ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


MUNTAHAN DEMOKRASI DI PERAK!


[SN182] Bermula dengan sketsa Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dari UMNO yang melompat ke PR, kemudian disusuli ‘misteri’ kehilangan dua orang Exco PKR yang setelah itu muncul semula dan mengisytiharkan diri keluar parti bersama seorang lagi Adun DAP. Kemudian, ‘kekartunan’ politik di Perak ini bertambah menarik apabila Nasharudin melakukan ‘u-turn’ ke UMNO semula. Setelah itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang merupakan Menteri Besar yang tidak dipertikaikan waktu itu memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN, namun tidak diterima, malah Sultan melantik pula Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai MB yang baru. Setelah pelantikan Zambry, bermulalah pula babak baru drama rampasan kuasa oleh UMNO/BN yang kemudiannya terus mengheret Sultan Perak untuk ‘dipergunakan’ mereka habis-habisan. Kemudian, berlakulah pula lakonan tuduh-menuduh derhaka-menderhaka kepada Raja yang menyebabkan Perak gegak gempita. Untuk terus hidup, UMNO terpaksa bertaut sepenuhnya kepada institusi Raja memandangkan PR terus kukuh berhujah dan berpegang teguh dengan Undang-undang Tubuh Negeri. Masing-masing kini bermain hujah, satu berpegang kepada Raja dan satu lagi kepada undang-undang. Justeru, kedudukan persoalan yang muncul adalah di antara “Raja dan undang-undang”, siapakah yang lebih berkuasa? Untuk menyelesaikan drama demokrasi ini, maka Nizar yang dikatakan sebagai bekas Menteri Besar, mengheret Dr. Zambry yang dikatakan Menteri Besar ‘haram’, ke Mahkamah bagi memutuskan siapakah menteri besar yang sebenar dan sah mengikut hukum demokrasi.

Ternyata, setelah beberapa purnama diadili oleh mahkamah sekular di bawah undang-undang sekular, keputusan mahkamah memihak kepada Nizar. Lalu bergembiralah semua penyokongnya dan terus menganggap mahkamah sekular yang memutuskan keputusan itu telah kembali kewibawaan dan kesuciannya. Malah ada yang terus bersujud syukur dengan keputusan mahkamah sekular tersebut, seolah-olah keputusan yang dibuat hakim sekular tersebut berdasarkan Al-Quran dan Sunnah! Namun, langit yang baru sahaja cerah terus diselubungi awan mendung apabila tidak sampai 24 jam, mahkamah sekular yang lebih tinggi membenarkan rayuan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah sebelumnya. Maka, tersenyum lebarlah anak jati Pangkor yang dikatakan ‘Menteri Besar Pasola’ itu, kerana dapat kembali berada di kerusi empuk bagi meneruskan pemerintahan sekular yang dimurkai Allah. Di sebelah pihak yang lagi satu, mahkamah yang baru sekejap tadi dipuji terus dikeji dan dikatakan umpama sarkas. Begitulah serba ringkas apa yang berlaku di Perak setakat ini, di mana dua pihak yang mendakwa masing-masing adalah ‘kerajaan yang sah’ telah menggunakan apa jua cara untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain. Akhirnya, sesuai dengan ajaran demokrasi di bawah konsep Trias Politika, maka mahkamah sivil (mahkamah kufur, bukan mahkamah syariah) menjadi pihak/badan ketiga yang diharap menjadi pemutus sengketa mereka. Bagi pencinta demokrasi, keputusan mahkamah sangat-sangatlah dinantikan di dalam kes ini.

Namun, bagi pencinta Islam, kita dapat menyaksikan bahawa inilah natijah dari pelaksanaan sistem dan undang-undang warisan penjajah di mana umat Islam bercakaran sesama sendiri bagi merebut kuasa dan jawatan. Sistem pemerintahan Khilafah yang merupakan satu-satunya sistem Islam yang datangnya dari Allah dan Rasul tidak mereka usahakan, namun sistem demokrasi yang ditinggalkan penjajah inilah yang dijadikan bahan percakaran sesama sendiri untuk dipertahankan. Jika British menyaksikan peristiwa ini, pasti mereka akan ketawa dan tersenyum bangga kerana ternyata hingga kini, Perak (dan Malaysia) bukan sahaja masih mengamalkan undang-undang kufur yang mereka tinggalkan, malah bermati-matian mempertahankannya!!!

Oh Alangkah Sucinya Demokrasi!

Akibat terlibat secara langsung dengan pemerintahan demokrasi, setiap kali berlaku kemelut, tidak terkecuali seperti di Perak ini, parti Islam tidak lagi bercakap tentang Islam, tetapi bercakap tentang demokrasi sebagai ‘standard kebenaran’ di dalam menilai apa yang berlaku. Di dalam mengembalikan kebenaran, seluruh pertuturan dan hujah mereka adalah berkisar tentang mengembalikan demokrasi, bukannya lagi tentang mengembalikan Islam sebagai satu-satunya hukum untuk manusia. Semua ini berlaku akibat mereka terjebak dan terbius dengan racun demokrasi!

Kita semua harus sedar bahawa hakikat permasalahan umat Islam sekarang adalah kerana hidup mereka tidak lagi dinaungi oleh syariah, tetapi dinaungi oleh demokrasi. Kehidupan mereka bukan lagi kehidupan Islam. Umat Islam kini mengembalikan segala penyelesaian kepada demokrasi, bukannya kepada Islam. Walaupun ada yang mendakwa bahawa mereka hanya ‘mempergunakan’ demokrasi untuk menegakkan Islam, namun apa yang berlaku sejak dulu hingga sekarang adalah sebaliknya (iaitu) mereka hanya ‘dipergunakan’ oleh demokrasi secara terus-menerus. Malah mereka sering dipermain dan diperbodohkan atas nama demokrasi. Mereka mendakwa mereka sah berkuasa kerana demokrasi, kemudian ternyata apabila kuasa mereka digulingkan sedemikian rupa oleh pihak lawan, mereka (pihak lawan) juga mengatasnamakan demokrasi. Dan mereka kemudian dikatakan sah berkuasa, sekali lagi atas nama demokrasi. Seterusnya, mereka dikatakan tidak lagi berkuasa, juga atas nama demokrasi. Aneh! Mereka masih tetap mengatakan mereka sah berkuasa atas nama demokrasi, dan dalam masa yang sama puak sekular yang merampas kuasa juga mendakwa merekalah pemimpin yang sah menurut demokrasi! Pendek kata, setelah jelas kebobrokan demokrasi seperti ini sekalipun, ia masih menjadi ukuran dan ‘standard kebenaran’ bagi mereka. Al-Quran dan As-Sunnah yang sesungguhnya merupakan satu-satunya kayu ukur kebenaran telah ditinggalkan.

Gerakan Islam seharusnya sedar bahawa mereka sebenarnya terperangkap dengan kekotoran politik di bawah nama demokrasi dan Raja Berperlembagaan. Akhirnya, agama Islam yang mereka perjuangkan terpaksa mereka tundukkan kepada kehendak demokrasi yang dibawa oleh puak kafir dan puak sekular yang lebih berkuasa. Islam tidak didaulatkan sebaliknya demokrasi pula yang dijulang dan diagung-agungkan. Puak sekular sememangnya benci dan tidak inginkan Islam. Mereka akan menggunakan segala taktik keji dan kotor untuk menjamin kuasa mereka. Menasihati mereka kepada Islam tidak lebih seumpama mencurah air ke daun keladi. Justeru, menasihati dan menyedarkan gerakan Islam adalah jauh lebih baik dari mengetuk kepala batu puak sekular. Gerakan Islam harus sedar bahawa demokrasi yang mereka perjuangkan hanyalah memakan diri sendiri sejak dahulu lagi. Ini kerana demokrasi tidak akan menguntungkan Islam sedikit pun, melainkan hanya memberi keuntungan kepada golongan kuffar dan sekular. Hinanya demokrasi adalah sehina golongan sekular yang yakin dengannya dan memperjuangkannya. Ia (demokrasi) tidak layak diperjuangkan oleh golongan umat Islam yang mulia, khususnya yang berada di dalam parti-parti Islam.

Sesungguhnya 'standard kebenaran' itu ada pada Islam, tidak pada demokrasi. Dan sebagai jalan keluar atau penyelesaian kepada masalah ini, Islam mestilah diletakkan semula pada posisinya dalam kehidupan secara menyeluruh dan nalar. Pihak-pihak yang bertelagah sepatutnya berusaha dan berjuang ke arah merealisasikan kembali sistem Islam dan mengembalikan kehidupan Islam dalam tubuh umat di kala ini, bukannya berjuang untuk memulihkan demokrasi. Itulah yang sepatutnya dan itulah yang sewajibnya diperjuangkan oleh kelompok politik Islam, bukannya terus menerus membiarkan diri terjebak dengan perangkap demokrasi yang hina lagi menghinakan. Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita erti politik Islam yang jauh berbeza bahkan bertentangan dengan asas, konsep, prinsip dan amalan sistem demokrasi yang ada sekarang. Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan demokrasi, sedikit pun, dan sesungguhnya kehinaan yang melanda umat Islam kini, adalah kerana demokrasi!

Pihak-pihak yang bergaduh sebenarnya telah terperangkap di dalam sistem kotor demokrasi yang memecah-belahkan sesama umat Islam dan melemahkan lagi ikatan persaudaraan mereka. Kita semua sedar bahawa dalam politik demokrasi sekarang, ada pihak yang sanggup menjadikan pihak lain sebagai mangsa percaturan politik, tanpa memikirkan kesannya kepada Islam, dan tanpa memikirkan persoalan dosa dan pahala sedikit pun. Kuffar Barat sedang tertawa melihat gelagat umat Islam yang bergaduh sesama sendiri dek sistem demokrasi yang mereka (Barat) ciptakan. Agenda (demokrasi) Barat sekali lagi berjaya, dan hal ini langsung tidak disedari oleh pihak-pihak yang bertelagah. Malah mereka masih berpegang teguh membicarakan demokrasi di saat-saat segenting ini untuk terus mempertahankannya. Sungguh, wakil yang dipilih oleh rakyat di bawah demokrasi yang kononnya mewakili dan menjaga kebajikan mereka, akhirnya menjadi lawan antara satu lain dalam perebutan kuasa yang tidak ada kena mengena langsung dengan aspirasi rakyat.

Islam vs Demokrasi

Idea 'suci' demokrasi yang mengatakan kedaulatan di tangan rakyat telah nyata dihapuskan oleh pihak-pihak yang memperjuangkan demokrasi itu sendiri. Apa yang berlaku di Perak sebenarnya menunjukkan bahawa ‘kedaulatan’ adalah di tangan pihak yang berkuasa, bukannya di tangan rakyat. Hakikatnya rakyat hanyalah pihak yang menjadi mangsa kepada kerakusan parti-parti politik yang ingin berkuasa. Dalam pergaduhan ini, kedua-dua pihak mendakwa bahawa tindakan mereka adalah bersesuaian dengan ‘demokrasi’ dan menuduh pihak lain tidak mengikut lunas demokrasi. Yang pasti, tidak ada satu pihak pun yang berhujah bahawa tindakan mereka adalah bersesuaian dengan ‘Islam’. Dengan kata lain, kedua-dua pihak telah meletakkan ‘standard kebenaran’ kepada demokrasi, bukannya kepada Islam atau hukum syarak. Walhal yang bergaduh majoritinya adalah sesama Muslim. Mereka langsung tidak merujuk kepada firman Allah. Satu pihak merujuk kepada Raja, satu pihak lagi merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri, dan kedua-dua pihak bersepakat merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan. Sungguh, kedua-duanya telah membelakangkan firman Allah, membelakangkan Al-Quran dan Sunnah yang merupakan undang-undang yang tertinggi dan satu-satunya undang-undang untuk umat Islam. Sedangkan Allah berfirman,

“...kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
[TMQ an-Nisa’ (4):59]

Demi Allah! Jika mereka merujuk kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka tidak akan mengembalikan persengketaan mereka kepada ‘demokrasi’ atau kepada Perlembagaan ciptaan manusia yang langsung tidak ada nilai di sisi Allah. Jika mereka merujuk kepada (hukum) Allah dan Rasul, nescaya mereka akan sedar bahawa Islam meletakan kedaulatan di tangan syarak, bukannya di tangan rakyat, yakni manusia wajib tunduk patuh kepada ketetapan syara’ yang berupa hukum Allah ke atas mereka. Wajib bagi pihak-pihak yang bertelagah untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, bukannya kembali kepada Raja, kepada Perlembagaan Malaysia atau kepada Perlembagaan Perak yang diciptakan oleh manusia di bawah sistem demokrasi. Kitabullah dan Sunnah RasulNya adalah satu-satunya hukum yang wajib diikuti oleh manusia, bukannya hukum demokrasi.

Demi Allah! Sekiranya mereka kembali kepada Allah dan Rasul, nescaya mereka akan tahu bahawa sistem pemerintahan Islam adalah sistem Khilafah, tidak sebagaimana sistem demokrasi yang ada sekarang yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara federasi yang membahagi-bahagikan antara kuasa Pusat dan kuasa Negeri yang seterusnya mewujudkan jawatan Menteri Besar di peringkat negeri. Oleh kerana sistem demokrasi yang mewujudkan federasi inilah yang menyebabkan timbulnya kekecohan dan pergaduhan sesama umat Islam di Perak, hanya kerana berebut jawatan Menteri Besar. Kedua-dua pihak sudah tidak dapat keluar dari cara berfikir yang telah sikafir Lord Reid tanamkan melalui Perlembagaan Malaysia, yang mana Malaysia mesti ada kuasa Pusat dan kuasa Negeri. Jadi mereka cuba berebut dan mempertahankannya habis-habisan. Walhal, pembahagian kuasa pusat dan kuasa negeri ini langsung tidak ada di dalam Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Sahabat mahupun Qiyas. Konsep federasi ini juga langsung tidak dipraktikkan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidun di dalam pemerintahan mereka. Selama pertelingkahan ini tidak dirujuk kepada Al-Quran dan Sunnah maka selama itulah pihak-pihak yang bertelagah ini akan terus terperangkap dengan kekejian demokrasi yang memecah belahkan sesama umat Islam.

Sesungguhnya Islam telah meletakkan peranan seorang Khalifah untuk mendaulatkan hukum-hakam Islam di tengah-tengah masyarakat. Seorang Khalifah itu dibaiat untuk melaksanakan hukum Allah ke atas manusia, bukan seperti sistem demokrasi di mana pemimpin dilantik untuk melaksanakan hukum-hakam ciptaan manusia ke atas manusia. Dalam demokrasi, yang diterapkan adalah hukum hawa nafsu di mana manusia tidak dipimpin kecuali dengan hukum buatan manusia yang senantiasa menimbulkan ketidakpuasan dan pertelingkahan. Undang-undang yang dicipta bukan untuk mengatur kehidupan manusia tetapi untuk menjamin kepuasan duniawi mereka yang memerintah. Para pemimpin dan wakil rakyat hanya melampiaskan hawa nafsu untuk kepentingan masing-masing, bukannya untuk kepentingan Islam, dan akibatnya rakyat menjadi mangsa mainan politik kotor mereka.

Sesungguhnya kekusutan yang berlaku di Perak ini lahir dari kesan pelaksanaan sistem demokrasi yang merosakkan. Sistem demokrasi tidak pernah membawa kebaikan kepada Islam, malah semakin menjauhkan umat dari sistem Islam yang sebenar. Sistem demokrasi ini melahirkan sekumpulan manusia yang membuat undang-undang (Legislator) dan kononnya kuasa mereka akan di‘check and balance’kan oleh kuasa lain, walhal mereka akan mempergunakan segala kuasa yang ada untuk terus kekal memerintah. Jika mereka perlu guna Sultan, mereka akan lakukannya, dan jika mereka perlu guna syaitan, pun mereka akan melakukannya. Dan mereka sekali-kali tidak pernah menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai ‘check and balance’ kuasa mereka. Inilah demokrasi! Kini, kita telah melihat sendiri bagaimana demokrasi telah memuntahkan sedikit isi perutnya di Perak. Sungguh busuk, sungguh kotor, sungguh hina, keji dan jijik muntahan demokrasi ini. Hanya golongan kuffar dan sekular sahaja yang layak menelan segala muntahan yang busuk ini. Para pejuang Islam tidak sepatutnya menelan muntah ini, tetapi sepatutnya membersihkan diri mereka dari segala kebusukan dan kekotorannya. Para pejuang agama Allah adalah golongan yang mulia yang tidak sepatutnya bergelumang dengan segala kekotoran demokrasi ini, sebaliknya mereka wajib berusaha untuk menyapu bersih demokrasi yang najis ini dan menggantikannya dengan Islam yang suci lagi menyucikan.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Perkembangan terkini di Perak bukan sahaja telah menyingkapkan pembohongan sistem demokrasi, malah ia turut menyingkapkan lagi keburukan dan kekejian yang terdapat di dalam sistem demokrasi. Masing-masing dilihat berebut untuk mendapatkan kekuasaan bagi memerintah atas nama demokrasi. Yang jahat bercakap tentang demokrasi, yang baik pun bercakap tentang demokrasi, seolah-olah demokrasi ini suatu yang suci yang perlu diperjuangkan baik oleh golongan kuffar, sekular mahupun Islam. Umat Islam sepatutnya berusaha untuk mengembalikan undang-undang Allah dan mengembalikan sistem pemerintahan Islam yang sebenar yakni Sistem Khilafah. Kenapakah masih terus berpegang teguh dengan demokrasi walhal telah terbukti demokrasi hanyalah sistem busuk dan keji yang ditinggalkan oleh penjajah kepada kita semua? Ingatlah, wahai insan yang masih ada keimanan bahawa Rasulullah SAW tidak mewariskan sistem demokrasi kepada para sahabat dan umatnya, tetapi Rasulullah SAW mewariskan Sistem Khilafah kepada sahabat dan kepada kita semua. Jadi, kenapa dan sampai bila kalian mahu hidup mewarisi dan berjuang mempertahankan sistem demokrasi yang ditinggalkan penjajah, bukannya berjuang untuk menegakkan sistem Khilafah yang ditinggalkan oleh Rasulullah?

2 comments:

  1. Anonymous said...
     

    afalam yasiiru fil 'ardh fanzuru kaifa banainaha wazyyannaha ,ma laha min furujjj???sg furat di kiri ak,sentiasa sakit..ader sa'i ke kat sungai besar2????

  2. dinhakki said...
     

    assalamualaikum ,
    Aritkal yang sungguh bermakna dan diharap kita umat islam memahami dan menghayati akan saranan ini .
    Saya Mohon Copy & Paste di blog saya

    blogsaya : http://tarbiahislamiahharakiah.blogspot.com/

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR