GAZA - HTM SERAH MEMO KEPADA ATM
GAZA - HTM SERAH MEMO KEPADA ATM
Berucap di hadapan lebih 1,000 jemaah, Ustaz Umar Hussien, Naib Presiden HTM dengan lantang dan penuh semangat menyeru Angkatan Tentera Malaysia untuk menyahut seruan jihad yang sedang memanggil di Gaza. Di dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penyelesaian sebenar yang perlu diambil oleh penguasa kaum Muslimin adalah dengan menghantar tentera untuk menggempur tentera Israel yang sedang bermaharajalela tanpa sedikit pun tentangan oleh mana-mana negara atau tentera kaum Muslimin. Keganasan dan kebiadaban Yahudi di Gaza saat ini tidak akan dapat diselesaikan kecuali dengan satu-satunya jalan yakni pasukan tentera mestilah dihantar ke sana bagi melawan musuh Allah yang juga merupakan musuh umat Islam iaitu Yahudi laknatullah. Kekuatan mestilah dilawan dengan kekuatan dan perang mestilah dijawab dengan perang, bukannya dengan ubat-ubatan atau pemboikotan semata-mata.
Sebelum dari itu, khutbah Jumaat di Masjid Khalid Al-Walid juga menyentuh isu pembunuhan di Gaza di mana Khatib dengan penuh semangat menceritakan bagaimana lahirnya negara haram Israel. Khatib telah berapi-api mengutuk kekejaman yang telah dilakukan oleh tentera Israel yang telah dibidani kelahirannya oleh rejim kuffar British melalui Perjanjian Balfour. Sayangnya, walaupun berkhutbah di hadapan ratusan pegawai tentera, Khatib telah gagal memberikan penyelesaian yang hakiki kepada masalah Palestin apabila mencadangkan agar umat Islam menambahkan ilmu berkenaan sejarah dan mengikis fahaman negatif terhadap apa yang berlaku, bertawakal dan menghilangkan penyakit 'wahn' (cinta dunia dan takut mati) dan akhir sekali penyelesaian praktikal yang dicadangkan adalah dengan melakukan pemboikotan, pameran dan membangunkan jiwa umat untuk bergerak.
Hizbut Tahrir Malaysia menyatakan dengan jelas dan lantang di dalam seruannya selepas solat Jumaat yang diadakan di hadapan masjid tersebut bahawa satu-satunya penyelesaian yang hakiki bagi masalah Palestin sekarang adalah dengan bergeraknya tentera untuk berjihad fi sabilillah, tentera mesti terjun langsung ke medan perang dan melawan tentera-tentera Israel yang sedang mengganas membunuh saudara-saudara kita, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa di bumi Palestin.
Ustaz Isa Abdullah, salah seorang aktivis HTM menyambung ucapan dan mengingatkan para tentera bahawa berapa ramai anak-anak yang telah kehilangan ayah dan ibu, isteri-isteri yang kehilangan suami dan banyak lagi kesengsaraan lainnya yang berlaku di Gaza, malah umat Islam di sana kini sedang menggigil di dalam kesejukan malam di musim dingin di Gaza kerana rumah tempat mereka berlindung telah hancur musnah di bom oleh tentera rejim haram Israel. Beliau seterusnya mengingatkan bahawa tentera kaum Muslimin sebenarnya kuat serta kemenangan atau syurga sedang menanti mereka di Gaza. Malangnya pemerintah yang ada telah memasung kekuatan tentera Malaysia dengan langsung tidak menggerakkan tentera untuk berjihad, sebaliknya para tentera hanya ‘digunakan’ tujuan perhiasan dan pertunjukan semata-mata.
Selesai ucapan di hadapan masjid Khalid al-Walid tersebut, HTM bersama sebahagian dari para jemaah terus bergerak ke pintu utama Kementerian Pertahanan Malaysia bagi tujuan menyerahkan memorandum kepada Panglima ATM. Sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang 15 minit, slogan jihad yang ditujukan kepada tentera dilaungkan seperti “Aina jundul Muslimin! Li Tahriri Falastin” (Di mana tentera Muslimin! Untuk membebaskan Palestin) “Khaibar Khaibar Ya Yahud! Jaisyu Muhammad Saufa Ya’ud” (Khaibar Khaibar Wahai Yahudi! Tentera Muhammad Akan Datang). Slogan lain yang menaikkan semangat umat Islam berserta kalimah tauhid dan takbir turut dikumandangkan hinggalah tiba ke pintu pagar utama Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah).
Sebaik tiba di depan Kementah, Ustaz Umar Hussien memberikan taklimat ringkas dan meminta agar para peserta menjaga tatatertib dan tidak menghalang lalu lintas. Kalimah tauhid dan takbir terus dikumandangkan di sepanjang acara penyerahan.
Ustaz Abdul Hakim Othman, Presiden Hizbut Tahrir Malaysia telah mengetuai delegasi umat untuk menyampaikan memorandum kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Beliau turut diiringi oleh Ustaz Umar Hussien, Sdr Tarmizi Salleh dan Sdr Norazaman Mustafar yang merupakan AJK Pusat HTM.
Memorandum HTM mengingatkan ATM bahawa satu-satunya penyelesaian terhadap apa yang berlaku di Gaza sekarang adalah dengan menggerakkan pasukan tentera kita ke sana. Bukan sekadar ATM, malah angkatan tentera kaum Muslimin di seluruh dunia wajib digerakkan ke sana sekarang bagi menghadapi Israel. HTM turut mengingatkan bahawa senjata yang ATM miliki bukanlah untuk perhiasan dan latihan semata-mata tetapi perlu digunakan untuk menyelamatkan saudara-saudara kita di Palestin dan perlu digunakan untuk membunuh musuh-musuh Allah.
Penguasa kaum Muslimin telah melakukan jenayah yang besar dengan tidak menggerakkan tentera ke sana, malah mereka telah mengkhianati umat Islam dengan berharap kepada organisasi kufur seperti PBB bagi menyelamatkan Palestin, walhal PBBlah yang telah ‘melahirkan’ Israel dan PBBlah yang selama ini menjaga Israel melalui Amerika Syarikat.
Memorandum HTM mengobarkan semangat jihad kepada ATM untuk menyelamatkan kaum Muslimin Palestin dari terus dibedil dan dibom oleh tentera Yahudi laknatullah. HTM mengingatkan bahawa tenteralah golongan yang layak dan berkeupayaan untuk melaksanakan kewajipan ini. Pihak tentera dinasihatkan supaya tidak mendukung para pemimpin yang pengecut yang telah mengkhianati kaum Muslimin. HTM menekankan bahawa jihad adalah satu-satunya penyelesaian sebenar kepada masalah ini dan sekiranya ia dilancarkan, Insya Allah saudara-saudara kita di Palestin akan dapat diselamatkan dan Israel akan berjaya dihancurkan. Ini kerana, apabila tentera kaum Muslimin berjihad kerana menyahut seruan Allah, maka Allah dan para malaikat akan bersama dengan mereka. Firman Allah,
“Perangilah mereka dan Allah akan mengazab mereka dengan tangan-tangan kalian dan menghinakan mereka serta membantu kalian mengalahkan mereka dan Allah akan melegakan hati-hati kaum Mukminin” [TMQ at-Taubah (9):14].
Oleh kerana situasi ini tidak biasa dihadapi oleh pihak ATM dan mungkin kerana urusan protokol ATM yang ketat, maka delegasi yang diketuai oleh Ustaz Abdul Hakim terpaksa menunggu agak lama sebelum memorandum berjaya diserahkan. Pada mulanya, HTM diberitahu bahawa Panglima ATM telah dimaklumi akan apa yang sedang berlaku dan beliau akan turun sendiri atau akan menghantar wakilnya untuk menerima memorandum tersebut. Setelah menunggu sejenak, kedua-dua pintu pagar utama (masuk dan keluar) terus ditutup dan delegasi serta para peserta terpaksa menunggu agak lama. Ucapan dan laungan takbir terus berkumandang di hadapan Markaz Angkatan Tentera itu sementara menunggu ketibaan Panglima ataupun wakilnya.
Akhirnya, tiada tanda-tanda yang Panglima atau wakilnya akan turun, dan delegasi HTM diminta agar meninggalkan tempat tersebut, tanpa menyerahkan memorandum. Setelah beberapa perbincangan dilakukan, akhirnya beberapa orang staff ATM yang ada di situ sanggup menerima memorandum tersebut bagi pihak Panglima ATM. Terima kasih kami ucapkan kerana akhirnya ada staff tentera yang ‘berani’ menerima sepucuk memorandum dari HTM.
Alhamdulillah, proses penyerahan memorandum berjalan lancar. HTM mengharapkan agar memorandum tersebut benar-benar akan sampai kepada Panglima ATM ataupun kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri selaku Menteri Pertahanan.
Lebih kurang jam 3.00 petang, majlis bersurai dengan bacaan doa oleh Ustaz Isa, memohon bantuan dari Allah SWT supaya menyedarkan tentera Malaysia dan memohon agar Allah SWT membantu tentera Malaysia dan tentera kaum Muslimin lainnya bagi menghancurkan Israel sekiranya mereka berjihad ke Palestin. Sekiranya mereka tidak bergerak, HTM memohon doa kepada Allah agar menggantikan kerajaan yang ada dengan sebuah negara Khilafah, yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunah RasulNya dan yang akan menghantar tentera untuk berjihad mengalahkan musuh-musuh Allah dan membebaskan kaum Muslimin di seluruh dunia dari cengkaman musuh. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
0 comments:
Post a Comment