ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PEMBAKARAN GEREJA : WASPADA DENGAN TIPUDAYA


Rentetan dari tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009 yang lalu, sebahagian dari umat Islam telah melakukan demonstrasi membantah keputusan mahkamah tersebut. Demonstrasi kali ini agak istimewa di mana Perdana Menteri sendiri telah pun memberikan ‘lampu hijau’ ke atasnya, malah pihak polis dan pasukan cawangan khas (SB) yang hadir turut memberikan kerjasama, satu pemandangan yang sukar dilihat di Malaysia. Dalam pada ramai umat Islam yang masih ‘terkejut’ dengan sokongan kerajaan ke atas demonstrasi yang diberi liputan besar-besaran ini, berlaku satu lagi kejutan apabila tidak lama selepas itu beberapa buah gereja di sekitar Lembah Kelang dilaporkan terbakar atau cuba dibakar. Insiden pertama berlaku di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati pada pukul 12.30 tengah malam pada 8 Januari lepas, disusuli kejadian di Gereja Assumption di Petaling Jaya kira-kira pukul 4 pagi dan Gereja Chapel, Damansara pada pukul 9 pagi [UM 10/01/10].

Kejadian yang sama kemudian melarat ke Ipoh di mana dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah, selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah. Tiada kerosakan berlaku pada gereja yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, katanya [UM 11/01/10]. Insiden pembakaran seterusnya menular ke Negeri Sembilan apabila Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Seremban di Lakeview Square, Seremban 2 dibakar pada awal pagi [UM 12/01/10].

Setakat ini, polis masih melakukan siasatan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti. Bagaimanapun, beberapa pemimpin tertinggi kerajaan nampaknya ‘kepanasan’ apabila pihak pembangkang seolah-olah menuding jari bahawa UMNO adalah dalang di sebalik apa yang berlaku. Sebagai tanda simpati, Datuk Seri Najib Tun Razak telah turun sendiri melawat Gereja Metro Tabernacle selama 15 minit untuk menilai kerosakan gereja tersebut dan terus mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada gereja tersebut untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain [UM 10/01/10]. Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz adalah antara pemimpin tertinggi PAS yang turut melawat rumah ibadat Kristian yang terbakar itu sebagai tanda simpati.

Haram Merosakkan Rumah Ibadat Agama Lain

Islam mengharamkan penganutnya dari merosakkan rumah ibadat agama lain, baik dengan membakar atau memusnahkannya dengan apa cara sekalipun. Walaupun kita tidak bersetuju dan tidak redha dengan perbuatan mereka dalam apa jua hal, khususnya dalam soal kekufuran mereka kepada Allah, namun kita diharamkan untuk membakar atau merosakkan rumah ibadat mereka. Sesungguhnya Rasulullah dan para sahabat (Ijmak Sahabat) tidak pernah menunjukkan atau membenarkan hal ini dilakukan. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

“...Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya...”
[TMQ al-Hajj (22):40].

Di dalam kitab Tafsir at-Thabari, beliau menyebut bahawa Ibnu Khuwaiz Mindad berkata, ayat ini mengandungi larangan meroboh dan merosakkan binaan gereja kafir ahli zimmah, dan biara-biara mereka.

Sehubungan dengan perkara ini, Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini ingin mengingatkan umat Islam agar tidak terpancing dengan emosi dan provokasi sehingga melakukan perbuatan yang bercanggah dengan Islam. Emosi hendaklah dipandu mengikut hukum syarak. Kita tidak menolak kemungkinan bahawa mungkin sahaja ada pihak-pihak yang berkepentingan sengaja melakukan pembakaran tersebut bagi mengeruhkan lagi suasana, baik dari kalangan orang kafir mahupun dari kalangan orang Islam sendiri. Namun, setiap gerakan Islam dan individu Muslim yang ikhlas hendaklah berhati-hati dan tidak seharusnya melatah dengan apa yang berlaku. Tanpa kita perlu menuding jari kepada pihak yang mungkin melakukannya, perhatian kita hendaklah difokuskan kepada ‘kesan’ dari peristiwa ini.

Jika kejadian ini didalangi oleh pihak tertentu yang cuba meraih political milage, semoga Allah membalas kejahatan mereka dengan setimpal. Tetapi sekiranya kejadian ini benar-benar dilakukan oleh umat Islam yang ikhlas yang tidak sanggup melihat puak-puak kuffar menyalahgunakan kalimah Allah, maka nilailah dengan mendalam apa yang anda telah lakukan. Di samping menyalahi hukum syarak, ‘kesan’ penting dari peristiwa pembakaran ini adalah menyebabkan pihak polis dan juga pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang lebih berpihak kepada gereja. Sebaik sahaja terjadinya peristiwa ini, ketua-ketua polis di seluruh negara telah mengarahkan ramai dari anggota mereka untuk menjaga keselamatan tempat ibadat kufur tersebut. Kerajaan malah, tanpa siasatan bermula pun lagi, telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada gereja Metro Tarbenacle, satu jumlah yang bagi kerajaan mungkin semacam RM5, tetapi tidak bagi rakyat. Proses menjaga keselamatan gereja juga tentunya akan memakan masa yang agak panjang dan tentunya menelan belanja yang tidak sedikit di dalam keseluruhan prosedurnya. Dari manakah semua wang yang telah dan akan dibelanjakan ini jika bukan wang rakyat? 

Memanglah kita tidak nafikan bahawa menjadi tugas kerajaan untuk menjaga keselamatan dan keamanan rakyat, namun persoalannya di sini adalah, siasatan masih belum selesai dijalankan, namun wang yang begitu banyak telah dibayar kepada pihak yang berkenaan. Di samping kita tidak menolak dakwaan pembangkang yang menyalahkan kerajaan, mungkin sahaja pembakaran ini dilakukan oleh segelintir puak Kristian sendiri yang cuba menangguk di air keruh. Sepatutnya kerajaan selesaikan dahulu siasatan sebelum memberi gantirugi. Setelah jelas siapa yang bersalah, barulah boleh timbul soal gantirugi, tetapi bukan sebelumnya. Berapa banyak kes-kes yang berlaku sebelum ini sehingga ada yang melibatkan kematian, tetapi kerajaan tidak pernah membayar gantirugi sebelum kes diputuskan oleh Mahkamah. Tetapi dalam kes ini, kerajaan bertindak sepantas kilat memberi gantirugi. Lihat sahaja kes tiga orang pelajar di Kampar yang mati lemas akibat jambatan runtuh semasa menghadiri  perkhemahan 1Malaysia pada 27 Oktober tahun lepas. Begitu juga dengan kes kematian Teoh Beng Hock semasa siasatan SPRM, dan banyak lagi kes lainnya yang ada kaitannya dengan kerajaan, semuanya tidak mendapat ‘gantirugi simpati’ dari kerajaan sebagaimana kes pembakaran gereja ini. Oleh itu, fikirkanlah betapa ruginya umat Islam itu sendiri dengan kejadian pembakaran gereja ini, di mana terlalu jelas bahawa segala kelebihan adalah berpihak kepada orang-orang kafir.

Kesan langsung yang tak kurang pentingnya adalah propaganda yang boleh dilakukan oleh orang kafir ke atas umat Islam. Walaupun ia hanya perbuatan beberapa orang yang tidak bertanggungjawab, tetapi golongan kuffar tentunya akan mengambil kesempatan dengan kejadian yang berlaku ini untuk memburukkan lagi Islam dan umatnya. Peristiwa pembakaran ini boleh sahaja diperbesarkan oleh orang kafir bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara yang akan memberi ruang kepada orang kafir di seluruh dunia untuk bersatu suara memburukkan lagi Islam dan umatnya.

Di dalam negara, peristiwa ini (tidak kira siapa yang melakukannya) telah memberi kelebihan kepada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjustifikasi kerelevanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA yang kononnya mahu dikaji oleh Najib pada awal pemerintahannya, kini masih sahaja tetap tidak terusik sedikitpun, malah dengan apa yang berlaku ini, memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk menguatkan hujah mereka bahawa ISA masih diperlukan. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bersetuju ISA digunakan jika langkah tersebut mampu membendung menularnya perbuatan menyerang gereja. Beliau berkata, ISA wajar digunakan jika langkah tersebut didapati berkesan dalam mengembalikan semula keamanan dan ketenangan di negara ini. Bahkan Menteri Dalam Negeri sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penggunaan ISA merupakan pilihan terakhir dalam membendung perbuatan menyerang gereja yang berlaku sejak beberapa hari lalu [UM 11/01/10]. Hanya kerana perbuatan khianat seorang dua manusia, ISA mesti terus ada. Kerana seorang Jebat yang menderhaka, taming sari mesti terus diguna dan dipelihara!

Sukarnya Bila Tiada Khilafah

Itulah di antara beberapa kesan langsung yang dapat kita saksikan hasil peristiwa pembakaran yang berlaku. Hakikatnya umat Islamlah yang menanggung kerugian dari semua ini. Justeru, tidak sayugialah bagi seorang Muslim untuk melakukan ini semua, walaupun kebencian mereka kepada puak kuffar dan sekular meluap-luap. Kaum Muslimin hendaklah bertindak bijak dalam menangani masalah ini supaya situasi tidak menjadi lebih buruk. Perbuatan kita mestilah dipandu oleh hukum syarak, bukan oleh perasaan. Ingatlah kepada Allah dan Rasul sebelum melakukan setiap perbuatan dan periksalah sama ada Allah dan RasulNya membenarkan atau tidak untuk kita melakukan perkara tersebut. Bagi mereka yang sangat bencikan rumah ibadat orang kafir, kita hendaklah ingat bahawa ketika Rasulullah SAW diutus (di Mekah) dahulu pun, Mekah dipenuhi oleh berhala-berhala, baik di luar mahu pun di dalam Kaabah sendiri. Namun Rasulullah tidak menghapuskannya dan tidak juga memerintahkan para sahabat untuk memusnahkan berhala-berhala tersebut. Orang-orang kafir diajak kepada Islam secara pemikiran, bukan secara kekerasan. Orang-orang kafir diajak untuk menyembah Allah dan diseru meninggalkan sembahan-sembahan mereka dengan hujah yang nyata, bukan dengan fizikal.

Namun, keadaan berbeza apabila Daulah Islam telah tertegak di Madinah dan setelah berlakunya fathu Makkah di mana Rasulullah telah menghancurkan semua berhala yang ada di sekitar Kaabah. Berlaku juga satu peristiwa yang masyhur di dalam sirah di mana Rasulullah SAW memerintahkan sahabat untuk menghancurkan berhala Latta yang berada di Tsaqif. Beberapa orang delegasi dari Tsaqif datang berjumpa Rasulullah untuk memeluk Islam tetapi meletakkan syarat. Rasulullah SAW sama sekali tidak menerima syarat delegasi Tsaqif bahawa mereka hanya akan masuk Islam apabila Rasulullah membiarkan berhala mereka (tidak dihancurkan) selama tiga tahun, dan membebaskan mereka dari kewajiban solat. Baginda langsung menolak usulan mereka untuk membiarkan Latta barang dua tahun atau sebulan seperti yang mereka minta. Bahkan baginda menolak semua usulan mereka dengan tegas. Ini adalah kerana, manusia hanya memiliki dua pilihan (yakni) iman atau kufur, dan kedua hal ini tidak boleh dicampur adukkan. Rasulullah SAW hanya menerima permintaan mereka agar bukan mereka sendiri yang menghancurkan berhala Latta. Baginda lalu menugaskan Abu Sufyan dan Mughirah bin Syu’bah untuk menghancurkannya.

Di dalam Islam, rumah ibadat orang-orang kafir sememangya tidak boleh dizahirkan di tengah-tengah umat Islam. Agama Allah dan syiar Islamlah yang wajib dizahirkan, bukannya syiar kufur. Namun demikian kita perlu ingat bahawa ketentuan untuk meroboh atau mengalihkan rumah ibadat kufur (yang zahir) ini hendaklah datang dari Ketua Negara, kerana hanya Ketua Negara sahajalah yang mempunyai solahiyyah (autoriti) untuk melakukannya. Saidina Umar ra contohnya, ketika membuka Baitul Maqdis dari tangan golongan Kristian, atas kapasitinya sebagai Khalifah, bersetuju untuk tidak merobohkan gereja-gereja mereka. Tetapi dalam rangka menzahirkan syiar Islam, Umar lantas memerintahkan agar masjid dibangun di depan sakhrah (batu besar tempat Rasulullah dimi’rajkan) di Baitul Maqdis [Al-Bidayah wan Nihayah, Ibnu Katsir]. Justeru, kita hendaklah faham bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah (dan Umar) di dalam memusnahkan berhala-berhala atau menentukan kedudukan gereja, adalah di dalam kapasiti mereka sebagai Ketua Negara. Malangnya Ketua Negara pada hari ini sudah tidak berhukum dengan hukum Islam dan sudah tidak mempedulikan ini semua lagi, di mana sekarang terdapat begitu banyak rumah ibadat orang-orang kafir yang zahir di tengah-tengah umat Islam. Kita pun sudah tidak menaruh harapan kepada mereka kerana mereka ternyata sayangkan hukum kufur lebih dari hukum Islam. Justeru, kita berusaha menegakkan Khilafah yang mana bila berdirinya sistem pemerintahan Islam ini nanti, Insya Allah Khalifah akan berhukum dengan hukum Allah dan memastikan hal ini tidak berlaku dan akan memberi kemenangan, keamanan serta ketenangan kepada kita semua.

Sesungguhnya sistem sekular yang diterapkan pada hari inilah yang menjadi punca kepada banyak krisis yang melanda. Hukum Allah telah diganti dengan hukum buatan tangan sendiri di bawah sistem demokrasi. Pemerintah kononnya menjaga kesucian nama Allah dari disalah gunakan oleh orang-orang kafir, namun hakikatnya hukum Allah telah lama ‘dihina’ oleh pemerintah sendiri. Mahkamah yang memutuskan apa-apa perkara pada hari ini adalah mahkamah kufur, yang diwujudkan oleh pemerintah itu sendiri. Apa yang lebih buruk dari penyalahgunaan nama Allah adalah, tidak diterapkannya hukum Allah di dalam negara oleh parti pemerintah. Tidak berjalannya hukum Allah di dalam negara menyebabkan banyak krisis, kerosakan dan malapetaka muncul darinya. Sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini tidak pernah sama sekali menjaga dan melindungi kesucian agama Allah, malah senantiasa mensucikan sistem dan undang-undang kufur. Sistem kufur buatan manusia ini tidak pernah menjaga akidah umat Islam, malah dengannyalah akidah umat Islam semakin rapuh dan orang Islam dibenarkan murtad dari agama Allah tanpa dikenakan hukuman yang sepatutnya. Sistem yang buruk ini hendaklah ditukar kepada sistem Khilafah ala minhaj nubuwwah.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika benar mereka yang membakar gereja atau cuba membakar gereja adalah dari kalangan umat Islam yang ikhlas, semoga mereka yang bertanggungjawab ini sedar akan perbuatan salah mereka dan tampil membuat pengakuan, dan mereka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah, dan semoga Allah mengampuni mereka. Namun, jika ia dilakukan oleh pihak lain, maka kita semua hendaklah sentiasa berwaspada dan mengingatkan antara satu sama lain akan agenda jahat yang tersembunyi di sebalik peristiwa nama Allah dan pembakaran gereja ini, baik ia dilakukan oleh orang kafir mahupun orang Islam. Ingatlah akan firman Allah bahawa,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Dan firmanNya,

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu, sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):51].


0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR