HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Zakat fitrah ataupun zakat mal hanya boleh diberikan kepada orang Islam sahaja. Tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam (kafir). (Abdul Qadim Zalum, Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah, hal. 94; Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/883).
Dalil yang menyatakan tidak bolehnya memberi zakat kepada orang bukan Islam, adalah sabda Nabi SAW kepada Muaz bin Jabal r.a yang diutus oleh Nabi SAW ke Yaman :
"…Maka beritahukanlah kepada mereka, bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat pada harta-harta mereka, yang diambil dari orang-orang kaya mereka [di kalangan muslim] dan diberikan kepada orang-orang fakir mereka [di kalangan muslim]." (HR Bukhari, no 1308; Muslim, no 27; Abu Dawud, no 1351; At-Tirmidzi, no 567; An-Nasa`i, no 2392; Ibnu Majah, no 1773; Ahmad, no 1967).
Sebaliknya, kepada orang bukan Islam yang fakir boleh diberikan harta selain zakat, seperti sedekah, kaffarah, nazar dan lain-lain. Demikian pendapat Imam Abu Hanifah, Muhammad bin Al-Hasan, dan Zufar. (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/883). Hal itu berdasarkan keumuman lafazh "al-fuqara`" (orang-orang fakir) pada nash-nash Al-Qur`an, seperti dalam firman-Nya :
"Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (TMQ Al-Baqarah [2] : 271).
0 comments:
Post a Comment