ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


SATU KHILAFAH


SATU KHILAFAH

SYARIAH DIDAHULUKAN MARDHATILLAH DIUTAMAKAN


[SN180] Kalau dulu cogankata ‘Cemerlang Gemilang dan Terbilang’ memenuhi setiap ceruk dan rantau tanah air, apatah lagi di jabatan-jabatan kerajaan, kini giliran cogankata ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ pula yang bakal menghiasi landskap politik Malaysia. Walaupun pelbagai kecaman yang dilontarkan oleh banyak pihak, khususnya tentang idea ‘Satu Malaysia’, namun mahu tak mahu cogankata ini mestilah ‘ditelan’ oleh rakyat Malaysia sebagai kalimah keramat yang mesti dijunjung, setidak-tidaknya di sepanjang pemerintahan orang yang mengeluarkannya. Cogankata ini yang sekaligus menjadi gagasan baru yang dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Razak, pada Majlis Sambutan Kepulangan Pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke negeri kelahirannya di Padang MPK 1 pada 18 April 2009 yang lepas. Bagi beliau, ia merupakan kesinambungan sekaligus pelengkap kepada gagasan-gagasan yang telah diusahakan oleh dua Perdana Menteri yang terdahulu. ‘Cogankata’ kini sudah menjadi semacam tradisi apabila setiap kali seorang Perdana Menteri baru dilantik, maka muncullah satu cogankata baru bagi mencerminkan prinsip, bentuk dan corak pemerintahannya. Ini adalah kerana pengamalan kontrak sosial antara rakyat dan pemerintah dalam sistem demokrasi di mana pemerintah dan jentera kerajaan adalah pihak yang dibayar oleh rakyat untuk menjalankan suatu bentuk pemerintahan yang kononnya berdasarkan ‘kemahuan rakyat’. Jadi, untuk memenangi hati rakyat, pemerintah perlu melontarkan suatu gagasan agar rakyat terpikat untuk terus menyokongnya.

Jika Benar Rakyat Didahulukan..

Dalam usaha UMNO/BN memohon semula restu dari rakyat setelah ternyata mereka ditampar hebat oleh rakyat pada pilihan raya ke-12 lalu, maka gagasan Perdana Menteri Malaysia yang baru ini memasukkan idea “Rakyat Didahulukan”. Bukan sahaja PM, malah harapan semua parti komponen BN adalah mereka akan berjaya menggula-gulakan rakyat dengan slogan baru ini yang kononnya mendahulukan kepentingan rakyat dalam pemerintahan mereka. Entah di mana silapnya, ternyata slogan ini gagal menambat hati rakyat semasa pilihan raya di dua Bukit baru-baru ini. Walau apa dan panjang mana sekalipun penjelasan diberikan, namun nampaknya rakyat tetap yakin bahawa slogan ‘Rakyat Didahulukan’ hanyalah merupakan sebuah mimpi dan ilusi, jika pun tidak satu penipuan.

Jika benarlah rakyat didahulukan dan hal ini bukan satu mainan politik, maka dengarlah suara kami wahai Najib – bahawa kami mahu kamu menerapkan Islam secara kaffah. Kami mahu kamu mencampakkan hukum kufur-sekular yang zalim dan hina ini. Di samping menerapkan hukum Allah di dalam negara, kami juga mahu kamu melancarkan dakwah dan jihad ke negara-negara kufur, khususnya negara kafir harbi yang selama ini memerangi umat Islam. Kami mahu kamu menyelamatkan saudara-saudara seIslam kita yang sedang dibunuh, dipenjara, diseksa dan dizalimi di seluruh dunia oleh sang kuffar. Kami mahu kamu menyeru negara-negara umat Islam yang lain agar bergabung dengan Malaysia dan membentuk sebuah Daulah Khilafah dan bernaung hanya di bawah kepimpinan seorang Khalifah. Inilah yang kami mahukan! Pokoknya, kami (rakyat) mahukan kamu menerapkan hukum Allah ke atas kami, bukan hukum kufur seperti yang ada sekarang. Jika benar rakyat didahulukan, maka kamu wajib melakukan semua ini, kerana inilah yang kami (rakyat) mahukan. Maka apakah kamu akan mendahulukan kehendak kami ini? Atau slogan kamu ‘Rakyat Didahulukan’ hanyalah slogan yang penuh kedustaan ke atas kami?

Ingatlah wahai pemimpin bahawa setiap patah perkataan yang kamu ucapkan dicatit oleh dua malaikat yang berada di kiri dan kananmu. Apatah lagi perkataan kamu sebagai pemimpin kepada rakyat yang wajib kamu pelihara. Ingatlah bahawa kata-katamu ini akan dipersembahkan oleh malaikat-malaikat ini di hadapan Allah Azza wa Jalla di akhirat kelak dan Allah akan bertanya kepada kamu tentangnya. Jika kamu tidak menunaikan apa yang kamu ucapkan, maka kemurkaan Allahlah yang akan menimpa kamu, sebagaimana Dia telah mengingatkan kamu,

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan” [TMQ as-Saf (61):1-2].

Pencapaian Apa Yang Ingin DiUtamakan?


Jika direnung dan ditilik tentang idea ‘Pencapaian Diutamakan’, idea ini sangatlah subjektif maksudnya. Apakah pencapaian yang ingin diraih? Ingin menjadikan Malaysia negara maju sebelum 2020? Ingin membina bangunan pencakar langit yang dua kali lebih tinggi dari KLCC? Ingin menghantar rakyat Malaysia ke bulan, ke bintang atau...? Yang pasti, apa yang kita saksikan saban hari adalah Malaysia sering menggapai pencapaian yang gilang gemilang dari segi pertambahan kadar jenayah, rasuah, penculikan, pembunuhan, perzinaan, anak luar nikah, kes buang bayi, kecurian, penyelewengan kuasa dan sebagainya. Semua jenayah ini dicapai oleh Malaysia dengan pencapaian yang amat membanggakan, hatta sejurus setelah cogankata ini ke udara, kita telah didedahkan oleh laporan akhbar mengenai statistik jenayah ragut di Kuala Lumpur tahun ini yang meningkat 100% berbanding tempoh suku pertama tahun lepas [Utusan Malaysia 17/04/09].

Lebih menarik, berapa banyak dari semua pencapaian kenaikan jenayah di Malaysia dilakukan oleh golongan yang memegang kekuasaan dan termasuk juga golongan yang memegang keselamatan negara. Semua orang tahu bahawa kes-kes rasuah di kalangan UMNO sudah mendarah daging dan sudah menjadi kanser. Siapa yang ingin menafikan? Lihat sahajalah ratusan kes rasuah yang telah dibicarakan dan diputuskan oleh Lembaga Disiplin UMNO sendiri. Namun UMNO menyebutnya dengan bahasa yang lebih lembut dan tidak menjadikannya satu jenayah, kerana ia dikategorikan sebagai ‘politik wang’, bukannya rasuah! Berapa ramai dari kalangan pemimpin, termasuk pemimpin tertinggi UMNO yang telah disabitkan kesalahan oleh Lembaga Disiplin mereka sendiri kerana terang-terang melakukan rasuah, namun tidak dibawa ke mahkamah, hanya diambil tindakan dalaman parti sahaja seperti digantung keahliannya?

Begitu pula dengan indeks jenayah lain yang dilakukan oleh pihak yang sepatutnya mencegah jenayah, PDRM sendiri. Kes rasuah yang melibatkan anggota PDRM tidak kalah dengan kes rasuah yang berlaku di dalam UMNO. Kita membaca saban hari akan ‘pencapaian’ kes rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kanan PDRM yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar. Kes-kes rasuah kecil lagi tak terkira, sehingga jika sesiapa yang tidak tahu akan hal ini maka tidak sahlah dia sebagai rakyat Malaysia.

Jika benar sekalipun gagasan yang dibuat Datuk Seri Najib ini ingin mencapai kemajuan di dalam bidang industri, sains, teknologi, pendidikan, pertanian dan sebagainya, maka kita perlu bertanya lagi, apa guna semua kemajuan madaniah ini jika hadharah Islam ditinggalkan? Apa guna kita mencapai kemajuan duniawi sedangkan aspek ukhrawi di ketepikan? Apa guna kita mempunyai sistem perbankan terhebat di dunia apabila asasnya adalah riba? Apa guna kemajuan sistem pendidikan apabila hanya berjaya melahirkan semakin ramai penzina-penzina, bohsia, bohjan, mat rempit, mat fit, mat lepak dan pelbagai mat lagi? Apa gunanya pencapaian di dalam bidang ekonomi jika 90% kekayaan negara dirampas dan hanya dibolot oleh golongan Kapitalis yang memerintah? Apa guna ada lebuh raya yang termaju di dunia sedangkan perut pemerintah semakin ‘maju’ ke depan kerana terlalu banyak memakan duit rakyat?

Sesungguhnya tidak ada gunanya semua kemajuan itu apabila asasnya tetap sekular dan Islam dipinggirkan! Rasulullah SAW berjaya membangun sebuah masyarakat yang jahil dengan cahaya Islam. Begitu juga para Khulafa’ Rasyidun yang berjaya meneruskan kesinambungan pemerintahan Islam dengan berjaya membangun peradaban dunia. Namun semua kemajuan keduniaan ini tidak pernah dipisahkan dengan aspek keakhiratan oleh Sang Khalifah. Sejak Islam diturunkan dan menjadi jalan hidup (way of life) bagi umat manusia, umat Islam yang dipimpin oleh Khalifah dengan sistem pemerintahan dari wahyu berjaya membawa dunia kepada satu ketamadunan yang luar biasa. Namun mereka berjaya melakukan semua ini dengan asas Islam, di mana mereka menjadikan Islam sebagai satu-satunya mabda’ (ideologi/cara hidup). Berbeza dengan pemimpin sekarang di mana mereka telah menjadikan Kapitalisme sebagai mabda’ di dalam pemerintahan negara.

Dahulu, umat Islam meraih setinggi-tinggi pencapaian di dunia kerana mereka berada di bawah payung syariah. Kemajuan sains dan teknologi, pendidikan, fiqh, tsaqafah, perindustrian, persenjataan, ketenteraan dan sebagainya berada di tangga teratas, jauh lebih tinggi dari segenap bangsa yang ada di dunia. Semua kegemilangan ini dicapai kerana mereka menerapkan hukum Allah dan menyebarkan Islam melalui jalan dakwah dan jihad (futuhat). Kebenaran semua ini tidak perlu dibuktikan lagi kerana ia telah menjadi sejarah yang tidak mungkin dinafikan oleh sesiapa sahaja. Semua ini adalah kesan dari penerapan mabda’ Islam di dalam Daulah Khilafah. Namun, sungguh malang bagi umat Islam kini, apabila pemimpin mereka ingin mengutamakan pencapaian tetapi melalui penerapan hukum kufur-sekular manakala hukum Islam ditolak mereka sejauh-jauhnya dari kehidupan. Sejauh mana sekalipun pencapaian diutamakan, tetapi sekiranya tetap berpaksikan sistem kufur-sekular yang ada, sesungguhnya apa yang mereka akan capai hanyalah setinggi-tinggi kemurkaan dari Allah SWT. Na’uzubillah min zalik.

Satu Malaysia -vs- Satu Khilafah

Sebagaimana yang telah dijelaskan, di dalam sistem demokrasi ciptaan manusia ini, pemerintah dan jentera pemerintahan adalah pihak yang mengaut duit rakyat untuk menjalankan suatu bentuk pemerintahan yang kononnya berdasarkan ‘kehendak rakyat’. Jadi, untuk menambat hati rakyat, pemerintah perlu melontarkan suatu gagasan bertujuan memikat dan memukau rakyat untuk terus mengundi mereka. Malang sedikit bagi Najib apabila sebaik sahaja gagasan baru beliau ‘Satu Malaysia’ ini dilaungkan, ia terus dikritik hebat kerana dikatakan tidak ubah seperti konsep ‘Malaysia Malaysian’ yang diperjuangkan oleh DAP selama ini. Kritikan yang datang dari pelbagai penjuru dan ketidakjelasan dari dalam parti sendiri ternyata memanaskan punggung anak jati Pahang ini sehingga memaksa beliau memperjelaskan perbezaannya dengan bersungguh-sungguh. Sedikit sebanyak Najib nampaknya terpaksa menerima ‘padah’ dengan apa yang diucapkannya.

Apa pun penjelasan dan pengertian terhadap slogan ‘Satu Malaysia’, yang pastinya ia langsung tidak mencerminkan corak pemerintahan Islam oleh orang yang mengucapkannya. Konsep ‘Satu Malaysia’ masih berada di bawah tempurung ‘negara-bangsa’ (nation state) yang telah dicipta oleh kuffar penjajah di bumi Malaysia ini. Gagasan ini hanyalah akan menjauhkan lagi umat Islam dari kefahaman Islam yang sebenar, khususnya dari aspek sistem pemerintahan. Sesungguhnya pemerintahan Islam itu adalah Khilafah. Umat Islam wajib bergabung di bawah satu payung pemerintahan yang bergelar Khilafah dan haram bagi umat untuk berpecah belah di bawah negara-bangsa. Sedarilah wahai kaum Muslimin bahawa sistem pemerintahan Islam adalah Khilafah. Telah lebih 1400 tahun Daulah Khilafah memerintah umat Islam di seluruh dunia di bawah kepimpinan seorang Khalifah. Sungguh, Abu Bakar adalah Khalifah, Umar adalah Khalifah, Utsman dan Ali adalah Khalifah. Mereka memerintah sebagai ‘Khalifah’ kerana itulah ketetapan (hukum) Allah dan Rasul ke atas mereka dan ke atas kita. Begitu juga dengan para pemerintah Daulah Umaiyyah, Abbasiyyah dan Utsmaniyyah, kesemua mereka adalah Khalifah kaum Muslimin. Inilah hukum Allah di mana umat Islam wajib bersatu dan bernaung hanya di bawah seorang Khalifah. Umat Islam adalah umat yang satu, aqidah mereka satu, Tuhan mereka Satu, Kitab mereka satu, Kiblat mereka satu dan Negara mereka juga adalah satu. Dan negara bagi umat Islam adalah Negara Khilafah.

Ingatlah bahawa Daulah Khilafah telah memerintah hampir dua per tiga dunia. Hanya setelah serangan dan penjajahan kuffar Barat ke atas negara Islam, maka barulah Barat merobek-robek kesatuan kita dan memecahbelahkan negara kita kepada negara-bangsa yang kecil, lemah dan berseteru sesesama sendiri. Justeru, setelah Allah memberi kekuasaan kepada pemimpin yang beragama Islam, mengapakah pemimpin ini masih mengekalkan kita di bawah negara-bangsa yang kecil, lemah dan bercerai-berai? Mengapakah mereka masih berhukum dengan hukum kufur yang penjajah tinggalkan, walhal kekuasaan kini ada di tangan mereka?

Sesungguhnya apa yang patut digagaskan oleh Najib adalah konsep Satu Khilafah, bukannya Satu Malaysia. Umat Islam wajib bergabung di bawah Satu Khilafah. Setelah itu, syariatlah yang wajib beliau dahulukan kerana kedaulatan adalah di tangan syarak, bukannya di tangan rakyat. Dan apa sahaja yang beliau lakukan, maka mardhatillah (keredhaan Allah) jualah yang wajib diutamakan. Inilah yang sepatutnya diucapkan oleh Najib, dan beliau sepatutnya mengajak pemimpin Muslim dari seluruh negara umat Islam yang ada agar bergabung di bawah satu payung pemerintahan dengan memilih dan memba’iah seorang Khalifah yang akan memerintah dengan Kitabullah. Jika ketua negara ini menerapkan syariat dan Khilafah, nescaya dia dan umat Islam keseluruhannya akan meraih semula kemuliaan yang telah hilang, dan Insya Allah dia bukan sahaja akan memerintah Malaysia, malah akan memerintah seluruh dunia sebagaimana Khalifah-Khalifah sebelum ini. Apa yang penting adalah dia wajib mempersatukan umat Islam di bawah Khilafah dan bukannya sekadar mengucapkan slogan-slogan kosong yang dipenuhi penipuan dan kedustaan.

Khatimah

Wahai pemimpin kaum Muslimin! Jika kalian ingin mengeluarkan ucapan, maka ucapkanlah perkataan yang benar lagi hak di sisi Allah. Sesungguhnya ucapan-ucapan kalian bukanlah bait-bait yang perlu kalian jadikan pemanis mulut atau halwa telinga untuk rakyat semata-mata. Tetapi ucapan-ucapan kalian adalah suatu perkara yang amat berat yang kalian akan pikul dari dunia hingga ke akhirat. Ingatlah bahawa ucapan kalian akan pasti membawa kalian menuju ke dua jalan. Ia akan mengheret kalian ke neraka jika ucapan kalian penuh maksiat dan penipuan, dan ia akan memandu kalian ke syurga apabila ia diucapkan dengan baik dan benar.

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah! Sedarlah bahawa para pemimpin kalian merupakan sebahagian dari kalian. Senantiasalah kalian bersama-sama mereka jika mereka berada di dalam kebenaran. Sebaliknya, perbetulkanlah mereka kiranya mereka telah tersasar dari jalan yang lurus. Sedarkanlah mereka bahawa tiada kemuliaan tanpa Islam. Sedarkanlah mereka bahawa kepimpinan bukan soal memenangi hati manusia dengan cogankata tetapi soal penerapan dan pelaksanaan perintah-perintah Allah sepenuhnya. Jika mereka lalai dalam menjalankan amanah besar ini, maka ucapkanlah kebenaran di hadapan mereka, dan jika mereka enggan menerima kebenaran, maka cabutlah kekuasaan mereka kerana sesungguhnya kekuasaan sebenar itu berada di tangan kalian. Tunaikanlah tanggungjawab kalian dan Allah akan pasti membantu kalian dan menunaikan hak kalian. Wallahu a’lam.


Sumber :

http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/1353-sn180-satu-khilafah-syariah-didahulukan-mardhatillah-diutamakan

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR