ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PELABURAN INTERNET & SKIM CEPAT KAYA


PELABURAN INTERNET & SKIM CEPAT KAYA




Muzakarah kali ke-77 Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah mengharamkan semua pelaburan internet yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda. Terdapat lebih 50 skim yang sedang beroperasi dan melibatkan 500 ribu pelabur. Pengerusi MFK, Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin memutuskan “Pelaburan melalui Internet yang menjamin keuntungan secara tetap didapati mengandungi unsur riba dan gharar (keraguan). Justeru, umat Islam diharamkan terbabit dengan pelaburan berkenaan” Menurutnya lagi, keputusan pengharaman pelaburan melalui Internet itu dibuat berdasarkan rujukan kepada beberapa ayat al-Quran yang tidak membenarkan pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap. Fatwa pengharaman pelaburan melalui Internet itu akan dikemukakan kepada semua kerajaan negeri untuk diwartakan secepat mungkin. Beliau menambah, “Kerajaan Pusat banyak menyediakan skim pelaburan berlandaskan Islam dan ia boleh disertai umat Islam di negara ini...Kami menasihatkan umat Islam yang membuat pelaburan melalui Internet supaya menghentikan kegiatan itu serta-merta” [Harian Metro 13/04/07]. Majlis berkenaan membuat keputusan itu terhadap semua bentuk pelaburan internet termasuk Skim Cepat Kaya Swiss Cash yang kononnya diuruskan Swiss Mutual Fund (SMF) kerana skim-skim itu secara jelas mengandungi unsur riba [UM 13/04/07].




Pelaburan dan Skim Cepat Kaya ini telah menjadikan konsep ‘derma’ sebagai topeng untuk menarik para peserta, yang dijalankan melalui sistem piramid. Seperti biasa, skim sebegini sememangnya mendapat tempat di hati masyarakat kita kerana menjanjikan pulangan yang lumayan tanpa perlu bersusah payah membanting tulang. Inilah hakikat kehidupan sebuah masyarakat yang sudah terbius dengan Sistem Kapitalis Barat, yang menjadikan piawaian hidup mereka materialistik semata-mata, tanpa mengambil kira lagi konsep halal dan haram. Cara berfikir Kapitalis yang telah sebati dengan umat Islam telah melahirkan masyarakat yang tamak dan rakus untuk memiliki kekayaan dengan apa cara sekalipun bagi meraih sebuah kebahagiaan. Kebahagiaan menurut mereka, adalah dengan memperolehi sebanyak mungkin kekayaan. Justeru, qa’idah fikriyyah (landasan berfikir) mereka adalah untuk mencari sebanyak-banyak kenikmatan dunia. Masing-masing akan berebut mencari kekayaan, walaupun perlu menindas dan menipu orang lain. Bagi yang sering tertindas dan tertipu sekalipun, mereka masih tetap mengejar dan menaruh harapan agar mendapat kekayaan duniawi ini.




Dalam dunia kapitalis, penipuan adalah satu lumrah kerana kehidupan mereka adalah berlandaskan manfaat (benefit) semata-mata, bukannya berdasarkan hukum-hakam agama. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapatkan manfaat, bukan sekadar menipu, malah hingga ke tahap membunuh, jika perlu. Jadi tidak hairanlah jika muncul si kapitalis yang mencipta sebuah perniagaan yang kononnya bertujuan untuk membantu orang lain, walhal sebenarnya ia adalah untuk menambah kekayaan dirinya sendiri. Bagi yang tertindas pula, keterdesakan hidup dalam sistem kapitalis seperti gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, harga barang yang sentiasa melambung, anak yang ramai dan sebagainya menyebabkan gaji yang ada tidak lagi dapat menampung kehidupan. Oleh itu, Skim Cepat Kaya adalah secara tabi’i suatu skim yang menarik perhatian. Kefahaman Islam yang cetek dan sifat malas bekerja menambahkan lagi keinginan untuk meraih kekayaan secepat mungkin. Inilah antara sifat cintakan dunia yang ada pada umat Islam akhir zaman ini, yang menyebabkan mereka meletakkan manfaat (benefit) di hadapan dan Allah dan Rasul di belakang. Untuk itu, halal dan haram bukan lagi menjadi pertimbangan.




Kami ingin mengingatkan para pembaca bahawa Islam tidak pernah menghalang umatnya mendapatkan kekayaan, cuma ia mestilah diperolehi dengan cara yang halal. Cara berfikir Islam adalah 100% berbeza dengan cara berfikir kufur Kapitalis. Islam menjadikan halal dan haram sebagai ukuran suatu perbuatan, bukannya manfaat. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah mengkaji hukum suatu perbuatan itu sebelum melakukannya. Kaedah usul fiqh menjelaskan, “al-aslu fil af’al taqayyidu bi hukmillah” (asal suatu perbuatan itu adalah terikat dengan hukum Allah). Maksudnya, tidak boleh bagi seorang Muslim itu melakukan satu perbuatan tanpa terlebih dahulu mengetahui akan hukumnya. Justeru, adalah wajib bagi umat Islam mengkaji terlebih dahulu halal dan haram suatu perbutan sebelum bertindak. Di dalam mencari penyelesaian hukum syarak terhadap sesuatu perkara, Islam telah meletakkan metod seperti berikut:


Pertama: perlu dikaji realitinya terlebih dahulu;


Kedua: mencari dalil/nas yang berkaitan dengannya; Ketiga: menetapkan (istinbat) hukum terhadap realiti tadi.




REALITI PELABURAN INTERNET DAN SKIM CEPAT KAYA




Dari segi konsep, skim pelaburan internet sebenarnya tidak jauh berbeza dengan skim pelaburan biasa. Semua skim pelaburan perlu mendapat dana untuk menjalankan perniagaan mereka, termasuklah skim internet. Dana terkumpul ini mengikut dakwaan mereka kemudian dilaburkan ke dalam sektor-sektor tertentu yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Kebanyakan syarikat akan menafikan bahawa mereka melabur dalam aktiviti perjudian, arak atau lain-lain sektor yang haram. Atas dasar ini, mereka lalu mendedahkan ke sektor manakah wang para peserta akan dilaburkan. Inilah hal yang menarik minat umat Islam dan mereka terus menghukum bahawa pelaburan ini adalah sah, walau hanya dengan sedikit pendedahan yang mereka (umat Islam) sendiri tidak pernah periksa kebenarannya.




Manakala bagi Skim Cepat Kaya pula, untuk memahami realitinya, kami paparkan di sini salah satu program yang diberi nama ‘Ikhwan’. Skim ini memerlukan anda menyumbang dana sebanyak RM10 kepada orang yang berada di dalam piramid untuk membolehkan nama anda dimasukkan ke dalamnya. Terdapat 3 peringkat piramid yang anda perlu lalui dan anda perlu sumbangkan RM10 kepada 3 orang penama. Setelah anda masuk, peserta di lapisan piramid yang terbawah (peserta No. 3) akan terkeluar dari senarai dan nama anda akan berada di puncak, yang memerlukan anda mencari 100 peserta baru. Apabila anda mengedar 100 set atau lebih program Ikhwan ini, setiap peserta baru akan memasukkan RM10 ke dalam akaun bank anda. Lebih banyak anda edarkan lebih banyak sumbangan yang akan anda terima. Ini dilakukan secara berterusan. Setiap peserta baru akan mengedar 100 set lagi (atau lebih), dan nama anda akan berada di tingkat No 2 piramid tersebut. Prosesnya adalah seperti carta di bawah [Lembaran Iklan, Program Ikhwan ms 2];




Peringkat Edaran

Bil Peserta

Jumlah Sumbangan

Diterima

Peserta no 1

100

RM10

RM1,000

Peserta no 2

100 X 100

RM10

RM100,000

Peserta no 3

100 X 100 X 100

RM10

RM10,000,000



Untuk menarik kepercayaan dan keyakinan umat Islam, pengasas program ini tanpa segan silu memetik beberapa ayat Al-Quran dan menggunakan kata-kata yang bersifat keislaman. Mereka memancing para peserta dengan menggunakan slogan ‘sumbangan ikhlas bagi membantu saudara sesama Islam’, padahal, pengasas ini jelas-jelas seorang yang berpemikiran kapitalis yang hanya bertujuan mendapatkan kekayaan dari orang lain tanpa usaha. Mereka menyatakan kononnya tidak ada unsur penipuan, melainkan sumbangan secara sukarela sesama peserta untuk saling membantu, walhal jika diteliti merekalah (pengasas) yang akan ‘kaya dulu’ hasil dari pemberian orang lain. Jika proses ini berlaku secara ideal, maka piramid ini akan goyang pada peringkat ke 4, kerana mengikut kiraan, bilangan perserta yang akan ‘tertipu’ adalah seramai 100x100x100x100 = 100,000,000. Perkara ini mustahil berlaku kerana penduduk Malaysia hanyalah seramai lebih kurang 26 juta orang sahaja. Pendek kata, program ini kemungkinan berjaya hanya setakat peringkat ke-3 sahaja. Apa pun, pengasasnya langsung tidak perlu risau kerana dia sudahpun menikmati kekayaan dari orang bawahannya (downliner) walaupun dia telah terkeluar dari senarai. Yang tertipu dan mungkin akan mengalami kerugian adalah perserta No. 1 yang baru ingin menyertainya.




SYIRKAH (PERKONGSIAN) DALAM ISLAM




Islam bukanlah satu agama yang menghalang penganutnya untuk mencari kekayaan. Islam datang untuk mengatur cara hidup manusia di dalam segenap aspek dan Islam mengatur dengan jelas mengenai tata-cara (hukum) bagaimana seseorang individu itu boleh mendapatkan kekayaan di dunia ini. Allah Subhanahu wa Ta’ala membenarkan hambanya memiliki harta dan mengembangkannya. Hukum pemilikan harta dan pengembangan kekayaan dalam Islam boleh dibahagikan kepada beberapa sektor utama; Pertanian - meliputi hukum-hakam tanah dan yang terkait dengannya); Perindustrian - meliputi hukum-hakam mengenai pembuatan (istisna’) dan gaji/upah serta yang terkait dengannya; Perdagangan - merangkumi hukum jual-beli dan syirkah (perkongsian). Secara ringkasnya, ada lima bentuk syirkah dalam Islam [untuk keterangan lanjut sila rujuk Nidzamul Iqtisadi Fil Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani];




(1) Syirkah Abdan - Perkongsian antara dua orang atau lebih yang menjadikan perkhidmatan dan kepakaran mereka sahaja (tanpa sumbangan harta) untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Keuntungan dibahagikan mengikut persetujuan akad.




(2) Syirkah Mudharabah - Perkongsian di mana salah satu pihak menyumbang modal sahaja (disebut sahibul mal) dan satu pihak lagi menyumbangkan tenaga/usaha sahaja (disebut mudharib). Sahibul mal menyerahkan modalnya kepada mudharib (usahawan) untuk dikendalikan dan dia tidak terlibat di dalam perniagaan sementara keuntungan dibahagi mengikut kesepakatan di dalam akad.




(3) Syirkah Inan - Perkongsian antara dua orang atau lebih yang masing-masing mengeluarkan modal dan usaha sekaligus, kemudian keuntungan dibahagikan di antara mereka berasaskan kesepakatan.




(4) Syirkah Wujuuh - Perkongsian antara dua orang atau lebih dengan modal dari pihak luar dari keduanya (pihak ketiga).




(5) Syirkah Mufawadhah - Kombinasi dari bentuk-bentuk syirkah inan, abdan, mudharabah dan wujuh.




Berdasarkan realiti, pelaburan internet adalah melibatkan peserta yang melaburkan 100% modal dan syarikat yang berkenaan bertindak sebagai usahawan 100%, maka perbincangan hukum mengenai realiti pelaburan ini adalah termasuk di bawah Syirkah Mudharabah.




KONSEP MUDHARABAH MENURUT ISLAM




Syirkah Mudharabah juga dikenali sebagai Qiradh, iaitu apabila badan (diri) dan harta bergabung untuk memulakan perkongsian. Syirkah jenis ini menurut syara' hukumnya adalah mubah (harus). Sebagaimana disebutkan, Mudharabah adalah satu perkongsian di mana satu pihak bertindak sebagai sahibul mal (pemilik modal) dan satu pihak lagi melakukan kerja (mudharib/usahawan). Kedua-dua pihak ini berkongsi untuk menjalankan suatu pekerjaan mengikut nisbah keuntungan yang telah dipersetujui. Jika berlaku kerugian, maka ia hanya akan ditanggung oleh sahibul mal sahaja. Berkenaan hal ini, Abdurrazak dalam kitab Al-Jami' telah meriwayatkan dari Ali ra. yang berkata: "Kerugian adalah berasaskan kepada harta, sedangkan untung tergantung kepada apa yang mereka sepakati." Adalah jelas di dalam Mudharabah bahawa jika pihak-pihak mengalami kerugian, maka mudharib hanyalah pihak yang ‘rugi’ dari segi tenaga yang dicurahkannya dan pihak yang sebenarnya menanggung kerugian adalah sahibul mal.




Perkongsian mudharabah ini adalah tidak sah sehinggalah modal diserahkan kepada mudharib. Dalam perkongsian ini, Islam meletakkan syarat bahawa sahibul mal tidak boleh bekerja bersama dengan mudharib. Dia langsung tidak berhak mengendalikan harta/wang yang telah dilaburkan dalam perkongsian ini. Hanya mudharib sahaja yang berhak mengendali dan menguruskan perniagaan melalui modal yang telah dikeluarkan. Pendek kata, perkongsian mudharabah ini hanya melibatkan ‘diri’ mudharib dengan ‘modal’ sahibul mal, dan bukannya antara diri mudharib dengan diri sahibul mal.




HUKUM PELABURAN INTERNET & SKIM CEPAT KAYA




Jika kita kaji dengan teliti pelaburan internet, walau apa jenis, bentuk dan namanya sekalipun, konsepnya adalah hampir sama. Yang jelas, kesemuanya adalah bercanggah dengan akad mudharabah yang sebenar menurut Islam, kerana:




(1) Tidak memenuhi Aqad Syirkah Mudharabah: Ini adalah kerana dalam prinsip pelaburan mudharabah, semasa sahibul mal menyerahkan hartanya kepada mudharib, harta ini menjadi harta amanah dan perlu dikerjakan dalam sektor yang nyata, bukannya untuk dilaburkan. Usaha untuk melaburkan wang yang diamanahkan itu adalah jelas-jelas melanggar akad mudharabah, kerana perbuatan ini telah menukarkan aktiviti mudharib menjadi agen (wakil) kepada sahibul mal. Akad sebegini bukan lagi mudharabah tetapi sebenarnya adalah akad wakalah. Hal (akad) ini sahaja sudah menggugurkan keseluruhan syirkah ini, tanpa perlu lagi melihat kepada sebab-sebab yang lain.




(2) Rakan Kongsi adalah Majhul (tidak dikenali): Pihak SMF mengumpulkan wang dari beberapa orang sahibul mal yang digabungkan untuk perniagaannya. Pengumpulan wang ini akan menjadikan seseorang sahibul mal itu bersatu dengan syarikat itu. Islam meletakkan fungsi kemanusian dalam sesuatu akad dan ini bermakna bila seorang mudharib dan sahibul mal bersatu menjadi rakan kongsi dalam sebuah syarikat, maka keputusan untuk memasukkan seorang lagi rakan kongsi baru memerlukan pembaharuan akad. Namun hal ini tidak terjadi dalam akad mana-mana syarikat pelaburan internet ini. Seorang anggota baru boleh masuk atau keluar sesuka hati tanpa pengetahuan atau apa-apa ikatan dengan anggota yang sedia ada. Ini menjadikan seseorang yang baru masuk itu dalam kedudukan bersekutu dengan rakan kongsi yang majhul (tidak dikenali). Hal ini menggugurkan rukun akad dan menjadikan akadnya batil.




(3) Pembahagian nisbah keuntungan yang tidak jelas (gharar): Tiada kesepakatan tentang keuntungan iaitu syarikat hanya menjanjikan pulangan keuntungan mengikut nisbah ROI (Pulangan Berasaskan Nilai Pelaburan). Keuntungan yang diberikan kepada sahibul mal adalah berasaskan kepada peratus pelaburan mereka, bukannya jumlah sebenar keuntungan dari pelaburan yang dibuat. Ini menunjukkan bahawa jumlah sebenar keuntungan hanyalah diketahui oleh pihak Swiss Cash sahaja dan hakikatnya mereka membahagikan mengikut pembahagian yang mereka inginkan, tanpa perlu mendedahkan keuntungan sebenar. Hal ini amat bercanggah dengan prinsip mu’amalah dalam Islam yang mana keuntungan hendaklah dibahagikan mengikut persetujuan dan kerugian adalah tanggungan sahibul mal sahaja. Hal ini tidak dinyatakan dengan jelas dalam kontrak yang menjadikannya fasid (rosak).




(4) Jaminan keuntungan atau pulangan yang tetap. Sesuatu pelaburan yang menjamin pulangan atau keuntungan yang bersifat tetap kepada pelaburnya tanpa menghitungnya atas dasar untung-rugi perniagaan, merupakan satu dari akad yang mengandungi riba. Berasaskan kepada akad mu’amalat seperti mudharabah, akad ini sebenarnya terdedah kepada untung rugi dan bukannya satu aktiviti yang menjanjikan pulangan yang bersifat tetap kepada pelaburnya. Jadi, jika dilihat dari jaminan keuntungan tetap mengikut jangka masa tertentu itu, hal ini adalah haram kepada pencarum kerana ini termasuk dalam mu’amalah yang mengandungi riba.




Disebabkan akad pelaburan internet adalah syirkah, namun tidak selaras dengan akad Syirkah Mudharabah menurut Islam dari segi rukun dan syaratnya, maka kontrak atau akadnya adalah batil dan fasid. Oleh itu, adalah haram bagi umat Islam bermu’amalat dengannya. Tidak kira samada sesuatu pelaburan itu bersifat maya (dalam internet) atau nyata, sekiranya tidak memenuhi tuntutan syarak maka hukumnya adalah haram.




Adapun Skim Cepat Kaya pula merupakan sebuah skim di mana seorang anggotanya membuat pembayaran dengan sejumlah wang tertentu kepada pihak yang berada di atas dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang berlipat kali ganda. Pengasas skim ini jelas menganjurkan satu ‘penipuan halus dan terancang’ dalam sistem kapitalis (tetapi bertopengkan Islam) iaitu penipuan dalam bentuk ‘derma’ walhal hakikatnya adalah untuk mengaut keuntungan. Samada pengasas atau perserta yang mengikuti program Skim Cepat Kaya ini, mereka sebenarnya telah:




(1) Melakukan penipuan dan eksploitasi harta/wang orang lain: Skim seperti ini merupakan penipuan dan eksploitasi terhadap harta orang lain dengan menentukan sejumlah ‘wang yang tetap’ yang perlu dibayar untuk membolehkan nama seseorang masuk ke dalam piramid. Atas alasan kononnya sebagai derma, tetapi mereka sebenarnya telah ‘menetapkan’ jumlah wang yang perlu didermakan. Walhal hukum derma di dalam Islam adalah semata-mata ikhlas lillah tanpa boleh menetapkan jumlah bayaran derma tersebut. Inilah penipuan halus mereka.




(2) Mempermainkan hukum derma (tabarru’at) dalam Islam: berderma adalah satu ibadah yang tujuannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan pahala disisiNya, bukannya ganjaran lain. Nilai yang ingin dicapai dengan berderma adalah nilai spiritual (qimah ruhiyyah) bukannya nilai kebendaan (qimah madiyyah). Di dalam Al-Quran, Allah memperingatkan orang yang memberikan hadiah harta dengan tujuan untuk menambah-nambah kekayaannya, dengan firmanNya, “Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar ia bertambah pada harta manusia, maka riba (tambahan) itu tidak menambah di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan (sebaliknya) apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan Allah, maka (yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda” [TMQ Al-Rum (30):39]. Menurut ayat ini, sesiapa sahaja yang memberikan hadiah dengan tujuan untuk mendapat lebih banyak dari apa yang mereka beri, maka mereka tidak akan mendapat apa-apa balasan dari Allah [Tafsir Ibn Katsir].




(3) Melakukan aktiviti penambahan kekayaan yang tidak dibenarkan oleh syarak: Skim Cepat Kaya ini sebenarnya tidak menepati mana-mana akad di dalam Islam. Proses yang dilakukan adalah melabur RM30 sedangkan pulangan yang didapati tidak jelas kerana tidak ada barangan atau perkhidmatan yang dijual, yang ada hanyalah kemasukan wang dari perserta. Kedudukan ini tak ubah seperti masing-masing memakan wang sesama sendiri. Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang kita memakan harta sesama sendiri dengan cara yang batil. FirmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...” [TMQ an-Nisa’ (4):29]. Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang hamba-hambaNya daripada memakan harta dengan cara yang tidak benar, seperti riba, judi dan helah yang kelihatannya seperti sah [Tafsir Ibn Kathir].




KHATIMAH




Wahai kaum Muslimin! Dalam pada MFK menfatwakan haramnnya pelaburan internet ini, tidakkah kalian terfikir bahawa pelaburan-pelaburan lain juga sepatutnya turut diharamkan? MFK menyatakan bahawa keharaman pelaburan ini adalah kerana adanya riba dan unsur gharar; alangkah tepatnya fatwa ini! Maha Suci Allah, tidakkah MFK sedar bahawa seluruh sistem perbankan yang ada sekarang adalah bertunjang dan berpaksikan riba? Tidakkah MFK sedar bahawa berbagai-bagai skim pinjaman yang dikeluarkan oleh bank-bank sekarang, termasuk pinjaman kerajaan seperti pinjaman perniagaan, perumahan, kenderaan, kad kredit dan sebagainya, semuanya berteraskan riba? Butakah MFK bahawa keuntungan besar setiap tahun yang diperolehi oleh bank-bank dan institusi-institusi kewangan yang ada sekarang adalah dari hasil riba? Kenapakah semua ini tidak difatwakan haram? Kenapakah semasa membicarakan tentang pinjaman Ah Long MFK tidak pernah mengharamkannya kerana ada riba? Apakah standard yang digunakan oleh MFK?




Dalam leaflet ‘Seruan Masjid’ yang dikeluarkan oleh Masjid Negara Bil. 9/2007 Jumaat 13042007, dijelaskan di mukasurat 2 (bersumber dari JAKIM) bahawa, “Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syarak. Persoalannya, apakah sebuah badan yang ditugaskan untuk mengeluarkan fatwa seperti MFK terlepas pandang akan pelaburan ASB, atau lain-lain pelaburan sehingga tidak dikeluarkan fatwa tentangnya? Atau mungkinkah kerana adanya lampu hijau dari kerajaan tentang pelaburan-pelaburan ini, maka mulut MFK terus terkunci. Kita tidak ingin MFK dikatakan hanya nampak kuman di seberang laut, tetapi tidak nampak gajah di depan mata.




Wahai kaum Muslimin! Kita amat sedih dengan amalan ‘double standard’ yang berlaku. Entah bilalah keburukan ini akan berakhir. Kita mengharapkan agar MFK mengeluarkan fatwa-fatwa tentang segala hukum, khususnya yang jelas-jelas haram di sisi Islam. Kita tertanya-tanya kenapakah MFK tidak mengeluarkan fatwa bahawa haramnya kita berhukum dengan hukum kufur yang diwarisi dari British seperti sekarang? MFK juga tidak pernah mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi pemerintah untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah, wajib menggantikan sistem pemerintahan sekular sekarang kepada Sistem Pemerintahan Khilafah dan wajib bagi umat Islam di seluruh dunia untuk berusaha menegakkan semula Khilafah dan seterusnya bergabung di bawah Daulah Islam. Apakah hukum-hukum ini tidak penting bagi MFK sehingga hukum pelaburan internet yang menjadi pilihan utama? Semoga selepas ini akan lahir orang-orang yang ikhlas mengeluarkan fatwa semata-mata kerana takutkan Allah, dan bukannya takutkan manusia, yang mengharapkan redha Allah dan syurgaNya, bukannya mengharapkan redha manusia dan habuan dunia. Amin ya Rabbal ‘alamin.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR