ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


TIGA HARI DUA MALAM

TIGA HARI DUA MALAM



Kehangatan pilihan raya sudah semakin menghampiri kemuncak. Perang poster, perang mulut, perang propaganda dan segala jenis perang lagi sudah semakin rancak. Di sana-sini, isu yang menjadi perbincangan adalah pilihan raya, tentang siapa yang bertanding, di mana sianu dan sianu bertanding, siapa lawannya, siapa yang bakal menang, negeri mana yang akan jatuh ke tangan pembangkang dan sebagainya. Isu selain pilihan raya sudah menjadi isu yang kedua atau ketiga pentingnya. Jika dibincangkan isu lain sekalipun, yang akan dibincangkan hanyalah isu yang boleh memburuk-burukkan atau menjatuhkan parti lawan atau kredibiliti lawan masing-masing. Di samping ‘pihak lawan’ yang menjadi musuh tradisi, di saat ini jugalah wujudnya lawan dan musuh di kalangan sesama sendiri. Siapa sahaja yang gila kuasa, tetapi tiba-tiba tidak dicalonkan, maka adalah suatu yang lumrah di dalam politik Machiavelli yang diamalkan sekarang, orang itu akan menjadi musuh dalam selimut. Siapa sahaja yang paling banyak menabur wang ringgit, maka dialah biasanya yang akan menang. Pendek kata, menjelang 8 Mac ini, semua perkara yang haram boleh terjadi kerana ‘pertimbangan’ tertinggi yang akan ada pada setiap orang adalah ‘manfaat’, bukan lagi halal dan haram. Siapa sahaja yang ingin meraih manfaat akan sanggup melakukan apa sahaja dan siapa sahaja yang telah kehilangan manfaat pun akan sanggup melakukan apa sahaja. Halal dan haram ditolak ke tepi, manfaatlah yang menjadi galang ganti.

Di dalam kesibukan menyambut 8 Mac nanti, satu tarikh yang akan dilalui sebelum itu adalah 3 Mac. Satu tarikh yang semakin diingati oleh umat Islam di seluruh dunia, walaupun masih ada yang terlupa. Ya, 3 Mac ini menandakan genapnya 84 tahun keruntuhan Daulah Khilafah yang selama lebih 1300 tahun mendominasi politik dunia. 3 Mac 1924 bersamaan 28 Rajab 1342 H – tarikh pilu sejarah Islam di mana jatuhnya Daulah Islam (Daulah Khilafah), sebuah pemerintahan Islam yang telah dibina oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah dan disambung kewajipan (wujudnya)nya oleh Khulafa’ Rasyidin, kemudian diteruskan kesinambungannya oleh Khilafah Umayyah, Abbasiyyah dan yang terakhir Khilafah Uthmaniyyah. Sejak dari tumbangnya negara gergasi ini, seluruh dunia Islam telah dipecah-pecahkan dan dicerai-beraikan oleh musuh, hilang kesatuan, kekuatan dan kemuliaan yang selama ini mereka miliki. Negara-negara mereka mula berubah, dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besarnya. Dalam bab pemerintahan, mereka telah mengambil apa yang diatur oleh Barat, meninggalkan aturan Allah dan Rasul yang selama ini menjadi punca kemuliaan mereka. Barat telah mengatur bagaimana umat Islam sepatutnya memerintah negara, bagaimana cara membuat undang-undang, bagaimana cara berpolitik, cara berekonomi, cara berpakaian dan segala-galanya. Barat telah menetapkan bahawa negara mestilah (berdiri) berdasarkan ‘bangsa’ (nation-state), mesti terdapat dua dewan dalam pemerintahan untuk membuat undang-undang, membuat undang-undang pula mestilah berdasarkan suara majoriti, memilih kerajaan mestilah lima tahun sekali, umur baligh adalah 18 tahun, umur mengundi adalah 21 tahun dan banyak lagi yang Barat tetapkan bagi umat Islam. Semua ini telah diambil oleh umat Islam dari kuffar Barat dengan meninggalkan ketetapan Allah dan Rasul ke atas mereka. Barat menetapkan sebuah ‘dokumen suci’ kepada umat Islam, menggantikan Kitab suci yang dipegang oleh umat Islam selama ini. Akhirnya, mereka sanggup melanggar ketetapan Kitab Al-Quran dan Al-Hadis, tetapi tidak sanggup melanggar dan tunduk patuh kepada ‘dokumen suci’ yang ditentukan oleh golongan kuffar ke atas mereka. Inilah kehinaan yang telah menimpa umat yang suatu masa dahulu merupakan yang umat yang paling mulia di muka bumi.

Tempoh Pemerintahan Kerajaan Sekular vs Islam

Berdasarkan undang-undang yang dibuat oleh manusia di bawah sistem kufur-sekular di Malaysia, tempoh maksimum pemerintahan sesebuah kerajaan adalah selama lima tahun. Ini diperuntukkan oleh Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar”. Sejak digubal, peruntukan ini nampaknya tidak pernah mengalami pindaan atau dicabar oleh mana-mana orang Islam yang menjadi ahli Parlimen. Dengan kata lain, mereka tidak pernah mempertikaikan sama ada hal ini bersesuaian dengan hukum syara’ atau tidak. Semua nampaknya hanya tunduk patuh dan akur dengan apa yang terkandung di dalam dokumen yang dibuat oleh si kafir Lord Reid ini. Sebagai seorang Muslim, wajib bagi kita untuk melihat setiap perkara dari perspektif Islam, apatah lagi jika ia melibatkan suatu perbuatan yang akan kita lakukan. Kaedah syara’ menyebut bahawa “al-aslu fi al-af’al tuqayyidu bi hukmi al-syar’i” (asal sesuatu perbuatan itu adalah terikat dengan hukum syara’). Maksudnya, sebelum melakukan sesuatu perbuatan, kita hendaklah merujuk dahulu hukum syara’ mengenainya. Justeru, dalam masalah pemerintahan yang merupakan hal yang amat penting dalam Islam, rujukan kepada hukum syara’ terlebih lagi tidak boleh diabaikan.

Sistem pemerintahan Islam adalah sistem Khilafah. Ia berbeza sama sekali dengan sistem demokrasi buatan manusia yang ada sekarang. Sistem Khilafah berasal dari wahyu di mana Khalifah merupakan pemimpin tertinggi bagi seluruh umat Islam di dunia. Seorang Khalifah dibai’ah oleh umat Islam untuk memerintah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Ini bererti, selama mana ia memerintah berdasarkan syara’, maka ia tidak boleh dipecat atau dijatuhkan. Jawatan Khalifah ini tidak mempunyai masa yang tertentu atau dibatasi dengan waktu yang tertentu. Selama Khalifah masih tetap menerapkan syariah, melaksanakan hukum-hukum syara’ dan mampu untuk melaksanakan pelbagai tugas negara serta tanggungjawab kekhalifahan, maka dia tetap sah menjadi Khalifah. Ini kerana, redaksi bai’ah yang terdapat di dalam hadis-hadis, semuanya bersifat mutlak dan tidak terikat dengan jangka waktu tertentu. Hal ini didasarkan pada riwayat Imam al-Bukhari dari Anas bin Malik, dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, sabdanya, “Dengar dan taatilah pemimpin kalian sekalipun yang pemimpin kalian adalah seorang hamba hitam yang kepalanya seperti zabib” Dalam riwayat lain dari Imam Muslim dari jalan Ummu al-Husain dinyatakan pada akhirnya, “Selama ia masih memimpin kalian dengan Kitabullah”.

Selain redaksi hadis yang dinyatakan dengan jelas oleh Rasulullah, para Khulafa’ Rasyidin masing-masing telah dibai’at dengan bai’ah yang bersifat mutlak oleh kaum Muslimin. Kekhalifahan mereka tidak dibatasi dengan tempoh masa tertentu. Masing-masing dari Khulafa’ Rasyidin ini memimpin sejak dibai’ah sehinggalah mereka meninggal. Dengan demikian, hal ini telah menjadi Ijmak Sahabat yang menunjukkan bahawa jawatan kekhilafahan (pemerintahan) tidak mempunyai tempoh masa tertentu, tetapi bersifat mutlak. Kerana itu, jika seorang Khalifah dibai’at, ia tetap menjadi Khalifah sehinggalah ia meninggal, selama mana dia menerapkan hukum syara’. Akan tetapi, jika terjadi sesuatu pada Khalifah yang mengakibatkannya dipecat atau yang mengharuskan dirinya dipecat, maka jawatannya berakhir tatkala dia dipecat. Namun demikian, pemecatan dirinya bukanlah merupakan bentuk ‘pembatasan’ masa kekhilafahan (pemerintahan), tetapi hanyalah merupakan ‘kejadian’ berupa rosaknya syarat-syarat kekhilafahan. Ini adalah kerana redaksi bai’at yang telah ditetapkan berdasarkan nas hadis dan Ijmak Sahabat telah menjadikan Khilafah tidak terbatas waktunya. Khalifah hanya dibatasi masa dari segi ‘pelaksanaannya’ terhadap hukum syara’ (yang menjadi dasar pembai’atannya), di mana apabila dia sudah tidak lagi menerapkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah, maka hal ini akan menjadi ‘batas’ untuk dia dipecat atau dengan kata lain merupakan batas berakhirnya tempoh jawatannya sebagai Khalifah. Justeru, selama mana seorang Khalifah itu menerapkan hukum syara’, maka selama itulah tempoh jawatannya sebagai Khalifah kekal, dan dia wajib ditaati.

Selain ini, terdapat beberapa keadaan di mana jawatan Khalifah akan berakhir. Ini berlaku apabila seorang Khalifah itu telah kehilangan salah satu dari tujuh syarat in’iqad (kelayakan)nya, maka secara syar’inya dia tidak lagi layak menjawat jawatan kekhalifahan. Adapun ketujuh syarat in’iqad Khalifah itu adalah lelaki, Muslim, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu. Maknanya, jika Khalifah melakukan pertukaran jantina atau murtad, atau menjadi gila atau menjadi fasik, atau tidak lagi mampu dan seterusnya, maka hilanglah syarat in’iqadnya. Dalam kes ini, pihak yang memiliki autoriti untuk menetapkan pemecatan Khalifah hanyalah Mahkamah Mazhalim. Mahkamah Mazhalimlah yang berkuasa menentukan dan memecat Khalifah jika ia telah kehilangan salah satu syarat dari ketujuh syarat in’iqad di atas. Perkara ini (penentuan hilang atau tidak syarat kelayakan) adalah termasuk perkara yang memerlukan penetapan dan ia mesti di tetapkan di hadapan qadhi dan menurut Islam, Qadhi Mazhalimlah pihak yang berhak memutuskan perkara ini. Jadi, Mahkamah Mazhalim akan menentukan atau memutuskan sama ada Khalifah telah kehilangan (atau tidak) syarat in’iqad tersebut. Dalam keadaan di mana seorang Khalifah telah kehilangan syarat in’iqadnya, tetapi dia mengundurkan diri terlebih dahulu (sebelum dipecat), maka jawatannya berakhir di sini. Sementara dalam keadaan di mana kaum Muslimin berpandangan bahawa Khalifah wajib dipecat kerana hilangnya salah satu syarat in’iqad, sementara Khalifah menolak pandangan mereka dalam masalah ini, maka keputusannya dikembalikan kepada Qadhi Mazhalim, sesuai dengan firman Allah, “Sekiranya kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Al-Sunah)...” [TMQ an-Nisa’ (4):59].

Berdasarkan hukum syara’ yang jelas yang terbit dari sumber hukum yang tidak boleh dipertikaikan (Hadis dan Ijmak Sahabat), tempoh sesebuah pemerintahan/kerajaan tidak boleh (haram) dibatasi mengikut tempoh waktu yang tertentu. Oleh itu, pemerintahan mesti terus wujud tanpa boleh dibubarkan kecuali jika pemimpin (Khalifah) yang telah dibai’at oleh umat Islam itu telah tidak lagi menerapkan hukum Islam atau telah hilang syarat in’iqadnya. Kedudukan ini sama sekali berbeza dengan hukum sekular buatan manusia sekarang di mana sesebuah kerajaan itu ‘wajib’ dibubarkan mengikut jangka waktu yang telah ditetapkan oleh manusia dan di Malaysia, tempoh waktu (maksimum)nya adalah lima tahun. Inilah perkara yang amat menghiris hati kita, apabila umat Islam telah bergelumang dengan sistem demokrasi-kufur buatan manusia, maka qalbu mereka telah tertutup dari cahaya kebenaran. Dokumen/ketetapan yang dibuat oleh orang kafir ditaati tanpa dipertikai sedikit pun (hukumnya), manakala ketetapan Rasul dan Ijmak Sahabat dilanggari, malah dipertikai dan diubah (hukumnya), baik kerana kejahilan, kesombongan mahupun atas alasan maslahat.

Batas Waktu Kekosongan Kerajaan Sekular vs Islam

Selain membataskan jangka waktu ‘sah’nya sesebuah pemerintahan/kerajaan, Perlembagaan Malaysia juga memperuntukkan batasan waktu yang dibolehkan bagi ‘kekosongan’ sesebuah kerajaan. Perkara 55(4) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan, “Apabila Parlimen bubar, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu”. Dengan kata lain, fasal ini memberi ‘kebenaran’ batas waktu dibolehkan kosongnya pemerintahan adalah selama 60 hari (maksimum). Jadi, persoalan seterusnya adalah, adakah peruntukan ini bertepatan dengan Islam? Jika tidak, berapa lamakah batas waktu kekosongan pemerintahan yang dibenarkan oleh Islam? Adapun hukum tentang batas waktu kekosongan yang dibenarkan oleh Islam ini boleh diistinbat (digali) dari perbuatan sahabat setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah kewafatan Rasulullah, para sahabat telah berhimpun di Saqifah Bani Saidah dan masing-masing telah menyibukkan diri dalam usaha untuk melantik seorang pemimpin pengganti Rasulullah. Mereka semua sibuk melakukan hal itu dari menguruskan pengebumian jenazah Rasulullah sendiri sehingga jenazah baginda telah tertangguh (pengebumiannya). Hanya setelah Abu Bakar di bai’at oleh kaum Muslimin sebagai Khalifah, kemudian barulah urusan pemakaman jenazah Rasulullah diselesaikan. Peristiwa ini mengambil masa selama 3 hari 2 malam.

Semasa Umar merasakan ajalnya sudah semakin dekat, dia telah mewasiatkan (pemilihan Khalifah) kepada ahlu syura dan telah menentukan batas waktunya selama tiga hari. Umar berkata bahawa jika dalam masa tiga hari belum ada kesepakatan terhadap (pelantikan) seorang Khalifah, orang yang tidak sepakat mesti dibunuh. Umar seterusnya mewakilkan kepada 50 orang dari kaum Muslimin untuk memastikan pelaksanaan hal itu (membunuh orang yang tidak sepakat), padahal mereka itu adalah ahli syura dan termasuk di antara sahabat yang terkenal. Semua ini dilihat dan didengar oleh para sahabat dan tidak diberitakan adanya seorang pun dari mereka yang mengingkari atau menentang apa yang Umar katakan. Dengan demikian, ini telah menjadi Ijmak Sahabat bahawa adalah haram bagi kaum Muslimin untuk tidak memiliki Khilafah lebih dari tiga hari dua malam. Kesepakatan para sahabat (Ijmak Sahabat) ini adalah termasuk sumber hukum yang wajib kita ambil sebagaimana kita mengambil Al-Quran dan juga Al-Hadis. Kisah pengangkatan Uthman sebagai Khalifah menguatkan lagi dalil tiga hari dua malam ini di mana Imam Bukhari telah menuturkan riwayat dari jalan al-Miswar bin Mukhtimah yang mengatakan, “Abdul Rahman bin Auf pernah mendatangiku setelah tengah malam. Ia mengetuk pintu hingga aku terbangun. Ia lalu berkata, ‘Apakah kamu lebih memilih tidur? Demi Allah, janganlah engkau melewati tiga malam ini dengan banyak tidur’. Ketika solat subuh pembai’atan Uthman berlangsung dengan sempurna.”

Oleh itu, pada saat jawatan Khalifah mengalami kekosongan, kaum Muslimin wajib segera menyibukkan diri, berusaha bersungguh-sungguh untuk membai’at (mengangkat) seorang Khalifah dalam masa tiga hari dua malam. Jika tidak, mana-mana Muslim yang berdiam diri dari kewajiban ini akan berdosa dan terus berdosa sehinggalah terlantiknya seorang Khalifah yang akan memimpin mereka semua. Dalil tentang batas waktu tiga hari dua malam (tentang kewajipan membai’at seorang Khalifah) merupakan sebuah Ijmak Sahabat yang teramat jelas. Seorang Muslim tidak boleh melewati malam yang ketiga sedangkan di pundaknya masih tidak terdapat tanggungjawab bai’ah kepada Khalifah. Sekiranya telah lebih dari tiga hari dua malam dan kaum Muslimin masih belum berjaya mengangkat seorang Khalifah, maka hal ini perlu diperhatikan – jika kaum Muslimin tetap sibuk bersungguh-sungguh berusaha untuk mengangkat seorang Khalifah, namun masih belum berjaya (disebabkan faktor di luar kemampuan mereka), maka gugurlah dosa dari mereka. Ini kerana mereka telah berusaha untuk menunaikan kewajipan tersebut, namun kerana ‘keterpaksaan’ (faktor luar yang tidak dapat dielak), mereka masih gagal menyempurnakannya. Hal ini sesuai dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan Ibn Majah dari Ibn Abbas, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah mengampuni dosa dari umatku (kerana) tersalah (tidak sengaja), terlupa dan keterpaksaan”.

Adapun bagi mereka yang tidak sibuk berusaha untuk mengangkat Khalifah, maka mereka akan menanggung dosa sehinggalah Khalifah berhasil dilantik. Ketika Khalifah telah diangkat, maka barulah dosa itu gugur dari mereka, namun dosa mereka sebelum itu (sebelum terangkatnya Khalifah) tetap tertanggung ke atas mereka. Segala dosa mereka selama tempoh mereka berdiam diri (sehingga terlantiknya seorang Khalifah) tersebut, semuanya akan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sesungguhnya mereka (selama tidak terangkatnya Khalifah) telah memaksiati Allah kerana telah meninggalkan satu kefardhuan yang jelas dan qath’i hukumnya. Justeru, dosa ini mereka akan pikul hinggalah ke hari Kiamat dan Allahlah Satu-Satunya Zat yang layak dan berhak menghukum mereka di akhirat kelak, na’uzubillah min zalik. Berdasarkan Ijmak Sahabat yang jelas, maka tempoh waktu yang dibenarkan oleh Islam untuk wujudnya kekosongan pemerintahan hanyalah tiga hari dua malam sahaja, tidak boleh lebih dari itu. Ketetapan ini berbeza sama sekali dengan ‘Ijmak Ahli Parlimen’ sekarang yang bersetuju dengan tempoh masa 60 hari bagi kekosongan sesebuah pemerintahan. Ingatlah wahai kaum Muslimin! Dari siapakah kalian ingin mengambil urusan agama ini jika bukan dari para sahabat yang mulia yang Allah telah redha kepada mereka dan telah dijamin oleh Allah akan memasuki syurga-syurgaNya? Atau adakah kalian ingin mengambil urusan agama ini dari ahli Parlimen yang telah merubah hukum Allah dengan tangan-tangan mereka? Na’uzubillah min zalik

Kedudukan Amir Sementara

Islam telah memperincikan bukan sahaja hukum tentang jangka waktu pemerintahan dan batas waktu kekosongannya, malah Islam turut merincikan apakah yang wajib dilakukan oleh umatnya di dalam tempoh tiga hari dua malam tersebut. Seorang Khalifah, apabila merasa ajalnya semakin hampir, memiliki hak untuk melantik seorang amir sementara. Ia boleh melakukan hal ini dalam rangka untuk menangani urusan umat Islam sementara menyelesaikan proses pengangkatan Khalifah yang baru. Amir sementara ini mesti terus memulakan tugasnya sebaik sahaja Khalifah sebelumnya meninggal dan tugas pokok amir sementara ini adalah untuk menuntaskan masalah pelantikan Khalifah yang baru dalam masa tiga hari dua malam (setelah meninggalnya Khalifah tersebut). Bagaimana pun, amir sementara ini tidak boleh mentabanni suatu hukum, sebab mentabanni hukum ini merupakan autoriti Khalifah yang dibai’at oleh umat. Demikian juga, amir sementara ini tidak boleh mencalonkan dirinya sendiri untuk menduduki jabatan kekhilafahan atau mendukung mana-mana calon yang ada. Hal ini di ambil dari perbuatan Umar al-Khattab yang telah menunjuk amir sementara itu dari selain mereka yang dicalonkan untuk menduduki jabatan kekhalifahan di saat merasakan ajalnya semakin hampir. Jawatan amir sementara ini berakhir setelah diangkatnya Khalifah yang baru, sebab tugasnya memang hanya sementara waktu, bagi menguruskan pelantikan Khalifah yang baru itu.

Dalil yang menunjukkan kedudukan tersebut, seperti yang disebutkan sebelum ini, adalah perbuatan Umar yang menunjuk (mengangkat) Suhaib sebagai amir sementara di mana Umar berkata kepada para calon, “Agar Suhaib memimpin solat bersama kalian selama tiga hari, yakni selama kalian bermusyawarah”. Kemudian Umar berkata kepada Suhaib, “Pimpinlah oleh kamu orang-orang untuk menunaikan solat selama tiga hari”. Beliau lalu sampai pada perkataan, “Jika kelima orang calon telah bersepakat terhadap seseorang, sedangkan yang menolak satu orang, maka penggallah leher orang itu dengan pedang...”. Ini bererti bahawa Suhaib telah ditunjuk sebagai amir sementara bagi mereka. Ini adalah kerana ia telah ditunjuk sebagai amir solat, sementara kepimpinan dalam solat bermakna kepimpinan atas manusia. Sebab lainnya, kerana ia telah diberi autoriti untuk menjalankan uqubat (berdasarkan perkataan Umar “penggallah lehernya”), sementara tidak ada orang yang boleh melaksanakan uqubat (hukuman bunuh) kecuali amir.

Perkara itu telah terjadi di hadapan para sahabat tanpa ada seorang pun yang mengingkarinya. Kerana itu, ketentuan tersebut menjadi Ijmak Sahabat bahawa Khalifah memiliki hak untuk mengangkat seorang amir sementara yang bertugas melangsungkan pemilihan Khalifah yang baru. Berdasarkan hal ini, maka selama pemerintahannya, Khalifah berhak mentabanni ketetapan bahawa jika Khalifah meninggal dunia dan belum menunjukkan amir sementara untuk melangsungkan pengangkatan Khalifah yang baru, hendaknya diangkat seseorang menjadi amir sementara. Seperkara lagi yang perlu diperhatikan adalah bahawa amir sementara ini berbeza kedudukannya dengan orang yang ditunjuk oleh Khalifah (wakil) untuk mewakili dirinya ketika ia keluar untuk berjihad atau keluar melakukan perjalanan, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah setiap kali baginda keluar berjihad atau ketika baginda keluar melaksanakan haji wada’ atau yang semisalnya. Wakil Khalifah dalam keadaan seperti ini bertugas menjalankan autoriti sesuai dengan akad wakalah yang ditentukan oleh Khalifah baginya dalam menjalankan pengaturan berbagai-bagai urusan (ri’ayah asy-syu’un), berbeza dengan kedudukan amir sementara yang dilantik hanya untuk menyelesaikan urusan pengangkatan seorang Khalifah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa Khalifah yang terakhir bagi kita semua telah pun dijatuhkan oleh Mustafa Kamal laknatullah pada 3 Mac 1924 (28 Rajab 1342 H). Sejak itu, sudah tidak ada lagi Khalifah bagi kita semua di dunia ini. Ini bermakna sudah 84 tahun kita semua hidup tanpa adanya seorang Khalifah yang memimpin urusan umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu, berdasarkan nas yang jelas, mana-mana Muslim yang berdiam diri dan tidak berusaha untuk mengangkat Khalifah atau mewujudkan semula Daulah Khilafah sejak tiga hari selepas 3 Mac 1924, maka kesemuanya berdosa kerana telah meninggalkan sebuah kewajiban. Dosa ini hanya terangkat (terhapus) dari kaum Muslimin yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkannya, namun masih belum berhasil kerana faktor-faktor ‘keterpaksaan’ yang mereka alami. Tidak ada seorang pun yang akan terbebas dari dosa ini kecuali kaum Muslimin yang aktif berjuang dengan sebenar-benar dan setinggi-tinggi kesungguhan dan keikhlasan untuk mewujudkan kembali Khilafah yang telah hilang ini. Hanya dengan ini sahajalah mereka akan terselamat dari dosa besar seperti mana yang dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,

“Barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’ah (kepada Khalifah) maka ia mati seperti kematian Jahiliyyah” [HR Muslim].

Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR