PERANG PROPAGANDA BRITAIN-IRAN
PERANG PROPAGANDA BRITAIN-IRAN
Setelah ditahan sejak 23hb Mac 2007, akhirnya, pada 5hb April 2007 yang lalu, kesemua 15 orang kelasi dan askar marin Britain berlepas pulang setelah dibebaskan oleh Pemerintah Iran selepas Britain dikatakan telah menghantar surat permohonan maaf sebelumnya. Walapun setelah dibebaskan, perang psikologi terus berlaku di antara Kerajaan Britain dan Pemerintah Iran. Tetapi ianya terhenti setelah Iran menyiarkan video rakaman ketika kesemua kelasi dan askar marin itu berada di dalam tahanan. Rakaman itu sendiri telah menutup rapat mulut Britain daripada terus melemparkan fitnah ke atas Iran.
Peristiwa penangkapan tentera-tentera barat yang menceroboh Iran ini bukanlah kali pertama. Pada 1980-an Pengawal Revolusi Iran pernah menahan tentera Amerika selama 52 hari. Akhirnya Perang Iran-Iraq tercetus dari 1980-1988 di mana Amerika merestui Presiden Saddam Hussein melancarkan serangan terhadap Iran berhubung wilayah Shatt al-Arab. Sungai Arvand di Shatt al-Arab menjadi rebutan antara Iran dan Iraq sejak sekian lama. Bandar Abadan dan Basrah terletak di wilayah ini. Pada hari Isnin , 21 Jun 2004, lapan tentera marin Britain ditahan selama 3 hari selepas memasuki Shatt al-Arab atau Arvandrud di Iran. Akhirnya mereka dibebaskan tetapi peralatan telah dirampas.
Dunia tidak boleh menafikan kewujudan peranan agen-agen rahsia di dalam sebarang operasi sulit tajaan barat. AS, Britain dan Russia adalah contoh beberapa buah negara yang mempunyai pasukan rahsia elit yang mampu untuk menceroboh mana-mana negara dengan kemahiran individu dan kecanggihan teknologi moden. Walaupun hal ini sukar untuk dibuktikan secara khusus, tetapi, penangkapan beberapa agen Britain berpakaian Arab ketika hendak meletupkan sebuah kereta di Iraq sedikit masa dahulu tentu boleh dijadikan hujah awal.
Sejarah pula membuktikan bagaimana Britain mempunyai peranan besar di dalam menaikkan pemerintahan diktator Shah Reza Pahlavi setelah sebelumnya berjaya menjatuhkan Perdana Menteri, Muhammad Mossadegh pada tahun 1953. Gerakan tersebut lebih dikenali dengan Operasi Ajax. Mossadegh yang merupakan seorang nasionalis yang berfahaman sosialis dibenci oleh Britain kerana cuba memiliknegarakan industri minyak Iran.
Operasi Ajax membuktikan kemampuan Britain di dalam melakukan operasi-operasi rahsia demi mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya setelah semua usaha-usaha dan tipu-daya politik gagal. Rakyat Iran tidak pernah lupa peranan Britain di dalam peristiwa tersebut. Sentimen Iran terhadap Britain tidak berubah hingga ke hari ini, walaupun kutukan lebih kuat dilemparkan kepada AS. Britain masih dianggap sebagai salah satu kuasa asing yang menjadi musuh Iran. Sokongan kuat Britain kepada kempen ketenteraan Presiden George W Bush – yang dibuktikan lagi dengan rondaan tentera Britain di selatan Iraq bersempadan Iran – menguatkan lagi sentimen Iran terhadap Britain.
Pencerobohan askar-askar British pada 23hb Mac yang lalu itu sebenarnya mempunyai misi/operasi sulit yang masih sukar untuk dibuktikan sehingga kini. Tujuan sulit yang dimaksudkan adalah memberi sokongan dan bantuan logistik kepada kumpulan-kumpulan pemisah di Iran. Kumpulan-kumpulan pemisah ini, walaupun kecil tetapi mereka tetap merbahaya jika diberi bantuan senjata termoden masakini. Kumpulan-kumpulan pemisah ini terdiri daripada bangsa Kurdis, Arab dan Azeri. Malah, pemerintah Iran masih keberatan untuk mendedahkannya demi memelihara kestabilan sokongan menyeluruh rakyat Iran ke atas pemerintah mereka.
PERANG PROPAGANDA.
Iran telah membuktikan bahawa mereka tidak boleh diperkecilkan. Mereka mampu mempertahankan dan melindungi kedaulatan mereka walaupun berhadapan dengan tekanan antarabangsa terhadap projek pengayaan uranium mereka. Episod penahanan tentera Britain “diwarnai” dengan sikap Iran yang cukup baik terhadap tawanan. Ini dibuktikan dengan rakaman video yang dikeluarkan oleh Iran. Imej Iran naik mendadak jika dibandingkan cara tentera AS-Britain melayan tahanan perang. Iran membuktikan mereka bukanlah Negara Paksi Jahat seperti yang didakwa AS. Iran mengambil risiko yang cukup besar terhadap isu ini.
Walaubagaimanapun, penangkapan itu juga telah digunakan oleh Amerika sebagai bukti lanjutan tuduhan ke atasnya sebagai tiga negara (termasuk Iraq dan Korea Utara) 'paksi jahat' - yang anti-Barat dan ancaman besar kepada keselamatan dunia. Tindakannya itu juga dikatakan akan menghilangkan simpati dunia kepada hujahnya untuk meneruskan rancangan nuklearnya bagi menjana elektrik. Tetapi, yang berlaku adalah sebaliknya. Propaganda barat sekali lagi memakan diri sendiri setelah Iran berjaya membuktikan bahawa tentera marin Britainlah yang bersalah.
Pembebasan ini juga merupakan satu tamparan hebat kepada Amerika Syarikat (AS) yang sebelumnya melabelkan Iran sebagai sebuah negara yang menaja keganasan. Berlaku suara-suara kesal dari AS. Ini adalah kerana, terdapat beberapa pihak di negara kuasa besar itu yang mahu hubungan Britain dan Iran bertambah tegang. Mereka mahu Iran terus menahan tentera-tentera itu hingga menyebabkan Britain terpaksa bertindak balas yang terus menjadikan hubungan kedua negara bertambah buruk.
Maka, kedengaran pula suara-suara yang mahukan Barat, terutamanya Amerika, menyemak dasar tegarnya terutama terhadap Iran. Mereka sebenarnya tidak sepenuhnya menerima pandangan bahawa Iran merupakan sebuah negara yang agresif. Dari segi fakta sejarah, Iran tidak pernah menceroboh kedaulatan Amerika dan Britain.Sebaliknya, kedua-dua kuasa Barat itulah yang melakukan pencerobohan ke atas Iran.
Sejak sekian lama, Amerika telah mengisytiharkan republik Islam itu sebagai paksi jahat yang menaungi gerakan pengganas setelah menghadapi pelbagai kesulitan untuk menjatuhkan regim Iran. Iran juga didakwa memberikan bantuan kepada kumpulan Syiah di Iraq dan juga di Lebanon yang menggagalkan perancangan Amerika di Timur Tengah. Ketika ini, Amerika masih terus bercakap tentang rancangan untuk merubah rejim di Iran.
Yang terbaru, Amerika mempelopori gerakan mengenakan tekanan ke atas Iran agar segera menghentikan program pengayaan uraniumnya. Sudah lebih 28 tahun Amerika masih gagal merubah Iran, maka usaha AS untuk menghalang Iran daripada meneruskan program nuklearnya juga akan gagal. Penangkapan 15 askar Britain merupakan bukti bahawa Iran mampu memelihara kedaulatan walaupun kehadiran besar tentera Amerika di Iraq dan Afghanistan serta armadanya di Teluk Parsi. Seluruh senario besar dan sejarah tadi mendorong kalangan penasihat politik di AS mendesak Rumah Putih agar menyemak dasarnya terhadap Iran. Keputusan Iran membebaskan kelasi Britain telah mengendurkan ketegangan di Timur Tengah.
Dari sudut perang propaganda, kuasa media telah berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Iran, menafikan dakwaan pihak yang menentangnya. Hal ini terbukti kerana, selepas menjadi tahanan tentera Iran selama 12 hari, satu-satunya perkara terburuk yang boleh diceritakan tentera Britain itu ialah mereka 'telah diasingkan' sehingga mereka berada keadaan ketakutan dan dipaksa membuat pengakuan, sedangkan tahanan Barat – termasuk Britain – mengalami nasib yang jauh lebih buruk. Malah, pegawai Iran yang ditahan di Iraq - beberapa hari selepas tahanan Britain dibebaskan – mendakwa diseksa oleh CIA.
Iran tidak seharusnya hanya hebat berpropaganda ketika ia kedaulatannya dicabul, bahkan ia mestilah terus melancarkan propaganda ke atas kejahatan-kejahatan yang telah dilakukan oleh barat ke atas dunia kaum muslimin.
Tidak pernah luput dalam ingatan umat Islam, Baratlah yang bertanggunjawab terhadap kematian beribu umat Islam di Afganistan. Dengan propaganda menentang keganasan, umat Islam menjadi sasaran taring-taring ganas AS dan sekutunya. Lebih menyakitkan lagi apabila pemimpin umat Islam sendiri telah melakukan khianat dengan memberi kebenaran kepada tentera AS untuk membina pangkalan tentera untuk menyerang Iraq.
Tidak cukup dengan aksi penakut para pengkhianat itu, mereka (para pemimpin kaum muslimin) terus terpengaruh dengan propaganda jahat AS. Lihat saja tafsiran yang diberikan oleh mereka terhadap makna ‘jihad’. Makna Jihad telah disempitkan kepada 'jihad melawan nafsu' , 'Jihad ekonomi' dan 'Jihad pembangunan'. Semuanya ini adalah hasil daripada propaganda barat ke atas pemikiran-pemikiran Islam. Akibatnya, semua gerakan Islam yang cuba membangkitkan kembali kegemilangan Islam di label ‘Islam ekstrimis’, ‘Islam fundementalis’. Pada masa yang sama, yang di iktiraf adalah ‘Islam moderat’. Amat malang menyaksikan sebahagian daripada umat Islam turut serta terpengaruh.
Kita juga melihat ‘double-standard’ yang ditunjukkan oleh AS dalam menangani masalah di Timur Tengah. Penjajahan dan pencerobohan Israel yang merampas tanah umat Islam telah diberi pengiktirafan oleh mereka. Propaganda yang disebarkan menyatakan, orang Yahudi wajib mendapat tempat setelah dizalimi dalam peristiwa pembunuhan berjuta-juta orang Yahudi di zaman Hitler. Sebahagian pemimpin Islam mengiktiraf Israel, sebahagian menentang, dan tidak kurang juga yang berdiam diri walaupun tahu akan hakikat kekejaman Israel.
Kisah Iran ini pula merupakan secebis daripada ‘kejayaan kecil’ umat Islam dalam menangani propaganda jahat Barat(baca AS-Britain). Selebihnya adalah kekalahan yang cukup memilukan hati umat Islam. Ini adalah kerana, bagi mereka yang memerhati dasar luar AS, tidak ada kemenangan kepada umat Islam. Walaupun Bush/Blair telah meletakkan jawatan, pengganti mereka tetap meneruskan ‘penjajahan’ terhadap umat Islam. Bezanya cuma, pendekatan yang lebih lembut. Tetapi hakikat yang tidak dapat disembunyikan adalah, umat Islam akan terus tertindas dan yang paling membahayakan adalah jauhnya umat Islam dengan ajaran Islam yang sebenar.
Sumber : mykhilafah.com
0 comments:
Post a Comment