ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


WAHAI MENTERI KABINET! TERAPKAN HUKUM ALLAH


WAHAI MENTERI KABINET!
TERAPKAN HUKUM ALLAH, JIKA TIDAK...


[SN179] Sejarah Malaysia terus berulang pada 3 April lepas apabila Datuk Seri Najib Razak dinobatkan secara rasminya sebagai Perdana Menteri yang keenam. Sebagaimana Pak Lah yang telah mengambil alih pemerintahan dari Mahathir, kini giliran Najib pula mengambil alih pemerintahan dari Pak Lah, sebuah peralihan kuasa yang membuktikan bahawa Perdana Menteri Malaysia bukanlah dipilih oleh rakyat! Beberapa hari setelah Najib menduduki kerusi nombor satu negara, pembohongan demokrasi semakin nyata apabila Najib mengumumkan dan menamakan barisan kabinetnya sebagai kabinet rakyat, di mana umum mengetahui bahawa mereka yang tidak dipilih oleh rakyat pun tetap dipilih oleh Najib membarisi kabinetnya. Selain dari proses demokrasi dusta ini, ada beberapa isu lagi yang menarik perhatian sebaik sahaja Najib dilantik menjadi orang nombor satu negara. Antaranya adalah pembebasan 13 tahanan ISA yang dahulunya ditahan kerana amat membahayakan keselamatan persekutuan.

Ternyata, sebaik sahaja Najib menjadi Perdana Menteri, mereka ini sudah tidak lagi berbahaya dan tidak lagi mengancam! Perdana Menteri keenam ini juga seterusnya menggula-gulakan rakyat dengan berjanji akan mengkaji semula ISA, yang mungkin sahaja kajiannya selepas ini akan menunjukkan bahawa ISA mesti dikekalkan demi keselamatan negara. Sebagaimana Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini, Najib kemudiannya terus mengisytiharkan slogan tersendiri beliau iaitu, “Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” bagi menggantikan slogan lapuk yang tak habis-habis diperli rakyat sebelum ini iaitu cemerlang, gemilang dan terbilang yang dikatakan penuh dengan tembelang dan temberang. Juga, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri beliau turut menjanjikan beberapa pembaharuan dan transformasi besar yang semua ini menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri sebelum ini tidak melakukan apa-apa transformasi pun.

Kepemimpinan Adalah Amanah

Apa pun bentuk perubahan dan transformasi yang akan dilakukan Perdana Menteri dengan kabinetalt barunya ini, yang pastinya, mereka tidak akan merubah sistem sekular yang sedia ada ini sedikit pun. Di dalam sistem sekular, jawatan ketua sesebuah negara adalah ditentukan sendiri oleh akal manusia baik ia bergelar Presiden, Raja mahupun Perdana Menteri. Dan di dalam sistem sekular, ketua negara dipilih untuk melaksanakan undang-undang taghut, yakni undang-undang yang dibuat oleh mereka sendiri yang bertentangan dengan undang-undang Allah. Sedangkan di dalam Islam, pembuat undang-undang (Asy-Syari’/Legislator) atau yang berhak membuat hukum hanyalah Allah SWT, bukan rakyat, bukan pula ketua negara dan bukan juga menteri kabinet. Ketua negara dipilih dan dibaiat oleh umat untuk melaksanakan hukum Allah, sehingga wajib baginya melaksanakan syariat Islam yang bersumber dari al-Quran dan As-Sunah untuk dijadikan undang-undang negara. Dengan undang-undang Allah inilah, seseorang ketua negara mengurus dan mengatur segala kepentingan rakyat, bukannya dengan undang-undang taghut yang diluluskan secara majoriti di kalangan mereka.

Dalam sistem Islam, ketua negara adalah ‘Khalifah’ atau Imamah atau digelar juga Amirul Mukminin. Khalifah adalah pemimpin umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia untuk menegakkan syariat Islam dan mengembang dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia. ‘Khalifah’ sebagai ketua negara adalah ketentuan dari Allah dan Rasul, sebagaimana hadis dituturkan oleh Abu Hurairah ra, “Dahulu Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, ia digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku, akan tetapi ada Khalifah dan jumlahnya banyak.’ Para sahabat bertanya, ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab, ‘Penuhilah baiat yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka haknya, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka atas rakyat yang diurusinya.” [HR Muslim].

Tugas kepemimpinan adalah amanah yang amat berat dari Allah Azza Wa Jalla. Aspek mas’uliyat (tanggungjawab) menjadi unsur yang paling mendasar dalam kepemimpinan. Ini kerana, jawatan kepimpinan itu adalah jawatan yang bersifat dua dimensi, yakni dunia dan akhirat. Pemimpin wajib menerapkan hukum Allah di (dimensi) dunia dan amanah ini akan dipersoalkan (dihisab) oleh Allah di (dimensi) akhirat. Kerana itu, wajar jika jawatan itu dapat mengantarkan seseorang pemimpin kepada darjat yang paling tinggi dan mulia dan juga akan menjerumuskannya ke lembah kehinaan dan azab seksa. Yang dimaksud ‘amanah’ di sini adalah taklif hukum yang telah dibebankan Allah SWT ke atas pemimpin. Imam Ibnu Katsir menjelaskan, “Pada dasarnya, amanah adalah taklif (syariat Islam) yang wajib dijalankan dengan sepenuh hati, dengan cara melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Jika ia melaksanakan taklif tersebut maka ia akan mendapatkan pahala di sisi Allah. Sebaliknya, jika ia melanggar taklif tersebut maka ia akan memperoleh seksa” [Tafsir Ibnu Katsir, 3/522]. Berdasarkan penjelasan di atas, kita dapat simpulkan bahawa standard untuk menilai apakah seorang pemimpin itu amanah atau tidak adalah ‘keterikatannya’ dengan hukum-hukum Allah.

Sikap amanah seorang pemimpin dapat dilihat dari tatacaranya dalam mengurusi masyarakat, syakhsiyahnya dan juga polisi-polisi yang dikeluarkannya. Jika dia mengurus urusan umat berdasarkan aturan-aturan Allah dan menjalankannya dengan istiqamah maka dia disebut sebagai pemimpin yang amanah. Sebaliknya, tatkala dia mengurusi umat dengan sistem dan aturan kufur maka dia adalah seorang pemimpin yang khianat kepada Allah, RasulNya dan umat Islam. Atas dasar itu, seorang pemimpin yang amanah tidak akan mengatur urusan rakyatnya dengan sistem dan peraturan kufur, baik sebahagian mahupun keseluruhan. Ia tidak akan mengeluarkan polisi-polisi yang tidak berpihak kepada Islam dan kaum Muslimin. Dia juga akan berusaha keras untuk menghiasi dirinya dengan sifat takwa dan akhlak yang mulia. Seorang pemimpin yang amanah pastinya tidak akan menerapkan sistem kufur seperti demokrasi yang bertentangan dengan Islam. Dia sedar dan insaf, bahawa Allah dan Rasul telah menetapkan sistem pemerintahan yang agung bagi kaum Muslimin, yakni sistem Khilafah. Untuk itu, dia akan berjuang bersama-sama kaum Muslimin di dalam menegak dan menjaga sistem yang agung ini.

Bagi pemerintah yang mengabaikan amanah kepimpinan yang Allah letakkan di bahunya, Rasulullah SAW mengingatkan mereka bahawa, “Tidaklah seorang pemimpin yang diserahi urusan kaum Muslimin, kemudian dia mati, sedangkan dia mengabaikan/melalaikan urusan tersebut, kecuali Allah mengharamkan syurga untuknya” [HR Bukhari & Muslim]. Mengenai hadis ini, Imam Fudhail bin Iyadh mengatakan bahawa, “hadis ini merupakan ancaman kepada sesiapa sahaja yang diserahkan oleh Allah akan urusan kaum Muslimin, baik urusan agama mahupun dunia, kemudian dia berkhianat. Jika seseorang berkhianat terhadap suatu urusan yang telah diserahkan kepadanya maka ia telah terjatuh pada dosa besar dan akan dijauhkan dari syurga. Pengabaian itu boleh berbentuk sama ada tidak menjelaskan urusan-urusan agama kepada umat, tidak menjaga syariat Allah dari unsur-unsur yang boleh merosak kesuciannya, mengubah makna ayat-ayat Allah dan mengabaikan hudud (hukum-hukum Allah). Pengabaian itu juga boleh berlaku di dalam penunaian hak-hak umat, tidak menjaga keamanan mereka, tidak berjihad untuk mengusir musuh-musuh mereka, dan tidak menegakkan keadilan di tengah-tengah mereka. Setiap orang yang melakukan hal ini dipandang telah berkhianat kepada umat” [Imam an-Nawawi, Syarah Sahih Muslim].

Wahai Barisan Kabinet! Buang Sekular, Terap Islam

alt Islam sebagai sebuah mabda’ (way of life) yang datangnya dari Allah SWT telah memperincikan kepada kita bahawa negaralah satu-satunya institusi yang berkewajiban untuk menerapkan Islam secara kaffah. Atas dasar ini, menjadi suatu tuntutan kepada negara (pemerintah) untuk menerapkan hukum dan peraturan Islam di dalam seluruh aspek kehidupan sama ada yang menyangkut persoalan pemerintahan, pendidikan, ekonomi, sosial, hubungan luar negara, uqubat dan lain-lainnya. Hukum Allah tidak mungkin boleh dilaksanakan secara kaffah tanpa adanya sebuah negara. Seorang individu boleh sahaja melaksanakan sebahagian hukum seperti ibadah, makanan, pakaian, dan akhlak. Namun sebahagian besar hukum yang lain seperti perundangan, sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan, uqubat, polisi luar negara serta jihad, semuanya tidak boleh dilakukan oleh individu, melainkan wajib oleh negara. Berdasarkan hal ini, maka kita semua maklum bahawa Datuk Seri Najib dan barisan kabinetnya yang baru telah pun ‘menguasai’ sebuah negara. Mereka kini boleh melakukan apa sahaja ke atas negara yang mereka pegang ini, sama ada untuk tetap mengekalkannya sebagai sebuah negara kufur di bawah sistem demokrasi atau menukarnya kepada sebuah Negara Islam dengan sistem Khilafah. Mereka mempunyai pilihan seluas-luasnya sama ada untuk terus memerintah dengan undang-undang sekular yang sedia ada, atau menukarnya dengan undang-undang Allah. Pilihan mana yang mereka ambil, sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan apa yang sedang mereka lakukan!

Dan mereka yang memegang kekuasaan ini mesti ingat bahawa Allah Azza Wa Jalla sama sekali tidak memberikan mereka pilihan kecuali mereka wajib menerapkan hukumNya. “Dan tidaklah layak bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya memutuskan sesuatu perkara - (tidaklah layak mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” [TMQ al-Ahzab(33):36]. Allah Azza wa Jalla memberi peringatan tegas kepada sesiapa sahaja yang berkuasa, “dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44], “dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45], “dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

Nah, apakah barisan kepimpinan kabinet Malaysia yang baru sahaja terbentuk ini merasa besar diri dan sombong dengan kekuasaan yang ada pada mereka dan tidak mahu membaca serta mendengar ayat-ayat (perintah) Allah ke atas mereka? Apakah saf kepimpinan Malaysia yang baru ini masih mahu mengikut jejak langkah sombong yang penuh dosa dan noda pemimpin pendahulu mereka yang menerapkan undang-undang yang mereka cipta sendiri dengan mengenepikan undang-undang ciptaan Allah? Belumkah masanya untuk Najib dan barisan kabinetnya untuk tunduk kepada Islam? “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka” [TMQ al-Hadid (57):16].

Apa Yang Perlu Dilakukan?

Sesungguhnya jika di dalam diri para pemerintah ini masih ada sedikit keimanan kepada Allah, maka nescaya mereka akan mendengar muhasabah dari rakyat dan mereka akan bersegera mencampakkan sistem sekular yang busuk ini dan menggantinya dengan sistem Islam yang penuh rahmat. Kita melihat saat ini kekuasaan (Perdana Menteri) itu ada pada seorang Islam, kekuatan yang menyokongnya seperti barisan kabinetnya juga majoritinya adalah Muslim, ketenteraan dan kepolisan juga berada ditangan orang Islam, maka apa lagi yang perlu ditunggu? Apakah yang menghalang mereka untuk menerapkan hukum Allah? Sesungguhnya pilihan ada di tangan mereka sama ada untuk terus mensucikan Perlembagaan Lord Reid atau menukarnya dengan Kitabullah. Tepuk dada tanya iman, apakah Perlembagaan Lord Reid yang mereka ingin pertahan dan pertuhankan, atau apakah Al-Quran dan As-Sunah yang ingin mereka terapkan?

Sudah lebih 50 tahun Perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid ini disucikan di dalam pemerintahan negara. Selagi Perlembagaan ini masih terus diletakkan lebih tinggi dari Al-Quran, maka selagi itulah transformasi yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri baru ini menjadi tak ubah seperti air liur basi. Transformasi besar yang dilaungkan oleh Najib itu sepatutnya diarahkan untuk menegakkan Khilafah bukannya untuk mempertahankan sistem kufur yang ditinggalkan oleh penjajah. Mungkin perkara ini adalah sesuatu yang dilihat sebagai amat berat dan sukar untuk dilakukan dan mungkin dianggap sebagai keterlaluan dalam suasana masyarakat majmuk. Anggapan dan andaian yang sebegini sebenarnya datang dari ketidakyakinan dan juga kejahilan serta kesombongan seseorang dengan hukum Allah. Allah adalah Pencipta manusia dan Pencipta peraturan untuk manusia dan peraturan Allah adalah sebaik-baik peraturan. Kegagalan sistem dan undang-undang ciptaan manusia saat ini merupakan bukti nyata bahawa undang-undang ciptaan manusialah yang telah selama ini membinasakan manusia itu sendiri. Apakah tidak cukup peringatan (ayat-ayat) Allah untuk menjadikan menteri-menteri kabinet Malaysia ini yakin dan melaksanakan hukumNya? “Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

Justeru, apakah yang perlu ditunggu lagi oleh barisan jemaah menteri yang baru ini di dalam menggantikan hukum hina sekular ini kepada hukum suci Islam? Atau apakah mereka merasakan bahawa mereka lebih bijak dan lebih hebat dari Allah sehingga undang-undang yang mereka cipta itu lebih baik dan mesti diterapkan berbanding undang-undang ciptaan Allah? Wahai kaum Muslimin! Sekiranya hati para pemimpin ini masih sombong, berkarat dan berpenyakit, maka mereka tentu akan meneruskan sistem kufur sekular ini ke atas kita semua. Jika demikian, sikap yang seharusnya diambil oleh gerakan-gerakan Islam dan umat Islam adalah bersama-sama bergerak untuk terus memuhasabah pemimpin yang sombong dan lalai ini. Kita hendaklah bersama-sama bergerak untuk merobohkan sistem sekular ini, kemudian menggantinya dengan sistem Islam, yakni sistem Khilafah. Janganlah hendaknya ada di kalangan gerakan Islam dan individu Islam yang mendukung pemerintah di dalam perkara maksiat dan dosa ini, apatah lagi kemudian larut dan terlibat dalam pemerintahan kufur yang diharamkan Islam.

Ingatlah wahai pemimpin! Sesungguhnya kepimpinan itu adalah suatu amanah yang amat besar dan berat. Abu Dzar ra pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak berkenan mengangkat diriku sebagai pemimpin wilayah?’ Rasulullah kemudian menjawab seraya menepuk-nepuk kedua bahunya, ‘Wahai Abu Dzar, kamu adalah seorang yang lemah, sedangkan tugas itu adalah suatu amanah yang akan membuat orang menjadi hina dan menyesal pada Hari Kiamat, kecuali jika ia mampu menunaikan hak dan kewajiban yang dipikulkan kepadanya” [HR Muslim]. Justeru, kepada para pemimpin, Hizbut Tahrir ingin mengingatkan akan sabda Rasulullah SAW ini, bahawa jika kalian tidak mampu memikul amanah dari Allah ini, jika kalian tidak menerapkan hukum Allah dan jika kalian masih kekal menggunapakai hukum kufur-sekular, malah kalian masih terus ingin menggubal undang-undang dengan tangan-tangan kalian serta mengenepikan undang-undang Allah, maka ini bermakna kalian telah mengkhianati amanah, dan kalian boleh menikmati sedikit kesedapan di dunia ini, namun semua ini akan pasti menjadi penyesalan yang selama-lamanya buat kalian, di hari di mana azab Allah berada di depan mata kalian dan di kala itu tiada seorang pun rakan kabinet kalian yang dapat menolong. Dan Allah akan melupakan kalian pada hari itu, sebagaimana kalian melupakan Allah pada hari ini!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Percayalah, walau bagaimana sombong, khianat dan berkuasa sekalipun seseorang pemimpin itu, kesudahan kepada semua ini sebenarnya adalah terpulang kepada umat Islam itu sendiri. Umatlah yang sesungguhnya membuat pilihan apakah ingin menyerahkan negeri ini untuk terus dipimpin oleh penguasa zalim yang menerapkan sekular; ataukah untuk menyerahkan kepimpinan kepada seorang pemimpin yang amanah dan menegakkan syariat Allah? Wahai kaum Muslimin! Hizbut Tahrir wujud di tengah-tengah kalian untuk membimbing kalian menegakkan sebuah negara Khilafah ala minhaj nubuwwah. Hizbut Tahrir telah lama menyiapkan sebuah Perlembagaan untuk negara Khilafah yang dirangka berdasarkan Al-Quran, As-Sunah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas yang mana Hizbut Tahrir tawarkan kepada setiap pemimpin umat Islam untuk diterapkan. Saudaraku, selain pilihan untuk memilih pemimpin yang ada di tangan kalian semua, pilihan juga ada di tangan kalian sama ada untuk bergabung dengan Hizb dalam usaha mulia untuk mewujudkan Daulah Khilafah, atau hanya untuk berdiam diri menyaksikan apa yang berlaku. Apa pun pilihan yang kalian ambil, sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Menghisab segala perbuatan kalian. Wallahu’alam.


Sumber :

http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/1342-sn179-wahai-menteri-kabinet-terapkan-hukum-allah-jika-tidak

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR