ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


YA ALLAH! NAMAMU DIPERJUANG, HUKUMMU DIBUANG.


Keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly untuk menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan bahasa melayunya telah mengundang kemarahan segelintir umat Islam. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 17hb Januari 2009 yang lalu telah melarang akhbar tersebut berbuat demikian, namun ternyata keputusan mahkamah akhirnya berpihak kepada mereka. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan telah memutuskan bahawa akhbar mingguan tersebut mempunyai hak untuk berbuat demikian dari segi Perlembagaan Persekutuan kerana Artikel 11(4) Perlembagaan hanya menghalang orang-orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah untuk menyebarkan agama kepada orang-orang Islam tetapi ia bukanlah larangan untuk orang-orang bukan Islam menggunakannya sesama mereka.

Menurutnya lagi, Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi tidak memberikan kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menghalang gereja tersebut daripada menggunakan kalimah Allah [UM 1/1/2010]. Umat Islam yang berdemonstrasi membantah keputusan Mahkamah Tinggi memberi hujah bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam dan agama lain tidak berhak menggunakannya. Sebahagian umat Islam yang membantah menyifatkan bahawa penggunaan nama Allah oleh akhbar Kristian tersebut boleh mengelirukan akidah umat Islam. Bagaimanapun, kebanyakan pihak yang berdemonstrasi dikatakan terdiri dari puak-puak yang pro-UMNO, kerana itulah mereka diberi liputan besar-besaran oleh media dan pihak polis pula langsung tidak mengambil tindakan atau menghalang para penunjuk perasaan yang melakukan ‘demonstrasi haram’ ini. Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam bertenang sementara dia berjanji akan menyelesaikannya dengan sebaik mungkin di mana beliau akan mengadap Agong dan juga Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

Di sebalik apa yang berlaku, tidak kurang juga pihak yang menyifatkan bahawa ada agenda politik di sebalik keputusan ini agar parti pemerintah dapat tampil sebagai jaguh dalam ‘mempertahankan’ Islam, di samping dapat menutup segala kemelut dalaman yang semakin banyak dan semakin parah. Apa pun, kerajaan telah memberi jaminan bahawa mereka akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini. Dalam pada itu, ada juga pihak yang mencadangkan penyelesaian luar mahkamah terhadap isu ini dengan mencadangkan agar diadakan dialog di antara pemimpin tertinggi setiap agama bagi mencapai kesepakatan. Dengan kata lain, konsep ‘dialog antara agama’ telah kembali menjadi modal akal untuk menyelesaikan masalah. Walhal, konsep ini jelas-jelas merupakan perangkap kuffar terhadap umat Islam bagi mengiktiraf agama mereka yang sesat itu. Alih-alih ingin menyelesaikan masalah, umat Islam terus memasuki perangkap kuffar dengan konsep pluralisme [sila baca SN76 Dialog Antara Peradaban: Umat Islam Terperangkap Dalam Agenda Kufur].

Walaupun kekhuatiran sebahagian umat Islam bahawa penggunaan kalimah Allah oleh puak kuffar ini akan menyebabkan kekeliruan ada asasnya, namun ia hendaklah dijawab dengan nas, bukannya emosi atau akal semata-mata. Inilah pendirian yang harus diambil oleh kita sebagai seorang Muslim.

Bolehkah Orang Kafir Menggunakan Kalimah Allah?

Penggunaan kalimah Allah ini telah pun wujud sebelum zaman Rasulullah SAW diutus lagi. Di Mekah sendiri ketika itu, orang-orang kafir Quraisy sudah pun menggunakan nama Allah di dalam kehidupan seharian mereka, baik semasa beribadat mahupun dalam sumpah mereka. Sehinggalah Muhammad diangkat menjadi Rasul, penyebutan kalimah Allah tetap menjadi kebiasaan mereka, baik oleh kafir Ahli Kitab mahupun kafir Musyrik. Namun hal ini tidak pernah dihalang oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya apa yang dikecam oleh Rasulullah adalah perbuatan mereka yang mensyirikkan Allah dan tidak mahu beriman dengan Al-Quran. Dengan kata lain, yang menjadi perhatian Rasulullah adalah akidah dan juga sistem mereka yang rosak di mana telah berlaku penyimpangan dalam aqidah dan sistem yang mereka terapkan. Namun demikian, terdapat keadaan di mana Allah sendiri yang mengecam dan melaknat golongan kuffar ini apabila mereka telah menyalahgunakan dan meletakkan Allah di tempat yang salah.

(i) Penggunaan Yang Benar –

Terdapat banyak ayat Al-Quran di mana Allah tidak mengecam orang-orang kafir menggunakan namaNya, tapi apa yang dikecam oleh Allah adalah perbuatan mereka yang tidak beriman kepadaNya. Antaranya firman Allah,

“Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang-orang kafir), ‘Siapakah yang menciptakan mereka?’ sudah tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka bagaimanakah mereka boleh dipalingkan (dari menyembah Allah)? Dan (Allah mengetahui) ucapan (Muhammad) yang berkata, Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak beriman!”
[TMQ al-Zukhruf (43):87-88].

Firman Allah dalam ayat yang lain,

“Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka, ‘siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?’ tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)? [TMQ al-Ankabut (29):61].

Allah juga mengecam orang-orang kafir yang, walaupun meyakini Allah dan menggunakan kalimah Allah, tetapi menyekutukanNya. FirmanNya,

“Ingatlah! Untuk Allah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah berkata, ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuk orang-orang yang berdusta dan sangat kufur. [TMQ al-Zumar (39):3].

Di dalam Sirah Ibn Hisyam, juga di dalam banyak hadis mengenai perjanjian Hudaibiyah di antara Nabi SAW dengan kafir Quraish, disebutkan bahawa, tatkala Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW, antara wakil Quraish ialah Suhail bin Amru. Apabila Nabi SAW memerintahkan agar Ali k.w menulis di permulaan perjanjian kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’, Suhail berkata, ‘Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim’. Maka Nabi SAW pun memerintahkan agar Ali memadam kalimah tersebut dan menggantikannya dengan ‘Bismikallahumma’ (dengan namaMu Ya Allah).

Banyak lagi nas lainnya yang menunjukkan bahawa orang-orang kafir boleh menggunakan nama Allah. Mafhum yang dapat diambil daripada nas-nas di atas adalah Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir tetapi apa yang Allah larang adalah perbuatan orang-orang kafir yang tidak beriman dan menyekutukan Allah. Kesimpulannya, Islam tidak menghalang penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir tetapi dengan syarat ia hendaklah digunakan di dalam konteks yang benar yakni Allah sebagai Tuhan bagi semua manusia, alam semesta dan juga kehidupan. Umat Islam tidak seharusnya terus melenting apabila nama Allah digunakan oleh orang kafir, namun harus dilihat terlebih dahulu konteks penggunaannya. Bahkan dalam beberapa keadaan, penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang kafir mendedahkan dan membuktikan lagi kesesatan kepercayaan agama mereka.

(ii) Penggunaan Yang Salah –

Sememangnya terjadi di zaman Rasulullah di mana nama Allah telah digunakan di dalam konteks yang salah oleh orang-orang kafir. Dan hal yang sama boleh berlaku pada bila-bila zaman/masa sekalipun. Firman Allah,

“Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampau dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa anak Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan kalimatNya) yang disampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh (dariNya). Maka berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah mengatakan (Tuhan itu) tiga (‘trinity’)...” [TMQ an-Nisa(4):171].

Dalam ayat lain Allah menyebut, “Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam...” [TMQ Al Maidah (5):72].

Dalam ayat berikutnya (ayat 73) Allah menyebut,

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Bahawasanya Allah adalah salah satu dari yang tiga (trinity)’. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”


Allah melarang sama sekali malah mencela mereka yang menggunakan namaNya dalam konteks yang salah yakni dengan menjadikanNya sebagai salah satu dari tuhan-tuhan. Walhal demi sesungguhnya Allah adalah satu-satunya Tuhan. Secara khusus di dalam ayat di atas, Allah mencela golongan Kristian yang menyebut atau menjadikan Allah sebagai salah satu dari tiga tuhan (trinity). Dan Allah sendiri akan mengazab mereka yang telah menyekutukan atau mengkufuriNya. Di dalam ayat lain, Allah turut melaknat orang-orang Yahudi yang menggunakan nama Allah dalam konteks yang salah,

“Orang-orang Yahudi berkata, “Tangan Allah terbelenggu” sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu” [TMQ Al Maidah (5):64].

Oleh yang demikian, jika ada orang-orang kafir yang menggunakan nama Allah, maka hal ini hendaklah diperhatikan terlebih dahulu konteks penggunaannya. Jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah sebagai Tuhan kepada semua manusia, alam dan kehidupan, maka benarlah adanya. Tetapi jika mereka menggunakan nama Allah untuk merujuk Allah sebagai bapa Al-Masih Isa anak Maryam, sebagai merujuk kepada berhala mereka atau menyekutukanNya, atau meletakkan Allah dengan sifat yang salah (seperti surah 5:64 di atas), maka kesemua ini adalah salah dan batil. Ukuran benar atau salah, atau boleh atau tidak bagi orang-orang kafir menggunakan kalimah Allah, semuanya hendaklah beristidlal kepada Al-Quran atau Sunnah, sebagai satu-satunya nas. Kita sama sekali tidak boleh menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai dalil ‘boleh atau tidak’ orang-orang kafir menggunakan nama Allah. Bagi mahkamah kufur, sudah semestinyalah mereka akan berpegang kepada Perlembagaan kufur, tetapi bagi kita, Perlembagaan itu langsung tidak ada nilainya di dalam mengukur sesuatu hukum atau perbuatan. Kebenaran itu ada pada Al-Quran, bukannya pada Perlembagaan. Al-Quran dan Sunnahlah yang wajib menjadi nas, bukannya undang-undang ciptaan manusia! Justeru, apa sahaja keputusan mahkamah, baik berpihak kepada gereja atau kepada KDN, kesemuanya bukanlah ukuran kebenaran!

Nama Allah Diperjuang, Kenapa HukumNya Dibuang?

Setakat kajian yang telah dilakukan, dari dulu hingga sekarang pihak Kristian tidak pernah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai Tuhan, baik di dalam kitab mahupun penulisan rasmi mereka, tetapi mereka menggunakan perkataan ‘God’. Lantas apakah agenda mereka kali ini sebenarnya? Tidak mustahil bahawa ini merupakan usaha terbaru mereka untuk mendakwahkan agama Kristian di kalangan orang Islam. ‘God’ diterjemah kepada ‘Allah’ supaya mudah difahami oleh anak-anak muda yang pastinya akan menolak sekiranya Nabi Isa dikatakan sebagai Tuhan. Hakikatnya, apa yang perlu disedari dan dilawan adalah keseluruhan dakyah Kristian itu sendiri, bukannya terperangkap dengan isu istilah yang mereka gunakan. Kita perlu bertanya kepada pihak yang bertanggungjawab apakah langkah yang mereka laksanakan untuk memantapkan dan menjaga akidah umat Islam? Apakah jalan yang mereka tempuh apabila mereka melihat para pendakwah Kristian gencar menarik anak-anak muda ke agama Kristian? Apa pula tindakan pemerintah ke atas kes-kes murtad yang semakin bertambah?

Kita memang yakin bahawa golongan Kristian dan Yahudi tidak akan henti-henti cuba menyesatkan umat Islam. Allah telah pun mengingatkan kita tentang perangai dua golongan kuffar ini. Ratusan tahun lamanya mereka berjuang melalui serangan missionaris dan juga orientalis untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Setelah ratusan tahun berusaha, mereka akhirnya berjaya melemahkan dan menghancurkan bukan sahaja umat Islam, malah Daulah Islam sekaligus. Khilafah berjaya mereka runtuhkan. Sejak itu hingga kini, usaha mereka masih tetap berterusan. Namun perlu diingat bahawa usaha jahat mereka sering mencapai kejayaan kerana lemahnya akidah umat Islam itu sendiri dan yang lebih utama, adanya ‘kerjasama’ dan ‘bantuan’ dari pihak pemerintah kaum Muslimin. Sekiranya akidah umat Islam itu lemah, tetapi jika sistem yang berjalan adalah sistem Islam, maka sistem ini akan dengan sendirinya menjaga akidah umat melalui penerapan hukum Islam yang syumul. Tetapi, dengan penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan, maka para pemerintahlah yang telah mempermudahkan laluan puak kuffar ini untuk menyebarkan dakyah sesat mereka ke atas umat Islam. Apa tidaknya, pemerintah telah ‘menyediakan’ satu sistem demokrasi kufur yang diambil dari Barat, mereka juga menyediakan mahkamah kufur dengan undang-undang kufur, malah kadang-kadang hakim kafir atau jika hakim itu beragama Islam sekalipun, ‘kepala’nya dipenuhi dengan pemikiran dan hukum kufur. Semua ini telah mempermudahkan apa sahaja agenda jahat golongan kuffar ke atas umat Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika kalian merasakan bahawa puak kuffar ingin memperdaya kalian, sedarlah bahawa itulah juga yang sedang dilakukan oleh pemerintah sekular yang ada sekarang. Mereka telah lama memperdaya kalian dan mereka akan terus memperdaya kalian. Bila timbul isu sebegini contohnya, para pemerintah cuba berlagak sebagai penyelamat. Dengan memperjuangkan nama Allah, mereka menunjukkan seolah-olah merekalah golongan yang memperjuangkan Islam. Begitu juga segelintir umat Islam, sama ada mereka adalah talibarut pemerintah atau mereka yang ikhlas namun terkeliru di dalam perjuangan, terus bangkit dan menyuarakan kemarahan terhadap penggunaan nama Allah. Sungguh malang apabila hal ini terjadi di mana ‘nama’ Allah mereka perjuangkan, namun ‘hukum’ Allah mereka bakul sampahkan. Sesungguhnya sesuatu yang jauh lebih berbahaya yang sedang kita hadapi sekarang adalah penerapan hukum kufur oleh pemerintah ke atas kita semua. Mereka kononnya menjaga nama Allah habis-habisan, tetapi hakikatnya mereka telah membuang hukum Allah habis-habisan. Inilah yang sepatutnya menjadi bantahan umat Islam. Adanya keputusan mahkamah kufur adalah kerana adanya kerajaan yang mewujudkannya. Justeru, bukan sekadar penyesatan melalui penggunaan nama Allah yang boleh puak kuffar lakukan, namun yang jauh lebih serius dari itu, umat Islam telah terlalu lama berada di bawah kesesatan undang-undang dan sistem kufur yang diterapkan oleh pemerintah yang beragama Islam. Sesungguhnya amat jeleklah bagi mereka yang bersungguh-sungguh menunjukkan kehebatan di dalam melaungkan pembelaan terhadap penggunaan nama Allah tetapi mereka sendiri mengotori tangan-tangan mereka dengan mencampakkan hukum Allah dan menerapkan sistem kufur buatan tangan mereka sendiri. Bagai ayam si tombong, kokok berderai-derai, ekor bergelimang najis.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR