ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


ANTARA DUA DARJAT

ANTARA DUA DARJAT




Hari Buruh ataupun dikenali juga dengan sebutan ‘May Day’ akan disambut sekali lagi di seluruh dunia beberapa hari lagi iaitu pada 1 Mei 2007 dengan berbagai-bagai acara dan aktiviti. Seperti biasa kita akan melihat golongan pekerja di seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia akan mengadakan beberapa acara bagi memperingati hari tersebut. Bagi sebahagian dari mereka khususnya yang fanatik, tarikh 1 Mei tidak akan bermakna kecuali disertai dengan aktiviti perjuangan yang diadakan pada hari tersebut. Antara acara yang sering dilakukan oleh golongan pekerja untuk merayakan Hari Buruh ini adalah demontrasi/perhimpunan dan rapat umum bagi menunjukkan rasa tidak puas hati (protes) mereka kepada majikan (termasuk kerajaan) yang kononnya tidak melayan mereka dengan adil. Sautun Nahdhah pada tarikh yang sama dua tahun lepas telah mengupas panjang lebar akan sejarah kemunculan dan sambutan Hari Buruh pada setiap 1 Mei, yang secara ringkasnya adalah merupakan satu hari yang hanya muncul hasil dari kezaliman dan penindasan Sistem Kapitalisme. Malangnya, kejahilan umat Islam akan hakikat sambutan 1 Mei telah menyebabkan mereka terjebak ke dalam perangkap Ideologi Kapitalis, lalu mereka turut meraikannya. Walhal Islam tidak pernah mengenal apatah lagi menyambut atau merayakan Hari Buruh ini.





Sambutan Hari Buruh atau Hari Pekerja ini tidak lebih menjadi siaran ulangan, khususnya bagi kesatuan-kesatuan sekerja untuk menuntut hak yang lebih dari majikan mereka. Antara tuntutan yang saban tahun jelas kedengaran adalah tuntutan naik gaji atau tuntutan had gaji minimum yang sama rata. Secara sedar atau tidak, idea yang pro kepada Sosialisme ini lama-kelamaan telah melekat dengan umat Islam. Ketidaksedaran mereka akan idea (pro Sosialisme) ini adalah kerana ia dikaburi oleh perjuangan menuntut hak terhadap majikan yang dirasakan telah menghakis hak mereka. Maka, mereka tidak lagi mengkaji hukum fiqh berkenaan mua’malat, tetapi bertindak mengikut emosi berdasarkan ‘manfaat’. Justeru, mereka melihat perjuangan ini wajar tanpa menilai lagi dari segi ‘halal dan haram’ akan apa yang mereka lakukan. Mereka bangkit kononnya untuk menuntut hak dan keadilan, tetapi malangnya mereka tidak sedar bahawa mereka bangkit membawa wadah Sosialisme, bukannya Islam. Mereka juga tidak sedar bahawa penindasan yang mereka alami selama ini adalah disebabkan oleh Sistem Kapitalis yang mereka amalkan sendiri, yang secara semulajadinya memang bersifat menindas.





BEBERAPA TUNTUTAN PEKERJA





Jika kita perhatikan bentuk-bentuk ketidakpuasan hati pekerja terhadap majikan kebanyakannya berkisar kepada tuntutan kenaikan gaji, elaun, penentuan gaji minimum, cuti bersalin, jam kerja dan beberapa perkara yang berkaitan dengan kebajikan pekerja. Bagi kakitangan awam, mereka menunggu-nunggu tarikh 22 Mei ini sama ada tuntutan mereka berkenaan dengan kenaikan gaji akan berjaya ataupun tidak. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjangkakan berita baik mengenai kenaikan gaji bagi 1.2 juta kakitangan awam yang akan diumumkan pada 22 Mei depan sempena sambutan Hari Pekerja di Putrajaya [UM 01/04/07]. “Setakat ini kita mendapat maklum balas positif selepas perbincangan termasuk dengan Ketua Setiausaha Negara, Perdana Menteri dan Kelab Penyokong Kerajaan. Kita harap ia diumumkan pada sambutan Hari Pekerja nanti selepas 15 tahun tidak diselaraskan,” ujar Presiden Cuepacs, Omar Osman [UM 18/04/07]. Dalam perkembangan lain, Jaringan Kesatuan Antarabangsa Majlis Perhubungan Malaysia (UNI-MLC) menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan elaun sara hidup (COLA) bagi pekerja swasta [UM 26/03/07]. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak ketinggalan menggesa kerajaan menimbang semula cadangan memperkenalkan skim gaji permulaan untuk pekerja sektor swasta. [UM 20/02/07]. Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) pula menggesa kerajaan meluluskan segera cadangan permohonan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan awam [UM 24/03/07].





Tidak lama dahulu Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zain mencadangkan kenaikan gaji sebanyak 40 peratus bagi kakitangan kumpulan sokongan perkhidmatan awam. “Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 18 peratus, elektrik 12 peratus dan tarif air yang akan dinaikkan, kakitangan kumpulan sokongan perkhidmatan awam yang berpendapatan lebih kurang RM550 sebulan membayar kira-kira 30 peratus daripada gaji mereka untuk kos sara hidup. Tuntutan kenaikan sebanyak 40 peratus adalah berasas dan mampu ditanggung oleh kerajaan.” katanya. Beliau juga menegaskan bahawa Cuepacs tetap menolak perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai skim Faedah Pencen Bercarum (FPB) bagi menggantikan pencen terbitan yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan. Sebelumnya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman meminta Cuepacs mematuhi permintaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kedua-dua pihak berbincang sebelum Kabinet membuat keputusan akhir. Ahmad Shah berkata, Cuepacs akan mengadakan siri jelajah rapat umum secara besar-besaran di seluruh negara sehingga kerajaan menarik balik keputusan untuk melaksanakan FPB. “Cuepacs menolak secara total pelaksanaan FPB dan kita tidak akan berbincang dengan JPA. Kami hanya ingin membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri. Bermula hujung bulan ini, kami akan mengadakan perhimpunan di semua daerah di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan FPB.” katanya [UM 13/08/06].





Dalam kehidupan dunia pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa manusia memerlukan antara satu sama lain. Interaksi di antara sesama manusia yang saling memerlukan ini antara lain akan mewujudkan akad pekerjaan. Dari sini manusia memerlukan satu sistem untuk mengatur hubungan ini dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutuskan RasulNya bagi mengajar dan menyempurnakan aturan-aturan ini. Allah sebagai Pencipta Maha Mengetahui akan keperluan makhluk-makhlukNya dan Dia telahpun mencipta dan membuat satu aturan khusus dalam hal ini. Dengan kata lain, hal-hal yang melibatkan pekerjaan ini sememangnya diajar oleh Islam dan merupakan sebahagian dari agama Islam. Yang menjadi masalah adalah umat Islam itu sendiri yang tidak mengikut peraturan yang telah Allah tetapkan ini. Umat Islam sebaliknya mengambil sistem Kapitalisme yang zalim ini untuk mengatur urusan mereka dan mereka terus bergelumang di dalamnya. Mereka langsung tidak cuba keluar dari sistem yang rosak ini, sebaliknya hanya cuba memperbaiki lompong-lompong Kapitalisme dengan menampal di mana patut.





Tuntutan-tuntutan yang dipaparkan di atas menunjukkan bahawa sehingga saat ini masalah ketidakpuasan hati pihak pekerja kepada majikan terus berlangsung tanpa penghujungnya, dan persoalan utamanya berputar di sekitar masalah gaji/upah. Keadaan ini adalah suatu lumrah di dalam kehidupan sistem Kapitalisme, sebagai sebuah Ideologi kotor buatan manusia, di mana hak-hak pekerja sering terabai dan dinafikan oleh pihak majikan. Dalam masa yang sama, walaupun tidak banyak, hak-hak majikan juga sebenarnya sering dicabuli dan dilanggar oleh pihak pekerja. Kes-kes seperti tidak siapkan kerja, tipu majikan, menggunakan barang pejabat untuk keperluan peribadi, ponteng kerja, beli medical certificate (MC) dan lain-lain bentuk penipuan adalah fenomena biasa di sesebuah pejabat. Tetapi disebabkan jumlah golongan majikan tidak ramai dan mereka tidak melakukan mogok dan sebagainya, jadi hak-hak majikan yang dilanggar oleh pekerja jarang diketengahkan. Apa pun, jika diteliti dengan mendalam, segala masalah ini sebenarnya timbul kesan dari ketidakfahaman kedua-dua pihak terhadap tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba yang wajib terikat dengan hukum syara’ berhubung akad pekerjaan (ijarah), sama ada di pihak pekerja mahupun di pihak majikan.





HUBUNGAN PEKERJA-MAJIKAN DALAM ISLAM




Di dalam sistem Kapitalisme, kepentingan pihak pekerja dan majikan selalunya sering bertentangan, walaupun asas mereka adalah sama iaitu ‘mendapatkan sebanyak-banyak manfaat’. Pihak pekerja hanya akan mendapat manfaat yang banyak jika diberi gaji yang tinggi, elaun, bonus, claim, cuti, insentif dan seumpamanya. Bagi majikan pula, mereka akan mendapat manfaat yang banyak jika gaji yang dibayar kepada pekerja adalah rendah, tiada elaun, tiada bonus, cuti yang sedikit, tiada insentif dan sebagainya. Manfaat atau keuntungan yang maksimum akan diperolehi oleh majikan apabila pekerja mereka dapat dimanipulasi habis-habisan. Justeru, persoalan untuk memperolehi sebanyak mungkin manfaat (yang menjadi asas kepada erti kebahagiaan di dalam Ideologi Kapitalis) menyebabkan medan pertempuran di antara majikan dan pekerja semakin membesar. Seseorang pekerja akan sanggup berhenti dan majikan pula akan sanggup memberhentikan pekerja bilamana mereka bertelagah dalam ‘perjuangan merebut manfaat’ ini. Pendek kata, perebutan manfaat yang berlaku sering menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan bertindak mengikut perasaan. Akibatnya, pihak-pihak ini tidak lagi merujuk kepada kontrak/akad yang telah disepakati di dalam menyelesaikan masalah yang timbul, sebaliknya menggunakan emosi.




Hukum Islam berkenaan akad ijarah memang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Apakah mereka membahagi-bahagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka di dalam kehidupan dunia dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka mempergunakan sebahagian yang lain” [TMQ Az-Zukhruf (43):32]. Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Apabila mereka (wanita-wanita) menyusui (anak-anak) kalian maka berikanlah kepada mereka upahnya” [TMQ Ath-Thalaq (65):6]. Ibnu Shihab meriwayatkan dengan mengatakan: Aku diberitahu oleh Urwah bin Zubair bahawa Aisyah Ummul Mukminin ra berkata: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Abu Bakar pernah mengontrak tenaga seorang lelaki dari Bani Dail sebagai penunjuk jalan sedangkan lelaki tersebut beragama seperti agama orang kafir Quraisy. Baginda kemudian memberikan kenderaannya kepada lelaki tersebut. Baginda lalu mengambil janji dari lelaki tersebut agar pergi ke Gua Tsur setelah tiga malam dengan membawa kedua kenderaan baginda pada waktu solat subuh pada hari yang ketiga”.






Sesungguhnya banyak lagi hadis-hadis Rasulullah yang lain yang menyentuh tentang akad ijarah ini. Syariat Islam memandang bahawa pekerja (ajir) adalah setiap orang yang bekerja untuk orang lain dengan imbalan upah/gaji (ujr) tertentu sama ada dia berkerja untuk individu tertentu, orang ramai mahupun negara sebagai majikan (musta’jir)nya. Terdapat 2 jenis pekerja di dalam Islam yakni pekerja khas (ajir al-khas/private labour) dan pekerja am (ajir al-am/common labour). Secara ringkasnya, ajir al-khas adalah mereka yang bekerja dengan majikan tertentu untuk suatu tempoh masa dan gaji/upah yang tertentu seperti pekerja kilang, pekerja ladang, kakitangan kerajaan (civil servant) dan sebagainya. Ajir al-am pula adalah mereka yang bekerja untuk semua orang (bukan untuk majikan tertentu sahaja) dengan mendapat gaji/upah dari pekerjaannya, contohnya tukang kayu, tukang jahit, doktor swasta, pemandu teksi, mekanik dan sebagainya.




Islam tidak pernah memandang golongan pekerja sebagai golongan bawahan dan majikan itu golongan atasan, sebagaimana Islam juga tidak pernah meletakkan golongan pekerja perlu diberi layanan istimewa oleh golongan majikan. Sebagai sebuah deen yang syumul, Islam tidak pernah membezakan kedua-dua golongan ini mengikut darjat masing-masing, sama ada mereka ini berpangkat rendah ataupun tinggi, kaya ataupun miskin, lelaki mahupun wanita. Selagi mana mereka bekerja dan mendapat upah dari orang lain (musta’jir), maka kesemuanya adalah ajir (pekerja). Hubungan yang wujud di antara mereka adalah hubungan pekerja-majikan (ajir-musta’jir) yang mana kedua-duanya adalah terikat dengan akad/kontrak pekerjaan (ijarah) yang telah mereka tandatangani, selama mana akad itu tidak bertentangan dengan hukum syara’. Jadi, baik ajir atau musta’jir, mereka wajib terikat dengan hukum-hukum ijarah Islam tanpa sebarang pengecualian.




Transaksi ijarah di antara musta’jir dengan ajir mestilah dibangunkan di atas akad yang jelas, di mana jika ini tidak berlaku maka akad ijarah mereka hukumnya adalah rosak (fasid). Oleh yang demikian, Islam telah mensyaratkan bahawa dalam satu akad ijarah, hendaklah ditentukan terlebih dahulu bentuk/jenis pekerjaannya, waktu kerja, tempoh, gaji, bidang tugas dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan tersebut. Setelah terjadi kesepakatan atau persetujuan di antara ajir dan musta’jir maka barulah terjadinya transaksi/akad. Selanjutnya kedua-dua belah pihak wajib mentaati hasil kesepakatan tersebut sampai batas waktu yang telah disepakati itu dan perlanggaran terhadap akad itu oleh mana-mana pihak adalah satu bentuk pengkhianatan dan dosa. Kesimpulannya, di dalam sebuah akad ijarah, baik ajir mahupun musta’jir, kedua-duanya bekerjasama dalam rangka menunaikan akad yang telah disepakati sekaligus mematuhi hukum syara’ yang berkaitan dengannya. Masing-masing ada hak dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Jadi, mana-mana pihak tidak boleh menuntut perkara-perkara yang tidak diakadkan. Dengan kesedaran ini, sudah tentu tidak akan wujud penindasan dan kezaliman, lebih-lebih lagi jika pihak-pihak yang berakad itu adalah sesama Muslim.




PERSOALAN GAJI DI DALAM PANDANGAN ISLAM




Sebagaimana disebutkan, persoalan gaji biasanya menjadi sebab utama pertikaian di antara ajir dan musta’jir. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir majikan tidak membayar gaji kepada pekerjanya mengikut yang telah dipersetujui. Hal ini sudah tentu menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati pekerja. Mengikut syara’, tangga gaji di dalam transaksi ijarah mestilah jelas sebab penentuan gaji termasuk ke dalam faktor yang boleh menghilangkan kekaburan di dalam suatu transaksi. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila salah seorang di antara kalian mengontrak seorang ajir maka hendaklah ia memberitahu upahnya kepada ajir tersebut” [HR Daruquthni]. Imam Ahmad juga meriwayat sebuah hadith dari Abi Sa’id bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang mengontrak seorang ajir sehingga upahnya menjadi jelas bagi ajir tersebut. Oleh kerana itu sebelum seorang ajir itu mula bekerja, maka mesti sudah terjadi kesepakatan tentang upahnya. Besarnya upah yang telah ditetapkan di dalam transaksi itu disebut sebagai upah yang sepadan (ajrun musamma) dan ianya ditetapkan di atas kesepakatan dan kerelaan kedua-dua pihak.




Apabila gaji/upah dan lain-lain perkara telahpun dipersetujui di dalam akad ijarah, maka seorang ajir itu adalah terikat dari segi hukum syara’ dengan akad tersebut, jadi dia tidak boleh lagi menuntut untuk mendapatkan kenaikan gaji/upah atau hal-hal lain yang menyalahi akad ijarahnya. Selama mana musta’jir mematuhi akadnya, maka ajir wajib bekerja dengan musta’jir tersebut tanpa apa-apa protes. Jika kedua-dua mereka mematuhi syarat akad dan hukum syara’ di dalam ijarah ini, maka sudah pasti segala perselisihan dan ketidakpuasan hati tidak akan timbul. Jika wujud perselisihan sekalipun, kedua pihak wajiblah merujuk kembali kepada akad mereka dan hukum Allah berkenaan ijarah, bukannya dengan mengadakan protes, rapat umum, demonstrasi dan sebagainya. Dengan ini, barulah hubungan di antara ajir dan musta’jir sentiasa harmoni dan terjaga. Yang lebih penting kedua-duanya diredhai dan dirahmati Allah kerana pematuhan ke atas akad ijarah masing-masing.




Menurut Islam, apabila seseorang mengontrak seorang ajir sebelum terjadi kesepakatan tentang upahnya maka hukumnya adalah makruh walaupun transaksinya tetap sah. Jika keadaan ini berlaku maka penetapan upahnya perlulah dikembalikan kepada ajrun musamma. Jika terjadi perselisihan di antara ajir dan musta’jir dalam masalah penetapan upah tadi, maka persoalan ini (ajrun musamma) akan diserahkan kepada pihak pakar iaitu mereka yang mempunyai keahlian/pengalaman untuk menentukan gaji/upah. Dengan yang demikian para pakar yang terlibat dalam menentukan jumlah gaji/upah yang sepadan ini mestilah memerhatikan masalah pekerjaan dan pekerja itu sekaligus. Begitu juga masalah waktu kerja dan tempat kerja. Umumnya gaji boleh berbeza dengan perbezaan jenis pekerjaan, keadaan pekerjaan, waktu dan tempat kerja. Demikianlah dasar penentuan gaji serta orang yang berhak menentukannya menurut pandangan syara’ jika berlakunya perselisihan di antara pekerja dan majikan.




Dalam soal pembayaran gaji pula ianya boleh dibayar secara tunai dan juga tidak secara tunai (samada dalam bentuk cek, bank-in ke dalam akaun dan sebagainya). Apabila disepakati gaji tersebut diberikan sesuai dangan tempoh masa tertentu (hari/minggu/bulan) maka ianya mesti diberikan sesuai dengan kesepakatan yang telah dibuat oleh kedua-dua pihak. Kelalaian atau kesengajaan majikan tidak membayar gaji pekerja adalah satu dosa dan Islam memandang berat akan hal ini. Melalui sebuah hadis qudsi, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kepada setiap majikan bahawa di hari kiamat nanti Allah akan memusuhi orang yang tidak memberikan upah/gaji kepada pekerjanya, “Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberi kerana Aku lalu berkhianat dan orang yang membeli barang pilihan lalu dia makan lebihan harganya serta orang yang mengupah pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan akadnya sedangkan upahnya tidak diberikan” [HR Bukhari].




Bagi mana-mana musta’jir yang tidak membayar gaji/upah ajirnya, maka hal ini boleh dilaporkan kepada pemerintah. Dalam hal ini, Negara (pemerintah) adalah institusi yang bertanggungjawab untuk memastikan ijarah berjalan sesuai dengan akad yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Negara berhak, malah berkewajiban untuk memaksa para majikan membayar gaji pekerja mereka tepat pada masanya. Bila perlu, Negara boleh menjatuhkan hukuman (ta’zir) kepada pihak majikan yang gagal atau mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pekerja kerana ianya adalah suatu tindakan kezaliman. Ia adalah suatu bentuk dosa yang tidak boleh dibiarkan terjadi ditengah-tengah masyarakat dan Negara wajib menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang melakukan dosa ini, sebagaimana kewajipan Negara menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan atau pelaku dosa-dosa yang lain. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, "Pemimpin itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggung jawab di atas (rakyat) yang dipeliharanya itu." [HR Muslim]. Jelas berdasarkan hadis ini bahawa pemerintah umat Islam itu adalah seorang penggembala ke atas rakyatnya, bukannya serigala yang memakan rakyatnya.




Hasil dari penerapan Sistem Kapitalis, kita melihat bagaimana buruh/pekerja diletakkan di kelas bawah dan dilayan seperti hamba, dengan kata lain wujudnya dua darjat yang berasingan di antara pekerja dan majikan. Penindasan dan ketidakpuasan hati para pekerja menyebabkan meletusnya pelbagai mogok dan rusuhan. Hal ini dilihat dan diambil sebagai sebuah penyelesaian oleh golongan perkerja yang sentiasa dizalimi oleh sistem yang ada. Lama-kelamaan, trend ini seterusnya digunakan sebagai senjata untuk menekan para majikan agar tunduk kepada keinginan para pekerja. Malangnya hal ini ditiru pula oleh sebahagian dari umat Islam yang berpendapat bahawa ini adalah satu bentuk tuntutan untuk mendapatkan hak. Walhal ia tak lebih dari manifestasi kegagalan sebuah sistem buatan manusia yang mengikuti hukum rimba, yakni yang kuatlah yang paling berkuasa dan ia akan terus menindas atau memakan yang lemah. Umat Islam yang telah sebati dengan sistem Kapitalis ini tidak sedar bahawa satu-satunya cara untuk menghapuskan segala bentuk kezaliman dan ketidakpuasan hati ini adalah dengan keluar dari sistem ini dan menggantikannya dengan sistem ciptaan Allah. Islam tidak pernah membezakan penganutnya kepada dua darjat yang berlainan; hakikatnya, mereka adalah Muslimin yang terikat dengan hukum-hukum syara’.




KHATIMAH




“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu” [TMQ al-Ma’idah (5):1]. Inilah perintah Allah ke atas kaum Muslimin. Setiap Muslim itu adalah terikat kepada hukum syara’ di dalam setiap perbuatannya. Sesungguhnya pematuhan kaum Muslimin terhadap segala hukum syara’ sudah tentu akan membawa kesejahteraan dan rahmat, bukan sahaja ke atas diri mereka, malah ke seluruh alam. Selama mana dunia ini diperintah oleh Sistem Kapitalis, selama itulah kesengsaraan akan terus menimpa umat, kerana punca kepada segala permasalahan yang wujud pada hari ini adalah disebabkan oleh penerapan sistem Kapitalisme itu sendiri. Hubungan pekerja-majikan yang telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi ternyata tidak pernah mendatangkan apa-apa masalah kepada pihak pekerja ataupun majikan. Kita juga tidak pernah mendengar rintihan atau keluhan para ajir kerana ditindas oleh pihak musta’jir di masa sahabat, tabi’in mahupun tabi’it tabi’in.







Segala masalah ini baru wujud setelah adanya Sistem Kapitalisme yang dibawa oleh kafir Barat. Ia wujud di negara mereka dan ternyata wujud pula di negara-negara umat Islam, khususnya yang mengamalkan Sistem Kapitalisme yang sama. Masalah pekerja-majikan ini adalah salah satu dari sekian banyak masalah yang terhasil dari sistem Kapitalis yang dianuti oleh umat Islam. Ini termasuklah juga rintihan para pekerja yang berlaku akibat dari tiadanya kestabilan dalam kehidupan (seperti kenaikan harga barangan yang melampau). Selama mana sistem Islam tidak diterapkan secara kaffah, selama itulah masalah pekerja-majikan serta masalah-masalah kehidupan yang lainnya akan terus muncul. Justeru, satu-satunya cara yang benar bagi umat Islam untuk keluar dari kesesatan dan kezaliman ini adalah dengan mencampakkan sejauh-jauhnya sistem taghut ini dan menggantikannya dengan sistem Allah yang Maha Sempurna.



Wallahu a’lam.

FTA MALAYSIA-US: WASPADA IMPERIALISME EKONOMI


FTA MALAYSIA-US: WASPADA IMPERIALISME EKONOMI



Isu rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dengan AS mencetuskan kebimbangan di kalangan sebilangan rakyat negara ini yang perihatin mengenai pelbagai perkara terutama kerana dikatakan mampu mengancam kepentingan bangsa Melayu dan juga dikatakan akan menjejaskan industri negara dan kehidupan rakyat.Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Dua Hala (FTA) antara Malaysia dengan Amerika telah memasuki pusingan kelima di Kota Kinabalu, namun masih menemui jalan buntu.




Malaysia dari satu segi sangat mengharapkan terwujudnya FTA dengan AS kerana pasarannya yang mencecah bertrilion dolar yang dijangka dapat memberikan pulangan yang besar dan mampu membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda. Tan Sri Adam Kadir menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh lari daripada mengadakan FTA dengan mana-mana negara termasuklah dengan AS kerana dunia kini menuju ke era pasaran bebas (free market) dan pasaran umum (common market) dan tidak ada satu negara pun boleh mengasingkan diri daripada trend ini kerana menolaknya akan memberi kesan negatif kepada mereka.




Walaubagaimanapun persoalan yang mungkin timbul adalah apakah benar FTA memberikan keuntungan dan peluang pekerjaan kepada negara membangun? Dan adakah kita tidak boleh lari daripada mengadakan FTA dengan negara-negara lain semata-mata kerana arus globalisasi?




TEORI FTA




Free Trade Agreement ( Perjanjian Perdagangan Bebas Dua Hala) merupakan perjanjian dua hala antara dua buah negara terhadap barangan atau perkhidmatan tertentu yang telah dipersetujui sahaja. FTA adalah sebahagian daripada mekanisme perdagangan bebas daripada ekonomi kapitalisme yang bermaksud menghilangkan segala bentuk rintangan terhadap perdagangan barangan, pelaburan dan kewangan dari luar negara baik dari segi kuota, cukai atau duti-duti. Secara teorinya, FTA memberikan keluasan pasaran dan persaingan secara adil dan sihat kepada syarikat dalam dan luar negara seterusnya meningkatkan kualiti, daya saing, pemindahan teknologi dan membuka peluang pekerjaan. Sepertimana Thomas L. Friedman menyatakan, ”Semakin anda membiarkan kekuatan pasar berkuasa dan semakin anda membuka perekonomian anda bagi perdagangan bebas dan persaingan, perekonomian anda semakin effisien dan berkembang pesat” [Friedman 2002:9].





Idea perdagangan bebas berpunca daripada salah satu pemikiran liberal yang berasaskan aqidah sekularisme-kapitalisme iaitu kebebasan kepemilikan (freedom of ownership). Ini membenarkan sesebuah syarikat atau induvidu untuk menguasai apa sahaja yang mereka inginkan. FTA juga sebahagian daripada globalisasi ekonomi yang dipelopori oleh AS dan negara-negara barat lain sebagai wadah untuk menguasai pasaran tempatan negara-negara dunia ketiga yang kebanyakannya adalah negara umat Islam.



HAKIKAT FTA US



Secara praktis, FTA hanya akan memberi keuntungan kepada negara-negara maju dan syarikat-syarikat multinasional kerana dalam persaingan ekonomi kapitalis, mereka yang memiliki modal yang besar akan sentiasa memenangi persaingan dan negara-negara yang lemah dan syarikat-syarikat bermodal kecil akan sentiasa tertindas. Sebagai contoh, selepas perjanjian NAFTA pada 1994 antara Mexico dan AS, para petani Mexico yang menanam jagung menderita kerana terpaksa bersaing dengan lambakan jagung dari AS yang lebih murah dalam pasaran kerana para petani AS mendapat subsidi yang besar daripada kerajaan. Akibatnya 1.3 juta petani Mexico kehilangan kerja dalam tempoh 10 tahun.




AS juga tidak patuh dalam perjanjian perdagangan bebas dengan China yang mana ia telah mengenakan kuota dan mengawal kemasukan produk tekstil China yang jauh lebih murah demi menyelamatkan pasaran para pengeluar tekstil di AS [ Chinadaily: April 2005]. Selain itu, Kongres AS di bawah kepimpinan Presiden George W. Bush telah meluluskan Akta Pemeliharaan dan Pelaburan Kawasan Pedalaman AS 2002. , Jabatan Pertanian AS memperuntukkan subsidi yang mewah kepada para petani serta pengusaha ladang tempatan AS bagi penghasilan tanaman komoditi. Ia telah menyebabkan lambakan hasil pertanian komoditi yang murah di pasaran. Namun, apabila Kanada memberikan subsidi kepada industri pembalakan dan perkayuan, AS telah mengecam Kanada. Ini menunjukkan sifat polisi AS yang berat sebelah [ California Trade: 2005].



Salah satu syarat FTA Malaysia-AS ialah hakcipta intelektual yang mana ia akan menghalang penghasilan ubat-ubat generik yang murah setelah kawalan hakcipta dan paten diluluskan. Pastinya selepas ini akan meningkatkan kos perkhidmatan perubatan dan memberikan penderitaan kepada rakyat. Di kebanyakan negara membangun, ketidaksamarataan agihan kekayaan telah menghasilkan jurang perbezaan kekayaan yang besar antara si miskin dan si kaya. Sekiranya perdagangan bebas dilaksanakan sudah tentu menambahkan lagi jurang perbezaan ini [Penang Economic Monthly : vol 8].




Inilah sebahagian daripada kesan langsung sekiranya FTA dilaksanakan ke atas Malaysia atau mana-mana negara kaum muslimin. FTA sebenarnya telah memaparkan sikap tamak dan rakus para kapitalis yang hanya memikirkan kepentingan mereka sahaja. Walaupun mereka melaung-laungkan keadilan dalam pasaran bebas namun merekalah yang melanggar perjanjian tersebut apabila keadaan tidak menyebelahi mereka.




FTA : IMPERIALISME EKONOMI



Daripada kes-kes di atas, jelaslah bahawa kita tidak boleh menafikan terdapatnya ketidakadilan, pengkhianatan dan penguasaan negara-negara besar seperti AS ke atas negara-negara kerdil di dalam perjanjian FTA. Ia secara hakikinya juga adalah sebahagian daripada alat penjajahan yang digunakan oleh AS dan negara-negara kafir barat ke atas negara-negara membangun terutamanya negara umat Islam. Penguasaan kuffar ke atas kaum muslimin jelas bertentangan dengan kehendak syara' sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


"Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan bagi orang-orang kafir untuk berkuasa ke atas orang-orang yang beriman" [TMQ An Nisa: 141]




Melalui penegasan di dalamnya, ayat di atas menerangkan bahawa jelaslah bahawa hukum membiarkan orang-orang beriman dikuasai oleh orang-orang kafir, adalah haram. Berkuasa dari segi apa? ia tidak dinyatakan secara khusus, penguasaan itu bersifat umum. Ia boleh merujuk kepada kaum muslimin yang dikuasai oleh orang-orang kafir di dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan sebagainya.



'Bebas' (Freedom), itulah slogan yang sentiasa dilaungkan oleh Barat, samada di dalam pemerintahan, sosial, pendidikan dan termasuklah juga ekonomi. Padahal, idea kebebasan tidak pernah memberikan keharmonian ataupun keadilan yang sebenar kepada negara-negara yang menjadikannya sebagai asas kepada sistem kehidupan.



Salah satu produk Idea kebebasan ini adalah Pasaran/Perdagangan Bebas. Tetapi, pada hakikatnya, 'kebebasan' di dalam Pasran/Perdagangan Bebas itu tidak pernah wujud. Ini adalah kerana, akan ada campurtangan kerajaan jika pasaran bebas itu mengancam sistem ekonomi mereka. Semua perjanjian FTA yang ditandatangani tidak pernah memberikan kebebasan kepada negara-negara membangun, bahkan mereka akan ditekan dan diperas. Seperti di dalam kes hubungan dagangan antara China dan AS. Jadi, istilah FTA (Free Trade Agreement) itu seharusnya ditukar menjadi ITA (Imperial Trade Agreement) kerana sifat-sifatnya yang lebih kepada bentuk untuk menguasai ekonomi negara lain.



Sebaliknya, sistem yang akan diterapkan oleh Khilafah Islamiyyah nanti sangat berbeza dengan sistem yang kita ada pada hari ini. Perbandingan di antara Sistem Islam dan sistem kufur umpama langit dan bumi. Sistem Khilafah Islamiyyah nanti bukan sahaja haram untuk berurusan dengan FTA, malah tidak langsung memerlukannya. Ini adalah kerana, lebih kurang 60% hasil kekayaan bumi terletak di tanah kaum muslimin.



Bahkan, dunia Islam itu sendiri adalah pasaran yang besar. Maka, dengan itu, apabila Khilafah Islamiyyah berjaya menyatukan seluruh dunia kaum muslimin nanti, AS sendiri tidak mempunyai pilihan lain, kecuali tunduk kepada perjanjian-perjanjian yang akan ditetapkan oleh Syara'. Kerana telah terbukti pada hari ini bahawa tanpa sumber kekayaan dunia Islam AS tidak akan mampu untuk bersaing. Itulah sebabnya mengapa AS begitu rakus menghancurkan bumi Iraq pada ketika ini semata-mata ingin menyedut segala 'kekayaan' yang ada.



Khilafah Islamiyyah berlandaskan kepada akidah Islam dan diturunkan oleh Allah swt sudahpun lengkap sejak ia diturunkan dan mampu menjawab setiap persoalan kehidupan termasuk dalam bidang ekonomi. Sistem ekonomi Islam telah membataskan hak-hak untuk pemilikan induvidu, umum dan negara dan ini telah menyekat sebarang bentuk penswastaan ke atas sumber alam dan aset umat. Sumber alam dan aset umat akan dikelolakan oleh negara demi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan tidak hanya diekploitasikan oleh segelintir industrialis yang rakus seterusnya menutup akses globalisasi mahupun FTA. Sabda Rasulullah SAW:



”Ummat memiliki hak yang sama atas tiga perkara, air, padang rumput dan api" [HR Abu Dawud]



Hari ini kebanyakan negara-negara membangun terlalu bergantung kepada negara kapitalis maju kerana mereka membiarkan ianya dikelolakan oleh syarikat swasta atau negara luar sehingga mereka hilang sumber sendiri.



Selain itu, khilafah akan menghentikan manipulasi matawang dengan cara mengembalikan semula sistem matawang yang berasaskan emas dan perak yang akan menjamin kestabilan sistem kewangan negara. Khilafah juga akan menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan percuma untuk kesejahteraan rakyat dan juga menghilangkan kawalan hakcipta kerana ia menghambat kreativiti dan inovasi.



KESIMPULAN:



FTA yang diciptakan oleh negara-negara kapitalis merupakan sebuah alat untuk menguasai negara-negara umat Islam dan seterusnya akan menjajah mereka secara ekonomi. Mereka sentiasa mempropagandakan bahawa persaingan menerusi FTA ini adalah sesuatu yang sihat, adil dan memberikan kesejahteraan kepada dunia, walhal ia hanya memberikan faedah dan keuntungan yang menggunung kepada para kapitalis dan menindas negara-negara yang tidak berdaya. Sedangkan Allah swt telah menurunkan suatu sistem aturan ekonomi yang sangat ampuh di dalam mengendalikan kehidupan ekonomi manusia. Hukum Syara' menghalang monopoli dan eksploitasi ke atas umat dan memastikan negara melaksanakan tugasnya dalam melindungi kepentingan umat.

Sumber : mykhilafah.com

PERANG PROPAGANDA BRITAIN-IRAN

PERANG PROPAGANDA BRITAIN-IRAN



Setelah ditahan sejak 23hb Mac 2007, akhirnya, pada 5hb April 2007 yang lalu, kesemua 15 orang kelasi dan askar marin Britain berlepas pulang setelah dibebaskan oleh Pemerintah Iran selepas Britain dikatakan telah menghantar surat permohonan maaf sebelumnya. Walapun setelah dibebaskan, perang psikologi terus berlaku di antara Kerajaan Britain dan Pemerintah Iran. Tetapi ianya terhenti setelah Iran menyiarkan video rakaman ketika kesemua kelasi dan askar marin itu berada di dalam tahanan. Rakaman itu sendiri telah menutup rapat mulut Britain daripada terus melemparkan fitnah ke atas Iran.


Peristiwa penangkapan tentera-tentera barat yang menceroboh Iran ini bukanlah kali pertama. Pada 1980-an Pengawal Revolusi Iran pernah menahan tentera Amerika selama 52 hari. Akhirnya Perang Iran-Iraq tercetus dari 1980-1988 di mana Amerika merestui Presiden Saddam Hussein melancarkan serangan terhadap Iran berhubung wilayah Shatt al-Arab. Sungai Arvand di Shatt al-Arab menjadi rebutan antara Iran dan Iraq sejak sekian lama. Bandar Abadan dan Basrah terletak di wilayah ini. Pada hari Isnin , 21 Jun 2004, lapan tentera marin Britain ditahan selama 3 hari selepas memasuki Shatt al-Arab atau Arvandrud di Iran. Akhirnya mereka dibebaskan tetapi peralatan telah dirampas.


Dunia tidak boleh menafikan kewujudan peranan agen-agen rahsia di dalam sebarang operasi sulit tajaan barat. AS, Britain dan Russia adalah contoh beberapa buah negara yang mempunyai pasukan rahsia elit yang mampu untuk menceroboh mana-mana negara dengan kemahiran individu dan kecanggihan teknologi moden. Walaupun hal ini sukar untuk dibuktikan secara khusus, tetapi, penangkapan beberapa agen Britain berpakaian Arab ketika hendak meletupkan sebuah kereta di Iraq sedikit masa dahulu tentu boleh dijadikan hujah awal.


Sejarah pula membuktikan bagaimana Britain mempunyai peranan besar di dalam menaikkan pemerintahan diktator Shah Reza Pahlavi setelah sebelumnya berjaya menjatuhkan Perdana Menteri, Muhammad Mossadegh pada tahun 1953. Gerakan tersebut lebih dikenali dengan Operasi Ajax. Mossadegh yang merupakan seorang nasionalis yang berfahaman sosialis dibenci oleh Britain kerana cuba memiliknegarakan industri minyak Iran.


Operasi Ajax membuktikan kemampuan Britain di dalam melakukan operasi-operasi rahsia demi mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya setelah semua usaha-usaha dan tipu-daya politik gagal. Rakyat Iran tidak pernah lupa peranan Britain di dalam peristiwa tersebut. Sentimen Iran terhadap Britain tidak berubah hingga ke hari ini, walaupun kutukan lebih kuat dilemparkan kepada AS. Britain masih dianggap sebagai salah satu kuasa asing yang menjadi musuh Iran. Sokongan kuat Britain kepada kempen ketenteraan Presiden George W Bush – yang dibuktikan lagi dengan rondaan tentera Britain di selatan Iraq bersempadan Iran – menguatkan lagi sentimen Iran terhadap Britain.


Pencerobohan askar-askar British pada 23hb Mac yang lalu itu sebenarnya mempunyai misi/operasi sulit yang masih sukar untuk dibuktikan sehingga kini. Tujuan sulit yang dimaksudkan adalah memberi sokongan dan bantuan logistik kepada kumpulan-kumpulan pemisah di Iran. Kumpulan-kumpulan pemisah ini, walaupun kecil tetapi mereka tetap merbahaya jika diberi bantuan senjata termoden masakini. Kumpulan-kumpulan pemisah ini terdiri daripada bangsa Kurdis, Arab dan Azeri. Malah, pemerintah Iran masih keberatan untuk mendedahkannya demi memelihara kestabilan sokongan menyeluruh rakyat Iran ke atas pemerintah mereka.


PERANG PROPAGANDA.


Iran telah membuktikan bahawa mereka tidak boleh diperkecilkan. Mereka mampu mempertahankan dan melindungi kedaulatan mereka walaupun berhadapan dengan tekanan antarabangsa terhadap projek pengayaan uranium mereka. Episod penahanan tentera Britain “diwarnai” dengan sikap Iran yang cukup baik terhadap tawanan. Ini dibuktikan dengan rakaman video yang dikeluarkan oleh Iran. Imej Iran naik mendadak jika dibandingkan cara tentera AS-Britain melayan tahanan perang. Iran membuktikan mereka bukanlah Negara Paksi Jahat seperti yang didakwa AS. Iran mengambil risiko yang cukup besar terhadap isu ini.
Walaubagaimanapun, penangkapan itu juga telah digunakan oleh Amerika sebagai bukti lanjutan tuduhan ke atasnya sebagai tiga negara (termasuk Iraq dan Korea Utara) 'paksi jahat' - yang anti-Barat dan ancaman besar kepada keselamatan dunia. Tindakannya itu juga dikatakan akan menghilangkan simpati dunia kepada hujahnya untuk meneruskan rancangan nuklearnya bagi menjana elektrik. Tetapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Propaganda barat sekali lagi memakan diri sendiri setelah Iran berjaya membuktikan bahawa tentera marin Britainlah yang bersalah.


Pembebasan ini juga merupakan satu tamparan hebat kepada Amerika Syarikat (AS) yang sebelumnya melabelkan Iran sebagai sebuah negara yang menaja keganasan. Berlaku suara-suara kesal dari AS. Ini adalah kerana, terdapat beberapa pihak di negara kuasa besar itu yang mahu hubungan Britain dan Iran bertambah tegang. Mereka mahu Iran terus menahan tentera-tentera itu hingga menyebabkan Britain terpaksa bertindak balas yang terus menjadikan hubungan kedua negara bertambah buruk.


Maka, kedengaran pula suara-suara yang mahukan Barat, terutamanya Amerika, menyemak dasar tegarnya terutama terhadap Iran. Mereka sebenarnya tidak sepenuhnya menerima pandangan bahawa Iran merupakan sebuah negara yang agresif. Dari segi fakta sejarah, Iran tidak pernah menceroboh kedaulatan Amerika dan Britain.Sebaliknya, kedua-dua kuasa Barat itulah yang melakukan pencerobohan ke atas Iran.


Sejak sekian lama, Amerika telah mengisytiharkan republik Islam itu sebagai paksi jahat yang menaungi gerakan pengganas setelah menghadapi pelbagai kesulitan untuk menjatuhkan regim Iran. Iran juga didakwa memberikan bantuan kepada kumpulan Syiah di Iraq dan juga di Lebanon yang menggagalkan perancangan Amerika di Timur Tengah. Ketika ini, Amerika masih terus bercakap tentang rancangan untuk merubah rejim di Iran.


Yang terbaru, Amerika mempelopori gerakan mengenakan tekanan ke atas Iran agar segera menghentikan program pengayaan uraniumnya. Sudah lebih 28 tahun Amerika masih gagal merubah Iran, maka usaha AS untuk menghalang Iran daripada meneruskan program nuklearnya juga akan gagal. Penangkapan 15 askar Britain merupakan bukti bahawa Iran mampu memelihara kedaulatan walaupun kehadiran besar tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan serta armadanya di Teluk Parsi. Seluruh senario besar dan sejarah tadi mendorong kalangan penasihat politik di AS mendesak Rumah Putih agar menyemak dasarnya terhadap Iran. Keputusan Iran membebaskan kelasi Britain telah mengendurkan ketegangan di Timur Tengah.


Dari sudut perang propaganda, kuasa media telah berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Iran, menafikan dakwaan pihak yang menentangnya. Hal ini terbukti kerana, selepas menjadi tahanan tentera Iran selama 12 hari, satu-satunya perkara terburuk yang boleh diceritakan tentera Britain itu ialah mereka 'telah diasingkan' sehingga mereka berada keadaan ketakutan dan dipaksa membuat pengakuan, sedangkan tahanan Barat – termasuk Britain – mengalami nasib yang jauh lebih buruk. Malah, pegawai Iran yang ditahan di Iraq - beberapa hari selepas tahanan Britain dibebaskan – mendakwa diseksa oleh CIA.


Iran tidak seharusnya hanya hebat berpropaganda ketika ia kedaulatannya dicabul, bahkan ia mestilah terus melancarkan propaganda ke atas kejahatan-kejahatan yang telah dilakukan oleh barat ke atas dunia kaum muslimin.


Tidak pernah luput dalam ingatan umat Islam, Baratlah yang bertanggunjawab terhadap kematian beribu umat Islam di Afganistan. Dengan propaganda menentang keganasan, umat Islam menjadi sasaran taring-taring ganas AS dan sekutunya. Lebih menyakitkan lagi apabila pemimpin umat Islam sendiri telah melakukan khianat dengan memberi kebenaran kepada tentera AS untuk membina pangkalan tentera untuk menyerang Iraq.


Tidak cukup dengan aksi penakut para pengkhianat itu, mereka (para pemimpin kaum muslimin) terus terpengaruh dengan propaganda jahat AS. Lihat saja tafsiran yang diberikan oleh mereka terhadap makna ‘jihad’. Makna Jihad telah disempitkan kepada 'jihad melawan nafsu' , 'Jihad ekonomi' dan 'Jihad pembangunan'. Semuanya ini adalah hasil daripada propaganda barat ke atas pemikiran-pemikiran Islam. Akibatnya, semua gerakan Islam yang cuba membangkitkan kembali kegemilangan Islam di label ‘Islam ekstrimis’, ‘Islam fundementalis’. Pada masa yang sama, yang di iktiraf adalah ‘Islam moderat’. Amat malang menyaksikan sebahagian daripada umat Islam turut serta terpengaruh.


Kita juga melihat ‘double-standard’ yang ditunjukkan oleh AS dalam menangani masalah di Timur Tengah. Penjajahan dan pencerobohan Israel yang merampas tanah umat Islam telah diberi pengiktirafan oleh mereka. Propaganda yang disebarkan menyatakan, orang Yahudi wajib mendapat tempat setelah dizalimi dalam peristiwa pembunuhan berjuta-juta orang Yahudi di zaman Hitler. Sebahagian pemimpin Islam mengiktiraf Israel, sebahagian menentang, dan tidak kurang juga yang berdiam diri walaupun tahu akan hakikat kekejaman Israel.


Kisah Iran ini pula merupakan secebis daripada ‘kejayaan kecil’ umat Islam dalam menangani propaganda jahat Barat(baca AS-Britain). Selebihnya adalah kekalahan yang cukup memilukan hati umat Islam. Ini adalah kerana, bagi mereka yang memerhati dasar luar AS, tidak ada kemenangan kepada umat Islam. Walaupun Bush/Blair telah meletakkan jawatan, pengganti mereka tetap meneruskan ‘penjajahan’ terhadap umat Islam. Bezanya cuma, pendekatan yang lebih lembut. Tetapi hakikat yang tidak dapat disembunyikan adalah, umat Islam akan terus tertindas dan yang paling membahayakan adalah jauhnya umat Islam dengan ajaran Islam yang sebenar.


Sumber : mykhilafah.com

BEBASKAN SELATAN THAILAND

BEBASKAN SELATAN THAILAND


Pengeboman salah sebuah masjid di wilayah Yala 5hb April yang lalu yang menyebabkan lebih kurang 15 orang tercedera merupakan tindakan kurang ajar daripada si bacul yang pengecut. Menurut laporan, sekumpulan lelaki melontar sebutir bom tangan tersebut. Mereka membaling bom ke dalam masjid ketika jemaah sedang mengerjakan solat subuh. Hanya pihak yang telah hilang kewarasan dan diiringi dengan dendam kesumat yang menebal sahaja sanggup melakukan hal sedemikian.

Pada ketika siasatan baru di peringkat awal, jurucakap polis, Leftenan Apirak Sangkao sudah pun membuat kesimpulan bahawa pihak yang bertanggungjawab adalah para pejuang Islam dan mereka melakukannya dengan tujuan untuk menakutkan para penduduk kampung agar tidak bekerjasama dengan kerajaan.

Kesahihan kesimpulan itu diragui memandangkan bukti-bukti kukuh belum ditemui. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Disebabkan tidak ada sesiapa yang dapat mengenalpasti siapakah penyerangnya, maka beberapa kemungkinan boleh dibuat berdasarkan fakta kejadian tersebut dan kejadian-kejadian yang lalu dan terpulanglah kepada para pembaca untuk menilainya.

Ada tiga kemungkinan,

Pertama; mungkin pihak polis mengetahui pihak pejuang akan menyerang dan mereka sengaja membiarkan perkara itu berlaku.
Kedua, memang dilakukan oleh para pejuang dan pihak tentera memang tidak tahu menahu serangan akan dilakukan.
Ketiga; pihak tentera/sekutunya yang melakukan dan kerana itulah kesimpulan segera terus dibuat.

Pertama; memandangkan para pejuang merupakan pihak yang paling dikehendaki dan paling didendami oleh pihak tentera, maka jika mereka sudah kenalpasti, sudah tentulah pihak tentera tidak akan 'melepaskan peluang' untuk segera membalas dendam atas kematian rakan-rakan mereka akibat serangan-serangan sebelum ini. Sebenarnya, sehingga ke hari ini, pihak tentera masih gagal mengenalpasti dengan jelas, siapakah yang benar-benar terlibat di dalam perjuangan membebaskan wilayah selatan Thailand itu. Kerana itulah kemungkinan pertama tertolak.

Kedua; Jika benar-benar ia dilakukan oleh para pejuang, mengapa ia dilakukan secara berkumpulan di tempat terbuka? Padahal, umum mengetahui bahawa serangan mereka sebenarnya bersifat individu atau beberapa orang sahaja dan pergerakan mereka selalunya sukar dikenalpasti. Tetapi menurut jurucakap tentera Thailand, pergerakan kumpulan yang menyerang dapat dilihat. Kebanyakkan para pejuang adalah sebahagian daripada penduduk kampung, mereka seperti penduduk kampung lainnya, perlu bersedia untuk bekerja di waktu siang untuk menyara keluarga dan keperluan diri. Jadi bagaimana mungkin terlibat dengan aktiviti serangan menjelang subuh. Tambahan lagi, serangan ke atas masjid benar-benar bertentangan dengan tujuan dan niat mereka yang ingin menegakkan syiar Islam dengan membebaskan wilayah mereka daripada penjajahan kerajaan Thailand.

Ketiga; Sukar untuk kita menolak kemungkinan ketiga ini. Ini adalah kerana, hanya pihak yang benar-benar boleh bergerak bebas secara terbuka sahaja yang mempunyai keberanian untuk melancarkan serangan terbuka. Dan pihak yang banyak bergerak bebas di sekitar kampung dan bandar, tidak lain dan tidak bukan adalah pihak tentera sendiri. Manakala para pejuang hanya berani bertindak secara individu dan berkumpulan secara senyap, bukan secara berkumpulan terbuka seperti serangan ke atas masjid di Yala itu. Bahkan serangan tersebut mirip kepada serangan terbuka yang dilakukan oleh tentera ketika di bawah pemerintahan Thaksin yang juga dilakukan ketika subuh atau menjelang siang sebagaimana serangan ke atas Masjid Krisek beberapa tahun yang lalu. Maka dengan itu, terdapat persamaan serangan yang dapat dikaitkan dengan corak serangan pihak tentera.

Krisis di wilayah selatan Thailand sudah tidak asing lagi bagi masyarakat serantau baik di Asia Tenggara mahupun daripada kaca mata dunia. Malah, di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu, kebanyakkan para penduduknya merupakan berasal daripada generasi awal yang terdiri daripada pendatang daripada wilayah selatan Thailand. Mereka melarikan diri daripada kampung halaman demi untuk menyelamatkan keimanan mereka. Kebanyakan waris ; anak-anak, cucu dan cicit mereka kini masih mempunyai keluarga, kerabat terdekat dan sahabat di wilayah selatan Thailand. Pada ketika Kerajaan Islam Pattani musnah dan kemudiannya dijajah oleh kerajaan Siam, beribu-ribu umat Islam di wilayah-wilayah tersebut berhijrah ke utara Tanah Melayu(kini ; Semenanjung Melaysia).

Kerajaan Siam pada ketika itu terus menjajah dan mara hingga ke Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sehingga ketiga-tiga negeri tersebut pernah berada di bawah penjajahan kerajaan Siam(kini Thailand). Jika bukan kerana Perjanjian Bangkok ( Perjanjian British-Siam), sudah tentulah ketiga-tiga negeri tersebut masih lagi dijajah oleh kerajaan Thailand ketika ini. Tetapi, nasib wilayah di selatan Thai tidaklah sebaik ketiga-tiga wilayah tersebut, wilayah-wilayah seperti Pattani, Narathiwat dan Yala masih terus dijajah sehingga ke hari ini.

Agak menghairankan, pada ketika semua kuasa-kuasa besar mula memberikan kemerdekaan kepada wilayaha-wilayah jajahan mereka pada 1920-1950-an, Kerajaan Thailand buat tidak endah dan tetap enggan memerdekakan wilayah-wilayah Selatan Thailand yang dijajahnya.
Bagi kebanyakkan penduduk Islam yang masih berpegang kepada ajaran Islam yang ketat, mereka tidak dapat menerima dengan rela hati penjajahan yang sedang membelenggu. Mereka tetap menyimpan dendam dan mereka berazam untuk mengubah nasib mereka. Satu cara sahaja, setelah semua jalan diplomatik yang pernah ditempuh untuk merdeka ditolak oleh kerajaan Siam, satu cara sahaja, iaitu mengangkat senjata.

Dendam ini tidak akan padam selagi kemerdekaan diberikan kepada wilayah selatan Thailand. Tetapi malangnya, sejak daripada era Thaksin lagi, terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa pada ketika itu Amerika Syarikat (AS) menjadi penasihat kepada kerajaan pimpinan Thaksin. Bekalan beratus-ratus pucuk rifel M-16 kepada pasukan separa tentera di wilayah selatan daripada AS menunjukkan terdapat unsur-unsur campurtangan AS di wilayah selatan Thailand. Bahkan pada satu ketika, Thaksin mempunyai justifikasi untuk menambah peruntukan kepada tentera untuk membeli kelengkapan persenjataan lebih berat hanya dengan menamakan ancaman di wilayah selatan. Kelengakapan senjata yang mungkin akan dimiliki dan mungkin sudah pun dimiliki oleh pihak tentera dan separa tentera Kerajaan sebenarnya menggalakkan lebih banyak keganasan akan berlaku.

Penderitaan umat Islam di wilayah Selatan Thailand masih jauh. PBB dan OIC serta semua pertubuhan lain tidak boleh diharap dan pada saat inilah betapa perlunya umat Islam mengorak langkah yang lebih pasti, iaitu ke arah untuk mendapatkan kekuasaan dan menjadi penyelamat umat Islam bukan sahaja di Selatan Thailand, termasuklah di Kashmir, Afganistan dan Iraq.
Usaha untuk membebaskan kesemua wilayah tersebut daripada cengkaman keganasan janganlah pula dihadkan kepada menderma, kesemuanya itu adalah sebahagian daripada usaha-usaha kebajikan untuk meredakan seketika nasib penduduk di wilayah terbabit. Tetapi ia tidak dapat menghapuskan semua keganasan dan penganiayaan. Hanya melalui usaha-usaha menegakkan sistem pemerintahan Islam, Sistem Khilafah sahajalah dapat mengubah keadaan yang berlaku ketika ini. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang melainkan kita sendiri yang mengusahakannya dan Allah SWT menentukan bilakah saatnya kemenangan itu akan tiba.

"Sesungguhnya, imam itu adalah (umpama) perisai, kamu berperang di belakangnya dan kamu berlindung dengannya". [HR Muslim]

Makna kata 'imam' di dalam hadis di atas bukanlah imam ketika solat, kata imam itu membawa maksud lebih luas, iaitu seorang pemimpin yang mengetuai ketua dan pemimpin tempat rakyatnya berlindung. Maka ia membawa maksud pemimpin kaum musimin, iaitu khalifah. Maka, daripada hadis tersebut, hanya itulah sahaja caranya untuk menyelamatkan umat Islam pada ketika ini. Ya, memang benar, usaha tersebut masih jauh, maka dengan itu, seluruh kaum muslimin semuanya harus turut terlibat agar usaha tersebut dapat dipercepatkan.


Wallahu alam.

Sumber : mykhilafah.com

PELABURAN INTERNET & SKIM CEPAT KAYA


PELABURAN INTERNET & SKIM CEPAT KAYA




Muzakarah kali ke-77 Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah mengharamkan semua pelaburan internet yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda. Terdapat lebih 50 skim yang sedang beroperasi dan melibatkan 500 ribu pelabur. Pengerusi MFK, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin memutuskan “Pelaburan melalui Internet yang menjamin keuntungan secara tetap didapati mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan). Justeru, umat Islam diharamkan terbabit dengan pelaburan berkenaan” Menurutnya lagi, keputusan pengharaman pelaburan melalui Internet itu dibuat berdasarkan rujukan kepada beberapa ayat al-Quran yang tidak membenarkan pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap. Fatwa pengharaman pelaburan melalui Internet itu akan dikemukakan kepada semua kerajaan negeri untuk diwartakan secepat mungkin. Beliau menambah, “Kerajaan Pusat banyak menyediakan skim pelaburan berlandaskan Islam dan ia boleh disertai umat Islam di negara ini...Kami menasihatkan umat Islam yang membuat pelaburan melalui Internet supaya menghentikan kegiatan itu serta-merta” [Harian Metro 13/04/07]. Majlis berkenaan membuat keputusan itu terhadap semua bentuk pelaburan internet termasuk Skim Cepat Kaya Swiss Cash yang kononnya diuruskan Swiss Mutual Fund (SMF) kerana skim-skim itu secara jelas mengandungi unsur riba [UM 13/04/07].




Pelaburan dan Skim Cepat Kaya ini telah menjadikan konsep ‘derma’ sebagai topeng untuk menarik para peserta, yang dijalankan melalui sistem piramid. Seperti biasa, skim sebegini sememangnya mendapat tempat di hati masyarakat kita kerana menjanjikan pulangan yang lumayan tanpa perlu bersusah payah membanting tulang. Inilah hakikat kehidupan sebuah masyarakat yang sudah terbius dengan Sistem Kapitalis Barat, yang menjadikan piawaian hidup mereka materialistik semata-mata, tanpa mengambil kira lagi konsep halal dan haram. Cara berfikir Kapitalis yang telah sebati dengan umat Islam telah melahirkan masyarakat yang tamak dan rakus untuk memiliki kekayaan dengan apa cara sekalipun bagi meraih sebuah kebahagiaan. Kebahagiaan menurut mereka, adalah dengan memperolehi sebanyak mungkin kekayaan. Justeru, qa’idah fikriyyah (landasan berfikir) mereka adalah untuk mencari sebanyak-banyak kenikmatan dunia. Masing-masing akan berebut mencari kekayaan, walaupun perlu menindas dan menipu orang lain. Bagi yang sering tertindas dan tertipu sekalipun, mereka masih tetap mengejar dan menaruh harapan agar mendapat kekayaan duniawi ini.




Dalam dunia kapitalis, penipuan adalah satu lumrah kerana kehidupan mereka adalah berlandaskan manfaat (benefit) semata-mata, bukannya berdasarkan hukum-hakam agama. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan manfaat, bukan sekadar menipu, malah hingga ke tahap membunuh, jika perlu. Jadi tidak hairanlah jika muncul si kapitalis yang mencipta sebuah perniagaan yang kononnya bertujuan untuk membantu orang lain, walhal sebenarnya ia adalah untuk menambah kekayaan dirinya sendiri. Bagi yang tertindas pula, keterdesakan hidup dalam sistem kapitalis seperti gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, harga barang yang sentiasa melambung, anak yang ramai dan sebagainya menyebabkan gaji yang ada tidak lagi dapat menampung kehidupan. Oleh itu, Skim Cepat Kaya adalah secara tabi’i suatu skim yang menarik perhatian. Kefahaman Islam yang cetek dan sifat malas bekerja menambahkan lagi keinginan untuk meraih kekayaan secepat mungkin. Inilah antara sifat cintakan dunia yang ada pada umat Islam akhir zaman ini, yang menyebabkan mereka meletakkan manfaat (benefit) di hadapan dan Allah dan Rasul di belakang. Untuk itu, halal dan haram bukan lagi menjadi pertimbangan.




Kami ingin mengingatkan para pembaca bahawa Islam tidak pernah menghalang umatnya mendapatkan kekayaan, cuma ia mestilah diperolehi dengan cara yang halal. Cara berfikir Islam adalah 100% berbeza dengan cara berfikir kufur Kapitalis. Islam menjadikan halal dan haram sebagai ukuran suatu perbuatan, bukannya manfaat. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah mengkaji hukum suatu perbuatan itu sebelum melakukannya. Kaedah usul fiqh menjelaskan, “al-aslu fil af’al taqayyidu bi hukmillah” (asal suatu perbuatan itu adalah terikat dengan hukum Allah). Maksudnya, tidak boleh bagi seorang Muslim itu melakukan satu perbuatan tanpa terlebih dahulu mengetahui akan hukumnya. Justeru, adalah wajib bagi umat Islam mengkaji terlebih dahulu halal dan haram suatu perbutan sebelum bertindak. Di dalam mencari penyelesaian hukum syarak terhadap sesuatu perkara, Islam telah meletakkan metod seperti berikut:


Pertama: perlu dikaji realitinya terlebih dahulu;


Kedua: mencari dalil/nas yang berkaitan dengannya; Ketiga: menetapkan (istinbat) hukum terhadap realiti tadi.




REALITI PELABURAN INTERNET DAN SKIM CEPAT KAYA




Dari segi konsep, skim pelaburan internet sebenarnya tidak jauh berbeza dengan skim pelaburan biasa. Semua skim pelaburan perlu mendapat dana untuk menjalankan perniagaan mereka, termasuklah skim internet. Dana terkumpul ini mengikut dakwaan mereka kemudian dilaburkan ke dalam sektor-sektor tertentu yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Kebanyakan syarikat akan menafikan bahawa mereka melabur dalam aktiviti perjudian, arak atau lain-lain sektor yang haram. Atas dasar ini, mereka lalu mendedahkan ke sektor manakah wang para peserta akan dilaburkan. Inilah hal yang menarik minat umat Islam dan mereka terus menghukum bahawa pelaburan ini adalah sah, walau hanya dengan sedikit pendedahan yang mereka (umat Islam) sendiri tidak pernah periksa kebenarannya.




Manakala bagi Skim Cepat Kaya pula, untuk memahami realitinya, kami paparkan di sini salah satu program yang diberi nama ‘Ikhwan’. Skim ini memerlukan anda menyumbang dana sebanyak RM10 kepada orang yang berada di dalam piramid untuk membolehkan nama anda dimasukkan ke dalamnya. Terdapat 3 peringkat piramid yang anda perlu lalui dan anda perlu sumbangkan RM10 kepada 3 orang penama. Setelah anda masuk, peserta di lapisan piramid yang terbawah (peserta No. 3) akan terkeluar dari senarai dan nama anda akan berada di puncak, yang memerlukan anda mencari 100 peserta baru. Apabila anda mengedar 100 set atau lebih program Ikhwan ini, setiap peserta baru akan memasukkan RM10 ke dalam akaun bank anda. Lebih banyak anda edarkan lebih banyak sumbangan yang akan anda terima. Ini dilakukan secara berterusan. Setiap peserta baru akan mengedar 100 set lagi (atau lebih), dan nama anda akan berada di tingkat No 2 piramid tersebut. Prosesnya adalah seperti carta di bawah [Lembaran Iklan, Program Ikhwan ms 2];




Peringkat Edaran

Bil Peserta

Jumlah Sumbangan

Diterima

Peserta no 1

100

RM10

RM1,000

Peserta no 2

100 X 100

RM10

RM100,000

Peserta no 3

100 X 100 X 100

RM10

RM10,000,000



Untuk menarik kepercayaan dan keyakinan umat Islam, pengasas program ini tanpa segan silu memetik beberapa ayat Al-Quran dan menggunakan kata-kata yang bersifat keislaman. Mereka memancing para peserta dengan menggunakan slogan ‘sumbangan ikhlas bagi membantu saudara sesama Islam’, padahal, pengasas ini jelas-jelas seorang yang berpemikiran kapitalis yang hanya bertujuan mendapatkan kekayaan dari orang lain tanpa usaha. Mereka menyatakan kononnya tidak ada unsur penipuan, melainkan sumbangan secara sukarela sesama peserta untuk saling membantu, walhal jika diteliti merekalah (pengasas) yang akan ‘kaya dulu’ hasil dari pemberian orang lain. Jika proses ini berlaku secara ideal, maka piramid ini akan goyang pada peringkat ke 4, kerana mengikut kiraan, bilangan perserta yang akan ‘tertipu’ adalah seramai 100x100x100x100 = 100,000,000. Perkara ini mustahil berlaku kerana penduduk Malaysia hanyalah seramai lebih kurang 26 juta orang sahaja. Pendek kata, program ini kemungkinan berjaya hanya setakat peringkat ke-3 sahaja. Apa pun, pengasasnya langsung tidak perlu risau kerana dia sudahpun menikmati kekayaan dari orang bawahannya (downliner) walaupun dia telah terkeluar dari senarai. Yang tertipu dan mungkin akan mengalami kerugian adalah perserta No. 1 yang baru ingin menyertainya.




SYIRKAH (PERKONGSIAN) DALAM ISLAM




Islam bukanlah satu agama yang menghalang penganutnya untuk mencari kekayaan. Islam datang untuk mengatur cara hidup manusia di dalam segenap aspek dan Islam mengatur dengan jelas mengenai tata-cara (hukum) bagaimana seseorang individu itu boleh mendapatkan kekayaan di dunia ini. Allah Subhanahu wa Ta’ala membenarkan hambanya memiliki harta dan mengembangkannya. Hukum pemilikan harta dan pengembangan kekayaan dalam Islam boleh dibahagikan kepada beberapa sektor utama; Pertanian - meliputi hukum-hakam tanah dan yang terkait dengannya); Perindustrian - meliputi hukum-hakam mengenai pembuatan (istisna’) dan gaji/upah serta yang terkait dengannya; Perdagangan - merangkumi hukum jual-beli dan syirkah (perkongsian). Secara ringkasnya, ada lima bentuk syirkah dalam Islam [untuk keterangan lanjut sila rujuk Nidzamul Iqtisadi Fil Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani];




(1) Syirkah Abdan - Perkongsian antara dua orang atau lebih yang menjadikan perkhidmatan dan kepakaran mereka sahaja (tanpa sumbangan harta) untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Keuntungan dibahagikan mengikut persetujuan akad.




(2) Syirkah Mudharabah - Perkongsian di mana salah satu pihak menyumbang modal sahaja (disebut sahibul mal) dan satu pihak lagi menyumbangkan tenaga/usaha sahaja (disebut mudharib). Sahibul mal menyerahkan modalnya kepada mudharib (usahawan) untuk dikendalikan dan dia tidak terlibat di dalam perniagaan sementara keuntungan dibahagi mengikut kesepakatan di dalam akad.




(3) Syirkah Inan - Perkongsian antara dua orang atau lebih yang masing-masing mengeluarkan modal dan usaha sekaligus, kemudian keuntungan dibahagikan di antara mereka berasaskan kesepakatan.




(4) Syirkah Wujuuh - Perkongsian antara dua orang atau lebih dengan modal dari pihak luar dari keduanya (pihak ketiga).




(5) Syirkah Mufawadhah - Kombinasi dari bentuk-bentuk syirkah inan, abdan, mudharabah dan wujuh.




Berdasarkan realiti, pelaburan internet adalah melibatkan peserta yang melaburkan 100% modal dan syarikat yang berkenaan bertindak sebagai usahawan 100%, maka perbincangan hukum mengenai realiti pelaburan ini adalah termasuk di bawah Syirkah Mudharabah.




KONSEP MUDHARABAH MENURUT ISLAM




Syirkah Mudharabah juga dikenali sebagai Qiradh, iaitu apabila badan (diri) dan harta bergabung untuk memulakan perkongsian. Syirkah jenis ini menurut syara' hukumnya adalah mubah (harus). Sebagaimana disebutkan, Mudharabah adalah satu perkongsian di mana satu pihak bertindak sebagai sahibul mal (pemilik modal) dan satu pihak lagi melakukan kerja (mudharib/usahawan). Kedua-dua pihak ini berkongsi untuk menjalankan suatu pekerjaan mengikut nisbah keuntungan yang telah dipersetujui. Jika berlaku kerugian, maka ia hanya akan ditanggung oleh sahibul mal sahaja. Berkenaan hal ini, Abdurrazak dalam kitab Al-Jami' telah meriwayatkan dari Ali ra. yang berkata: "Kerugian adalah berasaskan kepada harta, sedangkan untung tergantung kepada apa yang mereka sepakati." Adalah jelas di dalam Mudharabah bahawa jika pihak-pihak mengalami kerugian, maka mudharib hanyalah pihak yang ‘rugi’ dari segi tenaga yang dicurahkannya dan pihak yang sebenarnya menanggung kerugian adalah sahibul mal.




Perkongsian mudharabah ini adalah tidak sah sehinggalah modal diserahkan kepada mudharib. Dalam perkongsian ini, Islam meletakkan syarat bahawa sahibul mal tidak boleh bekerja bersama dengan mudharib. Dia langsung tidak berhak mengendalikan harta/wang yang telah dilaburkan dalam perkongsian ini. Hanya mudharib sahaja yang berhak mengendali dan menguruskan perniagaan melalui modal yang telah dikeluarkan. Pendek kata, perkongsian mudharabah ini hanya melibatkan ‘diri’ mudharib dengan ‘modal’ sahibul mal, dan bukannya antara diri mudharib dengan diri sahibul mal.




HUKUM PELABURAN INTERNET & SKIM CEPAT KAYA




Jika kita kaji dengan teliti pelaburan internet, walau apa jenis, bentuk dan namanya sekalipun, konsepnya adalah hampir sama. Yang jelas, kesemuanya adalah bercanggah dengan akad mudharabah yang sebenar menurut Islam, kerana:




(1) Tidak memenuhi Aqad Syirkah Mudharabah: Ini adalah kerana dalam prinsip pelaburan mudharabah, semasa sahibul mal menyerahkan hartanya kepada mudharib, harta ini menjadi harta amanah dan perlu dikerjakan dalam sektor yang nyata, bukannya untuk dilaburkan. Usaha untuk melaburkan wang yang diamanahkan itu adalah jelas-jelas melanggar akad mudharabah, kerana perbuatan ini telah menukarkan aktiviti mudharib menjadi agen (wakil) kepada sahibul mal. Akad sebegini bukan lagi mudharabah tetapi sebenarnya adalah akad wakalah. Hal (akad) ini sahaja sudah menggugurkan keseluruhan syirkah ini, tanpa perlu lagi melihat kepada sebab-sebab yang lain.




(2) Rakan Kongsi adalah Majhul (tidak dikenali): Pihak SMF mengumpulkan wang dari beberapa orang sahibul mal yang digabungkan untuk perniagaannya. Pengumpulan wang ini akan menjadikan seseorang sahibul mal itu bersatu dengan syarikat itu. Islam meletakkan fungsi kemanusian dalam sesuatu akad dan ini bermakna bila seorang mudharib dan sahibul mal bersatu menjadi rakan kongsi dalam sebuah syarikat, maka keputusan untuk memasukkan seorang lagi rakan kongsi baru memerlukan pembaharuan akad. Namun hal ini tidak terjadi dalam akad mana-mana syarikat pelaburan internet ini. Seorang anggota baru boleh masuk atau keluar sesuka hati tanpa pengetahuan atau apa-apa ikatan dengan anggota yang sedia ada. Ini menjadikan seseorang yang baru masuk itu dalam kedudukan bersekutu dengan rakan kongsi yang majhul (tidak dikenali). Hal ini menggugurkan rukun akad dan menjadikan akadnya batil.




(3) Pembahagian nisbah keuntungan yang tidak jelas (gharar): Tiada kesepakatan tentang keuntungan iaitu syarikat hanya menjanjikan pulangan keuntungan mengikut nisbah ROI (Pulangan Berasaskan Nilai Pelaburan). Keuntungan yang diberikan kepada sahibul mal adalah berasaskan kepada peratus pelaburan mereka, bukannya jumlah sebenar keuntungan dari pelaburan yang dibuat. Ini menunjukkan bahawa jumlah sebenar keuntungan hanyalah diketahui oleh pihak Swiss Cash sahaja dan hakikatnya mereka membahagikan mengikut pembahagian yang mereka inginkan, tanpa perlu mendedahkan keuntungan sebenar. Hal ini amat bercanggah dengan prinsip mu’amalah dalam Islam yang mana keuntungan hendaklah dibahagikan mengikut persetujuan dan kerugian adalah tanggungan sahibul mal sahaja. Hal ini tidak dinyatakan dengan jelas dalam kontrak yang menjadikannya fasid (rosak).




(4) Jaminan keuntungan atau pulangan yang tetap. Sesuatu pelaburan yang menjamin pulangan atau keuntungan yang bersifat tetap kepada pelaburnya tanpa menghitungnya atas dasar untung-rugi perniagaan, merupakan satu dari akad yang mengandungi riba. Berasaskan kepada akad mu’amalat seperti mudharabah, akad ini sebenarnya terdedah kepada untung rugi dan bukannya satu aktiviti yang menjanjikan pulangan yang bersifat tetap kepada pelaburnya. Jadi, jika dilihat dari jaminan keuntungan tetap mengikut jangka masa tertentu itu, hal ini adalah haram kepada pencarum kerana ini termasuk dalam mu’amalah yang mengandungi riba.




Disebabkan akad pelaburan internet adalah syirkah, namun tidak selaras dengan akad Syirkah Mudharabah menurut Islam dari segi rukun dan syaratnya, maka kontrak atau akadnya adalah batil dan fasid. Oleh itu, adalah haram bagi umat Islam bermu’amalat dengannya. Tidak kira samada sesuatu pelaburan itu bersifat maya (dalam internet) atau nyata, sekiranya tidak memenuhi tuntutan syarak maka hukumnya adalah haram.




Adapun Skim Cepat Kaya pula merupakan sebuah skim di mana seorang anggotanya membuat pembayaran dengan sejumlah wang tertentu kepada pihak yang berada di atas dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang berlipat kali ganda. Pengasas skim ini jelas menganjurkan satu ‘penipuan halus dan terancang’ dalam sistem kapitalis (tetapi bertopengkan Islam) iaitu penipuan dalam bentuk ‘derma’ walhal hakikatnya adalah untuk mengaut keuntungan. Samada pengasas atau perserta yang mengikuti program Skim Cepat Kaya ini, mereka sebenarnya telah:




(1) Melakukan penipuan dan eksploitasi harta/wang orang lain: Skim seperti ini merupakan penipuan dan eksploitasi terhadap harta orang lain dengan menentukan sejumlah ‘wang yang tetap’ yang perlu dibayar untuk membolehkan nama seseorang masuk ke dalam piramid. Atas alasan kononnya sebagai derma, tetapi mereka sebenarnya telah ‘menetapkan’ jumlah wang yang perlu didermakan. Walhal hukum derma di dalam Islam adalah semata-mata ikhlas lillah tanpa boleh menetapkan jumlah bayaran derma tersebut. Inilah penipuan halus mereka.




(2) Mempermainkan hukum derma (tabarru’at) dalam Islam: berderma adalah satu ibadah yang tujuannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan pahala disisiNya, bukannya ganjaran lain. Nilai yang ingin dicapai dengan berderma adalah nilai spiritual (qimah ruhiyyah) bukannya nilai kebendaan (qimah madiyyah). Di dalam Al-Quran, Allah memperingatkan orang yang memberikan hadiah harta dengan tujuan untuk menambah-nambah kekayaannya, dengan firmanNya, “Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar ia bertambah pada harta manusia, maka riba (tambahan) itu tidak menambah di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan (sebaliknya) apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda” [TMQ Al-Rum (30):39]. Menurut ayat ini, sesiapa sahaja yang memberikan hadiah dengan tujuan untuk mendapat lebih banyak dari apa yang mereka beri, maka mereka tidak akan mendapat apa-apa balasan dari Allah [Tafsir Ibn Katsir].




(3) Melakukan aktiviti penambahan kekayaan yang tidak dibenarkan oleh syarak: Skim Cepat Kaya ini sebenarnya tidak menepati mana-mana akad di dalam Islam. Proses yang dilakukan adalah melabur RM30 sedangkan pulangan yang didapati tidak jelas kerana tidak ada barangan atau perkhidmatan yang dijual, yang ada hanyalah kemasukan wang dari perserta. Kedudukan ini tak ubah seperti masing-masing memakan wang sesama sendiri. Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang kita memakan harta sesama sendiri dengan cara yang batil. FirmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...” [TMQ an-Nisa’ (4):29]. Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang hamba-hambaNya daripada memakan harta dengan cara yang tidak benar, seperti riba, judi dan helah yang kelihatannya seperti sah [Tafsir Ibn Kathir].




KHATIMAH




Wahai kaum Muslimin! Dalam pada MFK menfatwakan haramnnya pelaburan internet ini, tidakkah kalian terfikir bahawa pelaburan-pelaburan lain juga sepatutnya turut diharamkan? MFK menyatakan bahawa keharaman pelaburan ini adalah kerana adanya riba dan unsur gharar; alangkah tepatnya fatwa ini! Maha Suci Allah, tidakkah MFK sedar bahawa seluruh sistem perbankan yang ada sekarang adalah bertunjang dan berpaksikan riba? Tidakkah MFK sedar bahawa berbagai-bagai skim pinjaman yang dikeluarkan oleh bank-bank sekarang, termasuk pinjaman kerajaan seperti pinjaman perniagaan, perumahan, kenderaan, kad kredit dan sebagainya, semuanya berteraskan riba? Butakah MFK bahawa keuntungan besar setiap tahun yang diperolehi oleh bank-bank dan institusi-institusi kewangan yang ada sekarang adalah dari hasil riba? Kenapakah semua ini tidak difatwakan haram? Kenapakah semasa membicarakan tentang pinjaman Ah Long MFK tidak pernah mengharamkannya kerana ada riba? Apakah standard yang digunakan oleh MFK?




Dalam leaflet ‘Seruan Masjid’ yang dikeluarkan oleh Masjid Negara Bil. 9/2007 Jumaat 13042007, dijelaskan di mukasurat 2 (bersumber dari JAKIM) bahawa, “Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syarak. Persoalannya, apakah sebuah badan yang ditugaskan untuk mengeluarkan fatwa seperti MFK terlepas pandang akan pelaburan ASB, atau lain-lain pelaburan sehingga tidak dikeluarkan fatwa tentangnya? Atau mungkinkah kerana adanya lampu hijau dari kerajaan tentang pelaburan-pelaburan ini, maka mulut MFK terus terkunci. Kita tidak ingin MFK dikatakan hanya nampak kuman di seberang laut, tetapi tidak nampak gajah di depan mata.




Wahai kaum Muslimin! Kita amat sedih dengan amalan ‘double standard’ yang berlaku. Entah bilalah keburukan ini akan berakhir. Kita mengharapkan agar MFK mengeluarkan fatwa-fatwa tentang segala hukum, khususnya yang jelas-jelas haram di sisi Islam. Kita tertanya-tanya kenapakah MFK tidak mengeluarkan fatwa bahawa haramnya kita berhukum dengan hukum kufur yang diwarisi dari British seperti sekarang? MFK juga tidak pernah mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi pemerintah untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah, wajib menggantikan sistem pemerintahan sekular sekarang kepada Sistem Pemerintahan Khilafah dan wajib bagi umat Islam di seluruh dunia untuk berusaha menegakkan semula Khilafah dan seterusnya bergabung di bawah Daulah Islam. Apakah hukum-hukum ini tidak penting bagi MFK sehingga hukum pelaburan internet yang menjadi pilihan utama? Semoga selepas ini akan lahir orang-orang yang ikhlas mengeluarkan fatwa semata-mata kerana takutkan Allah, dan bukannya takutkan manusia, yang mengharapkan redha Allah dan syurgaNya, bukannya mengharapkan redha manusia dan habuan dunia. Amin ya Rabbal ‘alamin.

PERSIDANGAN LIGA ARAB KE-19 : SATU LAGI PENGKHIANATAN!


PERSIDANGAN LIGA ARAB KE-19 :

SATU LAGI PENGKHIANATAN!




Pada 28 dan 29hb Mac 2007 baru-baru ini Liga Arab telah mengadakan persidangan kali ke-19nya di Riyadh, Arab Saudi. Liga Arab merupakan gabungan negara-negara Arab yang telah ditubuhkan secara rasminya pada 22 Mac, 1945 di Cairo, Mesir. Tujuan penubuhan (sebagaimana terdapat di dalam Piagamnya) antara lain adalah ‘untuk mengukuhkan kerjasama di kalangan negara-negara anggota serta menjaga dan mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara’. Ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama mereka di dalam bidang kebudayaan, ekonomi, sosial, komunikasi, kesihatan dan hal-hal yang menyentuh tentang kenegaraan (seperti pasport, visa, perlaksanaan penghakiman dan ekstradisi penjenayah). Anggota asal (founding members) Liga Arab adalah Mesir, Iraq, Jordan (dahulunya Transjordan), Lebanon, Arab Saudi, Syria dan Yamen. Negara Arab lainnya mula menyertai Liga setelah memperolehi kemerdekaan: Algeria (1962), Bahrain (1971), Comoros (1993), Djibouti (1977), Kuwait (1961), Libya (1953), Mauritania (1973), Morocco (1958), Oman (1971), Qatar (1971), Somalia (1974), Yemen Selatan (1967), Sudan (1956), Tunisia (1958) dan United Arab Emirates (1971). Palestine Liberation Organization (PLO) menyertai pada tahun 1976 (sekarang dipanggil Palestin). Hari ini Liga ini terdiri dari 22 buah negara (setelah penggabungan Yemen Selatan dan Utara).




Walau bagaimanapun, disebabkan perbalahan dalaman yang tidak pernah reda, Liga Arab secara amnya gagal mencapai agendanya. Apatah lagi setelah kewujudan negara haram Israel, perbalahan di kalangan negara Arab semakin ketara, malah isu ini sebenarnya telah menjadi punca kepada segala perbalahan. Api perpecahan mula marak setelah Mesir menandatangani Perjanjian Damai dengan Israel pada tahun 1979, sebuah pengkhianatan yang dilakukan oleh Anwar Sadat (Presiden Mesir waktu itu). Mesir kemudiannya digantung keahlian dan ibu pejabat Liga Arab telah dipindahkan ke Tunis, Tunisia. Ironisnya, pada tahun 1987, pemimpin Arab membuat keputusan untuk memperbaharui hubungan diplomatik mereka dengan Mesir dan menyaksikan Mesir diterima semula dan kembali menyertai Liga pada tahun 1989. Ibu pejabat Liga kemudiannya dipindahkan semula ke Kaherah.




Sejak penubuhannya, Liga Arab langsung tidak mampu berbuat apa-apa kecuali bersidang dan terus bersidang. Persidangan ini ‘diguna’ tak lebih sekadar untuk mengurangkan ketegangan yang berlaku, samada di antara sesama umat Islam mahupun antara umat Islam dengan golongan kafir. Para pemimpin ini kononnya menunjukkan ‘sokongan’ mereka terhadap Islam dengan deklarasi-deklarasi yang dikeluarkan, walhal hakikatnya ia hanyalah seruan dan laungan kosong yang tidak bererti, umpama ‘anjing menyalak bukit’. Persidangan yang diadakan adalah saling tak tumpah seperti sebuah ‘kedai kopi’ yang menjadi tempat persinggahan dan perbualan kosong ‘para politikus’ dengan masing-masing menunjukkan kehebatan mereka di dalam bercakap, berdebat dan mengeluarkan pandangan, tanpa membuahkan apa-apa hasil. Malah apa yang lebih buruk ialah, persidangan Liga ini hanyalah sebuah tempat yang menjadi bukti dan saksi akan pengkhianatan pemimpin-pemimpin ini!




Pelbagai bentuk pengkhianatan telah terzahir dari Persidangan Liga ini; banyak deklarasi telah dikeluar menyatakan persetujuan damai dengan Israel; Liga juga telah ‘mengsahkan penjualan’ Palestin kepada Israel melalui PLO; menyokong Iraq membunuh sesama Islam semasa Perang Iran-Iraq; menyokong usul Arab Saudi untuk mengiktiraf Israel dan membiarkan pembunuhan umat Islam di seluruh dunia tanpa apa-apa pembelaan. Contoh yang jelas dapat dilihat pada persidangan tahun 2003 di Sharm el-Sheikh, di mana ia telah bertukar menjadi sebuah perbalahan sesama sendiri yang membuktikan segala-galanya. Ia disiarkan secara langsung di televisyen (on air), tetapi kemudiannya terpaksa dihentikan (off air). Sebelum di off air-kan, penonton sempat menyaksikan Izat Ibrahim, Naib Presiden Iraq (di bawah Saddam Hussein) mencela Menteri Luar Kuwait dengan melemparkan kata-kata, ‘Semoga Allah melaknat misai engkau’, dan dibalas, ‘Diam kau orang gaji (Amerika) tersayang, engkau adalah talibarut (Amerika), wahai monyet’. Presiden Libya Muammar Gaddafi pula menuduh Arab Saudi ‘bersekutu dengan syaitan’ kerana mereka (Arab Saudi) telah meminta bantuan Amerika bagi menyediakan pasukan tentera untuk melindungi mereka semasa Perang Teluk Pertama. Putera Mahkota Saudi membalas, dengan menggelar Gaddafi sebagai ‘ejen penjajah (Amerika)’. Inilah hakikat Liga Arab yang kononnya ditubuhkan untuk menyatukan bangsa Arab.




Bagi mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, tiada apa yang perlu dibangga dan diharapkan dengan penubuhan Liga Arab ini. Liga ini bukannya mencerminkan penyatuan umat Islam sebagaimana yang diwar-warkan, sebaliknya Liga ini adalah tak ubah seperti The Organisation of Islamic Countries (OIC), hanya merupakan bukti nyata kepada perpecahan umat Islam. Dari Piagam Liga Arab itu sendiri dan realiti yang berlaku saat ini, ternyata di bawah Liga ini, umat Islam telah terpecah-belah kepada negara-negara assabiyyah dan wathaniyyah yang kecil dan lemah. Masing-masing hanya memerintah dan menjaga sempadan palsu yang telah dihadiahkan oleh penjajah kufur kepada mereka. Jika dulu, Rasulullah diutus dan baginda menyatupadukan seluruh umat Islam (tanpa mengira Arab atau bukan) di bawah satu payung pemerintahan (Daulah Islam), dan penyatuan ini diteruskan lagi oleh para Khalifah dengan menggabungkan keseluruhan umat Islam di bawah Daulah Khilafah. Hari ini, kita menyaksikan pengkhianatan pemimpin-pemimpin umat Islam yang tamakkan kekuasaan, rakus mengejar keduniaan serta tunduk patuh kepada kuffar Barat dan menderhakai Allah dan RasulNya, mereka ini telah memecah-belahkan kita semua dengan pengkhianatan mereka di bawah negara-negara palsu ciptaan penjajah.




Wahai kaum Muslimin! Persidangan Liga Arab ke-29 di Riyadh baru-baru ini menzahirkan sebuah lagi pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka yang memegang kekuasaan di kalangan umat Islam. Di antara isu utama yang dibincangkan ialah berkenaan Palestin-Israel yakni isu ‘Inisiatif Damai’ dan kedudukan pelarian. Isu ‘Inisiatif Damai’ yang dibincangkan adalah bagi ‘menghidupkan’ semula ‘Inisiatif Damai 2002’ yang telah dibuat di Beirut semasa persidangan tahun 2002. Sebenarnya tidak berapa lama sebelum persidangan, dua hal penting telah berlaku. Pertama: Perjumpaan Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice dengan beberapa orang Menteri Luar Arab. ‘Pertemuan’ ini telah pun dilaporkan di media massa dan bukannya satu rahsia, kecuali ‘isi’nya. Ia melibatkan Menteri Luar Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Emiriyah Arab Bersatu dan diadakan di Bandar Aswan (Selatan Mesir) [UM 19/03/07].




Kedua: Akhbar Israel telah mendedahkan bahawa Arab Saudi dan AS telah mengadakan perjumpaan sulit untuk menghasilkan inisiatif kewangan secara diplomatik (a new diplomatic financial initiative) yang baru bagi menyelesaikan isu pelarian Palestin. Kesepakatan itu diketuai oleh pegawai kanan AS, Setiausaha Agung Arab Saudi di Majlis Keselamatan PBB, Putera Bandar Bin Sultan, duta Saudi di Washington dan beberapa pegawai tinggi Israel. Menurut inisiatif baru ini, mana-mana pelarian yang setuju untuk tinggal di penempatan barunya, akan menerima pampasan kewangan. Mana-mana pelarian yang berdegil inginkan hak mereka untuk kembali ke tempat asal hanya akan dibenarkan kembali ke wilayah Palestin yang dibenarkan.




Apakah ertinya ini semua wahai mereka yang berakal? Bukankah ini merupakan bukti nyata akan segala pengkhianatan pemimpin ke atas kita semua? Sampai bilakah kalian akan terus diam membisu menyaksikan segala pengkhianatan ini? Justeru, kami di Hizbut Tahrir ingin menyedarkan kalian akan pengkhianatan-pengkhianatan yang berlaku ini. Kami menyeru kalian agar bangkit dari segala kehidupan dunia yang melalaikan kalian. Bangkitlah dari lena kalian dan berjuanglah untuk menegakkan agama Allah ini. Pada kesempatan ini, kami sekali lagi akan memaparkan surat terbuka dari Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia, untuk tatapan kita bersama agar petunjuk Allah tercurah ke atas mereka yang mencarinya. (Naskhah asal adalah di dalam bahasa Arab dan ini merupakan terjemahan yang telah disunting ke Bahasa Melayu).






Amerika Menganjurkan Persidangan Liga Arab di Riyadh!

Bagi Memastikan Isu kaum Muslimin, Terutamanya Palestin Berada di Bawah Telunjuk Mereka




Para pemimpin negara Arab telah mengadakan Persidangan mereka buat kali yang ke-19 di Riyadh pada 28 dan 29 hb Mac 2007 yang lalu. AS, meskipun tidak hadir dalam persidangan tersebut, telah memanifestasikan ‘kehadirannya’ melalui pengaruh Setiausaha Negaranya, Condoleeza Rice yang tampak begitu menonjol sekali. Beliau, yang melawat kota Aswan di Mesir, telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa para pemimpin Negara Arab, beserta pegawai politik dan perisikan mereka pada 24hb Mac, beberapa hari sebelum persidangan bermula. Ini adalah bagi menjelaskan agenda-agenda yang perlu dibangkitkan dalam persidangan tersebut serta mengingatkan ahli jawatankuasa tentang keinginan George Bush agar para pemimpin Arab menunjukkan sikap yang lembut terhadap Yahudi dalam rangka ‘mententeramkan’ mereka setelah kekalahan yang memalukan pada bulan Julai yang lalu.




Rice tidak keluar dari kawasan tersebut tetapi bergerak antara Mesir, Jordan dan Palestin sehingga malam persidangan bagi memastikan bahawa ia berjalan sepertimana yang ‘diarahkannya’! Sebelum mengakhiri lawatannya pada 27hb Mac, beliau memastikan bahawa para pemimpin negara Arab dinasihatkan agar bersikap lebih terbuka kepada regim Yahudi, lebih dari apa yang pernah mereka lakukan agar Yahudi merasakan bahawa ‘tanahair’ mereka lebih selamat dan aman. Malahan, sebelum memulakan lawatannya, Rice telah menjelaskan di Washington bahawa dia berharap – sebenarnya menyuruh – agar para pemimpin Arab menerima dan mengumumkan apa yang dikenali sebagai ‘Inisiatif Damai Arab’ yang telah diterima pada 2002 di persidangan Beirut dan menerapkannya sesuai dengan kehendak AS. Dan hakikatnya, kebenaran telah terserlah! Kenyataan yang dikeluarkan hari ini (29hb Mac 2007), telah menetapkan dengan jelas usaha untuk menghidupkan semula ‘Inisiatif Damai Arab’ ini. Inisiatif ini merupakan hasil tangan Amerika di bawah kelolaan Thomas Friedman. Ia telah diterima oleh Putera Abdullah ketika itu dan dibentangkan di Beirut di mana ia telah diterimapakai dan diberikan gelaran ‘Inisiatif Damai Arab’.




Sebenarnya Amerikalah, di bawah administrasi Neo-Konservatif yang telah menetapkan dengan jelas, tanpa sebarang keraguan bahawa para pemimpin Arab telah menerima bahawa isu Palestin hanyalah dihadkan kepada permasalahan selepas 1967 dan bukan sebelumnya! Apa-apa pertikaian atau perbincangan mengenai isu ini hanya dihadkan kepada kerangka ini sahaja. Adapun mengenai isu kawasan Palestin yang dijajah pada 1948, ia dianggap sebagai tanah Yahudi dan tidak boleh berlaku sebarang tuntutan ke atasnya. Semua ini sesuai dengan perjanjian yang telah ditandatangani oleh para pemimpin Arab ini!!




AS berkeinginan agar hal ini juga dipersetujui oleh penduduk Palestin, bukan sahaja pemimpin Arab. Namun, pada ketika itu, pemerintahan Palestin dipegang oleh golongan sekular sedangkan AS menginginkan agar dokumen tersebut turut dipersetujui oleh kerajaan yang diwakili oleh kedua-dua golongan, sekular dan Islam. Persetujuan sebegini bererti bahawa penduduk Palestin, bukan setakat para pemimpin Arab sahaja, akan melepaskan segala hak mereka ke atas tanah yang telah dijajah oleh Israel pada tahun 1948. Inisiatif ini dipendam selama 5 tahun sehinggalah baru-baru ini apabila pertemuan di Mekah menyatakan persetujuan untuk mematuhi dan menghormati segala peraturan antarabangsa dan persetujuan yang diterima di dalam wilayah (Timur Tengah); semua ini akan menjurus kepada pengiktirafan ke atas negara haram Israel. Dalam suasana seperti inilah, idea kerajaan kesatuan nasional (national unity) diketengahkan di mana kerajaan ini menunjukkan kesediaannya menerima Inisiatif Arab yang saling tak tumpah dengan persetujuan Mekah, kecuali sedikit sahaja perubahan yang tidak bermakna. Dari sinilah AS mula mengusahakan semula Inisiatif tersebut, menghadiahkannya kepada para pemimpin Arab agar mereka dapat memberikannya nafas baru memandangkan kini, menurut mereka, seluruh penduduk Palestin sudahpun ‘diwakili’ oleh sebuah kesatuan nasional yang terdiri dari golongan sekular dan Islami. Kompromi dan penyerahan, satu demi satu oleh para pemimpin Arab (terhadap kehendak Amerika) telah membolehkan golongan Neo-Konservatif memberikan hadiah yang lengkap dan komprehensif kepada golongan Yahudi la’natullah.




Wahai kaum Muslimin! Di atas nama Inisiatif Damai Arab, AS, di persidangan Beirut telah berjaya memadamkan (apa-apa persoalan dan tuntutan) tanah jajahan Yahudi 1948 dari kamus para pemimpin Arab. Dan hari ini, di Riyadh, ia sekali lagi berjaya menjamin kerjasama dan penerimaan kedua-dua sayap sekular dan Islami pihak berkuasa Palestin, yang dengan ini, memberikan jaminan Palestin akan menerima Inisiatif Damai AS.




Para pemimpin dunia Arab, yang telah menerima Inisiatif ini mula menjustifikasi dan mengagungkan sesuatu yang pada hakikatnya adalah merupakan suatu penghinaan dan penyerahan bulat-bulat kepada Yahudi. Mereka (pemimpin Arab) mengatakan bahawa dengan Inisiatif ini, mereka akan dapat memperoleh tanah Palestin yang dijajah pada tahun 1967 dan membentuk sebuah kerajaan di sana. Padahal ini adalah merupakan pengakuan dari mereka (pemimpin Arab) bahawa mereka tidak mampu menentang Israel dan membebaskan Palestin dari Yahudi la’natullah. Hakikatnya, para pemimpin dunia Arab ini telah berbohong! Seandainya mereka menggerakkan tentera mereka untuk menentang Yahudi dan menyeru kepada setiap orang yang mampu untuk bersama-sama berjuang, di dalam peperangan yang sebenar, dan bukan lakonan, pasti mereka akan berjaya menghancurkan Israel. Meskipun hanya sejengkal tanah kaum Muslimin di jajah, adalah wajib bagi tentera kaum Muslimin untuk bergerak membebaskan tanah tersebut. Kaum Muslimin mesti terus berada dalam keadaan perang ke atas penjajah sehinggalah tanah tersebut dibebaskan semula.




Perlu diingati bahawa melepaskan tanah Palestin yang dijajah pada tahun 1948 sebagai pertukaran ke atas tanah yang dijajah pada 1967, sekiranya ini benar-benar berlaku, adalah merupakan pengkhianatan yang besar kepada Allah, RasulNya dan kaum Muslimin. Mereka yang melakukan pengkhianatan ini pasti akan berada dalam kehinaan di dunia ini dan akan disiksa dengan siksaan yang amat pedih di akhirat kelak – seandainya mereka mengetahui! Namun, jika semua ini tidak diendahkan sekalipun, Inisiatif Arab ini, dan beribu lagi yang serupa dengannya, ia juga sekali-kali tidak akan berjaya membebaskan bumi Palestin yang telah hilang pada tahun 1967.




Telah menjadi sikap kaum Yahudi, sejak mereka ditempatkan di sana oleh British dan kuncu-kuncunya dan dibenarkan membina negara Israel, memeras untuk mendapat sesuatu yang lebih, setiap kali musuh mereka menyerah kepada mereka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa sekiranya musuh membuat penyerahan kali pertama, ia (musuh mereka, yakni umat Islam) boleh ditekan agar membuat penyerahan dan kompromi berulang-ulang kali. Mereka juga sedar sekiranya musuh boleh menyerahkan satu bahagian, musuh pasti akan dapat ditekan untuk menyerahkan bahagian yang lain. Oleh itu, setiap kali musuh berkompromi dan mengalah, mereka melihatnya sebagai satu mata kemenangan dan mereka akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih mata; dan ini akan terus berulang tanpa kesudahan. Kaum Yahudi akan terus bermain permainan yang sama dan terus menikmati tanah jajahan yang mereka rampas pada 1967, melainkan jika mereka dikalahkan di dalam peperangan dan negara mereka dihancurkan.




Dengan pemikiran seperti ini, Yahudi akan terus mencacatkan Inisiatif ini, yang sememangnya telahpun cacat; samada mereka akan mengubah-ubah sempadan, membina tembok atau kawasan perumahan bagi penduduk Yahudi atau menyempitkan isu pelarian sehingga hanya sebahagian (pelarian) sahaja dan bukan semuanya, dibenarkan kembali ke Gaza dan Tebing Barat! Golongan Yahudi begitu yakin bahawa mereka akan dapat mencapai keinginan mereka ini kerana pada pandangan mereka, musuh yang telah menyerahkan tanah pada tahun 1948 akan terus menyerahkan sebahagian lain tanah yang dijajah pada 1967 tanpa rasa malu kepada Allah, RasulNya dan seluruh kaum Mukmin. Seperti kata pujangga, seseorang yang inginkan kehinaan akan pasti dihinakan – bagaikan tubuh yang telah mati, langsung tidak merasakan kesakitan walaupun tercedera!




Inisiatif Riyadh adalah bagaikan ‘hadiah’ kepada kaum Yahudi, sebagai tambahan dari ‘hadiah’ yang telah diberikan pada persidangan Beirut tahun 2002. Ini adalah kerana pemimpin Arab telah menandatangani dokumen ‘penjualan’ tanah jajahan 1948 sebagai pertukaran untuk sebuah negara kecil di atas tanah yang dijajah pada tahun 1967. Apa yang lebih indah kali ini bagi pihak Yahudi adalah dokumen tersebut telah dipersetujui oleh sebuah negara nasional yang terdiri bukan sahaja dari golongan sekular tetapi juga golongan Islami! Ternyata, apabila Saud al-Faisal (Menteri Luar Arab Saudi) ditanya, adakah sesuatu yang baru dalam persidangan ini? Dalam jawapannya, beliau menegaskan bahawa kerajaan kesatuan nasional Palestin telahpun bersetuju dengan para pemimpin Arab dalam komitmen mereka ke atas strategi yang dicadangkan untuk mencari penyelesaian kepada konflik Arab-Israel ini!




Wahai kaum Muslimin! Para pemimpin di persidangan Arab ini tidak akan merasa cukup dengan kejahatan dan kerosakan yang telah mereka hasilkan dalam isu Palestin ini. Mereka malah akan terus menikam perjuangan Palestin, sebagaimana yang dapat disaksikan dari keputusan dan resolusi mereka:




Mereka telah menyokong dan menaungi kerajaan sementara Somalia yang telah dicipta oleh AS di mana kerajaan inilah yang telah membantu usaha pendudukan tentera Ethiopia. Para pemimpin Arab ini juga langsung tidak membuka mulut ketika Perancis menyalakan konflik Darfor dengan pertolongan dari ejennya di Chad, lantas membuka jalan bagi tentera AS dan British untuk masuk campur. Para pemimpin Arab ini langsung tidak menjelaskan sebab sebenar terjadinya krisis ini malah mengambil sikap tidak peduli ketika krisis ini memuncak. Ketika AS menceroboh Iraq, para pemimpin ini bertepuk tangan! Dan ketika keganasan konflik di Iraq bertambah, kita lihat mereka bertambah rapat dan akrab dengan AS!! Mereka juga membiarkan isu Lebanon untuk diselesaikan melalui rundingan antara AS dan Perancis, tanpa sepatah perkataanpun yang keluar dari mulut-mulut mereka!




Selain dari isu-isu ini, para pemimpin Arab ini banyak memanipulasi fakta dan tidak mengatakan kebenaran. Mereka menganggap resolusi di persidangan Riyadh ini sebagai satu kejayaan di Palestin, Iraq, Sudan, Somalia dan Lebanon, walhal ia jelas-jelas suatu pengkhianatan yang telah dilakukan oleh diri mereka sendiri. Semoga Allah memerangi mereka kerana pembohongan-pembohongan ini!!




Wahai kaum Muslimin! Para pemimpin umat ini pada hakikatnya adalah sumpahan ke atasnya. Mereka telah berkali-kali membohongi umat dan kalaulah tidak kerana firman Allah di bawah ini, nescaya kami tidak akan mengatakan apa-apa pun ke atas segala yang berlaku:




“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat berat?’. Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: ‘(nasihat itu adalah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya mereka bertaqwa” [TMQ Al-A’raf (7):164].




Kami memohon keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, semoga dengan penulisan ini akan bangkitlah mereka yang tidur di kalangan kita, akan tersentaklah para pengkhianat dengannya dan akan sedar semulalah mereka yang selama ini mabuk dalam kepalsuan.




“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada kamu sedangkan kamu mengetahuinya” [TMQ Al-Anfal (8):27].




Hizbut Tahrir

10 Rabiul Awwal, 1428H

29hb Mac 2007

 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR