ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


DARFUR DI MULUT HARIMAU

DARFUR DI MULUT HARIMAU



Presiden Sudan, Omer Hassan Al-Bashir telah meminta dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) turut campur tangan dalam pergolakan di Darfur bagi mengelakkan Sudan menjadi mangsa tekanan kuasa-kuasa Barat. Dalam ucapannya pada mesyuarat delegasi Sudan-Malaysia di Balai Persahabatan yang terletak di tebing Sungai Nil Biru, Omer memberitahu Abdullah bahawa kuasa-kuasa Barat menyokong elemen-elemen yang menentang pelaksanaan persetujuan damai bagi menangani konflik di Darfur [UM 17/04/07]. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuat lawatan mengejut ke wilayah Darfur di barat Sudan meninjau sendiri keadaan keselamatan di situ selain bertemu pelarian-pelarian di daerah Al-Fashir yang terletak di Darfur Utara, tidak jauh dari sempadan Sudan-Chad di tengah benua Afrika. Dalam sidang akhbar pada akhir lawatan itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pembangunan menjadi isu kritikal dalam proses damai di wilayah berkenaan dan beliau berjanji akan menggunakan platform OIC untuk memastikan sokongan diberikan kepada usaha kerajaan Sudan dalam melaksanakan perjanjian damai komprehensif di Darfur. Menurut beliau, “Usaha-usaha perlu dibuat bagi mewujudkan situasi menggalakkan pelarian kembali ke kampung halaman dengan membina sekolah, bekalan air, perubatan, jaminan hidup dalam damai, keselamatan dan insentif lain,” [UM 18/04/07].



Terbaru, laporan dari New Delhi menyebut bahawa Menteri-menteri Luar dari negara-negara Islam akan bermesyuarat di Islamabad, Pakistan dalam beberapa hari akan datang untuk meneliti keadaan dan hal ehwal dunia Islam. Sesi ke-34 Persidangan Menteri-menteri Luar Islam (ICFM) juga akan merumuskan draf agenda bagi sidang kemuncak OIC Ke-11 akan datang di Dakar, Senegal, lewat tahun ini. Isu yang tidak selesai dalam landskap OIC terus menjengkelkan pemerhati yang berharap penyelesaian berkekalan dicapai, antara lain kebinasaan akibat perang di Afghanistan dan Iraq, krisis Darfur di Sudan dan Somalia [UM 15/05/07]. ‘Lebih sudu dari kuah’ – Inilah hakikat pertemuan demi pertemuan yang dibuat oleh negara-negara umat Islam yang bergabung di bawah OIC. Kata-kata hebat seperti ‘negara-negara Islam’, ‘sidang kemuncak’ dan ‘penyelesaian berkekalan’ adalah amat sedap didengar, menggambarkan seolah-olah ‘penyelesaian hakiki pasti akan dapat dicapai dengan sidang kemuncak yang diadakan oleh negara-negara Islam.’ Segala-galanya hanyalah indah khabar dari rupa. Berjuta wang umat Islam telah dihabiskan, beratus ribu nyawa umat Islam melayang setiap tahun dan darah mereka tak pernah berhenti mengalir ke bumi dan apa yang pemimpin kaum Muslimin ulangi saban tahun ialah bersidang dan terus bersidang. Yang pasti, pemimpin umat Islam dan OIC sememangnya ‘juara selama-lamanya’ di dalam menganjurkan mesyuarat dan persidangan.



KRISIS DARFUR




Pergolakan di Darfur, Sudan telah mengundang perhatian banyak pihak sejak beberapa bulan lepas. Menilai kedudukannya sebagai sebuah negara di Benua Afrika, agak mengejutkan apabila ia mendapat liputan meluas di media Barat. Tambah mengejutkan, apabila ia telah menjadi titik perhatian ahli-ahli politik Barat, khususnya George Bush dan Tony Blair dan jika dipandang dari sudut hal ehwal luar negara (foreign affairs), ia seolah-olah menjadi perhatian kedua mereka setelah Iraq. Fakta bahawa kedua-dua orang pengganas ini semakin menunjukkan minat yang mendalam dalam isu ini sudah cukup untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap apa yang berlaku. Tuduhan mudah yang dilontarkan oleh media Barat adalah bahawa salah satu dari rejim di Sudan membekalkan senjata kepada militan ‘Arab’ (puak Janjaweed) untuk menyerang penduduk asal Darfur yakni puak ‘Black African’. Regim Amerika Syarikat (AS) malah membuat dakwaan yang lebih jauh dengan menggelar aksi ini sebagai pembunuhan etnik (genocide) oleh puak rejim Sudan. Bagi mereka yang buta politik atau yang mengambil AS sebagai ‘wali’, maka mereka akan mengatakan hal yang sama sebagaimana yang dikatakan oleh AS. Walhal, bagi seorang yang berpemikiran sederhana sahaja, dengan hanya memandang apa yang telah dilakukan oleh AS di Iraq, maka mereka tidak akan mendengar dan mempercayai tuduhan ini dengan membabi buta.



Memang benar bahawa peperangan sedang berlaku di Darfur. Malah banyak agensi bantuan (yang dihantar) menganggarkan ratusan ribu telah terkorban. Angka korban dianggarkan berjumlah di antara 50,000–200,000. Lebih kurang 2.5 juta orang pula telah menjadi pelarian. Meskipun begitu, media Barat dan komuniti antarabangsa memilih untuk tidak memperdulikan fakta di sekitar konflik yang sedang berlaku di salah sebuah negara strategik dunia Islam ini.


Kita perlu mengakui hakikat bahawa rejim Sudan, Janjaweed atau militan Arab dan golongan pemberontak di Darfur ini kesemuanya adalah Muslim. Janjaweed merupakan keturunan puak Baggra (‘Baqqarah’ dalam Bahasa Arab), yang paling ramai adalah terdiri dari golongan Badwi. Manakala puak pemberontak merupakan keturunan Fur, Zaghawa dan Massaleit. Rejim Sudan sebenarnya telah lama berperang dengan puak pemberontak dari keturunan-keturunan ini. Konflik ini bermula pada tahun 2003 apabila puak pemberontak mula menyerang rejim Sudan setelah mendakwa Khartoum mengabaikan (tidak mempedulikan) kawasan mereka. Ketika itu terdapat dua kumpulan pemberontak yang utama iaitu Sudan Liberation Army (SLA) dan Justice and Equality Movement (JEM). Konflik ini juga telah merentasi sempadan Chad dan menjadi perang saudara dengan kedua-dua pihak saling menuduh pihak yang satu lagi menyokong puak pemberontak.



Puak pemberontak ini sendiri nampaknya tidak sehaluan. SLA dan JEM telah bersatu menjadi National Redemption Front dipimpin oleh bekas Gurbenur Darfur. Setelah SLA berpecah, puak yang lebih besar dipimpin oleh Minni Minnawi, yang telah bersetuju terhadap Perjanjian Damai Darfur [Darfur Peace Agreement (DPA)] dengan rejim Sudan pada bulan Mei 2006. Sebahagian yang lain terus memberontak. Apa pun, kesemua mereka adalah Muslim. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan ‘perang saudara’ (civil war) di Sudan dahulu di mana ia berlaku di antara kaum Muslim di bahagian Utara Sudan dengan kaum Kristian di sebelah Selatan. Oleh itu, dakwaan bahawa konflik ini adalah di antara golongan ‘Arab’ dan ‘Afrika’ adalah tidak tepat dan sengaja disalah tafsirkan. Ini kerana kesemua mereka adalah golongan black African, penduduk asal kawasan tersebut dan beragama Islam. Sudan mempunyai penduduk seramai lebih kurang 40 juta yang mana 70% darinya adalah beragama Islam, terdiri dari 80 etnik yang berbeza-beza, bercakap bahasa yang berlainan termasuk Arab. Dari jumlah ini, 8 juta tinggal di Darfur.


LATAR BELAKANG KRISIS



Dengan mengkaji sejarah Sudan, kita akan memahami apakah punca krisis Darfur dan juga lain-lain masalah yang berlaku di Sudan sekarang ini. Sudan mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1956 yang mana sebelum itu, ia diperintah oleh pasukan proksi Anglo-Egyptian pada tahun 1899 setelah kekalahan pasukan Mahdi. Mesir sendiri pada waktu itu masih di dalam jajahan takluk British. Darfur ditakluki oleh British pada tahun 1916 yang mana setelah itu, segala kekayaan dari Khartoum telah dihabiskan oleh British. Keadaan ini telah menimbulkan ketidakseimbangan ekonomi yang dahsyat di Darfur khususnya dan Sudan secara keseluruhannya.



British telah menerapkan beberapa polisi bagi memastikan undang-undang dan kolonialisasi mereka kekal di Sudan. Mereka membahagikan Sudan kepada dua, iaitu bahagian Utara dan Selatan. Mereka membangun dan memajukan bahagian Selatan sementara bahagian Utara di anak tirikan. Mereka menghalang penduduk dari Utara memasuki bahagian Selatan. British seterusnya menyekat amalan dan perkembangan Islam, sebaliknya memperkenal dan menggiatkan ajaran Kristian (missionaries). Mereka berusaha meniupkan semangat nasionalisme dengan menghidupkan semula apa yang mereka panggil sebagai ‘penduduk asli Afrika’. Yang paling penting, di antara tahun 1920-1930an, mereka berusaha memerintah secara tak langsung dengan memperkuatkan ketua-ketua kampung yang mudah dipengaruhi di bahagian Utara dan ’pihak pemberontak’ di bahagian Selatan. Ini dilakukan agar sistem pemerintahan Sudan tetap lemah dan terpecah-belah.



Sebagaimana di dalam konflik-konflik yang lain, kemiskinan merupakan salah satu isu yang menyelubungi konflik sekarang, ditambah pula oleh sifat perkauman/kebangsaan (nasionalisme) penduduk Darfur. Setelah mencapai kemerdekaan, Sudan mengalami perang saudara yang pertama. Pada tahun 1970, Sudan berjaya keluar dari kemelut ini, lalu menerapkan polisi ke arah lebih membebaskan diri dari Barat. Bagaimanapun, keamanan tidak kekal lama dan pada tahun 1983, perang saudara tercetus semula sehinggalah berakhir pada tahun 2003. Semasa konflik ini, AS telah menyokong pasukan pemberontak Kristian. Sejurus selepas perjanjian keamanan dipersetujui untuk menamatkan perang saudara yang kedua ini, konflik Darfur terus meletup. Sejarah kedaulatan Sudan yang begitu pendek ini menyaksikan hanya sedikit keamanan, itupun dengan kehadiran pasukan tentera dari luar yang memainkan peranan penting di dalam menstabilkan negara yang kaya dengan sumber alam dan sangat strategik ini.



BEBERAPA FAKTA LAIN



Salah satu fakta penting yang tidak diberi liputan meluas oleh media Barat ialah kedudukan Darfur yang kaya dengan minyak, begitu juga dengan bahagian selatan Sudan. Minyak Darfur menyumbangkan hasil sebanyak USD4 billion kepada rejim Sudan, lebih separuh dari pendapatan rejim. Fakta lain yang utama ialah rejim Sudan sekarang ini mempunyai hubungan rapat dengan China, sebuah negara yang mempunyai kepentingan minyak di Darfur. Sudan membekalkan sebanyak 10% dari import minyak China. AS pula mempunyai kepentingan minyak di negara jiran Sudan, Chad, namun telah kehilangan peluang mereka di Sudan.



‘Alangkah hebatnya’ media internasional Barat yang benar-benar mengambil berat tentang persoalan kemanusiaan di Darfur, tetapi boleh terlepas pandang isu mengenai perebutan minyak antara China dan Amerika. Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada jiran sebelah selatan Sudan, Uganda, yang turut tersepit dengan konflik dalaman yang disebabkan oleh golongan pemberontak Kristian Lord’s Resistance Army di mana pembunuhan etnik sedang berleluasa. Mereka boleh terlepas pandang kepada puak pemberontak tersebut yang beroperasi di Sudan Selatan seolah-olah tidak seorang pun menyedari akan hal ini. Seperti juga negara-negara membangun yang lain, Sudan juga terdedah kepada kuasa-kuasa luar mengeksploitasi kekeruhan dalaman dan menimbulkan pemberontakan dalam usaha menjaga kepentingan mereka. Kita tertanya-tanya bagaimana puak pemberontak nampaknya mempunyai cukup wang dan boleh lengkap bersenjata? Jika Amerika boleh ‘menciptakan’ satu suasana untuk menakluk Iraq dan seterusnya melancarkan perang terhadap Iraq dan menjajahnya kerana minyak, tidakkah kita terfikir bahawa ia boleh dan akan melakukan perkara yang sama di Darfur?



Selain China, Malaysia juga turut mempunyai kepentingan minyak di Sudan. Petronas telah melabur lebih RM5 bilion di Sudan dan mempunyai lebih 300 orang pekerja dan keluarga mereka di negara ini. Sehingga sekarang Petronas masih terlibat dalam usaha cari gali dan pengeluaran minyak di beberapa lokasi pinggir pantai dan daratan di wilayah selatan Sudan. Projek usaha sama berbilion dolar dengan syarikat minyak dari China dan India serta syarikat minyak tempatan Sudan itu menyaksikan Petronas berjaya meningkatkan pengeluaran minyak Sudan sehingga 400,000 tong sehari (di Malaysia, Petronas mengeluarkan kira-kira 650,000 tong minyak sehari). Petronas memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus dalam syarikat Greater Nile Petroleum Operating Company Limited yang 40 peratus daripada sahamnya dimiliki oleh CNPC dari China, ONGC dari India sebanyak 25 peratus manakala 5 peratus lagi dipegang oleh Sudapet dari Sudan [UM 18/04/07].




Jika negara kafir hanya menjadikan asas manfaat di dalam hubungan mereka dengan negara-negara lain, termasuklah Sudan, ini langsung tidak mengejutkan. Yang mendukacitakan ialah, negara yang bergelar ‘Negara Islam’ sendiripun hanya mementingkan ‘hubungan manfaat’ yang lebih kurang sama dengan negara kufur di dalam membangun hubungan luar ini. Walhal di dalam Islam, asas kepada hubungan yang wujud di antara sesama Muslim adalah ukhwah (persaudaraan), bukannya diasaskan kepada manfaat. Walaupun seorang Muslim itu tidak dapat mendatangkan apa-apa manfaat kepada kita, tetapi dia tetap saudara kita yang haram untuk kita sakiti. Dari segi tanah pula, setiap tanah yang diduduki oleh umat Islam statusnya sama sahaja iaitu ia adalah tanah kita semua, baik di Iraq, Palestin, Kashmir, Arab Saudi, Sudan dan lain-lain. Oleh itu, hasil bumi Sudan adalah hasil bumi kita, minyak di Arab Saudi adalah hakmilik kita umat Islam, begitu jugalah minyak dan lain-lain hasil bumi di Malaysia, ia adalah milik umat Islam secara keseluruhan. Justeru, hubungan di antara negara yang berbeza, selama mana negara tersebut adalah tanah umat Islam, maka hubungan tersebut wajiblah berdasarkan ukhwah dan kesatuan, bukannya perpecahan dan manfaat. Dan kesatuan yang dimaksudkan adalah bersatunya umat Islam itu di bawah satu Negara/Daulah. Tidak boleh wujudnya dua atau lebih negara di dalam Islam.



MENGHARAPKAN AMERIKA, PBB ATAU OIC?



Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Penjajahlah yang telah memisahkan kita semua berdasarkan sempadan-sempadan palsu ciptaan mereka. Malangnya kesinambungan perpecahan ini diteruskan pula oleh para pemimpin kaum Muslimin yang memerintah berdasarkan negara bangsa yang telah ditinggalkan oleh kafir penjajah. Hasilnya, kaum Muslimin terus kekal dalam kelemahan dan perpecahan, sehingga setiap negara bermati-matian mempertahankan sempadan negara masing-masing. Dari fanatisme assabiyyah inilah, hubungan yang wujud di antara sesama Muslim yang tinggal di berlainan negara di asaskan kepada manfaat, bukan lagi ukhwah dan penyatuan. Hubungan yang terjalin di antara 2 negara yang yakin kepada Tuhan yang Satu, beriman kepada Rasul dan kitab yang sama, solat dengan sama-sama menghadap ke Ka’bah, adalah hubungan dagang, pelaburan, diplomatik dan sebagainya. Betapa rendah dan hinanya kedudukan ini! Kedudukan umat Islam yang diperintah oleh para pemimpin yang lemah dan jahil ini telah memberi kesempatan yang sebesar-besarnya kepada kafir Barat untuk memanipulasi, menindas, membunuh dan memerangi umat Islam sewenang-wenangnya. Mereka mengatur dunia, termasuklah dunia Islam tanpa perlu takut dan khuatir terhadap sesiapa.



Inilah sebabnya kenapa ‘seruan’ untuk campurtangan dari kuasa Barat harus diperhatikan dari sudut ini. Sebagai contoh, Resolusi 1706 PBB yang diluluskan pada bulan Ogos 2006, menyeru untuk menempatkan 20,000 pasukan pengaman PBB, bagi menggantikan 7,000 pasukan African Union yang sedia ada. Hal ini hanyalah bagi menyediakan jalan untuk campurtangan asing di Sudan sebagai langkah awal untuk mengurangkan kawalan terhadap Darfur oleh rejim Sudan. Sebagai sebuah tanah umat Islam, apa yang dilakukan oleh PBB (baca: Amerika) ini hanyalah untuk ‘mencipta’ peluang kepada Amerika bagi mencengkam dan mengaut sumber alam yang kaya di tanah kita. Dengan adanya Resolusi PBB, maka ini akan ‘mensahkan’ pendudukan rejim Amerika ke atas tanah umat Islam atas nama PBB. Dalam keadaan ini, jika AS tidak memperolehi akses kepada minyak sekalipun, setidak-tidaknya mereka telah dan akan berjaya ‘mengusir’ China dari Darfur dengan ‘mencipta dan memburuk-burukkan’ lagi krisis. Inilah PBB – yang hanya merupakan alat bagi AS untuk memasuki tanah-tanah umat Islam dengan mendapat restu dunia, termasuk dari para pemimpin umat Islam itu sendiri. Amerika berjaya ‘mengunci mati’ mulut-mulut pemimpin umat Islam dengan tindakan mereka melalui PBB. Anehnya, pemimpin umat Islam masih buta sebuta-butanya, malah masih tetap menaruh harapan pada PBB dan menganggap PBBlah satu-satunya penyelamat dunia. Alangkah jahilnya pemimpin-pemimpin umat Islam ini!



Jika dibandingkan jalan yang diambil oleh PBB dengan OIC, ternyata tindakan PBB jauh lebih realistik dan berkesan, apatah lagi jika keputusan yang diambil adalah ke atas negeri-negeri kaum Muslimin. Jika PBB membuat keputusan untuk mengenakan sekatan ekonomi, maka ia akan segera dipatuhi oleh negara-negara anggota. Begitu juga jika PBB membuat keputusan untuk menghantar pasukan pengaman, maka setiap negara termasuklah Malaysia berebut-rebut berusaha untuk menghantar pasukan pengaman. Kenapa? Kerana takut jika dikatakan melanggar ketetapan PBB, walaupun mereka ini tidak pernah pula takut melanggar ketetapan Allah. Hatta, jika ketetapan atau resolusi PBB itu jelas-jelas melanggar ketetapan Allah sekalipun, maka ketetapan PBB itulah yang justeru lebih ditakuti dan dipenuhi dari ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ironisnya, OIC tidak pernah pula membuat ketetapan atau menghantar bantuan ketenteraan untuk membantu sesama Muslim yang diperangi oleh Israel, Amerika dan Britain. Paling tinggi yang dilakukan oleh OIC (selaku juara mesyuarat) adalah mengeluarkan resolusi untuk mengutuk serangan yang dilakukan.



Berbalik kepada Isu Darfur sebagai contoh terkini, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi OIC mengarahkan beliau mencari pendekatan bersama negara-negara anggota bagi membantu menyelesaikan pertelagahan puak di wilayah itu secepat mungkin. “Berjaya atau tidak bukan soalnya tetapi kita mahu berusaha dan mencuba... Apa yang penting adalah kita menyakinkan Amerika Syarikat dan Britain supaya konflik di Darfur diselesaikan tanpa perlu mengangkat senjata,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen [UM 24/04/07]. Wahai kaum Muslimin! Nilailah sendiri samada keputusan ini dibuat kerana ingin mencari penyelesaian berdasarkan Quran dan Sunah atau sebaliknya, samada keputusan ini lahir dari keimanan kerana takutkan Allah atau kerana takutkan musuh Allah? Mengenai lawatan Perdana Menteri selama lapan hari ke negara itu serta Kenya dan Namibia, Syed Hamid berkata, lawatan itu amat berhasil dan meningkatkan kerjasama politik, ekonomi dan perdagangan [UM 24/04/07].




Satu lagi penekanan yang direka oleh media Barat adalah bahawa rejim Sudan merupakan sebuah rejim yang ‘Islami’. Hal ini adalah tidak benar sama sekali. Sebagaimana negeri-negeri kaum Muslimin yang lainnya, Sudan memang mengamalkan secebis dari undang-undang Islam tetapi yang banyaknya adalah undang-undang buatan manusia. Ini dapat dilihat dari Perlembagaan Sudan itu sendiri. Secara ringkasnya, kita mengenali Negara Islam sebagai sebuah Negara yang mengikut jalan kenabian yakni Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah, walhal Sudan adalah sebuah Negara Republik yang dipimpin oleh seorang Presiden. Tambahan lagi, pertumpahan darah yang dilakukan oleh rejim Sudan yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam menunjukkan bahawa Sudan bukannya negara yang menerapkan syariat Islam. Rejim Sudan yang sering menindas dan menzalimi rakyatnya mendapat kuasa secara tidak sah atau bertentangan dengan Islam. Ia mendapat kekuasaan melalui kudeta tentera dan dilanjutkan dengan pilihanraya yang penuh dengan penipuan, dalam masa yang sama dibantu pula oleh negara lain seperti China yang sememangnya mempunyai kepentingan dalaman di Sudan. China sebenarnya secara terus-menerus menyediakan bantuan dari segi diplomatik dan ketenteraan kepada Sudan dan baru-baru ini, China sekali lagi menyatakan persetujuan menambahkan bantuan ketenteraan kepada Sudan.



Sesungguhnya dengan meneliti jauh sedikit ke belakang, kita sebenarnya dapat melihat penyelesaian sebenar terhadap isu Sudan ini. Islam telah masuk ke Afrika Utara sejak beratus tahun dahulu. Islam telah berpijak di bumi Darfur dan kawasan sekitar Sudan semenjak abad ke-14 lagi. Kebanyakan pemerintah Muslim menjadikan Khilafah sebagai model pemerintahan mereka walaupun Kesultanan Funj di Sinnar tidak berada di bawah kawalan Khilafah Uthmaniyah secara langsung, sehinggalah ke tahun 1821. Bagaimanapun, keadaan ini tetap berjaya menyatukan rakyat yang berbilang etnik dan mereka tetap menikmati kesejahteraan. Ini adalah kerana, mereka telah mengambil Islam sebagai asas kehidupan mereka dan segala perbezaan yang tidak bernilai itu telah diketepikan oleh mereka.



Justeru, pada hari ini, satu-satunya jalan keluar dari peperangan sesama sendiri ini adalah dengan menyatukan semula kaum Muslimin Sudan ini dengan Islam, dengan meninggalkan segala perbezaan etnik dan puak. Hal ini tidak akan dicapai selagi Islam tidak diterapkan secara sempurna dengan mendirikan semula Daulah Khilafah di negeri kaum Muslimin. Daulah Khilafahlah yang seterusnya akan menjaga umat Islam di Sudan daripada kuasa kolonial yang tamak haloba seperti sekarang. Khalifah nanti akan memelihara bukan sahaja umat Islam di Darfur, tetapi juga di seluruh Sudan dan seluruh dunia dan akan menghapuskan segala bentuk perbezaan etnik dan puak, sebagaimana dahulunya di mana Rasulullah dan para Khalifah telah menyatukan bangsa Arab dan seluruh bangsa lain sepanjang pemerintahan mereka. Untuk ke sekian kalinya, kita menyaksikan campurtangan kafir Barat ke atas negeri umat Islam dengan sewenang-wenangnya kerana lemah dan terpecah-belahnya umat Islam tanpa Khilafah.


KHATIMAH



Wahai kaum Muslimin! Kuasa apakah lagi yang boleh menjadi pelindung umat ini selain Khilafah? Kuasa apakah lagi yang bersedia melawan segala kekufuran dan kebiadaban Amerika jika tidak Khilafah? Kuasa apakah lagi yang tidak akan tunduk kepada resolusi dan undang-undang kufur keluaran PBB jika bukan Khilafah? Kepada siapakah lagi kita boleh menggantung harapan untuk menyelamatkan umat ini selain Khilafah? Apakah kita mengharapkan para pemimpin kaum Muslimin yang tunduk kepada PBB untuk menjadi pelindung kita? Apakah mereka yang bersalaman dengan Bush sambil ketawa dan bersalaman dengan Condoleeza Rice sambil tersenyum ini yang kita harapkan menjadi penyelamat kita? Sedarlah wahai kaum Muslimin, tanpa Khilafah, darah umat ini akan terus mengalir ke bumi tanpa apa-apa pembelaan. Tanpa Khilafah, Amerika dan PBB akan terus menguasai dunia dan menjadikan umat Islam sasaran peluru-peluru dan bom-bom mereka. Tanpa Khilafah, tiada siapa yang akan menjaga dan melindungi umat ini. Benarlah sabda Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Sesungguhnya imam (khalifah) itu laksana perisai, di belakangnya umat berperang dan kepadanya umat berlindung” [HR Muslim]. Semoga pelindung umat ini akan segera muncul dengan izin Allah. Amin ya Rabbal ‘alamin.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR