ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


DEMI UNDI, AGAMA ALLAH DIUBAH SESUKA HATI!


DEMI UNDI, AGAMA ALLAH DIUBAH SESUKA HATI!


[SN181] Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 April lepas telah membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain. Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di mana beliau selanjutnya mengisytiharkan bahawa mesyuarat kabinet juga telah memutuskan bahawa mana-mana perkahwinan yang didaftarkan menerusi proses sivil tidak akan terbatal secara automatik sekiranya salah satu pasangan itu bertukar kepada agama Islam dan dia mesti menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak di Mahkamah Sivil dan bukannya di Mahkamah Syariah..


Kabinet dikatakan membuat keputusan itu berdasarkan pandangan daripada Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil [UM 24/04/09]. Dalam komennya, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria meluahkan rasa dukacitanya dengan keputusan Kabinet tersebut yang boleh menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Beliau menambah dengan mengatakan bahawa agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana hendak memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu. Katanya, “Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini.” [UM 25/04/09].


Isu ini muncul daripada kes yang melibatkan pasangan K. Pathmanaban atau nama Islamnya, Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya M. Indra Ghandhi yang masih kekal dengan agama asalnya. Kes tersebut melibatkan status perkahwinan dan tuntutan penjagaan ke atas ketiga-tiga anak mereka Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 tahun, yang mana Mohd Ridzuan telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Syariah Ipoh dan telah dibantah oleh isterinya dengan alasan tidak diberitahu mengenainya. Akhirnya kabinet telah mendahului mahkamah dengan memutuskan agar kes tersebut dan seumpamanya mesti dibicarakan di Mahkamah Sivil supaya semua pihak akan mendapat keadilan dan Mahkamah Syariah harus tunduk dengan apa jua keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil.


Sungguh aneh bentuk ‘keadilan’ yang dicari oleh Menteri Kabinet. Dengan menyerahkan perkara ini kepada mahkamah sivil/kufur untuk diadili oleh undang-undang kufur, mereka mengatakan ini ‘adil’? Apakah undang-undang kufur itu lebih adil (di sisi menteri kabinet) dari undang-undang Islam sehingga Mahkamah Syariah mesti tunduk kepada Mahkamah Sivil? Nampaknya, syariat yang diturunkan oleh Allah SWT telah dirobek-robek dan dicampakkan ke tepi oleh kepemimpin Malaysia yang baru ini. Padahal hukum syara’ berkaitan dengan status perkahwinan yang melibatkan pasangan yang terdiri daripada seorang muslim dan musyrik telah pun diterangkan dengan jelas di dalam Al Quran manakala hak pengasuhan dan kewalian seorang anak juga telah pun diperincikan oleh Rasulullah SAW.


Kabinet Merubah Hukum Allah


Sebelum pergi lebih jauh membincangkan tentang hukum penjagaan anak, marilah kita lihat terlebih dahulu betapa lancangnya Menteri Kabinet Malaysia yang baru ini di dalam merubah hukum Allah. Mereka menetapkan bahawa taraf perkahwinan pasangan tidak akan terbatal secara automatik jika salah seorang dari mereka bertukar agama kepada Islam. Hal ini merupakan pencerobohan yang jelas lagi nyata ke atas ayat-ayat Allah. Walhal Allah SWT berfirman,


“Wahai orang-orang yang beriman! apabila datang berhijrah kepadamu perempuan-perempuan yang mengaku beriman, maka hendaklah kamu uji (keimanan) mereka. Allah lebih mengetahui tentang keimanan mereka. Maka jika kamu telah mengetahui bahawa mereka (benar-benar) beriman, maka janganlah kamu kembalikan mereka kepada (suami-suami mereka) orang-orang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu mahar yang telah mereka bayar. Dan tiada dosa atasmu mengahwini mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu bayar kepada mereka maharnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada tali perkahwinan dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir. Dan hendaklah kamu minta balik mahar yang telah kamu bayar, dan biarlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik mahar yang telah mereka bayar. Demikianlah hukum Allah yang ditetapkanNya di antara kamu dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [TMQ al-Mumtahanah (60):10].


Kafir yang dimaksudkan di sini adalah kafir musyrik, iaitu selain daripada ahli kitab. Ayat ini adalah mengenai sejumlah wanita yang berhijrah dari Mekah ke Madinah dengan meninggalkan suami masing-masing yang masih musyrik. Setelah diuji oleh Rasulullah SAW, ternyata penghijrahan mereka itu bukan kerana lari daripada tanggungjawab. Antara perkara yang diselidiki oleh Rasulullah adalah dengan menguji untuk memastikan mereka berhijrah ke Madinah bukan kerana benci kepada suaminya atau hijrah mereka bukan sekadar ingin berpindah dari satu daerah ke daerah lain atau hijrahnya bukan untuk mencari dunia, tetapi hijrah mereka adalah semata-mata kerana cinta kepada Allah dan RasulNya. Dan terbukti mereka telah lulus kesemua ujian tersebut dan dengan demikian Allah menetapkan bahawa mereka tidak boleh (haram) dikembalikan kepada suaminya yang masih kafir dan mereka mesti dilindungi. Oleh yang demikian, ini membawa maksud bahawa perkahwinan mereka telah terbatal. Ini merujuk kepada lafaz ayat “..mereka tidak halal bagi orang kafir, dan orang kafir tidak halal bagi mereka”. Setelah turun ayat ini, Sayyidina Umar Al Khattab kemudian terus menceraikan dua orang isterinya yang masih musyrik [Tafsir Ibn Katsir 8/100].


Demikianlah hukum Allah di dalam kedudukan ini, di mana apabila salah seorang pasangan telah memeluk Islam, maka ikatan perkahwinan mereka secara automatik terbatal kerana haram bagi seorang Muslim (kekal) berkahwin dengan seorang musyrik. Apakah ‘firman’ Menteri Kabinet lebih tinggi dari Firman Allah sehingga mereka begitu berani melawan Kalamullah!!!?


Keputusan Kabinet ini juga dikritik hebat oleh sebahagian gerakan Islam di mana mereka menyatakan bahawa kabinet telah membelakangkan dan cuba mengambil alih fungsi Parlimen sebagai dewan pembuat undang-undang, di mana sepatutnya undang-undang hanya boleh dibuat oleh Parlimen. Inilah hujah mereka. Sebahagian dari ahli gerakan Islam ini juga menyatakan bahawa menteri kabinet telah tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, kerana terdapat peruntukan berkaitan hak penjagaan anak di bawah Perkara 12(4) yang menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun boleh ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Juga, telah terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 yang menjadi precedent yang memberi hak kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah untuk mengIslamkan kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan atau mendapat persetujuan isterinya, R. Subashini yang masih beragama Hindu. Banyak NGO dan umat Islam yang seterusnya berharap agar kerajaan kembali merujuk kepada precedent dan Perkara 12(4) dan menarik balik keputusan mereka.


Walaupun kesemua hujah di atas nampak seakan-akan menyokong Islam, hakikatnya ia amat jauh menyimpang dari Islam. inilah perkara yang amat menyedihkan kita. Umat/gerakan Islam masih lagi berfikir di bawah tempurung demokrasi dan Perlembagaan, bukannya di bawah kerangka berfikir Islam yang sebenar. Sesungguhnya agama Allah ini telah sempurna dan langsung tidak memerlukan pertolongan dari demokrasi mahupun Perlembagaan ciptaan sikafir Lord Reid. Segala undang-undang yang diperuntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu merupakan ‘najis mughalazah’ yang harus dibuang, dicuci serta disamak oleh umat Islam agar negara kaum Muslimin ini kembali bersih dan suci dari kesemua najis peninggalan penjajah tersebut. Kenapa perlu ‘bertahkim’ dengan Perlembagaan ciptaan si kafir, walhal kita ada Al-Quran dan Al-Hadis yang merupakan sumber hukum dan menjadi penjelas bagi setiap perkara?


Hukum Pengasuhan (Kafalah) Dan Kewalian (Wilayah)


Pengasuhan/pemeliharaan anak (kafalah) adalah wajib di dalam Islam. Ini adalah kerana, tanpa mendapat pemeliharaan yang wajar, nescaya anak itu akan binasa kerana tidak dapat mengurus makan, pakai dan keselamatan dirinya sendiri. Tetapi jika seseorang anak itu sudah mampu hidup sendiri tanpa pemeliharaan, maka illat (sebab hadirnya hukum) kafalah tadi juga hilang dan kewajiban untuk memeliharanya juga terangkat. Islam telah pun mempunyai pengaturan yang jelas di dalam hal penentuan hak kafalah anak apabila berlakunya perceraian antara suami-isteri. Samada ada perceraian itu melibatkan pasangan suami isteri yang beragama Islam ataupun perceraian disebabkan salah seorangnya bertukar agama.


Sebelum membahas lanjut, perkara penting yang perlu difahami di sini adalah perbezaan di antara pemeliharaan anak (kafalah/custody) dan kewalian (wilayah/guardianship). Kafalah bermaksud menyusui, mengasuh, merawat dan memberikan belaian kepada seorang anak sejak ia lahir sehinggalah kepada peringkat di mana dia mampu membezakan di antara perkara baik dan buruk (sesetengah ahli fiqh mengistilahkannya sebagai mumayyiz). Sekiranya si ibu tidak mampu menjalankan tanggungjawab kafalah atas sebab-sebab tertentu maka terdapat hukum khusus mengenai hal ini dari segi, kepada siapakah jatuhnya kafalah selepas itu. Kafalah ini tidak boleh diberi kepada orang yang tidak layak, bahkan bagi orang yang layak sekalipun, terdapat urutannya yang tersendiri, yang mana saudara perempuan mesti didahulukan.


Ada pun kewalian (wilayah) pula bermaksud hak penjagaan atau ‘penguasaan khas’ oleh si wali ke atas anak yang sudah melepasi peringkat mumayyiz sehinggalah ke umur baligh atau berkahwin (bagi anak perempuan). Berbeza dengan urutan hukum kafalah, urutan hukum kewalian berada di sebelah keluarga yang lelaki.


Hizbut Tahrir di dalam Fasal ke-118 kitab Muqadimmah ad-Dustur, telah menjelaskan hal ini – “pengasuhan terhadap anak-anak (kafalah) adalah hak dan kewajiban wanita, tidak kira samada dia seorang muslim ataupun bukan, selama mana anak itu memerlukan asuhan. Namun, apabila seseorang anak itu sudah tidak memerlukan kafalah dan kedua-dua ibu dan bapanya muslim, ia akan diberikan hak untuk memilih samada ingin terus bersama ibunya atau pergi kepada bapanya. Tetapi jika salah seorang (sama ada) ibu atau bapanya itu bukan muslim, maka si anak, tidak kira lelaki mahupun perempuan, yang sudah mumayyiz itu tadi tidak diberikan pilihan melainkan diserahkan kepada pihak yang muslim.”


Fasal di atas menjelaskan bahawa dari segi kafalah, sekiranya si anak itu masih belum mencapai tahap mumayyiz, dia tidak diberikan pilihan melainkan diserahkan kafalah kepada ibunya, tidak kiranya ibunya muslim atau kafir. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud,


“Seorang wanita pernah berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, anakku ini, perutkulah yang menjadi tempatnya, puting susukulah yang menjadi tempatnya air minumnya, dan pangkuankulah yang menjadi tempat bernaungnya. Akan tetapi, ayahnya menceraikan diriku dan ingin mengambilnya dari sisiku.’ Rasulullah saw lantas bersabda,’ Engkaulah lebih berhak atasnya sebelum engkau menikah lagi”


Jika anak itu sudah agak besar yakni pada umur yang sudah dapat memikirkan segala hal dan mampu membezakan perlakuan ibunya dan perlakuan bapanya, maka dia diberi pilihan di antara kedua orang tuanya. Siapa yang dia pilih, bererti anak itu akan bersamanya. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud dari Abdul Hamid ibn Ja’far dari bapanya dari datuknya iaitu Rafi’ ibn Sinan bahawa,


“Sesungguhnya ia telah masuk Islam, sedangkan isterinya menolak masuk Islam. Si isteri lalu datang kepada Nabi SAW. Dan kemudian berkata, ‘Ini adalah anak perempuanku. Ia telah disapih (berhenti susu) atau seumpamanya.’ Rafi’ berkata, ‘Ini adalah anak perempuanku.’ Nabi SAW lantas berkata kepada Rafi, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Beliau juga berkata kepada si isterinya, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Setelah itu, beliau meletakkan si anak di tengah-tengah di antara keduanya seraya berkata kepada keduanya, ‘Cuba panggillah anak ini oleh kalian berdua.’ Si anak ternyata condong kepada ibunya. Selanjutnya, Nabi SAW berdoa, ‘Ya Allah, berilah anak itu petunjuk.’ Setelah Nabi SAW berdoa, si anak pun kemudian condong kepada ayahnya sehingga diambillah ia oleh ayahnya itu.”


Perlu difahami dengan teliti bahawa ‘pilihan’ yang diberi oleh Rasulullah di dalam hadis di atas adalah kerana anak tersebut telah pun dapat membezakan di antara perlakuan ibunya dan perlakuan bapanya, dan pilihan tersebut juga adalah berhubung soal kafalah (bukannya wilayah). Secara mafhumnya, hadis di atas bermaksud sekiranya si anak masih lagi menyusu dan belum mencapai tahap yang mampu membezakan perilaku ayah atau ibunya, maka anak tersebut tidak diberi pilihan melainkan diserahkan kepada ibunya. Ini kerana, Islam telah menetapkan bahawa ibu lebih berhak dalam pengasuhan (kafalah) anak, dan tidak ada nas yang melarang seorang ibu (walaupun kafir) mengasuh anaknya. Di sini, kita tidak boleh mengatakan bahawa kafalah itu mempunyai makna yang sama dengan wilayah sehingga menganggap orang kafir tidak boleh mengasuh anak seorang Muslim. Memang hakikat keduanya berbeza dan membawa implikasi hukum yang berbeza antara satu sama lain. Apa yang pasti, maksud kafalah itu adalah menyusukan, membesarkan serta memberi pelayanan yang baik kepada anak, dan ini sama sekali berbeza dengan maksud/hukum wilayah. Perlu difahami dengan benar bahawa hadis di atas bukan membicarakan hukum tentang wilayah, tetapi kafalah. Oleh yang demikian, tidak boleh diterapkan hukum-hukum kewalian pada fakta tersebut [Nizamul Ijtima’ei, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].


Semua pembahasan di atas adalah mengenai anak yang memerlukan kafalah demi untuk menjaga dirinya dari kebinasaan. Sedangkan bagi anak yang, dengan kemampuannya tidak memerlukan kafalah, maka dengan kemampuannya itu, hilanglah illat pengasuhan anak. Kerana illatnya hilang, maka hilang pula hukumnya, iaitu kewajipan mengasuhnya. Dalam keadaan ini, perlu diperhatikan hal berikut dengan sebaiknya - Jika orang yang berhak mengasuh (contohnya ibu) adalah seorang kafir, maka si anak wajib di ambil dari orang itu dan diserahkan kepada orang yang memiliki kewalian (wilayah) atas anak tersbut. Sebab, fakta yang ada telah menjadi persoalan wilayah, bukan lagi kafalah. Sedangkan kewalian tidak boleh sekali-kali diserahkan kepada orang kafir. Ini berdasarkan Firman Allah,


“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’(4):141].


Juga, sabda Rasulullah SAW,


“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya” [HR ad-Daruqutni].


Adapun jika perceraian itu melibatkan pasangan suami-isteri yang kedua-duanya beragama Islam manakala si anak sudah pun mencapai tahap mumayyiz, maka si anak diberi hak memilih samada untuk tinggal bersama ibu atau bapanya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud,


“Nabi SAW pernah menyuruh kepada seorang anak lelaki untuk memilih di antara mengikuti ayahnya atau ibunya” [HR Ahmad, Ibn Majah dan Tirmizi]


Sesungguhnya terdapat banyak lagi nas lain yang tidak dapat diungkap di sini kerana keterbatasan ruang. Namun, berdasarkan nas-nas yang telah diterangkan dan dengan mengaplikasikannya ke dalam kes kita sekarang, sudah amat jelas bahawa kewalian (wilayah) dan juga kafalah terhadap dua orang anak Mohd Ridzuan Abdullah iaitu Tevi Darsiny, 12 dan Karan Dinesh, 11 mestilah berada di tangan bapanya yang Muslim, kerana mereka sudah pun mencapai tahap mumayyiz. Manakala anak ketiganya, Prasana Diksa, hak kafalah berada di tangan ibunya untuk disusui, dijaga, dirawat dan dibelai dengan baik. Namun apabila dia telah mumayyiz, dia hendaklah diserahkan kepada bapanya yang beragama Islam kerana kewalian berada di tangan si bapa yang Muslim. Dalam hal ini, kita mesti ingat bahawa agama Allah adalah agama yang benar dan mesti dimenangkan/dizahirkan di atas agama-agama yang lain.


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Apakah kita masih mahu berharap dan redha dengan kerajaan yang terang-terang merubah hukum Allah? Apakah mereka begitu jahil dalam hal ini, sedangkan mereka dikelilingi oleh ‘orang-orang agama’ yang mereka bayar? Atau mereka dan ‘orang agama’ mereka sengaja tunduk kepada kehendak orang-orang kafir sehingga sanggup pula mereka merubah hukum Allah? Apakah yang sebenarnya mereka mahukan dengan keputusan yang mereka keluarkan ini, apakah mereka mencari keredhaan dari orang-orang kafir, atau undi dari orang-orang kafir? Sesungguhnya amat kejilah apa yang mereka lakukan,


“Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, walhal Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membenci.” [TMQ as-Saf (61):8].


Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Sesungguhnya kita mesti ingat bahawa tindakan mereka di dalam merubah hukum Allah bukan sahaja berlaku di dalam kes ini, malah dalam kesemua kes. Mereka tidak pernah menerapkan hudud Allah, malah merubahnya, mereka tidak pernah menerapkan hukum ekonomi Islam, sosial, pendidikan, pengqadhian, jihad dan sebagainya. Mereka telah campakkan kesemua hukum Allah ini dan menggantikannya dengan hukum kufur-sekular yang mereka cipta sendiri. Kebanyakan alim ulama dan mufti mereka pula bersekongkol dengan mereka. Jika ada yang berani pun, hanya sebatas ‘mengkritik lembut’ kerajaan di dalam hal-hal tertentu sahaja, sedangkan kemungkaran besar kerajaan di dalam tidak menerapkan hukum Allah secara kaffah hanya ‘didiamkan’ oleh mufti-mufti ini. Sesungguhnya kerajaan yang memaksiati Allah ini tidak akan kekal lama...dan Allah akhirnya pasti akan memberi kemenangan kepada pejuang-pejuang di jalanNya yang mukhlisina lahuddeen. ALLAHU AKBAR!


0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR