MENGUNGKAP KRISIS PEMILIHAN PRESIDEN TURKI
MENGUNGKAP KRISIS PEMILIHAN PRESIDEN TURKI
Abdullah Gul, rakan baik Perdana Menteri Turki ketika ini, Recep Tayyip Erdogan merupakan calon tunggal dalam pilihan raya Presiden Turki. Namun, pemilihannya mencetuskan krisis politik di Turki. Ini adalah kerana, walaupun Gul dilihat orang yang dapat membantu Turki menyertai EU, dia yang juga dilihat sebagai seorang yang berpewatakan Islam, dikatakan boleh mendatangkan ancaman kepada pihak sekular. Pihak sekular di Istanbul berpandangan bahawa sekiranya Gul dilantik, dia akan menggunakan kuasa istimewa Presiden untuk menggubal perlembagaan sekular yang sedang diterapkan ketika ini.
Ia adalah antara sebab mengapa pencalonannya gagal mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Kebanyakkan ahli parlimen yang pro-sekular tidak hadir ketika pengundian untuk mengesahkan pencalonannya diadakan. Walaupun Abdullah Gul telah berulang-kali menjelaskan bahawa beliau akan tetap setia dengan perlembagaan yang sedia ada, ianya masih gagal memancing para ahli parlimen pro-sekular untuk hadir memberikan sokongan pencalonan kepadanya. Ini menyebabkan Abdullah Gul semakin hilang sabar dan berikrar akan menarik diri daripada pencalonan tersebut.
Sikap yang ditunjukkan oleh ahli parlimen pro-sekular itu menunjukkan bahawa pengaruh sekular masih bertapak dengan kuat di Turki. Mereka-mereka ini adalah talibarut barat yang menjadi kesinambungan daripada proses pensekularisasi sejak zaman pemerintahan Mustafa Kamal Attaturk. Sejak keruntuhan Daulah Islamiyyah pada 3hb Mac 1924, Mustafa Kamal terus menjalankan usaha untuk memastikan agar Islam tidak akan bangkit. Sebelum memberikan kemerdekaan, barat telah menyusun struktur negara Turki dan negara kaum muslimin lainnya agar dapat menghalang sebarang usaha untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan.
TENTERA TURKI PELINDUNG PERLEMBAGAAN SEKULAR
Turki moden adalah sebuah negara sekular yang diasaskan oleh Mustafa Kamal Attaturk Laknatullah pada tahun 1924 setelah berjaya meruntuhkan Khilafah Islamiyyah pada 3hb Mac 1924 dengan bantuan penuh daripada British. Mustafa Kamal, yang juga bekas salah seorang jeneral tentera Turki sentiasa menggunakan kekuatan tentera di bawah pimpinannya di dalam usaha untuk meruntuhkan Khilafah Islamiyyah. Semua tokoh ulama yang menentang ketika itu telah dibunuh dengan senyap di malam hari dan ada yang hilang begitu sahaja. Ini menyebabkan para penentangnya tidak lagi berani untuk bersemuka secara terang-terangan dengannya. Sejak itu, tentera Turki telah dipersiapkan untuk menjadi pelindung kepada perlembagaan sekular. Perlembagaan sekular yang diasaskan itu wujud sehingga ke hari ini dan ianya dilindungi sepenuhnya oleh tentera. Kerana itulah, jika wujud sebarang ancaman ke atas perlembagaan, maka campurtangan tentera pasti akan berlaku.
Contohnya pada tahun 28 Februari 1997, Kerajaan Turki pimpinan Parti Refah yang berhaluan Islam dan dipimpin oleh Necmetin Erbakan telah digulingkan oleh Pihak tentera hingga satu keputusan telah dikeluarkan oleh Mahkamah Perlembagaan yang membubarkan Parti Refah dan melarang Erbakan daripada melakukan sebarang aktiviti politik. Ini disebabkan pengaruh Parti Refah semakin kuat dan dikatakan mula memberi ancaman kepada perlembagaan sekular.
Dalam meneliti tentang aspek sekular negara Turki, beberapa perkara bersabit dengannya perlu diteliti. Pertamanya, mengenai perlembagaan negara tersebut. Malahan, dalam perlembagaan Turki yang digubal sejak tahun 1924, Islam tidak dibenarkan sama sekali digunakan dalam apa juga keadaan atau pendekatan. Adalah menjadi satu kesalahan besar di Turki jika ada mana-mana pihak menggunakan slogan Islam dalam apa jua aspek kehidupan di Turki.
Keduanya, ialah tentera dan Majlis Keselamatan Negara di Turki yang mempunyai pegangan sekular yang kuat. Kedua-dua institusi ini menganggap apa jua yang berunsur Islam sebagai musuh negara. Walaupun Turki mengamalkan demokrasi ala-barat yang kononnya mewakili aspirasi rakyat, namun pemilihan melalui pilihan raya umum tidak bebas sepenuhnya kerana wujud dua institusi ini yang kuat mempertahankan sistem sekular iaitu pihak tentera dan birokrasi seperti Majlis Keselamatan Negara. Kedua-dua institusi ini bertindak menghalang kebangkitan pihak berhaluan Islam semata-mata bagi melindungi dasar sekular negara.
AKP SEBAGAI PARTI MEMERINTAH
Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) sebenarnya adalah lanjutan daripada Parti Refah yang telah dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan sebelum ini. Pengalaman lampau menyebabkan Erdogan telah merubah strategi dan tidak lagi mendukung politik pro-Islam secara berterus terang yang menyebabkan pertembungan dengan pihak sekular. Pengharaman Parti Refah dan rampasan kuasa tiga kerajaan awam sebelum ini dan pengalaman dipenjarakan sebelumnya menyebabkan Erdogan lebih bersikap lunak dalam menghadapi pihak pr-sekular. Parti AKP pimpinannya kini pro kepada EU. Hasilnya, ia telah berjaya memenangi pilihanraya Turki pada tahun 2002.
Kemenangan tersebut tidak boleh dianggap sebagai kemenangan Islam, ini adalah kerana, walaupun Erdogan dilihat sebagai berpewatakan Islam, dia sebenarnya mudah tunduk kepada tekanan sehingga sanggup mengadaikan prinsip-prinsip Islam. Kenyataannya baru-baru ini yang mengakui bahawa dia seorang sekular dan akan mempertahankannya amat jelas menunjukkan siapakah sebenarnya Erdogan. Bahkan dia menyokong para penunjuk perasaan yang rata-rata membawa sepanduk berbunyi ; “No to a military coup, no to Sharia (Islamic) law” atau yang bermaksud ; “Tidak kepada Rampasan Kuasa, Tidak kepada Syariah” sambil mengatakan bahawa dia beserta mereka. [15/5/2007, Reuters].
Kemenangan Erdogan dan AKP di dalam pilihanraya sebelumnya adalah amat jelas disebabkan mereka sanggup menggadaikan prinsip-prinsip Islam. Mereka rela bersikap toleransi dan lunak dengan fahaman-fahaman yang ada di dalam perlembagaan Turki. Tidak ada gunanya AKP memenangi 60% daripada kerusi Parlimen jika jiwa pemimpin-pemimpin mereka kosong dengan sunnah perjuangan Rasulullah SAW untuk menegakkan kembali Daulah Islam yang runtuh. Walaupun sikap dan prinsip Erdogan dan AKP mungkin tidak sama, tetapi cara yang mereka tempuhi, iaitu bersikap lunak dengan para penyokong dan rela bersikap toleransi untuk memenangi sesuatu pilihanraya adalah sama seperti kebanyakkan parti Islam lain yang ada di negara-negara kaum muslimin yang menggunakan demokrasi sebagai tareqah untuk menegakkan semula Daulah Islam.
Daripada mereka terus menggadaikan prinsip-prinsip Islam, adalah lebih baik Erdogan dan AKP mengundurkan diri daripada daripada terus mengotori kemuliaan Islam dengan slogan-slogan sekularisme mereka. Perarakan 700,000 orang penunjuk perasaan pro-sekular kemudiannya harus diambil sebagai isyarat yang jelas untuk mereka memikirkan semula hala tuju politik sebenar yang harus ditempuh. Jika tuntutan untuk mengadakan piliharaya awal dipenuhi, seharusnya AKP berusaha untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan dan melaungkan slogan ke arah penerapan Syariat Islam. Jika tidak, lebih baik usah bertanding.
HALANGAN KEBANGKITAN ISLAM
Krisis politik di Turki yang berlaku ketika ini jelasnya berkisar kepada kelompok sekular mempertahankan perlembagaan sekular yang ada. Ia pada asasnya, mirip seperti mana di negara kaum muslimin yang lain. Tatkala kebangkitan jelas dapat dilihat di mana-mana, tetap akan ada halangan-halangan yang dibina oleh barat bersama-sama dengan kelompok pro-sekular untuk menghalang penegakkan semula Daulah Islam. Mereka menyedari bahawa, tanpa sebuah negara, kebangkitan Islam tidak akan ke mana-mana. Kerana itulah mereka telah menyediakan dua halangan yang utama;
1. HALANGAN PEMIKIRAN
Kewujudan pemikiran-pemikiran barat dan pencerobohannya ke dalam dunia Islam telah berjaya menghasilkan para intelektual muslim yang berfikir mengikut acuan barat. Para intelektual muslim ini menjadi kaki tangan barat yang amat berkesan di dalam membentuk acuan pemikiran masyarakat khususnya umat Islam. Mereka memasuki universiti-universiti awam dan sekolah-sekolah yang ada di dalam masyarakat dan menyebarkan acuan berfikir ala-barat. Para pelajar dan remaja kemudiannya membentuk satu generasi yang berfikir mengikut acuan barat. Sekularisme menjadi asas kehidupan mereka. Tidak ada ruh Islam di dalam kehidupan seharian mereka. Islam hanya wujud di masjid-masjid dan di dalam kelas-kelas agama. Mereka menganggap jika Islam dibawa ke dalam kehidupan, ia akan menyebabkan kejumudan dan kebekuan. Mereka juga menganggap penerapan Islam yang sebenar akan menghalang kemajuan negara. Pada mereka, Islam yang perlu diterapkan adalah Islam yang bersifat progresif dan moderat. Lalu mereka melabelkan Islam dengan pelbagai nama dan istilah. Ini disertakan dengan propaganda yang mengatakan ia tidak bertentangan dengan Islam dan disokong pula oleh ulama-ulama murahan. Padahal, isinya adalah idea kekufuran yang ditampel dengan label Islam.
2. HALANGAN PEMERINTAHAN
Penerapan sistem pemerintahan yang berasaskan demokrasi dan sistem kapitalis ke atas seluruh negeri kaum muslimin telah menyebabkan mereka terkongkong di dalam lingkungan garis sempadan geografi dan nasionalisme. Ini telah menyebabkan kaum muslimin terasing di antara satu sama lain. Mereka tidak dapat bersatu kerana halangan yang diwujudkan oleh bekas-bekas penjajah barat sebelum mereka memberikan kemerdekaan. Lalu dilantiklah para penguasa yang penakut dan bacul yang tunduk dengan kehendak barat. Melalui para penguasa yang juga menguasai pasukan polis dan tentera, mereka menggunakan prinsip ’diktatorian’ di dalam menangkis sebarang usaha yang boleh mengancam perlembagaan sekular yang digubal bersama-sama dengan bekas penjajah mereka. Perlembagaan sekular ini juga dihias agar kelihatan gah dan seolah-olah menjadi pelindung kepada hak kaum muslimin. Pemikiran kaum muslimin lalu disempitkan dengan hanya melihat perlembagaan sekular ini sebagai jalan penyelesaian di dalam hal-hal yang menyangkut masalah kehidupan seperti isu murtad, ajaran sesat dan sebagainya. Padahal ianya telah memesongkan pemikiran kaum muslimin lebih jauh daripada Islam. Pada masa yang sama, maksiat dan kedurjanaan yang berlaku di kalangan kaum muslimin terus bertambah. Justeru, yang menjadi isu bukannya memperbetulkan perlembagaan sekular, tetapi menukarnya terus dengan sistem pemerintahan Islam.
Sumber : mykhilafah.com
0 comments:
Post a Comment