas umat Islam. Walaupun ia hanya perbuatan beberapa orang yang tidak bertanggungjawab, tetapi golongan kuffar tentunya akan mengambil kesempatan dengan kejadian yang berlaku ini untuk memburukkan lagi Islam dan umatnya. Peristiwa pembakaran ini boleh sahaja diperbesarkan oleh orang kafir bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara yang akan memberi ruang kepada orang kafir di seluruh dunia untuk bersatu suara memburukkan lagi Islam dan umatnya.

Di dalam negara, peristiwa ini (tidak kira siapa yang melakukannya) telah memberi kelebihan kepada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjustifikasi kerelevanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA yang kononnya mahu dikaji oleh Najib pada awal pemerintahannya, kini masih sahaja tetap tidak terusik sedikitpun, malah dengan apa yang berlaku ini, memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk menguatkan hujah mereka bahawa ISA masih diperlukan. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersetuju ISA digunakan jika langkah tersebut mampu membendung menularnya perbuatan menyerang gereja. Beliau berkata, ISA wajar digunakan jika langkah tersebut didapati berkesan dalam mengembalikan semula keamanan dan ketenangan di negara ini. Bahkan Menteri Dalam Negeri sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penggunaan ISA merupakan pilihan terakhir dalam membendung perbuatan menyerang gereja yang berlaku sejak beberapa hari lalu [UM 11/01/10]. Hanya kerana perbuatan khianat seorang dua manusia, ISA mesti terus ada. Kerana seorang Jebat yang menderhaka, taming sari mesti terus diguna dan dipelihara!

Sukarnya Bila Tiada Khilafah

Itulah di antara beberapa kesan langsung yang dapat kita saksikan hasil peristiwa pembakaran yang berlaku. Hakikatnya umat Islamlah yang menanggung kerugian dari semua ini. Justeru, tidak sayugialah bagi seorang Muslim untuk melakukan ini semua, walaupun kebencian mereka kepada puak kuffar dan sekular meluap-luap. Kaum Muslimin hendaklah bertindak bijak dalam menangani masalah ini supaya situasi tidak menjadi lebih buruk. Perbuatan kita mestilah dipandu oleh hukum syarak, bukan oleh perasaan. Ingatlah kepada Allah dan Rasul sebelum melakukan setiap perbuatan dan periksalah sama ada Allah dan RasulNya membenarkan atau tidak untuk kita melakukan perkara tersebut. Bagi mereka yang sangat bencikan rumah ibadat orang kafir, kita hendaklah ingat bahawa ketika Rasulullah SAW diutus (di Mekah) dahulu pun, Mekah dipenuhi oleh berhala-berhala, baik di luar mahu pun di dalam Kaabah sendiri. Namun Rasulullah tidak menghapuskannya dan tidak juga memerintahkan para sahabat untuk memusnahkan berhala-berhala tersebut. Orang-orang kafir diajak kepada Islam secara pemikiran, bukan secara kekerasan. Orang-orang kafir diajak untuk menyembah Allah dan diseru meninggalkan sembahan-sembahan mereka dengan hujah yang nyata, bukan dengan fizikal.

Namun, keadaan berbeza apabila Daulah Islam telah tertegak di Madinah dan setelah berlakunya fathu Makkah di mana Rasulullah telah menghancurkan semua berhala yang ada di sekitar Kaabah. Berlaku juga satu peristiwa yang masyhur di dalam sirah di mana Rasulullah SAW memerintahkan sahabat untuk menghancurkan berhala Latta yang berada di Tsaqif. Beberapa orang delegasi dari Tsaqif datang berjumpa Rasulullah untuk memeluk Islam tetapi meletakkan syarat. Rasulullah SAW sama sekali tidak menerima syarat delegasi Tsaqif bahawa mereka hanya akan masuk Islam apabila Rasulullah membiarkan berhala mereka (tidak dihancurkan) selama tiga tahun, dan membebaskan mereka dari kewajiban solat. Baginda langsung menolak usulan mereka untuk membiarkan Latta barang dua tahun atau sebulan seperti yang mereka minta. Bahkan baginda menolak semua usulan mereka dengan tegas. Ini adalah kerana, manusia hanya memiliki dua pilihan (yakni) iman atau kufur, dan kedua hal ini tidak boleh dicampur adukkan. Rasulullah SAW hanya menerima permintaan mereka agar bukan mereka sendiri yang menghancurkan berhala Latta. Baginda lalu menugaskan Abu Sufyan dan Mughirah bin Syu’bah untuk menghancurkannya.

Di dalam Islam, rumah ibadat orang-orang kafir sememangya tidak boleh dizahirkan di tengah-tengah umat Islam. Agama Allah dan syiar Islamlah yang wajib dizahirkan, bukannya syiar kufur. Namun demikian kita perlu ingat bahawa ketentuan untuk meroboh atau mengalihkan rumah ibadat kufur (yang zahir) ini hendaklah datang dari Ketua Negara, kerana hanya Ketua Negara sahajalah yang mempunyai solahiyyah (autoriti) untuk melakukannya. Saidina Umar ra contohnya, ketika membuka Baitul Maqdis dari tangan golongan Kristian, atas kapasitinya sebagai Khalifah, bersetuju untuk tidak merobohkan gereja-gereja mereka. Tetapi dalam rangka menzahirkan syiar Islam, Umar lantas memerintahkan agar masjid dibangun di depan sakhrah (batu besar tempat Rasulullah dimi’rajkan) di Baitul Maqdis [Al-Bidayah wan Nihayah, Ibnu Katsir]. Justeru, kita hendaklah faham bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah (dan Umar) di dalam memusnahkan berhala-berhala atau menentukan kedudukan gereja, adalah di dalam kapasiti mereka sebagai Ketua Negara. Malangnya Ketua Negara pada hari ini sudah tidak berhukum dengan hukum Islam dan sudah tidak mempedulikan ini semua lagi, di mana sekarang terdapat begitu banyak rumah ibadat orang-orang kafir yang zahir di tengah-tengah umat Islam. Kita pun sudah tidak menaruh harapan kepada mereka kerana mereka ternyata sayangkan hukum kufur lebih dari hukum Islam. Justeru, kita berusaha menegakkan Khilafah yang mana bila berdirinya sistem pemerintahan Islam ini nanti, Insya Allah Khalifah akan berhukum dengan hukum Allah dan memastikan hal ini tidak berlaku dan akan memberi kemenangan, keamanan serta ketenangan kepada kita semua.

Sesungguhnya sistem sekular yang diterapkan pada hari inilah yang menjadi punca kepada banyak krisis yang melanda. Hukum Allah telah diganti dengan hukum buatan tangan sendiri di bawah sistem demokrasi. Pemerintah kononnya menjaga kesucian nama Allah dari disalah gunakan oleh orang-orang kafir, namun hakikatnya hukum Allah telah lama ‘dihina’ oleh pemerintah sendiri. Mahkamah yang memutuskan apa-apa perkara pada hari ini adalah mahkamah kufur, yang diwujudkan oleh pemerintah itu sendiri. Apa yang lebih buruk dari penyalahgunaan nama Allah adalah, tidak diterapkannya hukum Allah di dalam negara oleh parti pemerintah. Tidak berjalannya hukum Allah di dalam negara menyebabkan banyak krisis, kerosakan dan malapetaka muncul darinya. Sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini tidak pernah sama sekali menjaga dan melindungi kesucian agama Allah, malah senantiasa mensucikan sistem dan undang-undang kufur. Sistem kufur buatan manusia ini tidak pernah menjaga akidah umat Islam, malah dengannyalah akidah umat Islam semakin rapuh dan orang Islam dibenarkan murtad dari agama Allah tanpa dikenakan hukuman yang sepatutnya. Sistem yang buruk ini hendaklah ditukar kepada sistem Khilafah ala minhaj nubuwwah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika benar mereka yang membakar gereja atau cuba membakar gereja adalah dari kalangan umat Islam yang ikhlas, semoga mereka yang bertanggungjawab ini sedar akan perbuatan salah mereka dan tampil membuat pengakuan, dan mereka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah, dan semoga Allah mengampuni mereka. Namun, jika ia dilakukan oleh pihak lain, maka kita semua hendaklah sentiasa berwaspada dan mengingatkan antara satu sama lain akan agenda jahat yang tersembunyi di sebalik peristiwa nama Allah dan pembakaran gereja ini, baik ia dilakukan oleh orang kafir mahupun orang Islam. Ingatlah akan firman Allah bahawa,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Dan firmanNya,

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu, sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):51].


YA ALLAH! NAMAMU DIPERJUANG, HUKUMMU DIBUANG.


Keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan bahasa melayunya telah mengundang kemarahan segelintir umat Islam. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 17hb Januari 2009 yang lalu telah melarang akhbar tersebut berbuat demikian, namun ternyata keputusan mahkamah akhirnya berpihak kepada mereka. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa akhbar mingguan tersebut mempunyai hak untuk berbuat demikian dari segi Perlembagaan Persekutuan kerana Artikel 11(4) Perlembagaan hanya menghalang orang-orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah untuk menyebarkan agama kepada orang-orang Islam tetapi ia bukanlah larangan untuk orang-orang bukan Islam menggunakannya sesama mereka.

Menurutnya lagi, Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi tidak memberikan kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menghalang gereja tersebut daripada menggunakan kalimah Allah [UM 1/1/2010]. Umat Islam yang berdemonstrasi membantah keputusan Mahkamah Tinggi memberi hujah bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan agama lain tidak berhak menggunakannya. Sebahagian umat Islam yang membantah menyifatkan bahawa penggunaan nama Allah oleh akhbar Kristian tersebut boleh mengelirukan akidah umat Islam. Bagaimanapun, kebanyakan pihak yang berdemonstrasi dikatakan terdiri dari puak-puak yang pro-UMNO, kerana itulah mereka diberi liputan besar-besaran oleh media dan pihak polis pula langsung tidak mengambil tindakan atau menghalang para penunjuk perasaan yang melakukan ‘demonstrasi haram’ ini. Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam bertenang sementara dia berjanji akan menyelesaikannya dengan sebaik mungkin di mana beliau akan mengadap Agong dan juga Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

Di sebalik apa yang berlaku, tidak kurang juga pihak yang menyifatkan bahawa ada agenda politik di sebalik keputusan ini agar parti pemerintah dapat tampil sebagai jaguh dalam ‘mempertahankan’ Islam, di samping dapat menutup segala kemelut dalaman yang semakin banyak dan semakin parah. Apa pun, kerajaan telah memberi jaminan bahawa mereka akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini. Dalam pada itu, ada juga pihak yang mencadangkan penyelesaian luar mahkamah terhadap isu ini dengan mencadangkan agar diadakan dialog di antara pemimpin tertinggi setiap agama bagi mencapai kesepakatan. Dengan kata lain, konsep ‘dialog antara agama’ telah kembali menjadi modal akal untuk menyelesaikan masalah. Walhal, konsep ini jelas-jelas merupakan perangkap kuffar terhadap umat Islam bagi mengiktiraf agama mereka yang sesat itu. Alih-alih ingin menyelesaikan masalah, umat Islam terus memasuki perangkap kuffar dengan konsep pluralisme [sila baca SN76 Dialog Antara Peradaban: Umat Islam Terperangkap Dalam Agenda Kufur].

Walaupun kekhuatiran sebahagian umat Islam bahawa penggunaan kalimah Allah oleh puak kuffar ini akan menyebabkan kekeliruan ada asasnya, namun ia hendaklah dijawab dengan nas, bukannya emosi atau akal semata-mata. Inilah pendirian yang harus diambil oleh kita sebagai seorang Muslim.

Bolehkah Orang Kafir Menggunakan Kalimah Allah?

Penggunaan kalimah Allah ini telah pun wujud sebelum zaman Rasulullah SAW diutus lagi. Di Mekah sendiri ketika itu, orang-orang kafir Quraisy sudah pun menggunakan nama Allah di dalam kehidupan seharian mereka, baik semasa beribadat mahupun dalam sumpah mereka. Sehinggalah Muhammad diangkat menjadi Rasul, penyebutan kalimah Allah tetap menjadi kebiasaan mereka, baik oleh kafir Ahli Kitab mahupun kafir Musyrik. Namun hal ini tidak pernah dihalang oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya apa yang dikecam oleh Rasulullah adalah perbuatan mereka yang mensyirikkan Allah dan tidak mahu beriman dengan Al-Quran. Dengan kata lain, yang menjadi perhatian Rasulullah adalah akidah dan juga sistem mereka yang rosak di mana telah berlaku penyimpangan dalam aqidah dan sistem yang mereka terapkan. Namun demikian, terdapat keadaan di mana Allah sendiri yang mengecam dan melaknat golongan kuffar ini apabila mereka telah menyalahgunakan dan meletakkan Allah di tempat yang salah.

(i) Penggunaan Yang Benar –

Terdapat banyak ayat Al-Quran di mana Allah tidak mengecam orang-orang kafir menggunakan namaNya, tapi apa yang dikecam oleh Allah adalah perbuatan mereka yang tidak beriman kepadaNya. Antaranya firman Allah,

“Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang-orang kafir), ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’ sudah tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka bagaimanakah mereka boleh dipalingkan (dari menyembah Allah)? Dan (Allah mengetahui) ucapan (Muhammad) yang berkata, Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman!”
[TMQ al-Zukhruf (43):87-88].

Firman Allah dalam ayat yang lain,

“Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka, ‘siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?’ tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)? [TMQ al-Ankabut (29):61].

Allah juga mengecam orang-orang kafir yang, walaupun meyakini Allah dan menggunakan kalimah Allah, tetapi menyekutukanNya. FirmanNya,

“Ingatlah! Untuk Allah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah berkata, ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuk orang-orang yang berdusta dan sangat kufur. [TMQ al-Zumar (39):3].

Di dalam Sirah Ibn Hisyam, juga di dalam banyak hadis mengenai perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi SAW dengan kafir Quraish, disebutkan bahawa, tatkala Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW, antara wakil Quraish ialah Suhail bin Amru. Apabila Nabi SAW memerintahkan agar Ali k.w menulis di permulaan perjanjian kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’, Suhail berkata, ‘Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim’. Maka Nabi SAW pun memerintahkan agar Ali memadam kalimah tersebut dan menggantikannya dengan ‘Bismikallahumma’ (dengan namaMu Ya Allah).

Banyak lagi nas lainnya yang menunjukkan bahawa orang-orang kafir boleh menggunakan nama Allah. Mafhum yang dapat diambil daripada nas-nas di atas adalah Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir tetapi apa yang Allah larang adalah perbuatan orang-orang kafir yang tidak beriman dan menyekutukan Allah. Kesimpulannya, Islam tidak menghalang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir tetapi dengan syarat ia hendaklah digunakan di dalam konteks yang benar yakni Allah sebagai Tuhan bagi semua manusia, alam semesta dan juga kehidupan. Umat Islam tidak seharusnya terus melenting apabila nama Allah digunakan oleh orang kafir, namun harus dilihat terlebih dahulu konteks penggunaannya. Bahkan dalam beberapa keadaan, penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir mendedahkan dan membuktikan lagi kesesatan kepercayaan agama mereka.

(ii) Penggunaan Yang Salah –

Sememangnya terjadi di zaman Rasulullah di mana nama Allah telah digunakan di dalam konteks yang salah oleh orang-orang kafir. Dan hal yang sama boleh berlaku pada bila-bila zaman/masa sekalipun. Firman Allah,

“Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa anak Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan kalimatNya) yang disampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh (dariNya). Maka berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah mengatakan (Tuhan itu) tiga (‘trinity’)...” [TMQ an-Nisa(4):171].

Dalam ayat lain Allah menyebut, “Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam...” [TMQ Al Maidah (5):72].

Dalam ayat berikutnya (ayat 73) Allah menyebut,

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Bahawasanya Allah adalah salah satu dari yang tiga (trinity)’. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”


Allah melarang sama sekali malah mencela mereka yang menggunakan namaNya dalam konteks yang salah yakni dengan menjadikanNya sebagai salah satu dari tuhan-tuhan. Walhal demi sesungguhnya Allah adalah satu-satunya Tuhan. Secara khusus di dalam ayat di atas, Allah mencela golongan Kristian yang menyebut atau menjadikan Allah sebagai salah satu dari tiga tuhan (trinity). Dan Allah sendiri akan mengazab mereka yang telah menyekutukan atau mengkufuriNya. Di dalam ayat lain, Allah turut melaknat orang-orang Yahudi yang menggunakan nama Allah dalam konteks yang salah,

“Orang-orang Yahudi berkata, “Tangan Allah terbelenggu” sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu” [TMQ Al Maidah (5):64].

Oleh yang demikian, jika ada orang-orang kafir yang menggunakan nama Allah, maka hal ini hendaklah diperhatikan terlebih dahulu konteks penggunaannya. Jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah sebagai Tuhan kepada semua manusia, alam dan kehidupan, maka benarlah adanya. Tetapi jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah sebagai bapa Al-Masih Isa anak Maryam, sebagai merujuk kepada berhala mereka atau menyekutukanNya, atau meletakkan Allah dengan sifat yang salah (seperti surah 5:64 di atas), maka kesemua ini adalah salah dan batil. Ukuran benar atau salah, atau boleh atau tidak bagi orang-orang kafir menggunakan kalimah Allah, semuanya hendaklah beristidlal kepada Al-Quran atau Sunnah, sebagai satu-satunya nas. Kita sama sekali tidak boleh menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai dalil ‘boleh atau tidak’ orang-orang kafir menggunakan nama Allah. Bagi mahkamah kufur, sudah semestinyalah mereka akan berpegang kepada Perlembagaan kufur, tetapi bagi kita, Perlembagaan itu langsung tidak ada nilainya di dalam mengukur sesuatu hukum atau perbuatan. Kebenaran itu ada pada Al-Quran, bukannya pada Perlembagaan. Al-Quran dan Sunnahlah yang wajib menjadi nas, bukannya undang-undang ciptaan manusia! Justeru, apa sahaja keputusan mahkamah, baik berpihak kepada gereja atau kepada KDN, kesemuanya bukanlah ukuran kebenaran!

Nama Allah Diperjuang, Kenapa HukumNya Dibuang?

Setakat kajian yang telah dilakukan, dari dulu hingga sekarang pihak Kristian tidak pernah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai Tuhan, baik di dalam kitab mahupun penulisan rasmi mereka, tetapi mereka menggunakan perkataan ‘God’. Lantas apakah agenda mereka kali ini sebenarnya? Tidak mustahil bahawa ini merupakan usaha terbaru mereka untuk mendakwahkan agama Kristian di kalangan orang Islam. ‘God’ diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difahami oleh anak-anak muda yang pastinya akan menolak sekiranya Nabi Isa dikatakan sebagai Tuhan. Hakikatnya, apa yang perlu disedari dan dilawan adalah keseluruhan dakyah Kristian itu sendiri, bukannya terperangkap dengan isu istilah yang mereka gunakan. Kita perlu bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab apakah langkah yang mereka laksanakan untuk memantapkan dan menjaga akidah umat Islam? Apakah jalan yang mereka tempuh apabila mereka melihat para pendakwah Kristian gencar menarik anak-anak muda ke agama Kristian? Apa pula tindakan pemerintah ke atas kes-kes murtad yang semakin bertambah?

Kita memang yakin bahawa golongan Kristian dan Yahudi tidak akan henti-henti cuba menyesatkan umat Islam. Allah telah pun mengingatkan kita tentang perangai dua golongan kuffar ini. Ratusan tahun lamanya mereka berjuang melalui serangan missionaris dan juga orientalis untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Setelah ratusan tahun berusaha, mereka akhirnya berjaya melemahkan dan menghancurkan bukan sahaja umat Islam, malah Daulah Islam sekaligus. Khilafah berjaya mereka runtuhkan. Sejak itu hingga kini, usaha mereka masih tetap berterusan. Namun perlu diingat bahawa usaha jahat mereka sering mencapai kejayaan kerana lemahnya akidah umat Islam itu sendiri dan yang lebih utama, adanya ‘kerjasama’ dan ‘bantuan’ dari pihak pemerintah kaum Muslimin. Sekiranya akidah umat Islam itu lemah, tetapi jika sistem yang berjalan adalah sistem Islam, maka sistem ini akan dengan sendirinya menjaga akidah umat melalui penerapan hukum Islam yang syumul. Tetapi, dengan penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan, maka para pemerintahlah yang telah mempermudahkan laluan puak kuffar ini untuk menyebarkan dakyah sesat mereka ke atas umat Islam. Apa tidaknya, pemerintah telah ‘menyediakan’ satu sistem demokrasi kufur yang diambil dari Barat, mereka juga menyediakan mahkamah kufur dengan undang-undang kufur, malah kadang-kadang hakim kafir atau jika hakim itu beragama Islam sekalipun, ‘kepala’nya dipenuhi dengan pemikiran dan hukum kufur. Semua ini telah mempermudahkan apa sahaja agenda jahat golongan kuffar ke atas umat Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika kalian merasakan bahawa puak kuffar ingin memperdaya kalian, sedarlah bahawa itulah juga yang sedang dilakukan oleh pemerintah sekular yang ada sekarang. Mereka telah lama memperdaya kalian dan mereka akan terus memperdaya kalian. Bila timbul isu sebegini contohnya, para pemerintah cuba berlagak sebagai penyelamat. Dengan memperjuangkan nama Allah, mereka menunjukkan seolah-olah merekalah golongan yang memperjuangkan Islam. Begitu juga segelintir umat Islam, sama ada mereka adalah talibarut pemerintah atau mereka yang ikhlas namun terkeliru di dalam perjuangan, terus bangkit dan menyuarakan kemarahan terhadap penggunaan nama Allah. Sungguh malang apabila hal ini terjadi di mana ‘nama’ Allah mereka perjuangkan, namun ‘hukum’ Allah mereka bakul sampahkan. Sesungguhnya sesuatu yang jauh lebih berbahaya yang sedang kita hadapi sekarang adalah penerapan hukum kufur oleh pemerintah ke atas kita semua. Mereka kononnya menjaga nama Allah habis-habisan, tetapi hakikatnya mereka telah membuang hukum Allah habis-habisan. Inilah yang sepatutnya menjadi bantahan umat Islam. Adanya keputusan mahkamah kufur adalah kerana adanya kerajaan yang mewujudkannya. Justeru, bukan sekadar penyesatan melalui penggunaan nama Allah yang boleh puak kuffar lakukan, namun yang jauh lebih serius dari itu, umat Islam telah terlalu lama berada di bawah kesesatan undang-undang dan sistem kufur yang diterapkan oleh pemerintah yang beragama Islam. Sesungguhnya amat jeleklah bagi mereka yang bersungguh-sungguh menunjukkan kehebatan di dalam melaungkan pembelaan terhadap penggunaan nama Allah tetapi mereka sendiri mengotori tangan-tangan mereka dengan mencampakkan hukum Allah dan menerapkan sistem kufur buatan tangan mereka sendiri. Bagai ayam si tombong, kokok berderai-derai, ekor bergelimang najis.

DI SEBALIK GHAIBNYA ENJIN F-5E






Baru sahaja Malaysia berbangga dengan kejayaan menganjurkan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang berlangsung pada 1 hingga 5 Disember yang lepas, tiba-tiba negara dikejutkan dengan kejadian ‘aneh’ kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Bukannya sebuah, tetapi dua buah enjin pesawat tersebut hilang sebagaimana dilaporkan oleh akhbar pro-kerajaan sendiri yang dianggarkan berjumlah RM100 juta. Lebih buruk dari itu, bukan sahaja enjin yang hilang, malah seperti yang diakui Menteri Pertahanan sendiri, beberapa peralatan lain turut hilang daripada inventori TUDM dalam kejadian dua tahun lalu itu [UM 22/12/09]. Bermula dengan laporan sebuah akhbar tentang kes kehilangan ini, kemudian satu demi satu misteri muncul. Antara persoalan awal adalah, bagaimana kes ini yang berlaku sejak 2007, baru sekarang ‘meletup’, setelah lebih dua tahun? Laporan polis pula dikatakan dibuat setelah 6 bulan kehilangannya. 



Pihak polis pula dikatakan mengambil masa lebih kurang setahun ‘menjalankan siasatan’ sebelum merujuk kes ini kepada Peguam Negara, dan Peguam Negara pula, baru sekarang mengatakan bahawa kes ini adalah serius, setelah kes ini terdedah kepada umum, dan mengarahkan polis membuat ‘siasatan lanjut’. Entah berapa lama dan berapa banyak siasatan yang telah dan akan dilakukan, kita pun tidak tahu. Yang pasti, baru sekarang (setelah lebih dua tahun) kita mendengar bahawa pihak atasan dan bawahan TUDM dipanggil polis untuk membantu siasatan. Baru sekarang juga, pihak polis sibuk mencari dalang di sebalik pembelian dan pembolosan enjin ini ke luar negara. Pelbagai andaian telah dibuat berkenaan kejadian yang tidak boleh diterima akal ini. Banyak pihak yang menyindir bahawa kejadian ini adalah paling melucukan dalam sejarah Malaysia. Apa tidaknya, bagaimana mungkin dua buah enjin yang bersaiz kereta mini ini, dimiliki oleh tentera yang prosesnya semestinya dipenuhi dengan aspek keselamatan dari A-Z, boleh ghaib? Dan apa yang lebih memeranjatkan, ia berlaku tatkala Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan di waktu itu. Secara logiknya, mustahil beliau tidak mengetahui perkara ini, malahan Pak Lah sebagai Perdana Menteri (waktu itu) juga tidak tampil dengan apa-apa kenyataan.


Sesungguhnya isu kehilangan enjin ini amat serius dan bukan perkara main-main yang boleh disorokkan atau dibiarkan begitu sahaja oleh kerajaan mahupun pihak polis. Kita bukanlah mahu campurtangan dengan siasatan polis, tetapi kita mahu kes seserius ini disiasat dengan telus, rapi dan mendalam, kerana ia melibatkan rahsia ketenteraan dan pengkhianatan terhadap umat. Ini kerana tentera, polis dan kerajaan adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan menjaga rakyat, bukannya merosakkan negara atau menipu rakyat dengan rasuah dan penyelewengan atau pelbagai skandal lainnya. Pihak yang bersalah mestilah dihukum, tidak kiralah dari kalangan rakyat biasa, tentera mahupun menteri. Dengan terbongkarnya kes kehilangan enjin pesawat F-5E ini, maka terdapat beberapa fakta yang memberikan maklumat baru kepada kita berhubung aspek dan ciri-ciri keselamatan negara yang berada di tangan kerajaan, imigresen, polis dan juga tentera. Hal ini tidak seharusnya dilihat dari aspek tercalarnya ‘maruah’ negara semata-mata, yang sememangnya telah banyak tercalar pun selama ini, tetapi kita hendaklah memahami bahawa ini adalah persoalan pentadbiran dan pemerintahan, khususnya melibatkan ‘struktur perang’ negara. Ia adalah persoalan bagaimana pemimpin dan jentera pemerintahannya menguruskan negara. Ia adalah persoalan ‘amanah’ yang Allah letakkan di bahu mereka untuk menjaga negara dan rakyatnya. Dan ia adalah persoalan dosa dan pahala di atas penyelewengan yang mereka kerjakan. Mereka adalah golongan yang sewajibnya menjaga negara dan rakyat, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sekiranya kita harapkan pagar dan pagar memakan padi, maka sudah semestinyalah pagar ini ditukar kepada pagar yang lain.



Amerika Juga Turut Sibuk, Kenapa?



Di dalam kekecohan isu kehilangan enjin ini diperbincangkan di dalam negara, tiba-tiba sahaja dilaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) ‘meminta’ Malaysia menyediakan laporan lengkap berhubung perkara ini. Mengapa AS begitu ‘berminat’ untuk campur tangan? Kenapa AS begitu prihatin dengan negara sekecil Malaysia? Akhbar menyebut bahawa AS ingin mendapatkan laporan lengkap ini atas alasan mereka adalah negara pengeluarnya. Menjawab kepada ‘permintaan’ negara kafir tersebut, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa laporan kehilangan dua tahun lalu itu akan diperincikan secara kronologi dan dihantar melalui Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis[UM 26/12/09]. Sungguh cepat Menteri Pertahanan Malaysia ini berusaha untuk menyiapkan laporan lengkap kepada Washington, walaupun siasatan dalam negara masih belum selesai. Apa nak buat, ‘tuan’ telah minta laporan penuh! Baru sahaja AS ‘berdehem’, maka pemimpin Malaysia terus patuh menjawab ‘yes boss’ dan bersedia berkhidmat! Sungguh hina apabila melihat pemimpin umat Islam bersegera tunduk kepada permintaan kuffar Amerika. Ini satu hal, namun yang lebih penting, jika Zahid Hamidi benar-benar memberi laporan lengkap kepada AS, ini bermakna satu lagi pengkhianatan besar telah berlaku terhadap umat Islam secara terbuka. Walaupun terdapat unsur pengkhianatan atau pecah amanah dalam kes kehilangan enjin ini, namun kes ini adalah rahsia ketenteraan yang tidak sepatutnya terbongkar (apatah lagi diserahkan secara sukarela) kepada pihak musuh. Siasatan hendaklah dilakukan di peringkat dalam mahupun luar negara, tetapi tidaklah sampai ke tahap ‘mendedahkannya’ kepada pihak musuh!


Sebagai sebuah negara super power, kenapa AS perlu kecoh dengan kehilangan dua enjin teknologi 30 tahun lepas itu? Apakah dua buah enjin tersebut boleh menggugat kuasa AS? Apa sebenarnya yang AS mahukan? Atau apakah kedudukan politik di sebalik semua ini..? Inilah isu yang akan dikupas di dalam Sautun Nahdhah pada kali ini, di mana secara umumnya kebanyakan negara umat Islam, sejak runtuhnya Daulah Khilafah hingga kini, berada di bawah kuasa dan kawalan puak kuffar dari segi bekalan persenjataan. Majoriti negara umat Islam masih gagal dan tidak berupaya berdiri sendiri untuk memiliki industri dan teknologi ketenteraan. Kebanyakan dari pemimpin umat Islam masih melutut kepada negara kuffar untuk mendapatkan bekalan persenjataan, walhal perkara ini adalah suatu keharaman. Jika ada pun negara umat Islam yang mempunyai teknologi ketenteraan sendiri seperti Pakistan dan Irak, pemimpinnya adalah sekutu dan agen kepada Barat. Sungguh malang keadaan ini, di mana pemimpin umat Islam mengambil musuh sebagai sahabat, malah mengharapkan dan menggunakan senjata perang dari musuh untuk melawan musuh. Para pemimpin umat Islam kini sudah tidak ada kesedaran dan keghairahan untuk berusaha memiliki teknologi ketenteraan sendiri. Mereka masih bergantung kepada musuh dan tunduk kepada kecanggihan senjata perang musuh, malah tunduk kepada ketetapan musuh. 



Negara Islam Wajib Ada Industri Senjata 



Islam sebagai sebuah deen (akidah dan cara hidup) yang sempurna telah mengajar umatnya bagaimana untuk mengatur hal-ehwal ketenteraan, bahkan tentera itu sendiri merupakan salah satu struktur Daulah Islam yang berada di bawah kepimpinan Amirul Jihad. Selain itu, Negara Islam juga memiliki satu lagi struktur yang dikenali sebagai Da’irah As-Sina’ah (Bahagian Perindustrian) iaitu suatu bahagian yang mengurusi semua masalah yang berhubungan dengan perindustrian, baik yang berhubungan dengan industri berat seperti industri mesin dan peralatan, pembuatan dan pemasangan alat transportasi (kapal terbang, kapal selam, kereta dan sebagainya), industri bahan mentah dan industri elektronik; mahupun yang berhubungan dengan industri ringan, baik industri itu berupa kilang-kilang yang menjadi milik umum ataupun kilang-kilang milik peribadi. Pelbagai jenis industri ini hendaklah dibangunkan atas asas politik peperangan. Ini kerana, jihad dan perang memerlukan pasukan (angkatan tentera), sementara pasukan, agar mampu berperang, mestilah memiliki persenjataan. Manakala persenjataan itu pula, bagi memenuhi keperluan pasukan hingga ke tahap optimum, tentunya harus ada industri persenjataan di dalam negara, khususnya industri perang. Ini kerana, hubungan kesemua itu adalah begitu erat dengan jihad. Justeru, bagi memastikan Negara Islam memiliki kawalan ke atas semua hal-ehwal peperangan dan militer serta tidak berada di bawah kawalan negara asing dalam masalah tersebut, Negara Islam mestilah mendirikan industri persenjataan sendiri dan hendaklah mampu mengembangkan persenjataannya sendiri.


Hanya dengan cara ini, Daulah Islam akan memiliki kendali atas dirinya sendiri demi mengukuhkan kekuatan dan kedudukannya. Daulah juga harus berusaha memiliki dan menguasai persenjataan yang paling canggih dan paling kuat, tidak kiralah bagaimana bentuk dan rupanya. Dengan begitu, barulah Daulah mampu menggentarkan musuh-musuh Allah, baik musuh yang nyata mahupun musuh yang belum nyata. Demikianlah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT, 



“Dan persiapkanlah oleh kalian untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan apa sahaja yang kalian mampu dan dari kuda-kuda yang ditambatkan untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian dan orang-orang selain mereka yang tidak kalian ketahui sedangkan Allah mengetahuinya”[TMQ al-Anfal (8):60]. 



Menggentarkan musuh itu tentunya tidak akan terealisasi kecuali dengan adanya persiapan sementara persiapan itu memestikan adanya industri. Jadi ayat tersebut telah menunjukkan wajibnya mendirikan industri ketenteraan. Hal ini dapat dipahami menurut dalalah al-iltizam atau berdasarkan kaedah ma la yatimmu al-wajib illa bihi fahua wajib (suatu kewajiban yang tidak akan sempurna kecuali dengan adanya sesuatu maka sesuatu itu wajib hukumnya). Demikian pula, dalil-dalil mengenai kewajiban jihad -melalui dalalah al-iltizam- menunjukkan wajibnya mendirikan industri. Dengan persiapan perang yang paling hebat dan paling mampu ini, barulah Daulah Islam dapat mengendalikan dan memenuhi keperluannya sendiri tanpa dipengaruhi atau bergantung kepada negara lain. Daulah bukan sahaja dapat mengeluarkan sendiri persenjataan yang diperlukan, malah dapat mengembangkan dan terus memperhebatkan semua bentuk persenjataan hingga mampu menguasai persenjataan yang paling canggih dan paling hebat berbanding negara kufur. 


Atas dasar memenuhi tuntutan ayat ini, maka wajib bagi negara untuk mendirikan industri persenjataan sendiri. Pemerintah tidak boleh (haram) untuk bergantung kepada persenjataan dari negara luar, sebab hal ini akan menjadikan negara-negara pengeksport senjata dapat menekan serta mengawal kehendak dan persenjataan negara, termasuk menentukan ‘kebolehan perang’ negara. Realiti yang kita saksikan di dunia saat ini menunjukkan bahawa negara-negara yang menjual persenjataan (seperti AS) kepada negara lain tidak akan menjual kesemua persenjataannya, khususnya persenjataan canggih. Negara tersebut juga tidak akan menjual persenjataan kecuali disertai dengan syarat-syarat tertentu, termasuk tatacara penggunaan senjata yang dijualnya. Negara tersebut juga tidak akan menjual persenjataan kecuali dalam jumlah yang sesuai menurut pandangannya, bukan menurut permintaan negara yang ingin membeli persenjataan tersebut. Inilah yang menjadikan negara pengeksport senjata sebagai pengendali dan penentu negara pembeli senjata. Hal-hal ini juga memungkinkan negara penjual senjata mengawal kehendak negara pembeli, apatah lagi ketika negara pembeli itu sedang berada dalam situasi perang, yang mana negara tersebut akan memerlukan tambahan persenjataan, alat ganti, peluru dan sebagainya.


Semuanya itu menjadikan ketergantungan negara pembeli terhadap negara penjual persenjataan semakin bertambah dan ketundukan negara tersebut pada kehendak negara penjual juga semakin besar. Hal inilah yang membuat posisi negara penjual semakin kuat sehingga dapat mengendalikan negara pembeli dan menekan serta mengawal kehendak negara pembeli. Sedangkan Allah SWT mengharamkan kita tunduk atau dikuasai oleh orang-orang kafir. FirmanNya, 



“Dan Allah sekali-kali tidak memberi jalan kepada orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141]. 



Dengan tidak mempunyai industri persenjataan sendiri, negara pembeli (seperti Malaysia dan lain-lain negara umat Islam) telah tunduk dan  ‘menggadaikan’ dirinya sendiri, menggadai kehendaknya, peperangannya dan institusi negaranya kepada negara yang menjual persenjataan kepadanya. Ini semua berlaku kerana pemimpin negara telah memaksiati Allah dengan tidak menunaikan perintahNya seperti ayat di atas. Semua ini tidak berlaku di masa wujudnya negara Khilafah, di mana Khilafah adalah sebuah negara super power dengan persenjataan yang paling kuat dan paling canggih di dunia sehingga digeruni oleh kawan dan lawan. Ini kerana, para Khalifah menunaikan perintah Allah di dalam menyediakan pasukan untuk berjihad di jalan Allah, tidak seperti mana pemimpin sekular sekarang.


Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah memerintahkan umat Islam mendirikan industri manjaniq dan dababah. Al-Baihaqi telah menyebutkan riwayat dari Abu Ubaidah ra yang berkata, 



“Kemudian Rasulullah SAW mengepung penduduk Thaif dan menggempurnya dengan manjaniq selama 15 hari…”. 



Abu Daud juga telah mengeluarkan hadis di dalam Al-Marasil dari Makhul,



“Rasulullah SAW pernah mengempur pendududuk Thaif menggunakan manjaniq”. 



Diriwayatkan bahawa Salman adalah orang yang bertanggungjawab dalam industri manjaniq tersebut di mana beliau membuatnya dengan tangannya sendiri.


Berdasarkan ayat dan hadis di atas, wajib bagi Negara Islam membangun sendiri semua industri persenjataannya dan segala hal yang diperlukan termasuk alat ganti (spare part)nya. Hal itu tidak akan tercapai kecuali negara mewujudkan dan menjaga industri beratnya. Jika Daulah Khilafah berdiri dalam masa terdekat nanti, untuk langkah pertama, Khalifah harus membangun perindustrian berat, baik industri berat militer mahupun non-militer. Khilafah juga harus memiliki kilang-kilang untuk memproduksi persenjataan nuklear, pesawat pengintip, peluru-peluru berpandu, satelit-satelit, pesawat tempur, kereta kebal, artileri, kapal selam, kereta perisai, anti peluru dengan pelbagai jenisnya, serta pelbagai persenjataan lainnya baik senjata berat mahupun senjata ringan. Selain itu, Daulah Khilafah juga wajib memiliki industri yang berkaitan dengan kepemilikan umum dan industri-industri ringan yang mempunyai kaitan dengan industri ketenteraan. Semua itu merupakan bentuk-bentuk persiapan yang wajib dipenuhi oleh pemerintah kaum Muslimin dalam rangka memenuhi seruan Allah dan RasulNya demi menegakkan agama Allah di muka bumi. 



Khatimah



Wahai kaum Muslimin! Sudah sekian lama kita menyaksikan kepincangan dalam pentadbiran dan pemerintahan negara. Muhasabah dari rakyat sudah lama tidak dihiraukan oleh pemerintah, malahan mereka dari masa ke semasa semakin rakus mengejar keuntungan dengan kedudukan dan kuasa yang ada pada mereka. Malahan dalam perkara yang melibatkan keselamatan negara sekalipun, seperti pembelian pesawat pejuang, kapal selam, peluru dan apa sahaja peralatan perang, ia tidak dilakukan atas dasar untuk berjihad di jalan Allah tetapi atas dasar mendapatkan habuan duniawi. Hilangnya enjin jet pejuang yang tidak pernah digunakan untuk berjuang ini memanifestasikan hilangnya amanah dari orang yang memikulnya. Justeru, wajar sahaja apabila rakyat mendesak agar menteri yang bertanggungjawab meletak jawatan atas apa yang berlaku. Namun, perlu diingat wahai kaum Muslimin, jika menteri yang ada sekarang meletak jawatan, naiknya menteri yang baru tidak akan mengubah situasi selama mana sistem yang diterapkan tetap sistem sekular, bukannya sistem Islam. Sememangnya menteri yang berkenaan wajib bertanggungjawab dan menyiasat dengan serius untuk menyelesaikan kes ini, dan jika mereka perlu meletak jawatan, ia bukanlah kerana hilangnya enjin pesawat F-5E, tetapi kerana hilangnya amanah Allah dalam diri mereka kerana tidak menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan. Itulah sebabnya mereka perlu berundur dan digantikan dengan seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum dari Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Wallahu a’lam.
 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR