ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS

POLISI PENDIDIKAN DALAM DAULAH KHILAFAH


POLISI PENDIDIKAN DALAM

DAULAH KHILAFAH


“Keputusan SPM 2006 Membanggakan”, begitulah tajuk berita muka depan Utusan Malaysia 14 Mac 2007. Seramai 319,670 (90%) calon telah memperolehi sijil manakala 4,311 mendapat A dalam semua mata pelajaran dan 918 pelajar mendapat A1 dalam semua mata pelajaran. Sebagaimana juga tahun-tahun sebelum ini, berita mengenai keputusan SPM seakan-akan diliputi dengan kejayaan luar biasa pelajar mendapat 16A1, 17A1 dan yang ditunggu-tunggu, calon yang bakal mendapat 19A1. Di sebalik berita kejayaan besar ini, turut terdapat juga laporan subahat yang dilakukan oleh siayah dan sianak mengeluarkan sijil palsu 24A1. Dengan keriuhan berita kejayaan besar ini (90%), nasib 10% lagi pelajar yang tidak mendapat sijil dan juga pelajar-pelajar yang mendapat gred 3 nampaknya seperti langsung tidak diberi perhatian. Apakah mereka ini perlu diketepikan? Apakah yang berjaya perlu dirai besar-besaran dan yang gagal dibiarkan? Jika kejayaan perlu dinilai, kegagalan juga harus dinilai dan dicari di mana silapnya.


Sebagaimana biasa, peratus kejayaan yang meningkat khususnya bagi para pelajar yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang amat ditonjolkan dan terus menjadi ikon kejayaan sistem pendidikan negara. Dalam kemabukan kejayaan ini, untuk seketika, ramai yang terlupa dan terleka tentang ‘kejayaan’ lain sistem pendidikan, di dalam melahirkan penjenayah juvana. Ini belum lagi mengambil kira ‘kejayaan’ sistem pendidikan melahirkan pelajar-pelajar yang rosak akhlak dan ‘kurang ajar’ dalam masalah agama, sehingga diperlukan pengajaran agama dari luar untuk ‘mencukupkan ajaran’ sebahagian besar dari pelajar ini. Berdasarkan data kadar jenayah yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Tan Seri Musa Hassan berkata, “Seramai 8,113 remaja berusia antara 16 dan 18 tahun ditahan sepanjang tahun lepas dan daripada jumlah itu seramai 3,545 adalah pelajar.... Situasi ini harus dipandang serius oleh semua pihak kerana dalam sesetengah kes ia turut melibatkan para pelajar seawal umur tujuh hingga 10 tahun’’ [UM 17/02/06].


MATLAMAT POLISI PENDIDIKAN YANG MENYIMPANG


Manusia adalah sebahagian dari masyarakat manakala masyarakat itu pula dicorakkan oleh sistem yang mengatur mereka. Baik dan buruknya masyarakat dapat diukur dengan sistem yang diterapkan ke atas mereka. Sistem yang baik sudah tentu akan melahirkan masyarakat yang baik dan begitulah sebaliknya. Contohnya sistem Jahiliyyah sudah pasti akan melahirkan masyarakat Jahiliyyah. Inilah apa yang berlaku sebelum Rasulullah diutus. Setelah pengutusan Rasul, masyarakat itu diubah dan diatur dengan sistem Islam. Sistem Islam yang diterapkan oleh Rasul (di Madinah) ternyata telah melahirkan masyarakat yang baik. Dalam hal ini, pelajar adalah antara golongan yang dicorakkan oleh sistem (pendidikan) yang mengatur mereka. Justeru, jika sistem itu baik, sudah tentu akan melahirkan pelajar dan masyarakat yang baik dan begitulah sebaliknya.


Dalam negara berbangga dengan pencapaian SPM ini yang dikatakan sebagai kejayaan sistem pendidikan negara, banyak lagi faktor lain yang seolah-olah sengaja tidak dihighlightkan bagi membuktikan fakta sebaliknya. Apakah kita boleh mengukur sebuah kejayaan itu hanya dengan pencapaian akademik semata-mata, walhal di dalam masa yang sama sistem pendidikan yang ada gagal melahirkan pelajar yang mempunyai syakhsiyah Islam? Persoalannya adakah pencapaian akademik ini boleh kita guna bagi mengukur tahap berfikir pelajar, walhal ia nyata-nyata hanya melahirkan pelajar yang berorientasikan peperiksaan (exam oriented student)? Jika benar, mengapa Universiti-Universiti tempatan terpaksa menawarkan program kemahiran berfikir dan berfikir kritis atau ‘problem based learning programme’?


Apakah kita telah lupa bahawa berapa ramai dari pelajar cemerlang ini yang kemudian memasuki Universiti, samada dalam atau luar negeri, kemudian didapati terlibat dengan kes-kes maksiat, sehingga ke tahap perzinaan? Apakah kita boleh berbangga dengan pencapaian akademik yang tinggi oleh para pelajar yang seterusnya diikuti dengan kadar maksiat yang tinggi juga dilakukan oleh golongan ini? Apakah ini yang dikatakan kejayaan? Berapa peratuskah dari ratusan ribu pelajar yang dilahirkan dari sistem pendidikan sekarang dapat dikatakan telah menjadi seorang Muslim yang berjaya, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya?


Sistem pendidikan yang ada sekarang lebih menumpukan kepada bidang Sains dan Matematik dan bidang-bidang teknikal lainnya yang ternyata tidak mampu membina syakhsiyah individu. Tetapi kedua-dua bidang inilah yang menjadi ukuran utama dan menjadi modal penting untuk mendapatkan jurusan-jurusan popular yang menjanjikan kesenangan hidup dan prestij. Pelajar-pelajar yang cerdas awal-awal lagi telah disalurkan ke dalam aliran sains dan yang kurang cerdas ke aliran sastera. Akhirnya pelajar cerdas diajar bagaimana cara ingin membina jambatan dan yang selebihnya diajar bagaimana ingin membina ‘jurang’ di antara ummah. Agama Islam pula dijadikan satu jurusan tersendiri seolah-olah pelajar yang mengambil jurusan lain tidak perlu dididik dengan kurikulum Islam. Jika adapun ‘subjek agama’ di dalam jurusan lain, ia hanya menjadi subjek pilihan, yang menggambarkan seolah-olah ilmu agama ini boleh dipilih-pilih. Pendek kata, jurusan apa pun yang mereka ambil, mereka tidak pernah di ajar bagaimana untuk menyelesaikan masalah umat dengan sistem Islam. Yang belajar jurusan Islam sekalipun, sekadar untuk ‘mendapatkan ilmu’ dan lulus peperiksaan, bukannya untuk menerapkan serta menegakkan agama Allah ini.


Pelajar-pelajar dalam hal ini tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, kerana mereka itu dicorakkan oleh sistem. Jika mereka dididik dengan sistem yang baik, yang datangnya dari Rabb mereka, maka insya Allah, mereka akan menjadi pelajar yang baik. Jika mereka tidak baik sekalipun, maka sistem Allah jualah yang akan membetul dan meluruskan mereka (uqubat).


PENGARUH NEGARA DI DALAM POLISI PENDIDIKAN


Pendidikan merupakan salah satu aspek yang penting di dalam kehidupan. Dari sinilah bermulanya satu cara hidup (the way of life) yang seterusnya akan memandu dan membezakan umat Islam dengan umat yang lain. Dari sini jugalah akidah dan intelektual seorang muslim itu dibina. Jika sistem yang mendidik/membina itu datangnya dari Islam, maka akidah dan sistem Islamlah yang akan menjadi pegangan hidup seseorang dan jika sistem yang membina itu berasal dari Ideologi Kapitalis atau Sosialis, maka sistem kufurlah yang akan menjadi pegangan seseorang itu.


Dalam hal ini, sistemlah yang membina syakhsiyah seseorang. Ia akan mempengaruhi cara berfikir, menilai sesuatu, bertingkah-laku, keintelektualan hatta aqidah seseorang itu sekalipun. Oleh kerana yang menerapkan sistem itu adalah Negara (Pemerintah), maka Negaralah yang harus menjaga sistem itu. Justeru, kita menyaksikan bagaimana negara Sosialis, Soviet Union (dahulu) membina rakyatnya dengan syakhsiyah Komunis, bagi memastikan ia berjaya melahirkan individu-individu yang berpemikiran Komunis. Soviet Union telah memastikan agar tiada langsung unsur-unsur Kapitalis mahupun Islam yang wujud dalam sistem pendidikan mahupun kehidupan mereka. Begitu juga dengan Barat, mereka mendidik generasi mereka dengan Ideologi Kapitalis yang berteraskan pemisahan agama dari kehidupan (faslu din anil hayah). Barat membina pelajar-pelajar mereka di atas asas ini dan memastikan agar langsung tiada unsur-unsur Komunis mahupun Islam terdapat di dalam sistem pendidikan mahupun kehidupan mereka. Malah mereka membina generasi mereka dengan memberikan gambaran yang cukup buruk tentang Islam.


Sebaliknya, negara yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Negara Islam’ mengambil dan menerapkan sistem dari Barat, bukannya sistem Islam. Jadi, tidak hairanlah jika sistem pendidikan kita melahirkan individu-individu yang berpemikiran Barat. Inilah golongan yang ‘berjaya’ dilahirkan oleh sistem pendidikan pada hari ini, individu yang beragama Islam tetapi memisahkan Islam dari kehidupan. Individu yang memuja segala bentuk kehidupan dari Barat, sebati dengan sistem kebebasan, individu yang langsung tidak berfikir bagaimana ingin menerapkan hukum hudud, ta’zir, jizyah, jihad, ghanimah dan sebagainya. Bukan setakat tidak mahu menerapkan atau sekurang-kurangnya berfikir tentang hukum Islam, malah mereka langsung tidak memahami dan tidak mahu memahami hukum-hukum ini. Inilah antara individu yang terhasil dari sistem pendidikan yang diamalkan hari ini, yang berasaskan sistem Barat, memisahkan agama dari kehidupan. Individu yang percaya dan beramal bahawa agama tidak boleh mengatur kehidupan, maka perlu dibuat aturan atau undang-undang sendiri untuk mengatur kehidupan. Justeru, undang-undang Allah langsung dibuang, undang-undang Barat atau undang-undang sendiri (buatan manusia), digunapakai.


Inilah bukti nyata bagaimana sistem yang mengatur sesebuah negara itu boleh mempengaruhi cara berfikir dan bertingkah laku individu-individunya. Oleh itu, amat penting bagi sesebuah negara agar mengatur sistemnya dengan sistem yang betul dan benar, dan satu-satunya sistem yang benar adalah sistem yang datangnya dari Pembuat sistem itu sendiri, yakni Allah Subhanahu wa Ta’ala. Disebabkan keterbatasan ruang, di sini kami hanya akan membincangkan asas-asas kepada sistem pendidikan Islam sahaja yang sepatutnya diterapkan oleh sebuah Negara Islam.


Kesemua persoalan pendidikan ini telah dijelas oleh Hizbut Tahrir dalam kitab Muqadimah ad-Dustur dan juga Usus Ta’lim Fi Daulatil Khilafah. Secara ringkasnya dalam buku tersebut menerangkan bahawa asas kurikulum pendidikan dalam Islam mestilah berlandaskan aqidah Islam (Perkara 165). Objektifnya adalah untuk membentuk cara berfikir Islam dan cara bertindak Islam (Perkara 167). Matlamat yang ingin dicapai adalah untuk membentuk syakhsiyah/keperibadian Islam (Perkara 168). Kandungan subjek berkaitan dengan tsaqafah Islam, sains, sastera dan teknik dibezakan mengikut katogeri masing-masing dalam membina pelajar (Perkara 169-171). Kurikulum pendidikan dalam Negara Khilafah hendaklah seragam (Perkara 172). Negaralah yang berhak dan bertanggungjawab menyelenggara dan menanggung kos pendidikan secara percuma (Perkara 173) dan kemudahan prasarana pendidikan hendaklah disediakan oleh Negara (Perkara 174). [Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kitab Muqqadimah ad-Dustur]


POLISI PENDIDIKAN DI DALAM SISTEM KHILAFAH


Allah s.w.t mengurniakan manusia kemampuan berfikir, yang dengannya ia meletakkan manusia itu di atas segala makhlukNya yang lain, Allah s.w.t juga menjadikan akal manusia khasiat untuk membuat pertimbangan atas sesuatu fakta, jadi kaedah pengajaran wajib menyerlahkan kemampuan berfikir manusia itu. Kaedah pengajaran yang tepat adalah melalui proses berfikir yang disampaikan oleh guru dan dicerna oleh daya intelektual pelajar. Seorang pendidik yang ingin menyampaikan suatu pemikiran kepada pihak lain, ia akan menyampaikannya melalui penyataan-pernyataan yang secara asasnya melalui bahasa. Jika pelajar yang menerimanya dapat mengaitkan dengan maklumat lepas yang dapat cerapnya, pemikiran ini akan menjadi konsep (mafahim) yang dapat menjadi asas berfikir. Sebaliknya jika ianya diterima tanpa mengaitkan dengan maklumat lepas maka pemikiran yang disampaikan itu kekal menjadi sekadar maklumat. Dalam hal ini, Islam hendaklah dijadikan kayu ukur atau sandaran kepada segala pemikiran.


Jika kita tidak menjadikan Islam sebagai asas di dalam berfikir, maka kita sekadar akan menghasilkan seorang yang berpelajaran tetapi bukan seorang yang berfikir. Dan sudah pasti standard (miqyas) yang salah akan digunakan. Contohnya, kita akan dapat melahirkan pelajar yang tahu dengan tepat bilakah British menjajah Tanah Melayu (kerana diajar fakta-faktanya), tetapi kita gagal melahirkan pelajar yang berfikir bahawa kedatangan British (golongan kuffar) itu adalah untuk menjajah tanah umat Islam, seterusnya menancapkan Ideologi kufur mereka untuk diamalkan oleh umat Islam. Pelajar juga mungkin diajar maklumat bahawa Jepun telah menjajah Tanah Melayu (setelah British) dengan segala bentuk kekejaman, tetapi pelajar tidak diajar berfikir bahawa penjajahan Jepun berakhir dengan kekalahan Jepun, sebaliknya penjajahan British tidak pernah berakhir hingga sekarang. Pelajar tidak diajar berfikir bahawa walaupun British telah meninggalkan Tanah Melayu, tetapi sistem yang British tinggalkan ini dipegang kukuh oleh Negara dan pelajar tidak diajar berfikir bahawa sistem ini adalah sistem kufur yang bertentangan dengan Islam dan wajib dibuang, seterusnya digantikan dengan Sistem Islam.


Pelajar harus ditanam dengan pemikiran bahawa mereka wajib menjadikan aqidah Islam sebagai asas berfikir, justeru jika suatu pemikiran itu bukan dari Islam, maka perkara ini perlu dijauhi. Method ini mesti digunakan untuk menyampaikan suatu pemikiran samada ianya suatu pemikiran yang terkait dengan pandangan hidup (hadharah) mahupun ilmu-ilmu yang bersifat empirikal seperti sains dan matematik.


Bagi kategori pertama, ilmu-ilmu ini lahir daripada pandangan hidup tentang manusia, alam dan kehidupan, ilmu ini wajib dikaitkan dengan aqidah Islam. Pendidik perlu mengaitkan pemikiran dan perasaan pelajar tentang apa yang ada sebelum dan selepas alam ini dan kaitan keduanya dengan kehidupan di dunia sekarang. Seterusnya membentuk satu konsep yang terpahat dalam diri pelajar dan menjadikan mereka sedar tentang tujuan hidup mereka didunia. Adalah suatu kesalahan yang fatal apabila aqidah itu sekadar dihafal tanpa melalui pembuktian aqliyah dan naqliyah dan tanpa mengaitkannya dengan pandangan hidup tentang manusia, alam dan kehidupan. Aqidah adalah pegangan hidup yang wajib diyakini, bukan dihafal. Dari sini barulah terlahir pelajar yang tahu akan tujuan ia diciptakan dan ke mana ia akan tuju selepas alam ini. Oleh itu, mereka akan memahami bahawa hidup di dunia ini hanyalah untuk tunduk patuh kepada perintah dan larangan Allah semata-mata.


Bagi ketegori kedua, ilmu-ilmu ini tidak terkait dengan mana-mana pandangan hidup atau aqidah. Ilmu-ilmu ini diajar untuk menyiapkan pelajar bagi menghadapi kehidupan yang telah Allah Subhanahu wa Ta’ala amanahkan ke atas manusia. Ini sesuai dengan firman Allah, “dan Dia menundukkan untukmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripadaNya[TMQ Al-Jaatsiyah (45):13]. Juga firmanNya, dan Dia menundukkan untukmu malam dan siang, matahari dan bulan. Dan bintang bintang itu itu ditundukkan dengan perintahNya. [TMQ An-Nahl (16):12] dan juga firmanNya, “dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi[TMQ Al-Qashash (28):77].


TAHAP-TAHAP PEMBELAJARAN


Jika dilontarkan persoalan kepada kita kenapa Sekolah Rendah ada sehingga darjah enam sahaja? Pasti kita akan tertanya-tanya jawapannya yang sebenar, dan mungkin kita akan menjawab bahawa penjajah dahulu datang membawa sistem persekolahan ke sini dan kita ambil yang baik dari mereka. Tidakkah terdetik dalam hati kita untuk melihat persoalan ini dari perspektif Islam? Bagaimanakah asas sistem pendidikan Islam itu sendiri, apakah tahapan yang sebenar yang digali dari dalil syarak? Dalam menentukan tahapan dalam pembelajaran, kita perlu memerhatikan fakta tentang kematangan pelajar. Kita perlu merujuk kepada nas-nas syarak yang menyingung persoalan kematangan dan bagaimana hukum syarak itu menyelesaikan masalah manusia. Dari sini kita boleh mendapatkan petunjuk dan menerapkannya ke dalam sistem pendidikan.


Beberapa nas yang dapat kita perhitungkan dalam hal ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari).... Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin” [TMQ An-Nuur(24):58-59]


Dari hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, “diangkat pena (dosa) dari tiga orang: orang gila sampai ia sembuh, orang tidur sehingga dia bangun dan kanak-kanak sampai dia baligh” [HR Abu Dawud]. Rasulullah juga bersabda, “Wahai Asma’, apabila kanak-kanak perempuan telah sampai haid, tutuplah seluruh tubuh kecuali ini dan ini sambil menunjukkan muka dan kedua tapak tangan” [HR Abu Dawud]. Juga sabda baginda, “perintahkan anak-anakmu solat apabila berumur tujuh tahun, pukullah (jika tidak solat) apabila ia mencapai umur sepuluh tahun” [HR Imam Ahmad]


Secara ringkasnya, dari nas-nas syarak ini kita dapat membahagikan tahapan-tahapan dalam sistem pendidikan dan setiap tahap memiliki pendekatan yang berlainan.


Tahap I: Murid yang berusia kurang dari 10 tahun, pada peringkat ini teknik pembelajaran diajar tanpa mengenakan apa-apa pukulan, kerana dalam hadis (pada usia tersebut) dibatasi dengan perintah solat tanpa disuruh memukulnya, kalau perintah solat sendiri tidak ada pukulan, inikan pula dalam aspek pendidikan. Mereka diberi motivasi dan ancaman sahaja jika enggan.


Tahap II: Murid yang berusia 10–14 tahun, adalah peringkat sebelum baligh (kebanyakannya) mereka ini diajar dan boleh dipukul dalam bentuk mendidik. Namun tidak dikenakan hukuman negara.


Tahap III: Pelajar yang telah matang iaitu dari tempoh baligh sehingga tamat tempoh persekolahan. Mereka ini dikenakan hukuman Negara jika melanggar undang-undang, kerana tanggung-jawab mereka sama seperti manusia baligh yang lain.


Perlu diingatkan bahawa kurikulum pendidikan Negara Khilafah adalah berasaskan kelayakan individu dan kualitinya, bukannya berasaskan kepada bilangan subjek yang wajib diambilnya. Secara ringkas, carta tahap pembelajaran adalah seperti berikut:

Peringkat Persekolahan

Umur

Sekolah Rendah

6-10

Sekolah Menengah

10-14

Sekolah Menengah Tinggi

Dari umur baligh sehingga tamat persekolahan


KESIMPULAN


Wahai kaum Muslimin! Masih banyak lagi hal-hal berkenaan pendidikan yang tidak dapat dihuraikan di sini kerana ia memerlukan pembahasan yang panjang. Cuma apa yang ingin kami tekankan ialah Islam itu sebagai satu agama yang sempurna dari Zat Yang Maha Mencipta, mustahil bagi Allah tidak menerangkan perihal pendidikan di dalamnya, sehingga kita perlu mengambil segala-galanya dari British, atau lain-lain penjajah. Jika kita tinjau sejarah Islam secara sederhana sahaja pun, kita akan mendapati bahawa dunia Islam satu ketika dulu jauh mendahului Barat atau Eropah dalam hal pendidikan. Ketika Barat baru masih terkial-kial merangkak keluar dari kegelapan, Islam telahpun menyinari bumi ini dengan segala bentuk kemajuannya. Ilmuan Islam lahir mencurah-curah dari zaman Rasulullah lagi, sehingga di zaman Pemerintahan Khilafah, terutamanya di zaman Abbasiyyah di mana Islam menjadi pusat ilmu yang cukup terkenal dan telah melahirkan ribuan ilmuan yang berkualiti. Umat Islam terlalu jauh maju dan mendominasi dunia dari segi ilmu pengetahuan, tanpa sedikitpun campurtangan dari negara asing. Malah, seluruh dunia datang dan belajar dengan mereka.


Wahai kaum Muslimin! Kenapakah fakta di atas boleh terjadi? Jawapannya tidak lain tidak bukan kerana yang mengatur umat Islam ketika itu adalah sistem Islam, yang memerintah ketika itu ialah Khalifah yang menerapkan hukum dari langit. Mereka menerapkan hukum berdasarkan Kitabullah dan sunah RasulNya. Kerana itulah mereka maju dan menguasai dunia, kerana mereka meninggikan agama Allah, maka Allah pun meninggi dan memuliakan mereka. Itulah janji yang Allah telah tunaikan kepada mereka yang menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah. Justeru saudaraku, bukalah mata kalian bahawa hanya dengan kembali kepada Sistem Islam sahajalah yang akan dapat mengembalikan semula keagungan kalian. Dan sistem Islam itu tidak akan kembali tanpa adanya Daulah Islam yang akan menerapkannya. Wallahu a’lam.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR