TRIAS POLITICA BUKAN DARI ISLAM
TRIAS POLITICA BUKAN DARI ISLAM
SN Keluaran 22 Februari 2008
[SN162] Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video VK Lingam telah pun berakhir. Ia tamat pada 15 Februari lalu setelah bersidang sejak 14 Januari lepas. Selama sebulan, suruhanjaya telah mendengar keterangan 21 saksi dan menyaksikan 116 bahan bukti. Pengerusinya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor ketika melabuhkan tirai prosiding berkata, pegawai pengendali dan semua peguam pemerhati diminta menyediakan hujahan bertulis dan tidak membenarkan hujahan itu didedahkan kepada media. Katanya, kesemua hujahan itu perlu diserahkan kepada sekretariat suruhanjaya pada 25 Februari ini memandangkan pihaknya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Mac depan bagi memaklumkan hasil siasatan suruhanjaya. Pada prosiding hari terakhir yang selesai pukul 6 petang tersebut, suruhanjaya mendengar keterangan tiga saksi iaitu bekas setiausaha peguam Datuk V. K. Lingam, Jayanti L. Govindarajulu Naidu, bekas pemandu peribadi Lingam, D. Ramachandran dan pakar psikiatrik, Tan Sri Dr. M. Mahadevan [UM 16/02/08].
Sebagaimana telah diketahui umum, perbicaraan tersebut yang melibatkan beberapa orang pegawai tinggi kerajaan termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sendiri, merupakan perbicaraan yang penuh sensasi dan kontroversi. Begitu banyak ‘rahsia’ tentang konspirasi dan penyelewengan kuasa oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan telah terdedah di dalam prosiding selama sebulan itu. Ringkasnya, keseluruhan kes dan prosiding yang berlaku sebenarnya menyaksikan campur tangan secara langsung pihak Eksekutif ke atas pihak Judikatif. Walhal menurut teori tulen demokrasi, badan Eksekutif, Judikatif dan Legislatif sepatutnya terpisah dan tidak campur tangan urusan satu sama lain. Bagaimanapun, kes ini bukanlah satu kes yang baru melibatkan campur tangan atau pengaruh badan Eksekutif ke atas badan perundangan, namun ia adalah salah satu dari beribu kes yang telah sedia maklum yang berlaku dalam negara. Ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat yang membuak-buak terhadap segala campur tangan Eksekutif ke atas Judikatif (Judiciary) menyebabkan mereka melihat demokrasi tulen sudah tidak lagi berjalan. Justeru, tidak hairanlah jika ada di kalangan rakyat yang masih ingin mempertahankan sistem ciptaan Barat ini, menyeru agar konsep atau doktrin pengasingan kuasa (the doctrine of separation of powers) benar-benar dilaksanakan di dalam pemerintahan negara. Melihat kepada reaksi umat Islam yang ingin membetulkan semula benang yang basah ini, walhal sebenarnya sudah terdapat benang emas bagi mereka, maka Sautun Nahdhah akan mengupas isu ini demi mempersembahkan benang emas yang sepatutnya diambil oleh umat Islam, dan diharap umat Islam yang ikhlas akan membuang (bukan membetulkan) benang yang sudah basah lagi reput itu.
Sejarah Ringkas The Doctrine of Separation of Powers
Doktrin pengasingan kuasa atau lebih dikenali dengan Trias Politica adalah satu konsep pemerintahan yang memisahkan di antara tiga badan utama iaitu Eksekutif, Legislatif dan Judikatif. Konsep ini merupakan idea pokok dalam sistem Demokrasi Barat, yang mulai berkembang di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18 Masihi. Trias Politica adalah anggapan bahawa kekuasaan negara terdiri dari tiga macam kekuasaan iaitu pertama: kekuasaan Legislatif atau membuat undang-undang; Kedua: kekuasaan Eksekutif atau kekuasaan melaksanakan undang-undang; Ketiga: kekuasaan Judikatif atau kekuasaan mengadili (membicarakan) pelanggaran undang-undang. Trias Politica menganggap kekuasaan-kekuasaan ini sebaiknya tidak diserahkan kepada orang yang sama untuk mencegah penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang memerintah. Dengan demikian diharapkan hak-hak asasi warga negara dapat dijamin dengan lebih baik.
Konsep ini pertama kalinya dikemukakan oleh John Locke (1632-1704) dan Montesquieu (1689-1755). John Locke, seorang ahli falsafah Inggeris mengemukakan konsep ini dalam bukunya Two Treaties on Civil Government (1690), yang ditulisnya sebagai kritik terhadap kekuasaan mutlak raja-raja Stuart di Britain serta untuk membenarkan Revolusi Gemilang tahun 1688 (The Glorious Revolution of 1688) yang telah dimenangi oleh Parlimen Inggeris. Menurut Locke, kekuasaan negara harus dibahagi dalam tiga kekuasaan yang terpisah antara satu sama lain iaitu kekuasaan Legislatif yang membuat peraturan dan undang-undang, kekuasaan Eksekutif yang melaksanakan undang-undang dan di dalamnya termasuk kekuasaan mengadili, dan kekuasaan Federatif yang meliputi segala tindakan untuk menjaga keamanan negara dalam hubungan dengan negara lain (sekarang ini dikenali sebagai hubungan luar negeri). Selanjutnya, pada tahun 1748, ahli falsafah Perancis, Montesquieu mengembangkan konsep yang disarankan Locke dengan lebih jauh dalam bukunya L’Esprit des Lois (The Spirit of Laws), yang ditulisnya setelah dia melihat sifat despotisme (kuku besi) raja-raja Bourbon di Perancis. Dia ingin menyusun suatu sistem pemerintahan di mana warga negaranya akan merasa lebih terjamin hak-hak mereka.
Dalam penjelasannya, Montesquieu membahagi kekuasaan dalam tiga cabang yang menurutnya haruslah terpisah antara satu sama lain; kekuasaan Legislatif (kekuasaan untuk membuat undang-undang), kekuasaan Eksekutif (kekuasaan untuk melaksanakan undang-undang, tetapi oleh Montesquieu diutamakan tindakan di bidang politik luar negeri), dan kekuasaan Judikatif (kekuasaan mengadili atas pelanggaran undang-undang).
Idea pemisahan kekuasaan tersebut, menurut Montesquieu, dimaksudkan untuk memelihara kebebasan politik, yang tidak akan terwujud kecuali bila terdapat keamanan rakyat dalam negeri. Montesquieu menekankan bahawa seseorang akan cenderung untuk mendominasi kekuasaan dan merosak keamanan masyarakat bila kekuasaan terpusat di tangannya. Oleh itu, dia berpendapat bahawa, agar pemusatan kekuasaan tidak terjadi, haruslah ada pemisahan kekuasaan yang akan mencegah adanya dominasi satu kekuasaan terhadap kekuasaan lainnya. Montesquieu juga menekankan bahawa kebebasan akan kehilangan maknanya tatkala kekuasaan Eksekutif dan Legislatif terpusat pada satu orang atau satu badan yang menetapkan undang-undang dan menjalankannya dengan sewenang-wenangnya. Demikian pula, kebebasan akan tidak lagi bermakna apabila pemegang kekuasaan menghimpun kedua kekuasaan tersebut dengan kekuasaan Judikatif. Menurut Montesquieu lagi, akan menjadi malapetaka apabila satu orang atau satu badan memegang ketiga-tiga kekuasaan tersebut sekali gus dalam sesebuah negara.
Demikianlah sejarah ringkas kemunculan konsep pengasingan kuasa. Apa yang jelas, konsep Trias Politica ini datangnya dari Barat dan telah dijadikan tonggak utama dalam pemerintahan demokrasi di Barat. Apa yang jelas juga adalah bahawa konsep ini muncul dari pemikiran/akal manusia (bukan dari wahyu), tepatnya pemikiran kaum kafir Barat yang ingin melepaskan diri dari kekejaman pemerintahan raja-raja mereka ketika itu. Dengan kebijakan akal yang ada padanya, ia ‘mencipta’ satu konsep untuk menghadkan atau membataskan kekuasaan mutlak yang selama ini dimiliki oleh raja-raja. Konsep yang direka ini baginya akan menjamin keadilan dan kesejahteraan untuk manusia kerana kuasa tidak akan terpusat kepada mana-mana individu. Setelah Barat berjaya keluar dari kegelapan dan mula bangkit, maka sistem inilah yang menjadi pegangan utama mereka dalam pemerintahan dengan menjadikan rakyat (bukan lagi raja/gereja) sebagai sumber kedaulatan. Apabila negara Barat menjadi kuat, mereka mula menjajah negara kaum Muslimin yang menjadi musuh mereka selama ini. Setelah mereka berjaya menakluki tanah kaum Muslimin, maka sistem inilah yang telah mereka ajar dan terapkan di dalam negara umat Islam. Umat Islam yang sudah semakin lemah taraf berfikir mereka (kerana meninggalkan ajaran Islam) ketika itu, kemudian dengan begitu mudah menerima konsep yang dibawa oleh Barat ini kerana terpesona dengan ‘keindahannya’. Akhirnya, walaupun penjajah telah keluar dari bumi umat Islam, Trias Politica ini terus dipertahankan oleh penguasa Muslim sekular yang ada dan juga menjadi agenda perjuangan beberapa gerakan Islam yang terkeliru, hingga kini.
Trias Politica Bertentangan Dengan Islam
Selain asal kemunculannya yang nyata dari kuffar Barat, konsep Trias Politica ini bertentangan dengan Islam dalam banyak segi, antaranya:-
Pertama: Sumber konsep ini adalah manusia, di mana manusia memberikan penilaian baik buruknya sesuatu berdasarkan akal semata-mata. Konsep ini dibuat oleh para ahli falsafah sebagai pemecahan/penyelesaian terhadap masalah penindasan dan pemerintahan kuku besi para raja dan gerejawan di Eropah terhadap rakyatnya. Dalam Islam, yang berhak memberikan penilaian baik buruknya sesuatu hanyalah Allah semata-mata, yakni syara’, bukannya akal. Fungsi akal dalam hal ini hanya terbatas kepada ‘memahami fakta’ permasalahan dan nas-nas syara’ yang berkaitan dengan permasalahan tersebut. ‘Fakta’ bukanlah sumber pemecahan masalah atau sumber untuk melahirkan konsep tentang kehidupan, tetapi merupakan ‘objek permasalahan’ yang harus dikaji untuk kemudian dicarikan pemecahannya menurut nas-nas syara’. Pemecahan terhadap suatu permasalahan haruslah berasal dari syara’, bukan bertolak dari fakta permasalahan itu sendiri tanpa merujuk kepada syara’. Firman Allah, “Tentang sesuatu apa pun yang kamu berselisih, maka hukumnya (kembali) kepada Allah” [TMQ Asy-Syura (42):10].
Kedua: Konsep ini merupakan salah satu idea pokok sistem demokrasi kufur, sebab demokrasi telah menetapkan bahawa rakyatlah yang memiliki kedaulatan, dan sekali gus rakyatlah yang menjadi sumber segala kekuasaan. Maka dari itu, demokrasi menetapkan rakyatlah yang menjadi sumber kekuasaan Legislatif, Eksekutif, dan Judikatif kerana rakyatlah yang memilih mereka. Dengan demikian, rakyatlah (yang menjadi anggota Legislatif) yang membuat/menggubal peraturan dan undang-undang (dengan suara majoriti), rakyatlah (yang menjadi anggota Eksekutif) yang akan menerapkan (implement) undang-undang ciptaannya tadi, dan rakyatlah (yang menjadi anggota Judikatif) yang akan melaksanakan (execute) undang-undang yang digubal. Adapun Islam telah menetapkan bahawa kedaulatan adalah milik syara’, bukan milik rakyat. Syara’lah yang menjadi rujukan tertinggi dalam segala sesuatu, bukannya rakyat. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (Al-Hadis), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian” [TMQ an-Nisa’ (4):59]. Berbeza dengan konsep Trias Politica dalam sistem demokrasi, dalam hal pemerintahan, Islam telah menetapkan bahawa:-
(i) As-siyadah li asy-syar’i (kedaulatan di tangan syara’). Ini bermaksud kekuasaan Legislatif (menggubal undang-undang) hanyalah milik Allah semata-mata, bukan milik manusia. Maka dari itu, hanya Allah sahajalah yang menjadi Musyarri’ (Legislator) yang membuat/menetapkan hukum (undang-undang) untuk manusia dalam segala sesuatu, baik dalam masalah ibadah, mua’malah, uqubat (qisas, hudud, ta’zir dan mukhalafat) dan sebagainya. Tidak boleh (haram) sama sekali bagi manusia mana pun, baik secara individu mahupun beramai-ramai (majoriti) untuk membuat undang-undang, walau pun hanya satu undang-undang. Firman Allah, “Menetapkan hukum hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6):57]. Allah juga berfirman, “Ingatlah! Menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah” [TMQ al-A’raf (7):54]. Kekufuran sistem demokrasi di sini teramat jelas di mana dalam demokrasi, manusia telah mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum (Legislator). Aqidah Islam mengajar kita bahawa Allah adalah satu-satunya Zat yang berhak untuk membuat undang-undang bagi manusia, berbeza sama sekali dengan sistem demokrasi yang lahir dari akidah kufur-sekular yang memberi hak kepada manusia untuk membuat undang-undang.
(ii) As-sulthah li al-ummah (kekuasaan di tangan rakyat). Ini bererti rakyat adalah pemilik kekuasaan (al-sulthah), bukan kedaulatan (al-siyadah). Maksud rakyat memiliki kekuasaan di sini adalah rakyatlah yang berhak memilih serta mengangkat penguasa (dengan bai’ah). Hadis-hadis tentang bai’ah menunjukkan bahawa kekuasaan adalah milik umat, yakni bahawa bai’ah itu berasal dari kaum Muslimin untuk Khalifah, bukan dari Khalifah untuk kaum Muslimin. Di antaranya adalah sabda Nabi, “Kami telah membai’at Rasulullah untuk didengar dan ditaati, dalam hal yang kami sukai mahupun yang tidak kami sukai” [HR Bukhari]. Dalam hal ini (bai’ah), syara’ telah menetapkan bahawa orang yang wajib dilantik dan dibai’ah oleh rakyat adalah Khalifah seorang sahaja. Ada pun bagi jawatan-jawatan pemerintahan dan pentadbiran yang lain seperti Mu’awin at-Tafwidh, Mua’win at-Tanfiz, Wali, Amil, Qadhi, Masalih ad-Daulah dan lain-lain, mereka semua adalah dilantik oleh Khalifah, bukannya melalui bai’ah dari rakyat. Setelah dibai’ah, Khalifah jugalah merupakan satu-satunya orang yang berhak memilih dan menetapkan (mentabanni) hukum-hukum yang merupakan kewajiban atasnya bagi mengatur urusan rakyat. Nas-nas telah menetapkan bahawa hanya Khalifah sahajalah yang berhak mentabanni hukum-hukum syara’ sebagai undang-undang dasar (perlembagaan) dan undang-undang lainnya. Dalam hal ini, Khalifah bukanlah (dan tidak boleh sekali-kali) memegang kekuasaan Legislatif, sebab Khalifah tidak membuat hukum (undang-undang) sendiri, tetapi beliau diwajibkan mengambil hukum-hukum syara’ yang sedia terkandung dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
(iii) Dari segi pengqadhian (Judikatif), hak ini dipegang oleh Khalifah, atau orang yang dilantik oleh Khalifah untuk menjalankan kekuasaan tersebut. Dalam Islam, Khalifahlah yang mengangkat para qadhi (hakim) dan ini merupakan haknya sebagai Ketua Negara secara mutlak. Hal ini kerana nas-nas syara’ dengan jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu 'alahi wa Sallam sebagai Ketua Negara telah memegang sendiri urusan pengadilan (qadha’) ini. Dengan kuasanya sebagai seorang Ketua Negara, Rasulullah juga telah mengangkat Ali bin Abi Thalib sebagai qadhi di Yaman, dan mengangkat Abdullah bin Naufal sebagai qadhi di Madinah dan lain-lain lagi. Begitu jugalah apa yang dilakukan oleh Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali, semuanya pernah memegang secara langsung urusan pengadilan dan pernah juga melantik wakil dalam urusan ini. Ini semua adalah dalil yang menunjukkan bahawa kekuasaan Judikatif hanya terpusat di tangan seorang Ketua Negara (Khalifah) sahaja atau mereka yang dilantik oleh Khalifah dalam urusan ini. Jika diperhati dengan teliti akan nas-nas dalam hal ini, maka kita akan memahami bahawa Islam meletakkan kekuasaan hanya (berpusat) kepada seorang Ketua Negara sahaja dan Ketua Negara berhak (menurut syara’) campur tangan secara langsung dalam apa jua perkara atau mewakilkan kuasanya kepada yang lain. Pemerintahan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin jelas menunjukkan bahawa semua kuasa terpusat semata-mata kepada mereka sebagai Ketua Negara, dan dari merekalah kuasa itu diwakilkan kepada yang lain, sesuai dengan tuntutan syara’
Ketiga: Teori murni Trias Politica adalah agar semua kuasa tidak terpusat kepada satu orang/pihak dan dengan terpisahnya kekuasaan, proses check and balance boleh wujud di antara satu sama lain. Sekali imbas, memanglah nampak cantik idea yang dibawa ini, namun jika kita menggunakan akal yang diberikan Allah ini untuk berfikir lebih sedikit, maka kita akan tahu dan faham bahawa, konsep ini lahir dan diterima baik oleh masyarakat Barat kerana sebelumnya mereka telah sekian lama dizalimi oleh pemerintah/raja mereka yang memerintah dengan kuku besi dengan undang-undang yang diciptanya sendiri. Adapun Islam yang telah memerintah hampir dua pertiga dunia selama lebih 1300 tahun, tidak pernah timbul konsep dan keperluan untuk pengasingan kuasa, kerana undang-undang yang diterapkan itu adalah datangnya dari wahyu (pasti baik dan adil), bukan ciptaan pemerintah. Memang tidak dapat dinafikan adanya penguasa yang lalai dari tanggungjawab, tetapi dalam hal ini yang ‘buruknya’ adalah penguasa itu sendiri, bukan hukum (undang-undang Allah) yang diterapkannya. Islam mengajar kita bahawa apabila ada penguasa kaum Muslimin yang berlaku zalim, merampas hak-hak rakyat, melalaikan kewajiban mereka terhadap rakyat, melalaikan salah satu urusan rakyat, atau menyalahi hukum-hukum Islam, maka syara’ dalam hal ini telah memberikan penyelesaiannya, iaitu dengan mewajibkan kaum Muslimin untuk melakukan muhasabah dan amar ma’ruf nahi mungkar terhadap para penguasa, bukan melakukan pemisahan kekuasaan sebagaimana dalam konsep Trias Politica. Sabda Rasulullah:
“Akan ada para amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengakui perbuatan mereka, dan (ada yang) mengingkari perbuatan mereka. Siapa sahaja yang mengakui tindakan mereka (kerana tidak bertentangan dengan syara’), maka dia tidak diminta pertanggungjawabannya, dan siapa saja yang mengingkari perbuatan mereka (kerana bertentangan dengan syara’) maka dia selamat. Tetapi siapa saja yang redha (dengan tindakan mereka yang bertentangan dengan syara’) serta mengikuti mereka, maka dia berdosa. Para sahabat bertanya, ‘Apakah tidak kita perangi sahaja mereka?’ Jawab Nabi saw, ‘Tidak, selama mereka masih mendirikan solat (menegakkan hukum Islam)” [HR Muslim].
Rasulullah telah mewajibkan kaum Muslimin untuk memuhasabah penguasa dengan mengingkari mereka tatkala mereka melakukan penyimpangan, dengan berbagai cara yang memungkinkan, baik dengan tangan, lisan, mahupun qalbu (hati). Namun demikian, Islam tidak pernah mengaitkan masalah penyimpangan penguasa dengan masalah pemisahan kekuasaan. Penyimpangan penguasa telah dijelaskan (penyelesaiannya) oleh nas-nas syara’ tertentu, manakala masalah kekuasaan telah dijelaskan pula (penyelesaiannya) oleh nas-nas syara’ yang lain. Dan kaum Muslimin wajib mengambil penyelesaian yang betul (berdasarkan syara’) apabila penguasa menyimpang, yakni melakukan muhasabah dan amar ma’ruf nahi mungkar. Sebaliknya kaum Muslimin diharamkan mengambil penyelesaian yang tidak berasal dari syara’, seperti konsep Trias Politica. Ini adalah kerana Allah 'Azza wa Jalla berfirman, “Apa sahaja yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia dan apa sahaja yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah” [TMQ al-Hasyr (59):7].
Keempat: Antara kemarahan masyarakat Barat dahulu hingga menyebabkan lahirnya konsep Trias Politica ini adalah kedudukan pemerintah/raja mereka yang kebal (immune) dari segi undang-undang. Justeru, mereka memerlukan satu gagasan yang boleh mengekang kekuasaan mutlak raja-raja ini dan memberikan kepada rakyat hak untuk membuat undang-undang dengan pembahagian kuasa agar tidak wujud kemutlakan/pemusatan kuasa. Kedudukan ini berbeza dengan Islam kerana dalam agama Allah ini tidak ada seorang pun yang kebal (atau lebih tinggi) dari undang-undang Allah. Dalam pemerintahan Islam terdapat sebuah mahkamah khusus yang dikenali sebagai Mahkamah Mazhalim, yang khusus membicarakan segala kezaliman pemerintah dan juga segala persengketaan antara rakyat dan pemerintah. Mahkamah Mazhalim berhak memecat semua pegawai negara, termasuklah Khalifah sendiri jika dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan dari segi syara’. Pengadilan Mazhalim pada masa Rasulullah telah diselesaikan sendiri oleh baginda. Perkara yang sama juga dilakukan oleh Khalifah-khalifah selepas baginda sehinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan di mana Khalifah telah menyediakan tempat dan waktu yang khusus untuk menyelesaikan aduan kezaliman pemerintah sehingga menjadi struktur yang khusus yang di panggil Darul ‘Adli. Hanya Islamlah satu-satunya cara hidup yang menyediakan mahkamah khas untuk mengadili kesalahan pemerintah terhadap rakyat yang bersumber (muncul) dari wahyu, berbeza dengan konsep pengasingan kuasa (Trias Politica) hari ini yang hanya muncul semata-mata sebagai reaksi/kesan dari kezaliman pemerintah.
Berdasarkan fakta dan nas yang jelas, tidak diragukan lagi bahawa konsep Trias Politica sangat bertentangan dengan hukum-hukum Islam. Konsep Trias Politica tidak lain adalah konsep thaghut, padahal Allah telah mengharamkan kaum Muslimin untuk berhukum kepada thaghut atau mengambil konsep pemerintahan thaghut. FirmanNya, “...mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah (untuk) mengingkari thaghut itu. Dan syaitan (sentiasa) hendak menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):60].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Di dalam keadaan ramai umat Islam hari ini yang masih belum jelas tentang sistem pemerintahan Islam, ada baiknya kita renungkan sejenak kata-kata Profesor Dr. Fu'ad Mohamed Al-Nadi dari Universiti Al-Azhar, semasa beliau membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Pengertian Sistem Politik Islam dan Keistimewaan Berbanding Sistem Politik Semasa’ di dalam Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini. Menurut beliau, umat Islam perlu segera mempraktikkan sistem politik Islam seperti yang diwarisi pemerintahan cendekiawan Islam satu masa dahulu. “Masalah yang melanda negara Islam sebenarnya, hanya dapat diselesaikan dengan mempraktikkan sistem politik Islam. Ia lengkap. Cendekiawan Islam dahulu sudah membuktikan politik Islam menjamin kestabilan dan keamanan negara mereka... Ia jelas unik jika hendak dibandingkan dengan sistem politik lain. Oleh itu, pemerintahan Islam tidak boleh disamakan dengan mana-mana sistem politik lain walaupun ia jelas memperjuangkan demokrasi. Jangan samakan dengan yang lain. Jangan namakannya sistem demokrasi, sosialis mahupun liberal. Landasannya Islam. Ia unik dan jauh lebih istimewa jika hendak dibandingkan dengan sistem kontemporari yang ada," katanya [UM 18/02/08].
0 comments:
Post a Comment