ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PEJUANG KEAMANAN : KULITNYA INDAH, ISI BERACUN

PEJUANG KEAMANAN : KULITNYA INDAH, ISI BERACUN


Di dalam keadaan kaum muslimin di serata dunia yang sedang diserang daripada pelbagai penjuru, baik secara fizikal mahu pun psikologi, muncul gerakan-gerakan di dalam masyarakat yang memperjuangkan keadilan dan keamanan dunia. Di antara gerakan-gerakan ini, ada yang lahir daripada kalangan negara-negara kaum muslimin dan ada juga yang lahir daripada kalangan negara-negara barat.

Mereka melaungkan pelbagai slogan yang berkaitan dengan keamanan dan kebencian kepada keganasan. Di antara metodologi yang digunakan adalah melalui pendekatan kerohanian dan humanistik. Melalui kedua-dua pendekatan ini, mereka dapat mengumpul dan menyatukan sebahagian besar manusia daripada pelbagai latarbelakang fahaman dan agama melalui satu titik kesamaan. Misalnya “Semua agama membenci keganasan” dan “Peperangan selalu membawa kepada jenayah kemanusiaan” adalah di antara sebahagian slogan-slogan umum yang biasa dilaungkan.

Sekali dengar, tidak ada apa-apa yang salah kepada slogan-slogan tersebut. Tetapi, jika dikaji dan dibandingkan dengan pandangan menyeluruh, kita akan dapati bahawa slogan-slogan ini menyeru supaya kita melihat penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan keganasan ini daripada sudut kerohanian dan kemanusiaan tetapi meninggalkan aspek politikal atau di dalam kata lain; tidak melibatkan politik di dalam usaha-usaha memperjuangkan keadilan dan keamanan. Menurut apa yang difahami, mereka-mereka ini mahu mengambil sikap berkecuali di dalam menyelesaikan sengketa sesama manusia. Yang penting, sebarang tindakan keganasan harus ditentang, nilai kemanusiaan mesti ditegakkan.

Presiden George W. Bush pada satu masa memberi ucapan kesejahteraan sambil hadir untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan yang lepas dengan sebahagian kaum muslimin yang menetap di Amerika, tetapi pada masa yang sama melancarkan peperangan ke atas umat Islam lain sambil mengulang slogan-slogan perang salib. Mengapa sedemikian? Ia adalah kerana, Bush dapat membezakan di antara agama dan politik. Dengan ‘agama Islam’, dia ‘kelihatan’ baik dan begitu toleren, tetapi apabila menyentuh hal ‘Islam yang politikal’, dia amat tegas dan seolah-olah menjadi makhluk dua wajah. Pada satu wajah, dia kelihatan sangat baik dan pada wajah yang lain dia seperti iblis yang bersedia untuk menghasut dan menerkam mangsanya. Tidakkah kaum muslimin menyedari akan hal ini?

Kita ditunjukkan oleh media-media tempatan dan antarabangsa kononnya tidak semua daripada barat itu jahat. Bukan semua daripada Barat itu buruk dan keji. Terdapat sebahagian kecil daripada barat yang dipaparkan baik dan mahukan kepada kebaikan. Maksudnya, jika Bush itu jahat dan sentiasa melancarkan tindakan ganas, ada juga yang baik dan sentiasa cintakan nilai-nilai kemanusiaan. Mereka itulah yang dipanggil ‘pejuang keamanan’. Mereka diberikan bantuan kewangan untuk menjalankan aktiviti menyebarkan fahaman-fahaman yang menekankan aspek kerohanian dan humanistik (kemanusiaan) ke dunia umat Islam.

Mereka dijemput ke seminar dan persidangan anjuran kaum muslimin. Seterusnya, tidak sedikit kaum muslimin yang memberikan sambutan dengan datang menghadirkan diri seolah-olahnya ingin memberikan sokongan. Tidak kurang juga yang turut sama menganjurkan dan memeriahkan lagi kedatangan mereka ini.

Kehadiran Dr. Karen Armstrong ke Malaysia baru-baru ini diberikan liputan meluas oleh media-media tempatan. Siapakah Dr Karen Armstrong sehingga diberi peluang seluas-luasnya untuk berbicara dan berkongsi pandangan? Dr Karen Armstrong adalah bekas seorang nun (wanita Kristien yang mengabdikan diri kepada agamanya di dalam sesebuah gereja). Setelah bertahun-tahun berkhidmat sebagai nun, dia kini adalah seorang aktivis yang menganut fahaman monotheism (satu tuhan). Dia tidak lagi menganut mana-mana agama, tetapi menerima konsep ketuhanan daripada ketiga-tiga agama samawi (agama dari langit) : Yahudi, Kristien dan Islam. (Menganut tiga agama? Inilah kesesatan yang nyata!)

Dia telah menulis beberapa buah buku di antaranya termasuklah yang telah diharamkan di Malaysia iaitu ‘The History of God” ( Sejarah Ketuhanan). Agak menghairankan apabila seorang yang telah diketahui pemikirannya yang rosak tetapi masih dibenarkan datang dan bebas menyampaikan ceramah-ceramah di Malaysia. Apakah kita telah ketandusan tokoh untuk memberi buah pemikiran dan pandangan bagaimanakah kita hendak mencapai keadilan dan keamanan. Mengapa mesti dijemput seorang tokoh yang telah diketahui mempunyai pemikiran yang rosak untuk berkongsi pandangan dengan cendekiawan tempatan?

Sekiranya benar ada kebaikan di dalam hatinya, mengapa Dr Karen Armstrong sendiri tidak memeluk agama Islam? Memang Islam tidak memaksa seseorang itu untuk masuk ke dalam agama Islam, tetapi jangan lupa, Allah SWT sendiri mengutuk dan mengeji orang-orang kafir yang tetap berdegil untuk tidak memeluk agama Islam walaupun telah terbukti segala kebenaran di hadapan mata mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Apakah kalian menyuruh orang-orang berbuat baik, padahal kalian lupa ( melupakan) diri sendiri, sedang kalian membaca kitab Allah, apakah kamu tidak berakal ( tidak berfikir)” [TMQ Al Baqarah (2):44]

Ayat ini merupakan bukti bahawa, Allah SWT tidak redha dengan keadaan diri ahli kitab yang kononnya menyuruh orang lain melakukan kebaikan walhal mereka sendiri enggan untuk masuk ke dalam agama Islam walaupun setelah diberikan segala bukti kebenaran oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Tentang kalimat yang bermaksud : “padahal kalian lupa(melupakan) diri sendiri..” Ibnu Abbas menerangkan dengan maksud mereka ( ahli kitab) membiarkan diri mereka tidak beramal padahal mereka menyuruh orang lain agar mengikut ajaran kenabian dan janji Allah di dalam Taurat, sedang mereka sendiri terus berada di dalam kekafiran, ingkar terhadap pesan janji Allah SWT supaya mempercayai utusanNya, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan mereka engkar terhadap apa yang mereka ketahui di dalam kitabullah”.

Firman Allah SWT lain yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Al Kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknati (pula oleh semua ( makhluk) yang dapat melaknati” [TMQ Al Baqarah (2):159]

Maka, daripada kedua-dua penafsiran ayat di atas, Allah SWT mengeji mereka-mereka yang tidak mahu masuk ke dalam agama Islam walaupun hakikatnya mereka sebenarnya tahu akan kebenaran yang terkandung di dalam Al Quran. Adalah tidak masuk akal seorang cendekiawan yang diberikan akal yang waras tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil. Justeru, apakah yang menghalang mereka-mereka ini untuk masuk ke dalam agama Islam?

Maka dengan itu, apa-apa yang dibawa oleh kelompok-kelompok yang diwakili oleh individu seperti Dr Karen Armstrong itu tidak lain dan tidak bukan adalah seperti buah yang kelihatannya cantik tetapi mengandungi isi yang beracun. Ia adalah jelas-jelas sebahagian daripada strategi barat untuk meracuni pemikiran generasi intelektual kaum muslimin masa kini. Strategi ini harus diperangi habis-habisan. Hasutan/perang pemikiran seperti ini harus dinilai daripada sudut yang menyeluruh dan dilawan dengan pemikiran. Semoga ianya dapat mengembalikan umat Islam kepada jalan kegemilangan seperti mana yang pernah ditempuh oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat.
Sumber : www.mykhilafah.com

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR