ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS

PM : Jangan buat kenyataan semarakkan ketegangan kaum

PM : Jangan buat kenyataan semarakkan ketegangan kaum

PUTRAJAYA 12 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya tidak membuat kenyataan yang boleh memarakkan ketegangan kaum.

Lim, selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang semalam, memberitahu pemberita bahawa kerajaan negeri pimpinan DAP itu tidak akan mengamalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Lim juga berkata DEB, yang diperkenalkan pada 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, merupakan punca kepada "kronisme, rasuah dan ketidakcekapan."

Abdullah memberitahu Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan para pegawai tinggi kerajaan di pejabatnya di sini bahawa DEB yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebenarnya telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan ini telah memberi faedah kepada semua kaum.

"Saya ingin bertanya kepada DAP, kaum manakah yang telah menjadi lebih miskin kerana DEB?

"Saya ingin juga memberi peringatan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya jangan menimbulkan keadaan di mana ketegangan antara kaum boleh berlaku," tegas Abdullah yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan baru negeri Pulau Pinang tidak harus meminggirkan orang Melayu yang merupakan kaum minoriti di Pulau Pinang dan kumpulan minoriti yang lain seperti kaum India.

"Jangan pinggirkan orang Melayu dan kumpulan minoriti seperti orang India.

"Saya ingin bertanya kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, apakah rancangan DAP untuk membantu orang Melayu," katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan tetap membela golongan berpendapatan rendah dan akan teruskan bantuan khas kepada orang Melayu.

Sumber : Utusan Malaysia 13/03/08

Ulasan:

Pada umumnya UMNO dilihat untuk membela nasib bangsa Melayu, tetapi DEB yang diperkenalkan telah disalah gunakan (oleh UMNO sendiri), sehingga menguntungkan kroni-kroni UMNO yang dekat dengan parti tersebut. Mana-mana orang Melayu yang berpihak kepada parti pembangkang seperti PAS dan PKR, maka nasib mereka tidak akan terbela. Inilah hakikat yang dimaksudkan dengan “pembelaan Melayu” oleh UMNO melalui konsep DEB.

Dan dengan hanya menolong orang Melayu yang terpinggir dan tersisih yang tertentu sahaja (kroni), sambil sengaja membiarkan orang Melayu lain terus terpinggir (kerana menyokong pembangkang), maka UMNO mempunyai sebab untuk terus wujud, dulu, kini dan selamanya dengan berjustifikasi kepada orang-orang Melayu yang (sengaja) dibiarkan tersisih (yang menyokong pembangkang). Maka UMNO boleh ditonjolkan sebagai masih relevan untuk membela orang-orang Melayu, dan tiket untuk mendapatkan tender-tender kerajaan berjuta-juta ringgit adalah memasuki UMNO atau menjadi kroni pemimpin tertinggi UMNO yang berpengaruh. Jadi perjuangan membela bangsa Melayu akhirnya telah bertukar menjadi perjuangan personal untuk mengaut sebanyak mungkin kekayaan negara.

Sekiranya dasar DEB tersebut betul-betul direalisasikan dengan ikhlas untuk menolong masyarakat Melayu yang mempunyai kehidupan susah, nanti bila semua orang Melayu telah berjaya, maka UMNO sendirinya sudah menjadi tidak relevan lagi dan boleh dibubarkan. Tetapi selagi UMNO ada justifikasi untuk wujud dengan adanya orang-orang Melayu yang sengaja dibiarkan hidup susah kerana berpihak kepada parti pembangkang, maka selagi itulah UMNO masih relevan kewujudannya kerana boleh ditonjolkan sebagai pejuang bangsa Melayu.

Sebab itulah apabila badan ASLI memberitakan bahawa aset Melayu di Malaysia adalah 45%, di dalam perhimpunan agung Melayu, UMNO menafikan kajian tersebut, dan mengatakan bahawa aset Melayu hanya sekitar lebih kurang 25-30% sahaja. UMNO diperlukan sebagai “survival necessity” untuk orang Melayu yang hanya terikat dengan perjuangan parti tersebut dan bukannya untuk semua orang Melayu di Malaysia secara amnya. Justeru, tidak hairanlah jika pemimpin UMNO terus-terusan memperjuangkan agenda assabiyyah Melayu, agar mereka terus dilihat sebagai 'hero' penyelamat bangsa Melayu.

Sebagai pemimpin sebuah parti assabiyyah terbesar di Malaysia, sudah semestinya PM menunjukkan sikap assabiyyah yang tinggi. Kekalahan teruk UMNO di dalam PRU-12 baru-baru ini sepatutnya memberi seribu keinsafan bahawa mereka perlu melakukan muhasabah ke atas dasar dan matlamat perjuangan parti, namun assabiyyah nampaknya terus menjadi agenda utama. Perjuangan yang berasaskan assabiyyah adalah perjuangan yang jelas-jelas amat dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud,

"Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada assabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar assabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang mati kerana assabiyyah" [HR Abu Dawud]

"Sesiapa yang menyeru kepada assabiyyah, seolah-seolah dia menggigit kemaluan bapanya" [diriwayatkan di dalam Mishkat al Masabih]

"Tinggalkanlah (assabiyyah) kerana ia busuk" [HR Muslim dan Bukhari]

Sampai bila agaknya para penyeru assabiyyah ini akan sedar dosa-dosa mereka dan berpaling kepada seruan untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah? Jika Islamlah yang menjadi poros pemikiran pemimpin ini, maka dia akan faham bahawa tidak ada keistimewaannya bangsa Melayu berbanding bangsa lain dan manusia itu mesti dilihat sebagai seorang Muslim, bukan sebagai seorang Melayu. Apabila Islam (bukan Melayu) yang dijadikan ukuran, maka barulah ‘kemuliaan’ seseorang itu akan dapat diukur dengan benar.

Hanya mereka yang buta sahaja masih tidak sedar bahawa gelombang kebangkitan Islam sudah menerpa di mana-mana di seluruh dunia, dan di Malaysia, ia telah mempengaruhi rakyat sehingga mereka memberi isyarat bahawa mereka inginkan perubahan yang lebih baik daripada pembelaan berasaskan perkauman yang selama ini dibawa oleh UMNO. Rakyat telah mula menolak asas perkauman dan telah mula kembali kepada Islam walaupun dalam bentuk yang masih samar-samar dan keliru. Semoga perjuangan kepada assabiyyah ini akan segera berakhir sehingga ke akar umbinya.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR